. Amoi Chantek Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Sunday 10 November 2013

BAB SATU:
PENGENALAN KEPADA KURIKULUM SEJARAH
LAPAN fokus utama dalam bab ini termasuklah:
1.    Latar Belakang Kurikulum Sejarah
2.    Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)
3.    Asas Penggubalan KSSR
4.    Bentuk KSSR
5.    Elemen Merentas Kurikulum (EMK)
6.    Kurikulum Berasaskan Standard
7.    Kurikulum Sejarah berkaitan: i. Huraian dan Perincian; ii. Bentuk Kurikulum;
iii. Rasional Kurikulum Sejarah; iv. Komponen Kurikulum Sejarah
8.    Kaitan Kurikulum dengan Kehidupan Individu, Masyarakat dan Negara
 
 1.1 LATAR BELAKANG KURIKULUM SEJARAH
§  Di bawah kurikulum baharu iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), mata pelajaran Sejarah menjadi mata pelajaran teras yang wajib dipelajari oleh semua murid mulai Tahun Empat di Tahap II.

Kronologi Pengenalan Kurikulum Sejarah di Sekolah Rendah
14 Oktober 2008:
§  Idea memperkenalkan mata pelajaran Sejarah di sekolah rendah telah mula diketengahkan oleh YAB Perdana Menteri pada masa tersebut iaitu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam satu kenyataannya pada 14 Oktober 2008 ketika merasmikan Bangunan Wisma Sejarah Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) di Kuala Lumpur.

§  Menurut DS Abdullah, kerajaan mencadangkan mata pelajaran Sejarah diwajibkan di semua sekolah rendah di seluruh negara bagi mendedahkan para pelajar kepada sejarah pembangunan negara bermula daripada peringkat umur rendah.

§  DS Abdullah dipetik sebagai berkata, “Sejarah adalah elemen penting dalam peradaban bangsa. Generasi muda perlu mendalami pengetahuan mengenai sejarah bangsa dan pembangunan negara.”

14 Jun 2009:
§  Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom mengumumkan hasrat kerajaan menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai salah satu mata pelajaran wajib di sekolah rendah.

§  Pengenalannya adalah selaras dengan transformasi sistem pendidikan negara dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010.

§  Pengenalan mata pelajaran Sejarah akan dimulakan di 500 buah sekolah perintis di seluruh negara bermula tahun 2010 atau 2011 yang belum dimuktamadkan pada ketika itu.

§  Mata pelajaran Sejarah akan diajar bermula dari Tahun Satu dan bakal menggantikan mata pelajaran Kajian Tempatan.


25 Ogos 2010:
§  Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi mengumumkan bahawa Kementerian Pelajaran telah memutuskan bahawa mata pelajaran Sejarah akan mula diajar di sekolah rendah bermula tahun 2014.

§  Mata pelajaran Sejarah di sekolah rendah akan diajar menggunakan pendekatan education is fun menerusi pendekatan seperti kuiz, lawatan ke tempat bersejarah dan rombongan ke Parlimen.


24 Oktober 2010:
§  YAB Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan keputusan kerajaan yang akan melaksanakan pengenalan mata pelajaran Sejarah di bawah Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bermula tahun 2014.

§  Tempoh yang agak panjang itu diambil bagi menyelaraskan pusingan awal KSSR yang dimulakan dengan murid Tahun Satu pada sesi persekolahan 2011 yang hanya akan menjengah ke Tahun Empat pada tahun 2014.

§  Tempoh itu juga adalah mencukupi bagi pihak Kementerian Pelajaran Malaysia menyediakan latihan dan tenaga guru yang cukup bagi opsyen Sejarah seiring dengan hasrat kerajaan menjadikan Sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula tahun 2013.

§  Pengenalan mata pelajaran Sejarah di bawah KSSR akan menggantikan mata pelajaran Kajian Tempatan yang akan dimansuhkan secara berperingkat sehingga pusingan pertama KSSR tamat pada tahun 2016.



Latar Belakang Kurikulum Standard Sejarah Sekolah Rendah

§  Di bawah kurikulum baharu iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), mata pelajaran Sejarah menjadi mata pelajaran teras yang wajib dipelajari oleh semua murid mulai Tahun Empat di Tahap II dan dikenali sebagai Kurikulum Standard Sejarah Sekolah Rendah.

§  Pengenalan mata pelajaran Sejarah di sekolah rendah bermula dari Tahun Empat adalah bertujuan untuk menyemai kefahaman murid terhadap mata pelajaran Sejarah di peringkat awal agar murid memperoleh dan menguasai pengetahuan serta kemahiran sejarah.

§  Pendekatan PdP mata pelajaran Sejarah di sekolah rendah akan menjurus kepada pemupukan kemahiran berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif melalui aktiviti inkuiri penemuan dan penerokaan bagi mengukuhkan pemahaman tentang sejarah.

§  Mata pelajaran Sejarah di peringkat sekolah rendah merupakan kesinambungan ke peringkat sekolah menengah sebagai suatu disiplin ilmu yang dinamik.



§  Pembentukan kurikulum Sejarah dalam KSSR memberikan penekanan kepada domain kognitif, efektif dan psikomotor. Selain itu, pelbagai nilai tambah lain turut diterapkan dalam Sejarah KSSR termasuklah:

Nilai Tambah Alaf Baru

Kemahiran Berfikir;
Kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK);
Kemahiran Pelbagai Kecerdasan;
Kemahiran Kajian Masa Hadapan;
Kemahiran Pembelajaran Sepanjang Hayat.

Pemupukan Nilai

Nilai-nilai Murni;
Semangat Patriotisme;
Elemen Kewarganegaraan;
Nilai Sivik.



§  Kurikulum Sejarah KSSR menyepadukan pengetahuan, kemahiran, elemen kewarganegaraan dan nilai sivik dalam perlaksanaannya di dalam dan luar bilik darjah.
SEJARAH KSSR
1. Sejarah Awal Negara
2. Kedaulatan Negara
3. Kemakmuran Negara
TUJUH
DIMENSI
KEWARGANEGARAAN
3.    Perkongsian Sejarah
4.    Perkongsian Nilai
5.    Perkongsian Masa Hadapan
6.    Perasaan Kekitaan
7.    Komitmen
1.    Kesetiaan
2.    Keterikatan Emosi kepada Negara
Asas Kemahiran Pemikiran Sejarah
 


§  Elemen kewarganegaraan dan nilai sivik yang diterapkan dalam Sejarah KSSR bertujuan untuk dijadikan asas dalam melahirkan warganegara yang mempunyai identiti kebangsaan. Elemen ini dapat membentuk rakyat Malaysia yang mempunyai kesepaduan sosial dan integrasi nasional.

§  Pengetahuan dan pemahaman aspek sejarah negara dapat melahirkan murid yang berjiwa patriotik dengan memberi pendedahan menganalisis dan menilai fakta-fakta sejarah secara matang.

§  Kandungan mata pelajaran Sejarah di peringkat sekolah rendah bertujuan mendidik murid untuk memahami latar belakang negara dan sejarahnya dengan melihat perubahan yang berlaku serta kesinambungannya yang masih dikekalkan terutamanya dalam kehidupan masyarakat Malaysia.

§  Kandungan mata pelajaran sejarah disusun secara kronologi yang membincangkan pengenalan sejarah awal negara, kedaulatan dan kemakmuran negara. Pendekatan ini disusun mengikut tajuk supaya murid dapat menghargai sejarah tanah air dan kegemilangannya.

§  Bagi menarik minat murid terhadap pembelajaran Sejarah, mata pelajaran Sejarah KSSR akan menekankan pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan (learning is fun) termasuklah melalui:

1.    Kemahiran berfikir secara Kreatif;
2.    Kritis;
3.    Inovatif;
4.    Aktiviti Inkuiri;
5.    Penerokaan;
6.    Aplikasi Elemen Didik Hibur.





1.2 KURIKULUM STANDARD SEKOLAH RENDAH (KSSR)
§  Penggubalan sebuah kurikulum baharu yang digunapakai di sekolah rendah bertitik tolak daripada keputusan Mesyuarat Susulan Jemaah Menteri Bil. 6/2008 pada 23 Mei 2008 yang bersetuju untuk melaksanakan Transformasi Kurikulum Kebangsaan.

§  Transformasi kurikulum di peringkat sekolah rendah telah dicadangkan dalam usaha melakukan penambahbaikan dalam sistem pendidikan negara terutamanya di peringkat sekolah rendah supaya kurikulum persekolahan memenuhi keperluan dan cabaran semasa serta akan datang.

§  Kementerian Pelajaran Malaysia kemudiannya telah melaksanakan satu kajian dan mendapati wujudnya keperluan untuk melakukan transformasi terhadap kurikulum sekolah rendah sedia ada iaitu Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR).

§  Hasilnya, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) telah diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia bermula sesi persekolahan tahun 2011.

§  Pengenalan KSSR bukannya menggantikan sepenuhnya kurikulum lama di bawah KBSR, akan tetapi KSSR adalah merupakan penambahbaikan daripada kurikulum lama sedia ada di bawah KBSR.

§  Antara pembaharuan yang telah dilaksanakan melalui KSSR termasuklah:

1.    Fokus tiga kemahiran asas utama di bawah KBSR iaitu membaca, menulis dan mengira (3M) telah ditambah dengan kemahiran menaakul menjadikannya sebagai membaca, menulis, mengira dan menaakul (4M);
2.    Pengenalan elemen kreativiti, inovasi dan keusahawanan;
3.    Pengenalan elemen Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK)

§  Penambahbaikan kurikulum dalam KSSR adalah merupakan hasil daripada penandaarasan (benchmarking) yang dibuat ke atas sistem pendidikan di negara maju serta maklumbalas daripada pelbagai pihak termasuk badan akademik, pertubuhan-pertubuhan dan orang-orang perseorangan.


Hasrat KSSR
§  Melalui pengenalan KSSR, Kementerian Pelajaran Malaysia berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang, berfikiran kreatif, kritis dan inovatif melalui beberapa tunjang yang telah digariskan.

§  Antara hasrat yang disasarkan oleh kerajaan melalui pengenalan KSSR termasuklah:

1.    Warganegara Bertanggungjawab:
ú  Berbudi
ú  Bersatu padu
ú  Patriotik
ú  Adil
ú  Penyayang
ú  Berbakti

2.    Pekerja Berilmu:
ú  Inovatif
ú  Kreatif
ú  Dahagakan Ilmu
ú  Menguasai Kemahiran TMK
ú  Pencipta Teknologi
ú  Pembelajaran Sepanjang Hayat

3.    Global Player:
ú  Berdaya Saing
ú  Berdaya Tahan
ú  Kemahiran Berkomunikasi
ú  Jati Diri

4.    Murid yang Seimbang dari Segi Intelek, Rohani, Emosi, Jasmani dan Sosial:
ú  Berilmu pengetahuan
ú  Berketrampilan
ú  Percaya kepada Tuhan
ú  Berakhlak mulia
ú  Berkeyakinan
ú  Berdikari


1.3 ASAS PENGGUBALAN KSSR
§  Dalam merangka Kurikulum Standard Sekolah Rendah, beberapa teras utama telah dijadikan asas dalam menggubal sebuah kurikulum yang holistik dan mapan.

§  Antara teras-teras utama yang dijadikan asas dalam pembangunan kurikulum di bawah KSSR termasuklah:

1.    Falsafah Pendidikan Kebangsaan
2.    Dasar Pendidikan Kebangsaan
3.    Wawasan 2020
4.    Rancangan Jangka Panjang
5.    Cabaran Abad ke-21
6.    Model Baru Ekonomi
7.    Teori Pembelajaran (terkini)
8.    4 Tonggak UNESCO
                                              i.        Belajar untuk Mengetahui (Learn to know)
                                             ii.        Belajar untuk Bertindak (Learn to Do)
                                            iii.        Belajar untuk Hidup Bersama (Learn to Leaving Together)
                                           iv.        Belajar untuk Membentuk Peribadi (Learn to Be)
9.    Sumber Ilmu yang Muktabar


§  Selain itu, dalam menggubal KSSR, beberapa prinsip utama turut digunakan dalam menggubal sebuah kurikulum yang mampu melahirkan insan yang seimbang dan holistik.

§  Secara prinsipnya juga, KSSR telah mengekalkan kesemua prinsip KBSR. Antara prinsip yang dijadikan asas dalam menggubal KSSR termasuklah:




1.    Pendekatan Bersepadu:
Tumpuan utama diberikan kepada pendekatan bersepadu. Unsur-unsur pengetahuan, kemahiran dan nilai digabungkan supaya wujud kesepaduan dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial.

Perkaitan dengan Kurikulum Sejarah KSSR:
Kurikulum Sejarah KSSR digubal dengan menggabungkan unsur pengetahuan, kemahiran dan nilai iaitu -
Pengetahuan         :Mengetahui asas sejarah perkembangan negara
Kemahiran            :Mengaplikasi Kemahiran Pemikiran Sejarah (KPS)
Nilai                       :Menerapkan Elemen Kewarganegaraan dan Nilai Sivik


2.    Perkembangan Individu Secara Menyeluruh:
KSSR digubal untuk memastikan semua mata pelajaran berperanan untuk memenuhi keperluan intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial. Setiap potensi murid dikembangkan secara bersepadu.

Perkaitan dengan Kurikulum Sejarah KSSR:
Kurikulum Sejarah KSSR penting dalam memenuhi keperluan intelek, emosi dan sosial kepada setiap individu murid.

Intelek       : Memahami dan menilai setiap peristiwa sejarah dan 
                    kesinambungannya dalam kehidupan masa kini.

Emosi        : Mewujudkan keterikatan emosi kepada negara (dimensi
                    ketujuh dalam dimensi kewarganegaraan).

Sosial        : Mewujudkan persekitaran sosial yang baik di antara
                    masyarakat pelbagai kaum melalui perpaduan nasional.



3.    Pendidikan Saksama untuk Semua Murid:
KSSR memberi peluang yang luas dan saksama kepada semua murid untuk mendapatkan ilmu pengetahuan yang menyeluruh dan seimbang.

Perkaitan dengan Kurikulum Sejarah KSSR:
Mata pelajaran Sejarah KSSR telah dijadikan mata pelajaran teras bagi murid-murid Tahap Dua yang wajib dipelajari oleh semua individu murid.


4.    Pendidikan Seumur Hidup:
KSSR menyediakan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan oleh semua murid sebagai asas untuk menghadapi cabaran kehidupan seharian dan pendidikan sepanjang hayat.

Perkaitan dengan Kurikulum Sejarah KSSR:
Asas Kemahiran Pemikiran Sejarah (KPS) merupakan satu alat berfikir yang mampu diamal dan diaplikasikan sepanjang hayat dalam memahami dan menilai setiap peristiwa bersejarah dalam kehidupan.



4. BENTUK KSSR
§  Kurikulum Standard Sekolah Rendah menggunapakai konsep “tunjang” yang merupakan satu bentuk pengklasifikasian bidang ilmu, kemahiran dan nilai. Konsep ini berfokus kepada pembentukan modal insan yang seimbang dari segi intelek, rohami, emosi, jasmani dan sosial.

§  ENAM tunjang telah diperkenalkan di bawah KSSR yang mewakili bidang ilmu, kemahiran dan nilai yang menjadi asas kepada pembangunan insan yang berfikiran kreatif, kritis dan inovatif.

§  Tunjang-tunjang tersebut menggambarkan pengstrukturan secara eksplisit bidang ilmu, kemahiran dan nilai yang perlu dikuasai oleh murid. Setiap tunjang adalah saling berhubung kait dan bersepadu.



Komunikasi
Perkembangan Fizikal dan Estetika
Kemanusiaan
Ketrampilan Diri
Sains dan Teknologi
Kerohanian, Sikap dan Nilai
 








1. Tunjang Komunikasi:
ú  Tunjang Komunikasi memberi penekanan kepada proses menggabung jalin kemahiran berbahasa dalam bentuk lisan dan bukan lisan semasa berinteraksi.

ú  Tunjang ini memberi fokus kepada kemahiran bahasa seperti mendengar dan bertutur, membaca dan menulis, serta nilai tambah menaakul.

ú  Murid perlu menguasai kemahiran ini bagi membantu mereka dalam proses pemerolehan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam tunjang-tunjang yang lain. Penguasaan kemahiran berbahasa menyediakan murid untuk membuat pemilihan bahasa yang bertepatan dan sistematik dalam interaksi sosial.

ú  Disiplin ilmu dalam Tunjang Komunikasi ialah Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Arab, Bahasa Cina Sekolah Kebangsaan, Bahasa Tamil Sekolah Kebangsaan, Bahasa Iban, Bahasa Kadazandusun dan Bahasa Semai.  


2. Tunjang Perkembangan Fizikal dan Estetika:
ú  Tunjang Perkembangan Fizikal dan Estetika memberi penekanan kepada perkembangan jasmani dan kesihatan untuk kesejahteraan diri dan pemupukan daya imaginasi, kreativiti, bakat dan apresiasi.

ú  Disiplin ilmu yang membangunkan aspek fizikal ialah Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan. Kreativiti, bakat dan apresiasi dipupuk melalui Pendidikan Seni Visual dan Pendidikan Muzik.


3. Tunjang Kemanusiaan:
ú  Tunjang Kemanusiaan memberi penekanan kepada penguasaan ilmu dan  amalan tentang kemasyarakatan dan alam sekitar setempat, negara dan global, serta penghayatan semangat patriotisme dan perpaduan.

ú  Disiplin ilmu yang terdapat dalam Tunjang Kemanusiaan ialah Sejarah yang diperkenalkan mulai Tahap II persekolahan.


4. Tunjang Keterampilan Diri:
ú  Tunjang Keterampilan diri memberi penekanan kepada pemupukan kepimpinan dan sahsiah diri melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum.

ú  Murid diberi peluang menyepadukan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dipelajari di bilik darjah dan mengamalkannya dalam kegiatan kokurikulum.

ú  Penglibatan dalam kegiatan kokurikulum seperti persatuan, badan beruniform dan sukan memberi peluang kepada murid meningkatkan potensi diri sebagai pemimpin kepada diri, rakan sebaya, keluarga dan masyarakat. 


5. Tunjang Sains dan Teknologi:
ú  Tunjang Sains dan Teknologi memberi penekanan kepada penguasaan:
·         Pengetahuan sains, kemahiran dan sikap saintifik;
·         Pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam matematik;
·         Pengetahuan dan kemahiran berasaskan teknologi
ú  Disiplin ilmu yang terdapat dalam Tunjang Literasi Sains dan Teknologi ialah Sains, Matematik, Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK).


6. Tunjang Kerohanian, Sikap Dan Nilai:
ú  Tunjang Kerohanian, Sikap dan Nilai memberi penekanan kepada bidang pembelajaran yang berfokus kepada penghayatan amalan agama, kepercayaan, sikap dan nilai.

ú  Disiplin ilmu dalam tunjang ini merangkumi  Pendidikan Islam bagi murid Islam dan Pendidikan Moral bagi murid bukan Islam.  

- - - - - - - - - - - -
§  Selain memperkenalkan konsep tunjang dalam pengklasifikasian bidang pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam KSSR, bentuk kurikulum KSSR juga dibina secara berfokus.

§  Melalui enam tahun persekolahan di peringkat rendah, fokus KSSR adalah untuk memastikan murid mencapai standard pengetahuan, kemahiran dan nilai yang ditetapkan bagi setiap tahap.

§  KSSR memberi penekanan kepada 4M iaitu kemahiran membaca, menulis, mengira dan menaakul. Kemahiran menaakul adalah keupayaan membuat pertimbangan dan penilaian dengan menggunakan akal atau logik.

§  Pada Tahap I, pengajaran dan pembelajaran menekankan penguasaan asas 4M.  Penekanan diberikan untuk literasi dan numerasi bagi membolehkan murid menguasai kemahiran tersebut. 

§  Penekanan juga diberikan kepada kemahiran nilai tambah iaitu kreativiti dan inovasi, keusahawanan dan TMK.

§  Pada Tahap II, penekanan diberikan kepada pengukuhan dan aplikasi kemahiran 4M di samping menguasai kemahiran TMK, penguasaan kemahiran yang lebih kompleks, pemerolehan pengetahuan, dan perkembangan sahsiah.

§  Bermula Tahap II di Tahun Empat juga, murid-murid mula didedahkan dengan mata pelajaran Sejarah yang merupakan mata pelajaran di bawah tunjang kemanusiaan.


Penambahbaikan kurikulum daripada KBSR dalam KSSR






5. ELEMEN MERENTAS KURIKULUM (EMK)
§  Elemen Merentas Kurikulum ialah unsur nilai tambah yang diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran selain yang ditetapkan dalam standard kandungan.

§  Elemen-elemen ini diterapkan bertujuan mengukuhkan kemahiran dan keterampilan modal insan yang dihasratkan serta dapat menangani cabaran semasa dan masa hadapan.

§  Elemen merentas kurikulum yang sedia ada adalah seperti Bahasa, Sains dan Teknologi, Pendidikan Alam Sekitar, Nilai Murni dan Patriotisme.

§  Elemen merentas kurikulum yang baharu, iaitu Kreativiti dan Inovasi,  Keusahawanan, serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi dikenal pasti sebagai pelengkap kepada usaha memantapkan kualiti pelaksanaan KSSR.

§  Guru hendaklah memastikan kesemua elemen merentas kurikulum diterapkan secara efektif dalam proses pengajaran dan pembelajaran demi melahirkan insan yang dihasratkan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

ELEMEN MERENTAS KURIKULUM (EMK)
ELEMEN SEDIA ADA
ELEMEN BAHARU DALAM KSSR
1.      Bahasa;
2.      Pendidikan Alam Sekitar;
3.      Nilai Murni;
4.      Sains dan Teknologi;
5.      Patriotisme;
6.      Kemahiran Berfikir;
7.      Kepimpinan;
8.      Kemahiran Belajar Cara Belajar;
9.      Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial;
10.   Pencegahan Rasuah;
11.   Kajian Masa Depan;
12.   Pendidikan Pengguna;
13.   Keselamatan Jalan Raya
1.    Kreativiti dan Inovasi;
2.    Keusahawanan;
3.    Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

§  Elemen Merentas Kurikulum (EMK) yang boleh diterapkan dalam mata pelajaran Sejarah KSSR termasuklah elemen:

ELEMEN EMK
CONTOH PENGGUNAAN DALAM SEJARAH
Bahasa
§  Kemahiran berbahasa dalam proses PdP;
§  Aktiviti bahasa seperti pidato, debat, deklamasi sajak dsb;
§  Kemahiran menyebut dan memahami makna istilah-istilah tertentu dalam Sejarah.

Pendidikan Alam Sekitar
§  Kepentingan menghayati alam sekitar;
§  Penghargaan ke atas alam sekitar;
§  Berkait dengan Bab Zaman Air Batu (Tahun Empat)

Nilai Murni

§  Penerapan nilai-nilai murni melalui penghayatan peristiwa sejarah;
§  Penekanan terhadap nilai-nilai bersama dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia;
§  Dipupuk melalui tujuh dimensi kewarganegaraan

Sains dan Teknologi/
Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK)

§  Penggunaan elemen teknologi dalam proses PdP;
§  Inkuiri dan penerokaan maklumat menggunakan TMK
Kemahiran Berfikir
§  Kemahiran Berfikir secara Kreatif dan Kritis (KBKK);
§  Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT);
§  Kemahiran Pemikiran Sejarah (KPS)

Patriotisme

§  Elemen terpenting dalam Sejarah KSSR;
§  Dipupuk melalui tujuh dimensi kewarganegaraan;
§  Penghayatan terhadap kandungan kurikulum Sejarah dalam menanam semangat patriotisme;
§  Ditekankan secara langsung dan tidak langsung



Kepimpinan
§  Murid diberi peluang memimpin dalam melaksanakan aktiviti PdP;
§  Murid mengkagumi tokoh-tokoh terbilang dalam sejarah negara.

Kemahiran Belajar Cara Belajar
§  Asas Kemahiran Pemikiran Sejarah (KPS) menjadi satu alat berfikir dan alat belajar kepada murid dalam meneroka dan menghayati setiap peristiwa di sekeliling mereka dari konteks sejarah.

Kajian Masa Depan
§  Menjadikan pengetahuan sejarah sebagai asas dalam menentukan masa hadapan;
§  Berfikir tentang masa hadapan melalui iktibar sejarah masa lalu;
§  Mengaitkan kegemilangan masa lalu dalam usaha memajukan masa hadapan.

Kreativiti dan Inovasi
§  Murid menghayati kreativiti masyarakat terdahulu (Zaman Prasejarah);
§  Murid diberi peluang mereka cipta alat-alat zaman batu yang mudah;
§  Murid diberi peluang mempersembahkan kandungan sejarah mengikut kreativiti masing-masing.

Keusahawanan
§  Murid diajak berfikir mengenai faktor-faktor dan tindakan-tindakan para pemimpin zaman Kesultanan Melayu Melaka sehingga mampu mewujudkan empayar perdagangan terkemuka di dunia.





Elemen Merentas Kurikulum (EMK) Baharu dalam KSSR
§  Tiga Elemen Merentas Kurikulum (EMK) baharu yang diperkenalkan dalam KSSR termasuklah:

1.    Kreativiti dan Inovasi
2.    Keusahawanan
3.    Teknologi Maklumat dan Komunikasi

1. Kreativiti dan Inovasi:
ú  Kreativiti merupakan kebolehan minda berimaginasi dan mencernakan sesuatu maklumat untuk penyelesaian masalah, cabaran, soalan atau tugasan.

ú  Kreativiti juga merujuk kepada kemampuan atau kebolehan mencipta sesuatu yang asli dan sesuai.

ú  Inovasi pula merujuk kepada keupayaan menghasilkan sesuatu yang bersifat baharu (belum ada sebelumnya) yang dilakukan berdasarkan modifikasi atau adaptasi daripada perkara yang sedia ada.

ú  Pengenalan elemen kreativiti dan inovasi dalam KSSR adalah bertujuan untuk menghasilkan modal insan berdaya cipta dan berkeupayaan menghasilkan idea dan ciptaan berkualiti yang menjadi amalan dan budaya dalam kehidupan serta mampu menyumbang ke arah pembangunan masyarakat, bangsa, agama dan negara.

ú  Strategi PdP yang boleh dilaksanakan dalam menggunapakai elemen kreativiti dan inovasi termasuklah melalui:

1.    Kemahiran Berfikir Secara Kreatif dan Kritis;
2.    Kemahiran Berfikir Aras Tinggi;
3.    Pembelajaran Konstruktivisme;
4.    Inkuiri Penemuan;
5.    Pembelajaran Kontekstual;
6.    Pembelajaran Berasaskan Projek;
7.    Pembelajaran Berasaskan Penyelesaian Masalah;
8.    Kajian Masa Depan
2. Keusahawanan:
ú  Pengenalan elemen keusahawanan di bawah KSSR ditekankan melalui lima aspek iaitu:

1.    Mengamalkan sikap keusahawanan;
2.    Mengamalkan cara berfikir ke arah keusahawanan;
3.    Mengamalkan pengetahuan dan kemahiran pengurusan asas jual beli;
4.    Menghasilkan produk berasaskan pengetahuan dan kemahiran berasaskan teknologi dan vokasional;
5.    Nilai moral dan etika keusahawanan.


3. Teknologi Maklumat dan Komunikasi:
ú  Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) adalah merupakan teknologi yang digunakan khasnya dalam penggunaan komputer, peralatan komunikasi, dan perisian aplikasi untuk memperoleh, memproses, menyimpan, menghantar, mendapatkan semula, menukar, dan melindungi maklumat di mana saja dan pada bila-bila masa.

ú  Matlamat TMK dalam Elemen Merentas Kurikulum (EMK) adalah bagi memastikan murid dapat mengaplikasi dan mengukuhkan pengetahuan dan kemahiran asas TMK yang dipelajari, menggalakkan kreativiti dan menyediakan pembelajaran yang menarik dan menyeronokkan serta menjana pemikiran kritis dan kreatif, berinovatif serta meningkatkan kualiti pembelajaran.

ú  Fokus TMK dalam KSSR termasuklah:

1.    Belajar Mengenai TMK:
Mengenali dan memperolehi pengetahuan tentang Teknologi Maklumat dan Komunikasi termasuklah mengenali gajet-gajet IT, perisian, perkakasan input dan output dsb.


2.    Belajar Dengan TMK:
Perisian komputer dalam TMK digunakan sebagai alat pengupaya untuk mengajar dan belajar contohnya melalui penggunaan perisian Power Point dan Slideshow oleh guru.

3.    Belajar Melalui TMK:
Menggunakan media-media dalam TMK seperti internet, CD-rom, portal E-bahan, EduWebTV dsb dalam usaha mencari maklumat dan ilmu pengetahuan berkaitan sesuatu perkara atau topik.



6. KURIKULUM BERASASKAN STANDARD
§  Melalui Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), pihak Kementerian Pelajaran Malaysia telah memperkenalkan “standard” iaitu satu pencapaian atau penanda aras yang perlu dicapai oleh setiap individu murid dalam satu-satu tempoh tertentu sepanjang berada di sekolah rendah.

§  Terdapat dua jenis pernyataan standard yang diperkenalkan menerusi KSSR yang dikenali sebagai Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran.

§  Bagi tujuan penilaian pula, Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) telah diperkenalkan sebagai satu langkah pentaksiran secara berterusan oleh guru ke atas setiap individu murid. Penilaian ini juga dibuat menggunakan standard yang dikenali sebagai Standard Prestasi.

KOMPONEN STANDARD
HURAIAN
Standard Kandungan
Penyataan spesifik tentang perkara yang murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam suatu tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai.

Standard Pembelajaran
Satu penetapan kriteria atau petunjuk (indicator) kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan.

Standard Prestasi
Satu set kriteria umum yang menunjukkan tahap prestasi yang perlu murid pamerkan sebagai tanda bahawa sesuatu perkara itu telah dikuasai oleh murid (indicator of success).



Contoh Standard Kandungan dalam Sejarah KSSR:
Bab Satu: Mari Belajar Sejarah
Standard Kandungan:
1.1 - Mengetahui dan memahami pengertian dan kemahiran sejarah;
1.2 - Mengetahui dan memahami diri dan keluarga;
1.3 - Mengetahui dan memahami sejarah sekolah;
1.4 - Mengetahui dan memahami perihal kawasan tempat tinggal murid.


Contoh Standard Pembelajaran dalam Sejarah KSSR:
Standard Kandungan 1.1 Mengetahui dan memahami pengertian dan kemahiran sejarah
Standard Pembelajaran:
1.1.1 Menyatakan pengertian sejarah dan sumber sejarah
1.1.2 Mengenalpasti konsep masa silam dan ruang berdasarkan garis masa dan kronologi
1.1.3 Mengenalpasti peristiwa sejarah mengikut garis masa

Standard Prestasi dalam Sejarah
§  Standard prestasi merupakan satu bentuk pentaksiran standard yang dibuat ke atas setiap individu murid menerusi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

§  Pentaksiran ini merupakan satu proses untuk mendapatkan maklumat tentang sejauh mana murid tahu, faham dan boleh buat atau telah menguasai apa yang telah dipelajari berdasarkan pernyataan standard prestasi yang ditetapkan mengikut tahap-tahap pencapaian seperti yang dihasratkan dalam dokumen kurikulum.

§  Pentaksiran standard prestasi ini dibuat menggunakan “band” di mana “band” merupakan pengkelasan terhadap tahap penguasaan murid terhadap standard kandungan dan standard pembelajaran yang telah dipelajari.

§  Tafsiran prestasi murid mengikut “band” adalah seperti berikut:


TAFSIRAN UMUM DALAM PERNYATAAN STANDARD PRESTASI
BAND
TAFSIRAN
1
Murid tahu perkara asas, atau boleh melakukan kemahiran asas atau respons terhadap perkara yang asas.
2
Murid menunjukkan kefahaman untuk menukar bentuk komunikasi atau menterjemah serta menjelaskan apa yang yang telah dipelajari.
3
Murid boleh menggunakan pengetahuan untuk melaksanakan sesuatu kemahiran pada suatu situasi.
4
Murid melakukan suatu kemahiran dengan beradab, iaitu mengikut prosedur atau secara sistematik.
5
Murid melaksanakan sesuatu kemahiran pada situasi baharu, dengan mengikut prosedur atau secara sistematik, serta tekal dan bersikap positif.
6
Murid berupaya menggunakan pengetahuan dan kemahiran sedia ada untuk digunakan pada situasi baru secara sistematik, bersikap positif, kreatif dan inovatif serta boleh dicontohi.



§  Walaubagaimanapun, Kurikulum Standard Sejarah Sekolah Rendah yang diperkenalkan pada tahun 2014 menggunakan tafsiran pernyataan standard prestasinya yang tersendiri.

TAFSIRAN PERNYATAAN STANDARD PRESTASI
KURIKULUM STANDARD SEJARAH SEKOLAH RENDAH
BAND
TAFSIRAN
1
Mengetahui perkara asas berdasarkan ilmu sejarah dan nilai yang dipelajari.

2
Memahami perkara asas berdasarkan ilmu sejarah dan nilai yang dipelajari.

3
Menerangkan perkara asas berdasarkan ilmu sejarah dan nilai yang dipelajari.

4
Menguasai pengetahuan dan kemahiran secara tersusun berdasarkan ilmu sejarah dan nilai yang dipelajari.

5
Membuat penilaian berdasarkan ilmu sejarah dan nilai yang dipelajari.

6
Melahirkan idea berdasarkan ilmu sejarah dan nilai yang dipelajari.









Contoh Tafsiran Standard Prestasi Berdasarkan Standard Kandungan:
Standard Kandungan:
5.2 Mengetahui dan memahami Parameswara sebagai pengasas Kesultanan Melayu Melaka.

Tafsiran Standard Prestasi:
TAFSIRAN PERNYATAAN STANDARD PRESTASI
BAGI STANDARD KANDUNGAN 5.2
BAND
TAFSIRAN
1
Murid mengetahui tentang Parameswara sebagai pengasas Kesultanan Melayu Melaka.
2
Murid mengetahui tentang Parameswara sebagai pengasas Kesultanan Melayu Melaka.
3
Murid boleh menerangkan tentang Parameswara sebagai pengasas Kesultanan Melayu Melaka dengan contoh.
4
Murid boleh menguasai maklumat tentang Parameswara sebagai pengasas Kesultanan Melayu Melaka untuk diteladani.
5
Murid boleh membuat penilaian tentang Parameswara sebagai pengasas Kesultanan Melayu Melaka dan dihubungkait dengan kehidupan masa kini.
6
Murid boleh menzahirkan idea yang rasional tentang warisan Kesultanan Melayu Melaka dengan institusi beraja.


7. KURIKULUM SEJARAH SEKOLAH RENDAH

Huraian dan Perincian Kurikulum Sejarah
§  Kurikulum Standard Sejarah Sekolah Rendah melibatkan tiga tahap bermula dari Tahun Empat di Tahap II hingga ke Tahun Enam.

§  Kandungan dan tema kurikulum Sejarah adalah berbeza mengikut tahun di mana murid di Tahun Empat diperkenalkan dengan tema “Sejarah Awal Negara”, tema “Kedaulatan Negara” di Tahun Lima dan “Kemakmuran Negara Kita” di Tahun Enam.

§  Antara topik-topik yang dipelajari melalui Sejarah KSSR termasuklah:

1.    Mari Belajar Sejarah
2.    Kehidupan Zaman Air Batu
3.    Kehidupan Zaman Prasejarah
4.    Kerajaan-kerajaan Melayu Sebelum Kesultanan Melayu Melaka
5.    Zaman Kesultanan Melayu Melaka
6.    Tokoh-tokoh Terbilang Kesultanan Melayu Melaka
7.    Negeri-negeri di Malaysia
8.    Sejarah Sabah dan Sarawak
9.    Identiti Negara Kita
10.  Sejarah Awal Negara Kita
11.  Kedaulatan Negara Kita


Bentuk Kurikulum
§  Reka bentuk Kurikulum Standard Sejarah Sekolah Rendah dibuat secara modular di bawah Tunjang Kemanusiaan.

§  Melalui tunjang kemanusiaan, murid diberi penekanan kepada penguasaan ilmu dan  amalan tentang kemasyarakatan dan alam sekitar setempat, negara dan global, serta penghayatan semangat patriotisme dan perpaduan.

§  Kurikulum Standard Sejarah Sekolah Rendah dilaksanakan berpandukan kepada beberapa dokumen kurikulum termasuklah:

1.    Dokumen Standard Kurikulum
2.    Dokumen Standard Pentaksiran
3.    Buku Teks

§  Kurikulum Standard Sejarah Sekolah Rendah disusun berdasarkan beberapa kriteria termasuklah:

1.    Kronologi
2.    Tematik

§  Penyusunan kandungan sejarah secara kronologi bermaksud penyusunan kurikulum mengikut perkembangan tahun dan abad. (Abdul Rahim Abdul Rashid, 1989)

§  Penyusunan secara berkronologi ini akan dimulakan dengan pernyataan tentang peristiwa sejarah yang berlaku terlebih dahulu berbanding peristiwa selepasnya.

§  Penyusunan mengikut kronologi membolehkan penceritaan peristiwa sejarah disampaikan dengan lebih tersusun dan kukuh mengikut rentetan waktu yang berkesan. (Omardin&Yunus, 1996)

§  Penyusunan berkronologi ini akan memudahkan lagi pemahaman murid yang melihat kesinambungan di antara satu peristiwa dengan peristiwa yang lainnya.

§  Selain itu, reka bentuk susunan kurikulum Sejarah KSSR juga dibuat secara tematik iaitu mengikut tema-tema tertentu.

§  Terdapat tiga tema yang telah dipilih dalam Sejarah KSSR iaitu “Sejarah Awal Negara”, “Kedaulatan Negara” dan “Kemakmuran Negara Kita”.

§  Penyusunan kandungan kurikulum sejarah secara bertema, berkronologi dan disusun mengikut tajuk membolehkan murid menghayati dan menghargai sejarah tanah air dan kegemilangannya. (Bahagian Pembangunan Kurikulum, 2013)
Rasional Kurikulum Sejarah
§  Pengenalan Kurikulum Standard Sejarah Sekolah Rendah adalah bertujuan untuk menyemai ilmu pengetahuan dan asas Kemahiran Pemikiran Sejarah di samping penerapan semangat patriotik melalui pengetahuan masa lalu yang mempengaruhi masa kini.

§  Melalui pembelajaran Sejarah, murid dapat membina kerangka kronologi tentang pengetahuan sesuatu peristiwa penting dan tokoh-tokoh terlibat. Murid dapat membuat perbandingan pengalaman manusia dan seterusnya berupaya memahami diri mereka secara individu serta sebagai ahli dalam sesebuah masyarakat.

§  Pemahaman asas tentang sejarah negara dapat melahirkan perasaan cintakan negara dan melahirkan perasaan bangga sebagai rakyat Malaysia.


Komponen Kurikulum Sejarah
ú  Dalam menggubal Kurikulum Standard Sejarah Sekolah Rendah, terdapat tiga komponen utama yang ditekankan dalam pembinaan kurikulum ini iaitu:

1.    Organisasi Kurikulum;
2.    Pengajaran dan Pembelajaran Sejarah;
3.    Penilaian.

1. Organisasi Kurikulum:
ú  Kurikulum Sejarah Sekolah Rendah mencakupi ilmu pengetahuan (kandungan), asas Kemahiran Pemikiran Sejarah (Kemahiran), penerapan elemen kewarganegaraan dan nilai sivik bagi memupuk minat murid terhadap sejarah.



2. Pengajaran dan Pembelajaran Sejarah:
ú  Terdapat beberapa kaedah PdP Sejarah yang telah dicadangkan dalam Dokumen Standard Kurikulum Sejarah termasuklah:

1.    Kajian Kes
2.    Kemahiran Berfikir
3.    Belajar Cara Belajar
4.    Pembelajaran Masteri
5.    Pembelajaran Akses Kendiri
6.    Pembelajaran Luar Bilik Darjah
7.    Pembelajaran Secara Kontekstual
8.    Pembelajaran Secara Kontruktivisme
9.    Aplikasi Teori Kecerdasan Pelbagai
10.  Pembelajaran Berasaskan Kajian Masa Depan
11.  Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi
12.  Aplikasi Teknik Theory of Constraints
13.  Belajar Sambil Bermain
14.  Experiental Activities Planner
15.  i-Think


3. Penilaian:
ú  Penilaian dalam Kurikulum Standard Sejarah Sekolah Rendah adalah berdasarkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

* Sudah dibincangkan dalam bahagian sebelumnya.

8. KAITAN KURIKULUM SEJARAH DENGAN KEHIDUPAN INDIVIDU, MASYARAKAT DAN NEGARA
§  Bagi melahirkan individu, masyarakat dan negara yang patriotik, terdapat beberapa elemen yang telah diperkenalkan dalam Sejarah KSSR yang mampu memupuk patriotisme dalam kalangan individu, masyarakat dan negara termasuklah:

1.    Tujuh Dimensi Kewarganegaraan
2.    Nilai Sivik
3.    Asas Kemahiran Pemikiran Sejarah
4.    Pendekatan PdP
5.    Standard Prestasi




No comments:

Post a Comment