1.0
Pengenalan
Setiap
agama mempunyai ajaran, peraturan dan perlakuan yang tercatat dalam kitab-kitab
suci agama masing-masing. Manusia dikehendaki menuruti ajaran agama
masing-masing. Kesemua yang diajar dalam agama adalah untuk mengajar manusia
supaya berbuat baik dalam masyarakat. Selain itu, rutin agama yang dikehendaki
oleh sesuatu agama menentukan kesolehan individu. Kesolehan tersebut akan mendidik akhlak manusia supaya berbuat
baik dan mempunyai tingkah laku yang diterima oleh sesebuah komuniti. Kesemua
tingkah laku yang diterima oleh masyarakat merupakan sesuatu yang baik di mata
mereka dan menjadikan tingkah laku tersebut menjadi sesuatu yang bermoral.
2.0
Moral
Moral
berasal dari bahasa Latin yang membawa maksud cara, perwatakan dan tingkah laku
yang diterima. Moral juga dikaitkan dengan kesedaran ajaran atau pegangan seseorang
berkenaan yang baik atau buruk sesuatu perbuatan, sikap mahupun cara berkelakuan
dalam masyarakat.
Pada pandangan Peter Baelz berkenaan moral didefinisikan
sebagai persoalan betul atau salah, benar atau tidak dan apakah yang perlu
dibuat atau harus ditinggalkan terhadap sesuatu perkara dalam sesuatu keadaan.
Pertimbangan yang dilakukan adalah hasil pemikiran dan tingkah laku yang biasa
diamalkan seseorang. Moral seseorang yang ditunjukkan biasanya akan mengikut
keadaan dan persekitaran ketika membuat keputusan.
G.J. Warnock di dalam bukunya The Object of Morality
menyatakan moral ialah cara untuk melihat dan mempersoal berbagai-bagai isu
berhubung dengan perbuatan atau tingkah laku. Tindakan seseorang manusia pastinya tidak sama dengan yang lain.
Tindakan yang diambil diambil kira melalui pengalaman hidup serta tingkah laku
individu tersebut. Selain itu, sesuatu kelakuan atau
perbuatan juga dianggap bermoral
mengikut situasi dalam sesuatu masyarakat, dengan mengambil kira soal tempat dan penerimaan
masyarakat. Misalnya upacara minum air tapai diberi kepada tetamu dalam
masyarakat Iban menjadi sesuatu yang bermoral kerana masyarakat Iban menerima
upacara tersebut. Jika upacara ini tidak diterima oleh masyarakat Iban, maka
upacara ini dianggap tidak bermoral.
Tokoh ilmuan Islam iaitu Imam Al-Ghazali menyatakan
moral sebagai tingkah laku seseorang yang muncul secara tidak lansung mengikut
keredhaan dan kehendak Allah S.W.T. Selain itu, Moral mengikut tafsiran Islam juga
merujuk kepada sesuatu kelakuan yang baik berlandaskan syariah, satu ukuran
yang tetap dan tidak berubah mengikut keadaan dan waktu. Mengikut aspek Islam,
moral adalah kelakuan atau perbuatan yang selari atau tidak melanggar batas, peraturan
akhlak yang telah ditetapkan oleh syariah Islam. Sesuatu yang tidak bermoral
mengikut pandangan Islam adalah sesuatu yang tidak berakhlak untuk masyarakat
Islam, dan agama Islam itu sendiri. Penilaian ini juga tidak berubah mengikut
zaman yang tertentu. Sesuatu yang tidak berakhlak pada sesuatu zaman adalah
juga tidak berakhlak mengikut zaman lain. Pandangan tersebut diterima oleh
masyarakat barat. Namun, perbezaan zaman itu menjangkau beberapa abad lamanya. Moral
dalam Islam tidak mengambil kira falsafah tersebut. Bagi pandangan Islam, moral
manusia adalah sesuatu yang semulajadi dan tingkah laku bermoral diwujudkan
dengan mengikut syariah. Masyarakat pada sesuatu zaman mungkin berubah, namun sifat
semulajadi manusia tetap sama dan agama Allah S.W.T telah menetapkan sesuatu
yang baik dan buruk untuk menjadikan manusia bermoral.
Insan
yang bermoral mempunyai profil diri yang baik. Profil diri ini menampilkan
ciri-ciri seseorang insan yang bermoral. Pada kebiasaanya, seseorang yang
bermoral mempunyai ciri-ciri seperti budi pekerti yang tinggi, bertingkah laku
mulia dan berbudi bahasa. Tingkah laku ini menampilkan jati diri yang unggul kerana
sentiasa berbudi pekerti dan orang di sekeliling berasa lebih selesa berdamping
dengan insan tersebut. Insan yang bermoral juga tidak angkuh, tidak
menunjuk dan tidak sombong. Tingkah laku
yang negatif ini akan membuatkan seseorang itu tidak disenangi oleh masyarakat
sekelilin. Selain itu, insan yang bermoral juga mempunyai ciri suka bergaul
dengan masyarakat dan tidak mengasingkan diri. Pergaulan yang dilakukan amat
menitikberatkan aspek hormat-menghormati antara satu dengan yang lain.
Kesimpulannya, konsep
moral ini merujuk kepada kawalan tingkah laku yang seseorang dalam membuat
keputusan serta amalan seseorang individu. Seseorang yang dikatakan memiliki
tingkah laku yang bermoral jika tingkah laku tersebut berdasarkan
prinsip-prinsip atau peraturan-peraturan yang diterima.
3.0
Akhlak
Akhlak
berasal dari kata ‘akhlaq’ dari bahasa Arab yang membawa erti perangai, budi,
tabiat dan adab. Tam Yeow Kwai
(Pendidikan Moral, 1996;4) mendefinisikan akhlak sebagai budi pekerti
seseorang individu. Budi pekerti inilah yang mendorong kepada tindakan
seseorang. Tindakan ini pula diterangkan sebagai tingkah laku seseorang yang
didorong oleh suatu keinginan secara sedar untuk melakukan suatu perbuatan yang
baik. Akhlak merupakan sifat semula jadi
yang dimiliki oleh seseorang individu. Disebabkan itulah tingkah laku dan
tindakan yang dilakukan dibuat mengikut kebiasaan seseorang berdasarkan amalan
moral yang diamalkan.
Menurut tokoh Islam Imam al-Ghazali pula, akhlak adalah
sifat yang tertanam dalam jiwa seseorang, darinya terbentuk perbuatan dari
pertimbangan fikiran. Maksud tokoh al-Ghazali disini, akhlak ialah satu
tindakan yang dibuat oleh seseorang hasil pertimbangan yang difikirkan wajar.
Akhlak bukanlah pengetahuan atau kebolehan untuk melakukan sesuatu, tetapi
akhlak wujud berpunca dari tingkah laku. Ibn Miskawayh pula mentafsirkan akhlak
sebagai keadaan jiwa yang menggerakkan seseorang untuk melakukan sesuatu
perbuatan. Akhlak yang terbina dalam diri seseorang adalah berdasarkan keimanan
diri seseorang. Demi mendapatkan keredhaan kepada Allah S.W.T, akhlak seseorang
memainkan peranan yang penting dalam kehidupan. Islam mementingkan akhlak untuk
mengukuhkan iman dalam diri agar dapat berjaya di dunia dan akhirat.
Kesimpulannya, akhlak ialah segala perbuatan dan tingkahlaku
yang baik dan dimanfaatkan untuk mendapat keredhaan yang Maha Esa. Konsep
akhlak berkait rapat degan kepercayaan dan keyakinan kepada Tuhan. Dari aspek
Islam pula, akhlak berkait rapat dengan hakikat diri dan proses pembentukan
peribadi Muslim yang beriman kepada Allah S.W.T.
4.0
Etika
Perkataan etika berasal daripada
bahasa Latin iaitu ethica yang membawa maksud kelakuan betul dan
kehidupan baik. Etika juga merujuk kepada maksud kebiasaan atau cara. Oleh itu
etika boleh ditakrifkan sebagai suatu kajian sains tentang kelakuan manusia
dalam masyarakat.
Tokoh Stroll & R.H. Popkin dalam
buku Introduction to Philosophy menyatakan etika merupakan peraturan yang
menjadi panduan hidup manusia. Pendapat tokoh tersebut membawa maksud manusia
perlu mematuhi dan mengikut segala peraturan yang telah ditetapkan dan
dijadikan garis panduan untuk sesuatu kerja. Kegagalan mengikut etika yang
telah ditetapkan adalah menjadi kesalahan peraturan kerja. Tam Yeow Kwai (Pendidikan Moral 1,1996; 5), mendefinisikan etika
sebagai garis panduan yang diwujudkan
untuk mengawal, menjamin dan melindungi segala tingkah laku yang bermoral.
Etika yang diwujudkan adalah untuk mengawal tingkah laku seseorang. Secara
tidak lansung, etika turut menyentuh tentang moral seseorang.
Dari aspek Islam pula, etika yang
telah wujud kepada manusia ialah Al-Quran dan al-hadith. Pegangan teguh kepada
Al-Quran dan al-hadith sebagai panduan kepada kehidupan tidak dapat
dipertikaikan. Ilmuan-ilmuan Islam merumuskan bahawa manusia memerlukan dua
unsur penting untuk berjaya iaitu unsur jasmani dan rohani. Kejayaan manusia di dunia tanpa keredhaan
Allah S.W.T adalah sia-sia. Keseimbangan unsur jasmani dan rohani akan
menambahkan keimanan kepada kekuasaan Allah S.W.T dan terus menjadikan Al-Quran
dan al-hadith sebagai etika hidup.
Etika terbahagi kepada dua jenis.
Jenis etika yang pertama ialah etika
normatif. Etika normatif ialah etika yang mencadangkan untuk menilai,
mengkritik dan membuat keputusan terhadap sistem moral yang ada. Etika normatif
mengemukakan suatu sistem yang standard dengan berpandukan sistem yang sedia
ada. Etika normatif menjadikan sesuatu etika yang telah ditetapkan dan
menambahbaik etika yang sedia ada untuk
mewujudkan undang-undang moral yang
lebih baik.
Jenis etika yang kedua ialah etika
deskriptif. Etika deskriptif didefinisikan sebagai satu disiplin yang
membicarakan sejarah sistem moral. Etikan deskriptif lebih memfokuskan kepada
kepelbagaian sistem moral yang relatif di dunia. Sebagai contoh, penilaian
moral berbeza mengikut perbezaan individu, masa, tempat dan keadaan.
Oleh itu, etika berupaya menjadi kayu pengukur dalam menilai tingkah laku moral
seseorang. Etika yang diwujudkan menjadi satu kajian tingkah laku moral untuk menilai seseorang sama
ada dapat mengawal perlakuan mengikut etika yang telah ditetapkan. Tindakan
yang dibuat seseorang berdasarkan motif, nafsu mahupun niat dalam sesuatu
perkara yang tidak mengikut ataupun mengikut etika yang ditetapkan mencerminkan
keperibadian moral seseorang
5.0
Konsep
Baik, Benar dan Patut
Individu
yang bermoral harusnya memegang kepada konsep baik, benar dan patut. Perkataan
baik bermaksud memberi faedah atau bagus apabila menggunakannya.
Perkataan benar pula
ialah sesuatu tingkah laku adalah betul sekiranya ia sejajar dengan tugas atau tanggungjawab dan salah
sekiranya ia bertentangan. Konsep Patut
pula didefinisikan sebagai sesuatu yang perlu dipenuhi atau dilakukan. Sesuatu tindakan itu dikatakan baik,
benar dan patut sekiranya tindakan sejajar dengan tugas dan tanggungjawab yang
diterima. Selain itu, penerimaan masyarakat akan menetapkan sama ada perkara
tersebut baik, benar dan patut dilakukan. Konsep ini adalah agak abstrak dan
ahli falsafah yang berlainan telah mentakrifkannya dalam konteks atau
pendekatan yang berbeza.
5.1 Konsep
Baik
Perkataan
baik menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah memberi faedah apabila menggunakan
sesuatu. Menurut C.I Lewis dalam buku
yang ditulis olehTam Yeow Kwai (Pendidikan Moral 1, 1996;5) mengatakan bahawa
baik atau buruk merupakan pengalaman seseorang individu secara
intrinsik.Confucious iaitu ilmuan dari tamadun China menjelaskan konsep baik
sebagai satu tingkah laku yang ditunjukkan oleh seseorang kepada seseorang.
Tokoh Yunani iaitu Aristotle pula mentafsirkan konsep baik sebagai satu unsur kebahagian
yang ada dan dirasainya oleh perasaan seseorang.
Baik dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu baik
ekstrinsik dan baik intrinsik. Baik ekstrinsik ialah perkataan baik yang
digunakan untuk penilaian dan tafsiran piawaian. Penilaian yang dibuat biasanya
berdasarkan hasil standard kerja yang dicapai. Sebagai contoh, seorang murid
yang menunjukkan prestasi yang memberansangkan dalam sesuatu ujian akan
mendapat pujian guru dengan perkataan ‘baik’ yang ditulis oleh guru berkenaan
dalam kertas ujian murid tersebut. Baik ekstrinsik juga dikaitkan dengan masa
yang diperlukan untuk sesuatu kerja. Baik dalam konteks ini bermaksud sesuatu
itu dianggap baik apabila sesuatu kerja dipermudahkan dengan bantuan sesuatu
seperti teknologi. Teknologi dapat menjimatkan masa seseorang dalam urusan
seharian. Masa untuk menyiapkan sesuatu kerja dapat disingkatkan. Bantuan
seperti ini dianggap sesuatu yang baik untuk sesebuah komuniti. Dalam membuat
keputusan atau pemilihan pula, sesorang itu akan berfikir dan menilai sesuatu
material. Keputusan atau pemilihan sesuatu material dianggap baik apabila
memenuhi criteria yang diingini oleh seseorang. Baik ekstrinsik berlaku secara
luaran dan melibatkan sesuatu yang nyata.
Baik intrinsik pula berkaitan dengan faktor dalaman
seseorang. Salah satu baik intrinsik ialah sokongan atau nasihat. Sebagai
contoh, seseorang ketua itu memuji
pendapat seorang anak buahnya itu baik. Unsur sokongan terdapat dalam pujian
tersebut, oleh demikian tindakan memuji
secara baik intrinsik telah diberikan kepada anak buah ketua terbabit. Baik
intrinsik ini dapat meningkatkan keyakinan diri seseorang kerana baik intrinsik
dijadikan motivasi diri seseorang untuk terus berusaha. Selain itu, baik
intrinsik juga berkaitan dengan tindakan memuji dan menghargai seseorang. Hasil
kerja yang baik atau pertolongan yang diberikan akan mendapat kata-kata pujian
dan penghargaan seseorang. Menghargai pertolongan seseorang dan menilai orang
tersebut dengan baik adalah sesuatu tindakan yang berkait dengan baik
intrinsik. Baik intrinsik ini lebih bersifat dalaman dan berkaitan dengan moral
dan tingkah laku seseorang.
Oleh itu, konsep baik ini oleh sering dikaitkan dengan sifat
moral dan tingkah laku seseorang. Namun begitu, baik bukan sahaja melibatkan
moral seseorang sahaja tetapi melibatkan pertimbangan dan penerimaan seseorang
dalam menilai sesuatu perkara. Faktor dalaman dan luaran serta keadaan sering
mempengaruhi persepsi seseorang dalam menilai baik atau buruk sesuatu tindakan
itu.
5.2 Konsep
Benar
Perkataan
“benar” yang dimaksudkan dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ialah betul dan
mengandungi ciri-ciri penjelasan nilai. Sesuatu perkara dianggap benar jika
mempunyai fakta, sebab dan bukti yang sah berlakunya sesuatu atau diterima oleh
masyarakat.
Tam Yeow Kwai (Pendidikan Moral, 1996;6) menyatakan konsep
benar sebagai betul dan mengandungi ciri penjelasan nilai. Pendapat G.E Moore
pula terhadap benar ialah tingkah laku
benar atau salah bergantung kepada darjah keseronokan yang dihasilkan.
Kebenaran yang terhasil hanya dapat dirasai secara intrinsik. Confucious pula
mendefinisikan benar sebagai sesuatu yang hanya wujud dalam hati manusia. Hanya
manusia yang dapat menilai sesuatu itu samada perkara itu benar ataupun tidak.
Pandangan tokoh barat iaitu Dewey dalam buku Tam Yeow Kwai (Pendidikan Moral,
1996;6) pula menyatakan benar adalah sesuatu perkara yang abstrak dan hanya
wujud dari permintaan orang lain keatas diri kita.. Autoriti benar menjadi
sesuatu permintaan atau pengakuan seseorang individu itu.
Konsep benar dapat dibahagikan kepada tiga. Benar dalam
konteks tersebut ialah kebenaran mutlak, kebenaran secara saintifik dan
kebenaran secara relatif. Kebenaran secara mutlak ialah kebenaran yang
berkaitan dengan agama. Kepercayaan kepada tuhan dan menurut ajaran agama
merupakan tugas kebenaran yang mutlak. Kebenaran mutlak ini tidak dapat
dipertikaikan kerana manusia pastinya ada yang mencipta dan pencipta itu ialah
Yang Maha Esa. Perkembangan sains dan amalan sosial pastinya tidak dapat
merungkai kebenaran mutlak ini secara ekstrinsik kerana kebenaran ini telah
wujud dalam diri dan akal manusia itu sendiri serta telah dinyatakan dalam kitab-kitab
suci. Kebenaran secara mutlak diiringi dengan keimanan akan mengukuhkan
kekuatan moral seseorang dan seterusnya dapat membaiki akhlak seseorang dalam
tingkah lakunya.
Kebenaran secara saintifik ialah sesuatu kebenaran yang
dibuktikan dengan fakta-fakta, serta pelbagai maklumat yang telah dikumpul dan
dianalisis secara saintifik. Analisis yang diperoleh dapat menentukan kebenaran
sesuatu secara terperinci dan tepat. Kebenaran secara saintifik ini tidak
bergantung kepada pemikiran seseorang dalam menerima kebenaran tersebut tetapi
berdasarkan kenyataan yang sah dan benar. Kebenaran secara saintifik ini
diperoleh dan dinyatakan sebagai sesebuah hukum atau teori. Namun begitu, tidak
semua dapat perkara dapat dibuktikan secara saintifik contohnya kewujudan Allah
S.W.T kerana kebenaran saintifik untuk sesuatu perkara yang dapat diuji secara
fizikal dan diuji berkali-kali mengikut skala yang ditetapkan.
Kebenaran secara relatif pula ialah kebenaran yang berlaku
secara abstrak. Contoh kebenaran secara relatif ialah seperti pantang larang
dan peraturan adat. Pantang larang dan peraturan adat mungkin dianggap benar,
namun dengan perubahan masa mungkin pentang larang dan peraturan adat tersebut
tidak sesuai lagi digunapakai. Kebenaran ini hanya wujud secara relatif kerana
ilmu pengetahuan, kajian, pertimbangan dan kemahuan individu.
Kesimpulanya, benar ialah sesuatu perkara yang ditafsir
sendiri oleh seseorang mengikut situasi yang wujud. Hanya kebenaran secara
mutlak yang tidak dapat dipertikaikan kebenarannya. Kebenaran secara saintifik
pula perlu dibuktikan dengan kajian yang berterusan manakalah kebenaran secara
relatif perlukan penerimaan seseorang untuk menjadikan perkara tersebut benar
mengikut tanggapan seseorang itu.
5.3 Konsep
Patut
Perkataan
patut boleh diertikan sebagai baik atau elok mengikut keadaan perangai,atau
perbuatan (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2007;1150). Moore (1903) menyatakan
“patut” membawa erti yang sama dengan “baik” kerana mempunyai unsur bertindak
secara waras dan bijaksana.
Konsep patut memerlukan penilaian intrinsik yang memerlukan
seseorang memberi pertimbangan terhadap suatu perkara yang boleh diterima oleh
sesebuah masyarakat. Sesuatu tindakan akan dianggap tidak patut jika masyarakat
tidak menerima tindakan yang dilakukan atas sebab penerimaan sesuatu perkara
dalam masyarakat. Perkataan patut juga berkaitan dengan memberi tafsiran secara
psikologi terhadap fakta-fakta yang wujud. Dalam erti kata lain, seseorang itu
akan menilai sesuatu perkara atau tindakan yang dilakukan oleh orang lain di
samping melihat tindakan tersebut sesuai atau tidak dengan keadaan sekeliling.
Sesuatu perkara dianggap patut jika persetujuan wujud kerana
mempunyai pendapat yang sama atau tindakan yang dianggap wajar antara seseorang
individu dengan individu yang lain. Tindakan yang dianggap patut memberi
penjelasan bahawa tindakan tersebut adalah betul dan diterima oleh masyarakat.
Oleh demikian, konsep patut ialah
sesuatu perkara yang dianggap intrinsik. Sesuatu perkara yang patut memerlukan
pemikiran yang waras dan penerimaan yang positif daripada masyarakat. Jika
penerimaan dari masyarakat positif terhadap sesuatu perkara itu, masyarakat
akan mengganggap perkara itu patut dan pelaku adalah seseorang yang bermoral.
6.0
Kesimpulan
Kesimpulannya, kemoralan yang wujud dalam
manusia merupakan alat bagi sesuatu masyarakat untuk memimpin individu dan
kumpulan kecil dalam kehidupan mereka. Moral juga menjadi batu pengukur bagi
kelompok masyarakat untuk menilai seseorang dalam tingkah lakunya. Aspek
kemoralan juga mewujudkan etika dan akhlak seseorang. Malahan, akhlak membantu
dalam mengukuhkan moral seseorang. Moral, akhlak dan etika tidak dapaat
dipisahkan keran menjadi panduan kepada manusia supaya lebih bertingkah laku
mulia.
Selain
itu, aspek kemoralan bukan sahaja mewujudkan institusi kehidupan sosial yang
seimbang malahan dapat membantu membimbing individu berfikir secara rasional
dalam kalangan masyarakat supaya masyarakat dapat menerima pandangan seseorang
individu. Pandangan seseorang itu mewujudkan konsep baik, benar dan patut.
Konsep baik, benar dan patut merupakan suatu konsep yang dinilai berdasarkan
situasi. Seseorang perlu menilai dalam membuat keputusan supaya masyarakat
dapat menggangap tindakan tersebut adalah baik, benar dan patut. Penerimaan
masyarakat dalam sesuatu perkara amatlah perlu dan penilaian seseorang yang
dipengaruhi moral yang seimbang mewujudkan situasi yang harmoni. Selain itu, komuniti
masyarakat akan lebih berkembang dengan positif.
No comments:
Post a Comment