. Amoi Chantek: konsep main dengan proses pembelajaran. Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Sunday 3 November 2013

konsep main dengan proses pembelajaran.

Teori pembelajaran yang boleh menghubungkaitkan konsep main dengan proses pembelajaran.

Pengenalan
            Main merupakan satu pengalaman langsung yang paling asas dan semulajadi. Melalui aktiviti main, proses perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh akan terus berlaku. Main dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu permainan sosial dan permianan kognitif. Berdasarkan kategori tersebut, konsep main ternyata berhubungkait dengan teori pembelajaran sosial dan sosial kognitif yang diperkenalkan oleh Albert Bandura. Berdasarkan teori tersebut, main berperanan penting dalam proses pembelajaran. Teori pembelajaran sosial dan sosial kognitif berhubungkait dengan main dalam proses pembelajaran. Dalam kehidupan sosial kanak-kanak, bermain adalah pencetus kepada pembentukan perkembangan serta kemahiran sosial dan emosi kanak. Sebagai contoh kanak-kanak dari pelbagai umur perlu bersosialisasi, sebagai peyumbang dalam kebudayaan masing-masing. Kajian (Rubin & Howe 1986; Creasey, Jarvis, & Berk, 1998) menunjukkan bahawa bermain dengan individu lain memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menyesuaikan perlakuan mereka dengan orang lain dan memberikan pendapat mereka sendiri. Main dikatakan dapat memberi kanak-kanak pengalaman yang kaya untuk meningkatkan kemahiran bersosial, mempunyai sensitiviti nilai dan keperluan orang lain, mengawal emosi, belajar mengawal diri sendiri dan juga boleh berkongsi kuasa.
            Morison ( 1995 ) menegaskan bahawa dalam menjayakan sesuatu permainan di pusat-pusat persekolahan, guru memainkan peranan yang penting untuk mencipta persekitaran dan juga merangsang serta memperkembangkan daya berfikir kanak-kanak. Menurut Joan Packer Isenberg dan Mary Renck Jalongo (2003), sebagai langkah awal, untuk memastikan aktiviti bermain dapat digunakan dengan lebih berkesan, guru-guru perlu menyediakan diri terhadap realiti dalam pengajaran seperti menyedari bahawa guru prasekolah akan dikelilingi oleh budaya yang pelbagai dan kemahuan-kemahuan dari pelbagai kumpulan kanak-kanak, menyedari bahawa mengurus bilik darjah akan memerlukan keupayaan untuk melakukan pelbagai perkara serentak, membuat beribu keputusan serta merta setiap hari dan berupaya menyesuaikan diri secepatnya dan menjadi fleksible kepada perubahan, memahami bahawa mereka terpaksa meringkaskan pengalaman yang tidak langsung dan menjadikan ianya berguna dan bermakna serta menyeronokkan kepada kanak-kanak terutama kanak-kanak yang mempunyai latar belakang pendidikan yang agak kurang baik dan juga tidak dapat memenuhi keperluan asas mereka, mengetahui bahawa guru akan memasuki satu profesion yang kadang-kala mempengaruhi emosi dalam bidang yang mencabar ini terutama dalam hubungan interpersonal. Mereka mungkin merasa cepat letih terutama dari segi minda terhadap pelbagai program yang direncana dan dilaksanakan serentak dan harus diingat bahawa guru yang terbaik adalah yang paling cepat belajar. Kecuali guru itu seorang yang ‘belajar sepanjang hayat’, di mana sentiasa mengambil berat terhadap kemajuan dan perkembangan profesionalisma dan menjadi seorang model pelajar yang mana kanak-kanak akan contohi dan keberkesanan ini lambat laun akan berkurangan.

            Belajar melalui bermain adalah satu teknik pengajaran dan pembelajaran yang berkesan kepada kanak-kanak. Melalui teknik ini juga akan mendatangkan keseronokkan dan kepuasan kepada mereka dalam sesuatu pengajaran yang hendak disampaikan. Dengan bermain juga kanak-kanak akan dapat menguasai perkembangan dan kemahiran fizikal dan penguasaan bahasa dari segi perbendaharaan dan peraturan tatabahasa. Menurut Mak Soon Sang, dalam bukunya Pendekatan dan Strategi Pengajaran, main merupakan satu teknik mengajar yang memberi peluang kepada murid-murid melakukan sesuatu aktiviti secara berpura-pura di dalam keadaan terkawal. Pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah berlandaskan prinsip belajar sambil bermain. Aktiviti bermain adalah kerja kanak-kanak. Menurut Buku Panduan Guru (Pusat Perkembangan Kurikulum), belajar melalui bermain adalah satu pendekatan yang terancang dan berstruktur bagi memberi peluang kepada murid belajar dalam suasana yang bebas dan selamat, menggembirakan dan bermakna. Permainan merupakan saluran yang boleh mengembangkan perkembangan kanak-kanak ke tahap yang optima. Oleh kerana permainan merupakan sesuatu kekuatan dan pengalaman yang penting menjadi asas dalam model pendidikan awal kanak-kanak.
            Teori pembelajaran sosial pada awalnya dikenali sebagai teori pembelajaran sosial. Menurut Albert Bandura, manusia secara semulajadi belajar melalui proses peniruan atau pemerhatian. Secara semulajadi manusia belajar melalui proses peniruan. Segala perkara yang dilihat tidak kira baik mahupun buruk akan ditiru oleh seseorang individu yang dalam proses pembelajaran. Hal ini disebabkan, pada peringkat awal pembelajaran iaitu di awal usia kanak-kanak, individu belum mampu untuk menilai perkara yang baik dan buruk. Kanak-kanak juga meniru tingkah laku yang diperhatikan, terutamanya tingkah laku yang mendapt peneguhan. Peneguhan yang biasa dibuat ialah memberikan pujian dan memberikan peneguhan berupa ganjaran. Setiap peneguhan yang diberikan kepada kanak-kanak akan memberikan motivasi untuk mereka meneruskan proses pembelajaran yang secara tidak langsung.
            Terdapat pelbagai faktor yang membawa kepada kemerosotan pencapaian akademik murid-murid. Walau bagaimanapun, terdapat kaedah atau teknik yang boleh dilaksanakan untuk membantu murid-murid yang merosot dalam pencapaian akademik. Berdasarkan teori pembelajaran sosial dan sosial kognitif, aktiviti peniruan boleh dilakukan. Kaedah ini boleh dilakukan dengan menyelitkan aktiviti main dalam proses pembelajaran. Pembelajaran yang dilaksanakan akan melalui pemerhatian dan peniruan. Untuk melaksanakan pembelajaran berdasarkan teori ini memerlukan model. Bagi menerapkan hasil pembelajaran yang positif, model yang digunakan harus ada ketokohan seperti dipandang tinggi, cekap,baik dan yang mempunyai ciri-ciri yang boleh dijadikan teladan dalam kelas. Teori pembelajaran sosial juga dikenali sebagai teori pembelajaran peniruan. Tiga bentuk peniruan yang diperkenalkan iaitu peniruan secara langsung, peniruan sekat lakuan dan tak sekat lakuan serta peniruan elisitasi.
            Hubungkait antara konsep main dengan proses pembelajaran adalah sangat ketara jika diperhatikan secara terperinci. Pembelajaran merupakan satu aktiviti yang melibatkan kognitif dan perlunya ada komunikasi sosial semasa prosesnya berlangsung. Teori pembelajaran sosial dan sosial kognitif ternyata boleh menghubungkaitkan konsep main dengan proses pembelajaran. Perkaitan boleh dilihat dari kegiatan murid ketika belajar. Main memerlukan penglibatan murid. Ia melibatkan kemahiran sosial dan mewujudkan kegiatan bersosial memandangkan pembelajaran melibatkan lebih dari seorang. Ini mempunyai kaitan dengan kategori main iaitu permainan sosial yang bermaksud kanak-kanak bermain dalam kumpulan. Permainan sosial bermula sejak kanak-kanak mengenali persekitaran dan orang-orang yang berada di persekitarannya. Begitu juga dengan pembelajaran. Pembelajaran bermula dengan mengenali persekitaran tempat pembelajaran berlaku. Murid-murid akan belajar bergaul dengan rakan-rakan beru dan mengenali guru kemudian membiasakan diri dengan kelas tempat belajar. Permainan sosial terdiri daripada main Unoccupied di mana kanak-kanak tidak bermain dengan apa-apa alatan atau dengan sesiapa tetapi hanya berada dalam kawasan permainan, main solitary, main onlooker, main parallel, main associative dan main cooperative. Antara ciri-ciri main yang mempunyai kaitan secara langsung dengan pembelajaran  ialah proses penyesuaian dan penerokan. Pembelajaran memerpukan murid menyesuaikan diri dengan persekitaran yang terdiri daripada lokasi pusat pembelajaran, masyarakat di dalam dan luar pusat pembelajaran dan proses pembelajaran yang berlaku. Pembelajaran melibatkan penerokaan ilmu-ilmu baharu yang mungkin tidak pernah wujud dalam minda seseorang. Penerokaan juga merupakan satu ciri main.
            Kategori main yang kedua ialah main kognitif. Ternyata main melibatkan aspek sosial dan kognitif. Maka, ia bersesuaian dengan teori pembelajaran sosial dan sosial kognitif. Main juga sangat penting peranannya dalam pembelajaran. Permainan kognitif telah dikemukakan oleh Jean Piaget (1962). Permainan kognitif berlaku melalui peringkat-peringkat iaitu berfungsi, konstruktif, simbolik dan berperaturan. Permainan kognitif kanak-kanak bermula sejak kanak-kanak berusia dua tahun. Gaya permainan juga berkembang selaras dengan tahap umur kanak-kanak. Permainan kognitif adalah sangat bersesuaian digunakan sebagai pendekatan pengajaran dan pembelajaran memandangkan main merupakan proses belajar yang paling berkesan. Berdasarkan konsep main yang telah dikaji, ia ternyata mempunyai kaitan dengan pembelajaran. Antara prinsip-prinsip pembelajaran yang mempunyai persamaan atau kaitan dengan main ialah penglibatan aktif, pengalaman langsung dan suasana yang menyeronokkan. Perkaitan yang jelas menunjukkan hubungkait konsep main dengan proses pembelajaran oleh teori pembelajaran sosial dan sosial kognitif ialah melalui implikasi teori pembelajaran sosial dalam pengajaran dan pembelajaran. Antara implikasi yang dinyatakan ialah pembelajaran berlaku melalui pemerhatian dan peniruan, guna model sebenar dalam aktiviti pembelajaran yang dilaksanakan. Pemerhatian dan peniruan akan berlaku secara tidak dirancang dalam diri murid yang baru melangkah ke alam belajar. Ia berkaitan dengan penerokaan seperti dalam ciri-ciri main dan juga proses pembelajaran. Teori pembejalaran sosial juga menggalakkan pembelajaran berasaskan realiti sebagai model atau contoh. Maka pembelajaran yang dilaksanakan lebih berkesan. Contoh model yang boleh digunakan ialah rakan kelas murid, pekerja am sekolah dan guru sendiri. Justeru, proses pembelajaran melibatkan persekitaran. Ia berkaitan dengan sosial pelajar dengan persekitarannya. Pelajar mampu menggunakan persekitarannya dan mmepelajarinya secara tidak langsung.

            Kesimpulannya, teori pembelajaran sosial dan sosial kognitif sangat bersesuaian untuk menunjukkan hubungkait antara konsep main dengan proses pembelajaran. Hal ini disebabkan, proses pembelajaran melibatkan sosial dan kognitif sepenuhnya.  Pembelajaran sudah tentu memerlukan kehidupan bersosial. Tanpa sosial dalam pembelajaran, ia adalah mustahil untuk dilaksanakan. Berdasarkan hubungan konsep main dengan proses pembelajaran, ia menunjukkan kita cara untuk menambahbaik sistem pendidikan untuk membantu meningkatkan prestasi pelajar. Berdasarkan teori ini, sudah tentu,perkara yng harus diambil kira ialah kreativiti guru dalam menghasilkan aktiviti dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran. Guru juga harus bijak memanipulasikan persekitaran sosial untuk diterapkan dalam proses pembelajaran yang dilaksanakan. Dengan itu, jika ada usaha berterusan, ia dapat membantu meningkatkan prestasi murid dan secara tidak langsung meningkatkan kualiti pendidikan.

No comments:

Post a Comment