1.0 PENGENALAN
1.1 Sejarah lisan sebagai sumber dan
pengkaedahan sejarah di Malaysia.
Menurut
Kamus Dewan edisi keempat (2010), lisan bermaksud sesuatu yang diucapkan dan
bukan ditulis. Ataupun diberitahu dengan mulut dan bukan dengan surat. Manakala
menurut Rozeman (2004: 149), sejarah lisan merupakan satu kaedah atau teknik
penyelidikan moden yang bertujuan untuk memelihara pengetahuan-pengetahuan
sejarah melalui pengkisahan. Sumber lisan merupakan sumber yang wujud melalui
percakapan atau pertuturan dari mulut ke mulut oleh seseorang yang terlibat
atau menyaksikan sesuatu peristiwa yang telah berlaku. Ia hanya tersimpan di
dalam ingatan penyaksi dan ianya tidaklah ditulis atau dirakamkan. Namun
begitu, sumber lisan boleh menjadi sumber bertulis apabila ia dirakam setelah
mengalarni proses temu bual, perbincangan, dan temuduga dengan orang sumber.
Pada kebiasaannya, sumber ini turut menjadi rujukan bagi ahli sejarawan dalam
bidang sejarah lisan.
Sumber
lisan boleh juga dikategorikan sebagai sumber utama dan sumber kedua. Lazimnya,
sumber utamanya didapati daripada penyaksi-penyaksi atau orang-orang yang
terlibat dalam sesuatu peristiwa sejarah itu. Mereka ini boleh memberikan
maklumat asal tentang peristiwa yang mereka saksikan atau yang mereka turut terlibat.
Jika mereka ini memuatkan maklumat-maklumat ke dalam pita rakaman ataupun
apa-apa perakam suara, maka itu juga boleh dianggap sebagai sumber utama.
Tetapi, jika mereka menulisnya, maka ia akan menjadi sumber utama yang bertulis
dan bukan lisan lagi. Bagi sumber lisan dalam kategori kedua pula, ia adalah
maklumat daripada mereka yang tidak menyaksikan atau terlibat dalam sesuatu
peristiwa yang diterangkan.
Menurut
Kamus Dewan edisi keempat (2010), kaedah pula bermaksud cara atau peraturan
membuat sesuatu terutamanya yang bersistem atau yang biasa. Mengajar cara
belajar berdasarkan prinsip-prinsip tertentu. Manakala Louis Gottschalk telah
memberikan sedikit gambaran tentang sejarah pengkaedahan sejarah itu. Menurut
beliau sejarah telah bermula sejak awal lagi, iaitu sejak para sejarawan Yunani
purba menghasilkan karya pensejarahan masing-masing. Tokoh utama dalam hal ini
ialah Thucydides, sejarawan yang bersungguh-sungguh memberitahu pembacanya
bagaimana beliau menghimpunkan bahan-bahan dan apakah ujian-ujian yang
dilakukan bagi mengasingkan yang benar dari yang palsu.
Sebagai
suatu proses, kaedah sejarah itu mempunyai peraturan dan tatacaranya yang
tertentu pula. Kadangkala peraturan dan tatacara itu dianggap sebagai
teknik-teknik bagi penyelidikan sejarah. Malah Garraghan menyamakan istilah
teknik itu dengan kaedah sejarah itu sendiri. Bagaimanapun, yang penting
difahami ialah peraturan dan tatacara itu adalah langkah-langkah yang
diwujudkan serta dilaksanakan oleh sejarawan dalam melaksanakan penyelidikan
sejarah. (Muhd Yusuf Ibrahim. 2009: 146)
Kesimpulannya,
dengan adanyanya pengertian sejarah lisan dan pengkaedahan tersebut, maka jelaslah
yang kita fahami bahawa sejarah lisan ialah wujud melalui percakapan atau
pertuturan dari mulut ke mulut oleh seseorang yang terlibat atau menyaksikan
sesuatu peristiwa yang telah berlaku yakni pengalaman masa lampau atau ingatan
manusia. Manakala kaedah pula ialah satu proses kajian iaitu proses kajian
sejarah yang mempunyai peraturan dan tatacaranya yang tertentu. Dengan
demikian, tanpa adanya ingatan manusia tidak mungkin ada sejarah lisan.
Sebaliknya, tidak mungkin ada sejarah lisan tanpa ada ingatan manusia. Sehingga
jelas bahawa sejarah lisan pada dasarnya merupakan pembinaan semula visual atas
berbagai peristiwa sejarah yang benar-benar terjadi yang terdapat di dalam
memori setiap individu manusia.
2.0 KEPENTINGAN
SEJARAH LISAN
Kepentingan
sumber lisan sememangnya tidak boleh dipertikaikan lagi. Tambahan pula dalam
situasi di mana kurangnya sumber utama dan kedua dalam satusatu peristiwa
sejarah. Di dalam usaha untuk memajukan penulisan sejarah Malaysia tidak
semestinya penulisan ditumpukan kepada tokoh-tokoh ternama dan
peristiwa-peristiwa utama yang berlaku di sesuatu zaman. Sesungguhnya perkara
ini penting, tetapi kita tidak boleh melupakan bahawa sejarah itu merangkumi
juga cerita dan peristiwa rakyat biasa. Maka tajuk-tajuk yang bercorak sejarah
tempatan dan juga sejarah negeri perlu diberi tempat yang sewajar. Di sinilah sejarah
lisan sangat berguna sebagai bahan sejarah tempatan kerana rakyat biasa tidak
meninggalkan sumber-sumber bertulis.
Menurut
Abdul Rahman (1996: 60) sumber sejarah tempatan juga banyak, iaitu buku, peta,
tinggalan arkeologi, arkib, gambar malah orang-orangnya juga. Sumber lisan juga
adalah salah satu daripada bahan sejarah tempatan itu sendiri. Di negara kita,
sungguhpun tradisi bertulis berkurangan tetapi ia kaya dengan tradisi lisan. Contoh
yang jelas ialah semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu selama 3 setengah
tahun iaitu dari 15 Februari 1942 hinggalah 12 September 1945. Kebanyakan
daripada generasi muda pada masa kini mendapat tahu tentang peristiwa yang
menggambarkan keganasan dan kekejaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu melalui
cerita-cerita orang tua yang masih hidup dan telah menempuh zaman tersebut.
Satu
daripada kelemahan yang besar di dalam usaha untuk menulis dan mengkaji semula
sejarah Malaysia ialah kekurangan sumber-sumber sejarah yang asal mahupun
bertulis. Misalnya bagi sejarah negeri-negeri Melayu. Cuma beberapa negeri
sahaja yang mempunyai sumber-sumber asli yang berkaitan dengan perkembangan
sejarah negeri tersebut, tetapi itupun hanya terhadap kepada kurun yang ke-19
sahaja. Masalah ini lebih serius kerana di Malaysia tidak terdapat satu tradisi
menyimpan catatan harian, menulis dokumen-dokumen yang lain atau menulis
riwayat hidup. Cuma terdapat beberapa bahan bertulis sahaja dan itupun penggunaan
bahannya terhad. Di dalam hal ini Sejarah Lisan boleh memainkan peranan yang
besar dalam memelihara dan menambahkan sumber-sumber yang ada untuk Sejarah
Malaysia di abad ini. Oleh itu, usaha merakamkan sumber-sumber lisan ini adalah
penting kerana dokumen sejarah akan terus kekal selama-lamanya tetapi mereka
yang mewarisi peristiwa sejarah tidak akan kekal untuk selama-lamanya. (Rozeman,
2004: 153)
Allan
Nevns dan Louis Starr berpendapat sejarah lisan dianggap sebagai salah satu
cara mengumpul data-data yang tidak bertulis tentang sesuatu peristiwa sejarah
untuk kegunaan ahli sejarah dan sebagai asas biografi. Sejarah lisan ini adalah
cerita yang benar-benar dilalui oleh individu atau kumpulan. Oleh itu, dalam
hal ini bukan semua maklumat lisan yang dikumpul dan dirakam boleh dijadikan
sebagai bahan bukti dalam sesuatu penyelidikan sejarah. Proses memilih dan
menentukan maklumat lisan yang dianggap benar-benar mempunyai kesahan yang
tinggi adalah perlu dijalankan oleh ahli sejarah. Ahli sejarah perlu peka
dengan maklumat lisan yang diperolehi supaya ,mereka tidak melakukan kesilapan
dan kesalahan semasa menghasilkan penulisan sejarah berdasarkan sumber lisan.
(Rozeman, 2004: 162-163).
Sebagai
contoh keterangan daripada para saksi sejarah tentang suatu peristiwa belum
dapat dianggap sebagai suatu keterangan yang lengkap dan sahih. Ini kerana
saksi hanya berfokus pada peristiwa itu terjadi tanpa mengetahui atau melihat
latar belakang terjadinya suatu peristiwa tersebut. oleh itu, untuk mendapatkan
maklumat yang seimbang mengenai suatu peristiwa sejarah maka penelitian sejarah
lisan harus dilakukan dengan melakukan temu bual tertentu. Iaitu dengan menemu bual
responden
berlainan yang mengalami peristiwa yang sama. Dengan cara ini dapat diperoleh
dua hasil yang tidak tercapai dengan temu bual perseorangan. Sekaligus kita
dapat memperolehi berbagai data yang diajukan oleh responden kerana setiap responden
mempunyai persepsi yang berbeza-beza.
Manakala
kekuatan sejarah lisan adalah dapat dilihat sebagai pengukuh kepada pelbagai
bahan bertulis. Sejarah Lisan berdasarkan kepada kenang-kenangan seseorang yang
terlibat dalam peristiwa-peristiwa yang penting dan maklumat-maklumat ini
sungguh bernlai di dalam memahami perisitwa-peristiwa yang saling berkait dari
sudut yang luas. Sejarah Lisan adalah unik kerana ia dapat menghubungkan zaman
yang lalu dan zaman sekarang melalui rakaman pengalaman-pengalaman yang
bersejarah. Pita rakaman dan transkrip sejarah lisan boleh menambahkan lagi
kebolehpercayaan dan keyakinan pembaca terhadap sesuatu hasil penulisan. Cara
ini tidak dinafikan sebagai salah satu pengukuh kepada fakta sejarah.
Menurut Nazaruddin et.al (2001), semasa pendudukan Jepun
kesannya dapat dilihat dari segi sosial, ekonomi dan politik, di mana
keadaannya amat merudum dan teruk. Fakta ini dikuatkan lagi dengan sumber lisan
yang kita dengar daripada orang yang melalui zaman tersebut. Melalui sumber lisan yang
sedia ada ini, kenyataan yang dikemukakan oleh sejarawan itu tidak akan dapat
dipertikaikan oleh mana-mana pihak. Pada pandangan saya, sumber lisan juga
penting dalam memberikan keyakinan kepada sejarawan dan masyarakat umum pada
hari ini tentang sejarah sebagai pengetahuan masa lampau yang pasti takkan
kembali lagi. Melalui peninggalan sumber yang ada penulisan mahupun lisan,
sejarawan dan masyarakat pasti akan berasa yakin bahawa suatu peristiwa itu telah
pun berlaku pada masa lalu.
Walau
bagaimanapun, nilainya terhad kepada keadaan pameran yang statik. Di sebaliknya
pita-pita rakaman wawancara dengan tokoh-tokoh tertentu yang pernah memainkan
peranan yang penting di dalam masyarakat boleh memberi suatu gambaran yang
berkesan untuk memahami masa yang lalu itu. Rakaman-rakaman ini boleh
menggambarkan perkara-perkara bersejarah yang telah berlaku di samping ianya
dapat menggambarkan aspek-aspek masyarakat yang sukar untuk dipamerkan.
Peranan
dan keperluan sejarah lisan ini juga adalah untuk memperbanyakkan penulisan
sejarah tempatan dalam pelbagai tema. Penulisan sejarah negeri di Malaysia akan
dapat diperkembangkan dan diperbanyakkan lagi sekiranya sumber-sumber lisan
tersebut dikaji dan digunakan untuk menjalankan projek-projek sejarah lisan. Dalam
usaha ini persatuan-persatuan sejarah yang ditubuhkan bukan sahaja untuk
menggalakkan pengajian dan menambahkan minat orang ramai terhadap sejarah tempatan
tetapi juga mempunyai tanggungjawab untuk memelihara kesan-kesan sejarah
negeri-negeri masing. Sebagai contohnya peristiwa yang terjadi di sesuatu
tempat dikaji denagn menggunakan sumber lisan. Ini memperbanyakkan lagi
penulisan sejarah berdasarkan tema yang didapati. Misalnya banyak lagi sejarah
yang terdapat di Sabah dan Sarawak yang belum terungkai oleh kerana faktor
kekurangan pengetahuan dalam bidang penulisan. Di sinilah sumber lisan
memainkan peranan penting dalam menambah penulisan sejarah di Malaysia.
Di
dalam hal ini mereka terlibat dalam pengumpulan, pemeliharaan dan penyediaan
bahan-bahan tersebut untuk penyelidik. Persatuan-persatuan sejarah patut
memelihara sejarah tempatan mengenai kehidupan masyarakat di masa yang lalu. Persatuan
Sejarah akan dapat menggiatkan lagi penyelidikan yang telah dijalankan. Sejarah
lisan pula boleh menambahkan penulisaan-penulisan persatuan sejarah khasnya di
dalam memenuhi jurang-jurang yang terdapat dalam sejarah tempatan. Jadi melalui
cara ini maklumat yang tidak selalunya dimasukkan ke dalam rekod-rekod tertulis
akan dapat diperolehi dalam pelbagai tema.
Keperluan
sejarah lisan ini juga ialah memperkayakan tradisi sejarah. Dengan adanya
sumber lisan ini, hal ini dapat dijadikan panduan para sejarawan dan seterusnya
membahaskan sumber lisan tersebut sahih ataupun tidak. Di samping itu juga,
sumber lisan ini juga dapat mengukuhkan lagi fakta yang terdapat dalam
penulisan sejarah dan menjadikan kebolehpercayaan sesuatu fakta tersebut. Para
sejarawan boleh menemu ramah orang-orang tempatan yang sempat mengalami
peristiwa yang hendak dikaji kemudiannya diproses menjadikan sejarah tersebut
mantap dari segi ketepatan faktanya serta kesahihan isinya. Ini memperkayakan
lagi tradisi lisan dan tidak hanya bergantung kepada satu bahan sahaja. Menurut
Rozeman (2004), sumber lisan ini dapat memperkayakan lagi tradisi lisan kerana
sumber-sumber lisan dikatakan mempunyai keunikan dan keistimewaan yang
tersendiri berbanding dengan sumber-sumber sejarah yang lain.
RUMUSAN
Di
Malaysia, serupa juga di negara-negara lain, jika sejarah lisan tidak dijadikan
sebagai sumber atau pengkaedahan sejarah, cerita-cerita dan pengalaman zaman
lampau akan lenyap dengan cepatnya. Lebih-lebih lagi pada masa sekarang di mana
manusia boleh berhubung dengan cepat melalui telefon, faks, email atau bertemu
muka, tradisi menulis surat-surat yang panjang, penyimpanan catatan-catatan
harian dan persediaan memo yang lengkap sudah menjadi kurang mustahak. Dalam
keadaan seperti ini, Sejarah Lisan boleh menentukan supaya tidak semua
perkembangan-perkembangan dilupai atau hilang sebagai bukti sejarah.
Setelah
meneliti dan mengkaji pendapat-pendapat tokoh di atas, jelaslah bahawa sumber
lisan membawa impak yang besar sebagai sumber dan pengkaedahan sejarah. Namun,
tidak dapat dinafikan jika seseorang ahli sejarah itu menggunakan sumber lisan
sepenuhnya sebagai sumber utama maka hasil penulisannya akan mudah diragui dan
kebolehpercayaan terhadap fakta tersebut dapat dipersoalkan. Ini mungkin di
sebabkan terbatasnya daya ingat seorang pelaku atau saksi sejarah terhadap
suatu peristiwa. Oleh kerana terlalu tua ataupun ingatan yang terbatas daripada
responden kemungkinan besar fakta yang diceritakannya berlainan daripada cerita
asal.
Selain
itu, subjektif dalam penulisan sejarah masih sangat tinggi dan kebenaran fakta
boleh diragui oleh banyak pihak. Dalam hal ini perasaan memihak dari seorang
saksi dan seorang pelaku sejarah yang cenderung memperbesar perannya dan
menutupi kekurangannya sering muncul dalam proses menemu bual .Selain itu,
sudut pandang dari masing-masing pelaku dan saksi sejarah terhadap suatu
peristiwa sering kali berbeza. Ia mungkin akan mengangkat seseorang atau
memihak kepada sesuatu yang mungkin bertentangan daripada cerita asal.
Keterangan
daripada saksi sejarah tentang suatu peristiwa belum dapat dianggap sebagai
suatu keterangan yang lengkap. Ini kerana saksi hanya berfokus pada peristiwa
itu terjadi tanpa mengetahui atau melihat latar belakang terjadinya suatu
peristiwa. Oleh itu, menurut Rozeman (2004: 162), bukan semua maklumat-maklumat
yang telah diperolehi semasa sesi temuramah dijalankan boleh dijadikan sebagai
bahan bukti atau fakta dalam sesuatu penyelidikan sejarah. Proses memilih dan
menentukan maklumat lisan yang dianggap benar-benar mempunyai nilai kesahan
yang tinggi adalah perlu dijalankan oleh ahli sejarah.
Setelah
mengambil kira pendapat tokoh yaang berlainan dapat saya simpulkan bahawa
sumber lisan memainkan peranan penting dalam bidang penulisan sejarah dan ianya
sering kali digunakan untuk mengkaji dan mendapatkan maklumat sejarah di serata
dunia. Tetapi kebergantungan sepenuhnya kepada sumber lisan ini akan menjadikan
fakta yang dihasilkan akan mudah diragui dan dipersoalkan kebenarannya. Sumber
lisan mempunyai kekuatannya yang tersendiri sebagai bahan pengukuh dengan melengkapi
kekurangan data atau maklumat yang belum di masukan ke dalam dokumen. Penelitian
sejarah lisan yang diadunkan dengan sumber bertulis dianggap dapat melengkapi
kekurangan sumber-sumber sejarah selama ini dan kebolehpercayaan faktanya tidak
boleh disangsikan.
TAJUK TUGASAN
1.
Membincangkan dengan
contoh-contoh yang sesuai sejauh manakah kepentingan sejarah lisan sebagai
sumber dan pengkaedahan sejarah di Malaysia.
2.
Menyediakan sebuah penulisan
refleksi tentang pengalaman yang dilalui semasa penulisan esei dari aspek
kekuatan, kelemahan, cadangan penambahbaikan dan pengalaman baharu yang
diperolehi.
SENARAI RUJUKAN
Abdul
Rahman Haji Abdullah. (1996). Pengantar
Ilmu Sejarah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Kamus Dewan. (2010). Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa Dan Pustaka
Muhd
Yusuf Ibrahim. (2009). Ilmu Sejarah:
Falsafah, Pengertian, dan Kaedah.
Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Omardin Ashaari dan
Yunus Mohamad. (2002). Kaedah Pengajaran
Sejarah. Kuala Lumpur: Utusan Publications
& Distributors Sdn Bhd.
Rozeman Abu Hassan.
(2004). Mengenali dan Mentafsir Sumber
Sejarah. Shah Alam: Karisma Publications
Sdn Bhd.
Universiti Teknologi
Mara. (2013). Transkrip Temubual Mengenai
Peristiwa Darurat. Dimuat
turun pada 19 julai 2013 daripada http://www.uitm.edu.my
No comments:
Post a Comment