1.0
PENGENALAN
Malaysia ialah sebuah
negara yang mempunyai masyarakat yang berbilang kaum. Memperoleh kemerdekaan
hasil daripada rundingan dengan penjajah, perpaduan yang wujud dalam kalangan
penduduk Tanah Melayu pada ketika itulah yang menarik minat dan memberi
kepercayaan kepada penjajah untuk melepaskan pentadbiran kepada rakyat Tanah
Melayu itu sendiri. Kerjasama daripada tiga kaum terbesar di Tanah Melayu pada
ketika itu iaitu Melayu, Cina dan India telah mewujudkan perpaduan yang
berupaya menggerakkan sebuah negara yang baharu merdeka. Kerjasama politik
antara ketiga-tiga kaum ini berusaha melahirkan sebuah negara yang mampu
berdiri dengan sendiri tanpa bantuan penjajah selepas memperoleh kemerdekaan.
Hasilnya, terbinalah sebuah negara yang bergelar Malaysia hasil gabungan Tanah
Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak pada tahun 1963. Namun begitu, Singapura
keluar daripada pembentukan Malaysia disebabkan beberapa faktor masalah yang
tidak dapat dipersetujui oleh semua pihak.
Tahun 2014 merupakan tahun
ke-57 Tanah Melayu memperoleh kemerdekaannya dan tahun ke-51 penubuhan
Malaysia. Sepanjang lima dekad penubuhan Malaysia, pelbagai cabaran telah
ditempuh oleh rakyat Malaysia. Elemen yang paling penting dalam kehidupan
masyarakat yang berbagai etnik ataupun dikenali sebagai masyarakat mozek ialah
perpaduan, sikap bertolak ansur, saling menghormati sensitiviti setiap kaum dan
hidup dalam bermasyarakat. Kepentingan faktor-faktor yang dinyatakan tadi
membantu Malaysia untuk terus maju dan menjadi negara yang berdaya saing
seiring dengan negara maju yang lain. Namun demikian, pelbagai cabaran yang
telah ditempuh dan usaha dijalankan dalam menjadikan Malaysia sebuah negara
yang maju. Dalam kerja kursus ini akan merungkai insiden salah faham,
ketegangan dan konflik etnik yang telah berlaku di Malaysia untuk dijadikan
sempadan dan pengajaran pada masa hadapan.
Rusuhan dan ketegangan
etnik yang akan dirungkai di dalam kerja kursus ini ialah insiden Kampung Medan
2001 dan rusuhan etnik 13 Mei 1969 dan berdasarkan ketegangan etnik ini maka
banding beza dari aspek punca, kesan dan pengajaran daripada setiap peristiwa
ini akan dijelaskan dengan teliti.
2.0 RUSUHAN ETNIK 13 MEI 1969
Tanggal 13 Mei 1969
tercetus satu detik hitam dalam lipatan sejarah negara. Pertelingkahan kaum
yang berlaku telah mengakibatkan negara kehilangan banyak nyawa dan kerugian
harta benda. Peristiwa hitam ini turut memaksa pucuk pimpinan yang diterajui
oleh Tunku Abdul Rahman untuk mengisytiharkan darurat. Menurut Tunku Abdul Rahman
(2007) dalam bukunya 13 Mei Sebelum dan Selepas menyatakan digambarkan
darurat terpaksa diistiharkan dengan persetujuan Yang Di – Pertuan Agong. Ia
mempunyai kaitan rapat dengan Pilihanraya Umum 1969 dan merupakan puncak
manifestasi masalah perpaduan kaum di Malaysia. Dalam pilihanraya tahun
tersebut banyak isu sensitif telah dibangkitkan dan ditimbulkan seperti bahasa
kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan hak kerakyatan orang bukan
Melayu. Dalam pilihanraya tahun 1969 Parti Perikatan gagal memperolehi majorirti
dua per tiga dalam Dewan Rakyat manakala Parti Gerakan Dan DAP yang berjaya
memperolehi sebanyak 25 kerusi telah mengadakan perarakan di Kuala Lumpur
sambil menghina bangsa Melayu. Hal ini memberikan tamparan hebat kepada orang
Melayu dan akhirnya UMNO telah mengadakan perarakan balas sebagai bantahan
terhadap penghinaan parti DAP dan Gerakan.
Sebenarnya Masalah 13 Mei ini merupakan masalah perpaduan yang telah
lama berakar umbi dalam masyarakat majmuk Malaysia sebelum tahun 1969 lagi.
Masalah ini telah disebabkan oleh British yang telah memainkan peranan yang
cukup besar untuk mewujudkan keadaan sedemikian rupa.
Peristiwa 13 Mei sememangnya bukan suatu peristiwa yang
berlaku secara tiba - tiba atau kerana sebab-sebab yang spontan tetapi ianya
merupakan suatu rentetan kepada sebab-sebab atau peristiwa yang telah berlaku
sebelumnya. Antaranya ialah kesan pendudukan Jepun di Tanah Melayu merupakan
salah satu faktor yang turut menyumbang kepada peristiwa 13 Mei. Ini kerana
Jepun memberi layanan yang lebih istimewa kepada orang Melayu berbanding orang
Cina kerana Jepun masih lagi dipengaruhi sentimen peperangan dengan negara
China pada akhir kurun ke 19 dan awal kurun ke 20. Ini menyebabkan tentera
Jepun bersikap pilih kasih dalam hal yang melibatkan kaum Melayu dan Cina. Jepun juga telah melantik orang Melayu
sebagai askar dan polis berbeza dengan orang Cina yang tidak diberi
peluang untuk menjawat sebarang jawatan. Ketika itu kebanyakan orang Cina
menyertai MPAJA (Malaysian People Anti Japanese Army). Keadaan bertambah buruk
apabila kebanyakan tentera Jepun yang menyerang MPAJA ialah terdiri daripada
orang Melayu dan ini telah menimbulkan persengketaan antara orang Melayu dengan
Orang Cina dan kemuncaknya ialah pada 13 Mei 1969.
Selain itu kesan peninggalan penjajah Inggeris juga boleh
dilihat sebagai punca kepada peristiwa tersebut. Menurut Mansor Mohd. Noor
(2006 : 86), secara majoritinya etnik Melayu tinggal di kawasan luar bandar
atau kampung-kampung, etnik Cina tinggal di kawasan bandar atau pekan-pekan,
manakala etnik India tinggal di kawasan ladang-ladang getah. Amalan
diskriminasi oleh Inggeris contohnya telah banyak merenggangkan lagi hubungan
antara kaum di Tanah Melayu. Pada Zaman pemerintahan British, British telah
mewujudkan kelompok-kelompok etnik berdasarkan kegiatan ekonomi. Ini dilakukan
untuk menjaga kepentingan mereka agar tidak terjejas dengan kewujudan
perpaduan kaum kerana mereka mahu mengeksploitasi semaksima mungkin kekayaan
semulajadi Malaysia. Justeru mereka telah menetapkan status dan peranan yang
berbeza bagi setiap kaum seperti orang Melayu digalakkan tinggal di kampung,
kaum Cina digalakkan tinggal di bandar manakala kaum India digalakkan
tinggal di estet-estet. Dasar ini telah berjaya direalisasikan dan kesannya
interaksi antara kaum-kaum menjadi terbatas hanya di pejabat dan pasar sahaja.
Apabila ini berlaku maka lahirlah perasaan prasangka antara satu kaum dengan
kaum yang lain. Prasangka yang wujud
inilah yang telah mengapi-apikan lagi tercetusnya sentimen 13 Mei 1969.
Kesan daripada dasar pecah perintah oleh pihak British
secara tidak langsung juga telah mewujudkan sistem pendidikan yang berlainan. Menurut
Noor Risma Salfina (2006), semasa zaman penjajahan Inggeris, ketiga-tiga kaum
ini telah dibahagikan kepada tiga jenis sekolah yang berasingan. Pihak penjajah
Inggeris memperkenalkan sistem persekolahan mengikut kaum dan menggunakan
bahasa masing-masing. Sebelum Laporan
Razak dikemukakan, Malaysia tidak mempunyai satu asas atau sistem pendidikan
nasional. Apa yang wujud ialah empat
aliran pendidikan yang berlainan iaitu aliran Inggeris, Melayu, Cina dan India.
Bagi kaum India mereka telah menguna pakai silibus yang diambil dari negara
india untuk diajar kepada anak-anak mereka. Begitu juga dengan kaum Cina dan
Melayu. Ini telah menyebabkan tiada keseragaman dari segi identiti dan fahaman
kerana Negara China contohnya mengamalkan fahaman komunisme dan silibus yang
diambil dari Negara China mempunyai unsur-unsur komunisme tetapi lain pula
dengan kaum lain yang berteraskan fahaman yang lain. Selain itu tidak terdapat satu bahasa
pengantar yang seragam telah menyebabkan setiap kaum hanya tahu bercakap dalam
bahasa ibunda masing-masing sahaja. Ini telah memberikan satu impak buruk dalam
pembentukan perpaduan kaum di Malaysia. Sistem pendidikan yang
berasingan menjadi cabaran dalam hubungan etnik untuk memupuk integrasi dan
persefahaman dalam kalangan pelajar. (Mohd Sohaimi Esa, 2011).
Selain itu juga Masyarakat Melayu kebanyakan terdiri
daripada petani yang tinggal di kampung manakala masyarakat cina telah mewarisi
pekerjaan turun temurun keluarga mereka iaitu beniaga dan kebanyakannya
tinggal di bandar dan Masyarakat India pula bekerja sebagai penoreh di
estet-estet dan tinggal di estet-estet.
Kegiatan ekonomi yang berbeza ini telah mewujudkan jurang pendapatan
yang berbeza anatara satu kaum dengan kaum yang lain. Ini telah menimbulkan
rasa tidak puas hati dan persaingan ekonimi secara tidak sihat dan pada
kemuncaknya berlakulah peristiwa 13 Mei 1969.
Menurut Abdul Rahman Abdul Aziz (2006), setiap masyarakat
mempunyai pegangan hidup masing-masing. Masyarakat barat mengalami perjalanan
sejarah sosial yang menafikan tokoh dan institusi agama serta raja dan
institusi feudalisme. Perbezaan budaya dan agama juga merupakan salah satu lagi
punca berlakunya masalah perpaduan kaum di Malaysia. Kaum Melayu sebahagan
besarnya beragama Islam, kaum Cina beragama sama ada Buddha, Lao-Tze, Taoisme,
Confucius manakala kaum India beragama Hindu. Disamping itu terdapat ramai juga
yang beragama Kristian. Setiap kaum pula mempunyai kebudayaan yang berlainan
dan ini menambahparahkan lagi masalah perpaduan kaum di Malaysia. Masalah
perpaduan ini bukannya bermula disebabkan agama yang dianuti oleh kaum-kaum
yang terdapat di Malaysia menggalakkan penganutnya memusuhi agama lain tetapi
ia berpunca dari sikap jahil terhadap agama-agama lain hingga banyak perkara
yang dilakukan secara tidak sengaja telah menyinggung emosi penganut
agama lain. Inilah punca yang telah mengakibatkan peristiwa 13 Mei 1969 berlaku. Menurut
Noor Risma Salfina (2006: 12), berdasarkan perbezaan agama dan kepercayaan ini
masyarakat terbelenggu dengan fahaman masing-masing dan enggan berinteraksi
dengan kaum lain.
Akhir sekali kemuncak kepada punca sebelum terjadinya
peristiwa 13 Mei 1969 ini ialah semasa Kempen Pilihanraya Tahun 1969 parti-parti
politik yang bertanding telah memainkan isu-isu yang sensitif seperti kedudukan
istimewa orang Melayu, soal bahasa dan kerakyatan untuk memancing undi daripada
orang ramai. Ini telah menimbulkan pelbagai rasa tidak puas hati antara kaum
dan akhirnya setelah memenangi kerusi yang agak banyak dan berjaya menafikan
majoriti dua per tiga parti Perikatan, parti DAP dan Gerakan telah berarak
untuk menghina orang melayu. Tambah memburukkan lagi keadaan ialah orang Melayu
melalui UMNO telah mengadakan perhimpunan balas untuk menangkis penghinaan
parti DAP dan Gerakan. Keadaan menjadi tidak terkawal dan akhirnya meletuslah
peristiwa hitam 13 Mei 1969. (Nazaruddin Mohd Jali et. al. 2001)
Menurut Shamsul Amri Baharuddin (2008: 138), jika isu
perkauman seperti bahasa, kebudayaan, pendidikan, agama, kerakyatan dan ekonomi
diperalat oleh sesuatu pihak untuk mendapatkan sokongan rakyat, maka tindakan
ini tidak akan menyumbang ke arah masyarakat yang bersatu padu. Peristiwa 13
Mei 1969 meninggalkan banyak kesan negatif. Antara kesan daripada peristiwa ini
ialah pada tahun 1969 pilihan raya diadakan semula dan memberi kemenangan dua
pertiga semula kepada kerajaan yang memerintah. Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur dibentuk bagi mengurangkan pengundi Cina dalam Dewan Undangan Negeri
Selangor. Beberapa ahli politik yang dianggap berbahaya telah ditahan melalui
Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Persempadanan semula pilihan raya yang
lebih bijaksana dan seimbang telah dilaksanakan. Sistem demokrasi, pilihanraya
dan agihan ekonomi mendapat tafsiran semula. Peristiwa 13 Mei 1969 ini
sebenarnya tidak menghasilkan sebarang faedah kepada berlakunya perpecahan dan
perbalahan antara kaum Melayu dan kaum Cina yang mengakibatkan kerosakan harta
benda yang besar malah yang paling malang ialah nyawa yang terkorban, kejadian
seperti ini meninggalkan kesan dan pengajaran yang pahit dan getir kepada
saudara mara dan kaum keluarga yang terlibat.
Menurut Shamsul Amri Baharuddin (2008), dalam bukunya
Modul Hubungan Etnik, Malaysia merupakan negara yang sedar bahawa kemajuan
ekonomi sahaja tidak lengkap sekiranya tidak disertai dengan kestabilan
politik. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa keperluan kepada aspek kestabilan
ekonomi politik mahupun sosial amat diperlukan bagi memastikan kestabilan
sesebuah negara terjamin. Peristiwa yang berlaku pada 13 Mei 1969 dan 12 Mac
2001 telah membuka mata semua pihak dalam mengurus sensitiviti sesebuah kaum
terhadap sesuatu perkara. Berikutan peristiwa tersebut telah menyebabkan
tertubuhnya MAGERAN atau lebih dikenali sebagai Majlis Tindakan Negara pada
tahun 1 Julai 1969. Jabatan Perppaduan
Negara yang diletakkan dibawah MAGERAN ini diwujudkan bertujuan untuk bagi menangani masalah perpaduan dalam
kalangan masyarakat. Selepas MAGERAN, Majlis Penasihat Perpaduan Negara ditubuhkan
pada 23 Februari 1971. Tanggungjawab untuk memastikan perpaduan Negara terjamin
terus diletakkan diabawah Jabatan Perpaduan Negara. Pada tahun 1999-2004
Jabatan Perpaduan Negara telah diletakkan dibawah Kementerian Perpaduan Negara
dan Pembangunan Masyarakat.
Menurut Kamarnddin M. Said (2002), setelah msuhan dan
pergaduhan berlanjutan hampir seminggu, seramai 196 orang dilaprkan kehilangan
nyawa, hampir 450 cedera, 6,000 orang kehilangan tempat tinggal akibat
kebakaran, 750 bangunan terbakar, kira-kira 200 kenderaan terbakar atau binasa,
dan lebih 9,000 orang ditangkap. Kesan selepas berlakunya peristiwa 13 Mei 1969,
kerajaan terpaksa mengeluarkan perintah berkurung lalu mengisytiharkan darurat
mengikut Ordinan Darurat 1948. Selaras dengan kuatkuasa darurat, fungsi
Parlimen terus digantung. Ini bertujuan untuk mengawal keselamatan rakyat dan
mengembalikan kestabilan negara ketika itu. Ini membawa kesan yang buruk
terhadap suasana persekitaran dan pergaulan yang kurang harmoni antara kaum
kerana ianya menyekat aktiviti yang bebas untuk mencari punca pendapatan
seperti menjalankan perniagaan, susah berinteraksi dan saling berhubungan
antara kaum .Selain itu, segala aktiviti harian masyarakat tersekat. Kesan
selepas peristiwa ini juga menyaksikan tugas pemerintahan diserahkan kepada
sebuah badan khas iaitu Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). (Nazaruddin Mohd Jali
et. al. 2001)
Dalam hubungan senario yang telah berlaku dan meneliti
daripada pelbagai aspek, maka Rukun Negara yang digubal pada 31 Ogos 1970
berhasrat melahirkan masyarakat Malaysia yang demokratik, saintifik dan
progesif serta bersatu padu dan bersikap terbuka terhadap kepelbagaian cara hidup
rakyat daripada berbagai-bagai keturunan. Selain itu, peristiwa 13 Mei 1969 ini
telah menguntungkan kepada musuh-musuh negara yang sentiasa mengambil
kesempatan dan peluang untuk memecah-belahkan rakyat dan ingin menakluk
Malaysia sebagai taklukan dan jajahan negaranya. Pengalaman yang perlu
diteladani daripada peristiwa ini ialah keadaan negara yang menjadi tidak aman,
huru-hara dan rakyat yang berbilang kaum berpecah-belah akibat daripada rasa
tidak berpuashati dengan isu-isu yang sensitif terutama isu perkauman. Antara
contoh-contoh yang boleh dijadikan panduan kepada negara ialah kejatuhan
empayar Melayu Melaka di tangan penjajah portugis pada tahun 1511 begitu juga
dengan pencerobohan dan penaklukan tanah kepunyaan negara Arab khususnya di
Semenanjung Gaza dan Tebing Barat Jordon oleh kuasa Israel, dan penindasan
secara kejam terhadap rakyat Palestin setelah berjaya mencerobohi bumi Arab ini.
(Nazaruddin Mohd Jali et. al. 2001)
3.0 INSIDEN KAMPUNG MEDAN 12 MAC 2001
Kampung Medan terletak di
Petaling Jaya Selangor, dan bersempaan dengan Wilayah Persekutuan Kuala lumpur.
Kampung Medan berada di tengah-tengah pusat pertubuhan ekonomi negara. Bahagian
tengah barat Semenanjung Malaysia merupakan pusat pertumbuhan ekonomi negrara
di negara ini. Negeri di mana Kampung Medan berada, iaitu Selangor, memiliki
Keluaran Negeri Kasar (KNK) yang terbesar di Malaysia, dengan kadar pertumbuhan
ekonomi dan pendapatan per kapita yang tinggi. Kampung Medan juga berada dalam
daerah yang terunggul dari segi taraf hidup di negara ini. Pihak Berkuasa
Tempatan tersebut juga, iaitu Majlis Perbandaran Petaling Jaya, yang memberi
perkhimatan awam kepada penghuni Kampung Medan
adalah majlis perbandaran yang tertua di negara ini.
Kampung Medan terdiri daripada 27 buah kampung dan taman
perumahan. Bancian pada tahun 2000 menunjukkan terdapat 110 000 orang tinggal
di kawasan ini (Jabatan Statistik 2001). Dari jumlah tersebut 36 000 orang adalah setinggan. Jika dilihat
melalui aspek politik setempat, persoalan kewujudan dan kesampaian dari segi
perkhimatan awam yang diperlukan sepatutnya boleh diperolehi dengan lebih
berkesan lagi. Mengikut etnik, mereka yang tinggal di Kampung Medan dan di kawasan setinggan kebanyakkannya
terdiri daripada etnik Melayu dan India. Jumlah etnik Cina yang tinggal di
kawasan ini adalah kecil. Taburan peratusan mengikut etnik adalah 50% Melayu,
44% India dan 6% Cina. (Abdul Rahman Abdul Aziz, Mansor Mohd. Noor dan Mohamad
Ainuddin Iskandar Lee, 2006.)
Para pemerhati umum misalnya para wartawan, pemimpin
politik dan pihak polis mengaitkan peristiwa pergaduhan di Kampung Medan ini
dengan faktor kemiskinan. Ini ialah kerana mereka mengandaikan bahawa
kemiskinan, dengan sendirinya, sudah cukup kuat untuk menjadi pendorong kepada
golongan miskin ini mencetuskan dan melibatkan diri dengan pergaduhan
bersenjata secara berkumpulan. Dari sudut ini, faktor pencetus membuktikan
bahawa pengertian hidup, pentakrifan realiti serta interaksi sosial sebahagian
besar daripada penduduk kawasan ini, terutamanya golongan setinggan dan yang
berpendapatan rendah, begitu dipengaruhi oleh situasi anomie. Situasi anomie
ini melahirkan pelbagai tanggapan negatif mengenai makna kehidupan serta
tanggungjawab mereka antara satu sama lain. Tanggapan ini pula berbeda-beda
berdasarkan perbedaan kelas dan etnisiti, dan direnggangkan lagi oleh jarak
sosial yang telah sekian lama terbentuk di kalangan mereka.
Oleh itu, menurut Abdul Rahman Abdul Aziz, Mansor Mohd.
Noor dan Mohamad Ainuddin Iskandar Lee, (2006) kesemua ini telah
bertanggungjawab menimbulkan serta menebalkan perasaan marah kolektif golongan
yang merasa tertekan oleh pelbagai persekitaran ini terhadap kehidupan mereka
secara umumnya. Oleh itu, apabila terjadi sesuatu peristiwa pemangkin, ia berupaya
mengubah kemarahan umum ini menjadi satu kemarahan yang terfokus, iaitu kebencian
perkauman, yang melahirkan satu bentuk kelakuan ganas dan negatif dalam bentuk
pergaduhan beramai-ramai yang mengakibatkan kecederaan dan kematian. Masyarakat
Melayu di kawasan tersebut telah hilang sabar terhadap sikap anti sosial
sekumpulan remaja India dan mereka ingin memberi suatu pengajaran. Serangan
bersenjata yang dilakukan terhadap satu sama lain, teutamanya terhadap lawan
yang hanya dikenal pasti menemsi warna kulit sahaja, ialah satu cetusan
kebencian mendalam yang telah dilahirkan oleh situasi yang mereka hadapi
bersama. Penyebab pencetus kepada kelakuan kolektif ini ialah gengsterisme
remaja yang berleluasa di kawasan tersebut. Selain itu juga, perbezaan agama
dan budaya antara kedua-dua etnik ini juga telah menyebabkan konflik ini
berlaku disebabkan oleh berbeza fahaman kepercayaan dan kebudayaan yang tidak
sama maka berlakulah salah faham jika kurangnya fahaman terhadap sensititi kaum
lain.
Menurut Kamarnddin M. Said (2002), punca utama yang
memainkan peranan dalam terjadinya Insiden pergaduhan ini ialah kewujudan
gangster dan budaya gangsterisme serta kerumitan hidup material di kalangan
komuniti Melayu dan India di Kampung Medan telah menunjukkan etnik atau agama
bukan menjadi persoalan terjadinya konflik antara kumpulan. Tingkahlaku ini
lebih dicorakkan oleh kedudukan lokasi kelas dan status sosial akibat perbezaan
taraf pendidikan, kemahiran kerja, pendapatan dan budaya hidup yang telah
membatasi peluang mobiliti sosial mereka untuk keluar daripada golongan miskin.
Keduanya ialah disebabkan oleh perbezaan lokasi sosial telah mempengaruhi
konflik yang terjadi di kawasan ini. Kawasan ini sebelum tahun 1970-an adalah
bekas lombong bijih dan mereka yang berhijrah ke kawasan ini mempunyai latar
belakang taraf keupayaan diri seperti pendidikan, kemahiran kerja, pengalaman
kerja dan pendapatan yang rendah. Mobiliti sosial antara generasi daripada ayah
ibu kepada anak, terutaman di kalangan golongan miskin Melayu dan India,
didapati tidak akan berlaku dan malahan masa hadapan anak-anak mereka akan
mewarisi lokasi sosial ibubapa mereka.
Masaalah petempatan persetingganan yang mempunyai
kira-kira 2,000 keluarga, yang mendiami satu kawasan yang luasnya kira-kira 1
km persegi. Ketidakmampuan Kerajaan Negeri dan Tempatan untuk menyelesaikan
isu-isu pembangunan infrastruktur dalam masa yang singkat. Oleh itu, jelas
sekali bahawa kawasan ini mempunyai kepadatan penduduk yang sangat tinggi. Anak
Sungai Kelang yang kotor melintasi kawasan persetingganan ini. Berhampiran Kampung
Medan terdapat bekas sebuah lombong bijih timah seluas kira-kira 30,000
meterpersegi, yang kini menjadi tempat pembuangan sampah. Di Kampung Medan ini
juga terdapat sekumpulan rumah panjang, iaitu rumah sementara untuk mangsa
kebakaran. Hampir kesemua rumah setinggan ini diperbuat daripada kayu, beratap
zing, bersaiz kecil (kira-kira40-50 meter persegi) dan dibina begitu rapat
antara satu sama lain. Kawasan rumah setinggan ini tidak mempunyai perkarangan,
dan lorong berjalan kaki terbentuk dengan sendirinya di celah celah rumah yang
terbina tidak tersusun itu. Longkang yang mengalirkan air bekas basuhan turut
memenuhi ruang yang memisahkan rumah-rumah tersebut.
Banyak paip getah yang menyambungkan rumah-rumah tertentu
dengan paip awam atau bomba yang berdekatan dan berfungsi sebagai saluran
bekalan air apabila digunakan secara bergiliran juga turut mengisi ruang
pejalan kaki tersebut. Pendeknya, kawasan pemmahan persetingganan ini
memberikan satu gambaran kehidupan yang serba sesak dan tidak teratur dari segi
fizikalnya. Sebahagian besar daripada para penduduk kawasan persetingganan di
sekitar Kampung Medan ini terdiri daripada kumpulan yang berpendapatan rendah. Namun
begitu, tinjauan awal memperlihatkan bahawa mereka mempunyai pendapatan bulanan
melebihi RM460, pendapatan minimum yang digunakan dalam penetapan garis
kemiskinan di Semenanjung Malaysia. Memang terdapat sekumpulan keluarga yang
mempunyai pendapatan bulanan melebihi RM1000 Namun demikian, secara umumnya
para penduduk yang menghuni kawasan persetingganan adalah terdiri dari keluarga
yang berpendapatan rendah. Sebahagian besar daripada ketua keluarga mereka bekerja,
dalam kategori pekerja bergaji rendah, dengan pelbagai kilang dan syarikat
perniagaan yang terdapat dikawasan tersebut. (Kamarnddin M. Said. 2002)
Melalui Insiden Kampung Medan 12 Mac 2001 ini terdapat
beberapa kesan yang telah dikenalpasti dan yang paling jelas ialah telah
berlakunya pertumpahan darah, menggugat keselamatan, menjarakkan hubungan
antara kaum, merugikan harta benda dan terdapat juga kesan lain antaranya ialah
dari segi kesan terhadap sosial, dimana kita dapat lihat bahawa wujudnya salah
faham dan buruk pandangan terhadap kaum-kaum lain kerana wujudnya sikap
perkauman. Sikap perkauman ini akan membecah-belahkan kaum bukan sahaja memberi
kesan dalam jangka masa yang pendek namun turut memberi kesan dalam jangka masa
yang panjang. Kesan dalam jangka masa yang masa yang pendek, contohnya
sekiranya orang melayu tidak diberi peluang pekerjaan di kebanyakkan perniagaan
yang dipunyai oleh masyarakat Cina atau India. Ini akan mewujudkan pandangan
yang serong dan rasa tidak puas hati. Dalam jangka panjang pula, perasaan ini
akan menjadi teruk dan lebih mendalam dan mungkin akan membawa kepada rusuhan
kaum seperti yang berlaku pada 12 Mac 2001,dan ini akan membawa keancaman
kepada struktur sosial di Malaysia dan rakyat tidak akan dapat hidup aman lagi.
Ekoran daripada keruntuhan struktur sosial di Malaysia
ataupun perpecahan kaum di Malaysia mungkin akan menyebabkan aktiviti ekonomi dipersekitaran
tidak dapat berjalan dengan lancar dan juga mungkin berhenti dengan
serta-merta. Hal ini akan mengakibatkan kawasan tersebut dan Negara mengalami
kerugian atau defisit dimana perbelanjaan melebihi pendapatan. Antara sebabnya,
apabila berlaku rusuhan kaum , kerajaan terpaksa membelanjakan banyak duit
untuk mengamankan Negara dan pada masa yang sama pendapatan Negara akan
berkurang disebabkan ekonomi terbantut. Selain daripada itu, pelabur-pelabur
juga akan menghentikan pelaburan mereka di Malaysia kerana risau mengalami
kerugian dan pelabur luar negara ingin melabur di Malaysia juga akan membatalkan
hasrat mereka. Mata wang Malaysia juga akan jatuh teruk dimana apabila
berlakunya ketidaktenteraman di Malaysia, ramai akan meninggalkan Negara
Malaysia untuk mencari tempat yang lebih selamat dan ini akan mengakibatkan
duit ringgit Malaysia keluar dengan banyaknya dari Malaysia.
Selain itu, ianya memberi kesan kepada integriti dan imej
negara seperti yang telah dicatatkan dalam sejarah Malaysia Tunku Abdul Rahman
,Tun V.T Sambanthan dan ahli politik kaum yang lain mendapatkan kebebasan
Negara dengan membuktikan kepada kerajaan British mahupun negara di luar sana yang
rakyat di Malaysia mampu bersatu padu di bawah satu pentadbiran maka atas sebab
inilah kita diberi kemerdekaan suatu ketika dahulu dan atas sebab itu jugalah
Negara kita dipandang tinggi kerana mampu bergerak walaupun rakyatnya terdiri
daripada banyak kaum. Jikalau rusuhan kaum berlaku lagi, ini akan mencemarkan
nama baik negara dimana ia akan jelas menunjukkan negara gagal dalam
menyatupadukan penduduknya malah keadaan menjadi semakin teruk. Ini akan
menconteng arang terhadap imej dan integriti Negara sebagai sebuah negara yang
berdaulat dan mengamalkan prinsip demokrasi.
4.0 PENGAJARAN
Menurut Abdul Rahman Ismail
(2005), Tragedi Peristiwa 13 Mei 1969 ini memberikan kesedaran dalam kehidupan
berpolitik di Malaysia. Usaha ke arah persefahaman yang lebih baik antara kaum
yang selama ini diterima seadanya telah mula diusahakan dengan secara sedar
oleh kerajaan. Kesedaran penting di kalangan rakyat bahawa sikap
hormat-menghormati, bertolak-ansur, bertoleransi dan menjauhi sifat-sifat yang terkeji
seperti berprasangka buruk, berdengki, iri hati dan menanam sifat curiga di
antara kaum. Dengan terdapat pelbagai jenis kaum, agama, budaya dan pegangan
agama di Malaysia maka Peristiwa 13 Mei 1969 ini pasti berulang seperti yang
telah berlaku Insiden Kampung Medan 12 Mac 2001 sekiranya tiada kesedaran
tentang isu-isu sensitif yang timbul seperti hak kedudukan istimewa kaum Melayu
yang merupakan penduduk asal bagi negara ini. Oleh itu kaum-kaum lain yang
tinggal di negara ini perlu menghormati kedudukan istimewa kaum Melayu dan
mewujudkan suasana yang harmoni di kalangan masyarakat. Pendek kata
tanggungjawab perpaduan adalah tanggungjawab semua pihak.
Tragedi 13 Mei 1969 dan Insiden Kampung Medan 12 Mac 2001
juga menunjukkan bahawa matlamat perpaduan masyarakat sukar dicapai jika
masyarakat Malaysia kurangnya kesedaran tentang perpaduan dan juga
faktor-faktor lain sebagai contoh kemiskinan ianya menjadi lebih sukar jika
majoriti kadar kemiskinan penduduk itu hanya pada satu kaum sahaja. Keadaan
ekonomi dan demografi penduduk Malaysia menunjukan bahawa majoroti penduduk
Bumiputera tinggal di luar bandar kebanyakan adalah berpendapatan rendah dan
miskin. Kemiskinan ini akan menjadi isu di dalam masyarakat Malaysia, khususnya
masyarakat Bumiputera. Untuk mencapai keharmonian hidup adalah sukar. Rusuhan
kaum pada 13 Mei 1969 adalah peristiwa tragis yang terburuk dialami oleh
Malaysia dan peristiwa itu hampir-hampir memusnahkan negara ini. Sekali lagi
disebabkan kurang peka tentang sensitiviti masyarakat lain maka terjadilah
Insiden Kampung Medan 12 Mac 2001. Dengan kebijaksanaan pemimpin dan semangat
setia kawan rakyat, bencana itu telah dapat ditangani dan negara kembali pulih
seperti sediakala. Banyak pengajaran yang boleh dipelajari daripada bencana
itu. Antara yang terpenting ialah mustahaknya memperkukuhkan perasaan muhibah
dan ikatan perpaduan antara kaum demi kestabilan politik dan keselamatan
Malaysia yang berbilang kaum ini.
Bermula daripada kemerdekaan hingga kini, kerajaan telah
merangka dan memberi penekanan kepada beberapa dasar dalam bidang sosioekonomi yang menjurus terhadap
pembentukan perpaduan ini. Dasar - dasar tersebut termasuklah Dasar Pendidikan
Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan
dan Dasar Ekonomi Baru. Dasar tersebut telah dikukuhkan lagi dengan
ideologi negara yakni Rukun Negara. Untuk mengukuhkan lagi perpaduan ini telah
diperkenalkan juga Dasar Wawasan, Dasar Pembangunan Negara dan Dasar Sosial
Negara. Oleh yang demikian berbagai strategi telah dirangka Dalam Pelan
Tindakan Perpaduan dan Integrasi Nasional untuk mempertingkatkan perpaduan.
Antaranya melalui strategi politik.
Perlembagaan telah menetapkan
bentuk dan lambang – lambang negara, Kedudukan dan hak istimewa orang
Melayu dan bukan Melayu, Oleh yang
demikian langkah yang diambil oleh kerajaan untuk memajukan Negara haruslah
berteraskan perlembagaan disamping memupuk hubungan yang akrab antara etnik.
Selain itu apabila wujud kesedaran satu bangsa Malaysia
menjadi semakin mantap dan semangat
kewilayahan semakin cair, maka
pertubuhan – pertubuhan yang merentasi batas – batas perkauman akan muncul.
Perkembangan positif ini akan mempercepatkan lagi proses pembentukan
bangsa Malaysia yang bersatu padu. Daripada strategi ekonomi pula
dilihat sebagai satu usaha untuk mewujudkan keseimbangan. Salah satu
faktor yang menyebabkan ketegangan adalah disebabkan ketidakseimbangan ekonomi
serta taraf sosioekonomi itu sendiri. Masalah ini dirumitkan apabila etnik –
etnik tertentu dikaitkan dengan aktiviti – aktiviti ekonomi tertentu. Oleh yang
demikian untuk memastikan ianya tidak terjadi beberpa langkah harus diambil.
Antaranya Pengimbangan taraf ekonomi antara kaum dan wilayah harus diusahakan
tanpa merugikan mana – mana pihak. Selain itu juga program untuk mengurangkan
kemiskinan juga perlu tanpa mengira sebarang kaum. Dan yang terakhir
sekali, sektor swasta juga harus
memainkan peranan yang aktif dalam mengurangkan ketidakseimbangan ini dan usaha – usaha mengurangkan ekonomi
berasaskan pengenalan kaum ini juga haruslah dielakkan.
Daripada aspek pendidikan pula ianya sangat penting dalam
membina wadah dan jati diri seseorang. Menurut Sufean Hussin (2000), dalam
bukunya Motivasi Dasar Pendidikan Perspektif Sistem dan Organisasi menyatakan
pendidikan merupakan faktor yang penting
bagi perubahan dan kemajuan ekonomi sesebuah negara. Pendidikan juga
dikatakan sebagai wadah perjuangan bagi merealisasikan wawasan 2020 kearah
membentuk masyarakat Malaysia yang progresif dalam bidang sains dan teknologi,
integrasi nasional dan dan ketahanan
moral serta berfikiran terbuka. Peranan sistem pendidikan ialah untuk menyediakan persekitaran serta
kemudahan bersosialisasi dalam kalangan rakyat dan menyediakan persekitaran
serta kemudahan untuk golongan muda agar akses terhadap perpaduan ini dapat
ditingkatkan.
Dalam aspek penggunaaan bahasa kebangsaan pula, penggunaan
satu bahasa yang sama amat penting. Ianya sangat berkesan dalam memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat
yang serba berbeza daripada aspek kebudayaan agama dan bahasa. Usaha ini akan
membentuk satu komunikasi yang sempurna. Ianya sangat penting supaya cirri
persamaan antara kaum itu dapat ditingkatkan seterusnya membawa kepada perpaduan
yang erat dalam negara. Disamping itu, dalam
soal keagamaan pula semua rakyat Malaysia adalah bebas untuk mengamalkan
ajaran dan agama masing -masing. Oleh yang demikian setiap daripada warganegara
haruslah menghormati agama lain dan bukannya mencari perbezaan. Setiap perkara
dan tindak tanduk yang dilakukan berdasarkan agama juga hendaklah dilaksanakan
dengan penuh berhati-hati tanpa menyinggung mana-mana pihak.
Manakala untuk kebudayaan pula, dizahirkan satu kebudayaan nasional yang
menjadi milik bersama rakyat negara tanpa mengira kaum, keturunan dan wilayah
yang merupakan asas pembentukan bangsa. Kebudayaan ini terbentuk hasil daripada
apa yang telah termaktub dalam Dasar
Kebudayaan Kebangsaan untuk memastikan ianya mengambil kira semua pihak dalam
hubungan etnik ini. Dalam Strategi wilayah pula
kedudukan Geografi banyak
melahirkan integrasi yang kukuh antara Negeri-Negeri di Semenanjung Malaysia
dengan Sabah dan Sarawak. Pelbagai langkah yang telah diambil untk
mengintegrasikan antara kedua-dua wilayah ini. Antaranya penambahbaikan dalam sistem perhubungan
kebangsaan dan pengangkutan. (Nazaruddin Mohd Jali et. al. 2001)
Seterusnya daripada aspek pembangunan kawasan. Pemaju-pemaju
sesuatu kawasan harus mengambil kira
aspek perpaduan untuk memajukan sesuatu kawasan. Sesuatu kawasan itu harus lah didiami oleh
penduduk yang berlainan kaum. Hal ini supaya sentiment perkauman dapat
dielakkan. Perlaksanaan aktiviti seperti rukun Tetangga dan sebgainya juga
harus dilaksanakan tanpa mengira agama dan kaum. Ianya sangat penting supaya
perpaduan dapat dibentuk. Selain itu pengajaran yang dapat diperolehi dan
dititikberatkan dalam strategi penggunaan tenaga manusia pula majikan samada
dalam sektor swasta mahupun kerajaan perlulah memastikan agar perlantikan
sesuatu jawatan tidak berdasarkan kepada faktor budaya, agama dan kaum.
Pemilihan perlulah berdasarkan keadilan dan kerakyatan. Ianya sangat penting
supaya wujud keadilan dan perkara ini
akan membawa kepada perpaduan antara etnik itu sendiri supaya tidak timbul rasa
iri hati terhadap etnik lain.
Akhir sekali, media massa pula perlu memainkan peranan
yang penting dan merupakan satu usaha untuk memaparkan dan menghubungkan semua
rakyat hinggalah ke kawasan pedalaman. Penyampaian maklumat juga haruslah
bersifat positif, memupuk nilai-nilai murni kearah membentuk negara harmoni dan
maju. Strategi-strategi lain termasuklah dalam bidang kesukanan, pemasyarakatan
perpaduan, penubuhan sukarela penyelidikan, program aktiviti perpaduan dan
pemantauan isu-isu semasa dan konflik. Pengajaran yang kita perolehi daripada
kedua-dua peristiwa ini merupakan satu titik tolak ke arah kebaikan kepada
negara kita kerana selepas sahaja peristiwa tersebut berlaku semua pihak mulai
sedar dan saling bekerjasama membentuk perpaduan yang lebih jitu seperti yang
dapat kita saksikan kini. Apa yang perlu dilakukan oleh rakyat Malaysia ialah
terus mendukung aspirasi nasional tanpa mengira apa pun fahaman politik dan
saling membantu antara satu sama lain ke arah Malaysia yang lebih adil.
Dasar-dasar yang dirangka oleh kerajaan pula haruslah didokong dan diberi
sokongan yang sewajarnya agar ia berjaya mencapai matlamatnya. Peristiwa ini
telah menyedarkan dan memaksa pemimpin-pemimpin negara meneliti isu perpaduan
dengan lebih serius. Hasil penelitian itu, tindakan jangka pendek dan jangka
panjang telah diambil untuk memulihkan dengan segera keamanan dan memupuk
kembali bibit-bibit perpaduan yang telah goyah.
5.0 KESIMPULAN
Hidup bermasyarakat, saling
menghormati, bertolak ansur dan mengukuhkan perpaduan merupakan faktor yang
sering dikaitkan dalam masyarakat Malaysia.
Sebelum mendapat kemerdekaan, masyarakat di Tanah Melayu, Sabah dan
Sarawak tidak mengenal erti perpaduan dalam masyarakat kerana mementingkan
hak-hak yang dianggap penting untuk kaum sendiri. Disebabkan penguasaan
penjajah, penduduk peribumi tidak dapat mentadbir tanah tumpah sendiri. Selain
itu, dasar pecah perintah yang diperkenalkan oleh penjajah telah memisahkan
kaum-kaum dan menetapkan ekonomi sara diri mereka. Dasar ini kelihatan tidak
adil kepada masyarakat peribumi itu sendiri kerana impak yang dihadapi masih
terasa sehingga masa kini. Perpaduan dalam masyarakat juga sukar dibentuk
kerana telah dipisahkan mengikut ekonomi sara diri.
Setelah pelbagai usaha dilakukan untuk mendapatkan
kemerdekaan, akhirnya perpaduan menjadi faktor utama dalam mencapai
kemerdekaan. Perpaduan yang terbentuk suatu ketika dahulu masih lagi kekal
sehingga ke hari ini. Menjadi asas dalam kemajuan negara, perpaduan merupakan
tiang kepada kemakmuran masyarakat yang pelbagai di Malaysia. Perpaduan dalam
hubungan etnik di Malaysia dipupuk dari bangku sekolah lagi. Minda generasi
muda cuba dipupuk dengan perpaduan sejak dari usia yang muda lagi. Selain itu,
usaha pemupukan unsur positif dalam hubungan etnik ini juga dilaksanakan dari
aspek sosial, politik dan ekonomi. Kerjasama yang sihat serta kesamarataan
dilakukan dengan sebaik-baiknya untuk mengelakkan berlakunya rasa tidak puas
hati sesetengah pihak. Semua yang dilaksanakan oleh kerajaan hanyalah untuk
mencapai kemakmuran.
Pemupukan hubungan etnik dalam masyarakat yang berpegang
teguh kepada aspek perpaduan pastinya dapat mengekalkan kemakmuran dalam
negara. Jika tidak dijaga, pastinya peristiwa 13 Mei 1969 dan Insiden Kampung
Medan 12 Mac 2001 akan berulang. Kesedaran rakyat Malaysia dalam menjaga
kemakmuran dan keharmonian negara perlulah pada peringkat yang paling utama.
Masyarakat perlu peka terhadap sensitiviti sesebuah kaum bagi mengelakkan salah
faham. Kehidupan masyarakat yang berbagai ini amat menarik sekali jika penuh
dengan rasa sayang, harmoni dan bersatu padu. Namun, nikmat tersebut boleh
hilang jika tiada kesedaran diambil dan perpaduan dipandang secara sambil lewa.
Oleh itu semua pihak yang mendiami tanah Malaysia ini haruslah sedar akan
kewujudan cabaran-cabaran yang boleh mengganggu gugat hubungan antara etnik.
Biarlah kita berasal daripada etnik yang
berbeza, namun identiti dan ideologi kita sebagai rakyat harulah sama dan tidak berbelah bagi.
Perpaduan yang ada ini sangat penting bagi kita dan masyarakat Malaysia
khususnya, supaya kelangsungan hidup kita mampu diteruskan dan kehidupan harmonis yang kita nikmati
sekarang akan terus berkekalan sehinggalah pada generasi yang mendatang.
No comments:
Post a Comment