. Amoi Chantek: Pertandingan menulis esei kemerdekaan Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Sunday 3 November 2013

Pertandingan menulis esei kemerdekaan

“MALAYSIAKU NEGARA BERDAULAT”

Asia Tenggara merupakan satu perkataan baru yang hanya muncul pada masa Perang Dunia Kedua sebelum ini hanya lebih dikenali dengan panggilan Alam Melayu . Umumnya Asia Tenggara  meliputi dua jenis masyarakat besar iaitu negeri-negeri di Tanah Besar dan negeri-negeri kepulauan. Kedua-duannya terdiri daripaa Vietnam, Kemboja, Laos, Thailand, Myanmar, Malaysia, Singapura, Brunei, Indonesia dan Filipina. Kerjasama serantau di antara negara-negara di Asia Tenggara ini sebenarnya telah bermula sejak abad yang ke-13 lagi. Kerjasama serantau ketika itu meliputi tiga aspek besar iaitu kerjasama dari sudut sosiobudaya, politik, dan diplomasi serta perdagangan dan ekonomi. Namun kerjasama ketika itu melibatkan dua buah negara sahaja contohnya hubungan Siam dengan Melaka, Myanmar dengan Siam dan Majapahit dengan negeri-negeri Nusantara.

            Sejarah kerjasama serantau di Asia Tenggara selepas kemerdekaan boleh dikesan daripada cadangan Tunku Abdul Rahman kepada Presiden Garcia (Filipina) pada bulan Januari 1959 untuk menubuhkan sebuah persatuan bukan politik di kalangan negara-negara Asia Tenggara bagi meningkatkan kerjasama politik, ekonomi dan sosial. Kerjasama serantau pertama yang ditubuhkan  ialah Perjanjian Ekonomi dan Persahabatan Negara-negara Asia Tenggara ( Southeast Asian Friendship and Economic Treaty atau  ringkasnya  SEAFET) pada tahun 1959 yang dianggotai oleh Tanah Melayu dan Filipina. Kedua diikuti dengan Persatuan Asia Tenggara (ASA) pada tahun 1961 yang dianggotai oleh Tanah Melayu, Thailanad, Filipina. Kerjasama serantau Asia Tenggara yang ketiga ialah MAPHILINDO  yang ditubuhkan pada tahun 1963 dan dianggotai oleh Tanah Melayu , Filipina dan Indonesia dan kerjasama serantau yang keempat daan merupakan pertubuhan kerjasama yang terakhir ialah Persatuan Negara-negera Asia Tenggara (ASEAN) yang ditubuhkan  pada tahun 1967 dan dianggotai oleh 10 buah negara secara berperingkat iaitu Malaysia, Thailand. Singapura, Indonesia, Filipina, Brunei, Vietnam, Laos, Kemboja, Hanoi, Pertubuhan ini kekal hingga ke hari ini.

            Penulisan ini akan membincangkan peranan dan penglibatan Malaysia untuk mewujudkan kestabilan serantau khususnya dalam aspek politik dan keselamatan seterusnya mengekalkan kedaulatan negara. Penulisan ini akan cuba mengupas dan mengalurkan peranan yang telah dimainkan oleh Malaysia dalam menyelesaikan beberapa isu dengan menjaga hubungan dan semangat setiakawan ASEAN. Selain daripada menjalinkan hubungan diplomatik, Malaysia juga telah menggunakan kaedah atau pendaktan rundingan, bertolak-ansur, cara diplomasi dan yang lebih menarik lagi Malaysia telah memainkan peranan sebagai orang perantaraan dalam menyelesaikan isu-isu yang melibatkan dua buah negara yang bertelagah seperti yang berlaku di Kemboja.
           
            Di mana Malaysia telah bertindak sebagai orang tengah dalam menyelesaikan prgolakan politik yang berlaku di Kemboja. Selain daripada itu, penulis cuba memperlihatkan peranan dan penglibatan Malaysia dalam menyelesaikan isu tuntutan bertindih dengan cara rundingan dan cuba menyelesaikan sebarang pertikaian melalui ICJ. Isu Malaysia-Singapura juga turut dilihat bagi menunjukkan bahawa Kerajaan Malaysia  sentiasa mendukung hasrat murni untuk menjalinkan hubungan baik dengan negara jiran.

            Sebagai sebuah negara yang baru dibebaskan dari belenggu penjajahan dan menghirup angin kemerdekaan, negara-negara di Asia Tenggara  menghadapi pelbagai masalah  dalam mengatur dasar luar negara mereka. Ini menyebabkan timbulnya tekanan ke atas soal-soal menubuhkan satu pakatan kerjasama di rantau Asia Tenggara. Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi keadaan ini terdapatnya  tekanan nasionalismanya sendiri agar negara yang baru merdeka itu mengambil mengambil peranan, mendapat tempat dan diterima sebagai setaraf dengan negara lain di dunia dan kemampuan yang begitu terhad  serta keadaan dalam negara yang serba kekurangan seperti keadaan politik yang tidak stabil, masyarakat yang terbahagi-bahagi dan ekonomi yang begitu lemah.


            Selain itu, Asia Tenggara merupakan satu rantau yang strategik tetapi paling lemah kerana berpecah-belah dan kucar-kacir. Pengalaman sejarah  menunjukkan bahawa keadaan sedemikian memudahkan kuasa-kuasa besar dunia menjadikanya sebagai gelanggang pertelagahan. Dalam era  Perang Dingin, Asia Tenggara menjadi salah satu tumpuan perebutan kuasa Barat dengan komunis. Negara-negara Asia Tenggara sedang menghadapi tugas-tugas besar dalam menegakkan perpaduan negara dan memperbaiki ekonomi yang masih berbentuk kolonial. Keadaan luar yang tidak stabil akan memberatkan lagi tugas-tugas ini. Di samping itu terdapat pelbagai gejala yang dapat mencetuskan pertikaian sesama sendiri terutama dalam soal-soal yang belum selesai hasil kolonialisma seperti isu sempadan negara, taburan ethnik dan semangat kedaerahan serta wujudnya perbezaan pandangan dan ideolgi setiap  negara serantau. Burma dengan neutral-ssosialis, Thai- terikat kuat pada Amerika Syarikat, Indonesia –militant-nationalist, Filipina dianggap sebagai ‘ranting Asia’ Ameria Syarikat, Vietnam Utara, nationals / communist dan sebagainya.

            Di atas kesedaran ini maka Malaysia sebagai sebuah negara yang terawal menyedari akan hakikat pentingnya kepada penubuhan kerjasama serantau ini membuat satu kesimpulan bahawa keselamatan negara-negara serantau di Asia Tenggara tidak akan terjamin selagi ianya masih hidup berpecah-belah dan membawa haluan masing-masing. Perpaduan  adalah mesti untuk membangunn dengan lebih sempurna terutama dari terus bergantung pada kuasa-kuasa luar.

            Kerjasama ini dapat dilihat dalam peringkat ASEAN dan dunia luar dalam aspek politik dan keselamatan, ekonomi dan sosial.  Dalam peringkat kerjasama dalam ASEAN tujuannya adalah demi kepentingan pengukuhan ASEAN manakala kerjasama ASEAN dengan dunia luar adalah lebih berperanan dalam perdagangan antarabangsa atau lebih kepada kepentingan ekonomi. Dalam hal ini Malaysia telah mengatur langkah-langkah tertentu di arena politik antarabangsa . Oleh itu, penekanan diberikan kepada soal-soal menubuhkan pakatan kerjasama serantau, mengadakan satu jaminan keselamatan  yang membolehkan tenaga  ditumpukan ke arah penglibatan isu-isu politik dunia  mengikut kemampuan  dan kepentingan nasional dari semasa ke semasa.  Dalam usaha membina dan mengukuhkan kerjasama serantau ini Malaysia tidak ketinggalan memainkan peranan dan penglibatan dalam beberapa isu di Asia Tenggara.

            Malaysia adalah sebuah negara kecil di Asia Tenggara yang pastinya tidak mampu hidup bersendirian. Atas kesedaran ini, Malaysia berpendapat kerjsama serantau adalah merupakan agenda penting dalam hubungan luarnya untuk mengujudkan kestabilan serantau dalam menghadapi ancaman musuh. Peranan dan penglibatan ini juga penting kepada Malaysia kerana sebagai sebuah negara yang baru merdeka perlu mengambil peranan, mendapat tempat dan diterima setaraf dengan negara-negara lain di dunia seterusnya mencipta identity sendiri.

            Dasar luar Malaysia adalah kesinambungan kepada dasar negara bertujuan untuk menjaga dan mengekalkan keselamatan, keharmonian, kesejahteraan ekonomi dan lain-lain kepentingan negara. Pada hakikatnya, walaupun terdapat pelbagai persepsi dan pengertian mengenai dasar luar negara, setiap dasar luar negara yang dibentuk perlu mengambilkira persekitaran luar yang dinamik.  Pengertian di atas juga merujuk kepada  dasar luar negara Melaysia. Kepelbagaian faktor geografi, sejarah, sosial dan politik  menyumbang kepada pembentukan dan halatuju hubungan anatarabangsa Malaysia dengan negara-negara lain.  Selain daripada faktor-faktor tersebut, faktor globalisasi di ambang perkembangan era komunikasi dan teknologi maklumat juga memainkan peranan yang semakin penting. Walau apa pun faktor-faktornya, objektif dasarnya adalah sama iaitu ke arah menjaga dan mengekalkan kepentingan Malaysia di arena antarabangsa.

            Contohnya dalam konteks ASEAN, kesemua negara anggota ASEAN berganding bahu dalam usaha meningkatkan kerjasama di kalangan ahli-ahalinya. Manakala serantau pula secara umumnya dapat didefinasikan sebagai satu proses yang melibatkan sebahagian  negara yang terhad disesuatu rantau berkenaan dan akhirnya dibentuk sebagai suatu rganisasi serantau[5]. Oleh itu kerjasama serantau  membawa kepada penyatuan negara-negara dalam keperluan politik, ekonomi dan pertahanan.

            Penelitian mendalam dasar luar Malaysia menunjukkan bahawa semenjak tahun 1957 ianya melalui perubahan yang stabil sejajar dengan perubahan pucuk kepimpinan politik negara. Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama telah mengamalkan dasar anti-komunis dan sikap pro-Barat dengan mengadakan hubungan yang rapat dengan negara-negara Komenwel. Beliau juga telah merintis usaha kepada dasar berkecuali , neutral dan keamanan bersama. Di bawah kepimpinan Tun Abdul Razak Hussein pula, Malaysia telah menganggotai Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan mula dikenali sebagai negara Islam. Semangat ingin berbaik-baik dan mencari rakan baru pada masa itu juga telah merapatkan lagi hubungan Malysia dengan Pertubuhan Negara-negera Berkecualai (NAM). Selain itu, Malaysia turut menggalakkan pelaburan selain daripada sumber-sumber British.

            Era kepimpinan Tun Hussein Onn pula menyaksikan  Malaysia mempereratkan hubungan serantau. ASEAN, contohnya telah menjadi prinsip asas kepada dasar luar Malaysia selepas kejatuhan Saigon (sekarang Ho Chi  Minh City) pada 1975, pengunduran pengakalan-pengakalan tentera Amerika Syarikat di Asia Tenggara dan serangan Vietnam ke atas Kampuchea (sekarang Cambodia). Walau bagaimanapun, dasar luar Malaysia telah melalui perubahan yang dramatik selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad dilantik sebagai Perdana Menteri yang keempat pada tahun 1981.  Di bawah kepimpinan beliau dasar luar Malaysia lebih berorientasikan kepada aspek-aspek ekonomi. Pada masa yang sama, dasar luar Malaysia dilihat lebih menekankan kepada hak, kepentingan dan aspirasi negara-negara membangun dan sokongan kerjasama selatan-selatan.

            Kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad juga telah dapat menyaksikan pelbagai inisiatif. Antaranya, Antartika sebagai hak warisan manusia sejagat, Dasar Pandang ke Timur, Pelaburan Imbal-Balik, Kokus Ekonomi Asia Timur (EAEC), Kumpulan 15 (G 15), Penyatuan Islam dan memperjuangkan hak-hak negara membangun dalam isu-isu alam sekitar, hak asasi manusia serta demokrasi. Evolusi dasar luar Malaysia di bawah kempat-empat Perdana Menteri setakat ini telah menunjukan bahawa mereka telah memberi respon pragmatik bersesuaian dengan perubahan geopolitik dan ekonomi yang berlaku pada masa itu.  Ini kerana untuk terus menjadi relevan kepada keperluan negara, dasar luar negara  tidak boleh berada dalam keadaan static. Ianya memerlukan perubahan. Walau bagaimanapun, dalam masa yang sama , kesinambungan dalam konteks dasar luar negara juga perludititikberatkan. Kedua-dua perubahan dan kesinambungan ini sesungguhnya menampakkan rasa yakin diri dan kematangan Malaysia dalam urusan hubungn antarabangsanya.

            Malaysia merupakan sebuah negara di rantau ini yang bergerak cergas dalam beberapa pertubuhan serantau bagi meningkatkan kerjasama di kalangan negara-negara Asia Tenggara. Pembinaan kerjasama ini telah dimulakan sejak tahun 1950-an lagi. Ini dapat dilihat semasa lawatan  rasmi Tunku Abdul Rahman ke Filipina pada bulan Januari 1959, beliau telah mengumumkan pembentukan  Perjanjian Ekonomi dan Persahabatan Negara-negara Asia Tenggara (Southeast Asian Frienship and Economic Treaty) yang dipersetujui oleh Tunku Abdul Rahman dan Presiden Filipina , Carlos P. Garcia. Bagi merealisasikan usaha untuk mengujudkan kestabilan serantau, Malaysia telah melibatkan diri dengan pelbagai cara dan pendekatan dalam dasar hubungan luarnya. Anataranya adalah melalui rundingan, dasar hubungan luar, hubungan diplomasi, bertolak ansur, perantaraan, perdamaian, kerjasama dalam bidang ekonomi dan social. Namun agak sukar untuk memisahkan setiap isu dengan peranan dan penglibatan Malaysia berdasarkan satu cara dan penglibatannya.

            Malaysia memegang beberapa prinsip asas dalam hubungan luarnya. Anataranya  adalah hormat-menghormati kedaulatan negara masing-masing dan kedaulatan wilayah, tidak campurtangan, penyelesaian secara aman, perhubungan dua hala yang menguntungkan dan keamanan bersama. Sesungguhnya dasar luar Malaysia yang jelas adalah dari segi pertahanan dan keselamatan, pembangunan dan perdagangan, kerjasama antarabangsa dan diplomasi. Malaysia amat menekankan usaha untuk meneruskan hubungan yang rapat dengan negara-negara jirannya. Setiap usaha diplomasi yang telah dilakukan adalah untuk memastikan hubungan dua hala Malaysia dengan jiran-jirannya tidak terjejas.

            Di antara peranan dan penglibatan Malaysia dalam kerjasama serantau ini adalah melalui rundingan damai. Melalui proses ini, rundinngan secara damai akan dibuat antara dua pihak yang terlibat. Perundingan ini akan dibuat dengan membincangkan dan seterusnya menyelesaikan masalah yang sebenarnya wujud tanpa percanggahan pendapat. Semasa rundingan ini berjalan, semua pihak akan cuba untuk memenuhi keinginan dan matlamat rundingan. Contohnya rundingan-rundingan antara menteri dan pegawai-pegawai. Pada tahun 1982, Kementerian Luar Thailand berkata, lebih 400 rundingan telah dijalankan.

            Dalam hal ini Malaysia melibatkan diri dalam beberapa rundingan bagi menyelesaikan krisis hubungan Malaysia dengan Filipina. Krisis hubungan Malaysia dengan Filipina tegang apabila Filipina tidak mahu mengugurkan tuntutannya ke atas Sabah. Malahan Filipina telah menghantar orang-orang yang dilatih khas bagi melakukan pengkhianatan menyusup masuk ke Sabah. Di samping itu Filipina telah menjadikan undang-undang dengan memasukkan Sabah sebagai sebahagian daripada wilayahnya. Ini dibuatnya melalui satu Akta Perampasan Sabah.

            Beberapa rundingan telah beberapa kali dijalankan di Bangkok, namun menemui kegagalan. Akhirnya  dari usaha gigih Malaysia, hubungan ini berjaya dipulihkan dan diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman di Cameron Highland pada 16 dan 17 Disember 1968. Walaupun demikian tuntutan ke atas Sabah belum lagi digugurkan meskipun ianya pernah dikatakan berulang kali iaitu semasa pemerintahan Presiden Marcos dan semasa pemerintahan Presiden Corazon Aquino dan kini ikrar itu masih belum dapat ditunaikan oleh pemimpin Filipina itu. Malah presiden Aquino pernah meminta Malaysia membayar pampas an kepada  Filipina dan juga kepada waris-waris Kesultanan Sulu yang dikatakan memiliki Sabah. Untuk mewujudkan keamanan dan kestabilan di rantau ini, Malaysia menyatakan hasratnya bersedia untuk berunding tanpa sebarang syarat

            Hubungan ini juga kembali menjadi tegang apabila Filipina menuduh Malaysia memberikan bantuan senjata kepada Barisan Kebangsaan Moro.  Hubungan ini perlu dipulihkan  adalah untuk menstabilkan keamanan dan Malaysia menganggap perkara sempadan itu masih boleh dibawa berunding tanpa perlu memutuskan hubungan diplomasi. Oleh yang demikian, Malaysia tidak memberikan sokongan kepada pihak Pembebasan Moro walaupun ianya berjuang untuk agama Islam demi untuk menjaga hati negara jirannya iaitu Filipina.

            Di samping itu juga, Malaysia menjalankan dasar berkecuali dalam hubungan luarnya. Dasar berkecuali bermaksud sesebuah negara itu tidak memihak kepada mana-mana blok kuasa besar dunia. Dasar luar sesebuah negara itu bergantung kepada pemerintah dan ianya menjadi panduan dalam menentukan bentuk hubungan dengan negara lain.  Hal ini juga berlaku kepada Malaysia yang sentiasa dinamik selaras dengan peredaran  persekitaran. Ini jelas dapat dilihat dalam tahun  1957 hingga 1963 dasar luar Malaysia berorientasikan pro-Barat dan anti-komunis. Hal ini penting kerana Tunku Abdul Rahman merasakan bahawa Malaysia tidak mempunyai keupayaan ketenteraan yang canggih serta diancam  oleh anasir komunis. Oleh yang demikian dasar pro-barat ini dapat dilihat apabila Malaysia menyokong penglibatan pihak Amerika dalam Perang Vietnam serta tidak membuat sebarang hubungan diplomatik dengan negara-negara komunis.

            Tindakan Tanah Melayu (Malaya) menanadatangani Perjanjian AMDA antara lain didorong oleh kedudukan pertahanan negara yang tidak kuat. Tanah Melayu ketika itu hanya mempunyai satu pasukan Rejimen Melayu Diraja dengan tidak mempunyai angkatan tentera laut dan udara. Sebarang ancaman dan serangan dari luar tidak mungkin mampu dihadapi oleh Tanah Melayu secara bersendirian. Tambahan pula pergolakan politik serantau , terutamanya di Indo-china amat membimbangkan Tanah Melayu. Tunku Abdul Rahman melihat kemaraan fahaman komunis di Asia Tenggara merupakan ancaman yang sangat merbahaya ke atas keselamatan Tanah Melayu. Oleh itu, perjanjian AMDA ditandatangani  sebagai tulang belakang keselamtan Tanah Melayu dari segi pertahanan. Tunku Abdul Rahman telah menegaskan kepentingan AMDA:

“..let us face the facts, and the fact are that we have at our command an army of lessthan one divisions in strength ; we have no air force, not even a single plane or a single man, we have no navy, not event a single sailor and we have not event a single sea-going craft.With the revenue at our commond we can never be able to build our forces to the strength which would require for defence of our country.”

            Dari segi hubungan luar, dasar luar sepanjang tahun 1957-1963 memperlihatkan Tanah Melayu lebih menumpukan hubungan luar dengan negara-negara Barat yang mempunyai sistem pemerintahan dan idealogi yang sealiran dengannya. Di bawah kepimpinan Tun Abdul Razak Hussein pula,memperlihatkan perubahan dasr luar yang ketara dari sikap pro-Barat dan antikomunis  kepada dasar luar yang berkecuali. Ini jelas dapat dilihat berdasrakan ucapan Tun Razak semasa beliau buat pertama kalinya menghadiri Persidangan Negara-negara Berkecuali di Lusaka, Zambia pada Disember 1970. Tun Abdul Razak mengumumkan bahawa:

“Today with the denete the two power bloks, it is important reposibility of the Non-Aligned Group to ensure that the interest  of the big powers do not converge at the expence of the medium and small powers.The hegemonistic tendencies on the part of major  powers with appears to be under various guises and with various justifications must be resisted. Futhermore , the world today is not longer bipolar. It is at least tripolar and with the emergence of China and her legitimate role in the world cannot washed away that relation between China and a number of countries  remain unsatisfactory. I submit that here the non-aligned  countries have an extremely  important role to play and have a unique duty to discharge if we are to remain loyal to the principles of the principlesof co-existence  and to our basic tenets of non-alignment in our efforts to brings about a harmonization of international relations on the basic of respect for independence and integrity of states.”

            Malaysia telah menganggotai Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) serta Pertubuhan Negara-negera Berkecuali (NAM). Era kepimpinan Tun Hussein Onn pula menyaksikan Malaysia memperatakan hubungan seranatau contohnya pengunduran tentera Amerika Syarikat  di Asia Tenggara dan serangan Vietnam ke atas Kemboja. Dasar luar Malaysia melalui perubahan di mana ianya lebih berorientasikan kepada aspek-aspek  ekonomi. Pada masa yang sama , dasar luar Malaysia dilihat lebih menekankan kepada hak , kepentingan dan aspirasi negara-negara membangun. Evolusi dasar luar Malaysia ini menunjukkan bahawa keempat-empat Perdana Menteri telah memberikan respon yang bersesuaian dengan perubahan geopolitik dan ekonomi.

            Contoh dasar luar yang banyak membantu  dalam mewujudkan kestabilan serantau daripada campurtangan kuasa-kuasa asing iaitu Amerika Syarikat, Russia, dan China adalah dasar konsep Kawasan Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN). Dasar ini telah dibawa oleh Malaysia dan diumumkan pada dunia pada 27 November 1971 di dalam Deklarasi Kuala Lumpur. Objektif  ZOPFAN adalah untuk menjadikan kawasan rantau Asia Tenggara bebas dari percaturan kuasa-kuasa besar dan tidak menyebelahai mana-mana pihak. Ia juga bertujuan untuk mengendurkan ketegangan antarabangsa dan mencapai perdamaian yang kekal di Asia Tenggara serta memastikan keaman dan kestabilan penduduk di Asia  Tenggara.

            Langkah untuk menghadapi cabaran ini diwujudkan dua strategi iaitu pakatan tentera yang dianggotai leh negara-negara Asia Tenggara bagi menentang pencerobohan serta strategi diplomatik. Ini adalah kerana kuasa-kuasa besar iaitu Amerika Syarikat dan Russia masih lagi mempunyai  kepentingan di ranatau ini dari segi ekonomi, strategik, politik demi untuk memenuhi kepentingan nasional masing-masing. Malah adalah sukar bagi kuasa besar ini meninggalkan satu rantau yang strategik yang menghubungkan laluan laut Timur-Barat. Di samping itu juga, kawasan juga merupakan  sumber berbagai-bagai bahan mentah dan pasaran yang menarik bagi hasil pengeluaran dan khidmat kuasa besar ini. Pada sidang Kemuncak ASEAN di Bangkok pada 1995, perjanjian SEANFTZ telah dipersetujui oleh semua negara anggota. Objektif perjanjian ini adalah untuk menjadikan Asia Tenggara sebagai kawasan bebas nuclear dan bebas dari dijadikan tempat persaingan tenaga nuclear. Malaysia sebagai sebuah negara yang memandang berat hal ini telah menyatakan hasratnya melalui kenyataan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Luar Melaysia pada tahun 1997. Beliau menyeru negara kuasa nuklear agar memberikan sokongan mereka dan turut menyertai perjanjian ini.

            Kesimpulannya, Malaysia mengalami banyak faedah dengan menjalankan konsep ZOPFAN dan SEANFTZ ini. Kesan daripada dasar ini adalah Melaysia mempunyai banyak sahabat baru di dunia ini kerana tidak terkongkong dengan mana-mana kuasa.[9]  Namun demikian, setelah hampir 20 tahun berlalu gagasan ini hanya di sanjung oleh Malaysia sedangkan negara-negara ASEAN  yang lain tidak merasakan kepentingannya. Contohnya Indonesia tidaak menganggap Gagasan ZOPFAN  itu sesbagai sesuatu yang mendesak.  Filipina msih lagi menjadi tuan rumah untuk pangkalan bersenjata Amerika yang terlengkap di Asia Tenggara. Singapura pula menyediakan kemudhan perbekalan dan pembaikan kerosakan kepada angkatan tentera Amerika Syarikat serta mengalu-alukan kehadiran tentera asing di rantau Asia Tenggara.  Hal ini terjadi akibat tiadanya kepentingan nasional masing-masing. Lantas negara ini  berpura-pura memberikan sokongan walaupun disedari kebaikan gagasan ini dlam jangka masa yang panjang.

            Di samping itu juga Malaysia menjalankan hubungan diplomatic dalam mewujudkan kestabilan serantau. Ini jelas di mana, antara tahun 1972 hingga 1973, Malaysia menjalinkan hubungan diplomatic dengan negara-negara komunis seperti Republik Monggolia, Vietnam Utara dan Jerman Timur. Pada tahun 1975, kerajaan demokratik di Vietnam Selatan dan Kampuchea digulingkan dan digantikan dengan rejim komunis. Namun begitu kedua-dua kerajaan ini terus diiktiraf oleh Malaysia yang bersikap berkecuali.

            Di samping itu juga , Malaysia berusaha mencari sahabat-sahabat baru tanpa mengira ideolagi politik mereka. Kini, Malaysia mempunyai hubungan diplomatik peringkat kedutaan atau konsol dengan hampir seluruh negara di dunia termasuk negara komunis di Eropah Timur.Malahan sejak 1974, Malaysia  telah menempa sejarah apabila membuat hubungan  diplomatik dengan Republik Rakyat China iaitu negara blok komunis yang terbesar. Hubungan diplomatik ini perlu untuk mendapatkan satu jaminan dari Kerajaan China agar tidak campurtangan dalam urusan Malaysia serta menghentikan sokongan kepada Parti Komunis Malaya. Hasil daripada hubungan diplomatik ini telah menydarkan Kerajaan China dan menyokong usaha ASEAN mengenai isu di Kampuchea.

            Dengan mengamalkan dasar berbaik-baik dan adanya hubungan diplomatik  ini, Malaysia bukan sahaja mendapat ramai sahabat, tetapi dapat meluaskan pasaran untuk barang-barang keluaran Malaysia. Malah Malaysia dapat menstabilkan turun-naik harga yang hebat akibat terlalu bergantung kepada Amerika Syarikat dan Eropah.  Oleh yang demikian, jelas di sini hubungan diplomasi yang dijalankn oleh Malaysia berjaya memperkenalkan Malaysia di mata dunia. Tun Razak menjelaskan bahawa adalah menjadi dasar kerajaan kepimpinannya untuk mengadakan hubungan diplomatic dengan semua negar, tanpa mengira haluan politik mereka dengan syarat mereka mestilah menghormati kedaulatan dan kemerdekaan Malaysia. Beliau menegaskan bahawa:

“…kita hendaklah menerima dunia seperti dalam keadaan yang ada sekarang dn bukan sebagaimana yang kita kehendaki. Walaupun usaha-usaha untuk berbaik-baik dengan negara komunis dijalankan, tetapi ini tidak bermakna kita mengenepikan perjuangan menentang penganas-penganas komunis yang bergerak dalam negara kerana ia merupakan dua perkara yang berbeza.”

            Peranan dan penglibatan Malaysia tidak hanya bertumpu kepada hubungan diplomasi tetapi juga telah mengamalkan sikap bertolak-ansur. Pihak yang terlibat harus bertolak-ansur serta setuju menerima cadangan atau idea masing-masing. Sikap bertolak-ansur dan atas perikemanusiaan ini terserlah ke atas isu pelarian Vietnam yang telah mendarat di wilayah Malaysia terutamanya  di Terengganu dan Kelantan. Pada Mei 1978, Malaysia yang telah menampung penyaraan hidup 13 000 orang pendatang haram dari Vietnam ini. Hingga pada tahun 1988 jumlahnya elah mencapai seramai 19 200 orang. Kehadiran yang terlalu ramai ini telah mengundang pelbagai masalahh terutamanya dari segi keselamatan.

            Oleh yang demikian, Malaysia telah bertindak untuk menutup khemah pelarian yang terbesar di Pulau Bedong. Dengan ini, semua pendatang atau pelarian ini tidak dibenarkan mendarat di mana-mana wilayah di Malaysia. Justeru untuk menyelesaikan maslah ini, maka diadakan satu persidangan di Geneva pada tahun 1978. Di akhir persidangan ini, Malaysia diminta memberikan perlindungan sementara kepada pelarianVietnam di mana kewangan an makanan di bawah tanggungan UNHCR.

            Sehubungan dengan itu , satu pasukan petugas telah ditubuhkan di bawah Majlis Keselamatan Negara di Jabatan Perdana Menteri. Jabatan ini  adalah gabungan pasukan tentera udara, darat serta laut kerajaan Malaysia yang ditugaskan mengawal kemasukan pelarian Vietnam. Pasukan tentera udara akan membuat tinjauan  udara di Laut China Selatan dan akan memaklumkan kepada pasukan  tentera laut yang meronda perairan Malaysia. Mereka akan memastikan pelarian ini tidak membawa sebarang senjata api yang boleh menjejaskan keselamatan. Nelayan dan penduduk tempatan juga memberikan kerjasama dengan memaklumkan sebarang kehadiran pelarian ini.

            Di samping itu juga, dari segi kebajikan sosial pelarian Vietnam  ini, pihak Malaysia juga menghulurkan bantuan melalui Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM). Dari segi perkidmatan perubatan bangunan-bangunan hospital dan klinik pergigian telah dibina di kem-kem pelarian terutamanya di Sungai Besi dan Pulau Bedong. Langkah-langkah pencegahan penyakit berjangkit serta suntikan pelalian akan diberikan. Contohnya semburan racun serangga serta suntikan pelalianmalaria. Air yang dibekalkan akan diperiksa dari semasa ke semasa oleh jabatan Kimia di Kuala Terengganu. Seorang doctor gigi dari Malaysia telah dibiayai oleh Persatuan Palang Merah Switzerland. Selain daripada itu, Persatuan Bulan Sabit ini juga mengambil berat mengenai makanan, pemerliharaan kebajikan social, pendidikan serta pusat pengesanan dan pengiriman bagi menemukan saudara-mara pelarian ini.

            Walaubagaimanapun, Malaysia tidak boleh meyelesaikan maslah ini sendirian dan telah mengambil inisiatif untuk menyelesaikan masalah pelarian ini. Ini terbukti dalam mesyuarat tahunan Menteri-menteri Luar ASEAN yang diadakan di Bangkok. Hal ini kemudiannya dibawa ke International Conference on Indochinese Refugee (ICIR) yang diadakan di Geneva di bawah anjuran PBB pada tahun 1989. Malahan kesungguhan ini dapat dilihat apabila Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Encik Ghaffar Baba telah melawat Vietnam pada Ogos 1988 dan berjaya memperoleh persetujuan kerajaan itu untuk menrima kembali orang pelariannya.[16] Melalui usaha Malaysia seramai 237, 907 orang pelarian Vietnam telah dihantar ke negara ketiga sejak tahun 1975 hingga 1990. Ini jelas menunjukkan bahawa peranan Malaysia adalah sebagai menyediakan tempat perlindungan sementara sahaja kepada pelarian Vietnam ini. Kesimpulannya Malaysia mengambil tindakan ini bertujuan memastikan keselamatan negara serta untuk menjaga hati rakyat Malaysia yang berbangsa Cina memandagkan pelarian Vietnam adalah keturunan yang sama.

            Selain daripada itu, Malaysia juga telah menjadi orang perantaraan dalam isu di Kemboja. Perantaraan adalah melibatkan orang tengah atau pihak ketiga dalam proses penyelesaian. Biasanya orang tengah mempunyai segala kepakaran serta pihak ini haruslah memainkan peranannya dengan penuh teliti supaya tidak timbul kekeliruan dalam penyelesaian tersebut. Hal ini telah dilakukan oleh Malaysia dalam menangani pergolakan politik di Kemboja.

            Setelah kejatuhan kerajaan beraja di Kemboja, pimpinan Putra Norodom Sihanouk, negara itu terus mengalami masalah politik di mana rampasan kuasa sering berlaku silih berganti. Malahan negara ini mendapat bantuan ekonomi, kewangan, senjata dan kepakaran tentera daipada Amerika Syarikat. Manakala Parti Komunis Kemboja pula mendapat bantuan dari China iaitu dari segi sokongan kepada gerila komunis. Pengaruh Amerika Syarikat itu kemudiannya tamat apabila  Kerajaan Demokrasi yang terakhir pimpinan Perdana Menteri Polpot tewas di tangan di komunis. Sebenarnya kekalahan ini adalah akibat gerila komunis Kemboja yang menggelarkan diri mereka Khmer Rouge. Pemerintahan      

            Polpot adalah amat zalim di mana pembunuhan beramai-ramai dilakukan kepada sebarang penentangan kerajaan. Sepanjang pemerintahan rejim Pol pot , rakyat di negara itu hidup dalam kesengsaraan dan penderitaan akibat kawalan ketat oleh pihak kerajaan. Sejak tahun 1970 rakyat negara itu telah terlibat dalam kancah perang saudara. Bilangan kematian adalah tinggi akibat peperangan,  wabak penyakiy dan kekurangan makanan. Berasaskan sumber diplomatik  tidak rasmi  sehingga akhir tahun 1975, jumlah kematian yang dicatitkan seramai 80 000 orang, sementara sumber dari kedutaan Amerika Syarikat melaporkan  1.2 juta rakyat dikhuatiri mati akibat kebuluran, pembunuhan dan peperangan.

            Namun begitu usia kerajaan Khmer Rouge juga tidak lama apabila Rejim Heng Samrin yang disokong oleh Vietnam telah memasuki Kemboja pada akhir tahun 1977. Pejuang Kampuchea yang terdiri daripada fahaman berkecuali, komunis dan bukan komunis telah menentang penceronohan ini. Fahaman berkecuali telah dipimpin oleh Putera Norodom Sihanouk di bawah Parti Moulinaka, parti komunis dipimpin oleh Kieu Samphan dan kumpulan bukan komunis dipimpin oleh Sonn Sann. Manakala dua keuasa besar iaitu China dan Russia cuba meluaskan kuasa mereka di IndoChina akibat campurtangan mereka keadaan di rantau ini semakin tidak stabil.

            Kemudian isu wakil Kampuchea di Pertabuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang tidak mendapat pengiktirafan antarabangsa iaitu wakil Rejim Hang Samrin yang telah mengulingkan wakil kerajaan Polpot mula timbul. Rejim ini mendapat sokogan Russia dan negara komunis yang lain.ASEAN pula berusaha untuk mengekalkan wakil pimpinan Polpot dan telah dipersetujui oleh banyak negara di dunia. Malaysia telah menjadi orang perantaraan dengan dibantu oleh negara-negara ASEAN mengadakan rundingan dengan pemimpin-pemimpin kumpulan pejuang tersbeut supaya bersatu dan menubuhkan Kerajaan Campuran di Kampuchea.

            Di bawah formula ini, ketiga-tiga kumpulan akan berkongsi kuasa samarata dalam pemerintahan tersebut.Malaysia telah menghantar seorang perutusan khas menjemput menjemput Putera Norodom untuk menandatangani perjanjian. Pada 13 Jun 1982 satu upacara persetujuan menubuhkan satu kerajaan campuran telah dijalankan di Rumah Malaysia di Jalan Ampang Kuala Lumpur.Menurut persetujuan ini, presiden Kerajaan Campuran ialah Putera Norodom Sihanouk, Naib Presiden Kiue Samphan dan Perdana Menteri Sonnsann. Sementera itu portfolio hal-ehwal luar negeri di pegang oleh Khmer Rouge. Ini jelas membuktikan peranan dan penglibatan Malaysia sebagai perantaraan untuk mewujudkan kestabilan di rantau ini. Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir bin Mohammad ketika mengulas persetujuan ini berkata,

“Ini adalah usaha kerajaan Malaysia…”
“Nampaknya usaha ini akan mencapai kejayaan.Malaysia telah menawarkan tempat kepada mereka untuk upacara tersebut dan seterusnya mengadakan sidang kemuncak mereka…”
            Kerjasama dan perpaduan di antara tiga kumpulan ini dapat bergabung tenaga dalam mengusir keluar dan membebaskan negara mereka daripada tentera Vietnam. Malaysia bertindak sedemikian adalah bertujuan untuk menangani pertikaian yang berterusan dan berharap pengaruh komunis tidak menjalar sehingga ke Malaysia. Ini juga selaras dengan pendapa Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman yang pernah berkata bahawa keselamatan Malaysia tidak akan terjamin sehingga ia dan jirannya masih hidup berpecah belah dan berbagai haluan.

            Malaysia begitu bijak dalam menangani permasalahan politik yang berlaku sekiranya Malaysia bertindak mengikut kemampuan dalam menjalankan sebarang tindakan. Perdamaian adalah salah satu cara mengatasi konflik yang wujud . Objektif perdamaian adalah demi mencapai kaamanan. Pada bulan April 1975, Vietnam Selatan telah jatuh ke tangan Vietnam Utara. Kemenangan Khmer Rouge dan Barisan  Pembebasan  Kebangsaan di Vietnam telah mewujudkan teori domino yang membimbangkan negara bukan komunis di Asia Tenggara. Tambahan pula Vietnam mempunyai pasukan tentera yang terbesar di Asia Tenggara dan sebuah gudang senjata dan alat-alat militari yang lengkap yang telah dirampas oleh Kerajaan Saigon. Malahan,Vietnam juga mempunyai para pejuang yang handal dan berpengalaman. Disamping itu, Thailand bimbang Vietnam akan mempercepatkan pemberontakan komunis yang membekalkan mereka senjata. Oleh itu, ASEAN khususnya Malaysia memberikan tumpuan mengenai isu ini dan menanganinya dengan perdamaian.
            Pendekatan ini dimulakan dengan pengumuman Menteri-menteri Luar ASEAN pada bulan Mei 1975 untuk mengeratkan perhubungan den persahabatan yang harmoni dengan negara-negara Indochina. Menurut Tun Razak, ini adalah satu peluang yang baik untuk mewujudkan satu dunia baru yang aman dan bebas dari penaklukan dan pengaruh luar serta bekerjasama bagi kepentingan bersama. Malangnya sehingga pertengahan tahun 1978, Vietnam enggan mengiktiraf ASEAN sebagi sebuah pertubuhan serantau. Penolakan ini adalah berpunca ASEAN memberikan sokongan kepada campurtangan Amerika di Vietnam secara langsung dan tidak langsung sebelum tahun 1975. Vietnam bimbang ASEAN sebagai boneka militari Amerika Syarikat. Namun demikian Vietnam menunjukkan kejayaan dalam bidang politik dan konominya yang telah tertarik dengan aktiviti ASEAN. Semasa AMM ke-25 Menteri Luar ASEAN di Manila pada 21 Julai 1992, Vietnam dan Laos telah memberikan persetujuan untuk turut serta dalam kerjasama bersama ASEAN.

            Kesimpulannya, peranan dan penglibatan Malaysia dapat dilihat dalam beberapa isu politik dan keselamatan. Contohnya hubungan Malaysia dan Filipina, isu pelarian Vietnam, Isu Kemboja, Isu hubungan dengan Vietnam, konsep ZOPFAN dan SEANFTZ dan lain-lain lagi. Peranan dan penglibatan Malaysia dalam mewujdukan kestabilan serantau melalui kerjasama tidak terhenti setakat isu-isu yang dibincangkan, malahan beberapa isu yang lain.

            Sebagai sebuah negara yang berusaha mencapai status sebuah negara maju seperti yang diimpikan dalam Wawasan 2020, Malaysia giat mempertingkatkan usaha ke arah memperkukuhkan kerjasama serantaunya. Hal ini dapat dilihat melalui hubungan luar Malaysia. Dasar luar Malaysia adalah kesinambungan kepada dasar dalam negeri bertujuan menjaga dn mengekalkan keselamatan, keharmonian, kesejahteraan ekonomi dan lain-lain kepentingan negara. Usaha-usaha Malaysia dalam pelbagai forum serantau dan antarabangsa telah berjaya menempatkan Malaysia di mata dunia malah peningkatan kesejahteraan ekonomi dan kestabilan politik membantu melonjakkan nama negara Malaysia. Di samping itu juga, Malaysia mampu menyuarakan pandangannya terhadap isu-isu yang tidak dapat disuarakan oleh negara-negara membangun yang lain. Hal ini disebabkan kebimbangan sekatan yang bakal diambil oleh kuasa-kuasa besar sekiranya  mereka bersuara. Malaysia mampu melakukan kerana negara kita tidak bergantung kepada bantuan kuasa luar sepenuhnya.

            Malaysia berusaha meningkatkan kerjasama serantau supaya rantau ini lebih dinamik dan dapat menggalakkan perdagangan terbuka dan bebas. Justeru itu, Malaysia akan terus memupuk kerjasama ekonomi serantau bagi menjamin satu sistem perdagangan yang adil dan terbuka serta menambah jumlah perdagangan dan pelaburan di kalangan negara anggota ASEAN. Selaras dengan iltizam yang kuat terhadap kerjasama serantau ini, Malaysia akan terus melaksanakan perjanjian-perjanjian yang bertujuan memajukan kerjasama ekonomi, social dan kebudayaan. Sebagai negara yang berkongsi sempadan dengan hampir kesemua negara ASEAN, Malaysia mengambil bahagian secara aktif dalam Forum Serantau mengenai keselamatan iaitu membenateras kegiatan lanun, mencegah penyeludupan, pertikaian wilayah bagi memastikan kestabilan yang berterusan di rantau ini.

            Malaysia memegang beberapa prinsip asas dalam hubungan luarnya. Anataranya  adalah hormat-menghormati kedaulatan negara masing-masing dan kedaulatan wilayah, tidak campurtangan, penyelesaian secara aman, perhubungan dua hala yang menguntungkan dan keamanan bersama. Sesungguhnya dasar luar Malaysia yang jelas adalah dari segi pertahanan dan keselamatan, pembangunan dan perdagangan, kerjasama antarabangsa dan diplomasi. Malaysia amat menekankan usaha untuk meneruskan hubungan yang rapat dengan negara-negara jirannya. Setiap usaha iplomasi yang telah dilakukan adalah untuk memastikan hubungan dua hala Malaysia dengan jiran-jirannya tidak terjejas. Kesimpulannya adalah diharapkan Malaysia akan terus memainkan peranannya dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai sumbangannya ke arah mengekalkan keamanan rantau ini justeru ke arah keamanan sejagat untuk mengekalkan kedaulatan negara Malaysia yang tercinta.
                                                                                                (5017 patah perkataan)


No comments:

Post a Comment