. Amoi Chantek: REFLEKSI PENGAJARAN MAKRO Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Thursday 11 September 2014

REFLEKSI PENGAJARAN MAKRO

REFLEKSI  PENGAJARAN MAKRO
MOR EDDIN BIN MORTADA
Saya telah menjalankan aktiviti pengajaran makro yang melibatkan murid tahun 5 Yakin seramai 33 orang. Walaupun pada asalnya bilangan murid seramai 43 orang disebabkan beberapa orang murid terlibat dengan  latihan koir sekolah maka 10 orang murid tiada di dalam kelas.  Murid-murid di dalam kelas ini adalah terdiri daripada murid yang beraras cerdas dan sederhana. Saya menjalankan pengajaran matapelajaran Sains untuk pengajaran makro ini.
Tajuk pengajaran yang saya pilih ialah Menyiasat Dunia dan Teknologi. Hasil pengajaran adalah mengetahui faktor yang mempengaruhi kestabilan struktur. Saya menetapkan tiga objektif pembelajaran iaitu objektif mata pelajaran, objektif saintifik dan objektif berkaitan kemahiran manipulatif sains. Saya telah menyediakan beberapa bahan bantu mengajar yang bersesuaian dan menjalankan pengajaran mengikut rancangan pengajaran yang dirancang lebih awal. Pengajaran makro ini telah dijalankan selama 30 minit di dalam makmal bagi memudahkan murid menjalankan aktiviti berkumpulan.
Kebaikan
Dalam pengajaran makro yang telah saya jalankan ini, beberapa kekuatan atau kebaikan dapat dikesan. Antaranya ialah guru merancang set induksi yang menarik minat murid untuk meneruskan pengajaran. Ia juga melibatkan keseluruhan kelas iaitu semua murid berdiri dengan sebelah kaki dan dua belah kaki untuk merasai situasi yang dikehendaki. Ia juga dapat merangsang minda murid untuk mengaitkan dengan pengajaran dan pembelajaran pada hari ini. Guru menekankan tentang difinisi kestabilan bagi memudahkan murid mengikuti isi pelajaran yang seterusnya.
Penerangan guru jelas dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Penerangan dan intonasi guru yang jelas dapat membantu murid memahami apa yang disampaikan oleh guru dengan lebih berkesan. Guru sentiasa memastikan semua murid dapat mendengar dan melihat dengan jelas bahan yang ditunjukkan semasa P&P. Guru juga peka terhadap murid dengan memberikan bantuan dan tunjuk ajar dalam memahami sesuatu konsep. Contohnya, guru memberikan tunju cara kepada murid untuk menjalankan aktiviti berkumpulan.
Bahan bantu mengajar yang disediakan juga bersesuaian. Terdapat beberapa alat bantu mengajar yang menarik minat murid seperti basikal yang jarang dilihat oleh murid. Alat bantu mengajar yang fleksibal dan menjimatkan masa seperti carta dan kad bergambar membantu proses P&P berjalan lebih lancar tanpa perlu mengambil masa untuk menulis nota di papan putih dan melukis gambar. Murid juga melakukan pergerakkan ke hadapan kelas untuk menampal kad bergambar. Aktiviti ini dirancang bagi menghilangkan rasa tegang dengan hanya duduk di kerusi mereka.
Guru merancang aktiviti berkumpulan yang sesuai bagi membolehkan murid merasai dan melihat sendiri faktor yang mempengaruhi kestabilan struktur. Aktiviti seumpama itu dapat membuatkan murid lebih faham dan mudah untuk mengingati isi pelajaran iaitu faktor yang mempengaruhi kestabilan. Guru memberikan tunjuk ajar disetiap kumpulan bagi memastikan murid dapat menjalankan aktiviti dengan betul. Aktiviti ini juga dapat menjana minda murid dengan melakukan aktiviti berdasarkan kad tugasan yang diberi. Kad tugasan memuatkan arahan yang  jelas bagi membolehkan murid membuat aktiviti dengan baik. Murid juga dapat membaca dan memahami arahan dengan baik. 
Aktiviti berkumpulan yang dijalankan  dapat melibatkan semua murid. Ini mendorong murid untuk  melibatkan diri dengan aktif sepanjang pengajaran dijalankan. Saya dapat melihat  semua murid berusaha untuk mencuba aktiviti yang disediakan secara sukarela. Aktiviti ini juga dapat menggalakkan komunikasi antara rakan kerana mereka perlu berbincang untuk menjalankan aktiviti  dengan betul. Melalui aktiviti ini juga , saya dapat melihat beberapa nilai murni yang ditonjolkan oleh murid seperti semangat kerjasama, bertimbangrasa, bertanggungjawab dan bertoleransi.  Setelah aktiviti selesai dijalankan, semua murid menunjukkan sikap yang positif dan meluahkan perasaan gembira. Suasana  pembelajaran kelihatan ceria dan memberangsangkan. 
Pembentangan hasil aktivti yang dijalanakan dapat membantu murid mempunyai daya keberanian untuk bercakap dikhalayak ramai. Murid akan mempunyai rasa tanggungjawab dan berkebolehan untuk menerangkan kepada rakan-rakan hasil dapatan mereka.
Dalam fasa aplikasi idea guru menekankan aspek penting dalam kemahiran proses sains iaitu mengenal pasti pemboleh ubah. Aspek ini sangat penting dan guru berjaya menyampaikan dengan menjawab soalan yang bersesuaian dengan aktiviti yang telah dijalankan oleh murid. Guru sentiasa memberikan bimbingan kepada murid untuk menjawab soalan dengan baik dan berkesan.
Guru juga merupakan seorang yang ada mempunyai unsur kecindan, tidak terlalu garang atau menunjukkan rasa marah jika murid tidak dapat menjawab soalan, guru turut memberikan penghargaan dan galakan seperti memberikan tepukan, kata-kata pujian dan ganjaran (gula-gula) kepada murid yang dapat menjawab soalan dengan betul. Elemen ini dapat mengeratkan hubungan antara murid dengan guru dan murid akan meresa selesa untuk bertanya atau berkongsi idea bersama guru mereka. Saya dapat mengaplikasikan kemahiran memperkukuh sepanjang pengajaran dijalankan. Kemahiran pengukuhan atau peneguhan merupakan satu teknik mengajar yang digunakan apabila murid memberi jawapan yang betul. Dalam keadaan ini guru memberi pujian kepada murid itu sebagai pengukuhan tingkah laku .Saya yakin dengan menggunakan kemahiran ini dapat memberi galakan kepada murid untuk melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti pembelajaran.
Memberi pengukuhan kepada murid juga dapat memupuk semangat keyakinan untuk murid yang mewujudkan tingkah laku positif. Ia juga dapat membantu memperbaiki disiplin kelas dengan mengubah tingkah laku negatif yang timbul. Keadaan ini dapat ditunjukkan apabila saya menjalankan aktiviti semua murid berusaha untuk memilih jawapan yang betul untuk mendapat pujian tersebut. Bagi murid yang belum menerima pengukuhan juga sentiasa berusaha menunjukkan tingkah laku yang baik .Situasi ini menjadikan disiplin kelas bertambah baik dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan. Murid yang telah menerima pengukuhan merasa usahanya telah dihargai dan semangat keyakinan terhadap daya pembelajarannya semakin bertambah. Perhubungan diantara saya dengan murid juga bertambah mesra dan aktiviti pengajaran saya menjadi proses pengajaran dan pembelajaran yang digemari oleh murid.
Akhir sekali, satu lagi kebaikan yang dapat dikesan ialah guru tidak lupa untuk bertanyakan semua rumusan pelajaran pada hari itu dengan bertanyakan semula isi pelajaran yang disampaikan. Kebolehan murid merumuskan semula isi pelajaran dapat menguji kejayaan pengajaran dan pembelajaran pada hari itu. Rumusan oleh guru juga penting untuk memantapkan pengetahuan murid tentang apa yang telah dipelajari.

Kelemahan
            Setiap guru tidak dapat lari dari melakukan kesilapan dan mempunyai kelemahan dalam pengajarannya. Saya turut menyedari kelemahan yang terdapat dalam pengajaran makro ini menerusi penyediaan ringkasan mengajar dan tayangan semula video rakaman. Beberapa kelemahan saya ialah alat bantu mengajar yang saya gunakan untuk aktiviti berkumpulan kurang menggunakan radas sains yang sebenar. Seharusnya saya boleh menggunakan radas sains seperti kelalang kon, bentuk-bentuk bongkah kayu dan bikar yang pelbagai saiz. Ini dapat membantu murid mendekatkan diri dengan peralatan sains.
            Pada fasa set induksi juga saya rasakan adalah lebih baik jika saya memanggil seorang murid sahaja untuk melakukan aktiviti berdiri sebelah kaki dan dua belah kaki supaya murid-murid lain lebih jelas dengan situasi yang ingin disampaikan. Arahan kurang jelas menyukarkan murid melakukan aktiviti yang diingini oleh guru. Murid juga boleh menggunakan pengetahuan lepasnya untuk membina konsep yang baru dengan lebih mudah. Saya dapati set induksi dalam pengajaran makro yang saya rancangkan tidak menarik. Ia juga tidak mencabar minda murid dan kurang sesuai dengan tahap kebolehan murid. Saya juga tidak dapat meyediakan alat bantu mengajar dalam fasa ini  yang boleh menarik perhatian murid dan memperkembangkan pengetahuan sedia ada murid. 
            Pada fasa penstrukturan semula idea, di mana aktiviti kumpulan dijalankan adalah lebih baik ia dibuat dalam sistem stesen. Ini kerana setiap kumpulan akan melakukan aktiviti yang berbeza iaitu 4 aktiviti dapat di lakukan untuk mengukuhkan pemahaman mereka tentang konsep yang disampaikan. Kad tugasan jelas tetapi kurang menarik. Guru lupa  menyediakan borang pemerhatian untuk murid mencatatkan hasil aktiviti mereka. Murid tidak membentangkan hasil kumpulan di hadapan kelas, tetapi hanya menunjukkan semula di dalam kumpulan masing-masing.
            Kelemahan yang seterusnya di dalam fasa aplikasi idea dimana aktiviti permainan tidak dapat dijalankan kerana kesuntukan masa untuk membawa murid ke luar kelas. Makmal dirasakan tidak sesuai untuk menjalankan aktiviti permainan tersebut kerana berbasikal memerlukan tempat yang lebih luas. Guru juga tidak membincangkan tentang aplikasi kestabilan struktur dalam kehidupan seharian murid. Seharusnya pada fasa ini, guru meminta pendapat murid tentang perkaitan kestabilan struktur dengan situasi yang sebenar.
            Guru yang baik seharusnya dapat memastikan pengurusan masa yang sesuai dengan aktiviti yang dirancangkan. Jika masa tidak dirancang dengan baik dan tidak bersesuaian dengan aktiviti yang dijalankan sudah pasti pengajaran dan pembelajaran tidak dapat dijalankan dengan sempurna. Pengurusan masa saya juga tidak terlalu memuaskan dan perlu difikirkan semula supaya dapat melaksanakan pengajaran dengan berkesan dan mencapai objektif yang dirancang.




Langkah mengatasi kelemahan
            Setiap kelemahan dan kekurangan yang dikesan memerlukan penambahbaikan bagi meningkatkan kualiti pengajaran pada masa akan datang. Berdasarkan kelemahan dan kekurangan dalam pengajaran makro yang telah saya jalankan, penambahbaikan yang perlu dilakukan ialah menyediakan set induksi yang lebih menarik  semasa permulaan pengajaran. Saya perlu menyediakan suatu aktiviti yang luar biasa untuk membangkitkan rasa ingin tahu murid untuk meneroka ilmu seterusnya. Dalam set induksi juga terdapat empat jenis komponen iaitu untuk menarik perhatian, mewujudkan motivasi, membuat perkaitan dan menstruktur.  Aktiviti pengajaran dalam set induksi hendaklah dirancang berdasarkan komponen-komponen  tersebut disamping penyediaan alat bantu mengajar yang lebih relevan untuk menjamin keberkesanan  aktiviti dalam permulaan pengajaran.
Banyak bahan bantu mengajar yang lebih menarik dan lebih baik boleh saya gunakan dalam pengajaran saya untuk tajuk ini. Dalam aktiviti yang dijalankan seharusnya saya dapat menggunakan pelbagai radas sains untuk memperkembangkan pengetahuan murid dalam mengenali radas-radas Sains. Antaranya yang boleh saya gunakan ialah kelalang kon, bikar dan lain-lain peralatan yang sesuai.
Untuk memperbaiki kad tugasan saya yang kurang menarik, saya seharusnya menggunakan teknologi komputer untuk menghasilkan kad tugasan yang lebih baik. Kad tugasan itu juga boleh dilengkapi terus dengan borang pemerhatian setiap kumpulan untuk menjawab hasil aktiviti mereka. Pembentangan yang dijalankan di hadapan kelas seharusnya dilaksanakan. Guru boleh menyediakan sebuah meja dihadapan kelas untuk diletakkan bahan yang digunakan dan menunjukkan cara aktiviti yang dilaksanakan oleh setiap kumpulan. Murid lain dapat melihat dan memberi komen yang lebih membina dalam setiap aktiviti yang dijalankan
Penambahbaikan lain yang boleh saya lakukan ialah memastikan masa untuk melaksanakan sesuatu fasa dilakukan dengan baik. Contohnya, aktiviti permainan yang tidak dapat dijalankan memerlukan masa yang lebih untuk mambawa murid keluar dari kelas dan tempat yang lebih sesuai. Murid sememangnya teruja untuk menaiki basikal tersebut tetapi saya lebih menitik beratkan faktor keselamatan murid. Jika masa mencukupi saya akan membawa murid ke padang sekolah untuk mencuba menaiki basikal tersebut dengan kawalan guru. Ini dapat memberikan kesan positif apabila murid gembira dan terkenang aktiviti yang mereka lakukan. Untuk itu saya akan memastikan aktiviti yang dirancang bersesuaian dengan masa yang diperlukan dalam pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan.
 Saya juga perlu menguasai teknik menyoal  supaya aras soalan sesuai dengan murid, kebolehan dan pengalaman masing-masing. Melalui aktiviti  soal jawab juga, perhubungan guru dan  murid  dapat dijalin dengan baik. Saya akan cuba menyoal setiap orang murid secara keseluruhan kelas supaya semua murid sentiasa bersedia dan menyediakan jawapan bagi soalan yang saya kemukakan. Setiap murid perlu diberikan peluang dan masa untuk memikirkan jawapan yang dikehendaki oleh guru.

Kesimpulan 
Refleksi pengajaran makro yang dibuat  dapat menilai kekuatan dan kelamahan saya dalam pengajaran dan pembelajaran yang saya jalankan.  Saya juga  dapat meneliti setiap fasa pengajaran dengan cara yang lebih sistematik dan mendapatkan  maklumbalas dengan segera untuk memperbaiki kelemahan yang ada. Guru yang bijak dan dedikasi seharusnya memikirkan cara yang terbaik untuk proses pengajaran dan pembelajarannya. Murid adalah pelanggan yang perlu diutamakan. Refleksi yang dibuat akan memperlihatkan kelabihan dan kekurangan guru dalam pengajarannnya. Langkah memperbaiki kelemahan perlu dilaksanakan bukan sekadar membiarkannya sahaja tanpa mengambil tindakan yang sewajarnya.
Bagi saya yang mengajar untuk tiga kelas tahun 5 akan memastikan kesilapan tidak berulang untuk mengajar topik yang sama di kelas yang lain. Penambahbaikkan perlu dilakukan. Itulah tugas guru dalam menempuh arus perjuangan mendidik anak bangsa. Guru perlu sentiasa peka, sedia dan menanamkan sikap untuk membuat yang terbaik. Jika kita dapat membuat yang terbaik, kejayaan anak didik akan menjamin kepuasan guru dalam kerjayanya.

Setelah meneliti video pengajaran dan rancangan pengajaran  yang saya sediakan, saya dapati proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan adalah berjaya dan mencapai objektif. Walaubagaimanapun penambahbaikkan perlu dijalankan supaya pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan. Bagi saya, perkara utama adalah persediaan guru, teknik pengajaran dan bahan bantu mengajar yang sesuai dapat membantu guru dan murid memahami isi pelajaran dengan lebih baik dan berkesan.

No comments:

Post a Comment