. Amoi Chantek: SJH3104- Sejarah lisan sebagai sumber dan pengkaedahan sejarah di Malaysia. Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Thursday 29 August 2013

SJH3104- Sejarah lisan sebagai sumber dan pengkaedahan sejarah di Malaysia.

1.0       PENGENALAN

            1.1       Sejarah lisan sebagai sumber dan pengkaedahan sejarah di Malaysia.     
Menurut Kamus Dewan edisi keempat (2010), lisan bermaksud sesuatu yang diucapkan dan bukan ditulis. Ataupun diberitahu dengan mulut dan bukan dengan surat. Manakala menurut Rozeman (2004: 149), sejarah lisan merupakan satu kaedah atau teknik penyelidikan moden yang bertujuan untuk memelihara pengetahuan-pengetahuan sejarah melalui pengkisahan. Sumber lisan merupakan sumber yang wujud melalui percakapan atau pertuturan dari mulut ke mulut oleh seseorang yang terlibat atau menyaksikan sesuatu peristiwa yang telah berlaku. Ia hanya tersimpan di dalam ingatan penyaksi dan ianya tidaklah ditulis atau dirakamkan. Namun begitu, sumber lisan boleh menjadi sumber bertulis apabila ia dirakam setelah mengalarni proses temu bual, perbincangan, dan temuduga dengan orang sumber. Pada kebiasaannya, sumber ini turut menjadi rujukan bagi ahli sejarawan dalam bidang sejarah lisan.

Sumber lisan boleh juga dikategorikan sebagai sumber utama dan sumber kedua. Lazimnya, sumber utamanya didapati daripada penyaksi-penyaksi atau orang-orang yang terlibat dalam sesuatu peristiwa sejarah itu. Mereka ini boleh memberikan maklumat asal tentang peristiwa yang mereka saksikan atau yang mereka turut terlibat. Jika mereka ini memuatkan maklumat-maklumat ke dalam pita rakaman ataupun apa-apa perakam suara, maka itu juga boleh dianggap sebagai sumber utama. Tetapi, jika mereka menulisnya, maka ia akan menjadi sumber utama yang bertulis dan bukan lisan lagi. Bagi sumber lisan dalam kategori kedua pula, ia adalah maklumat daripada mereka yang tidak menyaksikan atau terlibat dalam sesuatu peristiwa yang diterangkan.

Menurut Kamus Dewan edisi keempat (2010), kaedah pula bermaksud cara atau peraturan membuat sesuatu terutamanya yang bersistem atau yang biasa. Mengajar cara belajar berdasarkan prinsip-prinsip tertentu. Manakala Louis Gottschalk telah memberikan sedikit gambaran tentang sejarah pengkaedahan sejarah itu. Menurut beliau sejarah telah bermula sejak awal lagi, iaitu sejak para sejarawan Yunani purba menghasilkan karya pensejarahan masing-masing. Tokoh utama dalam hal ini ialah Thucydides, sejarawan yang bersungguh-sungguh memberitahu pembacanya bagaimana beliau menghimpunkan bahan-bahan dan apakah ujian-ujian yang dilakukan bagi mengasingkan yang benar dari yang palsu.

Sebagai suatu proses, kaedah sejarah itu mempunyai peraturan dan tatacaranya yang tertentu pula. Kadangkala peraturan dan tatacara itu dianggap sebagai teknik-teknik bagi penyelidikan sejarah. Malah Garraghan menyamakan istilah teknik itu dengan kaedah sejarah itu sendiri. Bagaimanapun, yang penting difahami ialah peraturan dan tatacara itu adalah langkah-langkah yang diwujudkan serta dilaksanakan oleh sejarawan dalam melaksanakan penyelidikan sejarah. (Muhd Yusuf Ibrahim. 2009: 146)

Kesimpulannya, dengan adanyanya pengertian sejarah lisan dan pengkaedahan tersebut, maka jelaslah yang kita fahami bahawa sejarah lisan ialah wujud melalui percakapan atau pertuturan dari mulut ke mulut oleh seseorang yang terlibat atau menyaksikan sesuatu peristiwa yang telah berlaku yakni pengalaman masa lampau atau ingatan manusia. Manakala kaedah pula ialah satu proses kajian iaitu proses kajian sejarah yang mempunyai peraturan dan tatacaranya yang tertentu. Dengan demikian, tanpa adanya ingatan manusia tidak mungkin ada sejarah lisan. Sebaliknya, tidak mungkin ada sejarah lisan tanpa ada ingatan manusia. Sehingga jelas bahawa sejarah lisan pada dasarnya merupakan pembinaan semula visual atas berbagai peristiwa sejarah yang benar-benar terjadi yang terdapat di dalam memori setiap individu manusia.

2.0       KEPENTINGAN SEJARAH LISAN
Kepentingan sumber lisan sememangnya tidak boleh dipertikaikan lagi. Tambahan pula dalam situasi di mana kurangnya sumber utama dan kedua dalam satu­satu peristiwa sejarah. Di dalam usaha untuk memajukan penulisan sejarah Malaysia tidak semestinya penulisan ditumpukan kepada tokoh-tokoh ternama dan peristiwa-peristiwa utama yang berlaku di sesuatu zaman. Sesungguhnya perkara ini penting, tetapi kita tidak boleh melupakan bahawa sejarah itu merangkumi juga cerita dan peristiwa rakyat biasa. Maka tajuk-tajuk yang bercorak sejarah tempatan dan juga sejarah negeri perlu diberi tempat yang sewajar. Di sinilah sejarah lisan sangat berguna sebagai bahan sejarah tempatan kerana rakyat biasa tidak meninggalkan sumber-sumber bertulis.

Menurut Abdul Rahman (1996: 60) sumber sejarah tempatan juga banyak, iaitu buku, peta, tinggalan arkeologi, arkib, gambar malah orang-orangnya juga. Sumber lisan juga adalah salah satu daripada bahan sejarah tempatan itu sendiri. Di negara kita, sungguhpun tradisi bertulis berkurangan tetapi ia kaya dengan tradisi lisan. Contoh yang jelas ialah semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu selama 3 setengah tahun iaitu dari 15 Februari 1942 hinggalah 12 September 1945. Kebanyakan daripada generasi muda pada masa kini mendapat tahu tentang peristiwa yang menggambarkan keganasan dan kekejaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu melalui cerita-cerita orang tua yang masih hidup dan telah menempuh zaman tersebut.

Satu daripada kelemahan yang besar di dalam usaha untuk menulis dan mengkaji semula sejarah Malaysia ialah kekurangan sumber-sumber sejarah yang asal mahupun bertulis. Misalnya bagi sejarah negeri-negeri Melayu. Cuma beberapa negeri sahaja yang mempunyai sumber-sumber asli yang berkaitan dengan perkembangan sejarah negeri tersebut, tetapi itupun hanya terhadap kepada kurun yang ke-19 sahaja. Masalah ini lebih serius kerana di Malaysia tidak terdapat satu tradisi menyimpan catatan harian, menulis dokumen-dokumen yang lain atau menulis riwayat hidup. Cuma terdapat beberapa bahan bertulis sahaja dan itupun penggunaan bahannya terhad. Di dalam hal ini Sejarah Lisan boleh memainkan peranan yang besar dalam memelihara dan menambahkan sumber-sumber yang ada untuk Sejarah Malaysia di abad ini. Oleh itu, usaha merakamkan sumber-sumber lisan ini adalah penting kerana dokumen sejarah akan terus kekal selama-lamanya tetapi mereka yang mewarisi peristiwa sejarah tidak akan kekal untuk selama-lamanya. (Rozeman, 2004: 153)

Allan Nevns dan Louis Starr berpendapat sejarah lisan dianggap sebagai salah satu cara mengumpul data-data yang tidak bertulis tentang sesuatu peristiwa sejarah untuk kegunaan ahli sejarah dan sebagai asas biografi. Sejarah lisan ini adalah cerita yang benar-benar dilalui oleh individu atau kumpulan. Oleh itu, dalam hal ini bukan semua maklumat lisan yang dikumpul dan dirakam boleh dijadikan sebagai bahan bukti dalam sesuatu penyelidikan sejarah. Proses memilih dan menentukan maklumat lisan yang dianggap benar-benar mempunyai kesahan yang tinggi adalah perlu dijalankan oleh ahli sejarah. Ahli sejarah perlu peka dengan maklumat lisan yang diperolehi supaya ,mereka tidak melakukan kesilapan dan kesalahan semasa menghasilkan penulisan sejarah berdasarkan sumber lisan. (Rozeman, 2004: 162-163).

Sebagai contoh keterangan daripada para saksi sejarah tentang suatu peristiwa belum dapat dianggap sebagai suatu keterangan yang lengkap dan sahih. Ini kerana saksi hanya berfokus pada peristiwa itu terjadi tanpa mengetahui atau melihat latar belakang terjadinya suatu peristiwa tersebut. oleh itu, untuk mendapatkan maklumat yang seimbang mengenai suatu peristiwa sejarah maka penelitian sejarah lisan harus dilakukan dengan melakukan temu bual tertentu. Iaitu dengan menemu bual responden berlainan yang mengalami peristiwa yang sama. Dengan cara ini dapat diperoleh dua hasil yang tidak tercapai dengan temu bual perseorangan. Sekaligus kita dapat memperolehi berbagai data yang diajukan oleh responden kerana setiap responden mempunyai persepsi yang berbeza-beza.

Manakala kekuatan sejarah lisan adalah dapat dilihat sebagai pengukuh kepada pelbagai bahan bertulis. Sejarah Lisan berdasarkan kepada kenang-kenangan seseorang yang terlibat dalam peristiwa-peristiwa yang penting dan maklumat-maklumat ini sungguh bernlai di dalam memahami perisitwa-peristiwa yang saling berkait dari sudut yang luas. Sejarah Lisan adalah unik kerana ia dapat menghubungkan zaman yang lalu dan zaman sekarang melalui rakaman pengalaman-pengalaman yang bersejarah. Pita rakaman dan transkrip sejarah lisan boleh menambahkan lagi kebolehpercayaan dan keyakinan pembaca terhadap sesuatu hasil penulisan. Cara ini tidak dinafikan sebagai salah satu pengukuh kepada fakta sejarah.

Menurut Nazaruddin et.al (2001), semasa pendudukan Jepun kesannya dapat dilihat dari segi sosial, ekonomi dan politik, di mana keadaannya amat merudum dan teruk. Fakta ini dikuatkan lagi dengan sumber lisan yang kita dengar daripada orang yang melalui zaman tersebut. Melalui sumber lisan yang sedia ada ini, kenyataan yang dikemukakan oleh sejarawan itu tidak akan dapat dipertikaikan oleh mana-mana pihak. Pada pandangan saya, sumber lisan juga penting dalam memberikan keyakinan kepada sejarawan dan masyarakat umum pada hari ini tentang sejarah sebagai pengetahuan masa lampau yang pasti takkan kembali lagi. Melalui peninggalan sumber yang ada penulisan mahupun lisan, sejarawan dan masyarakat pasti akan berasa yakin bahawa suatu peristiwa itu telah pun berlaku pada masa lalu.

Walau bagaimanapun, nilainya terhad kepada keadaan pameran yang statik. Di sebaliknya pita-pita rakaman wawancara dengan tokoh-tokoh tertentu yang pernah memainkan peranan yang penting di dalam masyarakat boleh memberi suatu gambaran yang berkesan untuk memahami masa yang lalu itu. Rakaman-rakaman ini boleh menggambarkan perkara-perkara bersejarah yang telah berlaku di samping ianya dapat menggambarkan aspek-aspek masyarakat yang sukar untuk dipamerkan.

Peranan dan keperluan sejarah lisan ini juga adalah untuk memperbanyakkan penulisan sejarah tempatan dalam pelbagai tema. Penulisan sejarah negeri di Malaysia akan dapat diperkembangkan dan diperbanyakkan lagi sekiranya sumber-sumber lisan tersebut dikaji dan digunakan untuk menjalankan projek-projek sejarah lisan. Dalam usaha ini persatuan-persatuan sejarah yang ditubuhkan bukan sahaja untuk menggalakkan pengajian dan menambahkan minat orang ramai terhadap sejarah tempatan tetapi juga mempunyai tanggungjawab untuk memelihara kesan-kesan sejarah negeri-negeri masing. Sebagai contohnya peristiwa yang terjadi di sesuatu tempat dikaji denagn menggunakan sumber lisan. Ini memperbanyakkan lagi penulisan sejarah berdasarkan tema yang didapati. Misalnya banyak lagi sejarah yang terdapat di Sabah dan Sarawak yang belum terungkai oleh kerana faktor kekurangan pengetahuan dalam bidang penulisan. Di sinilah sumber lisan memainkan peranan penting dalam menambah penulisan sejarah di Malaysia.

Di dalam hal ini mereka terlibat dalam pengumpulan, pemeliharaan dan penyediaan bahan-bahan tersebut untuk penyelidik. Persatuan-persatuan sejarah patut memelihara sejarah tempatan mengenai kehidupan masyarakat di masa yang lalu. Persatuan Sejarah akan dapat menggiatkan lagi penyelidikan yang telah dijalankan. Sejarah lisan pula boleh menambahkan penulisaan-penulisan persatuan sejarah khasnya di dalam memenuhi jurang-jurang yang terdapat dalam sejarah tempatan. Jadi melalui cara ini maklumat yang tidak selalunya dimasukkan ke dalam rekod-rekod tertulis akan dapat diperolehi dalam pelbagai tema.

Keperluan sejarah lisan ini juga ialah memperkayakan tradisi sejarah. Dengan adanya sumber lisan ini, hal ini dapat dijadikan panduan para sejarawan dan seterusnya membahaskan sumber lisan tersebut sahih ataupun tidak. Di samping itu juga, sumber lisan ini juga dapat mengukuhkan lagi fakta yang terdapat dalam penulisan sejarah dan menjadikan kebolehpercayaan sesuatu fakta tersebut. Para sejarawan boleh menemu ramah orang-orang tempatan yang sempat mengalami peristiwa yang hendak dikaji kemudiannya diproses menjadikan sejarah tersebut mantap dari segi ketepatan faktanya serta kesahihan isinya. Ini memperkayakan lagi tradisi lisan dan tidak hanya bergantung kepada satu bahan sahaja. Menurut Rozeman (2004), sumber lisan ini dapat memperkayakan lagi tradisi lisan kerana sumber-sumber lisan dikatakan mempunyai keunikan dan keistimewaan yang tersendiri berbanding dengan sumber-sumber sejarah yang lain.



RUMUSAN
Di Malaysia, serupa juga di negara-negara lain, jika sejarah lisan tidak dijadikan sebagai sumber atau pengkaedahan sejarah, cerita-cerita dan pengalaman zaman lampau akan lenyap dengan cepatnya. Lebih-lebih lagi pada masa sekarang di mana manusia boleh berhubung dengan cepat melalui telefon, faks, email atau bertemu muka, tradisi menulis surat-surat yang panjang, penyimpanan catatan-catatan harian dan persediaan memo yang lengkap sudah menjadi kurang mustahak. Dalam keadaan seperti ini, Sejarah Lisan boleh menentukan supaya tidak semua perkembangan-perkembangan dilupai atau hilang sebagai bukti sejarah.

Setelah meneliti dan mengkaji pendapat-pendapat tokoh di atas, jelaslah bahawa sumber lisan membawa impak yang besar sebagai sumber dan pengkaedahan sejarah. Namun, tidak dapat dinafikan jika seseorang ahli sejarah itu menggunakan sumber lisan sepenuhnya sebagai sumber utama maka hasil penulisannya akan mudah diragui dan kebolehpercayaan terhadap fakta tersebut dapat dipersoalkan. Ini mungkin di sebabkan terbatasnya daya ingat seorang pelaku atau saksi sejarah terhadap suatu peristiwa. Oleh kerana terlalu tua ataupun ingatan yang terbatas daripada responden kemungkinan besar fakta yang diceritakannya berlainan daripada cerita asal.

Selain itu, subjektif dalam penulisan sejarah masih sangat tinggi dan kebenaran fakta boleh diragui oleh banyak pihak. Dalam hal ini perasaan memihak dari seorang saksi dan seorang pelaku sejarah yang cenderung memperbesar perannya dan menutupi kekurangannya sering muncul dalam proses menemu bual .Selain itu, sudut pandang dari masing-masing pelaku dan saksi sejarah terhadap suatu peristiwa sering kali berbeza. Ia mungkin akan mengangkat seseorang atau memihak kepada sesuatu yang mungkin bertentangan daripada cerita asal.
Keterangan daripada saksi sejarah tentang suatu peristiwa belum dapat dianggap sebagai suatu keterangan yang lengkap. Ini kerana saksi hanya berfokus pada peristiwa itu terjadi tanpa mengetahui atau melihat latar belakang terjadinya suatu peristiwa. Oleh itu, menurut Rozeman (2004: 162), bukan semua maklumat-maklumat yang telah diperolehi semasa sesi temuramah dijalankan boleh dijadikan sebagai bahan bukti atau fakta dalam sesuatu penyelidikan sejarah. Proses memilih dan menentukan maklumat lisan yang dianggap benar-benar mempunyai nilai kesahan yang tinggi adalah perlu dijalankan oleh ahli sejarah.

Setelah mengambil kira pendapat tokoh yaang berlainan dapat saya simpulkan bahawa sumber lisan memainkan peranan penting dalam bidang penulisan sejarah dan ianya sering kali digunakan untuk mengkaji dan mendapatkan maklumat sejarah di serata dunia. Tetapi kebergantungan sepenuhnya kepada sumber lisan ini akan menjadikan fakta yang dihasilkan akan mudah diragui dan dipersoalkan kebenarannya. Sumber lisan mempunyai kekuatannya yang tersendiri sebagai bahan pengukuh dengan melengkapi kekurangan data atau maklumat yang belum di masukan ke dalam dokumen. Penelitian sejarah lisan yang diadunkan dengan sumber bertulis dianggap dapat melengkapi kekurangan sumber-sumber sejarah selama ini dan kebolehpercayaan faktanya tidak boleh disangsikan.


TAJUK TUGASAN




1.    Membincangkan dengan contoh-contoh yang sesuai sejauh manakah kepentingan sejarah lisan sebagai sumber dan pengkaedahan sejarah di Malaysia.

2.    Menyediakan sebuah penulisan refleksi tentang pengalaman yang dilalui semasa penulisan esei dari aspek kekuatan, kelemahan, cadangan penambahbaikan dan pengalaman baharu yang diperolehi.





SENARAI RUJUKAN

Abdul Rahman Haji Abdullah. (1996). Pengantar Ilmu Sejarah. Kuala Lumpur:     Dewan Bahasa dan Pustaka

Kamus Dewan. (2010). Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan         Pustaka

Muhd Yusuf Ibrahim. (2009). Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian, dan Kaedah.          
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Omardin Ashaari dan Yunus Mohamad. (2002). Kaedah Pengajaran Sejarah.      Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Rozeman Abu Hassan. (2004). Mengenali dan Mentafsir Sumber Sejarah. Shah Alam: Karisma Publications Sdn Bhd.

Universiti Teknologi Mara. (2013). Transkrip Temubual Mengenai Peristiwa           Darurat. Dimuat turun pada 19 julai 2013 daripada http://www.uitm.edu.my
  



No comments:

Post a Comment