. Amoi Chantek: MODEL-MODEL PENGURUSAN BILIK DARJAH Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Tuesday 1 April 2014

MODEL-MODEL PENGURUSAN BILIK DARJAH

2.0       MODEL-MODEL PENGURUSAN BILIK DARJAH
            Dalam usaha menguruskan bilik darjah dengan baik, ahli-ahli teoris dan para pendidik telah mengemukakan beberapa model pengurusan bilik darjah. Model-model yang diketengahkan oleh mereka adalah meliputi aras kawalan berbeza, iaitu daripada kawalan luaran sehingga kawalan kendiri. Menurut ahli-ahli pendidik, terdapat lima model pengurusan bilik darjah yang boleh dijadikan rujukan oleh guru-guru sekolah dalam usaha mereka membentuk bilik darjah yang kondusif. Model-model tersebut ialah Model Modifikasi Tingkah Laku B.F. Skinner, Model Disiplin Asertif Canter, Model Akibat Logikal Dreikurs, Model Pengurusan Kelompok Kounin dan Model Terapi Realiti Glasser.

2.1       Model Modifikasi Tingkah Laku B.F. Skinner
Model Modifikasi Tingkah Laku Skinner menggunakan prinsip peneguhan yang menggunakan elemen-elemen luaran untuk meningkatkan tingkah laku yang diingini. Terdapat dua jenis peneguhan iaitu peneguhan positif dan peneguhan negatif. Dalam konteks bilik darjah, pengukuhan positif diberikan kepada murid-murid yang melakukan tingkah laku yang diingini. Peneguhan positif berlaku apabila rangsangan seperti hadiah, pujian dan sokongan atas apa yang dilakukan diberikan. Ia diberikan bertujuan untuk meningkatkan lagi tingkah laku murid yang diingini.
Manakala peneguhan negatif pula berlaku apabila rangsangan yang lebih keras diberi. Rangsangan yang ditunjukkan adalah untuk menunjukkan tingkah laku yang diingini kepada murid. Contohnya, cikgu sering kali memarahi murid supaya mereka menyiapkan kerja rumah, akhirnya pelajar menyiapkan kerja yang diberi.
Peneguhan adalah berbeza sama sekali dengan dendaan. Dendaan adalah satu proses atau tatacara untuk melemahkan atau mengurangkan berulangnya tingkah laku yang tidak diingini. Tegasnya, dendaan adalah kesan negatif yang membawa kepada pengurangan dalam kekerapan berlakunya tingkah laku tersebut. Contohnya, murid sering membuat bising dalam kelas dan guru membuat amaran kepada murid. Selepas itu, murid akan berhenti berbuat bising dalam kelas. Pembentukan tingkah laku boleh dilakukan dengan memberikan peneguhan berkala setiap kali sesuatu tingkah laku yang diingini ditunjukkan.


2.2       Model Disiplin Asertif Canter
Model Disiplin Asertif telah dipelopori oleh Lee dan Marlene Canter pada tahun 1976. Model ini berasaskan peneguhan terhadap tingkah laku yang diingini dan penerimaan murid terhadap akibat daripada tingkah laku yang ditunjukkan. Canter menekankan tentang hak guru dan murid dalam pengurusan bilik darjah serta memastikan murid mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Oleh itu, penguatkuasaan peraturan perlu bagi memastikan aktiviti bilik darjah berjalan dengan lancar.
Pertamanya, hak tersebut adalah seperti hak guru adalah mengajar tanpa gangguan. Jadi guru perlu menyediakan persekitaran pembelajaran yang berupaya membantu murid memilih tingkah laku yang sesuai. Manakala, hak murid adalah untuk belajar dalam persekitaran kondusif. Oleh itu, murid perlu memilih dalam bertingkah laku. Canter turut menyatakan bahawa pengurusan bilik darjah perlu dilakukan secara asertif iaitu berkeyakinan dan tegas. Model Disiplin Asertif Canter menggariskan bahawa terdapat tiga jenis guru iaitu guru yang agresif, guru yang tidak asertif dan guru yang asertif.
a)    Guru yang agresif
Jenis guru yang agresif merupakan kalangan guru yang lebih bersifat autokratik, menunjukkan kuasa dan tidak bertolak ansur. Mereka akan menunjukkan peribadi garang , kasar, tidak mesra, tidak bertimbang rasa dan sering menganggap murid sebagai musuh. Guru-guru ini selalu mengunakan arahan-arahan keras dan tegas seperti ‘Duduk’, ‘Diam’, ‘Dengar sini!’ dan lain-lain lagi arahan yang tidak menunjukkan kemesraan terhadap murid dan menjadikan murid-murid berasa terancam serta hilang minat untuk belajar.
b)    Guru yang tidak asertif
Guru yang tidak asertif adalah merupakan guru yang menggunakan pendekatan pasif terhadap murid. Guru jenis ini gagal membantu murid-murid untuk membuat jangkaan tingkah laku yang diingini dan tidak konsisten dalam menangani tingkah laku murid. Kadangkala jenis guru ini membenarkan suatu tingkah laku yang ditunjukkan di dalam bilik darjah tetapi pada masa yang lain mereka memarahi murid yang melakukan tingkah laku tersebut. Mereka selalu menggunakan frasa seperti, ‘Tolonglah berkelakuan elok sedikit’ atau ‘ Berapa kali cikgu cakap, tolong diam!’. Mereka kelihatan kelam-kabut, tidak konsisten, tidak tegas dan sampai ketikanya murid-murid tidak akan lagi menghormati guru jenis ini. Tindakan guru yang tidak konsisten ini akan menyebabkan murid keliru dengan jangkaan dan tindakan guru.
c)    Guru yang asertif
Guru yang asertif sering membina hubungan saling mempercayai dengan murid-murid dan membimbing murid-murid cara untuk menunjukkan tingkah laku yang menggalakkan kerjasama antara guru dengan murid-murid. Canter berpendapat pendekatan yang terbaik untuk menguruskan disiplin bilik darjah adalah dengan menggunakan pendekatan asertif. Guru yang mengamalkan pendekatan asertif ini tahu perkara yang diingini daripada murid-muridnya.
Mereka akan menyatakan dengan jelas kemahuan mereka terhadap tingkah laku murid dan menyokong tindakan-tindakan mereka dengan perlakuan yang boleh diterima oleh murid. Murid-murid juga diberitahu perasaan guru sekiranya mereka mematuhi atau melanggar peraturan tersebut. Murid-murid diterangkan akibat-akibat yang munasabah sekiranya mereka melanggar peraturan. Penjelasan guru diterangkan secara perbincangan dengan murid-murid dan bukannya berbentuk ancaman.

Dalam model Asertif ini, Canter ada memperkenalkan Langkah-langkah Penerangan Pelan Pengurusan Bilik Darjah. Langkah-langkah tersebut ialah:
• penerangan peraturan
• cara pelaksanaan peraturan
• semak kefahaman murid
• maklumkan tentang ganjaran
• penerangan tentang tindakan pembetulan
• cara tindakan pembetulan dikenakan
• semak kefahaman murid
Selain itu juga, guru mempunyai beberapa cara untuk mengenakan tindakan pembetulan kepada murid-murid:
·         bertindak tenang
·         konsisten
·         berikan peneguhan untuk tingkah laku yang diingini.
·         beri peluang murid luahkan perasaan.
·         teguran langsung kepada murid peringkat rendah
·         tegur secara individu untuk murid yang lebih dewasa.

2.3      Model Akibat Logikal Dreikurs
Model ini menekankan kepentingan guru memberikan kepercayaan dan tanggungjawab kepada murid-murid untuk bersama-sama menjaga disiplin di dalam bilik darjah. Fokus utama model akibat logikal Dreikurs ini adalah mewujudkan suasana bilik darjah yang bersifat demokratik di mana murid-murid rasa dipunyai. Oleh itu, guru yang ingin kawalan bilik darjah yang baik tidak seharusnya mengenakan hukuman.
            Selain itu, model ini juga menekankan guru perlu mengenal pasti punca salah laku dan murid perlu dibimbing untuk memahami peraturan di dalam bilik darjah. Murid dan guru juga perlu bersama-sama memikul tanggungjawab dalam pengurusan disiplin bilik darjah agar amalan demokrasi dapat diaplikasikan. Terdapat beberapa motif utama salah laku iaitu :
1. Mendapatkan perhatian : Murid sering kali cuba mendapatkan perhatian guru dengan cara yang salah.
2. Membalas dendam : Murid bertindak balas dendam apabila guru dilihat sebagai bersikap tidak adil dan bersikap autokratik.
3. Mencabar kuasa (konflik) : Apabila murid bertindak mencabar kewibawaan guru jangan bertindak secara emosi. Bertenang, panggil murid secara individu dan cuba kenal pasti punca kelakuan mereka.
4. Menunjukkan kekurangan : Murid yang gagal mendapat pengiktirafan melalui motif sebelumnya mungkin akan bertindak menunjukkan dirinya sebagai seorang yang lemah dan tidak upaya.

2.4       Model Pengurusan Kelompok Kounin
Model ini telah dicipta oleh seorang ahli teoris dalam bidang pengurusan bilik darjah iaitu Jacob Kounin. Ciri-ciri teori ini adalah mengenai teori berkaitan disiplin dapat dicapai (seiring). Model ini menekankan kepada pengawasan dan penyeliaan yang teliti guru dalam pengurusan bilik darjah. Terdapat perkara-perkara utama dalam model Pengurusan Kelompok Kounin. Perkara-perkara tersebut ialah :
1)    Bertindih (overlapping) : Ia merujuk kepada kebolehan guru menguruskan dua atau lebih aktiviti individu atau kumpulan pada masa yang sama.
2)    Merangkumi semua (withitness):  Ia merujuk kepada kebolehan guru membetulkan tingkah laku buruk sebelum ia sampai sesuatau situasi yang tidak boleh dikawal.
3)    Momentum (momentum) : Ia merujuk kepada kebolehan guru untuk menggunakan pergerakan yang sesuai sepanjang masa pelajaran.
4)    Kelancaran (smoothness) : Cirinya ialah kontinuiti, tanpa sebarang gangguan.
5)    Fokus kumpulan (group focus) : Iaitu memusatkan perhatian semua murid lain daripada respons seorang murid sedang diberikan.
6)    Menggalakkan akauntibiliti : Ia merujuk kepada komunikasi kepada semua murid bahawa penyertaan mereka semua sedang diperhatikan dan ditaksir.

2.5       Model Terapi Realiti Glasser
Asas utama kepada model ini ialah setiap tingkah laku yang ditunjukkan oleh individu berasaskan pilihan yang dibuat. Pilihan yang dibuat oleh individu adalah berdasarkan keperluan-keperluan asas mereka.
            Menurut Glasser, masalah tingkah laku di dalam bilik darjah berlaku akibat daripada murid-murid bosan atau tidak puas hati dengan jangkaan  guru di dalam bilik darjah, keadaan persekitaran yang menyebabkan murid gagal memenuhi keperluan asas mereka di sekolah. Terapi realiti berlandaskan 3 prinsip berikut:
·         Setiap individu bertanggungjawab ke atas tingkah laku masing-masing.
·         Setiap individu berupaya untuk berubah dan hidup secara berkesan sekiranya diberikan bimbingan dan sokongan.

·         Setiap individu bertingkah laku mengikut cara tertentu agar dapat membentuk persekitaran mengikut kehendak masing-masing.

No comments:

Post a Comment