1.0
PENGENALAN
Fokus utama Kurikulum Standard Sejarah
Sekolah Rendah adalah menyemai ilmu pengetahuan dan asas Kemahiran Pemikiran
Sejarah di samping penerapan semangat patriotik melalui pengetahuan tentang
masa lalu yang mempengaruhi masa kini. Melalui pembelajaran tersebut, murid
dapat membina kerangka kronologi tentang pengetahuan sesuatu peristiwa penting
dan tokoh-tokoh yang terlibat. Murid dapat membuat perbandingan tentang
pengalaman manusia dan seterusnya berupaya memahami diri mereka secara individu
serta sebagai ahli dalam sesebuah masyarakat. Pemahaman asas tentang sejarah
negara dapat melahirkan perasaan cinta akan negara dan melahirkan perasaan
bangga sebagai rakyat Malaysia.
Tugasan kali ini membicangkan sejauh
manakah penerapan elemen kewarganegaraan dan nilai sivik melalui mata pelajaran
Sejarah dapat memainkan peranan dalam melahirkan warganegaraan Malaysia yang
bersatu padu dan bersemangat patriotik.
1.1 Definisi kewarganegaraan dan sivik
Menurut Kamus Dewan edisi keempat (2010),
kalimah sivik membawa maksud ilmu tatarakyat, hak, perasaan tanggungjawab
terhadap seseorang atau masyarakatnya. Ini membawa maksud, sivik merujuk kepada
ilmu yang membicarakanmengenai kehidupan rakyat atau tatarakyat, kebudayaan dan
cara hidup, adat resam masyarakat dan sebagainya. Malah sifat
kebertanggungjawaban juga merupakan salah satu dari prinsip pendidikan sivik.
Mengikut kamus Advanced English
Dictionary, sivik di dalam bahasa inggeris bermaksud civic. Menurut kamus tersebut, perkataan civic membawa maksud pertalian diantara penduduk dengan sesuatu
ketamadunan atau pembandaran. Nama lain bagi civic ialah tatarakyat.
Manakala definisi kewarganegaraan
menurut Kamus Dewan edisi keempat (2010) pula ialah perihal warganegara,
kerakyatan sesebuah negara. Tidak seorang pun boleh dilucutinya secara
sewenang-wenang. Secara kesimpulan dapat dikelaskan bahawa sivik merujuk kepada
hubungan individu dengan masyarakat di sekelilingnya. Begitu juga dengan
sejarah iaitu mengetahui masa silam. Kesedaran sivik bermaksud rasa
tanggungjawab yang lahir secara ikhlas dalam menjaga kepentingan awam demi
kebaikan bersama. Pengetahuan sivik
terdiri daripada maklumat dan idea asas yang pelajar harus mengetahui serta
menggunakannya untuk menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan produktif.
Penguasaan kemahiran-kemahiran ini membolehkan pelajar membuat
keputusanmenyelesaikan masalah, meningkatkan kesedaran sivik dan memberi
sumbangan terhadappembangunan masyarakat dan negara. Setiap individu mempunyai
peranan dalam memartabatkan Pendidikan Sivik Dan Kewarganegaraan.
1.2 Penerapan elemen kewarganegaraan dan
nilai sivik melalui mata pelajaran
sejarah
Matapelajaran
sejarah akan mula diperkenalkan di semua sekolah rendah seluruh negara pada
tahun 2014. Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata,
beberapa penambahan baru akan dimasukkan pada subjek Kajian Tempatan yang
diajar pada murid tahap dua di sekolah rendah ketika ini. Menurutnya, tambahan
yang dibuat pada subjek tersebut termasuk aspek kewarganegaraan, patriotisme
dan perlembagaan negara.
''Kita akan laksanakan subjek Sejarah di
sekolah rendah dengan konsep seperti ‘education is fun’ dengan pendekatan
seperti kuiz, lawatan ke tempat bersejarah dan rombongan ke Parlimen.''Kita
mahu jadikan ia sebagai matapelajaran yang mudah difahami dan dihayati murid
sekolah rendah,'' katanya kepada pemberita selepas menutup persidangan
perwakilan dwitahunan Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) ke-22 di
sini hari ini." (Utusan
24.10.2010)
Antaranya ialah konsep elemen
kewarganegaraan dan nilai sivik melalui mata pelajaran sejarah iaitu menghuraikan tentang perkembangan diri ke
arah kecemerlangan yang meliputi aspek identiti dan wawasan diri, sifat-sifat
peribadi mulia, kebolehan membuat keputusan, pemilihan kerjaya sepanjang hayat.
Mereka dapat mencapai kecemerlangan diri dalam pendidikan, iaitu dengan
mengamalkan budaya ilmu untuk kemajuan diri. Kita dapat berinteraksi dengan
orang lain secara hormat dan sopan dan berkongsi dengan rakan-rakan tentang
ciri-ciri perwatakan terpuji. Menghasilkan garisan hidup tentang kejayaan dan
cabaran diri juga merupakan cara untuk perkembangan dirike arah pencapaian
kendiri.
Selain itu, mata pelajaran sejarah turut mempunyai kesan yang mendalam dalam membentuk
minda dan pemikiran masyarakat untuk mencapai elemen kewarganegaraan dan nilai
sivik. Pendidikan Sivik Dan Kewarganegaraan dapat melahirkan anggota masyarakat
yang bersatu padu dan patriotik akan lebih memahami dari segi tradisi,
keagamaan, kebudayaan serta etnik-etnik masyarakat Malaysia mempunyai kepelbagaian.
Selain itu, penting juga untuk memupuk nilai hidup tolong-menolong semasa mengatasi
cabaran dan dugaan yang berlaku dan mengambil tindakan yang wajar. Berperanan dalam
menjalinkan rangkaian kemasyarakatan yang erat dan memainkan
tanggungjawabsebagai rakyat Malaysia untuk menyempurnakan slogan “Satu
Malaysia”. Akhirnya, mewujudkan masyarakat yang demokrasi, persamaan taraf
tanpa mengira agama, bangsa dan budaya di samping melahirkan insan yang berakhlak
mulia dan bersifat patriotisme.
2.0 PERANAN
ELEMEN KEWARGANEGARAAN DAN NILAI SIVIK MELALUI MATA PELAJARAN SEJARAH DALAM
MELAHIRKAN WARGANEGARA MALAYSIA YANG BERSATU PADU DAN BERSEMANGAT PATRIOTIK
Di
Malaysia, rakyat terdiri daripada pelbagai etnik, budaya dan agama. Oleh itu,
pentinglah penerapan eleman kewarganegaraan dan nilai sivik melalui mata
pelajaran sejarah untuk melahirkan warganegara Malaysia yang bersatu padu dan
bersemangat patriotik. Matlamat utama penerapan eleman kewarganegaraan dan
nilai sivik dalam kurikulum Sejarah untuk membentuk warganegara yang
berketerampilan dan bermaklumat antaranya ialah melalui perkongsian sejarah,
perkongsian nilai, perasaan kekitaan, perkongsian masa depan, kesetiaan,
tanggungjawab warganegara dan keterikatan emosi.
Pertama sekali dimensi
kewarganegaraan yang ditekankan ialah perkongsian sejarah. Sejarah sememangnya
memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia pada masa sekarang
mahupun pada masa hadapan walaupun sesetengah masyarakat awam berpendapat
sejarah itu hanyalah rangkaian kisah lalu dan tidak perlu diungkit lagi. Malah
menurut mereka iaitu masyarakat awam yang tidak mempunyai kefahaman mengenai
disiplin ilmu sejarah ini, belajar sejarah itu bukannya kewajipan dan tidak
mempelajarinya bukanlah satu kesalahan. Pandangan ini sememangnya tidak benar
bagi golongan intelek sejarah kerana menurut mereka sejarah itu merupakan
peristiwa masa lalu yang kita harus terima ia mempunyai kegunaan, malah nilaian
tertentu, dalam kehidupan manusia. Sedikit sebanyak kita dapat melihat bahawa
sejarah itu suatu proses yang bersambungan. kita dapat merasakan bahawa sesuatu
peristiwa yang kita hadapi pada hari ini merupakan sebahagian daripada
peristiwa semalam dan kemungkinan besar pula akan menunjang menjadi sebahagian
daripada peristiwa yang akan berlaku pada masa akan datang.
Perkongsian sejarah ini mendatangkan
banyak faedah hasil. Menurut Omardin dan Yunus (1996), pengajaran sejarah
adalah untuk membantu pelajar agar mereka memahami keadaan masa sekarang ini
berasaskan keadaan masa lalu. Antara sejarah yang paling penting yang setiap
warganegara itu harus mengetahui dan memahaminya ialah sejarah pembentukan
negara. Melalui sejarah pembentukan negara, kita dapat mempelajari kejayaan
bangsa dan negara seperti zaman keemasan Kesultanan Melayu Melaka pada abad
ke-15 yang boleh dijadikan perangsang untuk memacu kemajuan negara. Tidak dapat
dinafikan, pembentukan negara Malaysia pada hari ini bertitik-tolak daripada
kewujudan Kerajaan Melayu Melaka yang telah diasaskan oleh Parameswara.
Perkongsian sejarah ini juga
membolehkan kita mengingati kegemilangan masa silam yang mana jika ada
kesedaran, kegigihan dan kesungguhan di kalangan pemimpin dan rakyat, keagungan
tersebut mampu diulangi malah mungkin lebih cemerlang. Kita juga haruslah
mengambil iktibar kesan penjajahan kuasa luar ke atas negara. Disamping itu
juga kita dapat menghayati peristiwa kemerdekaan negara. Malaysia kini
mengecapi pelbagai kecemerlangan dalam pelbagai bidang dan menjadi antara
negara membangun yang paling maju di dunia. Dengan kegigihan pemimpin dan
rakyatnya, tidak mustahil Malaysia mampu mengecapi kegemilangan dan mengulangi
semula zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15.
Seterusnya ialah perkongsian nilai. Menurut
Abdul Rahim (1999), melalui pendidikan sejarah, nilai-nilai seperti kemoralan,
sosial, kemanusiaan, patriotisme, kepahlawanan, setia negara dan
kewarganegaraan boleh disuburkan dan membentuk warganegara Malaysia yang prihatin dengan sejarah bangsa
dan negara mereka. Di samping itu penerapan
elemen kewarganegaraan dan nilai sivik dalam kurikulum sejarah juga dapat
memupuk semangat patriotisme atau semangat cintakan negara. Perasaan ini timbul
apabila kita mempelajari sejarah tanah air dan dengan itu akan lahirlah rasa
bangga terhadap negara dan bangsa. Tanpa
semangat ini, maruah negara kita boleh tercalar apabila lahirnya warganegara
yang sanggup mengadai dan menjual maruah negara seperti terlibat dengan
kegiatan menyeludup masuk warga asing. Semangat patriotisme timbul apabila kita
mengetahui dan memahami siapa diri, bangsa dan negara kita, serta mempunyai
pengetahuan teguh tentang sejarah negara kita. Namun begitu, ramai generasi
muda hari ini hanya mempelajari sejarah semata-mata untuk lulus di dalam peperiksaan
sama ada di peringkat sekolah mahu pun di universiti. Malangnya mereka gagal
untuk memahami kepentingan mata pelajaran sejarah dan terhasil rakyat Malaysia
yang buta sejarah negara sendiri.
Kewarganegaraan dan nilai sivik
dalam kurikulum Sejarah juga melahirkan perasaan kekitaanan dalam diri kita.
Ianya membantu kita menghargai dan memelihara kemerdekaan serta kedaulatan
negara dengan membentuk sikap sepunya dan kebersamaan. Proses mendapatkan
kemerdekaan telah pun selesai pada 1957 tetapi pengisiannya bukanlah perkara
yang mudah. Lebih sukar di negara majmuk seperti Malaysia. Jika generasi muda
hari ini tidak memahami sejarah pembentukan negara, apa yang telah bina akan
runtuh dan musnah. Meruntuhkan sesuatu amat mudah tetapi untuk membina atau membentuk
sesuatu itu yang sukar. Negara merdeka Tanah Melayu dibentuk hasil tolak ansur
orang-orang Melayu untuk menerima golongan imigran Cina dan India. Pemahaman
terhadap kontrak sosial ini amat penting untuk memacu Malaysia sebagai negara
maju. Kegagalan memahami kontrak sosial ini mampu mendatangkan impak negatif
kepada negara. Namun begitu dengan memiliki pengetahuan sejarah, rakyat
Malaysia dapat memahami situasi ini dan akan menjadi bangsa yang bersyukur
seterusnya bersama-sama mengembling tenaga untuk membangun dan mengukuhkan
negara (Abdul Rahman, 2005).
Kini, rakyat Malaysia sudah matang
dalam memahami situasi semasa. Amalan hormat-menghormati kepelbagaian kaum,
budaya dan agama amatlah dipuji dan boleh menjadi contoh kepada negara
berbilang bangsa yang lain. Disamping itu, dengan memartabatkan Bahasa Melayu
sebagai Bahasa Kebangsaan telah dapat mengeratkan lagi rakyat Malaysia dibawah
satu bahasa. Tambahan lagi pencapaian negara sudah berada ditahap yang
membanggakan.
Penerapan elemen kewarganegaraan dan
nilai sivik dalam kurikulum Sejarah juga secara tidak langsung telah memberikan
gambaran mengenai hala tuju ataupun peranan setiap individu dalam membina
keyakinan dan tanggungjawab mencorak negara pada masa depan. Apabila seseorang
itu mempunyai ilmu kewarganegaraan dan nilai sivik serta mengetahui sejarah
yang telah terjadi pada masa lampau, ini telah menambahkan satu bentuk
penilaian ataupun pengajaran bagi dirinya pada masa hadapan. Oleh itu, perkongsian
masa depan yang dicanang ini bukanlah bertujuan untuk mengubah atau
menginterpretasi semula sejarah lalu, tetapi pemupukan terhadap perpaduan
sosial antaranya menghormati masyarakat pelbagai kaum dan ini lebih kepada
penerapan bagi generasi sekarang dan seterusnya digunapakai sebagai rujukan
oleh generasi akan datang. Perpaduan sosial ini dikatakan menjadi salah satu
daripada sebab mengapa peristiwa itu tidak dapat dilupakan kerana terdapat
pelbagai peristiwa lalu yang berlaku berhubung kait dengan konsep perpaduan.
Antara peristiwa sejarah yang tidak
dapat dipertikaikan lagi akan hubung kaitnya dengan perpaduan sosial ialah
peristiwa 13 Mei 1969. Peristiwa ini telah menyebabkan berlakunya banyak
kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa serta keadaan fizikal dan harta
benda awam banyak yang musnah. Keadaan dan peristiwa pahit ini telah menuntut
masyarakat agar mengekalkan perpaduan dengan mengikis sikap perkauman supaya
keamanan dapat dicapai seterusnya ekonomi negara juga dapat berkembang dengan
rancak. (Mohd Sohaimi, Dayu Sansalu dan Budi Anto, 2011).
Seterusnya ialah nilai kesetiaan.
Kita semua sedia maklum bahawa kesetiaan bermaksud jujur, setia dan berpegang
teguh kepada sesuatu. Kewarganegaraan dan nilai sivik yang dimasukkan di dalam
kurikulum sejarah sememangnya sangat menekankan nilai kesetiaan. Salah satu
prinsip Rukun Negara ialah Kesetiaan kepada raja dan negara. Ini bermakna
sebagai rakyat Malaysia kita mesti setia kepada raja dan negara. Kedudukan
raja-raja telah termaktub dalam perlembagaan. Kesetiaan kepada raja ialah
lambang perpaduan seluruh rakyat. Kesetiaan kepada negara akan berdiri teguh di
jiwa rakyat dengan berdiri teguhnya nilai jati diri. Rakyat yang mempunyai jati
diri yang teguh akan setia mempertahankan negara ini dan tidak akan melakukan
sesuatu yang akan menggugat keharmonian kehidupan dan kestabilan ekonomi serta
politik. Secara tidak langsung rakyat itu akan menghormati pemimpin negara
serta mematuhi undang-undang dan peraturan negara. (Abdul Rahim, 1999).
Sebagai rakyat Malaysia, kita
hendaklah bersama-sama mengambil sikap yang serius mengenai soal taat setia dan
cinta yang tidak berbelah bagi kepada negara. Sesuatu bangsa akan menjadi mulia
dan dianggap berdaulat sekiranya merdeka. Justeru itulah kemerdekaan negara ini
perlu diisi dengan pelbagai pembangunan supaya Malaysia menjadi negara yang
berdaulat dan bermartabat. Sebagai anak merdeka, kita perlu sentiasa sedar
bahawa ini ialah negara kita, dan kitalah yang akan menentukan apa yang terbaik
untuk kita. Kalau kembali kepada sejarah, sudah tentu tidak wujud prasangka
antara kaum di negara ini kerana sejarah telah menggariskan hak masing-masing
tanpa berkorban apa-apa atau mengambil apa-apa daripada orang lain. Apabila
mereka tahu sejarah asal usul masing-masing, tidak timbul lagi sekian banyak
tuntutan yang tidak masuk akal. Kegagalan mengenal sejarah yang berkaitan
dengan negara sendiri akan melunturkan kecintaan kepada tanah air.
Bagi memastikan tanggungjawab
warganegara ini ditanam di hati rakyat negara ini, rakyat perlu mempelajari
sejarah negara, perjuangan dan susah payah membangunkannya. Ini juga secara
tidak langsung telah diterapkan dalam kewarganegaraan dan nilai sivik. Bangsa
yang tidak mengenali sejarah hanya hidup untuk mencari makan atau bersikap
materialistik seperti imigran-imigran yang dibawa oleh British ke negara ini
sebagai buruh paksa suatu masa dahulu. Setiap daripada kita harus mengetahui
dan memahami tanggungjawab sebagai warganegara dengan sepenuh hati. Sentiasa
menerima perbezaan kaum, budaya dan agama yang terdapat di negara ini. Negara
sedang menuju ke arah negara maju pada tahun 2020. Untuk mencapai tahap negara
maju, tanggungjawab warganegara adalah sangat mustahak ditekankan kerana negara
yang maju dan bertamadun akan dianggap tidak lengkap dan sempurna jika kemajuan
material tidak dapat diseimbangkan dengan keutuhan akal budi dan semangat
cintakan negara. (Omarudin dan Yunus, 1996)
Sekiranya kita berpeluang, kita juga
boleh menghadiri kursus atau seminar kenegaraan seperti Kursus Bina Negara yang
dianjurkan oleh Jabatan Biro Tatanegara. Kita mesti mengenali tanah air, bangsa
dan kerajaan Malaysia terlebih dahulu sebelum dapat mewujudkan semangat
patriotisme dalam diri kita. Menerusi semangat patriotisme, bangsa akan menjadi
kuat, berani serta memiliki kekuatan mental, emosi dan fizikal dalam membentuk
ketahanan warisan dan identiti negara. Oleh itu, untuk menjadikan kita seorang
warganegara yang bertanggungjawab kita mesti mengenali tanah air, bangsa dan
Kerajaan Malaysia terlebih dahulu sebelum dapat melahirkan rasa tanggungjawab
dalam diri kita. Apabila kita benar-benar mengenali dan menghayati sejarah dan
kedaulatan negara, barulah rasa tanggungjawab itu akan muncul secara semulajadi
dalam diri kita seterusnya bersama-sama membangun negara.
Menurut Abdul Rahim (1999),
pendidikan sejarah yang dinamis dan progresif dapat membina satu perspektif
wawasan pembangunan yang luas dan merangkumi wawasan kenegaraan, politik,
sosial, ekonomi dan diri sendiri. Maksudnya ialah keterikatan emosi kepada
negara iaitu dengan mempunyai perasaan cinta akan negara yang mendalam dan
berusaha mempertahankannya. Orang cerdik pandai selalu berkata, sejarah adalah
guru terbaik untuk mendidik manusia menjadikan sesuatu yang lalu sebagai
teladan atau sempadan. Dengan menghargai sejarah asal usul negara, warisan
negara, identiti negara serta menghayati prinsip rukun negara seseorang itu
dapat menyemai perasaan cinta akan tahan air. Sejarah adalah kebijaksanaan
silam yang boleh dimanfaatkan untuk membina masa depan. Akibat tidak memahami
sejarah, ada sesetengah pihak menafikan banyak perkara yang terkandung dalam
Perlembagaan Persekutuan. Kewujudan Perlembagaan Persekutuan itu satu sejarah
besar negara ini. Malah kerana tidak menghayati sejarah juga membuatkan
sesetengah pihak menganggap sesuatu isu yang melibatkan kaum terkeluar daripada
kerangka sejarahnya. Mereka tidak melihat sejarah sebagai asas untuk memberi
dan menerima dalam sesuatu perkara. Maka asas perpaduan di negara berbilang
kaum seperti Malaysia adalah memahami, menghayati dan memanfaatkan sejarah.
Perasaan cinta terhadap negara juga
mampu menyuburkan perpaduan dalam masyarakat pelbagai kaum pada zaman ini. Keterikatan
emosi kepada negara telah membangkitkan semangat kebersamaan di kalangan setiap
warganegara. Sikap toleransi dan hormat menghormati antara satu sama lain dalam
sebuah negara majmuk dapat dipupuk melalui pendedahan pengetahuan tentang
sejarah perkembangan negara. Pendedahan tentang pengetahuan sejarah melalui
mata pelajaran sejarah di sekolah atau melalui media massa dapat menyedarkan
generasi kini dan masa hadapan tentang bagaimana pahit dan getirnya generasi
terdahulu menuntut kemerdekaan. Rakyat Malaysia seharusnya berasa bangga dengan
tanah air yang didiami ini. Keharmonian dan kedamaian yang dinikmati tidak
dapat dibeli dengan wang ringgit. Kesedaran terhadap betapa berharganya
keamanan negara perlu ditanam dalam jiwa setiap rakyat Malaysia bak kata
perpatah “Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. ”
TAJUK TUGASAN
“Kurikulum
Standard Sejarah Sekolah Rendah membolehkan murid memahami tingkah laku
manusia, sebab dan akibat, keunikan sejarah tanah air dan kegemilangan negara
bagi melahirkan warganegara yang patriotik dan menjunjung amalan demokrasi di
Malaysia. Kandungan kurikulum menggunakan pendekatan kronologi. Persembahan
kandungan adalah berfokuskan tentang sejarah negara yang disepadukan dengan
elemen kewarganegaraan dan nilai sivik.”
Sumber: Dokumen
Standard, KSSR, Sejarah Tahun 4, KPM, 2013
Tugasan
1. Esei: 70% (Individu)
Berdasarkan
penyataan di atas, bincangkan sejauh manakah penerapan elemen kewarganegaraan
dan nilai sivik melalui mata pelajaran Sejarah dapat memainkan peranan dalam
melahirkan warganegara Malaysia yang bersatu padu dan bersemangat patriotik.
Tugasan
2. Penulisan Refleksi: 30% (Individu)
Anda
dikehendaki menulis refleksi berhubung dengan penulisan esei. Penulisan ini
hendaklah menunjukkan kebolehan anda dalam menganalisis pengalaman yang dilalui
dari aspek kekuatan, kelemahan, cadangan penambahbaikan dan pengetahuan baharu
yang diperolehi melalui pelaksanaan tugasan di atas.
SENARAI RUJUKAN
Abd.
Rahim Abd. Rashid. (1999). Pendidikan
Sejarah, Falsafah, Teori dan Amalan.
Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd
Abdul
Rahman Haji Ismail. (2005). Malaysia
Sejarah Kenegaraan dan Politik. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka
Kamus
Dewan. (2010). Edisi Keempat. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka
Omarudin
Haji Ashaari dan Yunus Muhamad. (1996). Kaedah
Pengajaran Sejarah. Kuala
Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd
Mohd
Sohaimi Esa, Dayu Sansalu dan Budi Anto Mohd Tamring. (2011). Hubungan Etnik: Kelangsungan Pembinaan Negara
Bangsa. Bandar Puchong: Penerbit
Multimedia Sdn Bhd
Akademi kenegaraan mampu
pupuk semangat patriotisme golongan muda. Dimuat
turun pada 16 Ogos 2013 daripada http://www.btn.gov.my/
No comments:
Post a Comment