. Amoi Chantek: Faktor yang mempengaruhi aspek pencapaian akademik murid Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Sunday 3 November 2013

Faktor yang mempengaruhi aspek pencapaian akademik murid

1.0          PENGENALAN
Psikologi pembelajaran membentangkan pelbagai teori pembelajaran, kaedah pengajaran, proses perkembangan mental dan sikap, pengelolaan dan pengawalan kelas untuk meningkatkan keberkesanan pembelajaran dan pengajaran. Psikologi adalah satu bidang sains yang tertumpu pada kajian tingkah laku manusia. Pendidikan pula bertujuan untuk memperkembang mental dan kebolehan individu untuk menjadi insan yang berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berguna demi memberi sumbangan dan memupuk kesejahteraan masyarakat.  Justeru, psikologi pendidikan merupakan satu bidang kajian santifik atas tingkah laku murid yang dapat membantu guru memahami murid dan membimbingnya dalam pembelajaran serta menambahkan keberkesanan pengajaran guru.

            Untuk mencapai tujuan tersebut, tugasan kali ini meninjaukan suasana, faktor dan keadaan murid yang mempengaruhi aspek pencapaian akademik murid-murid.  Guru pula didedahkan dengan pelbagai kemahiran, maklumat dan teori pengajaran yang diperoleh daripada pengalaman dan kajian yang lain.  Maka psikologi pendidikan membekalkan guru dengan maklumat tentang pembelajaran murid dari segi minat, motivasi, pemikiran, ingatan, perbezaan individu dan sebagainya serta pelbagai kaedah mengajar dan pengurusan kelas.  Tumpuan utama ialah bagaimana murid belajar dan bagaimana guru dapat menyampaikan pelajaran dengan berkesan.  Guru juga perlu didedahkan kepada konsep psikologi perkembangan, psikologi pembelajaran, pembentukan personaliti dan psikologi sosial.

            Psikologi pembelajaran membentangkan pelbagai teori pembelajaran, kaedah pengajaran, proses perkembangan mental dan sikap, pengelolaan dan pengawalan kelas untuk meningkatkan keberkesanan pembelajaran dan pengajaran.  Bidang ini juga menitikberatkan keupayaan mental manusia seperti pemikiran, penanggapan, penaakulan, ingatan, kreativiti dan perbezaan individu dari segi kecerdasan, sikap dan minat. Pendidikan akan menyediakan pengalaman bagi seseorang individu.  Dengan pengalaman ini, perubahan tingkah laku individu itu akan berlaku. Adalah jelas sekali bahawa mutu pengajaran dan pembelajaran yang diambil oleh seorang guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat meningkatkan pencapaian murid di sekolah.

2.0          TUJUAN KAJIAN
Kajian ini adalah bertujuan untuk :
Mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi aspek pencapaian akademik murid  yang baik dan pencapaian akademik murid yang lemah berpandukan teori-teori psikologi pendidikan.

            Mencadangkan langkah-langkah bernas yang boleh diambil oleh seoarang guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan murid-murid yang mempunyai pencapaian akademik tidak sama.



3.0       KAJIAN KES
            3.1       Dapatan kajian
Setelah menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) yang saya jalankan di sekolah Sk Sebanban, Serian. Dimana saya telah dapat menyiapkan kajian mengenai pencapaian akademik baik dan pencapaian akademik lemah di antara dua pelajar. Kajian ini telah saya jalan kan selama seminggu termasuk sabtu dan ahad.  Memandangkan salah seorang kanak-kanak yang menjadi bahan kajian saya adalah merupakan anak jiran saya yang berumur 8 dan 9 tahun.  Mereka berdua adalah merupakan murid tahun dua dan tahun tiga di sekolah Sk Sebanban, Serian.

            Kanak-kanak pertama yang saya terlibat dalam kajian saya ini ialah Emmarina Irene ak Maria.  Dia lebih suka sekiranya saya memanggil namanya Emma.  Emma mempunyai 5 orang adik beradik dan dia berumur 8 tahun. Kanak-kanak ini merupakan seorang anak yang lahir tanpa bapa.  Perkara ini dapat saya lihat dari kad kliniknya.  Jadi dapat saya simpulkan bahawa Emma ini tidak mengenali bapa kandungnya sendiri dan dia merupakan anak luar nikah. Dari yang saya lihat dan temubual bersama Tuai Rumah, keluarga Emma ini adalah golongan keluarga yang sangat miskin.  Ini kerana hanya ibunya sahaja yang mencari pendapatan untuk mereka 5 orang adik beradik yang masing-masing berumur 4-12 tahun.

            Di dalam kelas semasa sesi pengajaran dan pembelajaran Emma adalah merupakan seorang kanak-kanak yang sangat pendiam dan sensitif. Emma suka menangis dan masih belum dapat mengawal emosinya sendiri. Dia suka menyendiri dan tidak mempunyai rakan yang rapat.  Emma juga selalu tidak mengendahkan segala pertanyaan yang saya berikan. Melalui temubual bersama kenalan emaknya, dia menyatakan bahawa emaknya adalah seorang yang buta huruf. Ini kerana dia tidak pernah bersekolah. Jadi dia mengaku bahawa agak susah untuk membimbing anak-anaknya dalam pelajaran kerana dia sendiri pun buta huruf dan tidak pernah bersekolah. Ini bermakna Emma hanya berpeluang mendapat pendidikan di sekolah sahaja.


            Kanak-kanak kedua yang saya libatkan dalam kajian kes saya ini ialah Nur Atierah Binti Salim. Dia berumur sembilan tahun. Atierah merupakan seorang anak tunggal dalam keluarganya. Emaknya seoarang yang berpendidikan dan bersekolah setakat tingkatan enam.  Manakala bapanya pula adalah tukang masak di sekolah SMK Serian. Di dalam kelas semasa sesi pengajaran dan pembelajaran, Atierah adalah merupakan seoarang kanak-kanak yang aktif.  Walaupun umurnya baru sembilan tahun tetapi ingatannya sangat baik.  Dia merupakan seoarang kanak-kanak yang cepat menerima pembelajaran. Lembaran kerja yang di berikan disiapkan dalam masa yang singkat. Dia mempunyai ramai kawan dan aktif. Maka dapat saya simpulkan bahawa kanak-kanak ini mempunyai pontensi untuk berjaya. Melalui pentaksiran dan penilaian yang telah saya buat, saya telah mendapati perbezaan yang sangat ketara di antara Emma (8 tahun) dan Atierah (9 tahun).  Emma masih belum dapat menguasai 3M (Membaca, Mengira, Menulis).  Manakala Atierah sudah menguasi 3M tersebut.  Tambahan pula saya mendapati bahwa Atierah yang berusia 9 tahun, lebih tua dari Emma lebih menonjol dalam setiap tunjang kurikulum di sekolah.
           
            Kedua-dua orang kanak-kanak ini mempunyai banyak perbezaan yang ketara.  Baik dari segi umur, jantina, kecerdasan, kebolehan dan sebagainya. Menurut Woolfolk (1997), teori kecerdasan awal adalah memfokus kepada 3 elemen, pertamanya tentang keupayaan untuk belajar .  Kedua , keseluruhan pengetahuan yang telah individu perolehi dan ketiga ialah kebolehsuaian seseorang kepada situasi atau persekitaran baru.  Ketiga-tiga elemen ini, boleh dilihat dari keadaan kedua-dua sasaran kajian saya.  Dimana saya telah mengenalpasti Atierah mempunyai keupayaan untuk belajar, dia dapat mengadaptasikan keseluruhan pengetahuan yang diperolehinya di dalam bilik darjah.  Menurut guru kelasnya, Atierah seringkali berupaya memahami apa yang diajar dan menghantar latihannya.  Bahkan setiap latihan yang dihantar selalu tepat dan menepati objektif, berbanding dengan Emma, dia jarang menyiapkan latihan yang diberikan kepadanya. Dalam elemen yang ketiga pula, kedua-kedua kanak-kanak ini mempunyai kebolehan menyesuaikan diri dengan situasi dan persekitaran yang berbeza-beza.  Dalam teori kecerdasan awal ini, seseorang kanak-kanak biasanya mempunyai kecerdasan awal dimana mereka boleh berhadapan secara posiitif dalam persekitaran yang baru. Perkara ini saya dapat lihat dalam diri Atierah.

            3.2       Teori-Teori Pembelajaran

Teori membantu guru untuk memahami asas masalah pembelajaran khususnya dalam konteks pendidikan khas. Teori dapat memberi panduan atau kaedah yang berkesan dan bersesuaian untuk menyelesaikan masalah murid. Antara fungsi teori kepada guru ialah teori membantu untuk seseorang guru membuat penilaian, menyemak bahan, teknik, kaedah pembelajaran yang boleh digunakan kepada pelajar, teori memberi panduan pengetahuan yang sistematik dan konsep bekerja bagi membolehkan pengubahsuaian sesuatu ilmu baru dan ia amat penting kerana memberi arah panduan menjelaskan dengan lebih teratur struktur pemikiran dan ini membentuk tindak balas yang diingini berlaku, teori ialah pembentukan secara berproses. Setiap disiplin dibina berdasarkan konsep dan idea yang dikembangkan oleh teori sebelumnya. Teori adalah cabaran, kekuatan, bagi pengkaji dan ahli akademik untuk mempraktik dan membuat penilaian bagi membuktikan teori yang dikeluarkan oleh golongan ini bersesuaian dan berguna serta berhasil.

            Menurut Thomas ( 1985), sesuatu teori dikatakan baik apabila mempunyai ciri-ciri seperti dapat menjelaskan fakta-fakta dengan jelas, mudah difahami, berguna untuk membuat ramalan masa hadapan dan memperjelas perkara-perkara yang sudah lepas, boleh diterapkan secara praktikal, bersifat konsisten dan tidak berasaskan banyak andaian (kepercayaan-kepercayaan yang tidak dapat dibuktikan). Dalam pengajaran dan pembelajaran kemahiran hidup banyak kerja-kerja amali perlu dilakukan oleh murid supaya benar-benar dapat memahami sesuatu kemahiran. Perkara ini berkait rapat dengan realiti kehidupan mereka di luar. Jadi, untuk menentukan objektif pengajaran dan pembelajaran ini tercapai dan dikuasai oleh murid khas, guru harus memikirkan bagaimana untuk memaksimumkan penguasaan murid ini dengan menggunakan teori-teori yang sesuai dan berkesan dalam pengajaran mereka. Terdapat beberapa teori pengajaran dan pembelajaran dibincangkan supaya boleh membantu guru mengamalkannya dan membuat penilaian semasa pengajaran.


4.0       FAKTOR- FAKTOR YANG MEMPENGARUHI ASPEK PENCAPAIAN AKADEMIK KEDUA-DUA ORANG MURID.
Hasil daripada kajian yang telah saya buat, saya dapat mengesan dan mengenalpasti teori-teori yang boleh diguna pakai menjadi faktor-faktor yang telah mempengaruhi perbezaan pencapaian akademik kedua-dua murid saya ini iaitu Emmarina Ng dan Nur Atierah  adalah seperti berikut:

4.1       Teori Pembelajaran Behavioris
Faktor yang mempengaruhi pencapaian akademik Emmarina Ng dan Nur Atierah ialah perbezaan pengalaman atau latihan yang diperolehi di sekolah mahupun di rumah. Menurut Williams & Anandam (1973), pembelajaran sebagai perubahan tingkah laku kekal yang dihasilkan daripada pengalaman atau latihan. Teori pembelajaran Behaviorisme mengatakan bahawa pembelajaran merupakan satu proses pelaziman, dimana hubungan antara rangsangan luar dengan tindak balas individu dapat dibina untuk menghasilkan perubahan tingkah laku yang tekal. Tokoh-tokoh mazhab behavioris seperti Pavlov, Thorndike dan Skinner berpendapat bahawa pembelajaran merupakan suatu tingkah laku yang boleh diperhatikan, dikawal dan diramal.

            Dari perspektif behaviorisme, pembelajaran hanya bermula apabila wujudnya tindak balas terhadap suatu rangsangan yang diberi. Proses pembelajaran akan diteruskan jika terdapat motivasi ekstrinsik yang sesuai (sama ada peneguhan positif atau negatif) sementara pembelajaran dikatakan berakhir apabila perubahan tingkah laku dapat dibentuk dan dikekalkan. Behaviorisme merupakan satu pendekatan pemikiran yang menekankan peranan pengalaman dalam mengawal tingkahlaku. Menurut ahli-ahli behaviorisme, proses-proses penting yang mengawal tingkahlaku ini adalah dipelajari. Kedua-duanya, iaitu dorongan yang membangkitkan tingkahlaku serta tingkahlaku tertentu yang dibangkitkan daripada dorongan ini dipelajari melalui interaksi dengan persekitaran. Antara matlamat yang utama pemikiran ini ialah untuk menentukan hukum-hukum ataupun prinsip-prinsip yang mengawal pembelajaran.

            Teori Behaviorisme menumpukan perhatian kepada faktor persekitaran sebagai faktor yang mempengaruhi tingkah laku. Ahli-ahli behavioris melihat perhubungan antara persekitaran dengan tingkah laku dan kemudiannya menggunakan konsep peneguhan dan dendaan untuk menjelaskan mengapa sesetengah tingkah laku itu wujud atau tidak wujud. Mereka berpendapat kecenderungan-kecenderungan tingkah laku termasuk trait-trait, bakat, nilai-nilai, kepercayaan–kepercayaan, aspirasi dan lain-lain adalah dipelajari. Antara andaian ahli behaviorisme ialah tingkah laku boleh diukur, diperhatikan dan dianalisa dengan melihat gerak balas individu. Gerak balas bergantung kepada peneguhan dan dendaan. Matlamat behavioris ialah melihat kaitan rangsangan dengan gerak balas dan melihat bagaimana gerak balas ini boleh dikawal melalui ganjaran dan dendaan. Ahli-ahli behaviorisme menggunakan konsep pelaziman klasik dan pelaziman operan apabila menjelaskan proses pembelajaran (Jalongo dan Isenberg 2000).

            Dalam kajian saya telah mendapati bahawa faktor persekitaran sebagai faktor yang mempengaruhi tingkah laku Atierah dan Emma dan seterusnya telah memberi impak kepada proses pembelajarannya. Perkara ini boleh dilihat pada sifat yang ada pada Emma, dia merupakan seorang kanak-kanak yang emosinya kurang stabil kerana tertekan di rumah.  Dia sangat pendiam dan tidak mempunyai kawan rapat semasa di dalam kelas.  Emma lebih suka menyendiri daripada mempunyai kawan. Emma juga seorang yanag emosional dan agresif, sekiranya ada rakan yang mengganggu, dia akan menangis dan menjerit marah. Dengan persekitaran yang dilalui oleh Emma ini menyebabkan akademiknya tidak mencapai tahap yang baik.  Ini kerana dia bersikap pasif dan tidak mahu bertanya.  Dia lebih suka menyiapkan kerjanya mengikut caranya sendiri.  Lagipun rakan-rakan sekelas akan takut dan tidak suka berdekatan dengannya kerana sikap emosionalnya.

            Berlainan pula dengan Atierah, dia mempunyai ramai kawan. Tidak cepat melenting apabila ditegur kesalahannya malah akan cuba untuk memperbaikai kelemahan tersebut. Dia suka berkawan dan peramah ini kerana Atierah telah diajar di rumah mengenai hal tersebut. Suka mencuba dan mempunyai daya usaha yang tinggi, tidak mudah berputus asa dan sentiasa berusaha untuk memajukan diri. Jadi dengan memiliki sifat yang diwarisi daripada baka ibu bapa nya ini Atierah telah menunjukkan pencapaian akademik yang baik.

            4.2       Teori Pembelajaran Kognitif
Teori pembelajaran kognitif memfokuskan bahawa setiap manusia mempunyai keupayaan mental untuk mengelola, menyusun, menyimpan dan mengeluarkan semula segala pengalaman untuk membolehkan ia memerhatikan pertalian antara pengalaman tersimpan dengan masalah  yang dihadapi. Ahli-ahli psikologi kognitif berpendapat bahawa pembelajaran adalah mudah dan ia tidak selalunya berlaku melalui cuba jaya sebagaimana yang dicadangkan oleh mazhab behaviorisme. Menurut psikologi ini, dalam pembelajaran, murid membentuk struktur kognitif dalam ingatannya. Setiap kali murid belajar, ia akan menyusun segala pengalaman dan menyimpannya dalam ‘ingatan’. Kebolehan ini dikenali sebagai celik akal. Dengan itu, nyatalah seseorang individu jarang menggunakan cara cuba jaya untuk mempelajari sesuatu.

            Teori kognitif berpegang kepada persoalan bagaimana kita mengetahui, memperolehi, memproses dan menggunakan maklumat. Jadi, dalam mendidik murid-murid khas , guru perlulah menyesuaikan segala teori-teori yang ingin digunakan. Ada kalanya teori behaviorimse penting digunakan demikianlah juga dengan teori kognitif. Semua teori boleh diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Sebenarnya Emma masih belum mempunyai kesediaan belajar yang tinggi dan masih takut-takut untuk mencuba sesuatu yang baru.  Manakala Atierah telah mempunyai kesediaan belajar yang tinggi.  Ini kerana kelemahan Emma dalam pencapaian akademik telah membuktikan perkara ini.  Dia masih tidak dapat mengikuti proses  pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

            Manakala sebaliknya pula dengan Atierah. Dia dapat mengikut pengajaran dan pembelajaran dengan baik dan ini telah memberi impak kepada pencapaian akademiknya di sekolah. Teori pembelajaran kognitif memfokuskan bahawa setiap manusia mempunyai keupayaan mental untuk mengelola, menyusun, menyimpan dan mengeluarkan semula segala pengalaman untuk membolehkan ia memerhatikan pertalian antara pengalaman tersimpan dengan masalah  yang dihadapi dan ini adalah peneguhan positif yang mendorong individu untuk mengejar kejayaan. Dalam pemerhatian saya ibubapa Atierah seringkali memberikan rangsangan dan dorongan kepadanya.

            4.3       Teori Pembelajaran Sosial
Albert Bandura memperkenalkan teori pembelajaran sosial iaitu pembelajaran berlaku melalui proses peniruan. Bandura (1977) berpendapat, kita belajar melalui pemerhatian dan meniru orang lain serta dengan melihat konsekuen tingkah laku orang lain. Bandura berpendapat bahawa pembelajaran dan tingkah laku manusia bergantung kepada pemerhatian seseorang individu itu terhadap individu lain atau model-model simbolik seperti televisyen dan sebagainya. Peniruan selalunya diteguhkan. Pembelajaran pemerhatian dapat juga diterangkan melalui prinsip pelaziman klasik. Oleh yang demikian, teori pembelajaran sosial Bandura,menekankan peranan kognitif dan juga pengaruh persekitaran dalam perkembangan.

            Faktor ini yang mneyebabkan perbezaan diantara Emma dan Atierah adalah dipengaruhi proses peniruan. Peniruan di sini telah membawa maksud individu dan objek yang ditemui serta peristiwa yang berlaku di dalam kehidupan seseorang yang mempengaruhi pertumbuhan yang berlaku di dalam kehidupan seseorang yang mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan diri. Ini telah memberi makna bahawa peniruan adalah merupakan perkara yang bukan genetik yang mempengaruhi seseorang individu (Papalia, 2001). Faktor peniruan ini juga merangkumi persekitaran telah disokong oleh ahli-ahli psikologi behaviorisme dan sosial kognitif seperti Albert Bandura, Ivan P. Pavlov dan skinner dalam teori yang mereka ketengahkan. Dalam Teori Pembelajaran sosial misalnya Albert Bandura (1977) mengatakan seseorang individu akan membentuk satu idea melalui proses pemodelan.  Mereka akan memerhati orang di sekeliling mereka.  Hal ini bermaksud peniruan seseorang individu itu boleh memberi kesan alam perkembangan pembelajarannya.



            4.4       Teori Pembelajaran Humanis
Teori pembelajaran humanis menumpukan pada apa yang berlaku pada diri seseorang seperti perasaan atau emosinya. Pendekatan humanis menekankan fikiran, pengamatan serta interpretasi murid tentang sesuatu peristiwa atau kejadian itu. Prinsip teori humanis ini adalah, seseorang murid itu bertanggungjawab ke atas tindakannya. Contohnya kalau murid ingin berjaya, maka dia perlu berusaha mencapainya ke arah itu. Setiap murid juga mempunyai keperluan mengembangkan potensinya ke tahap maksimum. Teori humanis menekankan objektif berikut meningkatkan arah kendiri dan kebebasan murid. Membantu murid agar lebih bertanggungjawab dalam menentukan perkara yang ingin dipelajari oleh mereka. Meningkatkan daya cipta murid. Mengembangkan minat dalam bidang seni. Meningkatkan naluri ingin tahu murid.

            Asas teori ini adalah kepercayaan seseorang murid mempunyai keperluan untuk pencapaian hasrat diri. Guru perlulah membantu murid mencapai hasratnya. Ini berlaku kerana dalam pengajaran secara humanis, pembelajaran arah kendiri amat ditekankan. Prinsip-prinsip pembelajaran humanis adalah seperti berikut murid akan belajar apa yang dikehendaki oleh mereka dan yang ingin diketahui. Keinginan untuk belajar dan mengetahui cara belajar lebih penting daripada pemerolehan fakta. Penilaian yang dibuat oleh murid sendiri lebih bermakna bagi dirinya. Perasaan murid adalah sama penting dengan fakta. Pembelajaran cara merasa adalah sama penting dengan pembelajaran berfikir. Pembelajaran hanya berlaku jika murid tidak berasa terancam.

            Asas teori ini dapat saya kesan pada murid yang saya kaji iaitu Atierah.  Oleh kerana dia memiliki motivasi yang tinggi maka kecerdasan pembelajarannya adalah sangat baik dan ini akan menyebabkan pencapaian akademiknya sangat baik berbanding Emma yang kurang bermotivasi. Iaitu tidak yakin dimana ia merupakan sikap yang kurang gemar bersama orang lain, suka menyendiri, tidak suka dengan orang baru, tidak suka berbicara didepan umum, kurang percaya diri,  pemalu dan pendiam.  Kurangnya motivasi diri ini akan menyebabkan Emma menghadapi maslah pencapaian akademik yang lemah.  Ini kerana sifatnya yang pemalu dan tidak yakin pada diri. Malah dia juga tidak suka bertanya dan lebih suka membuat sesuatu secara sendirian.
5.0       LANGKAH-LANGKAH YANG BOLEH DIAMBIL OLEH SEORANG GURU DALAM PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN YANG MELIBATKAN MURID-MURID YANG MEMPUNYAI PENCAPAIAN AKADEMIK TIDAK SAMA
            5.1       Mempelbagaikan bahan bantu mengajar
Guru perlu menggunakan pelbagai bahan bantu mengajar seperti penyampaian maklumat melalui transperansi, laman web atau pencarian internet, carta dan lain-lain lagi. Ini adalah sesuai kerana di dalam sesebuah kelas ada murid yang peka kepada audio, ada yang tertarik kepada visual dan yang tertarik kepada kinestetik. Pembelajaran melalui akhbar di dalam bilik darjah adalah satu cara pengajaran yang boleh merangsang minda murid berfikir, kerana terdapat banyak pengetahuan yang boleh didapati di dalam surat khabar tersebut.

            Pembelajaran berbantukan komputer juga dapat merangsang minat murid untuk belajar. Soalan-soalan yang diberikan adalah mengikut aras soalan daripada yang mudah hingga susah.  Oleh itu, murid yang lemah, sederhana dan pandai dapat menjawab soalan mengikut tahap keupayaan masing-masing. Pembelajaran berbantukan komputer amat menarik digunakan kerana mengandungi elemen-elemen visual grafik yang dapat menarik perhatian murid contohnya animasi kartun.
           
            5.2       Mempelbagaikan strategi pengajaran dan pembelajaran
Strategi dan kaedah pengajaran guru berfungsi sebagai satu panduan pengajaran ke arah keberkesanan pengajaran dan pembelajaran guru di dalam kelas. Guru perlu mempelbagaikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran untuk menarik minat murid supaya dapat mengikuti pengajaran dan pembelajaran sehingga tamat. Antaranya, kuiz, perbincangan, percambahan idea, lakonan, simulasi, kaedah penyoalan, projek dan lawatan.

            Guru juga boleh menngunakan pelbagai soalan bagi mengetahui tahap pencapaian dan kebolehan muridnya. Penyoalan boleh dilakukan dalam bentuk pengetahuan, pemahaman, aplikasi, analisis, sintesis dan penilaian. Contoh, guru boleh memulakan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas dengan memulakan set induksi menggunakan tayangan video, bercerita, bernasyid dan sebagainya. Secara langsung dapat menggalakkan penglibatan murid-murid dan meningkatkan motivasi untuk belajar.
           
            5.3       Peneguhan positif dan negatif
Semasa berlakunya aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, guru hendaklah memberi peneguhan positif kepada murid yang menunjukkan tingkah laku yang baik. Murid-murid akan berasa dihargai apabila dipuji oleh guru. Guru boleh membuat peneguhan positif dengan mengatakan “bagus”apabila murid dapat memberi jawapan yang betul ketika sesi soal jawab di dalam kelas. Peneguhan positif juga boleh diberikan dengan memberikan simbol bintang pada buku latihan murid kerana dapat menyiapkan kerja dengan tulisan yang kemas dan cantik.

            Manakala, peneguhan negatif untuk mengelakkan tingkah laku yang yang tidak disukai. Contoh, guru yang hendak mengelakkan muridnya membuat bising akan mengatakan bahawa, “Saya akan membenarkan murid yang telah menyiapkan kerja keluar rehat lebih awal”. Oleh itu, murid akan menyiapkan kerja yang diberikan untuk keluar rehat lebih awal. Selain itu, guru juga boleh menggunakan prinsip Premack atau “grandmother’s rule, iaitu dengan menyatakan , “ Murid yang membuat kerja dengan tulisan yang cantik dan kemas akan dibenarkan membaca komik “Naruto”. Ini bermakna murid akan membuat latihan yang diberikan dengan teliti untuk mendapatkan sesuatu yang disukainya.

            5.4       Perbezaan gaya kognitif dan gaya belajar
Sebagai seorang guru yang telah lama mengajar di sesebuah kelas atau sekolah, kita  akan dapat mengesan gaya kognitif dan gaya belajar bagi setiap orang pelajar-pelajarnya yang mempunyai banyak perbezaan. Ada yang suka belajar menggunakan audio, ada yang suka visual, ada yang memproses maklumat secara global dan ada pula yang secara analitikal. Perkara ini perlu difahami supaya kita sebagai seorang guru dapat menyediakan bahan-bahan pembelajaran yang bersesuaian dan menarik minat murid.
            Teori yang dapat digunakan ialah Teori Pelaziman Operan Thorndike.  Dimana kita boleh menggunakan hukum pembelajarannya.  Iaitu Hukum kesediaan, Hukum Latihan dan Hukum Kesan.  Disini saya akan menerapkan Hukum Latihan, dimana sebagai guru kita membuat pengukuhan melalui latihan yang berulang-ulang. Menurut Thorndike (1913), perkaitan antara rangsangan dan gerakbalas (R-G) akan bertambah kukuh melalui latihan yang diulang-ulang.  Latihan pengukuhan ini boleh diberikan kepada kanak-kanak seperti Clara.  Ini akan membuat dia dapat mengingat dan menghafal sesuatu kemahiran yang kita ajar kepadanya.

            Seterusnya Hukum Kesediaan.  Menurut Thorndike (1913) apabila seseorang itu bersedia untuk melakukan sesuatu tindakan, maka tindakan itu akan dapat memberi kepuasan kepadanya.  Contohnya, seseorang mesti sudah bersedia dari segi psikomotor.kesediaan afektif dan kesediaan kognitif.  Ini kerana sekiranya murid melakukan sesuatu secara sukarela dan bersedia dia akan bersedih sekiranya tidak melakukannya, tetapi jika secara terpaksa dia akan melakukannya secara tidak sempurna iaiatu tidak dapat menerima pembelajaran dengan baik sekiranya belum beersedia.

            5.5       Pembelajaran Koperatif
Pembelajaran koperatif ialah pembelajaran di dalam kumpulan heterogenius di mana biasanya terdapat murid cerdas dan lambat. Di dalam aktiviti pembelajaran ini, murid cerdas dikehendaki membantu murid lemah. Murid yang cerdas akan bersungguh-sungguh membantu murid yang lemah kerana markah yang diperoleh setiap individu di dalam kumpulan akan menjadi markah kumpulan. Secara tidak langsung, dapat memupuk semangat bekerjasama apabila setiap kumpulan bersaing satu sama lain.

            Kaedah pengajaran ini adalah menggunakan idea “perancah” (scaffolding) dalam Teori Perkembangan Kognitif Vygotsky, di mana murid cerdas akan membimbing pelajar lemah di dalam zon perkembangan proksimal. Ini kerana, ada kalanya pengajaran rakan sebaya lebih berkesan daripada guru, kerana pemikiran lateral boleh digunakan oleh pelajar yang cerdas ini.

            5.6       Kaedah kumpulan
Di dalam sesebuah kelas terdapat beberapa orang murid yang mempunyai tahap keupayaan yang berbeza-beza. Oleh itu, guru boleh menggunakan kaedah kumpulan untuk menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran berdasarkan tahap keupayaan murid. Ini dapat memudahkan guru menyediakan latihan atau bahan sumber pengajaran dan pembelajaran.

            Guru boleh mengasingkan murid yang lemah, sederhana dan pandai dalam kumpulan yang ditetapkan. Dengan cara ini, guru dapat memantau prestasi setiap kumpulan berdasarkan tahap keupayaan dan kecerdasan murid-murid tersebut. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran juga tidak membebankan murid kerana guru menggunakan aras yang berbeza untuk setiap kumpulan.Guru juga perlu membuat carta kemajuan dan rekod profil untuk setiap murid-muridnya. Hasil pemerhatian guru dan pencapaian murid perlu dicatat dari masa ke masa.

            5.7       Penyampaian guru
Guru wajar menjadikan diri mereka sebagai penghibur yang berbakat. Dalam mata pelajaran sastera dan bahasa, seorang guru sepatutnya mengasah bakat mereka untuk bercerita, berseloka, bersyair dan berpantun. Dalam mata pelajaran Matematik dan Sains, guru sepatutnya mampu menjadi magician dan saintis. Sekiranya guru mampu mempelbagaikan penyampaiannya, murid-murid akan mendapat manfaat walaupun wujud perbezaan antara murid.




6.0       KESIMPULAN
Secara keseluruhannya para guru memainkan peranan yang penting dalam menghadapi masalah murid lemah ini agar dapat setanding dengan murid yang pintar.  Guru yang berpotensi akan membentuk suatu usaha yang teratur, mempunyai sistem, tertib serta optimum bagi menyatu padukan semua kompenen pembelajaran.  Seperti yang kita sedia maklum, alam persekolahan merupakan tahap pembelajaran kanak-kanak yang paling awal di dalam kehidupanya selain daripada pendidikan ibu bapa itu sendiri di rumah.  Maka guru yang proaktif dan berkesan perlu memainkan peranan mereka dalam mengenalpasti faktor-faktor yang mempengaruhi pencapaian murid lemah. Mereka perlu bijak menyeimbangkan murid lemah dan murid pintar agar dapat berjalan seiringan. Selain itu, seseorang guru juga seharusnya mengetahui malah menguasai ilmu-ilmu psikologi pendidikan agar dapat diterapkan menjadi suatu kemahiran sekaligus  mengaplikasikanya dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

            Pencapaian akademik murid yang berbeza adalah disebabkan oleh faktor baka, persekitaran, personaliti, gaya kognitif dan gaya belajar, jantina, mahupun kesihatan. Ini kerana setiap murid mempunyai perbezaan individu tersendiri. Oleh itu, setiap guru perlu mengenalpasti apakah tahap kecerdasan murid di dalam kelas. Ini untuk memudahkan guru menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran mengikut tahap keupayaan seseorang murid itu. Langkah-langkah mengatasi yang boleh di ambil oleh guru ialah mengaplikasikan kaedah kumpulan, pembelajaran koperatif, memberi peneguhan positif dan negatif, mempelbagaikan strategi pengajaran dan pembelajaran serta mempelbagaikan bahan bantu mengajar.


            Guru juga perlu mengenalpasti dan memahami setiap masalah yang berlaku pada  murid-muridnya. Keprihatinan dan kerjasama guru membantu murid yang mengalami masalah perbezaan individu ini akan dapat melahirkan modal insan yang cemerlang suatu hari nanti. Ini sejajar dengan hasrat Falsafah Pendidikan kebangsaan  bahawa modal insan yang dilahirkan haruslah seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Guru bukan sahaja menyampaikan ilmu pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas malah memainkan peranan amat penting iaitu mendidik dan membimbing murid menjadi insan yang berguna, cemerlang, gemilang dan terbilang pada masa hadapan.

2 comments:

  1. Assalamualaikum. Aiman nak minta izin copy bagi pihak mak Aiman. Harap diizinkan.

    ReplyDelete