Apakah yang dimaksudkan
dengan Model Pengajaran?
Terlebih dahulu, cuba anda jelaskan maksud ‘model’? Merujuk kepada
konteks kurikulum, ‘model’ dikatakan sebagai satu entiti yang mengandungi
beberapa komponen bagi membantu mencapai matlamat pendidikan yang diharapkan.
Dan apakah pula yang dimaksudkan dengan pengajaran? Pengajaran
pula ditakrifkan sebagai penyampaian maklumat dalam pelbagai situasi
pendidikan. Secara amnya, model pengajaran merupakan satu perihalan
persekitaran pengajaran dan pembelajaran. Model-model pengajaran juga
sebenarnya merupakan model pembelajaran. Dengan lebih jelas lagi, model
pembelajaran merupakan satu perihalan yang dijadikan panduan oleh guru untuk merancang
kurikulum khususnya selain merangka kursus dan unit pengajaran serta
menyediakan bahan-bahan pengajaran seperti program multi-media serta pengajaran
berpandukan komputer, lembaran-lembaran kerja dan sebagainya. Namun begitu,
model ini haruslah bersesuaian dengan pelbagai situasi pengajaran dan
pembelajaran termasuk sekolah, kolej dan institusi pengajian tinggi.
Selain itu, model ini juga haruslah bersesuaian atau harus
diubahsuai dengan gaya pembelajaran murid-murid serta kehendak kandungan mata
pelajaran yang berkenaan. Terdapat empat kumpulan model pengajaran yang
seringkali dijadikan panduan guru iaitu Model Pemprosesan Maklumat, Model
Behavioral, Model Sosial dan Model Personal.
Model Pengajaran.
Guru haruslah bijak memilih model pengajaran yang sesuai.
Model personal merupakan salah satu kumpulan
model pengajaran. Sememangnya tidak dapat kita nafikan bahawa terdapat pelbagai
perspektif yang berbeza-beza menjadi inti pandangan seseorang mengenai apa yang
dilihat tentang perihal dunia ini. Setiap individu melihat sesuatu secara
berlainan berasaskan pengalaman, persekitaran dan hubungan interpersonal
masing-masing. Secara jelasnya, kita melihat serta mentafsirkan sesuatu
peristiwa secara berlainan. Hal ini kerana, kita menggunakan kanta yang
berbeza-beza untuk mentafsirkan peristiwa yang kita alami, menterjemah bahasa
yang kita dengar dan mengubah maklumat yang kita terima. Hal inilah yang
menjadi pandangan kumpulan Model Personal.
Berdasarkan sumber buku Murid dan Alam Belajar untuk Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan
oleh Choong Lean Keow telah dijelaskan bahawa model personal adalah
model yang berpegang kepada unsur
keperibadian individu.
Dalam menggunakan model personal ini, kita boleh berpandu teknik-teknik bukan mengarah semasa kita membimbing mereka,
menggunakan kaedah synectics (sinektik) untuk meningkatkan kreativiti
mereka, dan perjumpaan kelas bagi membina pembelajaran komuniti.
Maka model personal
sememangnya banyak berfokuskan kepada konsep-konsep yang diutamakan oleh ahli
humanistik, iaitu konsep kendiri
dan harga diri;
arah
kendiri yang positif dan sifat berdikari; kreativiti dan sifat ingin tahu dan
perkembangan domain afektif dan emosi.
Dalam Model Personal
terdapat tiga modell. Model-model tersebut adalah seperti yang berikut:
i)
Pengajaran fasilitatif.
(Berasaskan kaedah yang dipelopori oleh Carl Rogers
dan berpusatkan murid)
ii)
Peningkatan kesedaran kendiri. (Bertumpu kepada mengembangkan kesedaran dan
penunaian potensi masing-masing.)
iii)
Synectics. (Memberi perhatian kepada perkembangan dan
aplikasi kreativiti.)
Ketiga-tiga model ini telah dicipta bagi membentuk pendidikan agar
membolehkan kita lebih memahami diri kita,
bertanggungjawab atas pendidikan kita dan seterusnya mencapai tahap
perkembangan yang jauh melebihi tahap maksimum kearah kualiti hidup yang tinggi. Usaha inilah yang akan
diterajui oleh setiap model-model yang terkandung dalam kumpulan Model
Personal. Untuk lebih jelas lagi, kesemua model tersebut memberi penekanan kepada perspektif bersifat individu serta turut
menggalakkan sifat berdikari yang produktif. Hal ini kerana nasib masing-masing akan lebih
terjaga selain dapat meningkatkan kesedaran kendiri.
Murid digalakkan untuk berdikari.
Sehubungan dengan ini, kumpulan model ini sesuai
guru gunakan bagi mengubah suai persekitaran pembelajaran murid-murid. Langkah
ini dapat dilaksanakan sekiranya guru cuba meningkatkan kualiti peribadi serta
perasaan murid dan mewujudkan satu suasana pengajaran dan pembelajaran
berasaskan komunikasi yang berkesan sesama guru dengan murid serta murid dengan
murid.
CARL ROGERS (1902-1987)
Latar Belakang
Carl Rogers merupakan
seorang tokoh dan juga pelopor bagi Model Pengajaran Fasilitatif. Beliau telah
dilahirkan pada 8 Januari 1902 di Oak Park, Illinois Chicago dan merupakan anak
keempat daripada enam adik-beradik. Menyentuh tentang latar belakang pendidikan
beliau, pada usia pra sekolah lagi beliau sudah mahir membaca dan disebabkan
ini beliau pun memulakan pendidikan formal di Gred Dua. Asuhan dan didikan di
rumah yang amat menekankan kepada unsur agama telah menjadikan Rogers seorang yang
berdikari dan berdisiplin.
Pada mulanya beliau mula
mengorak langkah menceburkan diri dalam bidang pertanian di Universiti
Wisconsin dan kemudiannya tertarik untuk menekuni bidang sejarah dan agama. Dua
tahun kemudian, beliau melanjutkan pelajaran di Kolej Guru, Universiti Columbia
dan telah memperoleh Ijazah Sarjana Sastera pada tahun 1928 dan Doktor Falsafah
pada tahun 1931. Namun akhirnya, beliau telah berpindah kepada bidang psikologi
kerana merasakan beliau lebih layak mempelajari bidang tersebut.
Beliau juga telah
melibatkan diri dalam Persatuan Mencegah Keganasan Terhadap Kanak-kanak di
Rochester Socity, New York bagi mencegah kekerasan terhadap anak. Komitmen yang
baik yang telah diberikan oleh beliau telah melayakkan dirinya dilantik sebagai
Pengarah Persatuan tersebut pada tahun 1930. Beliau telah meninggal dunia pada
tahun 1987.
Sumbangan
Semasa melibatkan diri
dalam Persatuan Mencegah Keganasan Terhadap Kanak-kanak, Rogers telah berjaya
menghasilkan buku pertama beliau yang berjudul, The Clinical Treatment of
the Problem Child (1939). Hasil penerbitan buku ini, beliau telah diberi
gelaran profesor di Ohio State pada tahun 1940. Buku kedua beliau pula bertajuk
Counseling dan Psychotherapy : Newer Concepts in Practice yang
menekankan kepentingan bagi klien mewujudkan hubungan atau rapo dengan seorang
terapis yang prihatin dan bersifat terbuka. Menurut Rogers, hubungan sedemikian
dapat membantu klien untuk mengatasi masalah yang dihadapi serta memperoleh
celik akal agar berupaya menstruktur semula hidupnya.
Pada tahun 1945, Rogers
telah mendirikan sebuah pusat kaunseling di Universiti Chicago. Berdasarkan
pengalaman beliau di pusat tersebut, beliau berjaya menerbitkan karya beliau
yang bertajuk Client Centered Therapy pada tahun 1951. Sepanjang hayat hidup
beliau, Rogers banyak keluar negara untuk berkongsi dan menyebarkan ilmu
mengenai pendekatan pemusatan individu. Antara tahun 1915 hingga 1980, beliau
telah mengendalikan beberapa bengkel bersiri bersama anak perempuan beliau,
Natalie Rogers. Antaranya termasuklah pertumbuhan kendiri, perubahan sosial,
komunikasi, silang budaya dan sebagainya. Lawatannya yang terakhir adalah ke
Russia semasa umurnya 87 tahun. Ketika di sana, beliau telah memberi ceramah
serta menjai fasilitator bagi bengkel pengalaman eksperiental yang berfokuskan
kepada komunikasi dan kreativiti. Sehingga saat kematian beliau yang
mengejutkan, Rogers masih terus aktif dalam bidang penulisan serta masih giat
mengendalikan sesi-sesi terapi berasaskan pendekatan pemusatan individu.
Anugerah yang Diterima
Atas sumbangan beliau
dalam bidang psikoterapi, kauseling dan psikologi, Rogers telah diberikan
anugerah Award for Distinguished Professional Contributions to Psycology oleh
Persatuan Psikologi Amerika (APA). Di samping itu, beliau telah terpilih untuk
menerima anugerah “ Ahli Humanis Tahun 1964” oleh Persatuan Humanis Amerika.
Menjelang penghujung hayat beliau, Rogers telah dicalonkan untuk anugerah Nobel
Prize atas jasa beliau terhadap konflik antara kumpulan nasional di Afrika
Selatan dan Ireland Utara. Nama Rogers berada pada kedudukan keenam dalam
senarai nama ahli psikologi abad ke-20 yang terkenal.
Model
tidak direktif (non-directive) atau
Model Fasilitatif oleh Carl Rogers menggambarkan falsafah dan teknik pengajaran
model personal. Sebelum itu, ‘non-directive’ yang dimaksudkan ialah tanpa
bantuan guru. Model Pengajaran Fasilitatif ini
merupakan pandangan Carl Rogers dan tokoh kaunseling yang lain.
Secara
konsepnya, model ini ingin membentuk satu komuniti pelajar
yang mempunyai disiplin diri serta mempunyai kesedaran peribadi yang tinggi.
Rogers (1982) dan beberapa orang penyokong model fasilitatif tidak direktif
percaya bahawa manusia akan berkembang dengan
perhubungan manusia yang positif. Dalam pengajaran,
seharusnya didasarkan pada konsep-konsep bidang pelajaran, proses berfikir atau
sumber-sumber intelektual yang lain. Menurut model ini, guru
dianggap sebagai seorang fasilitator dan membantu muridnya menjelajah idea-idea
selain menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan murid.
Oleh
itu, pengajaran yang ditekankan dalam pembelajaran murid adalah dengan berfokuskan
hubungan dengan manusia berbanding pengajaran konsep mata pelajaran. Rogers
menggunakan terapi sebagai cara pengajaran.
Dengan lebih ringkas lagi, konsep model pengajaran fasilitatif
ialah :
1) Manusia akan berkembang dengan perhubungan manusia yang
positif.
2) Fokuskan hubungan manusia berbanding pengajaran konsep mata
pelajaran.
3) Menggunakan terapi sebagai cara pengajaran.
4) Guru dianggap sebagai kaunselor.
5) Menekankan pakatan antara murid dengan guru.
5)Guru membimbing murid memainkan peranan dalam pembelajaran.
6) Guru bantu murid mengarah diri sendiri demi mencapai matlamat.
7) Guru memberi maklum balas tentang kemajuan murid.
8) Guru membantu dalam menyelesaikan masalah.
Model ini menekankan
bahawa guru dianggap sebagai fasilitator atau kaunselor, iaitu guru memainkan
peranan penting dalam membimbing pelajar ke arah memahami bagaimana pelajar
boleh memainkan peranan utama dalam pembelajaran mereka. Antaranya, guru
membantu pelajar mengarah diri masing-masing demi pencapaian matlamat kendiri.
Dalam proses perkembangan diri, guru memberikan maklum balas tentang kemajuan
diri dan membantu pelajar menyelesaikan masalah jika ada. Yang penting ialah
guru mewujudkan pakatan dengan pelajar bertujuan membimbing dan membantu mereka
sepanjang penyelesaian tugas dan masalah.
Hubungan yang baik antara guru dan murid hendaklah diwujudkan.
TUJUAN MODEL PENGAJARAN FASILITATIF
Mengikut Joyce et al., (2002),
antara tujuan Model Pengajaran Fasilitatif ialah :
1) Menghala tuju murid ke arah kesihatan
mental dan emosi yang lebih tinggi dengan membentuk keyakinan kendiri,
penghargaan diri yang realistik dan perasaan empati terhadap orang lain.
2) Meningkatkan bahagian pendidikan yang
menekankan keperluan dan aspirasi murid, di mana setiap murid diambil sebagai
pakatan untuk menentukan apa dan bagaimana murid akan belajar.
3) Membentuk jenis pemikiran kualitatif
yang khusus seperti kreativiti dan ekspresi peribadi.
Sebagaimana
yang termaktub dalam pengajaran mengikut Rogers, pertemuan dengan pelajar harus
wujud suatu persekitaran yang penuh dengan kasih sayang, keyakinan, empati dan
saling memahami. Guru akan membantu murid memahami bagaimana menghadapi tugasan
serta bagaimana menuju ke arah penyempurnaan kendiri.
Proses
pembelajaran sebegini bermula dengan guru membantu murid menjelaskan masalah.
Kemudian, murid dibantu ke arah bertanggungjawab terhadap tingkah laku untuk
menyelesaikan masalah. Guru juga akan membantu murid mencuba dan membuat
refleksi terhadap keputusan yang dibuat dalam percubaan tersebut. Di samping
itu, murid dibimbing ke arah pembentukan perasaan empati terhadap orang lain
dalam persekitaran pembelajaran.Pengajaran fasilitatif cenderung bersifat berfokus
kepada murid iaitu
guru berusaha untuk melihat sesuatu perkara seperti murid melihatnya. Hal ni
akan menciptakan suasana komunikasi yang empati dan pengendalian diri murid
dapat dipupuk dan dikembangkan. Selain itu, guru juga berperanan sebagai benevolent
after ego (sifat baik / murah
hati) iaitu guru sedia menerima apa jua perasaan dan pemikiran
murid. Maka dapat dilihat bahawa guru lebih banyak berkomunikasi dengan murid
dan hubungan yang positif dapat dibentuk.
TEKNIK YANG DIGUNAKAN
Teknik utama yang digunakan bagi mengembangkan
hubungan yang fasilitatif adalah dengan wawancara bukan-direktif
(non-directive) iaitu sekurang-kurangnya rangkaian pertemuan antara guru dengan
murid. Semasa mengadakan sesi wawancara, guru meletakkan dirinya sebagai
kolaborator di dalam proses eksplorasi diri murid dan penyelesaian masalah.
Wawancara sendiri direka bagi menumpukan kepada keunikan individu dan
kepentingankehidupan emosional pada semua aktiviti manusia. Walaupun teknik
wawancara dipinjam daripada kaunseling, namun teknik ini tidak sama dalam
ruangan kelas kerana wawancara kaunseling berada pada situasi klinik
(penyembuhan).
FASA-FASA MODEL PENGAJARAN FASILITATIF
Terdapat
lima fasa dalam menggunakan Model Pengajaran Fasilitatif. Dengan mengikut
fasa-fasa tersebut, guru dapat menghasilkan pengajaran yang baik. Jadual di
bawah menunjukkan fasa-fasa tersebut.
Pendekatan non-directive
sangat membantu kerana melaluinya terdapat cara-cara yang paling efektif dalam
mengungkap emosi yang mendasari suatu masalah dengan mengikut pola perasaan
murid ketika mereka dibebaskan untuk berekspresi.
Tidak perlu untuk memberikan soalan langsung kepada
murid, guru akan cenderung memilih untuk membiarkan murid untuk mengikuti
aliran pemikiran dan perasaan. Jika murid mengekspresikan dirinya secara bebas,
maka masalah dan emosi yang mendasarinya akan muncul. Proses ini disokong
dengan refleksi perasaan murid yang akan membawa mereka ke dalam kesedaran dan
tumpuan yang lebih tajam.
APLIKASI PENGAJARAN FASILITATIF
Pengajaran
non-directive mungkin digunakan untuk
beberapa jenis situasi masalah. Misalnya bagi situasi permasalahan personal,
sosial, dan akademik. Terdapat sebuah kes berkaitan dengan masalah personal,di
mana individu meneroka perasaannya tentang dirinya sendiri. Bagi masalah sosial,
individu akan meneroka perasaannya tentang hubungannya dengan yang lain, dan
menyiasat bagaimana perasaannya tentang dirinya sendiri mungkin mempengaruhi
hubungan-hubungan ini. Sebaliknya pula bagi masalah akademik, individu akan
meneroka perasaannya tentang kompetensi dan ketertarikannya. Bagaimanapun, pada
masing-masing kes, dapatan kes bagi masalah personal lebih baik berbanding
dengan luaran. Ini dibuktikan kerana permasalahan berkaitan situasi personal
ini lebih berpusat pada perasaan yang dimiliki individu itu sendiri, serta
pengalaman, wawasan, dan penyelesaiannya.
Untuk
menggunakan Model Pengajaran non-directive
secara berkesan, seorang guru harus mempunyai keinginan untuk menerima bahawa
seorang murid dapat memahami akan dirinya dan kehidupannya sendiri maka guru
tidak perlu berusaha untuk menghakimi, menasihati, menenangkan, atau
membesarkan hati pelajar malah guru tidak juga tidak perlu berusaha untuk
mendiagnosis permasalahan. Tuntasnya, dalam model ini, guru hanya menentukan
fikiran dan perasaan personal sementara dan merefleksikan fikiran dan perasaan
yang dimiliki pelajar. Sebenarnya, dengan mengaplikasikan kaedah ini, guru
telah menyampaikan pemahaman yang mendalam dan menerima perasaan yang dimiliki
pelajar.
Roger
turut menyimpulkan bahawa terdapat sesetengah keadaan yang sangat sukar untuk
merasakan perspektif yang dimiliki pelajar, khususnya jika pelajar bingung.
Strategi yang sering digunakan untuk mengatasi masalah ini ialah guru hanya
akan bekerja jika guru memasukkan dunia pemahaman pelajar dan meninggalkan di
belakang rujukan tradisional telah ketinggalan zaman. Tidak dapat dinafikan
bahawa untuk mengembangkan sebuah kerangka rujukan dalaman tidaklah mudah pada
awalnya, akan tetapi hal ini perlu jika guru memahami pelajar, tidak pelajarnya
saja. Salah satu pentingnya kegunaan pengajaran non-direktif terjadi ketika
sebuah kelas menjadi membosankan dan guru termasuk dirinya sendiri yang
mendorong pelajar melalui latihan - latihan dan pokok permasalahan.
Implikasi Model Pengajaran Fasilitatif dalam P&P
Menurut ringkasan
penulis buku Murid dan Alam Belajar (2009), Choong Lean Keow (PhD.), kumpulan
model personal ini berpegang kepada unsur keperibadian individu. Oleh yang
demikian, model ini cuba membentuk pendidikan agar membolehkan kita lebih
memahami diri kita, bertanggungjawab atas pendidikan kita dan seterusnya
mencapai tahap perkembangan yang lebih jauh melebihi tahap maksimum kearah
kualiti hidup yang tinggi. Dengan kata lain, model ini menekankan perspektif
bersifat individu serta menggalakkan sifat berdikari yang produktif demi
peningkatan kesedaran kendiri dan tanggungjawab terhadap nasib masing-masing.
Berasaskan kaedah yang
dipelopori oleh Carl Rogers yang berpusatkan murid, maka guru boleh
mengaplikasikan kaedah ini dalam model personal untuk mengubahsuai persekitaran
pembelajaran murid. Model ini berfokuskan kepada konsep kendiri dan harga diri;
arah kendiri yang positif dan sifat berdikari; kreativiti dan sifat ingin tahu;
dan perkembangan domain afektif dan emosi. Menurut Choong Lean Keow (PhD.)
dalam buku Murid dan Alam Belajar (2009), pengubahsuaian persekitaran
pembelajaran murid dapat dilakukan dengan meningkatkan kualiti peribadi serta
perasaan murid dan mewujudkan satu suasana pembelajarn berasaskan komunikasi
yang berkesan antara guru dengan murid dan sesama murid. Lantaran itu, guru
boleh berpandukankepada teknik-teknik bukan mengarah semasa membimbing murid,
menggunakan synectics untuk meningkatkan kreativiti mereka, dan perjumpaan
kelas bagi membina pembelajaran komuniti.
Mengikut rujukan dari
buku Murid dan Alam Belajar (2009) yang dikarang oleh Boon Poon Ying, Noriati
dan Syarifah Fakhiriah Syed Ahmad ;dalam mengaplikasi model personal, guru
perlu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang boleh membangkitkan semangat
murid untuk belajar. Ini bertujuan supaya individu dapat membentuk kesedaran
diri dan identiti sejak dari awal lagi. Model ini cuba menerapkan pendidikan
dalam jiwa murid supaya murid dapat memahami diri sendiri dengan lebih baik,
bertanggungjawab terhadap pendidikan dan belajar ke arah pencapaian yang lebih
optimum daripada kini. Langkah ini boleh tercapai dengan meningkatkan kualiti
peribadi serta perasaan mereka dan mewujudkan satu suasana pengajaran dan
pembelajaran berasaskan komunikasi yang berkesan sesama kita. Lantara itu, guru
boleh berpandukan kepada teknik-teknik bukan mengarah semasa membimbing mereka
sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung untuk membolehkan
mereka berdikari dan mencungkil kreativiti.
Guru juga mempunyai
tugas untuk membentuk serta menggabungkan aspek intelek dengan emosi demi
melahirkan suatu personaliti seimbang. Penekanan bukan sahaja diberikan kepada
kecerdasan intelek, tetapi murid juga dididik untuk mempunyai kecerdasan emosi
yang stabil. Sebagaimana yang dijelaskan oleh Roger, pertemuan dengan murid
harus wujud suatu persekitaran yang penuh denga kasih sayang, keyakinan, empati
dan saling memahami. Guru akan membantu pelajar memahami bagaimana menghadapi
tugasan serta bagaimana menuju ke arah peyempurnaan kendiri. Model personal
menekankan individu sebagai insan yang unik dan cabaran untuk membentuk
personaliti yang berintegrasi, penuh keyakinan dan kompeten. Matlamat ini
adalah untuk membantu setiap murid untuk bertanggungjawab terhadap perkembangan
diri dan berjaya mencapai penghargaan diri serta keharmonian kendiri.
Selain itu, guru juga
perlu menyediakan suatu iklim sosial yang mengizinkan pelajar meluahkan
perasaan dan bebas untuk mengekspresi perasan. Contohnya, guru memperuntukan
masa selama lima minit untuk mengetahui kesediaan murid sebelum memasuki sesi
pengajaran dan pembelajaran pada hari itu. Di sinilah murid perlu diberi
peluang untuk meluahkan perasaan sama ada secara induvidu atau secara kumpulan.
Proses ini bermula dengan guru membantu murid memperjelaskan masalah mereka.
Kemudian, murid dibantu ke arah bertanggungjawab terhadap perubahan tingkah
laku untuk menyelesaikan masalah oleh guru. Guru juga akan membantu pelajar
mencuba dan membuat refleksi terhadap keputusan yang dibuat. Selepas meluahkan
masalah yang dialami, murid akan merasa lega dan dapat memberikan perhatian
sepenuhnya kepada pelajaran hari itu. Kesan pengajaran amat bergantung kepada
kejayaan pemupukan perkembangan diri pelajar. Dalam penggunaan model personal,
kandungan dan aktiviti tidak dipreskripsi, tetapi ditentukan oleh pelajar
apabila bertemu dan berinteraksi dengan guru.
Mengikut teori Carl
Rogers, suasana kelas yang kondusif dan selesa juga perlu disediakan untuk
mengaplikasikan model personal ini. Suasana kelas memainkan peranan besar untuk
membolehkan murid berada dalam keadaan selesa semasa mengikuti aktiviti
pengajaran dan pembelajaran. Ketidakselesaan murid di dalam kelas menyebabkan
mereka emosi mereka terganggu dan hilang tumpuan ketika guru mengajar ataupun
juga sewaktu menjalankan sesi amali. Seterusnya, ia akan menyebabkan peratus
semangat murid terhadap sesi pembelajaran akan berkurangan. Peralatan yang
digunakan oleh guru sebagai bahan bantu mengajar mestilah lengkap supaya sesi
pengajaran pada hari itu berjalan dengan lancar. Dalam model personal yang
dipelopori oleh Carl Rogers ini lebih mementingkan guru sebagai fasilitator.
Oleh itu, murid sendiri yang perlu mencari bahan-bahan rujukan dan guru akan
menyediakan bahan sokongan untuk membantu murid.
Setiap
model pengajaran mempunyai kekuatan dan kelemahan serta ancaman dan peluangnya
yang tersendiri. Model Pengajaran Fasilitatif juga tidak lari daripada
ciri-ciri ini. Penulis sendiri telah mengkaji model ini sebagai satu langkah
untuk memahami perihal model ini dengan lebih mendalam lagi. Penulis akan
menerangkan kekuatan, kelemahan, ancaman dan juga peluang bagi model ini.
KEKUATAN
Berkata
tentang kekuatan model ini, antaranya model ini memperlihatkan pakatan antara
guru dan murid. Hal ini dapat dilihat apabila guru memainkan peranannya sebagai
kaunselor. Secara tidak langsung masa interaksi antara guru dan murid akan
lebih banyak berlaku. Situasi ini akan menggalakkan hubungan yang lebih erat
dan rapat antara guru dan murid selain guru itu akan lebih cakna terhadap
potensi muridnya sendiri.
Selain
itu, model ini juga mempunyai kekuatan apabila guru memainkan peranan untuk
membimbing murid ke arah memahami bagaimana murid boleh memainkan peranan utama
dalam pembelajaran mereka. Melalui kekuatan ini, murid akan lebih bersemangat
untuk memajukan diri dalam pembelajaran mereka selain berusaha untuk memperoleh
pencapaian yang cemerlang.
Model
ini juga menekankan perlunya bimbingan guru terhadap murid ke arah pembentukan
perasaan empati terhadap orang lain dalam persekitaran pembelajaran. Melalui
penekanan ini, murid akan dapat melihat dan memahami perasaan orang lain dan
lebih peka terhadap emosi individu di sekeliling khususnya rakan-rakannya.
Sebagai contoh, ketika murid melibatkan diri dalam aktiviti berkumpulan yang
memerlukan perbincangan, murid akan lebih bersedia untuk menerima pendapat
orang lain dan risiko untuk wujudnya sikap egosentrik dalam diri murid dapat
dibendung.
Murid
juga akan lebih memahami bagaimana untuk menerima teguran serta mengakui
kelemahan dan kesilapan yang dilakukan tanpa menyalahkan individu lain. Selain
itu, murid juga akan lebih memahami perluanya kerjasama dalam sesuatu aktiviti
berkumpulan kerana aktiviti sebegini melibatkan interaksi dan emosi orang
rakan-rakannya. Murid juga akan lebih memahami perasaan rakan-rakannya
sekiranya gagal untuk menjawab soalan tanpa memperlekehkan atau mengejek
rakannya itu.
KELEMAHAN
Model
Pengajaran Fasilitatif terdiri daripada pendekatan yang hanya untuk membentuk
dan menyepadukan aspek emosi serta intelek dalam melahirkan personaliti yang
seimbang. Melalui pendekatan yang digunakan ini, didapati model ini tidak
menitik beratkan aspek jasmani, dan rohani. Jika ada sekalipun, mungkin hanya
secara tidak langsung walhal aspek-aspek ini merupakan elemen yang juga penting
bagi melahirkan individu yang seimbang selain emosi dan intelek. Tambahan pula,
murid pada zaman sekarang sememangnya digalakkan menguasai JERI kerana ia
merupakan tuntutan pada zaman modenasi kini. Dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan sendiri telah menggariskan matlamatnya untuk melahirkan insan yang
seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Dari
segi P&P yang berlaku juga akan terdapat sedikit kelemahan. Hal ini kerana,
guru akan terbatas untuk melaksanakan aktiviti P&P kerana menurut model
ini, guru hanya perlu menekankan aspek intelek dan emosi sahaja. Oleh itu,
P&P akan menjadi kurang menarik dan membosankan. Hal ini kerana apabila
guru seringkali menerapkan kecerdasan pelbagai seperti visual spatial.
kinestatik yang lebih kepada aspek jasmani, kerohanian yang memperlihatkan
aspek rohani, yang merupakan elemen kemahiran bernilai tambah yang mampu
menjadikan sesuatu P&P itu lebih menarik dan berkesan.
ANCAMAN
Dalam
model ini, guru diperlihatkan sebagai individu yang sangat memainkan peranan
besar sebagai kaunselor dalam aktiviti P&P. Merujuk kepada buku Siri
Pendidikan Guru, guru mewujudkan pakatan dengan pelajar bertujuan untuk
membimbing dan membantu mereka sepanjang penyelesaian tugasan dan masalah.
Risiko yang dapat dikesan ialah, sekiranya murid sudah terbiasa dengan bimbingan
yang berlebihan sepanjang melaksanakan tugasan, murid akan berasa hilang arah
dan panduan sekiranya guru membiarkan mereka untuk melakukan tugasan pada
sesuatu masa. Tidak dapat dinafikan bahawa,pendekatan belajar bersama guru
sangat bagus bagi membimbing murid. Akan tetapi, jika terlalu dibimbing sifat
kebergantungan murid kepada guru akan berlebihan. Ini akan membawa kepada
beberapa impak negatif seperti akan membantutkan proses pengajaran dan
pembelajaran murid.
Dalam
penggunaan model personal, kandungan dan aktiviti tidak dipreskripsi, tetapi
ditentukan oleh pelajar apabila bertemu dan berinteraksi dengan guru. Maka
model non-directive ini bergantung
pada faktor semulajadi dan bukan ditentukan oleh kesan pengajaran. Kesan
pengajaran amat bergantung pada kejayaan pemupukan perkembangan diri pelajar.
Oleh itu, guru perlu menyediakan suatu iklim sosial yang mengizinkan pelajar
meluahkan perasaan dan bebas untuk mengekspresi perasaan. Di sinilah pelajar
perlu diberikan peluang untuk meluahkan perasaan dalam perbincangan individu
atau kumpulan. Selain itu, implikasi apabila menggunakan teknik atau model Synectics dalam pengajaran ialah
murid-murid akan perlu mengikuti satu siri bengkel sehingga mereka berupaya
untuk mengaplikasi prosedur-prosedur tertentu secara individu dan kumpulan
koperatif.
PELUANG
Tidak
dapat dinafikan lagi bahawa, model pengajaran personal ini sangat membantu
murid untuk memantapkan kemahiran interaksi sesama mereka. Hal ini kerana,
banyak model yang lebih bertumpu pada kemahiran kognitif atau fizikal sahaja,
maka sedikit sebanyak kemahiran interaksi ini telah diabaikan. Melalui model
pengajaran ini, murid dapat berinteraksi dengan lebih terbuka. Ini akan
membantu murid mencambahkan pengetahuan mereka secara tersusun iaitu melalui
perkataan. Ramai murid sekarang yang hanya bijak di atas kertas sahaja. Mereka
sangat bertumpu pada teori sesuatu subjek itu sahaja. Hatta, ada juga murid
yang aktif di padang tetapi tidak dapat berkomunikasi dengan sempurna. Maka,
model pengajaran personal ini sebenarnya telah membuka peluang kepada setiap
individu murid untuk mengubah cara mereka.
Disamping
itu, melalui model pengajaran personal ini murid sebenarnya berpeluang untuk
meneroka bagi meningkatkan kemampuan diri sendiri. Murid dapat menentukan cara
pembelajaran mereka sendiri. Model personal dalam pengajaran dan pembelajaran
sangat menekankan individu sebagai insan yang unik maka seorang guru akan
dicabar untuk membentuk personaliti murid yang berintegrasi, penuh keyakinan,
dan kompeten. Matlamat ini adalah untuk membantu setiap pelajar
bertanggungjawab terhadap perkembangan diri dan berjaya mencapai penghargaan
diri serta keharmonian kendiri. Maka, adalah penting untuk guru membentuk serta
menggabungkan aspek intelek dengan emosi demi melahirkan suatu personaliti yang
seimbang.
No comments:
Post a Comment