REFLEKSI PENGAJARAN MAKRO
MOR EDDIN BIN
MORTADA
Saya telah
menjalankan aktiviti pengajaran makro yang melibatkan murid tahun 5 Yakin
seramai 33 orang. Walaupun pada asalnya bilangan murid seramai 43 orang
disebabkan beberapa orang murid terlibat dengan
latihan koir sekolah maka 10 orang murid tiada di dalam kelas. Murid-murid di dalam kelas ini adalah terdiri
daripada murid yang beraras cerdas dan sederhana. Saya menjalankan pengajaran
matapelajaran Sains untuk pengajaran makro ini.
Tajuk
pengajaran yang saya pilih ialah Menyiasat Dunia dan Teknologi. Hasil
pengajaran adalah mengetahui faktor yang mempengaruhi kestabilan struktur. Saya
menetapkan tiga objektif pembelajaran iaitu objektif mata pelajaran, objektif
saintifik dan objektif berkaitan kemahiran manipulatif sains. Saya telah
menyediakan beberapa bahan bantu mengajar yang bersesuaian dan menjalankan
pengajaran mengikut rancangan pengajaran yang dirancang lebih awal. Pengajaran
makro ini telah dijalankan selama 30 minit di dalam makmal bagi memudahkan
murid menjalankan aktiviti berkumpulan.
Kebaikan
Dalam
pengajaran makro yang telah saya jalankan ini, beberapa kekuatan atau kebaikan
dapat dikesan. Antaranya ialah guru merancang set induksi yang menarik minat
murid untuk meneruskan pengajaran. Ia juga melibatkan keseluruhan kelas iaitu
semua murid berdiri dengan sebelah kaki dan dua belah kaki untuk merasai
situasi yang dikehendaki. Ia juga dapat merangsang minda murid untuk mengaitkan
dengan pengajaran dan pembelajaran pada hari ini. Guru menekankan tentang
difinisi kestabilan bagi memudahkan murid mengikuti isi pelajaran yang
seterusnya.
Penerangan
guru jelas dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Penerangan dan intonasi guru
yang jelas dapat membantu murid memahami apa yang disampaikan oleh guru dengan
lebih berkesan. Guru sentiasa memastikan semua murid dapat mendengar dan
melihat dengan jelas bahan yang ditunjukkan semasa P&P. Guru juga peka
terhadap murid dengan memberikan bantuan dan tunjuk ajar dalam memahami sesuatu
konsep. Contohnya, guru memberikan tunju cara kepada murid untuk menjalankan
aktiviti berkumpulan.
Bahan bantu
mengajar yang disediakan juga bersesuaian. Terdapat beberapa alat bantu
mengajar yang menarik minat murid seperti basikal yang jarang dilihat oleh
murid. Alat bantu mengajar yang fleksibal dan menjimatkan masa seperti carta dan
kad bergambar membantu proses P&P berjalan lebih lancar tanpa perlu
mengambil masa untuk menulis nota di papan putih dan melukis gambar. Murid juga
melakukan pergerakkan ke hadapan kelas untuk menampal kad bergambar. Aktiviti
ini dirancang bagi menghilangkan rasa tegang dengan hanya duduk di kerusi
mereka.
Guru merancang
aktiviti berkumpulan yang sesuai bagi membolehkan murid merasai dan melihat
sendiri faktor yang mempengaruhi kestabilan struktur. Aktiviti seumpama itu
dapat membuatkan murid lebih faham dan mudah untuk mengingati isi pelajaran
iaitu faktor yang mempengaruhi kestabilan. Guru memberikan tunjuk ajar disetiap
kumpulan bagi memastikan murid dapat menjalankan aktiviti dengan betul.
Aktiviti ini juga dapat menjana minda murid dengan melakukan aktiviti
berdasarkan kad tugasan yang diberi. Kad tugasan memuatkan arahan yang jelas bagi membolehkan murid membuat aktiviti
dengan baik. Murid juga dapat membaca dan memahami arahan dengan baik.
Aktiviti
berkumpulan yang dijalankan dapat
melibatkan semua murid. Ini mendorong murid untuk melibatkan diri dengan aktif sepanjang
pengajaran dijalankan. Saya dapat melihat
semua murid berusaha untuk mencuba aktiviti yang disediakan secara
sukarela. Aktiviti ini juga dapat menggalakkan komunikasi antara rakan kerana
mereka perlu berbincang untuk menjalankan aktiviti dengan betul. Melalui aktiviti ini juga ,
saya dapat melihat beberapa nilai murni yang ditonjolkan oleh murid seperti
semangat kerjasama, bertimbangrasa, bertanggungjawab dan bertoleransi. Setelah aktiviti selesai dijalankan, semua
murid menunjukkan sikap yang positif dan meluahkan perasaan gembira.
Suasana pembelajaran kelihatan ceria dan
memberangsangkan.
Pembentangan
hasil aktivti yang dijalanakan dapat membantu murid mempunyai daya keberanian
untuk bercakap dikhalayak ramai. Murid akan mempunyai rasa tanggungjawab dan
berkebolehan untuk menerangkan kepada rakan-rakan hasil dapatan mereka.
Dalam fasa
aplikasi idea guru menekankan aspek penting dalam kemahiran proses sains iaitu
mengenal pasti pemboleh ubah. Aspek ini sangat penting dan guru berjaya
menyampaikan dengan menjawab soalan yang bersesuaian dengan aktiviti yang telah
dijalankan oleh murid. Guru sentiasa memberikan bimbingan kepada murid untuk
menjawab soalan dengan baik dan berkesan.
Guru juga
merupakan seorang yang ada mempunyai unsur kecindan, tidak terlalu garang atau
menunjukkan rasa marah jika murid tidak dapat menjawab soalan, guru turut
memberikan penghargaan dan galakan seperti memberikan tepukan, kata-kata pujian
dan ganjaran (gula-gula) kepada murid yang dapat menjawab soalan dengan betul.
Elemen ini dapat mengeratkan hubungan antara murid dengan guru dan murid akan
meresa selesa untuk bertanya atau berkongsi idea bersama guru mereka. Saya
dapat mengaplikasikan kemahiran memperkukuh sepanjang pengajaran dijalankan.
Kemahiran pengukuhan atau peneguhan merupakan satu teknik mengajar yang
digunakan apabila murid memberi jawapan yang betul. Dalam keadaan ini guru
memberi pujian kepada murid itu sebagai pengukuhan tingkah laku .Saya yakin
dengan menggunakan kemahiran ini dapat memberi galakan kepada murid untuk
melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti pembelajaran.
Memberi
pengukuhan kepada murid juga dapat memupuk semangat keyakinan untuk murid yang
mewujudkan tingkah laku positif. Ia juga dapat membantu memperbaiki disiplin
kelas dengan mengubah tingkah laku negatif yang timbul. Keadaan ini dapat
ditunjukkan apabila saya menjalankan aktiviti semua murid berusaha untuk
memilih jawapan yang betul untuk mendapat pujian tersebut. Bagi murid yang
belum menerima pengukuhan juga sentiasa berusaha menunjukkan tingkah laku yang
baik .Situasi ini menjadikan disiplin kelas bertambah baik dan aktiviti
pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan. Murid
yang telah menerima pengukuhan merasa usahanya telah dihargai dan semangat
keyakinan terhadap daya pembelajarannya semakin bertambah. Perhubungan diantara
saya dengan murid juga bertambah mesra dan aktiviti pengajaran saya menjadi
proses pengajaran dan pembelajaran yang digemari oleh murid.
Akhir sekali,
satu lagi kebaikan yang dapat dikesan ialah guru tidak lupa untuk bertanyakan
semua rumusan pelajaran pada hari itu dengan bertanyakan semula isi pelajaran
yang disampaikan. Kebolehan murid merumuskan semula isi pelajaran dapat menguji
kejayaan pengajaran dan pembelajaran pada hari itu. Rumusan oleh guru juga
penting untuk memantapkan pengetahuan murid tentang apa yang telah dipelajari.
Kelemahan
Setiap guru tidak dapat lari dari
melakukan kesilapan dan mempunyai kelemahan dalam pengajarannya. Saya turut
menyedari kelemahan yang terdapat dalam pengajaran makro ini menerusi
penyediaan ringkasan mengajar dan tayangan semula video rakaman. Beberapa
kelemahan saya ialah alat bantu mengajar yang saya gunakan untuk aktiviti
berkumpulan kurang menggunakan radas sains yang sebenar. Seharusnya saya boleh
menggunakan radas sains seperti kelalang kon, bentuk-bentuk bongkah kayu dan
bikar yang pelbagai saiz. Ini dapat membantu murid mendekatkan diri dengan
peralatan sains.
Pada fasa set induksi juga saya
rasakan adalah lebih baik jika saya memanggil seorang murid sahaja untuk
melakukan aktiviti berdiri sebelah kaki dan dua belah kaki supaya murid-murid
lain lebih jelas dengan situasi yang ingin disampaikan. Arahan kurang jelas
menyukarkan murid melakukan aktiviti yang diingini oleh guru. Murid juga boleh
menggunakan pengetahuan lepasnya untuk membina konsep yang baru dengan lebih
mudah. Saya dapati set induksi dalam pengajaran makro yang saya rancangkan
tidak menarik. Ia juga tidak mencabar minda murid dan kurang sesuai dengan
tahap kebolehan murid. Saya juga tidak dapat meyediakan alat bantu mengajar
dalam fasa ini yang boleh menarik
perhatian murid dan memperkembangkan pengetahuan sedia ada murid.
Pada fasa penstrukturan semula idea, di mana
aktiviti kumpulan dijalankan adalah lebih baik ia dibuat dalam sistem stesen.
Ini kerana setiap kumpulan akan melakukan aktiviti yang berbeza iaitu 4
aktiviti dapat di lakukan untuk mengukuhkan pemahaman mereka tentang konsep
yang disampaikan. Kad tugasan jelas tetapi kurang menarik. Guru lupa menyediakan borang pemerhatian untuk murid
mencatatkan hasil aktiviti mereka. Murid tidak membentangkan hasil kumpulan di
hadapan kelas, tetapi hanya menunjukkan semula di dalam kumpulan masing-masing.
Kelemahan yang seterusnya di dalam
fasa aplikasi idea dimana aktiviti permainan tidak dapat dijalankan kerana
kesuntukan masa untuk membawa murid ke luar kelas. Makmal dirasakan tidak
sesuai untuk menjalankan aktiviti permainan tersebut kerana berbasikal
memerlukan tempat yang lebih luas. Guru juga tidak membincangkan tentang
aplikasi kestabilan struktur dalam kehidupan seharian murid. Seharusnya pada
fasa ini, guru meminta pendapat murid tentang perkaitan kestabilan struktur
dengan situasi yang sebenar.
Guru yang baik seharusnya dapat
memastikan pengurusan masa yang sesuai dengan aktiviti yang dirancangkan. Jika
masa tidak dirancang dengan baik dan tidak bersesuaian dengan aktiviti yang
dijalankan sudah pasti pengajaran dan pembelajaran tidak dapat dijalankan
dengan sempurna. Pengurusan masa saya juga tidak terlalu memuaskan dan perlu
difikirkan semula supaya dapat melaksanakan pengajaran dengan berkesan dan
mencapai objektif yang dirancang.
Langkah
mengatasi kelemahan
Setiap kelemahan dan kekurangan
yang dikesan memerlukan penambahbaikan bagi meningkatkan kualiti pengajaran
pada masa akan datang. Berdasarkan kelemahan dan kekurangan dalam pengajaran
makro yang telah saya jalankan, penambahbaikan yang perlu dilakukan ialah
menyediakan set induksi yang lebih menarik
semasa permulaan pengajaran. Saya perlu menyediakan suatu aktiviti yang
luar biasa untuk membangkitkan rasa ingin tahu murid untuk meneroka ilmu
seterusnya. Dalam set induksi juga terdapat empat jenis komponen iaitu untuk
menarik perhatian, mewujudkan motivasi, membuat perkaitan dan menstruktur. Aktiviti pengajaran dalam set induksi
hendaklah dirancang berdasarkan komponen-komponen tersebut disamping penyediaan alat bantu mengajar
yang lebih relevan untuk menjamin keberkesanan
aktiviti dalam permulaan pengajaran.
Banyak bahan
bantu mengajar yang lebih menarik dan lebih baik boleh saya gunakan dalam
pengajaran saya untuk tajuk ini. Dalam aktiviti yang dijalankan seharusnya saya
dapat menggunakan pelbagai radas sains untuk memperkembangkan pengetahuan murid
dalam mengenali radas-radas Sains. Antaranya yang boleh saya gunakan ialah
kelalang kon, bikar dan lain-lain peralatan yang sesuai.
Untuk
memperbaiki kad tugasan saya yang kurang menarik, saya seharusnya menggunakan
teknologi komputer untuk menghasilkan kad tugasan yang lebih baik. Kad tugasan
itu juga boleh dilengkapi terus dengan borang pemerhatian setiap kumpulan untuk
menjawab hasil aktiviti mereka. Pembentangan yang dijalankan di hadapan kelas
seharusnya dilaksanakan. Guru boleh menyediakan sebuah meja dihadapan kelas
untuk diletakkan bahan yang digunakan dan menunjukkan cara aktiviti yang
dilaksanakan oleh setiap kumpulan. Murid lain dapat melihat dan memberi komen
yang lebih membina dalam setiap aktiviti yang dijalankan
Penambahbaikan
lain yang boleh saya lakukan ialah memastikan masa untuk melaksanakan sesuatu
fasa dilakukan dengan baik. Contohnya, aktiviti permainan yang tidak dapat
dijalankan memerlukan masa yang lebih untuk mambawa murid keluar dari kelas dan
tempat yang lebih sesuai. Murid sememangnya teruja untuk menaiki basikal
tersebut tetapi saya lebih menitik beratkan faktor keselamatan murid. Jika masa
mencukupi saya akan membawa murid ke padang sekolah untuk mencuba menaiki
basikal tersebut dengan kawalan guru. Ini dapat memberikan kesan positif
apabila murid gembira dan terkenang aktiviti yang mereka lakukan. Untuk itu
saya akan memastikan aktiviti yang dirancang bersesuaian dengan masa yang
diperlukan dalam pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan.
Saya juga perlu menguasai teknik menyoal supaya aras soalan sesuai dengan murid,
kebolehan dan pengalaman masing-masing. Melalui aktiviti soal jawab juga, perhubungan guru dan murid
dapat dijalin dengan baik. Saya akan cuba menyoal setiap orang murid
secara keseluruhan kelas supaya semua murid sentiasa bersedia dan menyediakan
jawapan bagi soalan yang saya kemukakan. Setiap murid perlu diberikan peluang
dan masa untuk memikirkan jawapan yang dikehendaki oleh guru.
Kesimpulan
Refleksi
pengajaran makro yang dibuat dapat
menilai kekuatan dan kelamahan saya dalam pengajaran dan pembelajaran yang saya
jalankan. Saya juga dapat meneliti setiap fasa pengajaran dengan
cara yang lebih sistematik dan mendapatkan
maklumbalas dengan segera untuk memperbaiki kelemahan yang ada. Guru
yang bijak dan dedikasi seharusnya memikirkan cara yang terbaik untuk proses
pengajaran dan pembelajarannya. Murid adalah pelanggan yang perlu diutamakan.
Refleksi yang dibuat akan memperlihatkan kelabihan dan kekurangan guru dalam
pengajarannnya. Langkah memperbaiki kelemahan perlu dilaksanakan bukan sekadar
membiarkannya sahaja tanpa mengambil tindakan yang sewajarnya.
Bagi saya yang
mengajar untuk tiga kelas tahun 5 akan memastikan kesilapan tidak berulang
untuk mengajar topik yang sama di kelas yang lain. Penambahbaikkan perlu
dilakukan. Itulah tugas guru dalam menempuh arus perjuangan mendidik anak
bangsa. Guru perlu sentiasa peka, sedia dan menanamkan sikap untuk membuat yang
terbaik. Jika kita dapat membuat yang terbaik, kejayaan anak didik akan
menjamin kepuasan guru dalam kerjayanya.
Setelah
meneliti video pengajaran dan rancangan pengajaran yang saya sediakan, saya dapati proses
pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan adalah berjaya dan mencapai objektif.
Walaubagaimanapun penambahbaikkan perlu dijalankan supaya pengajaran dan
pembelajaran lebih berkesan. Bagi saya, perkara utama adalah persediaan guru,
teknik pengajaran dan bahan bantu mengajar yang sesuai dapat membantu guru dan
murid memahami isi pelajaran dengan lebih baik dan berkesan.
No comments:
Post a Comment