1.0 PENDAHULUAN
Tugasan kali ini meminta
untuk membincangkan dan menghuraikan mengenai teori-teori etika. Tam Yeow Kwai
(1996; 5), mendefinisikan etika sebagai
garis panduan yang diwujudkan untuk mengawal, menjamin dan melindungi
segala tingkah laku yang bermoral. Etika yang diwujudkan adalah untuk mengawal
tingkah laku seseorang. Secara tidak lansung, etika turut menyentuh tentang
moral seseorang. Dari aspek Islam pula, etika yang telah wujud kepada manusia
ialah Al-Quran dan al-hadith. Pegangan teguh kepada Al-Quran dan al-hadith
sebagai panduan kepada kehidupan tidak dapat dipertikaikan. Ilmuan-ilmuan Islam
merumuskan bahawa manusia memerlukan dua unsur penting untuk berjaya iaitu unsur jasmani dan rohani. Kejayaan manusia di dunia tanpa keredhaan
Allah S.W.T adalah sia-sia. Keseimbangan unsur jasmani dan rohani akan
menambahkan keimanan kepada kekuasaan Allah S.W.T dan terus menjadikan Al-Quran
dan al-hadith sebagai etika hidup. Teori etika memberikan sebab-sebab atau
norma untuk menimbangkan sama ada satu tindakan betui atau salah dan cuba
memberi justifikasi atas norma itu. la memberikan asas kepada prinsip moral
atau garis panduan yang meliputi beberapa nilai yang tertentu. Prinsip ini pula
boleh digunakan untuk menentukan apakah tindakan harus dipilih dan lakukan
dalam sesuatu situasi yang tertentu. Oleh itu, tugas etika adalah menyediakan
garis panduan kepada tindakan yang tekal dengan anggapan umum tentang maksud
etika atau moral.
Teori etika
terdiri daripada dua pandangan utama, iaitu Teori Teologikal (Consequentialist
Theory) dan Teori Deontologikal (Non-consequentialist Theory). Pada prinsipnya,
kedua-dua teori ini bertentangan antara satu sama lain dalam menentukan
nilai-nilai sesuatu perlakuan moral. Tumpuan Teori Teologikal ialah hasil atau
akibat sesuatu tindakan manakala tumpuan Teori Deontologikal ialah tindakan
atau jenis tindakan itu. Seseorang ahli teologis akan menentukan sama ada
bercakap bohong adalah betul atau salah melalui akibatnya, tetapi seseorang
ahli deontologis akan melihat nilai betul salah sesuatu tindakan secara
intrinsik, iaitu sama ada berbohong itu merupakan tindakan baik atau buruk
tanpa menilai kesannya.
Selain itu, terdapat juga teori Kemoralan Sosial atau
kecenderungan untuk mengaitkan peraturan masyarakat dengan konsep etika iaitu
berkait rapat dengan peraturan masyarakat yang terdiri daripada tatahukum,
tatasusila atau tatatertib masyarakat. Ia juga menitikberatkan tanggungjawab
setiap individu bagi mematuhi perintah daripada sesebuah autoriti. Teori
Kemoralan Sosial mengutamakan kepentingan dan faedah masyarakat, bukan
kepentingan diri seseorang individu. Peraturan masyarakat biasanya
menyerupai tradisi, norma, kebiasaan
atau adat, kod etika, nilai dan pantang larang. Kesemua ini adalah bagi menjaga
kerukunan sosial. Contohnya, setiap kaum di negara ini mempunyai adat resam dan
pantang larang bagi menjamin keutuhan dan keharmonian sesebuah masyarakat.
Seterusnya ialah Teori Keperibadian Mulia. Teori ini
diperkenalkan oleh Aristotle bahawa
“kecenderungan untuk mencapai sesuatu tujuan akan menjadikan seseorang itu manusia yang sempurna”. Keperibadian
mulia ialah teori yang menekankan sifat peribadi untuk mencapai kehidupan yang
baik. Seseorang individu perlu mengetahui kualiti dan taraf hidup yang ia
inginkan. Matlamat ini akan menjadi piawai untuk individu itu menentukan
keadaan dirinya. Seterusnya, keperibadian mulia dianggap tidak dihasilkan di
dalam diri seseorang oleh alam semulajadi, yakni tidak dikudratkan atau
dilahirkan dengan sifat baik atau jahat. Sebaliknya, cara untuk memperolehi
atau memiliki keperibadian mulia adalah menerusi latihan dan pengamalan sehingga
menjadi satu kebiasaan yang menyenangkan dan menyeronokkan.
2.0 TEORI
Menurut Mardzelah Makhsin
(2007: 93) Teleologikal berasal daripada perkataan Yunani iaitu ‘telos’ yang
bererti sesudah, selepas ataupun kemudiannya. Menurut Vishalache Balakrishnan
(2008: 56) Teori Teleologikal mengatakan nilai betul atau salah bergantung
kepada kesan sesuatu perbuatan. Ertinya
jika perbuatan itu memberi lebih banyak kebaikkan maka ia perlu dilakukan.
Teori ini amat mementingkan hasil akibat sesuatu tindakan (konsekuensialisme).
Bagi ahli teologi, nilai moral adalah tindakan seseorang bergantung kepada
nilai bukan moral yang dihasilkan mereka. Oleh itu teori ini menetapkan apa
yang baik atau yang wajib secara bukan moral. Maka untuk mengentahui sama ada
apa yang dilakukan itu baik, betul atau wajib secara bukan moral
(Frankena,1973).
Teleologis juga mempunyai pandangan yang berbeza tentang
apa yang baik secara bukan moral. Ada yang berfikir seperti hedonis (mengenal
pasti apa yang baik dengan keseronokan dan yang buruk dengan keseksaan) dan ada
yang berfikir bukan seperti hedonis (mengenal pasti yang baik dengan kuasa, ilmu,
kesedaran diri, ketepatan dan lain-lain). Teleologis juga berbeza pendapat
tentang siapa yang menerima kebaikan atau keburukan. Oleh yang demikian
pelbagai teori teleologi telah wujud.
Antaranya ialah Utilitarianisme dan Egoisme. Utilitarianisme berasal
daripada perkataan “utility” yang bermaksud berguna. Menurut Ahmad Shukri Mohd.
Nain dan Rosman Yusoff (2003: 246) Teori Utilitarianisme menjelaskan kepada
manusia bahawa prinsip asas utiliti ialah memaksimumkan keseluruhan kebaikan,
ataupun prinsip kebaikan tertinggi untuk bilangan yang teramai. Individu patut
melakukan sesuatu tindakan yang menghasilkan kebaikan maksimum kepada setiap
orang atau membawa kebahagiaan maksimum kepada majoriti ataupun sesuatu
perlakuan itu dianggap baik atau benar mengikut kadar atau pertimbangan
kebahagiaan yang diharapkan dapat diperoleh sebagai contoh peperangan dan cara
peperangan dianggap wajar jika ia menghasilkan kebahagiaan dan kebaikan
melebihi kesengsaraan dan penderitaan yang dialami dalam situasi tertentu
dibenarkan melakukan perkara tidak baik demi mengelakkan berlakunya perkara
yang lebih buruk. (Vishalache Balakrishnan, 2008)
Orang yang mempelopori teori ini menurut Warnock ialah
Jeremy Bentham (1748-1832). Beliau telah memperkenalkan satu kaedah saintifik
untuk menganalisis kuantiti keseronokan iaitu kalkulus hedonistik. Beliau memperuntukkan setiap faktor dengan satu
nilai yang boleh dianalisis. Berdasarkan analisi tersebut, tingkah laku
bermoral dapat di tentukan. Tingkah laku yang dapat member kegembiraan dan
keseronokkan kepada semua pihak dikatakan satu tingkah laku yang baik dan
bermoral. Untuk menentukan tingkah laku
bermoral atau tidak, setiap unsur moral/nilai dianalisis, mengikut kuantiti
tertentu dari segi kesengsaraan dan keseronokannya. Agak sukar untuk menentukan tahap
keseronokkan (nilai betul) dan kesengsaraan (nilai salah) sesuatu tindakan itu
kerana mungkin sesuatu tindakan itu dianggap betul dan diterima oleh sesuatu
masyarakat tetapi dianggap salah dan tidak diterima oleh masyarakat lain. Bagi
menentukan salah atau betul sesuatu tindakan itu, aspek peraturan moral perlu
diambil pertimbangan sewajarnya. Untuk
menentukan keseronokkan dan kesengsaraan, sesuatu tindakan mestilah bersesuaian
dengan peraturan atau undang-undang moral universal. Undang-undang universal
ini mesti mengandungi tiga elemen penting iaitu yang pertama ialah sesuatu
prinsip atau peraturan mestilah diterima dan dipatuhi setiap masa. Kedua ialah menghormati manusia bukan
memperalatkan manusia. Yang terakhir ialah pihak yang bertanggungjawab menerima
tindakan sekiranya berada di tempat yang teraniaya. Ahmad Shukri Mohd. Nain dan
Rosman Yusoff (2003).
Seterusnya ialah Teori Egoisme, Menurut Vishalache
Balakrishnan, (2008: 58) Egoisme menekankan bahawa seseorang individu mempunyai
obligasi atau kewajipan moral untuk mengambil keputusan dan bertindak dengan
merujuk kepada ukuran moral yang meningkatkan kebajikan diri sendiri. Teori
egoisme adalah satu teori yang menyatakan bahawa sesuatu tindakan itu adalah
“betul” jika ianya membawa kebaikan kepada diri sendiri dan sesuatu itu “buruk”
jika ia membawa keburukan kepada diri sendiri. Egoisme di bahagikan kepada dua iaitu egoisme psikologi dan egoisme
etika. Egoisme psikologi ialah satu
teori deskriptif mengaitkan bagaimana orang melakukan tindakan. Egoisme etika pula
ialah memberitahu bagaimana mereka perlu bertindak. Ia di takrifkan sebagai
teori yang menganggap nilai baik itu menguntungkan diri sendiri dan nilai buruk
itu merugikan diri sendiri. Faktor egoisme individu ialah pengaruh alam sekitar
sosial sikap mengagumi diri sendiri dan psikologi yang menganggap adanya
ketiadaan jalan dalam motif dan dorongan.
Teori yang kedua pula ialah Teori Deontologi. Menurut
Mardzelah Makhsin (2007: 93) istilah Deontologi berasal dari perkataan Yunani deontos yang bermaksud tugas atau
tanggungjawab. Teori ini menafikan konsep Teori Teleologikal kerana golongan
deontologist ini ialah golongan yang tidak percaya dengan akibat. Menurut
Vishalache Balakrishnan (2008: 59) teori ini berlandaskan prinsip moral dan
kewajipan moral. Teori ini menegaskan bahawa betul atau salahnya sesuatu
tindakan itu tidak berdasarkan atau ditentukan oleh akibat-akibat tindakan
tersebut. Mengikut teori ini, nilai moral suatu tindakan tidak boleh dinilai ke
atas kesudahannya iaitu hasil atau kebaikan yang akan didapati kerana kesudahan
sesuatu tindakan adalah tidak jelas dan tidak dapat ditentukan hasilnya semasa
tindakan tersebut dibuat tetapi bergantung pada niat seseorang itu yang membuat
keputusan atau melakukan tindakan. Immanuel Kant, seorang ahli falsafah German
(1724-1804) yang pernah mengajar di University of Konigsberg di bahagian barat
Rusia merupakan seorang ahli falsafah yang sering dikaitkan dengan Teori
Deontologikal ini. Hal ini kerana, beliau percaya bahawa apa yang memberi nilai
moral kepada sesuatu tindakan bukan akibatnya kerana akibat-akibat tindakan
kita tidak sentiasa berada di bawah kawalan kita tetapi motif atau niat
tindakan kita adalah di bawah kawalan kita. Oleh itu, kita harus
bertanggungjawab secara moral atas motif kita untuk membuat kebaikan atau keburukan.
Teori Deontologikal ini terbahagi kepada dua aspek iaitu
deontologikal tindakan (eksistensialisme) dan deontologikal peraturan (prinsip
kewajipan). Eksistensialisme bermaksud kebebasan moral bertindak tanpa amanah,
paksaan dan larangan iaitu merangkumi aspek kebebasan; kebebasan jasmani,
kebebasan kehendak dan kebebasan moral. Eksistensialisme berasal daripada
perkataan existent yang bermaksud wujud atau ada. Deontologikal tindakan ini
dipelopori oleh Jean Paul Satre yang menekankan kebebasan iaitu manusia bebas
memilih tindakannya. Individu bebas buat
pilihan atau keputusan moral dan tidak
membenarkan pilihan atau keputusannya dipengaruhi orang lain. Eksistensialisme
juga dikaitkan dengan pilihan moral (First Hand Choice) iaitu membuat pilihan terus
dari akal rasional berdasarkan kepada sesuatu keputusan moral yang sentiasa
berubah, tidak universal, bersifat subjektif, tidak mutlak, tidak kekal dan
individualistik. Contohnya, seseorang individu tidak dilahirkan terus untuk
menjadi guru, tetapi merupakan pilihan individu tersebut untuk menjadi guru
atau pekerjaan lain. Begitu juga dengan pelaksaan tindakan lain oleh seseorang
yang dirasakan yakin dan betul untuk dilaksanakan. Aspek ini mementingkan
kebebasan individu untuk memilih tanpa dipengaruhi oleh faktor lain tetapi
masih dalam konteks rasional membuat pemilihan (Vishalache Balakrishnan, 2008:
63).
Menurut Abdul Rahman Aroff (1986) prinsip kewajipan pula
membawa maksud sesuatu tindakan dianggap bermoral jika dilakukan dengan
kerelaan hati atau tanggungjawab yang diakui. Erti kata lain, prinsip ini
menegaskan tanggungjawab dilaksanakan semata-mata kerana amalan itu merupakan
kewajipan. Sebagi contoh, menunaikan janji yang telah dikotakan. Seorang ayah
yang telah berjanji akan memberi hadiah atau ganjaran kepada anaknya sekiranya
berjaya di dalam peperiksaan, perlu menunaikan janjinya. Jika tidak si anak
akan hilang kepercayaan terhadap ayahnya dan berputus asa untuk meneruskan
kejayaannya kerana janji yang dikotakan tidak dilaksanakan. Bagi mengambil
sesuatu tindakan bermoral, kita perlu mempraktikkan formula berikut (Kebebasan
+ Keadilan + Kebijaksanaan + Pilihan (rujukan Maxim) =Tindakan Bermoral.) Tekad
baik dapat diterangkan lebih jelas dengan tindakan manusia dalam melakukan
tugas dan tanggungjawabnya semata-mata kerana desakan nilai dalaman yang
dipanggil ‘good will’ atau tekad baik dan bukan disebabkan oleh motif-motif
lain seperti ganjaran, hukuman atau tekanan. Jika seseorang melakukan tugas dan
tanggungjawabnya disebabkan keseronokan, simpati atau kasihan tetapi bukan
disebabkan ‘good will’, maka tindakannya dikatakan tidak mempunyai nilai moral
walaupun mendapat sanjungan dan pujian. (Ahmad Shukri Mohd. Nain dan Rosman
Yusoff, 2003).
Prinsip kewajipan terbahagi kepada dua kategori iaitu
categorikal imperative (perintah mutlak) dan practical imperative. Categorical
imperative atau perintah mutlak menerangkan perintah yang wujud tanpa sebarang
pengecualian atau syarat-syarat. Terdapat tiga prinsip utama dalam perintah
mutlak ini iaitu prinsip tersebut mestilah diterima secara umum, dapat
menghormati manusia dan pihak yang bertanggungjawab sanggup diperlakukan
sedemikian sekiranya dia berada dalam kedudukan teraniaya. Practical imperative
(Praktikal Imperatif) menyatakan bahawa kemanusiaan hendaklah sentiasa menjadi
matlamat dan bukan alat perlakuan individu. Malah, kemanusiaan adalah suatu
nilai intrinsik manusia. Contoh yang berkaitan dengan kehidupan seharian yang
boleh dikaitkan dengan categorical imperative atau perintah mutlak ialah situasi
semasa peperiksaan. Ramai yang mengetahui meniru atau menipu di dalam
peperiksaan merupakan satu tindakan yang salah, namun atas sifat mementingkan
diri dan ingin mencapai kejayaan dengan mudah masih ramai yang berani meniru
atau menipu di dalam peperiksaan. Perlakuan ini akan sentiasa dihina kerana ia
merupakan satu perbuatan yang tidak adil bagi individu yang jujur dan berusaha
untuk mencapai kejayaan. (Abdul Rahman Md. Aroff dan Chang Lee Hoon 1994).
Hasil daripada pembacaan dan pemahaman saya berkaitan
Teori Deontologikal ini, dapat saya ulaskan bahawa setiap tindakan yang
dilakukan diletakkan atas niat, tujuan dan motif, bukan pada apa yang
dilakukannya atau kesan dan akibat hasil daripada tindakannya. Setiap tindakan
yang diambil akan mempunyai nilai moral yang baik jika dilakukan atas kerelaan
hati dan motif tindakannya ialah satu tanggungjawab kepada masyarakat bukan
kerana paksaan atau desakan. Sekiranya disebabkan desakan atau paksaan,
tindakan tersebut mempunyai nilai moral yang buruk. Selain itu, setiap tindakan
yang dianggap betul dari segi moral tidak dianggap memadai jika dilakukan
semata-mata untuk kepentingan diri. Contohnya seperti menderma, menderma
merupakan satu tindakan yang baik dan setiap individu digalakkan untuk
menderma. Menderma juga dikatakan salah satu tindakan yang bermoral dan
mempunyai nilai yang baik jika dilakukan dengan penuh keikhlasan serta kerelaan
hati penderma. Namun, menderma masih menjadi tindakan bermoral tetapi mempunyai
nilai yang buruk jika berlaku desakan yang memaksa penderma untuk menderma.
Seterusnya ialah Teori Kemoralan Sosial, menurut
Vishalache Balakrishnan (2008: 47) Kemoralan Sosial merujuk kepada standard
atau ukuran moral dalam sesebuah masyarakat berdasarkan norma dan pantang
larang dalam masyarakat untuk menjaga kerukunan sosial. Ia juga menitikberatkan
tanggungjawab setiap individu bagi mematuhi perintah daripada sesebuah autoriti.
Teori Kemoralan Sosial mengutamakan mementingkan masyarakat secara umum, bukan
individu sebagai matlamat etika. Peraturan masyarakat biasanya menyerupai tradisi, norma, kebiasaan atau adat, kod
etika, nilai dan pantang larang. Kesemua ini adalah bagi menjaga kerukunan
sosial. Contohnya, setiap kaum di negara ini mempunyai adat resam dan pantang
larang bagi menjamin keutuhan dan keharmonian sesebuah masyarakat. Bagi saya,
ia banyak melibatkan amalan masyarakat. Teori ini banyak mementingkan nilai
yang pentingkan masyarakat dan bukan individu dalam mencapai matlamat moral.
Teori ini juga boleh dimaksudkan dengan peraturan moral yang dijadikan sebagai
satu kewajipan dan dikuatkuasakan oleh pemerintah supaya wajib diketahui. Peraturan
ini juga tidak membenarkan seseorang menilai dan mengkritik peraturan moral
yang telah ditetapkan oleh masyarakatnya.
Menurut Abdul Rahman Md. Aroff dan Chang Lee
Hoon (1994), teori ini banyak memberikan keburukan daripada memberikan
kebaikan. Antaranya ialah ia banyak menyekat kebebasan individu yang terpaksa
tunduk kepada peraturan yang dibuat oleh masyarakat. Selain itu juga, banyak
berlaku salah faham, konflik dan ketegangan kerana setiap masyarakat mempunyai
pandangan yang berbeza. Teori ini juga memberikan kesukaran masyarakat baru
untuk menyesuaikan diri dengan moral yang sedia ada kerana masa dan keadaan
telah banyak berlaku perubahan. Tambahan pula, teori ini mementingkan kepatuhan
individu kepada autoriti walaupun perkara itu bertentangan dengan kehendak hati
mereka. Perkara yang paling penting sekali ialah tidak semua peraturan yang
dibuat oleh masyarakat adalah baik dan bersesuaian. Tidak semua peraturan yang
dibuat oleh masyarakat adalah baik, terdapat juga peraturan yang dibuat oleh masyarakat
bersifat negatif dan membawa keburukan. Ini bermaksud, jika peraturan itu dibuat dengan keadaan yang
akan memberikan kesan yang positif, maka masyarakat akan banyak menerima.
Tetapi selalunya, perkara seperti itu sukar untuk berlaku. (Vishalache
Balakrishnan, 2008: 50)
Selain itu, Ia bersifat relatif, dimana semua masyarakat
atau komuniti mempunyai peraturan moral masing-masing. Peraturan moral satu
masyarakat boleh bertentangan dengan yang lain. Ini boleh mengakibatkan
berlakunya pepecahan dan membawa kepada ketegangan dan konflik sekiranya setiap
masyarakat terlalu agresif mempertahankan peraturan moral masing-masing. kedua,
kemoralan sosial juga mungkin menjadi terlalu ketat dan tidak fleksibel,
contohnya kesukaran menyesuaikan peraturan masyarakat dengan situasi baru dan
semasa. Peraturan yang konservatif dan mutlak tidak dapat membantu dan
membimbing seseorang menghadapi semua dilema moral baru kerana masa dan keadaan
sentiasa berubah. Menyekat kebebasan individu yang terpaksa tunduk kepada
peraturan yg dibuat oleh masyarakat.
Akhir Sekali ialah Teori Keperibadian Mulia, Menurut Ee
Ah Meng (1996) keperibadian mulia telah didefinisikan sebagai kualiti terbaik
atau istimewa dan mengutamakan sifat peribadi terhadap suatu kehidupan yang
bermoral. Teori ini diperkenalkan oleh Aristotle bahawa “kecenderungan untuk mencapai sesuatu
tujuan akan menjadikan seseorang itu
manusia yang sempurna”. Keperibadian mulia ialah teori yang menekankan sifat
peribadi untuk mencapai kehidupan yang baik. Seseorang individu perlu
mengetahui kualiti dan taraf hidup yang ia inginkan. Matlamat ini akan menjadi
piawai untuk individu itu menentukan keadaan dirinya. Seterusnya, keperibadian
mulia dianggap tidak dihasilkan di dalam diri seseorang oleh alam semulajadi,
yakni tidak dikudratkan atau dilahirkan dengan sifat baik atau jahat.
Sebaliknya, cara untuk memperolehi atau memiliki keperibadian mulia adalah
menerusi latihan dan pengamalan sehingga menjadi satu kebiasaan yang
menyenangkan dan menyeronokkan. (Vishalache Balakrishnan, 2008: 51).
Menurut Abdul Rahman Aroff (1986) konsep keperibadian
mulia bermula dengan masyarakat Yunani pada abad ke-4 SM dan salah seorang
pelopornya ialah Aristotle. Keperibadian mulia didefinisikan sebagai kualiti
terbaik atau istimewa (excellence). Terdapat dua jenis keperibadian mulia iaitu
keperibadian mulia intelektual dan keperibadian mulia moral. Keperibadian mulia
intelektual adalah kebaikan atau keistimewaan akal seperti kebolehan memahami
dan membuat taakulan yang baik. Aristotle menganggap bahawa sifat intelektual
ini boleh dipelajari daripada seorang guru. Sementara itu, keperibadian mulia
moral tidak terhasil dalam seorang individu secara semula jadi, iaitu seseorang
itu tidak dilahirkan dengan sifat baik dan jahat. Mengikut Aristotle,
keperibadian mulia mewajibkan kita bertingkah laku baik. Sifat-sifat ini tidak
dipelajari melalui ajaran seorang guru tetapi menerusi latihan,
tindakan-tindakan yang kerap diulang sehingga menjadi satu kebiasaan,
menyenangkan serta menyeronokkan.
Keperibadian mulia ialah teori yang menekankan sifat
peribadi untuk mencapai kehidupan yang baik. Teori ini berkait rapat dengan
”kaedah sikap baik” dan sifat-sifat seorang insan bermoral. Keperibadian mulia
ialah kecenderungan untuk sesuatu tujuan. Ia bukanlah perasaan atau kebolehan
dan kekuasaan manusia merasai kerana seseorang itu tidak boleh dipuji atau dikeji
dan dikatakan baik atau jahat hanya sebab perasaannya atau kerana dia berupaya
merasai. Keperibadian mulia dianggap tidak dihasilkan oleh alam semulajadi.
Sebaliknya cara untuk memperoleh keperibadian mulia adalah menerusi latihan dan
pengamalan sehingga menjadi satu kebiasaan yang menyenangkan dan menyeronokan.
Peribadi mulia tidak berlaku secara semulajadi, akan tetapi menerusi latihan
hingga menjadi satu kebiasaan dan menyeronokkan. Setiap keperibadian mulia
merupakan jalan tengah iaitu bermaksud tidak keterlaluan dan tidak terlalu
kurang. Tindakan yang berlebihan dan terlalu kurang adalah tindakan yang salah,
jahat buruk dan tercela. Cara yang betul ialah mengambil pendekatan secara
sederhana dan pertengahan. (Ahmad Shukri Mohd. Nain dan Rosman Yusoff, 2003:
113).
Walaubagaimanapun, banyak kritikan
yang diberikan terhadap teori ini. Pertama sekali, terdapat manusia seperti
nabi memiliki keperibadian mulia secara semulajadi. Keperibadian mulia juga
diperoleh melalui pemerhatian dan pergaulan. Teori jalan tengah sukar untuk
ditentu dan dipraktikkan. Hal ini demikian perbuatan sederhana berbeza antara
setiap individu. Selain itu, emosi manusia tidak boleh dianggap sebagai suatu
kuantiti yang boleh diukur secara berterusan. Sebagai contoh, dapat saya
berikan disini ialah dalam permainan bola sepak. Keperibadian yang mulia yang
ada pada setiap pemain dapat memastikan kelebihan pasukan itu. Kemahiran adalah
kebolehan seseorang itu melakukan tendangan yang bagus dan baik. Sebelum
menjadi tendangan yang bagus, setiap pemain perlu melakukan latihan yang banyak
dan betul. Jadi, sikap pemain perlulah positif dan berdisiplin. Pemain juga
perlu bersikap sederhana dan tidak berlagak. Jika berlagak selepas memenangi
sesuatu perlawanan, ia akan memberikan kesan yang buruk.
3.0 KESIMPULAN
Kesimpulannya, etika yang
wujud dalam manusia merupakan alat bagi sesuatu masyarakat untuk memimpin
individu dan kumpulan kecil dalam kehidupan mereka. Etika juga menjadi batu
pengukur bagi kelompok masyarakat untuk menilai seseorang dalam tingkah
lakunya. Selain itu, aspek etika bukan sahaja mewujudkan institusi kehidupan
sosial yang seimbang malahan dapat membantu membimbing individu berfikir secara
rasional dalam kalangan masyarakat supaya masyarakat dapat menerima perbuatan
atau pandangan seseorang individu. Penerimaan masyarakat dalam sesuatu perkara
amatlah perlu dan penilaian seseorang yang dipengaruhi etika yang seimbang
mewujudkan situasi yang harmoni. Selain itu, komuniti masyarakat akan lebih
berkembang dengan positif.
Secara keseluruhannya, tugasan ini mencakupi kesemua
teori-teori etika. Teori Teleologikal mengatakan nilai betul atau salah
bergantung kepada kesan sesuatu perbuatan.
Ertinya jika perbuatan itu member lebih banyak kebaikkan maka ia perlu
dilakukan. Selain itu, Teori ini amat mementingkan hasil akibat sesuatu
tindakan (konsekuensialisme). Bagi ahli teologi, nilai moral adalah tindakan
seseorang bergantung kepada nilai bukan moral yang dihasilkan mereka. Seterusnya
ialah teori Deontologikal, teori ini menafikan konsep Teori Teleologikal kerana
golongan deontologist ini ialah golongan yang tidak percaya dengan akibat.
Teori ini menegaskan bahawa betul atau salahnya sesuatu tindakan itu tidak
berdasarkan atau ditentukan oleh akibat-akibat tindakan tersebut. Mengikut
teori ini, nilai moral suatu tindakan tidak boleh dinilai ke atas kesudahannya
iaitu hasil atau kebaikan yang akan didapati kerana kesudahan sesuatu tindakan
adalah tidak jelas dan tidak dapat ditentukan hasilnya semasa tindakan tersebut
dibuat tetapi bergantung pada niat seseorang itu yang membuat keputusan atau
melakukan tindakan.
Teori seterusnya ialah Kemoralan Sosial (atau
kecenderungan untuk mengaitkan peraturan masyarakat dengan konsep etika)
berkait rapat dengan peraturan masyarakat yang terdiri daripada tatahukum,
tatasusila atau tatatertib masyarakat. Ia juga menitikberatkan tanggungjawab
setiap individu bagi mematuhi perintah daripada sesebuah autoriti. Manakala
yang terakhir sekali ialah Keperibadian mulia iaitu teori yang menekankan sifat
peribadi untuk mencapai kehidupan yang baik. Maksudnya di sini ialah
Keperibadian mulia didefinisikan sebagai kualiti terbaik atau istimewa
(excellence). Seseorang individu perlu mengetahui kualiti dan taraf hidup yang
ia inginkan. Matlamat ini akan menjadi piawai untuk individu itu menentukan
keadaan dirinya. Kesimpulannya, teori-teori etika ini sangat penting dalam
kehidupan seharian kerana untuk mengetahui dan memahami sikap seseorang kita
perlu mengetahui etika-etika yang patut diamalkan dan diterapkan. Sebagai
seorang guru, kita janganlah mengamalkan etika-etika yang membawa keburukan
kepada pelajar yang dididik kerana peranan guru dalam membentuk modal insan
sangat penting.
No comments:
Post a Comment