. Amoi Chantek: SUMBER BUKAN TULISAN DI DALAM METODOLOGI PENYELIDIKAN SEJARAH Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Sunday, 3 November 2013

SUMBER BUKAN TULISAN DI DALAM METODOLOGI PENYELIDIKAN SEJARAH

SUMBER BUKAN TULISAN DI DALAM METODOLOGI PENYELIDIKAN SEJARAH

Dalam usaha untuk menganalisa kegunaan dan keterbatasan penggunaan sumber-sumber yang tidak bertulis, kita seharusnya mengetahui dahulu takrif sumber. Sumber merupakan suatu yang boleh menjadi punca kepada lahirnya sesuatu pemikiran atau penulisan. Sumber berbeza dengan ilham kerana sumber tidaklah bersifat abstrak ataupun spontan tetapi sumber boleh dirujuk semula apabila diperlukan. Sumber juga dikatakan sebagai sekumpulan bahan yang tersimpan di arkib, perpustakaan, muzium , istana dan sebagainya dan boleh digunakan untuk tujuan penyelidikan dalam semua bidang keilmuan.

Sumber dari segi sejarah pula, bermaksud punca, dokumen atau rekod. Sumber sejarah juga diertikan sebagai bahan bertulis dan bercetak. Namun ia dianggap sebagai pendapat yang sempit kerana masih banyak lagi sumber-sumber lain yang tidak dalam bentuk bertulis.

Sumber tidak bertulis ini adakalanya dianggap sebagai sumber utama atau primer apabila ia belum diolah dan berkeadaan asli seperti fahaman Arthur Marwick yang mungkin terdiri daripada sumber bertulis atau tidak bertulis , Gottschalk pula berpendapat sumber primer itu ialah apabila adanya seseorang yang mengalami sendiri sesuatu peristiwa itu yang mungkin boleh diertikan sebagai sumber lisan . Apapun tafsiran mereka, jelaslah disini bahawa samada pendapat Marwick atau Gottschalk betul atau tidak , mereka mengakui sumber bukan bertulis mempunyai peranan dan wibawa tersendiri dalam usaha menghasilkan sesebuah penulisan .
Lazimnya terdapat tiga kategori besar didalam sumber tidak bertulis iaitu sumber lisan, sumber multimedia dan sumber artifak . Kita akan mengkaji apakah kelebihan dan kekurangan sumber-sumber jenis ini jika dibandingkan dengan sumber-sumber yang bertulis dan antara sumber-sumber tidak bertulis itu sendiri.

Sumber lisan ialah suatu bentuk sumber yang sudah lama wujud. Sumber lisan sudah wujud semenjak pemikiran dan kebudayaan manusia mulai berkembang . Sumber lisan juga wujud seiring dengan perkembangan bahasa dan pertuturan manusia yang masih belum tahu menulis.

Sumber lisan ialah suatu bentuk pertuturan dan perkhabaran seseorang tentang sesuatu peristiwa . Sumber lisan biasanya tidak dirakam oleh si pencerita, sebaliknya hanya bergantung kepada ingatan dan pemahamannya sahaja . Apabila ada seseorang penyelidik datang membuat temuramah, temubual dan sebagainya barulah perucapan itu dirakamkan dan direkodkan.

Sumber lisan ini boleh sahaja terdiri dalam dua kategori sumber, samada sumber utama atau primer dan sumber kedua atau sekunder . Sumber lisan berada dalam kategori primer apabila seseorang yang dijadikan rujukan itu menceritakan pengalaman dan pandangan sebenar sesuatu peristiwa yang mana dia turut ada dan terlibat dalam peristiwa itu. Jika pencerita hanya menceritakan kepada khalayak , ia adalah sumber lisan tetapi jika pencerita menulis dan merakamnya, ia sudah berubah bentuk menjadi sumber bertulis dan sumber multimedia.

Sumber lisan dalam kategori sumber kedua pula ialah apabila terdapat penceritaan daripada orang yang tidak mengalami sendiri peristiwa itu, sebaliknya hanya menceritakan apa yang didengarnya dari orang lain.
Sumber jenis ini juga berkait rapat namun berbeza dengan konsep tradisi lisan yakni sesuatu warisan yang disampaikan secara lisan secara turun temurun dan sengaja tidak direkodkan walaupun mereka tahu membaca dan menulis.

Sumber Multimedia pula ialah suatu bentuk sumber hasil kemodenan teknologi dan berada ditengah-tengah sumber lisan dan artifak. Malah, adakalanya dalam bentuk sumber bertulis . Jika sumber lisan ialah sumber yang dipertuturkan oleh si pencerita kepada seseorang secara langsung dan berhadapan. Sumber multimedia pula wujud sekiranya percakapan itu tadi dirakamkan melalui pita rakaman, video dan lain-lain alat perakam.

Sumber asal akan berubah apabila ianya sudah dirakam kerana bentuk dan kaedah memperolehinya juga telah berubah. Jika sumber lisan memerlukan kita berjumpa sendiri dengan seseorang untuk menemuramah, sumber multimedia memadai jika kita mencari rakaman sesuatu temuramah dan merujuknya menggunakan alat-alat bantuan seperti pemain video.

Sumber artifak juga boleh menjadi sumber multimedia apabila sumber-sumber dalam bentuk asal seperti keris lama, peta, manik-manik dan sebagainya dirakamkan melalui teknik fotografi, video, dan sebagainya.

Sumber artifak itu tidak dirujuk secara berdepan dan nyata , sebaliknya hanya dilihat melalui gambar-gambar dan video-video yang dirakamkan . Ianya juga sudah berubah bentuk , iaitu daripada sumber yang nyata , menjadi sumber multimedia iaitu sebagai salah satu ilmu bantu dalam proses pengkajian sejarah.

Sumber artifak juga dinamakan sebagai sumber visual, sumber berbentuk dan sumber arkeologi . Sumber artifak ini ialah suatu bentuk sumber yang biasanya jauh daripada zaman sejarah dan selalunya sumber-sumber sebegini mengambarkan kebudayaan dan cara hidup zaman pra sejarah yang mana pada zaman pra sejarah ini langsung tiada sumber mentah yang bertulis.

Namun sumber artifak tidak semestinya ialah sumber dari zaman yang terlalu tua semata-mata . Setiap sumber yang dapat dilihat, disentuh , dan bersifat nyata lazimnya adalah sumber artifak . Cuma dalam konteks kajian sejarah, sumber artifak ini biasanya memang sudah berusia dan paling tua jika hendak dibandingkan dengan sumber bertulis, lisan dan multimedia.

Pengkaji-pengkaji yang mengkaji sumber-sumber sebegini lazimnya digelar ahli arkeologi . Sumber-sumber artifak ini biasanya terdiri daripada tinggalan-tinggalan objek masa lampau seperti senjata, barangan kesenian seperti tembikar, pakaian seperti tekstil-tekstil, patung-patung , batu nisan , bangunan dan pelbagai objek lagi. Bahkan, sumber artifak atau arkeologi ini juga boleh terdiri daripada rangka badan manusia dan haiwan, sisa-sisa makanan dan sebagainya.

Sumber artifak ini dianggap sebagai sumber primer yakni sumber mentah yang belum diolah dan diinterpretasi oleh mana-mana pengkaji . Dengan sifatnya yang nyata dan dapat diuji secara fizikal, sumber sebegini dianggap sebagai suatu bentuk sumber yang kuat dan jelas.

Sumber lisan berguna dan memainkan peranan penting kepada golongan yang tidak dibenarkan merekod dan menulis sesuatu berkaitan dengan adat dan warisan mereka. Hal ini juga lazimya dipanggil sebagai tradisi lisan iaitu sesuatu perkara itu memang sengaja diperturunkan dari suatu generasi ke generasi yang lain melalui kaedah lisan dan tidak direkodkan walaupun mereka tahu menulis dan membaca.

Ianya mungkin untuk memelihara kerahsiaan sesuatu warisan dan mengelakkannya dari diketahui oleh orang lain jika ianya direkodkan. Jika inilah situasinya, jelas sekali terlihat kepentingan dan kegunaan sumber lisan sebagai penerus tradisi dan warisan. Dalam tradisi lisan ini , sumber lisan dilihat sebagai sumber yang harus diterima bulat-bulat dan dipercayai kesahihannya kerana ianya adalah suatu sumber yang mutlak dan tidak dapat dipertikaikan lagi melalui kritikan sumber baik dari segi eksternal mahupun internal.

Sebagai suatu contoh, suku kaum Narum di Sarawak yang mengambil sumber lisan sebagai sumber mutlak dalam meneruskan tradisi lisan kaum mereka tanpa adanya sumber-sumber lain untuk dibandingkan.  Mereka mempelajari adat dan warisan keturunan semata mata daripada penceritaan orang-orang tua melalui tradisi lisan yang diamalkan itu. Mereka menerima ajaran dari oran-orang tua mereka tanpa banyak persoalan dan pertimbangan. Dalam situasi sebegini, jelas terlihat akan kepentingan sumber lisan yakni satu-satunya sumber yang ada untuk mereka memahami dan mewarisi budaya kaum mereka yang tidak boleh digantikan dengan sumber bertulis.

Sumber lisan juga berperanan sebagai suatu kaedah untuk pengkaji dan pembaca sejarah menilai sejarah dengan lebih mendalam. Kepentinganya terlihat apabila kita membaca sesuatu karya sejarah dan merasakan bahawa seolah-olah terdapat sesuatu fakta yang cuba di sembunyikan atau merasakan karya penulis itu kurang lengkap . Jika tiada karya-karya lain untuk dirujuk dan dipertimbangkan, maka kita boleh merujuk kepada seseorang yang arif dalam peristiwa tersebut tetapi tidak menulis berkenaan peristiwa itu. Pendapat dan penceritaan daripada pencerita itu, sudah menjadi sumber lisan yang pasti akan membantu kita memahami dan mendapat gambaran sejarah dari sudut yang berbeza.

Dengan merujuk kepada sumber lisan primer juga, mungkin kita akan dapat mengetahui peristiwa-peristiwa yang tidak atau belum diceritakan dalam mana-mana karya sejarah.

Sumber lisan juga secara tidak langsung dapat mengesahkan kenyataan-kenyataan yang dimuatkan didalam buku dan dapat menampung kekurangan sumber-sumber lain dalam sesuatu proses pensejarahan.

Kita perlu akur, bukan semua orang yang mengalami sesuatu peristiwa bersejarah, menulis pengalaman mereka . Maka disini dapat dilihat akan berkuranglah sumber bertulis berkenaan sesuatu perkara. Jika kita merujuk sumber lisan yakni mereka yang mempunyai pengetahuan mengenai sesuatu perkara, maka sedikit sebanyak kekurangan itu dapat ditampung.

Kita juga perlu tahu ramai daripada penulis sejarah sesuatu peristiwa, tidak pun berada ditempat dan ketika peristiwa itu berlaku . Justeru, penulis yang tidak mengalami sendiri peristiwa sejarah itu mungkin tidak mendapat keseluruhan fakta dan kebenaran sesuatu peristiwa itu . Maka disinilah kita sebagai pengkaji atau pembaca dapat merujuk sumber lisan untuk mengesahkan sesuatu pensejarahan itu.

Kegunaan utama sumber multimedia ialah sebagai satu alternatif untuk para pengkaji mendapatkan sumber-sumber sukar diperolehi. Sebagai contoh, untuk menemubual seseorang tokoh penting yang sudah meninggal dunia misalnya, sudah pastinya ia suatu yang mustahil , tetapi penyelidikan perlu diteruskan dan tiada pula sumber yang bertulis , maka kita dapat merujuk kepada rakaman yang mungkin pernah dibuat berdasarkan temubual dengan tokoh yang telah meninggal dunia itu.

Sebagai contoh, dengan adanya sumber multimedia, kita dapat mengkaji beberapa aspek daripada sejarah kemerdekaan Malaysia melalui rakaman temuramah dengan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra ketika hayatnya. Temuramah itu tidak pernah diterbitkan samada secara bertulis atau dalam lain-lain bentuk. Disinilah dapat kita lihat kegunaan dan kepentingan sumber multimedia dalam membantu memudahkan sesebuah penyelidikan.

Selain itu, sumber multimedia juga dapat membantu menjimatkan masa dan kos kajian. Sebagai contoh, jika kita ingin mengkaji tentang bentuk-bentuk tinggalan arkeologi di Padang Lawas di Indonesia, tidak semestinya kita perlu ke Padang Lawas untuk melihat bentuk-bentuk tinggalan arkeologi di situ, kita boleh sahaja melihat gambar-gambar yang sudah dirakamkan oleh penyelidik terdahulu. Ini sedikit sebanyak akan dapat membantu memudahkan kajian yang kita lakukan.

Sumber multimedia juga berperana penting apabila misalnya , kita ingin merujuk bagaimanakah rupa masyarakat Orang Asli pada abad ke-19 , membaca imaginasi penulis dalam tulisannya iaitu sumber bertulis semata-mata pasti akan menyebabkan kita sukar untuk mendapat gambaran yang sekurang-kurangnya hampir tepat . Tetapi apabila kita merujuk sumber multimedia dalam bentuk gambar-gambar Orang Asli yang dimuatkan dalam buku Isabella Bird misalnya, pemahaman dan penelitian kita akan lebih menyeluruh dan tepat.

Peristiwa istiadat kemerdekaan misalnya juga, dapat kita melihat bagaimana ramainya rakyat yang memenuhi Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957 itu. Kita juga dapat melihat bagaimana pakaian kerajaan yang dipakai oleh Tunku Abdul Rahman selaku ketua menteri yang dikatakan baru direka cipta. Kita juga dapat melihat bagaimana gelagat Raja-Raja Melayu apabila berhadapan dengan wakil Queen Elizabeth pada istiadat itu. Gambaran-gambaran sebegini tentulah sukar untuk dihayati jika kita sekadar merujuk sumber-sumber bertulis semata-mata tanpa melihat sumber-sumber multimedia.

Disinilah dapat kita lihat kepentingan dan kegunaan sumber multimedia dalam membantu kita untuk mendapat gambaran yang yang lebih jelas dan menyeluruh dalam menjalankan penyelidikan sejarah yang baik.

Jika kita merujuk terus kepada sumber artifak ataupun sumber berbentuk, kita akan dapat menilai sendiri sejauh mana kekuatan dan kelemahan sesuatu benda itu. Kita tidak akan menghadapi kemungkinan tertipu dengan pandangan mata kasar dan tulisan orang lain yang menggambarkan sesuatu dengan cara yang silap.

Sebagai contoh, jika ada penulis yang menulis dan mengatakan bahawa kulit Gendang Ibu dan Anak yang digunakan oleh pasukan Nobat Diraja Kedah adalah diperbuat daripada kulit wanita mati bersalin , kita yang dapat melihat sendiri Gendang Ibu dan Gendang Anak itu mungkin dapat mempertikaikan dan memperbetulkan kenyataan penulis itu apabila kita menilai sendiri adakah benar ianya diperbuat daripada kulit wanita mati bersalin ataupun tidak.

Melalui sumber artifak
ini, kita dapat melihat kekuatan dan kewibawaanya dalam mengesahkan sesuatu kenyataan yang dikeluarkan oleh pengkaji lain.

Sumber artifak bersifat nyata.Ianya boleh digalicari, diukur dan sebagainya. Bahasa mudahnya , dengan sumber artifak , kita dapat menyentuh dan melihat sesuatu dari pelbagai sudut dan keadaan.

Ini membantu kita melihat sesuatu yang mungkin kita tidak dapat perhatikan jika merujuk sumber-sumber bertulis semata-mata. Lebih banyak hipotesis-hipotesis dapat dibuat apabila kita berhadapan sendiri dengan sumber tersebut. Pertimbangan untuk membuat kenyataan yang lebih tepat adalah lebih banyak . Inilah kekuatan sumber artifak yang harus kita akui.

Apabila kita hanya merujuk sumber bertulis tanpa melihat sumber-sumber artifak untuk semakan dan kritikan, tidak mustahil kita akan terikut-ikut dengan pendapat orang lain. Bukanlah maksudnya untuk kita membuang terus semua rujukan bertulis. tetapi jika itu sahaja sumber rujukan kita , tidak mustahil kita akan mempercayai dan mengimani sesuatu yang salah.

Sebagai contoh, ada seorang pengkaji arkeologi didalam blognya menyatakan salah satu candi di Lembah Bujang itu sebenarnya adalah Masjid. Ini kerana katanya, monumen itu lengkap dengan mihrab yang mengadap kiblat. Baginya monumen itu adalah bukti baru yang menunjukkan kedatangan Islam berlaku lebih awal sebelum penemuan Batu Bersurat di Terengganu lagi.

Namun kenyataan itu dinafikan oleh seorang ahli arkeologi dari Institut Alam Dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Asyaari Muhammad, yang pernah membuat penyelidikan di tapak itu . Beliau menyatakan bahawa candi itu tetap candi yang sebenarnya dan bukan Masjid kerana disekeliling tempat yang dikatakan Masjid itu penuh dengan arca-arca dan candi-candi yang sezaman dengan monumen yang dikatakan Masjid itu . Adalah mustahil ditengah-tengah kawasan candi Hindu dan Buddha yang begitu banyak , terbinanya sebuah Masjid didalam period masa yang sama.

Disini kita dapat melihat proses kritikan sumber dengan merujuk sumber artifak nyata dapat menghalang kita terikut-ikut dengan ghairah berkenaan apa sahaja hasil tulisan pengkaji terdahulu. Kita dapat menyemak dan membuat penilaian sendiri melalui sumber artifak.

Sumber lisan walaupun tidak dapat dinafikan muncul sebagai antara sumber yang terpenting , namun kaedahnya yang merujuk kepada ucapan seseorang itu sangat diragui ketulinan dan kebenarannya . Sumber lisan boleh sahaja menjadi suatu putar belit , penipuan , propaganda , gambaran sewenangnya untuk sesuatu kepentingan dan refleksi imaginatif penutur lisan itu sahaja.

Dengan tiadanya dokumen dan bukti lain , seseorang yang ditemuramah itu boleh sahaja memesongkan kenyataan dan fakta dengan pelbagai tokok tambah dan penipuan untuk menyembunyikan sesuatu hakikat sejarah . Akhirnya sesuatu fakta sejarah itu terlindung dengan sikap penutur lisan yang bias , subjektif dan tidak amanah. .

Sumber lisan juga dianggap tidak kukuh kerana kemampuan memori otak manusia sangat terbatas . Sumber lisan bergantung sepenuhnya kepada ingatan si penutur . Jika seseorang penutur itu terlupa berkenaan sesuatu perkara , maka hal itu tidaklah dapat kita nilaikan . Ianya jelas merupakan suatu ketempangan dalam penyelidikan kita.

Masalah lupa ini mungkin akan lebih menyusahkan ketika suatu informasi disampaikan ke seseorang, lalu orang itu menyampaikan lagi pada orang lain , maka pasti ada sesuatu yang berkurang atau bertambah , Akhirnya sesuatu hakikat sejarah yang diterima sudah tidak tepat dan secara tidak langsung sudah diselewengkan kebenarannya.

Sumber lisan itu sememangnya lemah dan sukar untuk dibuat pernilaian . Maka hal untuk memastikan sumber itu benar-benar objektif dan benar juga adalah suatu bentuk keterbatasan menggunakan sumber lisan dalam penyelidikan sejarah .

Bagaimana kita mahu memastikan bahawa seseorang itu bercakap benar?. Kita tidak dapat menguji kebenaran percakapan seseorang penutur itu dengan hanya mendengar ucapannya semata-mata. Kita perlu melakukan semakan dengan menyemak sumber-sumber lain. Tetapi bagaimanakah jika tiada sumber lain yang boleh dirujuk ? Bagaimana jika penutur merupakan orang terakhir yang menyaksikan perlaksanaan hukuman mati terhadap Mona Fendi yang masih hidup misalnya . Tiada lagi orang lain yang boleh dirujuk melainkan si penutur.

Inilah merupakan salah satu kekurangan sumber lisan apabila penutur merupakan sumber tunggal yang tidak dapat dibandingkan dengan sumber-sumber yang lain . Ini akan mendesak kita untuk mempercayai dan menerima kenyataannya tanpa kritik yang benar-benar mantap.

Sumber lisan ialah sumber yang dipertuturkan semata-mata. Jika ianya ditulis, ianya sudah menjadi sumber bertulis . Jika ianya dirakam, ianya sudah menjadi sumber multimedia. Sumber lisan ialah sumber nyata yang tidak ditulis dan dirakam.

Masalahnya ialah, jika sumber lisan itu tidak dirakam dan ditulis , bagaimana kita ingin meyakinkan pembaca yang membaca karya pensejarahan kita . Bagaimana ingin kita buktikan bahawa ianya adalah kenyataan yang sebenar yang dikeluarkan oleh seseorang yang menjadi sumber lisan itu sedangkan mereka tidak berada bersama kita ketika kita menemuramah sumber itu.

Inilah yang menjadi masalah yang besar jika kita menggunakan sumber lisan . Pembaca pasti tidak akan dapat merujuk secara langsung kepada sumber yang dipaparkan dan skeptikal dengan tulisan kita.

Masalah utama sumber multimedia di zaman moden ini ialah ianya sangat mudah diselewengkan . Melalui teknologi yang ada pada hari ini . kita boleh sahaja merakam suara rakan kita dan kita katakan kepada khalayak bahawa itulah perbualan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional Sabah dan Sarawak yang membincangkan soal melompat parti misalnya.

Contoh lain penyelewengan ialah misalnya, dengan menggunakan perisian adobe photoshop, kita boleh sahaja membuat penipuan kononya mayat Almarhum Tok Janggut tidak pun digantung dengan kepala ke bawah di palang kayu di Kota Bharu ketika itu . Sedangkan hakikat sebenar, memang mayatnya diperlakukan sebegitu . Inilah salah satu masalah berkenaan sumber multimedia.

Samada ianya dipercayai atau tidak bukanlah suatu isu, yang menjadi topiknya ialah multimedia sangat mudah diselewengkan dan ketulenanya tidak dapat dijamin seratus peratus.

Merujuk kepada kegunaan sumber multimedia dibahagian awal tadi, walaupun ia dapat menjimatkan kos dan masa untuk pergi melihat sendiri sumber sebenar , namun pemerhatian melalui gambar-gambar sahaja pasti tidak memadai untuk suatu kajian yang objektif.

Ini kerana melalui multimedia, kita cuma dapat melihat visualnya tanpa dapat menyentuh, meneliti dan melihat keseluruhan bagaimana bentuk sebenar sesuatu penemuan itu. Ini mungkin akan menimbulkan ketidak fahaman secara menyeluruh terhadap sumber-sumber berkenaan.

Sumber berbentuk ataupun artifak yang sangat tua biasanya bersifat ekslusif yakni hanya melalui sumber primer sebegini sahaja kita dapat mengetahui tentang kebudayaan manusia pada zaman lampau yang sangat jauh meninggalkan zaman kita sekarang.

Keterbatasanya dapat dilihat apabila sumber ini terlalu bersifat mutlak yakni tidak dapat dibandingkan dengan sumber-sumber lain seperti sumber bertulis dan lisan . Ini bermakna ianya hanya boleh diuji dan dikritik dalam kaedahnya yang tersendiri sahaja.

Ini pasti akan menyebabkan pengkaji membuat andaian-andaian yang pelbagai. Jika proses penyelidikan yang objektif ingin digunakan, penyelidik perlulah juga merujuk sumber-sumber lain untuk proses kritikan. Tetapi masalahnya, tiada sumber lain yang dapat dirujuk keana masalah jarak waktu. Maka, hasil penyelidikan itu tidaklah boleh dikatakan tepat kerana keputusanya tidak lebih sekadar andaian-andaian yang dibuat oleh penyelidik.

Permasalahan utama menjalankan penyelidikan menggunakan sumber artifak ialah sumber sukar untuk dikenalpasti. Mungkin kita sudah menjumpai suatu titik mula untuk dirungkaikan faktanya tetapi tiada jumpaan-jumpaan lain yang dapat membantu kajian diteruskan.

Sebagai contoh, penyelidikan arkeologi di Pulau Kelumpang, Perak sudah beberapa kali ditangguhkan kerana tiada penemuan-penemuan baru dijumpai bagi meneruskan kesinambungan kajian.

Pengkaji tidak boleh menggunakan sumber yang ditemui sahaja jika sumber itu masih belum cukup untuk menggambarkan tentang sesuatu hal. Maka disinilah kita dapat melihat keterbatasan penggunaan sumber artifak dalam usaha penyelidikan.

Seperti juga sumber multimedia, samada ianya dapat dikenalpasti atau tidak, hakikatnya sumber artifak juga boleh dipalsukan. Ia dapat dipalsukan dengan pelbagai cara dan kaedah samada memalsukan bahan itu sendiri atau memalsukan cara penemuan bahan di tapak-tapak kajian.

Sebagai contoh, Seseorang yang pandai membuat gendang gangsa dan pernah pula melihat gendang gangsa lama misalnya , boleh sahaja dia mengatakan gendang yang dibuatnya itu adalah gendang gangsa yang sebenar dari zaman tertentu dan menjualnya kepada pihak muzium atau kepada sesiapa yang berminat untuk mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda.

Perihal penipuan ini pernah diceritakan sendiri oleh Prof. Madya Mohd Kamaruzzaman A. Rahman yang diberitahu oleh seorang pakar bahan bahawa gendang gangsa di muzium arkeologi Lenggong, Perak adalah palsu.

Penipuan lain ialah seperti menipu bahawa sesuatu bahan itu ditemui dalam sesuatu tapak galicari arkeologi. Contohnya kita sengaja meletakkan serpihan tembikar biasa jauh kedalam tanah di tapak galicari dilakukan.  Apabila penggali menggali tapak itu dan menemui serpihan tembikar itu, maka pastilah mereka akan membuat pelbagai andaian. Walaupun usaha penipuan itu pasti akan gagal namun hakikatnya, ianya boleh diselewengkan.

Disinilah kita dapat melihat keterbatasan menggunakan sumber artifak yang nyata berpotensi untuk menyelewengkan sesuatu fakta sejarah.

Setelah melihat apakah jenis sumber yang terdiri daripada sumber tidak bertulis, kita dapat mengetahui terdapat tiga bentuk sumber utama iaitu sumber lisan, sumber multimedia dan sumber artifak.

Kemudian kita melihat pula apakah kepentingan dan kegunaan sumber-sumber tidak bertulis ini dalam membantu usaha pensejarahan . Didalam ruang ini , dibahaskan secara ringkas kegunaan , keunikan dan kekuatan sumber-sumber tidak bertulis jika hendak dibandingkan dengan sumber-sumber bertulis.

Dalam ruang yang ketiga, kita melihat pula kelemahan dan kekurangan sumber-sumber tidak bertulis tersebut samada dari segi kelemahan dari segi bantuan sumber itu terhadap pensejarahan atau kesukaran memastikan kekuatan sumber itu sendiri.

Kesimpulanya, sumber-sumber tidak bertulis seperti sumber lisan, sumber multimedia dan sumber artifak ini mempunyai kekuatan dan kekuranganya yang tersendiri . Ianya juga serupa dengan sumber bertulis yang tidaklah boleh dianggap terlalu berwibawa jika tidak dikritik dengan sempurna.
Sumber tidak bertulis menjadi kuat dan berguna kerana sumber-sumber ini juga mempunyai kaedah-kaedah penyelidikanya yang tersendiri dan dijalankan melalui sistem kritikan yang tersendiri. Walaupun ianya lebih sukar untuk dipastikan tahap objektivitinya, tetapi ianya turut diterima sejarawan sebagai salah satu cabang daripada sumber-sumber sejarah.

Sumber tidak bertulis juga mempunyai kelemahan yang menyebabkan ungkapannya adakala terbatas dan boleh diragukan. Ini kerana sumber itu kadangkala mempunyai kelemahan-kelemahan yang nyata dan tidak perlu dipersoalkan lagi dalam usaha penyelidikan sejarah.


Rujukan
Abdul Rahman Abdullah. (1994) .Pengantar Ilmu Sejarah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

B. Isabella. (1883). The Golden Chersonese And The Way Thither..New York. Diulang Cetak Kuala Lumpur: OUP.

Basri, MS . (Tiada tarikh). Metodologi Penelitian Sejarah (Pendekatan,Teori dan Praktik).Jakarta: Restu Agung.

Frank Hole, Robert F. Heizer. (1977). Prehistoric Archeology: A Brief Introduction. Texas . H.R.W Inc.

Muhd Yusof Ibrahim . (1986). Pengertian sejarah . Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhd Yusof Ibrahim . (2000). Ilmu Sejarah , Falsafah , Pengertian Dan Kaedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhd. Yusof Ibrahim. (2000).  Pengantar Ilmu Sejarah Dan Pensejarahan. Universiti kebangsaan Malaysia: Pusat Pendidikan Jarak Jauh.

Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd. Rahman. (1992). Arkeologi,Seni Dan Kerajaan Kuno Sumatera Sebelum Abad ke-14. Bangi: IAAM

R. Suntharalingam. (1985). Pengenalan kepada sejarah. Kuala Lumpur: Merican and Sons Sdn. Bhd.

Sidi Ghazalba . (1981). Pengantar Sejarah Sebagai Ilmu . Jakarta: Penerbit Bhratara Karya Aksara .



No comments:

Post a Comment