1.0
PENGENALAN
Psikologi pembelajaran membentangkan
pelbagai teori pembelajaran, kaedah pengajaran, proses perkembangan mental dan
sikap, pengelolaan dan pengawalan kelas untuk meningkatkan keberkesanan
pembelajaran dan pengajaran. Psikologi adalah satu bidang sains yang tertumpu
pada kajian tingkah laku manusia. Pendidikan pula bertujuan untuk memperkembang
mental dan kebolehan individu untuk menjadi insan yang berakhlak mulia,
bertanggungjawab dan berguna demi memberi sumbangan dan memupuk kesejahteraan
masyarakat. Justeru, psikologi
pendidikan merupakan satu bidang kajian santifik atas tingkah laku murid yang
dapat membantu guru memahami murid dan membimbingnya dalam pembelajaran serta
menambahkan keberkesanan pengajaran guru.
Untuk
mencapai tujuan tersebut, tugasan kali ini meninjaukan suasana, faktor dan
keadaan murid yang mempengaruhi aspek pencapaian akademik murid-murid. Guru pula didedahkan dengan pelbagai
kemahiran, maklumat dan teori pengajaran yang diperoleh daripada pengalaman dan
kajian yang lain. Maka psikologi
pendidikan membekalkan guru dengan maklumat tentang pembelajaran murid dari
segi minat, motivasi, pemikiran, ingatan, perbezaan individu dan sebagainya
serta pelbagai kaedah mengajar dan pengurusan kelas. Tumpuan utama ialah bagaimana murid belajar
dan bagaimana guru dapat menyampaikan pelajaran dengan berkesan. Guru juga perlu didedahkan kepada konsep
psikologi perkembangan, psikologi pembelajaran, pembentukan personaliti dan
psikologi sosial.
Psikologi
pembelajaran membentangkan pelbagai teori pembelajaran, kaedah pengajaran,
proses perkembangan mental dan sikap, pengelolaan dan pengawalan kelas untuk
meningkatkan keberkesanan pembelajaran dan pengajaran. Bidang ini juga menitikberatkan keupayaan mental
manusia seperti pemikiran, penanggapan, penaakulan, ingatan, kreativiti dan
perbezaan individu dari segi kecerdasan, sikap dan minat. Pendidikan akan
menyediakan pengalaman bagi seseorang individu.
Dengan pengalaman ini, perubahan tingkah laku individu itu akan berlaku.
Adalah jelas sekali bahawa mutu pengajaran dan pembelajaran yang diambil oleh
seorang guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat meningkatkan
pencapaian murid di sekolah.
2.0
TUJUAN KAJIAN
Kajian ini adalah bertujuan untuk :
Mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi
aspek pencapaian akademik murid yang
baik dan pencapaian akademik murid yang lemah berpandukan teori-teori psikologi
pendidikan.
Mencadangkan
langkah-langkah bernas yang boleh diambil oleh seoarang guru dalam proses
pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan murid-murid yang mempunyai
pencapaian akademik tidak sama.
3.0 KAJIAN KES
3.1 Dapatan
kajian
Setelah menjalani Pengalaman
Berasaskan Sekolah (PBS) yang saya jalankan di sekolah Sk Sebanban, Serian.
Dimana saya telah dapat menyiapkan kajian mengenai pencapaian akademik baik dan
pencapaian akademik lemah di antara dua pelajar. Kajian ini telah saya jalan
kan selama seminggu termasuk sabtu dan ahad.
Memandangkan salah seorang kanak-kanak yang menjadi bahan kajian saya
adalah merupakan anak jiran saya yang berumur 8 dan 9 tahun. Mereka berdua adalah merupakan murid tahun
dua dan tahun tiga di sekolah Sk Sebanban, Serian.
Kanak-kanak
pertama yang saya terlibat dalam kajian saya ini ialah Emmarina Irene ak
Maria. Dia lebih suka sekiranya saya
memanggil namanya Emma. Emma mempunyai 5
orang adik beradik dan dia berumur 8 tahun. Kanak-kanak ini merupakan seorang
anak yang lahir tanpa bapa. Perkara ini
dapat saya lihat dari kad kliniknya.
Jadi dapat saya simpulkan bahawa Emma ini tidak mengenali bapa
kandungnya sendiri dan dia merupakan anak luar nikah. Dari yang saya lihat dan
temubual bersama Tuai Rumah, keluarga Emma ini adalah golongan keluarga yang
sangat miskin. Ini kerana hanya ibunya
sahaja yang mencari pendapatan untuk mereka 5 orang adik beradik yang
masing-masing berumur 4-12 tahun.
Di
dalam kelas semasa sesi pengajaran dan pembelajaran Emma adalah merupakan
seorang kanak-kanak yang sangat pendiam dan sensitif. Emma suka menangis dan
masih belum dapat mengawal emosinya sendiri. Dia suka menyendiri dan tidak
mempunyai rakan yang rapat. Emma juga
selalu tidak mengendahkan segala pertanyaan yang saya berikan. Melalui temubual
bersama kenalan emaknya, dia menyatakan bahawa emaknya adalah seorang yang buta
huruf. Ini kerana dia tidak pernah bersekolah. Jadi dia mengaku bahawa agak
susah untuk membimbing anak-anaknya dalam pelajaran kerana dia sendiri pun buta
huruf dan tidak pernah bersekolah. Ini bermakna Emma hanya berpeluang mendapat
pendidikan di sekolah sahaja.
Kanak-kanak
kedua yang saya libatkan dalam kajian kes saya ini ialah Nur Atierah Binti
Salim. Dia berumur sembilan tahun. Atierah merupakan seorang anak tunggal dalam
keluarganya. Emaknya seoarang yang berpendidikan dan bersekolah setakat
tingkatan enam. Manakala bapanya pula adalah
tukang masak di sekolah SMK Serian. Di dalam kelas semasa sesi pengajaran dan
pembelajaran, Atierah adalah merupakan seoarang kanak-kanak yang aktif. Walaupun umurnya baru sembilan tahun tetapi
ingatannya sangat baik. Dia merupakan
seoarang kanak-kanak yang cepat menerima pembelajaran. Lembaran kerja yang di
berikan disiapkan dalam masa yang singkat. Dia mempunyai ramai kawan dan aktif.
Maka dapat saya simpulkan bahawa kanak-kanak ini mempunyai pontensi untuk
berjaya. Melalui pentaksiran dan penilaian yang telah saya buat, saya telah
mendapati perbezaan yang sangat ketara di antara Emma (8 tahun) dan Atierah (9
tahun). Emma masih belum dapat menguasai
3M (Membaca, Mengira, Menulis). Manakala
Atierah sudah menguasi 3M tersebut.
Tambahan pula saya mendapati bahwa Atierah yang berusia 9 tahun, lebih tua
dari Emma lebih menonjol dalam setiap tunjang kurikulum di sekolah.
Kedua-dua
orang kanak-kanak ini mempunyai banyak perbezaan yang ketara. Baik dari segi umur, jantina, kecerdasan, kebolehan
dan sebagainya. Menurut Woolfolk (1997), teori kecerdasan awal adalah memfokus
kepada 3 elemen, pertamanya tentang keupayaan untuk belajar . Kedua , keseluruhan pengetahuan yang telah
individu perolehi dan ketiga ialah kebolehsuaian seseorang kepada situasi atau
persekitaran baru. Ketiga-tiga elemen
ini, boleh dilihat dari keadaan kedua-dua sasaran kajian saya. Dimana saya telah mengenalpasti Atierah
mempunyai keupayaan untuk belajar, dia dapat mengadaptasikan keseluruhan
pengetahuan yang diperolehinya di dalam bilik darjah. Menurut guru kelasnya, Atierah seringkali
berupaya memahami apa yang diajar dan menghantar latihannya. Bahkan setiap latihan yang dihantar selalu
tepat dan menepati objektif, berbanding dengan Emma, dia jarang menyiapkan
latihan yang diberikan kepadanya. Dalam elemen yang ketiga pula, kedua-kedua
kanak-kanak ini mempunyai kebolehan menyesuaikan diri dengan situasi dan
persekitaran yang berbeza-beza. Dalam
teori kecerdasan awal ini, seseorang kanak-kanak biasanya mempunyai kecerdasan
awal dimana mereka boleh berhadapan secara posiitif dalam persekitaran yang
baru. Perkara ini saya dapat lihat dalam diri Atierah.
3.2 Teori-Teori Pembelajaran
Teori membantu guru untuk memahami
asas masalah pembelajaran khususnya dalam konteks pendidikan khas. Teori dapat
memberi panduan atau kaedah yang berkesan dan bersesuaian untuk menyelesaikan
masalah murid. Antara fungsi teori kepada guru ialah teori membantu untuk
seseorang guru membuat penilaian, menyemak bahan, teknik, kaedah pembelajaran
yang boleh digunakan kepada pelajar, teori memberi panduan pengetahuan yang
sistematik dan konsep bekerja bagi membolehkan pengubahsuaian sesuatu ilmu baru
dan ia amat penting kerana memberi arah panduan menjelaskan dengan lebih
teratur struktur pemikiran dan ini membentuk tindak balas yang diingini
berlaku, teori ialah pembentukan secara berproses. Setiap disiplin dibina
berdasarkan konsep dan idea yang dikembangkan oleh teori sebelumnya. Teori
adalah cabaran, kekuatan, bagi pengkaji dan ahli akademik untuk mempraktik dan
membuat penilaian bagi membuktikan teori yang dikeluarkan oleh golongan ini
bersesuaian dan berguna serta berhasil.
Menurut
Thomas ( 1985), sesuatu teori dikatakan baik apabila mempunyai ciri-ciri
seperti dapat menjelaskan fakta-fakta dengan jelas, mudah difahami, berguna
untuk membuat ramalan masa hadapan dan memperjelas perkara-perkara yang sudah
lepas, boleh diterapkan secara praktikal, bersifat konsisten dan tidak
berasaskan banyak andaian (kepercayaan-kepercayaan yang tidak dapat dibuktikan).
Dalam pengajaran dan pembelajaran kemahiran hidup banyak kerja-kerja amali
perlu dilakukan oleh murid supaya benar-benar dapat memahami sesuatu kemahiran.
Perkara ini berkait rapat dengan realiti kehidupan mereka di luar. Jadi, untuk
menentukan objektif pengajaran dan pembelajaran ini tercapai dan dikuasai oleh
murid khas, guru harus memikirkan bagaimana untuk memaksimumkan penguasaan
murid ini dengan menggunakan teori-teori yang sesuai dan berkesan dalam
pengajaran mereka. Terdapat beberapa teori pengajaran dan pembelajaran
dibincangkan supaya boleh membantu guru mengamalkannya dan membuat penilaian
semasa pengajaran.
4.0 FAKTOR- FAKTOR YANG MEMPENGARUHI ASPEK PENCAPAIAN AKADEMIK
KEDUA-DUA ORANG MURID.
Hasil
daripada kajian yang telah saya buat, saya dapat mengesan dan mengenalpasti teori-teori
yang boleh diguna pakai menjadi faktor-faktor yang telah mempengaruhi perbezaan
pencapaian akademik kedua-dua murid saya ini iaitu Emmarina Ng dan Nur Atierah adalah seperti berikut:
4.1 Teori Pembelajaran Behavioris
Faktor
yang mempengaruhi pencapaian akademik Emmarina Ng dan Nur Atierah ialah perbezaan
pengalaman atau latihan yang diperolehi di sekolah mahupun di rumah. Menurut Williams
& Anandam (1973), pembelajaran sebagai perubahan tingkah laku kekal yang
dihasilkan daripada pengalaman atau latihan. Teori pembelajaran Behaviorisme
mengatakan bahawa pembelajaran merupakan satu proses pelaziman, dimana hubungan
antara rangsangan luar dengan tindak balas individu dapat dibina untuk
menghasilkan perubahan tingkah laku yang tekal. Tokoh-tokoh mazhab behavioris
seperti Pavlov, Thorndike dan Skinner berpendapat bahawa pembelajaran merupakan
suatu tingkah laku yang boleh diperhatikan, dikawal dan diramal.
Dari perspektif behaviorisme,
pembelajaran hanya bermula apabila wujudnya tindak balas terhadap suatu
rangsangan yang diberi. Proses pembelajaran akan diteruskan jika terdapat motivasi
ekstrinsik yang sesuai (sama ada peneguhan positif atau negatif) sementara pembelajaran
dikatakan berakhir apabila perubahan tingkah laku dapat dibentuk dan
dikekalkan. Behaviorisme merupakan satu pendekatan pemikiran yang menekankan
peranan pengalaman dalam mengawal tingkahlaku. Menurut ahli-ahli behaviorisme,
proses-proses penting yang mengawal tingkahlaku ini adalah dipelajari. Kedua-duanya,
iaitu dorongan yang membangkitkan tingkahlaku serta tingkahlaku tertentu yang
dibangkitkan daripada dorongan ini dipelajari melalui interaksi dengan
persekitaran. Antara matlamat yang utama pemikiran ini ialah untuk menentukan
hukum-hukum ataupun prinsip-prinsip yang mengawal pembelajaran.
Teori Behaviorisme menumpukan
perhatian kepada faktor persekitaran sebagai faktor yang mempengaruhi tingkah
laku. Ahli-ahli behavioris melihat perhubungan antara persekitaran dengan
tingkah laku dan kemudiannya menggunakan konsep peneguhan dan dendaan untuk
menjelaskan mengapa sesetengah tingkah laku itu wujud atau tidak wujud. Mereka
berpendapat kecenderungan-kecenderungan tingkah laku termasuk trait-trait,
bakat, nilai-nilai, kepercayaan–kepercayaan, aspirasi dan lain-lain adalah
dipelajari. Antara andaian ahli behaviorisme ialah tingkah laku boleh diukur,
diperhatikan dan dianalisa dengan melihat gerak balas individu. Gerak balas
bergantung kepada peneguhan dan dendaan. Matlamat behavioris ialah melihat
kaitan rangsangan dengan gerak balas dan melihat bagaimana gerak balas ini
boleh dikawal melalui ganjaran dan dendaan. Ahli-ahli behaviorisme menggunakan
konsep pelaziman klasik dan pelaziman operan apabila menjelaskan proses
pembelajaran (Jalongo dan Isenberg 2000).
Dalam kajian saya telah mendapati
bahawa faktor persekitaran sebagai faktor yang mempengaruhi tingkah laku Atierah
dan Emma dan seterusnya telah memberi impak kepada proses pembelajarannya. Perkara
ini boleh dilihat pada sifat yang ada pada Emma, dia merupakan seorang
kanak-kanak yang emosinya kurang stabil kerana tertekan di rumah. Dia sangat pendiam dan tidak mempunyai kawan
rapat semasa di dalam kelas. Emma lebih
suka menyendiri daripada mempunyai kawan. Emma juga seorang yanag emosional dan
agresif, sekiranya ada rakan yang mengganggu, dia akan menangis dan menjerit
marah. Dengan persekitaran yang dilalui oleh Emma ini menyebabkan akademiknya
tidak mencapai tahap yang baik. Ini
kerana dia bersikap pasif dan tidak mahu bertanya. Dia lebih suka menyiapkan kerjanya mengikut
caranya sendiri. Lagipun rakan-rakan
sekelas akan takut dan tidak suka berdekatan dengannya kerana sikap
emosionalnya.
Berlainan pula dengan Atierah, dia
mempunyai ramai kawan. Tidak cepat melenting apabila ditegur kesalahannya malah
akan cuba untuk memperbaikai kelemahan tersebut. Dia suka berkawan dan peramah
ini kerana Atierah telah diajar di rumah mengenai hal tersebut. Suka mencuba
dan mempunyai daya usaha yang tinggi, tidak mudah berputus asa dan sentiasa
berusaha untuk memajukan diri. Jadi dengan memiliki sifat yang diwarisi daripada
baka ibu bapa nya ini Atierah telah menunjukkan pencapaian akademik yang baik.
4.2 Teori
Pembelajaran Kognitif
Teori
pembelajaran kognitif memfokuskan bahawa setiap manusia mempunyai keupayaan
mental untuk mengelola, menyusun, menyimpan dan mengeluarkan semula segala
pengalaman untuk membolehkan ia memerhatikan pertalian antara pengalaman
tersimpan dengan masalah yang dihadapi. Ahli-ahli psikologi kognitif
berpendapat bahawa pembelajaran adalah mudah dan ia tidak selalunya berlaku
melalui cuba jaya sebagaimana yang dicadangkan oleh mazhab behaviorisme.
Menurut psikologi ini, dalam pembelajaran, murid membentuk struktur kognitif
dalam ingatannya. Setiap kali murid belajar, ia akan menyusun segala pengalaman
dan menyimpannya dalam ‘ingatan’. Kebolehan ini dikenali sebagai celik akal.
Dengan itu, nyatalah seseorang individu jarang menggunakan cara cuba jaya untuk
mempelajari sesuatu.
Teori kognitif berpegang kepada
persoalan bagaimana kita mengetahui, memperolehi, memproses dan menggunakan
maklumat. Jadi, dalam mendidik murid-murid khas , guru perlulah menyesuaikan
segala teori-teori yang ingin digunakan. Ada kalanya teori behaviorimse penting
digunakan demikianlah juga dengan teori kognitif. Semua teori boleh
diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Sebenarnya Emma masih
belum mempunyai kesediaan belajar yang tinggi dan masih takut-takut untuk
mencuba sesuatu yang baru. Manakala Atierah
telah mempunyai kesediaan belajar yang tinggi.
Ini kerana kelemahan Emma dalam pencapaian akademik telah membuktikan
perkara ini. Dia masih tidak dapat
mengikuti proses pengajaran dan
pembelajaran di dalam kelas.
Manakala sebaliknya pula dengan Atierah.
Dia dapat mengikut pengajaran dan pembelajaran dengan baik dan ini telah
memberi impak kepada pencapaian akademiknya di sekolah. Teori pembelajaran
kognitif memfokuskan bahawa setiap manusia mempunyai keupayaan mental untuk
mengelola, menyusun, menyimpan dan mengeluarkan semula segala pengalaman untuk
membolehkan ia memerhatikan pertalian antara pengalaman tersimpan dengan
masalah yang dihadapi dan ini adalah peneguhan positif yang mendorong
individu untuk mengejar kejayaan. Dalam pemerhatian saya ibubapa Atierah
seringkali memberikan rangsangan dan dorongan kepadanya.
4.3 Teori
Pembelajaran Sosial
Albert
Bandura memperkenalkan teori pembelajaran sosial iaitu pembelajaran berlaku
melalui proses peniruan. Bandura (1977) berpendapat, kita belajar melalui
pemerhatian dan meniru orang lain serta dengan melihat konsekuen tingkah laku
orang lain. Bandura berpendapat bahawa pembelajaran dan tingkah laku manusia
bergantung kepada pemerhatian seseorang individu itu terhadap individu lain
atau model-model simbolik seperti televisyen dan sebagainya. Peniruan selalunya
diteguhkan. Pembelajaran pemerhatian dapat juga diterangkan melalui prinsip
pelaziman klasik. Oleh yang demikian, teori pembelajaran sosial
Bandura,menekankan peranan kognitif dan juga pengaruh persekitaran dalam
perkembangan.
Faktor ini yang mneyebabkan
perbezaan diantara Emma dan Atierah adalah dipengaruhi proses peniruan. Peniruan
di sini telah membawa maksud individu dan objek yang ditemui serta peristiwa
yang berlaku di dalam kehidupan seseorang yang mempengaruhi pertumbuhan yang
berlaku di dalam kehidupan seseorang yang mempengaruhi pertumbuhan dan
perkembangan diri. Ini telah memberi makna bahawa peniruan adalah merupakan
perkara yang bukan genetik yang mempengaruhi seseorang individu (Papalia,
2001). Faktor peniruan ini juga merangkumi persekitaran telah disokong oleh
ahli-ahli psikologi behaviorisme dan sosial kognitif seperti Albert Bandura,
Ivan P. Pavlov dan skinner dalam teori yang mereka ketengahkan. Dalam Teori
Pembelajaran sosial misalnya Albert Bandura (1977) mengatakan seseorang
individu akan membentuk satu idea melalui proses pemodelan. Mereka akan memerhati orang di sekeliling
mereka. Hal ini bermaksud peniruan
seseorang individu itu boleh memberi kesan alam perkembangan pembelajarannya.
4.4 Teori Pembelajaran Humanis
Teori
pembelajaran humanis menumpukan pada apa yang berlaku pada diri seseorang
seperti perasaan atau emosinya. Pendekatan humanis menekankan fikiran,
pengamatan serta interpretasi murid tentang sesuatu peristiwa atau kejadian
itu. Prinsip teori humanis ini adalah, seseorang murid itu bertanggungjawab ke
atas tindakannya. Contohnya kalau murid ingin berjaya, maka dia perlu berusaha
mencapainya ke arah itu. Setiap murid juga mempunyai keperluan mengembangkan
potensinya ke tahap maksimum. Teori humanis menekankan objektif berikut meningkatkan
arah kendiri dan kebebasan murid. Membantu murid agar lebih bertanggungjawab
dalam menentukan perkara yang ingin dipelajari oleh mereka. Meningkatkan daya
cipta murid. Mengembangkan minat dalam bidang seni. Meningkatkan naluri ingin
tahu murid.
Asas teori ini adalah kepercayaan
seseorang murid mempunyai keperluan untuk pencapaian hasrat diri. Guru perlulah
membantu murid mencapai hasratnya. Ini berlaku kerana dalam pengajaran secara
humanis, pembelajaran arah kendiri amat ditekankan. Prinsip-prinsip
pembelajaran humanis adalah seperti berikut murid akan belajar apa yang
dikehendaki oleh mereka dan yang ingin diketahui. Keinginan untuk belajar dan
mengetahui cara belajar lebih penting daripada pemerolehan fakta. Penilaian
yang dibuat oleh murid sendiri lebih bermakna bagi dirinya. Perasaan murid
adalah sama penting dengan fakta. Pembelajaran cara merasa adalah sama penting
dengan pembelajaran berfikir. Pembelajaran hanya berlaku jika murid tidak
berasa terancam.
Asas teori ini dapat saya kesan pada
murid yang saya kaji iaitu Atierah. Oleh
kerana dia memiliki motivasi yang tinggi maka kecerdasan pembelajarannya adalah
sangat baik dan ini akan menyebabkan pencapaian akademiknya sangat baik
berbanding Emma yang kurang bermotivasi. Iaitu tidak yakin dimana ia merupakan
sikap yang kurang gemar bersama orang lain, suka menyendiri, tidak suka dengan
orang baru, tidak suka berbicara didepan umum, kurang percaya diri, pemalu dan pendiam. Kurangnya motivasi diri ini akan menyebabkan Emma
menghadapi maslah pencapaian akademik yang lemah. Ini kerana sifatnya yang pemalu dan tidak
yakin pada diri. Malah dia juga tidak suka bertanya dan lebih suka membuat sesuatu
secara sendirian.
5.0 LANGKAH-LANGKAH YANG BOLEH DIAMBIL OLEH SEORANG GURU DALAM
PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN YANG MELIBATKAN MURID-MURID YANG MEMPUNYAI
PENCAPAIAN AKADEMIK TIDAK SAMA
5.1 Mempelbagaikan
bahan bantu mengajar
Guru
perlu menggunakan pelbagai bahan bantu mengajar seperti penyampaian maklumat
melalui transperansi, laman web atau pencarian internet, carta dan lain-lain
lagi. Ini adalah sesuai kerana di dalam sesebuah kelas ada murid yang peka
kepada audio, ada yang tertarik kepada visual dan yang tertarik kepada
kinestetik. Pembelajaran melalui akhbar di dalam bilik darjah adalah satu cara
pengajaran yang boleh merangsang minda murid berfikir, kerana terdapat banyak
pengetahuan yang boleh didapati di dalam surat khabar tersebut.
Pembelajaran berbantukan komputer
juga dapat merangsang minat murid untuk belajar. Soalan-soalan yang diberikan
adalah mengikut aras soalan daripada yang mudah hingga susah. Oleh itu, murid yang lemah, sederhana dan
pandai dapat menjawab soalan mengikut tahap keupayaan masing-masing.
Pembelajaran berbantukan komputer amat menarik digunakan kerana mengandungi
elemen-elemen visual grafik yang dapat menarik perhatian murid contohnya
animasi kartun.
5.2 Mempelbagaikan strategi pengajaran dan pembelajaran
Strategi
dan kaedah pengajaran guru berfungsi sebagai satu panduan pengajaran ke arah
keberkesanan pengajaran dan pembelajaran guru di dalam kelas. Guru perlu
mempelbagaikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran untuk menarik minat murid
supaya dapat mengikuti pengajaran dan pembelajaran sehingga tamat. Antaranya,
kuiz, perbincangan, percambahan idea, lakonan, simulasi, kaedah penyoalan,
projek dan lawatan.
Guru juga boleh menngunakan pelbagai
soalan bagi mengetahui tahap pencapaian dan kebolehan muridnya. Penyoalan boleh
dilakukan dalam bentuk pengetahuan, pemahaman, aplikasi, analisis, sintesis dan
penilaian. Contoh, guru boleh memulakan pengajaran dan pembelajaran di dalam
kelas dengan memulakan set induksi menggunakan tayangan video, bercerita,
bernasyid dan sebagainya. Secara langsung dapat menggalakkan penglibatan
murid-murid dan meningkatkan motivasi untuk belajar.
5.3 Peneguhan positif dan negatif
Semasa
berlakunya aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, guru hendaklah
memberi peneguhan positif kepada murid yang menunjukkan tingkah laku yang baik.
Murid-murid akan berasa dihargai apabila dipuji oleh guru. Guru boleh membuat
peneguhan positif dengan mengatakan “bagus”apabila murid dapat memberi jawapan
yang betul ketika sesi soal jawab di dalam kelas. Peneguhan positif juga boleh
diberikan dengan memberikan simbol bintang pada buku latihan murid kerana dapat
menyiapkan kerja dengan tulisan yang kemas dan cantik.
Manakala, peneguhan negatif untuk
mengelakkan tingkah laku yang yang tidak disukai. Contoh, guru yang hendak
mengelakkan muridnya membuat bising akan mengatakan bahawa, “Saya akan
membenarkan murid yang telah menyiapkan kerja keluar rehat lebih awal”. Oleh
itu, murid akan menyiapkan kerja yang diberikan untuk keluar rehat lebih awal. Selain
itu, guru juga boleh menggunakan prinsip Premack atau “grandmother’s rule,
iaitu dengan menyatakan , “ Murid yang membuat kerja dengan tulisan yang cantik
dan kemas akan dibenarkan membaca komik “Naruto”. Ini bermakna murid akan membuat
latihan yang diberikan dengan teliti untuk mendapatkan sesuatu yang disukainya.
5.4 Perbezaan
gaya kognitif dan gaya belajar
Sebagai
seorang guru yang telah lama mengajar di sesebuah kelas atau sekolah, kita akan dapat mengesan gaya kognitif dan gaya
belajar bagi setiap orang pelajar-pelajarnya yang mempunyai banyak perbezaan.
Ada yang suka belajar menggunakan audio, ada yang suka visual, ada yang
memproses maklumat secara global dan ada pula yang secara analitikal. Perkara
ini perlu difahami supaya kita sebagai seorang guru dapat menyediakan
bahan-bahan pembelajaran yang bersesuaian dan menarik minat murid.
Teori yang dapat digunakan ialah
Teori Pelaziman Operan Thorndike. Dimana
kita boleh menggunakan hukum pembelajarannya.
Iaitu Hukum kesediaan, Hukum Latihan dan Hukum Kesan. Disini saya akan menerapkan Hukum Latihan,
dimana sebagai guru kita membuat pengukuhan melalui latihan yang
berulang-ulang. Menurut Thorndike (1913), perkaitan antara rangsangan dan
gerakbalas (R-G) akan bertambah kukuh melalui latihan yang diulang-ulang. Latihan pengukuhan ini boleh diberikan kepada
kanak-kanak seperti Clara. Ini akan
membuat dia dapat mengingat dan menghafal sesuatu kemahiran yang kita ajar
kepadanya.
Seterusnya Hukum Kesediaan. Menurut Thorndike (1913) apabila seseorang
itu bersedia untuk melakukan sesuatu tindakan, maka tindakan itu akan dapat
memberi kepuasan kepadanya. Contohnya,
seseorang mesti sudah bersedia dari segi psikomotor.kesediaan afektif dan kesediaan
kognitif. Ini kerana sekiranya murid
melakukan sesuatu secara sukarela dan bersedia dia akan bersedih sekiranya
tidak melakukannya, tetapi jika secara terpaksa dia akan melakukannya secara
tidak sempurna iaiatu tidak dapat menerima pembelajaran dengan baik sekiranya
belum beersedia.
5.5 Pembelajaran Koperatif
Pembelajaran
koperatif ialah pembelajaran di dalam kumpulan heterogenius di mana biasanya
terdapat murid cerdas dan lambat. Di dalam aktiviti pembelajaran ini, murid
cerdas dikehendaki membantu murid lemah. Murid yang cerdas akan bersungguh-sungguh
membantu murid yang lemah kerana markah yang diperoleh setiap individu di dalam
kumpulan akan menjadi markah kumpulan. Secara tidak langsung, dapat memupuk
semangat bekerjasama apabila setiap kumpulan bersaing satu sama lain.
Kaedah pengajaran ini adalah
menggunakan idea “perancah” (scaffolding) dalam Teori Perkembangan Kognitif
Vygotsky, di mana murid cerdas akan membimbing pelajar lemah di dalam zon
perkembangan proksimal. Ini kerana, ada kalanya pengajaran rakan sebaya lebih
berkesan daripada guru, kerana pemikiran lateral boleh digunakan oleh pelajar
yang cerdas ini.
5.6 Kaedah kumpulan
Di
dalam sesebuah kelas terdapat beberapa orang murid yang mempunyai tahap
keupayaan yang berbeza-beza. Oleh itu, guru boleh menggunakan kaedah kumpulan
untuk menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran berdasarkan tahap
keupayaan murid. Ini dapat memudahkan guru menyediakan latihan atau bahan
sumber pengajaran dan pembelajaran.
Guru boleh mengasingkan murid yang
lemah, sederhana dan pandai dalam kumpulan yang ditetapkan. Dengan cara ini,
guru dapat memantau prestasi setiap kumpulan berdasarkan tahap keupayaan dan
kecerdasan murid-murid tersebut. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran juga
tidak membebankan murid kerana guru menggunakan aras yang berbeza untuk setiap
kumpulan.Guru juga perlu membuat carta kemajuan dan rekod profil untuk setiap
murid-muridnya. Hasil pemerhatian guru dan pencapaian murid perlu dicatat dari
masa ke masa.
5.7 Penyampaian guru
Guru
wajar menjadikan diri mereka sebagai penghibur yang berbakat. Dalam mata
pelajaran sastera dan bahasa, seorang guru sepatutnya mengasah bakat mereka
untuk bercerita, berseloka, bersyair dan berpantun. Dalam mata pelajaran
Matematik dan Sains, guru sepatutnya mampu menjadi magician dan saintis. Sekiranya guru mampu mempelbagaikan
penyampaiannya, murid-murid akan mendapat manfaat walaupun wujud perbezaan
antara murid.
6.0 KESIMPULAN
Secara keseluruhannya para guru
memainkan peranan yang penting dalam menghadapi masalah murid lemah ini agar
dapat setanding dengan murid yang pintar.
Guru yang berpotensi akan membentuk suatu usaha yang teratur, mempunyai
sistem, tertib serta optimum bagi menyatu padukan semua kompenen
pembelajaran. Seperti yang kita sedia
maklum, alam persekolahan merupakan tahap pembelajaran kanak-kanak yang paling
awal di dalam kehidupanya selain daripada pendidikan ibu bapa itu sendiri di
rumah. Maka guru yang proaktif dan
berkesan perlu memainkan peranan mereka dalam mengenalpasti faktor-faktor yang
mempengaruhi pencapaian murid lemah. Mereka perlu bijak menyeimbangkan murid
lemah dan murid pintar agar dapat berjalan seiringan. Selain itu, seseorang
guru juga seharusnya mengetahui malah menguasai ilmu-ilmu psikologi pendidikan
agar dapat diterapkan menjadi suatu kemahiran sekaligus mengaplikasikanya dalam proses pengajaran dan
pembelajaran.
Pencapaian
akademik murid yang berbeza adalah disebabkan oleh faktor baka, persekitaran, personaliti,
gaya kognitif dan gaya belajar, jantina, mahupun kesihatan. Ini kerana setiap
murid mempunyai perbezaan individu tersendiri. Oleh itu, setiap guru perlu
mengenalpasti apakah tahap kecerdasan murid di dalam kelas. Ini untuk
memudahkan guru menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran mengikut tahap
keupayaan seseorang murid itu. Langkah-langkah mengatasi yang boleh di ambil
oleh guru ialah mengaplikasikan kaedah kumpulan, pembelajaran koperatif,
memberi peneguhan positif dan negatif, mempelbagaikan strategi pengajaran dan
pembelajaran serta mempelbagaikan bahan bantu mengajar.
Guru juga perlu mengenalpasti dan
memahami setiap masalah yang berlaku pada
murid-muridnya. Keprihatinan dan kerjasama guru membantu murid yang
mengalami masalah perbezaan individu ini akan dapat melahirkan modal insan yang
cemerlang suatu hari nanti. Ini sejajar dengan hasrat Falsafah Pendidikan
kebangsaan bahawa modal insan yang
dilahirkan haruslah seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Guru
bukan sahaja menyampaikan ilmu pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas malah
memainkan peranan amat penting iaitu mendidik dan membimbing murid menjadi
insan yang berguna, cemerlang, gemilang dan terbilang pada masa hadapan.
Assalamualaikum. Aiman nak minta izin copy bagi pihak mak Aiman. Harap diizinkan.
ReplyDeletewslam. silakan :)
ReplyDelete