. Amoi Chantek: Dasar Luar Negara Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Wednesday 10 April 2013

Dasar Luar Negara


1.1         Pengenalan

Tugasan kali ini telah meminta kami untuk menyiapkan dan memahami tajuk yang telah diberikan iaitu berkenaan dengan Dasar Luar Negara. Terlebih dahulu sebelum kita melangkah dengan lebih dalam lagi, apakah yang dimaksudkan dengan Dasar Luar Negara? Dasar luar Negara bermaksud dasar kerajaan terhadap negara-negara lain. Negara juga boleh diibaratkan sebagai seorang manusia. Oleh itu, sesebuah negara perlulah menjaga keselamatannya. Kita semua ingin menjalankan tugas rutin harian tanpa diganggu atau diancam oleh pihak-pihak tertentu. Begitu juga sesebuah negara perlu mengekalkan kedaulatannya serta menjamin keselamatannya daripada serangan musuh.

Hal ini lebih diutamakan bagi sesebuah negara yang kecil seperti Malaysia. Kadangkala negara-negara kecil ini terpaksa mencari perlindungan daripada kuasa-kuasa besar, atau bekerjasama dengan negara lain untuk mempertahankan kepentingan bersama. Keperluan asas negara yang berikutnya ialah mencari sumber pendapatan. Berdasarkan hal ini, sesebuah negara perlulah menjamin kepentingan ekonomi perdagangan yang menjadi punca pendapatannya. Terdapat banyak definisi atau pendapat yang diutarakan oleh penulis berkenaan Dasar Luar Malaysia. Menurut Lew Hee Men, et al. (2005), Dasar Luar bermaksud “berbaik-baik dengan semua negara demi keamanan dan kesejahteraan dunia”. Menurut beliau juga, dasar luar dibahagikan kepada dua bentuk, iaitu Hubungan Bilateral (hubungan secara terus dengan negara-negara tertentu, dan Hubungan Multilateral (hubungan dalam bentuk kumpulan dan pertubuhan).

Negara-negara yang bergantung kepada perdagangan tentu akan memelihara hubungan yang baik dengan negara-negara lain bagi memasarkan barangannya atau bagi mendapatkan bahan mentah yang diperlukannya. Oleh itu, sekiranya kita ingin memahami dasar luar sesebuah negara, kita mesti mengetahui keperluan asas negara itu dari segi keselamatan ekonomi dan politik. Di samping itu pula, kita mesti mengetahui tentang latar belakang sejarah dan kebudayaan masyarakat tersebut.

Selain itu, Mohd. Nor Mat Yazid (1994) pula menyatakan, “dasar luar dapat diertikan sebagai matlamat, rancangan dan tindakan yang dilakukan oleh sesebuah negara dalam usaha berhubung dengan sesebuah negara lain. Hubungan di antara sebuah negara dengan negara lain adalah perlu dan penting dalam menjaga kepentingan, keselamatan dan kemakmuran sesebuah negara”. Akhir sekali, definisi yang dikeluarkan oleh OUM adalah, Dasar luar negera merangkumi matlamat, perancangan dan tindakan yang diambil oleh sesebuah negara sehubungan dengan negara-negara lain. Dasar luar negera mengutamakan aspek tindakan yang diambil oleh sesebuah negara bagi mempengaruhi keadaan-keadaan diluar bidang kuasanya.

Berdasarkan kepada beberapa definisi yang dikemukan oleh penulis di atas, dapatlah saya rumuskan bahawa dasar luar merupakan satu dasar yang dirangka dan dilaksanakan oleh Malaysia bertujuan untuk mengadakan hubungan baik dengan negara-negara luar bagi tujuan mewujudkan dan mengekalkan keselamatan, kedamaian, keharmonian serta kesejahteraan dari aspek ekonomi, politik, sosial dan lain-lain isu yang mempunyai kepentingan-kepentingan bersama. Bagi menjaga kepentingan, keamanan dan keselamatan sesebuah negara, hubungan di antara sebuah negara dengan sesebuah negara yang lain adalah perlu dan penting. Hal ini demikian kerana kebanyakan negara bergantung antara satu sama lain dalam pelbagai aspek seperti politik, ekonomi, teknologi dan keselamatan. Negara maju perlu mengadakan hubungan dengan negara membangun khususnya dalam bidang perdagangan.


1.2       Matlamat Dasar Luar Negara
Dasar Luar Negara ini diwujudkan adalah mempunyai matlamat dan objektifnya yang tersendiri di mana ia diperlukan untuk menjaga kepentingan bersama dalam menjamin kehidupan yang lebih lancar dan teratur. Wujudnya Dasar Luar Negara yang mempunyai matlamat dari segi keselamatan, ekonom, politik mahupun sosial sesebuah negara. Lew Hee Man, et. Al (2005) pula menyenaraikan beberapa objektif dan matlamat dasar luar Malaysia iaitu:

Dasar Luar Negara ini menjamin keselamatan rakyat dan negara ini kerana keselamatan mempunyai hubung kait yang rapat dengan pengiktirafan. Negara perlu wujud sebagai satu kesatuan. Sesebuah negara akan dapat mempertahankan diri dari ancaman luar pada bila-bila masa walaupun terpaksa melalui kekerasan atau peperangan. Oleh sebab itu sesebuah negara amat memerlukan hubungan yang baik dan erat antara setiap negara untuk memastikan perkara yang tidak diingini berlaku.

Selain itu, Dasar Luar Malaysia ini akan memelihara kepentingan nasional dan mengekalkan kedaulatan negara. Pengiktirafan yang merujuk kepada keinginan sesebuah negara untuk diterima oleh negara lain sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat serta mempunyai sistem pentadbiran sendiri.  Dasar luar ini perlu terkawal serta berjaya membawa pembangunan dan keamanan kepada rakyat.

Ia juga menggalakkan pembangunan dan kemajuan ekonomi dan mewujudkan keamanan sejagat melalui kerjasama antarabangsa. Setelah wujudnya kerjasama antarabangsa antara negara ia akan menjalinkan kerjasama dua hala erat dikalangan negara jiran dan serantau serta meningkat kerjasama di kalangan negara lain yang mempunyai matlamat yang sama dalam pelbagai aspek ekonomi, politik, keselamatan dan sosial.
Objektif asas dan utama Dasar Luar Malaysia adalah bertujuan untuk melindungi kepentingan nasional di arena antarabangsa sekaligus di pentas dunia. Menurut pernyataan mantan Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Syed Hamid Albar, antara objektif-objektif paling utama dasar luar negara Malaysia adalah menjaga, mempertahankan dan memajukan kepentingan-kepentingan Malaysia di peringkat global. Selain itu, dasar ini turut menjaga dan mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan dan keselamatan Malaysia seterusnya mempertahankan prinsip menghormati kemerdekaan dan kedaulatan sesebuah wilayah melalui dasar tidak campur tangan dalam hal ehwal dan masalah dalaman negara lain.

Tambahan lagi, objektif seterusnya adalah untuk menangani perkembangan dan cabaran politik, ekonomi, keselamatan dan sosial di pentas dunia. Dasar ini juga dapat memupuk hubungan baik serta dapat mengeratkan kerjasama dengan negar-negara lain. Selain itu, pendirian serta kepentingan negara-negara membangun dapat dipertahankan di peringkat antarabangsa.

Disamping itu terdapat beberapa objektif dasar luar Malaysia, yang pernah dikemukakan, di antaranya ialah kepentingan pengujudan kedamaian dan keharmonian adalah penting dan ini terpancar dalam dasar luar Malaysia yang merupakan kesinambungan kepada dasar dalam negeri bertujuan untuk menjaga dan mengekalkan keselamatan, keamanan, keharmonian, kesejahteraan ekonomi dan lain-lain kepentingan-kepentingan negara dan persekitaran. Ini ialah penting bagi menjamin keselamatan yang lebih berkesan jika dilakukan dengan bersama dan lebih kerap lagi.

Kebanyakan pembentukan dasar luar Malaysia secara lazimnya berusaha keras bagi membantu perkembangan ekonomi dalam negeri dengan membawa masuk seberapa ramai pelabur-pelabur asing. Sebagai contoh dengan menjemput pelabur-pelabur dari luar negara untuk melihat dan meyakinkan mereka untuk turut melabur ke dalam industri mahupun ke dalam sektor-sektor lain yang dapat memberi pulangan yang berpatutan kepada mereka. Dengan ini, ia akan mengembangkan lagi ekonomi negara dengan melancarkan dan melicinkan lagi proses pembangunan negara.

Meskipun terdapat sedikit perbezaan dari segi matlamat dan objektif yang dinyatakan oleh penulis di atas, kita dapat rumuskan bahawa objektif Dasar luar yang paling utama adalah sama, iaitu ke arah menjaga kedamaian, keharmonian dan mengekalkan kepentingan Malaysia di arena antarabangsa seterusnya berusaha memakmurkan negara jiran. Ini juga menjamin ekomoni yang terus berkembang dalam pembangunan negara.­

2.0 Prinsip-prinsip penentuan Dasar Luar Malaysia
Malaysia mempunyai beberapa prinsip atau tafsiran yang menjadi panduan dalam melaksanakan dan membentuk dasar luarnya. Terdapat beberapa prinsip  yang menentukan corak dan arah dasar luar negara. Antaranya ialah, geopolitik,  sejarah, ekonomi, sistem antarabangsa, demografi, dan agama. Bermula dengan prinsip dari segi geopolitik iaitu negara kita yang terletak dalam kawasan yang mustahak dari sudut geopolitik di rantau Asia-Pasifik. Sebagai sebuah negara yang terletak di persimpangan dua jalan yang penting, iaitu Lautan India dan Lautan Pasifik yang kaya dengan sumber galian seperti minyak, bererti kedudukan negara kita adalah penting dari segi kestabilan dan keselamatan di rantau Asia- Pasifik.

            Perinsip yang kedua adalah dari segi sejarah. Sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka telah terjalin hubungan dengan negara luar seperti China, Arab, Siam dan juga negeri-negeri di Kepulauan Melayu. Hubungan luar ini lebih berbentuk hubungan perdagangan. Pada masa ini telah terjalin hubungan Melayu serumpun di Kepulauan Melayu termasuklah negara-negara yang ada pada hari ini dikenali sebagai Indonesia, Brunei, Singapura dan Malaysia. Setelah mencapai kemerdekaan, Malaysia menyertai pertubuhan Komanwel dan meneruskan hubungan diplomatik dengan Britain dan negara Komanwel lain seperti Australia dan New Zealand.

Pada masa itu, Malaysia sedang diancam oleh fahaman komunis yang disebarkan oleh Parti Komunis Malaya (PKM). Ancaman komunis ini menggugat keselamatan negara Malaysia dan dengan ini mendorong Malaysia mengamalkan dasar luar yang pro-Barat dan antikomunis. Pada masa yang sama, Malaysia masih bergantung kepada kuasa Barat kerana Malaysia belum mempunyai keupayaan pertahanan
            Selain itu, dari segi ekonomi pula Malaysia merupakan negara yang mengamalkan pasaran bebas dan dengan ini menjalin hubungan baik dengan negara-negara lain di dunia dalam usaha memajukan ekonominya. Sejak zaman penjajahan British lagi, Malaysia merupakan antara negara pengeluar utama bijih timah dan getah. Pada masa ini telah terjalin hubungan ekonomi antara Malaysia dengan negara-negara maju seperti Britain dan Amerika Syarikat.

 Setelah Malaysia mencapai kemerdekaan, Malaysia masih mengharapkan pasaran dan juga modal dari negara-negara tersebut. Malaysia sendiri mempunyai kekayaan yang agak menarik dan ekonominya adalah berlandaskan keupayaan dan kebolehan mengeksport bahan-bahan mentah serta barangan yang diproses. Ini membantu meningkatkan taraf hidup dan ekonomi yang kukuh di Asia. Namun begitu, persekitaran Asia Tenggara sentiasa bergolak dengan permasalahan politik yang boleh mengancam kedudukan ekonomi dan politik negara.

            Prinsip keempat pula adalah dari segi sistem antarabangsa. Malaysia yang sentiasa menghormati kemerdekaan dan kedaulatan sesebuah negara serta terhindar daripada penindasan adalah sangat penting dalam menentukan dasar luar negara. Berdasarkan prinsip ini, Malaysia amat berpegang teguh dengan konsep Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu kewujudan sistem antarabangsa di mana semua masyarakat di dunia ini dapat hidup dengan aman dan harmoni serta terhindar daripada penindasan. Dalam hal ini, Malaysia telah memainkan peranan aktif dan memberikan sumbangan yang bermakna terhadap PBB melalui penyertaan penuh semangat dalam agensi-agensi PBB seperti UNESCO dan UNCTA D. Sebagai contoh, Malaysia telah menghantar tentera pendamai ke Congo, Afrika (Zaire) pada tahun 1960 bagi menamatkan perang saudara di sana. Malaysia juga memberikan sokongan terhadap orde baru Ekonomi Antarabangsa dan kegiatan-kegiatan Negara-Negara 77 untuk mencapai keadilan dalam sistem perdagangan yang selama ini memihak kepada negara maju sahaja.

            Yang kelima adalah dari faktor demografi iaitu Malaysia telah menjalinkan hubungan diplomatik yang baik dengan negara-negara Islam sejajar dengan penduduknya yang majority beragama Islam. Malaysia tidak mengadakan hubungan diplomatik dengan negara Israel disebabkan dasar negara berkenaan yang menceroboh dan menindas peribumi Palestin. Rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama juga diberikan kebebasan sepenuhnya untuk mengamalkan budaya hidup dan agama masing-masing. Amalan konsep perpaduan dan sikap komited terhadap hak asasi manusia meneybabkan Malaysia menentang keras Dasar Apartheid yang diamalkan di Afrika Selatan. Malaysia juga tidak mengadakan sebarang hubungan diplomatik dengan negara berkenaan sehinggalah undang-undang dasar apartheid itu dihapuskan oleh kerajaan Afrika Selatan. Oleh itu, faktor kepelbagaian kaum di negara ini amat mempengaruhi pembentukan dasar luar Malaysia.

Prinsip yang terakhir pula adalah dari segi agama.  Malaysia sebagai sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi telah berkemampuan untuk  menjalinkan hubungan erat dengan negara-negara Islam. Malaysia telah memainkan peranan yang penting dalam Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC). Malah, YTM Tunku Abdul Rahman telah dialntik sebagai Setiausaha Agung pertama OIC. Malaysia telah memberikan komitmen yang tinggi terhadap hubungan dengan negara-negara Islam sebagai salah satu asas hubungan luarnya.
           
Tuntasnya, prinsip-prinsip penentuan dasar luar negara dari segi geopolitik, ekonomi, sistem antarabangsa, demografi dan agama hanya merupakan sebahagian kecil daripada prinsip yang dapat menjadi asas kepada pelaksanaan dasar luar Malaysia. Ini kerana dasar luar negara adalah berbentuk dinamik iaitu akan sentiasa mengalami perubahan berikutan dengan dasar yang diamalkan oleh pemimpin-pemimipin semasa.

3.0 Dasar Luar Negara Tanah Melayu dan Malaysia
Dasar luar negara merupakan polisi sesebuah Negara dalam menjalinkan hubungan antarabangsa dengan negara lain. Menurut buku Dasar Luar Era Mahathir, ada menyatakan bahawa dasar luar ialah alat atau instrumen yang diperlukan oleh sebuah negara untuk berinteraksi dengan sebuah negara yang lain, baik yang berjiran dengannya atau yang berada jauh darinya. Melalui dasar luar ini, sesebuah negara menyatakan pendirian mereka terhadap perkembangan dan perolakan yang berlaku di luar sempadan negara dalam hubungan antarabangsa. (Chairil Wariya, 1989) Selain itu, dalam buku Perhubungan Antarabangsa: Konsep dan Konteks juga ada menyebut bahawa dasar luar adalah dasar yang diamalkan oleh sesebuah negara dalam menjalin hubungan dengan sebuah negara yang lain. Dasar luar merujuk kepada tindakan atau idea yang dibuat oleh pembuat dasar untuk menyelesaikan sesuatu masalah atau membawa perubahan suasana politik antarabangsa (Mokhtar Muhammad, 2005). Kesimpulannya, definisi dan konsep dasar luar negara adalah merujuk kepada langkah-langkah atau peranan yang diambil oleh pemimpin negara bagi menjaga keamanan dan kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara di peringkat antarabangsa.

Dasar Luar Malaysia sentiasa berubah mengikut peredaran masa setelah mencapai kemerdekaan.Menurut buku Malaysia Kita, sejak dari tahun 1957, iaitu selepas Persekutuan Tanah Melayu merdeka, negara ini telah mengamalkan dasar luar yang serdehana. Dasar ini telah mengutamakan semangat setiakawan dan menjalin hubungan yang baik dengan semua negara tanpa mengira kedudukan ideologi mereka. Perkambangan dasar luar Malaysia dapat dibahagikan kepada empat tahap, iaitu berdasarkan era pemerintahan kelima-lima Perdana Menteri Malaysia. Pada era pemerintahan Tunku Adbul Rahman Putera AL-Haj (1957-1970) adalah merupakan Dasar Luar Malaysia tahap pertama. Bagi tahap kedua pula merupakan era pemerintahan Tun Abdul Razak (1972-1976).Era pemerintahan Tun Hussien Onn (1976-1981)pula berada pada tahap ketiga. Seterusnya adalah tahap keempat iaitu pada era pemerintahan Tun Dr. Mahathir bin Mohamad (1981-2003). Tahap yang terakhir iaitu tahap kelima adalah pada era pemerintahan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi iaitu dari 2003 tahun sehingga hari ini.

3.1 Fasa I (1957-1969)
Dasar Luar Malaysia pada tahap pertama adalah di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman. Tunku Abdul Rahman merupakan Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dari 1955, dan Perdana Menteri pertama sejak kemerdekaan pada tahun 1957 sehingga 1970. Beliau dilahirkan di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar, Kedah yang lebih dikenali sebagai Istana Pelamin, Tunku merupakan anak lelaki yang ketujuh kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah iaitu Sultan Kedah yang ke-24. Menurut buku Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj, Tunku Abdul Rahman sebagai seorang putera raja, beliau dibesarkan dalam suasana diraja. Beliau dididik tentang disiplin, adab sopan serta menghormati adat dan budaya Melayu. Hasilnya beliau membesar menjadi seorang yang menerima unsure-unsur adat tradisional Melayu. Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 merupakan satu daripada pencapaiannya yang teragung. Menuru buku Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj, hasil kebijaksanaan beliau, memungkinkan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dengan aman dan secara diplomasi. (Siti Mariam Daud,1996) Beliau juga dikenali sebagai “Bapa Kemerdekaan” dan “Bapa Malaysia” Pada era pemerintahan beliau telah terdapat tiga corak dasar luar luar Malaysia, iaitu dasar luar Malaysia  yang bercorak dasar pro-Barat, anti komunis dan menjalinkan hubungan baik dengan negara-negara Komanwel.

            Menurut buku Malaysia Melangkah ke Hadapan, dunia pada ketika itu sedang mengalami konflik Perang Dingin antara Blok Barat yang diketuai Amerika Syarikat dengan Blok Komunis pimpinan Soviet Union dan Republik Rakyat China. Persekutuan Tanah Melayu pula masih berada dalam keadaan darurat akibat pemberontakan Parti Komunis Malaya (PKM) yang bertujuan mengambil alih kuasa kerajaan secara kekerasan. Perjuangan PKM mendapat sokongan Parti Komunis China. Oleh itu adalah tidak hairan jika Persekutuan Tanah Melayu yang baru mencapai kemerdekaan daripada Britain dan sedang mengalami pemberontakan komunis mengamalkan dasar luar yang pro-Barat dan anti-komunis.

            Malaysia sebagai sebuah negara kecil sebenarnya tidak mempunyai banyak pilihan. Pertahanan negara pada masa itu amat bergantung kepada Britain, dan sekutunya Amerika Syarikat. Sejajar dengan dasar pro-Barat, Tunku Abdul Rahman telah menandatangani Perjanjian Pertahanan Anglo-Malaya 1957 atau Anglo-Malaya Defence Agreement (AMDA) di mana British menjamin bantuan ketenteraan sekiranya Tanah Melayu diserang oleh mana-mana negara luar. AMDA merupakan tulang belakang dasar keselamatan Tanah Melayu.

 Ini bermakna bahawa Malaya terpaksa bersifat pro-Barat dalam hubungan luarnya demi menjamin keselamatannya. Tunku Abdul Rahman telah menyedari bahawa sekiranya Malaya bersifat pro-Rusia atau China adalah merupakan satu tindakan yang akan mengancam kedudukan Malaya dari segi keselamatan. Seterusnya, pendirian anti-komunis kerajaan adalah jelas menonjol sewaktu Tunku Abdul Rahman memberikan sokongan penuh kepada Amerika Syarikat demi menangani perluasan kuasa komunis di Vietnam Selatan.

Selain daripada dasar pro-Barat dan anti-Komunis, dasar luar negara pada tahap ini juga ada mewujudkan kerjasama serantau dan berbaik-baik dengan negara jiran. Langkah ini dilakukan ekoran daripada beberapa krisis yang dihadapi oleh negara selepas penubuhan Malaysia. Antara krisis-krissi yang berlaku adalah Konfrontasi dengan Indonesia (1963-1965) dan terputusnya hubungan diplomatik dengan Filipina (1963-1965). Menurut buku Mengenal Malaysia dari perspektif kenegaraan, pembentukan Malaysia telah membawa tentangan dari Filipina dengan Indonesia. Filipina menuntut Sabah sebagai sebahagian daripada wilayahnya. Manakala Indonesia di bawah pimpinan Presiden Sukarno, melancarkan konfrontasi. Ini telah membawa kepada tergendalanya hubungan Malaysia dengan kedua-dua negara (Lim Kim Hui.et al, 1988). Di samping itu, pemisahan Singapura dari Malaysia pada tahun 1965 juga merupakan salah satu krisis  selepas penubuhan Malaysia.

Rentetan itu, Malaysia telah berusaha untuk berbaik-baik semula dengan negara jiran ini. Usaha-usaha Malaysia dapat dilihat melalui beberapa perjanjian yang ditandatangani. Dalam konteks Asia Tenggara, Persekutuan Tanah Melayu telah memainkan peranan aktif daalm penubuhan Persatuan Negeri-negeri Asia Tenggara/ Association of Southeast Asian States (ASA) pada tahun 1951 bersama-sama dengan Thailand dan Filipina. (Nadzan Haron, 2001) Seterusnya, penubuhan MAPHILINDO pada tahun 1961 yang melibatkan Filipina dan Indonesia juga salah satu usaha Malaysia yang cuba berbaik-baik dengan negara jiran. Hal ini dikatakan demikian kerana menurut buku Malaysia Kita, matlamat penubuhan MAPHILINDO adalah untuk menjaga dan mengekalkan keamanan serantau, mewujudkan persefahaman di kalangan negara-negara anggota dan mewujudkan kerjasama serantau dalam bidang ekonomi.(Hj. Dr Syed Ibrahim) Selain itu, terdapat juga penubuhan ASEAN yang diwartakan melalui Deklarasi Bangkok pada 8 Ogos 1967 yang bersama-sama dengan Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura.(Looi Lin Eng et.al, 1988)  Penubuhan ini telah memberi penekanan kepada kerjasama ekonomi serantau dan kestabilan sosial. Justeru, tidak dapat dinafikan bahawa penubuhan ASEAN ini telah membawa persahabatan yang lebih kukuh dalam hubungan luar Malaysia dengan negara-negara anggotanya.

DASAR LUAR MALAYSIA DI BAWAH KEPIMPINAN ALLAHYARHAM TUN ABDUL RAZAK HUSEIN
Di bawah kepimpinan Tun Razak, terdapat sedikit perubahan telah dilakukan terhadap Dasar Luar Malaysia. Dasar berkecuali Asia Tenggara telah menjadi satu matlamat yang dijuruskan dalam pelaksanaan dasar luar Malaysia. Ini adalah selaras dengan komitmen Malaysia terhadap penglibatannya dalam pakatan ASEAN iaitu Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara. Dasar ASEAN adalah jelas iaitu kuasa-kuasa besar perlu mengiktiraf ASEAN sebagai sebuah kawasan atau zon yang aman, bebas dan berkecuali. Sewaktu zaman peralihan kuasa, Malaysia telah mengadakan hubungan diplomatik dengan Rusia.

            Permulaannya, Malaysia telah membuat usul bahawa kawasan serantau harus dikecualikan dari pengaruh Kuasa-kuasa besar. Kuasa-kuasa besar haruslah berjanji agar tidak campur tangan dalam hal ehwal serantau dan syarat pelaksanaan konsep ini ialah semua negara di Asia Tenggara hendaklah mengiktiraf dan menerima konsep ini. Pada peringkat awal, Malaysia mengharapkan ketiga-tiga Kuasa-kuasa Besar yakni Amerika Syarikat, China dan Rusia akan mengiktiraf konsep ini bagi menjamin keselamatan kawasan serantau. Namun demikian, Malaysia terpaksa meminda konsep ini dan Kuasa-kuasa Besar tidak lagi diseru untuk menjamin dasar berkecuali Asia Tenggara tetapi harus menghormati kawasan serantau dan mengiktiraf kawasan serantau sebagai sebuah zon yang aman, bebas dan berkecuali ( Zone Of Peace, Freedom And Neutrality – ZOPFAN ). Malaysia dibawah kepimpinan Tun Abdul Razak telah mengambil usaha untuk menaja konsep ini dan menjelaskan bahawa konsep ini adalah amat sesuai  bagi memelihara dan mengekalkan kestabilan  kawasan serantau.

Dasar berkecuali ini jelas memperlihatkan dasar luar negara dibawah pimpinan Tunku Abdul Razak adalah berbeza berbanding dasar Malaysia dibawah pimpinan Tunku Abdul Rahman. Tunku Abdul Rahman telah membentuk dasar pro – Amerika dan menyokong negara itu dalam persaingannya dengan kuasa-kuasa Besar lain terutamanya negara China. Manakala dasar luar yang dibentuk oleh Tun Abdul Razak tidak menyokong mana-mana Kuasa Besar. Beliau berpendapat Malaysia harus berkecuali dalam sebarang Kuasa-kuasa Besar tersebut. Malaysia telah menjalin hubungan dengan negara Rusia ketika pucuk pimpinan negara ini bertukar tangan. Namun demikian, negara China merupakan negara Kuasa Besar yang tidak diiktiraf Malaysia ketika itu. Dasar berkecuali bermakna Malaysia harus mengubah sikap dan penderiannya terhadap China. Jika perkara ini berterusan, China tidak akan menyokong dasar berkecuali Malaysia kecuali Malaysia berbaik-baik dengan China. Malaysia berharap dapat menjalinkan hubungan dengan China agar ancaman terhadap komunis dapat dikurangkan. Hubungan diplomatik Malaysia-China telah terjalin apabila Tun Abdul Razak membuat lawatan rasmi ke China pada tahun 1974.


Kesimpulannya, dengan terlaksananya dasar berkecuali ini, secara tidak langsung keselamatan Malaysia terjamin serta kestabilab politik terjaga. Langkah bijak ini juga telah membuka banyak peluang kepada rakyat tempatan agar mengambil kesempatan dalam memajukan diri dari segi politik, sosial dan ekonomi.



DASAR LUAR MALAYSIA DI BAWAH KEPIMPINAN ALLAHYARHAM TUN HUSSEIN ONN
Dasar luar Malaysia telah diteruskan oleh Tun Hussein Onn selepas kematian Tun Abdul Razak pada 14 Januari 1976 tetapi hanya untuk masa lebih kurang lima tahun sahaja. Beliau dalam dasar luarnya telah mengeratkan lagi kerjasama serantau dan hubungan dengan negara-negara Islam serta dengan negara-negara Dunia Ketiga.

            Pada masa ini, dasar yang dibentuk oleh Malaysia yang dipimpin Tun Hussein Onn ialah dasar luar yang mempunyai objektif berkecuali dan berpendirian sama tanpa mengira ideologi atau system sosial negara tersebut.  Dasar yang dibentuk oleh Malaysia adalah dasar berasaskan persahabatan dan saling hormat-menghormati, tidak ebrcampur tangan dan mengekalkan prinsip kewilayahan serantau. Hasilnya, negara Malaysia mempunyai hubungan yang erat dengan negara-negara di Asia Tenggara dan Indochina terutamanya Republik Demokratik Vietnam. Hubungan demokratik Malaysia-Vietnam adalah sebagai satu sumbangan terhadap perkembangan dan keteguhan kerjasama serantau. Malaysia bukan sahaja menaja konsep ZOPFAN tetapi juga mempertahankan Deklarasi Berkecuali ( 1971 ) ASEAN. Di luar ASEAN dan dari aspek kerjasama serantau, dasar luar Malaysia telah ditumpukan kepada hubungan persahabatan yang teguh terutamanya negara Vietnam.

Pada tahun 1975, Malaysia telah memperbaharui hubungan rasmi dengan negara Vietnam Selatan. Namun begitu, pada awal tahun 1976, Malaysia telah menjalinkan hubungan rasmi dengan negara baru Republik Sosialis Vietnam ( penyatuan Negara Vietnam Selatan dan Utara ). Pembentukan ini adalah penting untuk jangka masa panjang kerana bagi mengekalkan konsep zon berkecuali.usaha Malaysia ke arah mewujudkan hubungan diplomatik dengan dengan Hanoi adalah azam Kuala Lumpur yang bertindak sebagai “jambatan” bagi menghubungkan ASEAN dengan Vietnam. Hubungan Kuala Lumpur-Hanoi telah termaterai pada tahun 1978 iaitu sebelum pencerobohan Vietnam terhadap Cambodia. Malaysia telah memberikan perjanjian untuk menghulurkan bantuan pembangunan untuk Hanoi. Lawatan Perdana Menteri Vietnam, Pham Van dong ke Malaysia dan dua buah negara ASEAN yang lain merupakan isyarat bahawa Vietnam akan mengekalkan persahabatan dengan Malaysia dan ASEAN. Memandangkan hubungan Hanoi dengan China dan Kampuchea kian merosot, Vietnam bersedia berbincang mengenai konsep ZOPFAN dengan ASEAN. Di samping itu juga, Perdana Menteri Vietnam pada masa itu telah membuat pengumuman rasmi bahawa Vietnam tidak akan membantu gerakan pengganas komunis di Thailand dan Malaysia.

Sengketa China-Vietnam dan Vietnam-Kompuchea semakin meruncing akibat pertikaian China-Soviet dan Union ( Rusia ). Dalam keadaan ini Moscow telah memberi bantuan kepada Vietnam. Beijing pula meneguhkan sokongannya terhadap Kompuchea. Manakala hubungan Malaysia-China di sekitar tahun 1975-1978 secara perbandingan tidak begitu mesra. Hal ini kerana sokongan berterusan oleh China kepada gerakan komunis di negara ini. Situasi ini telah menyebabkan Malaysia berwaspada untuk menjalinkan hubungan mesra dengan China. Lawatan Perdana Menteri China ke Malaysia merupakan kunjungan balas Tun Abdul Razak ke Beijing pada tahun 1974. Namun begitu, tujuan utama di sebalik lawatan ialah untuk mengetepikan pengaruh Vietnam dan Rusia di kawasan serantau. Malaysia pula tidak mahu diserat dalam kancah politik antarabangsa China. Kenyataan Perdana Menteri China mengenai isu sensitif iaitu rakyat keterunan cina di Malaysia dan keengganan beliau untuk memberi jaminan bahawa China menghentikan sokongan moral kepada Parti Komunis Malaya di Malaysia bukan sahaja menimbulkan sikap tidak senang tetapi juga membimbangkan Malaysia. Perdana Menteri China juga menegaskan bahawa beliau tidak akan mengiktiraf kewarganegaraan kembar kepada rakyat China yang bermastautin di Malaysia.
Selain itu juga, Malaysia tidak senang dengan penderian Perdana Menteri China terhadap Parti Komunis China dengan Parti komunis Malaya. Perdana Menteri China berpendapat bahawa hubungan antara parti adalah berlainan dengan hubungan dengan negara. Hal ini menyebabkan Malaysia mengamalkan dasar berwaspada terhadap Beijing, China.

Kesimpulannya, dasar Malaysia di bawah tapuk pimpinan Tun Hussein Onn adalah lebih bertumpu kepada Hanoi. Namun begitu, negara China hanya memperoleh kepentingan dan faedah yang sedikit sekali daripada hubungan diplomatiknya dengan Malaysia pada masa itu.

  



1.3       Penutup
Kepentingan pengwujudan kedamaian dan keharmonian adalah penting dan ini terpancar dalam dasar luar Malaysia yang merupakan kesinambungan kepada dasar dalam negeri bertujuan untuk menjaga dan mengekalkan keselamatan, keharmonian, keharmonian, kesejahteraan ekonomi dan lain-lain kepentingan-kepentingan negara dan persekitaran.

Kepelbagaian faktor geografi, sejarah, sosial dan politik menyumbang kepada pembentukan dan hala-tuju hubungan antarabangsa Malaysia dengan negara-negara lain. Selain daripada faktor-faktor tersebut, faktor globalisasi di ambang perkembangan era komunikasi dan teknologi maklumat juga memainkan peranan yang semakin penting.

Walau apa pun prinsip-prinsipnya, objektif dasarnya adalah sama iaitu ke arah menjaga kedamaian, keharmonian dan mengekalkan kepentingan Malaysia di arena antarabangsa seterusnya berusaha memakmurkan jiran. Pengwujudan kedamaian dan keharmonian boleh diteliti sejak zaman pucuk pimpinan politik negara pertama iaitu Tunku Abdul Rahman. Perdana Menteri Malaysia yang pertama, telah mengamalkan dasar anti-Komunis dan sikap pro-Barat dengan mengadakan hubungan yang rapat dengan negara-negara Komanwel. Beliau juga telah merintis usaha kepada dasar berkecuali, neutral dan keamanan bersama.

Akhir kata, Dasar Luar Malaysia yang mengutamakan kesejahteraan
dan keamanan seluruh dunia banyak memberi kesan yang positif kepada
Malaysia sendiri. Ketokohan para pemimpin yang dimiliki oleh Malaysia telah
banyak membantu Malaysia terkenal di mata dunia. Malaysia kini mampu
meneruskan cabarannya sebagai sebuah negara yang membangun untuk
menjadi negara maju yang aman damai, cemerlang, gemilang dan terbilang.



RUJUKAN

Bibliografi
Chairil Wariya (1989), Dasar Luar Era Mahatir, Penerbit Fajar Bakti: Petaling Jaya
Lim Kin Hui et.al (1988), Mengenal Malaysia dari perspektif kenegaraan, Penerbit Elman: Kuala Lumpur
Nadzan Haron et.al (2001), Malaysia Melangkah ke Hadapan, Penerbitan Multimedia Sdn.Bhd: Selangor
Mokhtar Muhammad (2005), Perhubungan Antarabangsa: Konteks dan Konsep, Anzagain: Kuala Lumpur
Siti Mariam Daud et.al (1996), Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj, Jade Green Publications: Kuala Lumpur
Malaysia Kita (2000), Hj.Dr. Syed Ibrahim, International Law Book Services: Petaling Jaya


Chairil Wariya, 1989. Dasar luar era Mahathir. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti.

Lew He Men, et. al. 2005. Sejarah Dunia, Selangor: Penerbit Fajar Bakti.







No comments:

Post a Comment