. Amoi Chantek: August 2013 Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Thursday 29 August 2013

SJH3103- elemen kewarganegaraan dan nilai sivik melalui mata pelajaran Sejarah

1.0         PENGENALAN
Fokus utama Kurikulum Standard Sejarah Sekolah Rendah adalah menyemai ilmu pengetahuan dan asas Kemahiran Pemikiran Sejarah di samping penerapan semangat patriotik melalui pengetahuan tentang masa lalu yang mempengaruhi masa kini. Melalui pembelajaran tersebut, murid dapat membina kerangka kronologi tentang pengetahuan sesuatu peristiwa penting dan tokoh-tokoh yang terlibat. Murid dapat membuat perbandingan tentang pengalaman manusia dan seterusnya berupaya memahami diri mereka secara individu serta sebagai ahli dalam sesebuah masyarakat. Pemahaman asas tentang sejarah negara dapat melahirkan perasaan cinta akan negara dan melahirkan perasaan bangga sebagai rakyat Malaysia.

Tugasan kali ini membicangkan sejauh manakah penerapan elemen kewarganegaraan dan nilai sivik melalui mata pelajaran Sejarah dapat memainkan peranan dalam melahirkan warganegaraan Malaysia yang bersatu padu dan bersemangat patriotik.

1.1       Definisi kewarganegaraan dan sivik

Menurut Kamus Dewan edisi keempat (2010), kalimah sivik membawa maksud ilmu tatarakyat, hak, perasaan tanggungjawab terhadap seseorang atau masyarakatnya. Ini membawa maksud, sivik merujuk kepada ilmu yang membicarakanmengenai kehidupan rakyat atau tatarakyat, kebudayaan dan cara hidup, adat resam masyarakat dan sebagainya. Malah sifat kebertanggungjawaban juga merupakan salah satu dari prinsip pendidikan sivik. Mengikut kamus Advanced English Dictionary, sivik di dalam bahasa inggeris bermaksud civic. Menurut kamus tersebut, perkataan civic membawa maksud pertalian diantara penduduk dengan sesuatu ketamadunan atau pembandaran. Nama lain bagi civic ialah tatarakyat.

Manakala definisi kewarganegaraan menurut Kamus Dewan edisi keempat (2010) pula ialah perihal warganegara, kerakyatan sesebuah negara. Tidak seorang pun boleh dilucutinya secara sewenang-wenang. Secara kesimpulan dapat dikelaskan bahawa sivik merujuk kepada hubungan individu dengan masyarakat di sekelilingnya. Begitu juga dengan sejarah iaitu mengetahui masa silam. Kesedaran sivik bermaksud rasa tanggungjawab yang lahir secara ikhlas dalam menjaga kepentingan awam demi kebaikan bersama.  Pengetahuan sivik terdiri daripada maklumat dan idea asas yang pelajar harus mengetahui serta menggunakannya untuk menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan produktif. Penguasaan kemahiran-kemahiran ini membolehkan pelajar membuat keputusanmenyelesaikan masalah, meningkatkan kesedaran sivik dan memberi sumbangan terhadappembangunan masyarakat dan negara. Setiap individu mempunyai peranan dalam memartabatkan Pendidikan Sivik Dan Kewarganegaraan.

1.2       Penerapan elemen kewarganegaraan dan nilai sivik melalui mata pelajaran sejarah

Matapelajaran sejarah akan mula diperkenalkan di semua sekolah rendah seluruh negara pada tahun 2014. Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, beberapa penambahan baru akan dimasukkan pada subjek Kajian Tempatan yang diajar pada murid tahap dua di sekolah rendah ketika ini. Menurutnya, tambahan yang dibuat pada subjek tersebut termasuk aspek kewarganegaraan, patriotisme dan perlembagaan negara.

''Kita akan laksanakan subjek Sejarah di sekolah rendah dengan konsep seperti ‘education is fun’ dengan pendekatan seperti kuiz, lawatan ke tempat bersejarah dan rombongan ke Parlimen.''Kita mahu jadikan ia sebagai matapelajaran yang mudah difahami dan dihayati murid sekolah rendah,'' katanya kepada pemberita selepas menutup persidangan perwakilan dwitahunan Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) ke-22 di sini hari ini."  (Utusan 24.10.2010)

Antaranya ialah konsep elemen kewarganegaraan dan nilai sivik melalui mata pelajaran sejarah iaitu menghuraikan tentang perkembangan diri ke arah kecemerlangan yang meliputi aspek identiti dan wawasan diri, sifat-sifat peribadi mulia, kebolehan membuat keputusan, pemilihan kerjaya sepanjang hayat. Mereka dapat mencapai kecemerlangan diri dalam pendidikan, iaitu dengan mengamalkan budaya ilmu untuk kemajuan diri. Kita dapat berinteraksi dengan orang lain secara hormat dan sopan dan berkongsi dengan rakan-rakan tentang ciri-ciri perwatakan terpuji. Menghasilkan garisan hidup tentang kejayaan dan cabaran diri juga merupakan cara untuk perkembangan dirike arah pencapaian kendiri.

Selain itu, mata pelajaran sejarah turut mempunyai kesan yang mendalam dalam membentuk minda dan pemikiran masyarakat untuk mencapai elemen kewarganegaraan dan nilai sivik. Pendidikan Sivik Dan Kewarganegaraan dapat melahirkan anggota masyarakat yang bersatu padu dan patriotik akan lebih memahami dari segi tradisi, keagamaan, kebudayaan serta etnik-etnik masyarakat Malaysia mempunyai kepelbagaian. Selain itu, penting juga untuk memupuk nilai hidup tolong-menolong semasa mengatasi cabaran dan dugaan yang berlaku dan mengambil tindakan yang wajar. Berperanan dalam menjalinkan rangkaian kemasyarakatan yang erat dan memainkan tanggungjawabsebagai rakyat Malaysia untuk menyempurnakan slogan “Satu Malaysia”. Akhirnya, mewujudkan masyarakat yang demokrasi, persamaan taraf tanpa mengira agama, bangsa dan budaya di samping melahirkan insan yang berakhlak mulia dan bersifat patriotisme.


 2.0       PERANAN ELEMEN KEWARGANEGARAAN DAN NILAI SIVIK MELALUI MATA PELAJARAN SEJARAH DALAM MELAHIRKAN WARGANEGARA MALAYSIA YANG BERSATU PADU DAN BERSEMANGAT PATRIOTIK

Di Malaysia, rakyat terdiri daripada pelbagai etnik, budaya dan agama. Oleh itu, pentinglah penerapan eleman kewarganegaraan dan nilai sivik melalui mata pelajaran sejarah untuk melahirkan warganegara Malaysia yang bersatu padu dan bersemangat patriotik. Matlamat utama penerapan eleman kewarganegaraan dan nilai sivik dalam kurikulum Sejarah untuk membentuk warganegara yang berketerampilan dan bermaklumat antaranya ialah melalui perkongsian sejarah, perkongsian nilai, perasaan kekitaan, perkongsian masa depan, kesetiaan, tanggungjawab warganegara dan keterikatan emosi.

            Pertama sekali dimensi kewarganegaraan yang ditekankan ialah perkongsian sejarah. Sejarah sememangnya memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia pada masa sekarang mahupun pada masa hadapan walaupun sesetengah masyarakat awam berpendapat sejarah itu hanyalah rangkaian kisah lalu dan tidak perlu diungkit lagi. Malah menurut mereka iaitu masyarakat awam yang tidak mempunyai kefahaman mengenai disiplin ilmu sejarah ini, belajar sejarah itu bukannya kewajipan dan tidak mempelajarinya bukanlah satu kesalahan. Pandangan ini sememangnya tidak benar bagi golongan intelek sejarah kerana menurut mereka sejarah itu merupakan peristiwa masa lalu yang kita harus terima ia mempunyai kegunaan, malah nilaian tertentu, dalam kehidupan manusia. Sedikit sebanyak kita dapat melihat bahawa sejarah itu suatu proses yang bersambungan. kita dapat merasakan bahawa sesuatu peristiwa yang kita hadapi pada hari ini merupakan sebahagian daripada peristiwa semalam dan kemungkinan besar pula akan menunjang menjadi sebahagian daripada peristiwa yang akan berlaku pada masa akan datang.

            Perkongsian sejarah ini mendatangkan banyak faedah hasil. Menurut Omardin dan Yunus (1996), pengajaran sejarah adalah untuk membantu pelajar agar mereka memahami keadaan masa sekarang ini berasaskan keadaan masa lalu. Antara sejarah yang paling penting yang setiap warganegara itu harus mengetahui dan memahaminya ialah sejarah pembentukan negara. Melalui sejarah pembentukan negara, kita dapat mempelajari kejayaan bangsa dan negara seperti zaman keemasan Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 yang boleh dijadikan perangsang untuk memacu kemajuan negara. Tidak dapat dinafikan, pembentukan negara Malaysia pada hari ini bertitik-tolak daripada kewujudan Kerajaan Melayu Melaka yang telah diasaskan oleh Parameswara.

            Perkongsian sejarah ini juga membolehkan kita mengingati kegemilangan masa silam yang mana jika ada kesedaran, kegigihan dan kesungguhan di kalangan pemimpin dan rakyat, keagungan tersebut mampu diulangi malah mungkin lebih cemerlang. Kita juga haruslah mengambil iktibar kesan penjajahan kuasa luar ke atas negara. Disamping itu juga kita dapat menghayati peristiwa kemerdekaan negara. Malaysia kini mengecapi pelbagai kecemerlangan dalam pelbagai bidang dan menjadi antara negara membangun yang paling maju di dunia. Dengan kegigihan pemimpin dan rakyatnya, tidak mustahil Malaysia mampu mengecapi kegemilangan dan mengulangi semula zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15.

            Seterusnya ialah perkongsian nilai. Menurut Abdul Rahim (1999), melalui pendidikan sejarah, nilai-nilai seperti kemoralan, sosial, kemanusiaan, patriotisme, kepahlawanan, setia negara dan kewarganegaraan boleh disuburkan dan membentuk warganegara  Malaysia yang prihatin dengan sejarah bangsa dan negara mereka.  Di samping itu penerapan elemen kewarganegaraan dan nilai sivik dalam kurikulum sejarah juga dapat memupuk semangat patriotisme atau semangat cintakan negara. Perasaan ini timbul apabila kita mempelajari sejarah tanah air dan dengan itu akan lahirlah rasa bangga terhadap negara dan bangsa.     Tanpa semangat ini, maruah negara kita boleh tercalar apabila lahirnya warganegara yang sanggup mengadai dan menjual maruah negara seperti terlibat dengan kegiatan menyeludup masuk warga asing. Semangat patriotisme timbul apabila kita mengetahui dan memahami siapa diri, bangsa dan negara kita, serta mempunyai pengetahuan teguh tentang sejarah negara kita. Namun begitu, ramai generasi muda hari ini hanya mempelajari sejarah semata-mata untuk lulus di dalam peperiksaan sama ada di peringkat sekolah mahu pun di universiti. Malangnya mereka gagal untuk memahami kepentingan mata pelajaran sejarah dan terhasil rakyat Malaysia yang buta sejarah negara sendiri.

            Kewarganegaraan dan nilai sivik dalam kurikulum Sejarah juga melahirkan perasaan kekitaanan dalam diri kita. Ianya membantu kita menghargai dan memelihara kemerdekaan serta kedaulatan negara dengan membentuk sikap sepunya dan kebersamaan. Proses mendapatkan kemerdekaan telah pun selesai pada 1957 tetapi pengisiannya bukanlah perkara yang mudah. Lebih sukar di negara majmuk seperti Malaysia. Jika generasi muda hari ini tidak memahami sejarah pembentukan negara, apa yang telah bina akan runtuh dan musnah. Meruntuhkan sesuatu amat mudah tetapi untuk membina atau membentuk sesuatu itu yang sukar. Negara merdeka Tanah Melayu dibentuk hasil tolak ansur orang-orang Melayu untuk menerima golongan imigran Cina dan India. Pemahaman terhadap kontrak sosial ini amat penting untuk memacu Malaysia sebagai negara maju. Kegagalan memahami kontrak sosial ini mampu mendatangkan impak negatif kepada negara. Namun begitu dengan memiliki pengetahuan sejarah, rakyat Malaysia dapat memahami situasi ini dan akan menjadi bangsa yang bersyukur seterusnya bersama-sama mengembling tenaga untuk membangun dan mengukuhkan negara (Abdul Rahman, 2005).

            Kini, rakyat Malaysia sudah matang dalam memahami situasi semasa. Amalan hormat-menghormati kepelbagaian kaum, budaya dan agama amatlah dipuji dan boleh menjadi contoh kepada negara berbilang bangsa yang lain. Disamping itu, dengan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan telah dapat mengeratkan lagi rakyat Malaysia dibawah satu bahasa. Tambahan lagi pencapaian negara sudah berada ditahap yang membanggakan.

            Penerapan elemen kewarganegaraan dan nilai sivik dalam kurikulum Sejarah juga secara tidak langsung telah memberikan gambaran mengenai hala tuju ataupun peranan setiap individu dalam membina keyakinan dan tanggungjawab mencorak negara pada masa depan. Apabila seseorang itu mempunyai ilmu kewarganegaraan dan nilai sivik serta mengetahui sejarah yang telah terjadi pada masa lampau, ini telah menambahkan satu bentuk penilaian ataupun pengajaran bagi dirinya pada masa hadapan. Oleh itu, perkongsian masa depan yang dicanang ini bukanlah bertujuan untuk mengubah atau menginterpretasi semula sejarah lalu, tetapi pemupukan terhadap perpaduan sosial antaranya menghormati masyarakat pelbagai kaum dan ini lebih kepada penerapan bagi generasi sekarang dan seterusnya digunapakai sebagai rujukan oleh generasi akan datang. Perpaduan sosial ini dikatakan menjadi salah satu daripada sebab mengapa peristiwa itu tidak dapat dilupakan kerana terdapat pelbagai peristiwa lalu yang berlaku berhubung kait dengan konsep perpaduan.

            Antara peristiwa sejarah yang tidak dapat dipertikaikan lagi akan hubung kaitnya dengan perpaduan sosial ialah peristiwa 13 Mei 1969. Peristiwa ini telah menyebabkan berlakunya banyak kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa serta keadaan fizikal dan harta benda awam banyak yang musnah. Keadaan dan peristiwa pahit ini telah menuntut masyarakat agar mengekalkan perpaduan dengan mengikis sikap perkauman supaya keamanan dapat dicapai seterusnya ekonomi negara juga dapat berkembang dengan rancak. (Mohd Sohaimi, Dayu Sansalu dan Budi Anto, 2011).

            Seterusnya ialah nilai kesetiaan. Kita semua sedia maklum bahawa kesetiaan bermaksud jujur, setia dan berpegang teguh kepada sesuatu. Kewarganegaraan dan nilai sivik yang dimasukkan di dalam kurikulum sejarah sememangnya sangat menekankan nilai kesetiaan. Salah satu prinsip Rukun Negara ialah Kesetiaan kepada raja dan negara. Ini bermakna sebagai rakyat Malaysia kita mesti setia kepada raja dan negara. Kedudukan raja-raja telah termaktub dalam perlembagaan. Kesetiaan kepada raja ialah lambang perpaduan seluruh rakyat. Kesetiaan kepada negara akan berdiri teguh di jiwa rakyat dengan berdiri teguhnya nilai jati diri. Rakyat yang mempunyai jati diri yang teguh akan setia mempertahankan negara ini dan tidak akan melakukan sesuatu yang akan menggugat keharmonian kehidupan dan kestabilan ekonomi serta politik. Secara tidak langsung rakyat itu akan menghormati pemimpin negara serta mematuhi undang-undang dan peraturan negara. (Abdul Rahim, 1999).

            Sebagai rakyat Malaysia, kita hendaklah bersama-sama mengambil sikap yang serius mengenai soal taat setia dan cinta yang tidak berbelah bagi kepada negara. Sesuatu bangsa akan menjadi mulia dan dianggap berdaulat sekiranya merdeka. Justeru itulah kemerdekaan negara ini perlu diisi dengan pelbagai pembangunan supaya Malaysia menjadi negara yang berdaulat dan bermartabat. Sebagai anak merdeka, kita perlu sentiasa sedar bahawa ini ialah negara kita, dan kitalah yang akan menentukan apa yang terbaik untuk kita. Kalau kembali kepada sejarah, sudah tentu tidak wujud prasangka antara kaum di negara ini kerana sejarah telah menggariskan hak masing-masing tanpa berkorban apa-apa atau mengambil apa-apa daripada orang lain. Apabila mereka tahu sejarah asal usul masing-masing, tidak timbul lagi sekian banyak tuntutan yang tidak masuk akal. Kegagalan mengenal sejarah yang berkaitan dengan negara sendiri akan melunturkan kecintaan kepada tanah air.

            Bagi memastikan tanggungjawab warganegara ini ditanam di hati rakyat negara ini, rakyat perlu mempelajari sejarah negara, perjuangan dan susah payah membangunkannya. Ini juga secara tidak langsung telah diterapkan dalam kewarganegaraan dan nilai sivik. Bangsa yang tidak mengenali sejarah hanya hidup untuk mencari makan atau bersikap materialistik seperti imigran-imigran yang dibawa oleh British ke negara ini sebagai buruh paksa suatu masa dahulu. Setiap daripada kita harus mengetahui dan memahami tanggungjawab sebagai warganegara dengan sepenuh hati. Sentiasa menerima perbezaan kaum, budaya dan agama yang terdapat di negara ini. Negara sedang menuju ke arah negara maju pada tahun 2020. Untuk mencapai tahap negara maju, tanggungjawab warganegara adalah sangat mustahak ditekankan kerana negara yang maju dan bertamadun akan dianggap tidak lengkap dan sempurna jika kemajuan material tidak dapat diseimbangkan dengan keutuhan akal budi dan semangat cintakan negara. (Omarudin dan Yunus, 1996)

            Sekiranya kita berpeluang, kita juga boleh menghadiri kursus atau seminar kenegaraan seperti Kursus Bina Negara yang dianjurkan oleh Jabatan Biro Tatanegara. Kita mesti mengenali tanah air, bangsa dan kerajaan Malaysia terlebih dahulu sebelum dapat mewujudkan semangat patriotisme dalam diri kita. Menerusi semangat patriotisme, bangsa akan menjadi kuat, berani serta memiliki kekuatan mental, emosi dan fizikal dalam membentuk ketahanan warisan dan identiti negara. Oleh itu, untuk menjadikan kita seorang warganegara yang bertanggungjawab kita mesti mengenali tanah air, bangsa dan Kerajaan Malaysia terlebih dahulu sebelum dapat melahirkan rasa tanggungjawab dalam diri kita. Apabila kita benar-benar mengenali dan menghayati sejarah dan kedaulatan negara, barulah rasa tanggungjawab itu akan muncul secara semulajadi dalam diri kita seterusnya bersama-sama membangun negara.

            Menurut Abdul Rahim (1999), pendidikan sejarah yang dinamis dan progresif dapat membina satu perspektif wawasan pembangunan yang luas dan merangkumi wawasan kenegaraan, politik, sosial, ekonomi dan diri sendiri. Maksudnya ialah keterikatan emosi kepada negara iaitu dengan mempunyai perasaan cinta akan negara yang mendalam dan berusaha mempertahankannya. Orang cerdik pandai selalu berkata, sejarah adalah guru terbaik untuk mendidik manusia menjadikan sesuatu yang lalu sebagai teladan atau sempadan. Dengan menghargai sejarah asal usul negara, warisan negara, identiti negara serta menghayati prinsip rukun negara seseorang itu dapat menyemai perasaan cinta akan tahan air. Sejarah adalah kebijaksanaan silam yang boleh dimanfaatkan untuk membina masa depan. Akibat tidak memahami sejarah, ada sesetengah pihak menafikan banyak perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Kewujudan Perlembagaan Persekutuan itu satu sejarah besar negara ini. Malah kerana tidak menghayati sejarah juga membuatkan sesetengah pihak menganggap sesuatu isu yang melibatkan kaum terkeluar daripada kerangka sejarahnya. Mereka tidak melihat sejarah sebagai asas untuk memberi dan menerima dalam sesuatu perkara. Maka asas perpaduan di negara berbilang kaum seperti Malaysia adalah memahami, menghayati dan memanfaatkan sejarah.

            Perasaan cinta terhadap negara juga mampu menyuburkan perpaduan dalam masyarakat pelbagai kaum pada zaman ini. Keterikatan emosi kepada negara telah membangkitkan semangat kebersamaan di kalangan setiap warganegara. Sikap toleransi dan hormat menghormati antara satu sama lain dalam sebuah negara majmuk dapat dipupuk melalui pendedahan pengetahuan tentang sejarah perkembangan negara. Pendedahan tentang pengetahuan sejarah melalui mata pelajaran sejarah di sekolah atau melalui media massa dapat menyedarkan generasi kini dan masa hadapan tentang bagaimana pahit dan getirnya generasi terdahulu menuntut kemerdekaan. Rakyat Malaysia seharusnya berasa bangga dengan tanah air yang didiami ini. Keharmonian dan kedamaian yang dinikmati tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Kesedaran terhadap betapa berharganya keamanan negara perlu ditanam dalam jiwa setiap rakyat Malaysia bak kata perpatah “Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. ”

TAJUK TUGASAN

“Kurikulum Standard Sejarah Sekolah Rendah membolehkan murid memahami tingkah laku manusia, sebab dan akibat, keunikan sejarah tanah air dan kegemilangan negara bagi melahirkan warganegara yang patriotik dan menjunjung amalan demokrasi di Malaysia. Kandungan kurikulum menggunakan pendekatan kronologi. Persembahan kandungan adalah berfokuskan tentang sejarah negara yang disepadukan dengan elemen kewarganegaraan dan nilai sivik.”
                        Sumber: Dokumen Standard, KSSR, Sejarah Tahun 4, KPM, 2013

Tugasan 1.    Esei: 70% (Individu)
Berdasarkan penyataan di atas, bincangkan sejauh manakah penerapan elemen kewarganegaraan dan nilai sivik melalui mata pelajaran Sejarah dapat memainkan peranan dalam melahirkan warganegara Malaysia yang bersatu padu dan bersemangat patriotik.

Tugasan 2.    Penulisan Refleksi: 30% (Individu)
Anda dikehendaki menulis refleksi berhubung dengan penulisan esei. Penulisan ini hendaklah menunjukkan kebolehan anda dalam menganalisis pengalaman yang dilalui dari aspek kekuatan, kelemahan, cadangan penambahbaikan dan pengetahuan baharu yang diperolehi melalui pelaksanaan tugasan di atas.



SENARAI RUJUKAN
Abd. Rahim Abd. Rashid. (1999). Pendidikan Sejarah, Falsafah, Teori dan            Amalan. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd

Abdul Rahman Haji Ismail. (2005). Malaysia Sejarah Kenegaraan dan Politik.       Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka

Kamus Dewan. (2010). Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan         Pustaka

Omarudin Haji Ashaari dan Yunus Muhamad. (1996). Kaedah Pengajaran           Sejarah. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd

Mohd Sohaimi Esa, Dayu Sansalu dan Budi Anto Mohd Tamring. (2011). Hubungan Etnik: Kelangsungan Pembinaan Negara Bangsa. Bandar   Puchong: Penerbit Multimedia Sdn Bhd

Akademi kenegaraan mampu pupuk semangat patriotisme golongan muda.          Dimuat turun pada 16 Ogos 2013 daripada http://www.btn.gov.my/

1 Malaysia: Dato Sri Najib. Dimuat turun pada 16 Ogos 2013 daripada             http://pmr.penerangan.gov.my


SJH3104- Sejarah lisan sebagai sumber dan pengkaedahan sejarah di Malaysia.

1.0       PENGENALAN

            1.1       Sejarah lisan sebagai sumber dan pengkaedahan sejarah di Malaysia.     
Menurut Kamus Dewan edisi keempat (2010), lisan bermaksud sesuatu yang diucapkan dan bukan ditulis. Ataupun diberitahu dengan mulut dan bukan dengan surat. Manakala menurut Rozeman (2004: 149), sejarah lisan merupakan satu kaedah atau teknik penyelidikan moden yang bertujuan untuk memelihara pengetahuan-pengetahuan sejarah melalui pengkisahan. Sumber lisan merupakan sumber yang wujud melalui percakapan atau pertuturan dari mulut ke mulut oleh seseorang yang terlibat atau menyaksikan sesuatu peristiwa yang telah berlaku. Ia hanya tersimpan di dalam ingatan penyaksi dan ianya tidaklah ditulis atau dirakamkan. Namun begitu, sumber lisan boleh menjadi sumber bertulis apabila ia dirakam setelah mengalarni proses temu bual, perbincangan, dan temuduga dengan orang sumber. Pada kebiasaannya, sumber ini turut menjadi rujukan bagi ahli sejarawan dalam bidang sejarah lisan.

Sumber lisan boleh juga dikategorikan sebagai sumber utama dan sumber kedua. Lazimnya, sumber utamanya didapati daripada penyaksi-penyaksi atau orang-orang yang terlibat dalam sesuatu peristiwa sejarah itu. Mereka ini boleh memberikan maklumat asal tentang peristiwa yang mereka saksikan atau yang mereka turut terlibat. Jika mereka ini memuatkan maklumat-maklumat ke dalam pita rakaman ataupun apa-apa perakam suara, maka itu juga boleh dianggap sebagai sumber utama. Tetapi, jika mereka menulisnya, maka ia akan menjadi sumber utama yang bertulis dan bukan lisan lagi. Bagi sumber lisan dalam kategori kedua pula, ia adalah maklumat daripada mereka yang tidak menyaksikan atau terlibat dalam sesuatu peristiwa yang diterangkan.

Menurut Kamus Dewan edisi keempat (2010), kaedah pula bermaksud cara atau peraturan membuat sesuatu terutamanya yang bersistem atau yang biasa. Mengajar cara belajar berdasarkan prinsip-prinsip tertentu. Manakala Louis Gottschalk telah memberikan sedikit gambaran tentang sejarah pengkaedahan sejarah itu. Menurut beliau sejarah telah bermula sejak awal lagi, iaitu sejak para sejarawan Yunani purba menghasilkan karya pensejarahan masing-masing. Tokoh utama dalam hal ini ialah Thucydides, sejarawan yang bersungguh-sungguh memberitahu pembacanya bagaimana beliau menghimpunkan bahan-bahan dan apakah ujian-ujian yang dilakukan bagi mengasingkan yang benar dari yang palsu.

Sebagai suatu proses, kaedah sejarah itu mempunyai peraturan dan tatacaranya yang tertentu pula. Kadangkala peraturan dan tatacara itu dianggap sebagai teknik-teknik bagi penyelidikan sejarah. Malah Garraghan menyamakan istilah teknik itu dengan kaedah sejarah itu sendiri. Bagaimanapun, yang penting difahami ialah peraturan dan tatacara itu adalah langkah-langkah yang diwujudkan serta dilaksanakan oleh sejarawan dalam melaksanakan penyelidikan sejarah. (Muhd Yusuf Ibrahim. 2009: 146)

Kesimpulannya, dengan adanyanya pengertian sejarah lisan dan pengkaedahan tersebut, maka jelaslah yang kita fahami bahawa sejarah lisan ialah wujud melalui percakapan atau pertuturan dari mulut ke mulut oleh seseorang yang terlibat atau menyaksikan sesuatu peristiwa yang telah berlaku yakni pengalaman masa lampau atau ingatan manusia. Manakala kaedah pula ialah satu proses kajian iaitu proses kajian sejarah yang mempunyai peraturan dan tatacaranya yang tertentu. Dengan demikian, tanpa adanya ingatan manusia tidak mungkin ada sejarah lisan. Sebaliknya, tidak mungkin ada sejarah lisan tanpa ada ingatan manusia. Sehingga jelas bahawa sejarah lisan pada dasarnya merupakan pembinaan semula visual atas berbagai peristiwa sejarah yang benar-benar terjadi yang terdapat di dalam memori setiap individu manusia.

2.0       KEPENTINGAN SEJARAH LISAN
Kepentingan sumber lisan sememangnya tidak boleh dipertikaikan lagi. Tambahan pula dalam situasi di mana kurangnya sumber utama dan kedua dalam satu­satu peristiwa sejarah. Di dalam usaha untuk memajukan penulisan sejarah Malaysia tidak semestinya penulisan ditumpukan kepada tokoh-tokoh ternama dan peristiwa-peristiwa utama yang berlaku di sesuatu zaman. Sesungguhnya perkara ini penting, tetapi kita tidak boleh melupakan bahawa sejarah itu merangkumi juga cerita dan peristiwa rakyat biasa. Maka tajuk-tajuk yang bercorak sejarah tempatan dan juga sejarah negeri perlu diberi tempat yang sewajar. Di sinilah sejarah lisan sangat berguna sebagai bahan sejarah tempatan kerana rakyat biasa tidak meninggalkan sumber-sumber bertulis.

Menurut Abdul Rahman (1996: 60) sumber sejarah tempatan juga banyak, iaitu buku, peta, tinggalan arkeologi, arkib, gambar malah orang-orangnya juga. Sumber lisan juga adalah salah satu daripada bahan sejarah tempatan itu sendiri. Di negara kita, sungguhpun tradisi bertulis berkurangan tetapi ia kaya dengan tradisi lisan. Contoh yang jelas ialah semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu selama 3 setengah tahun iaitu dari 15 Februari 1942 hinggalah 12 September 1945. Kebanyakan daripada generasi muda pada masa kini mendapat tahu tentang peristiwa yang menggambarkan keganasan dan kekejaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu melalui cerita-cerita orang tua yang masih hidup dan telah menempuh zaman tersebut.

Satu daripada kelemahan yang besar di dalam usaha untuk menulis dan mengkaji semula sejarah Malaysia ialah kekurangan sumber-sumber sejarah yang asal mahupun bertulis. Misalnya bagi sejarah negeri-negeri Melayu. Cuma beberapa negeri sahaja yang mempunyai sumber-sumber asli yang berkaitan dengan perkembangan sejarah negeri tersebut, tetapi itupun hanya terhadap kepada kurun yang ke-19 sahaja. Masalah ini lebih serius kerana di Malaysia tidak terdapat satu tradisi menyimpan catatan harian, menulis dokumen-dokumen yang lain atau menulis riwayat hidup. Cuma terdapat beberapa bahan bertulis sahaja dan itupun penggunaan bahannya terhad. Di dalam hal ini Sejarah Lisan boleh memainkan peranan yang besar dalam memelihara dan menambahkan sumber-sumber yang ada untuk Sejarah Malaysia di abad ini. Oleh itu, usaha merakamkan sumber-sumber lisan ini adalah penting kerana dokumen sejarah akan terus kekal selama-lamanya tetapi mereka yang mewarisi peristiwa sejarah tidak akan kekal untuk selama-lamanya. (Rozeman, 2004: 153)

Allan Nevns dan Louis Starr berpendapat sejarah lisan dianggap sebagai salah satu cara mengumpul data-data yang tidak bertulis tentang sesuatu peristiwa sejarah untuk kegunaan ahli sejarah dan sebagai asas biografi. Sejarah lisan ini adalah cerita yang benar-benar dilalui oleh individu atau kumpulan. Oleh itu, dalam hal ini bukan semua maklumat lisan yang dikumpul dan dirakam boleh dijadikan sebagai bahan bukti dalam sesuatu penyelidikan sejarah. Proses memilih dan menentukan maklumat lisan yang dianggap benar-benar mempunyai kesahan yang tinggi adalah perlu dijalankan oleh ahli sejarah. Ahli sejarah perlu peka dengan maklumat lisan yang diperolehi supaya ,mereka tidak melakukan kesilapan dan kesalahan semasa menghasilkan penulisan sejarah berdasarkan sumber lisan. (Rozeman, 2004: 162-163).

Sebagai contoh keterangan daripada para saksi sejarah tentang suatu peristiwa belum dapat dianggap sebagai suatu keterangan yang lengkap dan sahih. Ini kerana saksi hanya berfokus pada peristiwa itu terjadi tanpa mengetahui atau melihat latar belakang terjadinya suatu peristiwa tersebut. oleh itu, untuk mendapatkan maklumat yang seimbang mengenai suatu peristiwa sejarah maka penelitian sejarah lisan harus dilakukan dengan melakukan temu bual tertentu. Iaitu dengan menemu bual responden berlainan yang mengalami peristiwa yang sama. Dengan cara ini dapat diperoleh dua hasil yang tidak tercapai dengan temu bual perseorangan. Sekaligus kita dapat memperolehi berbagai data yang diajukan oleh responden kerana setiap responden mempunyai persepsi yang berbeza-beza.

Manakala kekuatan sejarah lisan adalah dapat dilihat sebagai pengukuh kepada pelbagai bahan bertulis. Sejarah Lisan berdasarkan kepada kenang-kenangan seseorang yang terlibat dalam peristiwa-peristiwa yang penting dan maklumat-maklumat ini sungguh bernlai di dalam memahami perisitwa-peristiwa yang saling berkait dari sudut yang luas. Sejarah Lisan adalah unik kerana ia dapat menghubungkan zaman yang lalu dan zaman sekarang melalui rakaman pengalaman-pengalaman yang bersejarah. Pita rakaman dan transkrip sejarah lisan boleh menambahkan lagi kebolehpercayaan dan keyakinan pembaca terhadap sesuatu hasil penulisan. Cara ini tidak dinafikan sebagai salah satu pengukuh kepada fakta sejarah.

Menurut Nazaruddin et.al (2001), semasa pendudukan Jepun kesannya dapat dilihat dari segi sosial, ekonomi dan politik, di mana keadaannya amat merudum dan teruk. Fakta ini dikuatkan lagi dengan sumber lisan yang kita dengar daripada orang yang melalui zaman tersebut. Melalui sumber lisan yang sedia ada ini, kenyataan yang dikemukakan oleh sejarawan itu tidak akan dapat dipertikaikan oleh mana-mana pihak. Pada pandangan saya, sumber lisan juga penting dalam memberikan keyakinan kepada sejarawan dan masyarakat umum pada hari ini tentang sejarah sebagai pengetahuan masa lampau yang pasti takkan kembali lagi. Melalui peninggalan sumber yang ada penulisan mahupun lisan, sejarawan dan masyarakat pasti akan berasa yakin bahawa suatu peristiwa itu telah pun berlaku pada masa lalu.

Walau bagaimanapun, nilainya terhad kepada keadaan pameran yang statik. Di sebaliknya pita-pita rakaman wawancara dengan tokoh-tokoh tertentu yang pernah memainkan peranan yang penting di dalam masyarakat boleh memberi suatu gambaran yang berkesan untuk memahami masa yang lalu itu. Rakaman-rakaman ini boleh menggambarkan perkara-perkara bersejarah yang telah berlaku di samping ianya dapat menggambarkan aspek-aspek masyarakat yang sukar untuk dipamerkan.

Peranan dan keperluan sejarah lisan ini juga adalah untuk memperbanyakkan penulisan sejarah tempatan dalam pelbagai tema. Penulisan sejarah negeri di Malaysia akan dapat diperkembangkan dan diperbanyakkan lagi sekiranya sumber-sumber lisan tersebut dikaji dan digunakan untuk menjalankan projek-projek sejarah lisan. Dalam usaha ini persatuan-persatuan sejarah yang ditubuhkan bukan sahaja untuk menggalakkan pengajian dan menambahkan minat orang ramai terhadap sejarah tempatan tetapi juga mempunyai tanggungjawab untuk memelihara kesan-kesan sejarah negeri-negeri masing. Sebagai contohnya peristiwa yang terjadi di sesuatu tempat dikaji denagn menggunakan sumber lisan. Ini memperbanyakkan lagi penulisan sejarah berdasarkan tema yang didapati. Misalnya banyak lagi sejarah yang terdapat di Sabah dan Sarawak yang belum terungkai oleh kerana faktor kekurangan pengetahuan dalam bidang penulisan. Di sinilah sumber lisan memainkan peranan penting dalam menambah penulisan sejarah di Malaysia.

Di dalam hal ini mereka terlibat dalam pengumpulan, pemeliharaan dan penyediaan bahan-bahan tersebut untuk penyelidik. Persatuan-persatuan sejarah patut memelihara sejarah tempatan mengenai kehidupan masyarakat di masa yang lalu. Persatuan Sejarah akan dapat menggiatkan lagi penyelidikan yang telah dijalankan. Sejarah lisan pula boleh menambahkan penulisaan-penulisan persatuan sejarah khasnya di dalam memenuhi jurang-jurang yang terdapat dalam sejarah tempatan. Jadi melalui cara ini maklumat yang tidak selalunya dimasukkan ke dalam rekod-rekod tertulis akan dapat diperolehi dalam pelbagai tema.

Keperluan sejarah lisan ini juga ialah memperkayakan tradisi sejarah. Dengan adanya sumber lisan ini, hal ini dapat dijadikan panduan para sejarawan dan seterusnya membahaskan sumber lisan tersebut sahih ataupun tidak. Di samping itu juga, sumber lisan ini juga dapat mengukuhkan lagi fakta yang terdapat dalam penulisan sejarah dan menjadikan kebolehpercayaan sesuatu fakta tersebut. Para sejarawan boleh menemu ramah orang-orang tempatan yang sempat mengalami peristiwa yang hendak dikaji kemudiannya diproses menjadikan sejarah tersebut mantap dari segi ketepatan faktanya serta kesahihan isinya. Ini memperkayakan lagi tradisi lisan dan tidak hanya bergantung kepada satu bahan sahaja. Menurut Rozeman (2004), sumber lisan ini dapat memperkayakan lagi tradisi lisan kerana sumber-sumber lisan dikatakan mempunyai keunikan dan keistimewaan yang tersendiri berbanding dengan sumber-sumber sejarah yang lain.



RUMUSAN
Di Malaysia, serupa juga di negara-negara lain, jika sejarah lisan tidak dijadikan sebagai sumber atau pengkaedahan sejarah, cerita-cerita dan pengalaman zaman lampau akan lenyap dengan cepatnya. Lebih-lebih lagi pada masa sekarang di mana manusia boleh berhubung dengan cepat melalui telefon, faks, email atau bertemu muka, tradisi menulis surat-surat yang panjang, penyimpanan catatan-catatan harian dan persediaan memo yang lengkap sudah menjadi kurang mustahak. Dalam keadaan seperti ini, Sejarah Lisan boleh menentukan supaya tidak semua perkembangan-perkembangan dilupai atau hilang sebagai bukti sejarah.

Setelah meneliti dan mengkaji pendapat-pendapat tokoh di atas, jelaslah bahawa sumber lisan membawa impak yang besar sebagai sumber dan pengkaedahan sejarah. Namun, tidak dapat dinafikan jika seseorang ahli sejarah itu menggunakan sumber lisan sepenuhnya sebagai sumber utama maka hasil penulisannya akan mudah diragui dan kebolehpercayaan terhadap fakta tersebut dapat dipersoalkan. Ini mungkin di sebabkan terbatasnya daya ingat seorang pelaku atau saksi sejarah terhadap suatu peristiwa. Oleh kerana terlalu tua ataupun ingatan yang terbatas daripada responden kemungkinan besar fakta yang diceritakannya berlainan daripada cerita asal.

Selain itu, subjektif dalam penulisan sejarah masih sangat tinggi dan kebenaran fakta boleh diragui oleh banyak pihak. Dalam hal ini perasaan memihak dari seorang saksi dan seorang pelaku sejarah yang cenderung memperbesar perannya dan menutupi kekurangannya sering muncul dalam proses menemu bual .Selain itu, sudut pandang dari masing-masing pelaku dan saksi sejarah terhadap suatu peristiwa sering kali berbeza. Ia mungkin akan mengangkat seseorang atau memihak kepada sesuatu yang mungkin bertentangan daripada cerita asal.
Keterangan daripada saksi sejarah tentang suatu peristiwa belum dapat dianggap sebagai suatu keterangan yang lengkap. Ini kerana saksi hanya berfokus pada peristiwa itu terjadi tanpa mengetahui atau melihat latar belakang terjadinya suatu peristiwa. Oleh itu, menurut Rozeman (2004: 162), bukan semua maklumat-maklumat yang telah diperolehi semasa sesi temuramah dijalankan boleh dijadikan sebagai bahan bukti atau fakta dalam sesuatu penyelidikan sejarah. Proses memilih dan menentukan maklumat lisan yang dianggap benar-benar mempunyai nilai kesahan yang tinggi adalah perlu dijalankan oleh ahli sejarah.

Setelah mengambil kira pendapat tokoh yaang berlainan dapat saya simpulkan bahawa sumber lisan memainkan peranan penting dalam bidang penulisan sejarah dan ianya sering kali digunakan untuk mengkaji dan mendapatkan maklumat sejarah di serata dunia. Tetapi kebergantungan sepenuhnya kepada sumber lisan ini akan menjadikan fakta yang dihasilkan akan mudah diragui dan dipersoalkan kebenarannya. Sumber lisan mempunyai kekuatannya yang tersendiri sebagai bahan pengukuh dengan melengkapi kekurangan data atau maklumat yang belum di masukan ke dalam dokumen. Penelitian sejarah lisan yang diadunkan dengan sumber bertulis dianggap dapat melengkapi kekurangan sumber-sumber sejarah selama ini dan kebolehpercayaan faktanya tidak boleh disangsikan.


TAJUK TUGASAN




1.    Membincangkan dengan contoh-contoh yang sesuai sejauh manakah kepentingan sejarah lisan sebagai sumber dan pengkaedahan sejarah di Malaysia.

2.    Menyediakan sebuah penulisan refleksi tentang pengalaman yang dilalui semasa penulisan esei dari aspek kekuatan, kelemahan, cadangan penambahbaikan dan pengalaman baharu yang diperolehi.





SENARAI RUJUKAN

Abdul Rahman Haji Abdullah. (1996). Pengantar Ilmu Sejarah. Kuala Lumpur:     Dewan Bahasa dan Pustaka

Kamus Dewan. (2010). Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan         Pustaka

Muhd Yusuf Ibrahim. (2009). Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian, dan Kaedah.          
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Omardin Ashaari dan Yunus Mohamad. (2002). Kaedah Pengajaran Sejarah.      Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Rozeman Abu Hassan. (2004). Mengenali dan Mentafsir Sumber Sejarah. Shah Alam: Karisma Publications Sdn Bhd.

Universiti Teknologi Mara. (2013). Transkrip Temubual Mengenai Peristiwa           Darurat. Dimuat turun pada 19 julai 2013 daripada http://www.uitm.edu.my