Kepentingan
Sumber Lisan
Menurut
Muhd. Yusof Ibrahim (2009), sumber lisan ialah sumber yang didapati daripada
pertuturan atau perkhabaran seseorang tentang sesuatu peristiwa yang berlaku.
Sebagaimana sumber sejarah yang lain seperti sumber bertulis, sumber lisan juga
boleh dikategorikan sebagai salah satu sumber sejarah yang penting dalam
pensejarahan, khususnya pensejarahan Malaysia.
Menurut
kajian yang dilakukan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (2007), satu daripada
kelemahan yang besar di dalam usaha untuk menulis semula sejarah Malaysia ialah
kekurangan sumber-sumber sejarah yang asal. Hal ini berkait rapat dengan tiadanya satu tradisi
dalam kalangan masyarakat Malaysia untuk menyimpan catatan harian, menulis
dokumen atau menulis riwayat hidup. Dalam keadaan ini,
sumber lisan akan memainkan peranan penting dalam memelihara dan menambahkan
sumber-sumber sejarah yang ada. Hal ini turut dinyatakan oleh Rozeman Abu Hassan (2004),
di mana beliau mengatakan bahawa pada dasarnya, tujuan sejarah lisan adalah untuk mendapat dan memelihara rekod-rekod
sejarah yang semakin berkurangan dan sudah hilang.
Begitu
juga, kepentingan sumber lisan ini amat terasa dalam keadaan di mana kurangnya
sumber-sumber bertulis bagi sesuatu peristiwa yang dikaji ataupun dalam keadaan
di mana sumber lisan adalah satu-satunya sumber yang boleh diperolehi tentang
sesuatu peristiwa itu (Muhd. Yusof Ibrahim, 2009: 162). Sebagai contoh,
peristiwa pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada 1941-1945. Sumber bertulis
untuk kita mentafsir dan meneliti peristiwa pendudukan Jepun ini amatlah
terhad. Walau bagaimanapun, kisah-kisah mengenainya masih banyak didapati dari
mulut orang-orang tua yang masih hidup dan telah melalui zaman tersebut. Banyak
cerita yang dapat kita dengar melalui mereka terutamanya mengenai kezaliman dan
kesengsaraan hidup pada zaman tersebut.
Selain
itu, maklumat-maklumat yang diperolehi dalam sumber lisan ini sungguh bernilai dalam kita memahami
peristiwa-peristiwa yang saling berkait dari sudut yang luas. Sesungguhnya,
sejarah lisan amat unik kerana ia dapat menghubungkan zaman yang lalu dan zaman
sekarang melalui rakaman pengalaman-pengalaman yang bersejarah (Universiti
Kebangsaan Malaysia, 2007). Seperti yang kita tahu, sejarah mempunyai
ruang-ruang kosong yang perlu dipenuhi. Dalam keadaan ini, sumber lisan boleh
membantu memberikan gambaran yang lebih
lengkap dan jelas mengenai sesuatu peristiwa sejarah.
Disamping
itu, menurut Rozeman Abu Hassan (2004), sumber lisan juga bertujuan untuk memelihara pengetahuan-pengetahuan sejarah melalui
pengkisahan. Kaedah ini merangkumi proses wawancara dan merakam ke dalam
pita tentang keterangan-keterangan orang yang terlibat secara langsung atau
hanya sekadar menyaksikan peristiwa tersebut. Selain itu, sumber lisan juga
amat penting kepada generasi baru, khasnya generasi yang tidak melalui zaman
peperangan, penjajahan dan perjuangan dalam menuntut kemerdekaan. Dengan adanya
sumber lisan, generasi-generasi baru ini akan dapat mengenali dan mendalami
peristiwa-peristiwa yang telah berlaku melalui kaca mata orang yang telah
mengalami dan menyaksikan peristiwa tersebut.
Begitu
juga, kita perlu sedar bahawa penulisan sejarah Malaysia tidak seharusnya
berfokuskan kepada tokoh-tokoh ternama dan peristiwa-peristiwa utama yang
berlaku di sesuatu zaman. Walaupun sesungguhnya perkara ini penting, pada masa
yang sama, kita tidak boleh menafikan bahawa sejarah itu turut merangkumi
cerita dan peristiwa rakyat biasa. Sejarah bercorak tempatan dan sejarah negeri
juga perlu diberikan fokus yang sewajarnya dalam pensejarahan Malaysia. Di
sinilah sumber lisan amat penting kerana rakyat biasa tidak meninggalkan
sumber-sumber bertulis. Walaupun kurang sumber bertulis, rakyat amat kaya
dengan tradisi lisan. Sumber lisan inilah yang akan digunakan oleh sejarawan
untuk menulis sejarah yang bercorak tempatan (Universiti Kebangsaan Malaysia,
2007).
Kesimpulannya,
sumber lisan mempunyai banyak kepentingan khasnya dalam pensejarahan Malaysia.
Sumber lisan penting untuk memelihara dan menambahkan sumber-sumber sejarah
yang ada, kekurangan sumber-sumber bertulis bagi sesuatu peristiwa yang dikaji
ataupun dalam keadaan di mana sumber lisan adalah satu-satunya sumber yang
boleh diperolehi tentang sesuatu peristiwa itu, membantu memberikan gambaran
yang lebih lengkap dan jelas mengenai sesuatu peristiwa sejara, memelihara
pengetahuan-pengetahuan sejarah melalui pengkisahan, penting kepada generasi
baru, khasnya generasi yang tidak melalui zaman peperangan, penjajahan dan
perjuangan dalam menuntut kemerdekaan serta menjadi sumber bagi sejarawan untuk
menulis sejarah bercorak tempatan kerana rakyat biasa tidak meninggalkan sumber
bertulis.
Senarai
Rujukan
Sumber Buku
Muhd. Yusuf Ibrahim. (2009). Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian dan Kaedah. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rozeman Abu Hassan. (2004). Mengenali dan Mentafsir
Sumber Sejarah. Shah Alam: Karisma Publications Sdn. Bhd.
Sumber
Internet
Universiti Kebangsaan Malaysia. (2007). Sejarah Lisan.
Dimuat turun pada 1 Julai 2013, daripada http://www.ukm.my/sejarah/
No comments:
Post a Comment