TUGASAN
B: PENULISAN ESEI
Bincangkan
sejauh mana pakej yang telah disediakan ini boleh diaplikasikan dengan jayanya
dalam konteks pengajaran dan pembelajaran di Malaysia.
Pakej pembelajaran
interaktif merupakan salah satu pembelajaran yang menarik. Penggunaan pelbagai
perisian dalam pakej ini membuatkan pembelajaran menjadi lebih menarik. Menurut
Noriati et. al dalam buku Teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran,
pembelajaran interaktif dapat merangsang daya pemikiran murid. Di samping itu,
pakej pembelajaran interaktif lebih ringkas kerana mengandungi maklumat yang
padat selain aktiviti yang pelbagai dan menyeronokkan. Pengaplikasian pakej
pembelajaran interaktif dalam konteks pengajaran dan pembelajaran di Malaysia
memerlukan usaha untuk menjayakannya. Peranan dan usaha yang pelbagai perlu
dicapai untuk merealisasikan pembelajaran yang baharu bagi murid-murid dan
segelintir guru.
Salah satu faktor yang
mempengaruhi kejayaan pembelajaran
interaktif dalam konteks pengajaran dan
pembelajaran di Malaysia ialah peluang murid mencuba benda baharu seperti
pembelajaran interaktif. Ada kalanya sebahagian murid sahaja yang berpeluang
untuk mencuba pembelajaran interaktif. Ini disebabkan aktiviti yang dimuatkan
dalam pembelajaran interaktif terlampau banyak. Selain itu, fokus yang ingin
dicapai oleh guru meliputi pelbagai aspek. Disebabkan itu, aktiviti yang
dimuatkan dalam pembelajaran interaktif menjadi terlampau banyak. Hanya
sebahagian murid sahaja yang mampu menyiapkan aktiviti dalam pembelajaran interaktif berkenaan
kerana kesuntukkan masa. Murid-murid yang lain akan ketinggalan dalam mengikuti
pembelajaran interaktif berkenaan. Tuntasnya, pembelajaran interaktif yang
dibina perlulah ringkas dan padat supaya semua murid dapat melaksanakan
aktiviti yang ada dalam pembelajaran interaktif berkenaan.
Selain itu, murid dapat
belajar dengan sendiri tanpa kehadiran guru. Pembelajaran interaktif yang dibina
membantu apabila seseorang guru itu tidak dapat menghabiskan sesi pengajaran
dan pembelajaran. Murid dapat melaksanakan aktiviti yang ada dalam pembelajaran
interaktif untuk meneruskan apa yang diajar oleh guru berkenaan. Bimbingan
dalam pembelajaran interaktif perlulah ringkas dan mudah difahami oleh murid.
Jika maklumat tentang topik pembelajaran dalam pembelajaran interaktif ringkas
dan padat, murid akan lebih mudah memamahami apa yang cuba disampaikan oleh
guru tanpa bimbingan yang khusus. Oleh demikian, maklumat yang disampaikan
dalam pembelajaran interaktif perlulah ringkas, padat dan tepat supaya murid
dapat memahami dengan lebih mudah tentang topik yang dipelajari.
Pembelajaran interaktif dapat diaplikasikan dengan
jayanya jika aktiviti yang dimuatkan dalam slaid adalah menyeronokkan.
Kreativiti guru amat penting dalam hal begini. Guru perlu bijak merangka,
mengolah dan membuat aktiviti yang menyeronokkan untuk dimuatkan dalam slaid
berkenaan. Keseronokkan aktiviti dalam pembelajaran inilah yang menjayakan
pembelajaran interaktif sebagai salah satu Bahan Bantu Mengajar (BBM) seorang
guru itu. Pembelajaran yang menyeronokkan membantu murid dalam memahami dengan
lebih mudah apa yang dipelajari. Keseronokkan inilah yang perlu dicungkil oleh
guru dalam diri murid supaya apa yang dipelajari akan lebih mudah
difahami. Oleh itu, peranan guru dalam
merancang aktiviti yang menarik dalam pembelajaran interaktif amatlah perlu
supaya pembelajaran yang lebih mudah difahami dapat dicapai dengan adanya
keseronokkan dalam pembelajaran.
.Pihak sekolah juga
mempengaruh pembelajaran interaktif dalam konteks pembelajaran dan pengajaran
di Malaysia. Penyediaan kemudahan
teknologi seperti komputer amat
diperlukan untuk merealisasikan pembelajaran interaktif ini. Infrastruktif yang
disediakan bersama kemudahan teknologi dapat membantu murid dan guru untuk
menggunakan pembelajaran interaktif dengan lebih kerap. Walaupun guru telah
menyediakan pakej pembelajaran interaktif, namun jika terdapat satu sahaja
komputer yang berfungsi, pastinya timbul masalah untuk semua murid mencuba
aktiviti yang ada dalam pembelajaran berkenaan. Kemudahan komputer di sekolah
inilah yang membantu guru dalam melaksanakan pembelajaran interaktif dengan
lebih berkesan. Kerjasama guru dan pentadbiran sekolah amat penting dalam
sesuatu yang berkaitan dengan kemudahan teknologi.
Selain itu, pakej pembelajaran
interaktif yang dibina juga dapat memberi nafas baharu dalam sesi pengajaran
dan pembelajaran di Malaysia. . Sharifah Maimunah (1999) berpendapat
pembelajaran interaktif dapat membantu dalam penguasaan ilmu baharu dengan
lebih menarik. Pandangan tokoh ini bermaksud pembelajaran yang berlaku akan
mendapat cara baharu untuk sesi pembelajaran. Biasanya, sesi pengajaran dan
pembelajaran di Malaysia lebih berpusatkan aktiviti secara individu,
berkumpulan dan berpasangan. Tidak dinafikan ada kalanya lebih berpusatkan
guru. Tanpa disedari, perkara seperti ini sering mengganggu tumpuan murid-murid
dalam pembelajaran. Pengajaran guru juga sering terganggu apabila murid hilang
tumpuan untuk belajar. Wujudnya pembelajaran interaktif ini dapat mengikis
serba sedikit masalah hilang tumpuan dalam kalangan murid. Pembelajaran
interaktif ini adalah sesuatu yang baharu bagi murid-murid yang masih dalam
usia perkembangan kognitif. Oleh demikian, fokus mereka lebih tertumpu dengan
sesuatu yang baharu. Pembelajaran interaktif inilah yang cuba membantu
guru-guru dalam menarik semula minat murid-murid untuk belajar. Pembelajaran
interaktif ini jugalah yang memberi nafas baharu dalam usaha guru menarik balik
minat murid untuk belajar dengan lebih fokus.
Pendedehan awal terhadap
teknologi dan perisian yang digunakan juga penting dalam mengaplikasikan
pengajaran dalam pembelajaran interaktif. Guru perlu mengetahui terlebih dahulu
penggunaan perisian yang digunakan. Ilmu ini amat penting kerana untuk membina
pembelajaran interaktif yang menarik, guru perlu menggunakan pelbagai perisian.
Kemahiran dalam perisian seperti Microsoft
office juga perlu kerana terdapat pelbagai fungsi dalam perisian berkenaan
yang dapat membantu dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Penguasaan dalam menggunakan
perisian ini cukup penting kerana jika pakej pembelajaran interaktif mengalami
masalah, guru berkenaan dapat mengatasi masalah tersebut secara terus. Oleh
demikian, guru perlu menyediakan diri terlebih dahulu sebelum membina
pembelajaran interaktif yang lebih merumitkan.
Pembelajaran interaktif
adalah satu pembelajaran yang berpusatkan murid. Adalah lebih baik jika murid
itu sendiri mencuba dan melakukan aktiviti yang terdapat dalam pakej
pembelajaran yang dibina. Selain itu, guru perlu membimbing murid-murid dalam
pembelajaran interaktif ini. Disebabkan pembelajaran interaktif adalah sesuatu
yang baharu, bimbingan guru amat penting untuk membantu murid memahami apa yang
dipelajari mereka. Pembelajaran interaktif biasanya mengandungi maklumat dan
contoh yang terhad kerana konsep ringkas dan padat amat ditekankan. Bagi murid
yang lemah dan kurang bijak, pastinya mereka mengalami kesukaran kerana
maklumat dan contoh tambahan tidak terdapat dalam pakej yang disediakan. Oleh
itu, guru perlu peka terhadap keupayaan murid dalam melaksanakan aktiviti yang
terdapat dalam pakej pembelajaran interaktif ini.
Kesimpulannya, pakej pembelajaran interaktif merupakan
salah satu cara pembelajaran yang menarik dan lebih menyeronokkan untuk
dilaksanakan. Pakej pembelajaran interaktif juga boleh digunakan sebagai BBM
kepada guru untuk memudahkan murid memahami apa yang dipelajari. Walaupun
pembelajaran interaktif sudah lama bertapak di Malaysia, namun penggunaannya
masih lagi berada pada tahap minima pada
peringkat sekolah.. Pembelajaran
interaktif ini seharusnya dilaksanakan oleh guru-guru disekolah dengan lebih
kerap supay murid dapat merasakan pembaharuan dalam pengajaran guru-guru di
sekolah.
No comments:
Post a Comment