1.0 PENGENALAN
Kelahiran Islam di kota Makkah dan
kemunculan kerajaan Islam pertama di Madinah merupakan detik bersejarah
kelahiran satu tamadun baru yang telah merubah sejarah dunia. Menurut Azam
& Zulekha (1990), kemunculan tamadun Islam dianggap unik kerana tamadun ini
lahir dan berkembang di tempat yang terpencil di kawasan padang pasir yang
panas dan kering kontang, iaitu di Hijaz. Dalam tempoh waktu yang singkat,
kuasa besar Rom dan Parsi yang dulunya memandang remeh terhadap bangsa Arab
kini terpaksa tunduk kepada kekuasaan Islam. Oleh itu dari abad ke 7 hingga ke
18 Masihi, dunia telah didominasi dan dicorak oleh tamadun Islam. Dalam jangka
masa tersebut khususnya pada abad ke 9 hingga ke 13 Masihi, sejarah telah
merakamkan bagaimana tamadun Islam telah melahirkan ramai sarjana ulung dalam
berbagai ilmu pengetahuan.
Pada waktu itu kemajuan ilmu sains dan
teknologi serta ilmu-ilmu yang lain yang dimiliki oleh dunia Islam tiada dapat
ditandingi oleh mana-mana bangsa atau negara. Di setiap ibu kota pemerintahan
Islam khususnya Baghdad (di Asia), Cordova (di Eropah) dan Iskandariah (di
Afrika), kegiatan keilmuan dan kebudayaan berlaku dengan bersemarak serta
disertai segenap lapisan masyarakat. Di sepanjang sejarah kegemilangan tamadun
Islam, para sarjana Muslim dan sarjana non-Muslim yang bernaung di bawah
pemerintahan Islam telah berjaya membuat kemajuan dan pencapaian dalam bidang
ilmu pengetahuan serta sains dan teknologi. Oleh yang demikian, terdapat banyak
sumbangan sejarah Islam terhadap pembangunan di Malaysia.
2.0 SUMBANGAN SEJARAH ISLAM TERHADAP
PEMBANGUNAN DAN KECEMERLANGAN MALAYSIA.
Diceritakan secara ringkas, kemunculan
kerajaan-kerajaan Islam seperti kerajaan Umaiyyah, kerajaan Abbasiyyah,
kerajaan Uthmaniyyah Turki, Empayar Moghul India, dan Kesultanan Melaka telah
menjadi antara empayar yang terkuat dan terbesar di dunia. Tempat pembelajaran
ilmu yang hebat telah mewujudkan satu Tamadun Islam yang agung. Banyak
ahli-ahli sains, ahli-ahli falsafah dan sebagainya muncul dari negeri-negeri
Islam terutamanya pada Zaman Keemasan Islam.
Secara umumnya, Kemunculan Islam
sebagai kuasa baru dalam ketamadunan telah mengubah dunia Arab termasuk juga
Eropah, Afrika, Asia dan Nusantara Melayu. Sebelum kewujudan Islam kehidupan
masyarakat hanyalah berpaksikan keegoaan, perbalahan dan nilai kemanusiaan di
tahap yang paling rendah (Azam, 1987). Namun, selepas kedatangan Islam
kehidupan masyarakat beralih kepada peradaban yang lebih tinggi peningkatan
keilmuaan dan ketinggian darjat seseorang Manusia. Semenjak Islam bertapak di
Malaysia, pelbagai perubahan telah berlaku. Negara ini lebih berkembang serta
membangun dengan berpandukan agama Islam. Menurut Azam dan Zulekha (1990), antara
sumbangan yang terbesar terhadap pembangunan dan kecemerlangan Malaysia ialah
Islam sebagai Agama Rasmi Persekutuan, budaya ilmu, pemikiran masyarkat,
penerapan nilai-nilai Islam, masyarakat madani, Islam Hadhari dan konsep
kesederhanaan (Wassatiyah).
2.1 Islam Sebagai Agama Rasmi Persekutuan
Sejarah telah membuktikan dengan
kemasukkan Islam ke Tanah Melayu adalah bermula daripada era Parameswara iaitu
pada zaman Kerajaan Melayu Melaka. Sekitar kurun ke 15, undang-undang Islam
yang dikenali sebagai Hukum Kanun Melaka yang mengandungi unsur-unsur adat
serta perkara-perkara sivil dan jenayah telah diguna pakai. Agama Islam telah
diberikan kedudukan yang istimewa berbanding dengan agama lain seperti yang
telah termaktub dalam Perlembagaan Perkara 3 (1). Agama Islam merupakan agama
rasmi Persekutuan, namun agama-agama lain pula bebas untuk dianuti oleh
penganut-penganutnya. Agama Islam diberikan keistimewaan kerana ia merupakan
kesinambungan daripada apa yang wujud dalam perlembagaan bertulis negeri-negeri
Melayu sebelumnya seperti Perlembagaan Negeri Johor 1895 dan Negeri Terengganu
1911. Peruntukkan mengenai Islam ini diberi keutamaan dari segi urutan
peruntukan dalam perlembagaan. (Zaini Nasohah, 2004).
Peruntukan ini bukan sahaja mengakui
agama Islam sebagai agama yang agong, tapi juga memberi ruang dan kebebasan
kepada rakyat berbilang kaum untuk mengamalkan agama masingmasing di Negara
ini. Menurut Azam (1987), selepas agama Islam bertapak di Tanah Melayu,
pelbagai perubahan terhadap Undang-Undang telah dijalankan iaitu dengan berpaksikan
kepada Al-Quran dan sunnah. Berdasarkan perubahan ini, kedudukan Tanah Melayu
pada ketika itu menjadi lebih kukuh dan menjadi tarikan kepada
pedagang-pedagang Arab. Hal ini demikian, menyebabkan Tanah Melayu lebih maju pada
ketika itu. Undang-undang Islam juga masih dikekalkan sehinggalah sekarang
malah ia menjadi lebih kukuh lagi di Negara Malaysia.
2.2 Budaya Ilmu
Kedatangan Islam ke Malaysia telah
membawa impak yang amat besar kepada pendidikan di Negara ini. Pengaruh Islam
bukan sahaja boleh dilihat pada institusi pendidikan dan strukturnya seperti madrasah, sekolah agama, universiti
teras Islam dan sebagainya di Negara ini, malah juga boleh dilihat dari segi
aspek ilmu yang diajar seperti ilmu syariah yang meliputi bidang seperti
usuluddin, fiqah dan tasawuf, serta guruguru dan muridmurid yang menuntut
ilmu agama Islam, di mana guruguru pada zaman kedatangan Islam di tanah Melayu
kebanyakan terdiri daripada bangsa Arab, Turki, India dan sebagainya. Manakala
muridmurid yang menuntut pula meliputi segenap lapisan masyarakat, dari raja-raja
sehingga ke rakyat jelata. Berkat perkembangan pesat dan pengaruh mendalam
agama Islam dari segi pendidikan di Tanah Melayu, maka lahirlah ulama berbangsa
Melayu seperti Nuruddin alRaniri dengan kitabnya Hidayah alIman dan Sirat
alMustaqim. (Mahayudin, 1998).
Menurut Mahayudin (1998), sistem
pendidikan Islam di Malaysia merangkumi pendidikan formal dan pendidikan tidak
formal. Pendidikan formal adalah pendidikan yang didapati dari institusi
pendidikan agama seperti sekolah, surau, madrasah dan sebagainya. Sistem
pendidikan formal berasaskan bidang pengajian Islam sepeti fiqah, tafsir,
sejarah Islam, tauhid dan akhlak. Manakala
pendidikan tidak formal
pula adalah pengajaran
yang berlaku secara langsung
dalam kehidupan seharian seseorang muslim tersebut. Pendidikan jenis
tidak formal ini merangkumi cara berfikir, amal, kecergasan muslim dalam bidang
ekonomi dan sebagainya. Pendidikan tidak formal biasanya diberi secara lisan
dan diwarisi turun temurun. (Amir, 1990)
Institusi pendidikan agama termasuklah
istana, surau, masjid, madrasah, sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi Islam,
pusatpusat latihan dakwah, Institut
Kemahiran Islam Malaysia, pembiayaan kerajaan untuk kelaskelas fardhu
ain dan sebagainya. Kewujudan institusi pendidikan agama Islam di Negara ini
yang bagai cendawan tumbuh adalah simbolik kepada kekuatan ke dalam pengaruh
Islam terhadap pendidikan di Negara ini. Pendidikan dan ajaran Islam juga telah
menjadi rujukan setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama, malah
di sekolah, tiada had dan paksaan bahawa hanya pelajar Islam sahaja yang boleh
mempelajari ilmu tersebut. Maka tidak hairanlah apabila ada masyarakat bukan
Islam yang mahir selok belok undangundang Islam serta cara hidup orang Islam
di Malaysia. Oleh kerana pengaruh dan peranan Islam dalam sistem pendidikan Malaysia, membolehkan masyarakat
majmuk di Malaysia hidup dalam suasana yang harmoni kerana wujudnya
persefahaman. (Amir, 1990)
2.3 Pemikiran Masyarakat
Selain itu juga sejarah Islam telah
menyumbang kepada kecemerlangan dan pembangunan di Malaysia melalui pemikiran
masyarakat pada masa kini. Menurut Abdul Rahman (2008), sebelum kedatangan
Islam masyarakat di Tanah Melayu mengamalkan animisme. Umumnya, animisme ialah
penyembahan atau kepercayaan kepada makhluk-makhluk halus dan roh. Mereka
mengamalkan animisme kerana hubungan yang kehidupan manusia sering dipengaruhi
oleh keadaan persekitarannya seperti udara, iklim dan sebagainya. Mereka
mewujudkan satu kepercayaan yang kebanyakannya dipengaruhi oleh faktor
persekitaran.
Agama Islam datang ke Tanah Melayu
dan berkembang di Kepulauan Melayu
selepas pengaruh Hindu mulai merosot
pada abad ke 13 dan abad berikutnya. Pengaruh Islam banyak membentuk peradapan
dan budaya masyarakat Melayu lebih bersederhana dan bersopan santun. Kedatangan
Islam ke alam Melayu selain membawa ajaran Islam berupa aqidah, ia juga telah
mengembangkan konsep Islam iaitu ad- Din sebagai cara hidup iaitu melalui
pemikiran masyarakat. Kemudiannya, selepas kemasukkan agama Islam, banyak
masyarakat tertarik dengan ajarannya. Agama islam ini telah mempengaruhi adat
resam yang diamalkan sebelum kemasukkan Islam. Malah, Islam membawa sistem
nilai sosial yang berbeza dengan sebelumnya. Penyesuaian unsur-unsur Hindu dengan
Islam dilakukan untuk mengelakkan amalan ini bertentangan dengan ajaran Islam. (Azhar,
2002).
Ajaran
Islam juga menekankan kesamarataan semua manusia adalah sama dan tiada beza
antara setiap manusia walaupun mengikut bangsa, warna kulit dan lain-lain. Menurut
Zaini (2004), agama Islam juga telah menghapuskan sistem nilai sosial yang
berasaskan perbezaan taraf iaitu sistem kasta. Gagasan bahawa semua umat Islam
yang beriman dan bersaudara menjadi prinsip ke arah perpaduan masyarakat. Sebagai
contoh orang asing yang beragama Islam adalah bersaudara dengan orang tempatan
yang beragama Islam. Pada masa kini juga adat resam dalam masyarakat banyak
dipengaruhi oleh unsur-unsur Islam seperti adat bercukur, adat perkahwinan dan
sebagainya. Banyak aspek Islam diamalkan seperti membayar zakat, bekerjasama,
bergotong-royong dan kekeluargaan. Kesimpulannya, pemikiran masyarakat di
Malaysia telah berjaya diubah selepas kemasukkan agama Islam.
2.4 Penerapan Nilai-Nilai Islam
Sumbangan lain yang telah dibawa oleh
sejarah Islam terhadap pembangunan dan kecemerlangan Malaysia ialah melalui penerapan
nilai-nilai Islam yang boleh dilihat dalam pentadbiran serta sosial. Menurut
Abdul Rahman (2008), dasar penerapan nilai-nilai Islam ini telah dicetuskan
oleh Dr. Mahathir Mohammad pada tahun 1982. Fenomena kebangkitan Islam di
seluruh dunia menjadi salah satu faktor utama yang menjadi pencetus pelaksanaan
Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam di Malaysia.
Bagi masyarakat Malaysia yang terdiri
daripada berbagai kaum dan agama dan menjalani cara hidup yang berbeza-beza,
pengamalan nilai-nilai yang dapat diterima oleh semua rakyat adalah menjadi
asas penting dalam usaha ke arah membentuk identiti dan perpaduan. Tanpa nilai
yang universal ini rakyat akan terdorong untuk menerima dan menyanjung
nilai-nilai lain yang sangat asing bagi masyarakat Malaysia. Ini akan
menyebabkan kesetiaan rakyat Malaysia serta identitinya sebagai satu
warganegara akan menjadi kabur dan maruah bangsa tidak dijunjung tinggi dan
mungkin mereka akan memperkecil-kecilkan negara dan bangsa sendiri. Dengan itu
rakyat Malaysia haruslah mempunyai identitinya sendiri dengan setiap individu,
organisasi dan semua sektor yang melaksanakan pelbagai aktiviti menjalankan
kerja yang boleh memberikan sumbangan kepada kesejahteraan negara. (Azam, 1987).
Di Malaysia, penerapan nilai-nilai
Islam dalam pentadbiran telah dicetuskan oleh Dr. Mahathir. Dasar Penerapan
Niai-Nilai Islam ini bertujuan untuk membentuk sesebuah masyarakat Malaysia
yang bermaruah, beridentiti kukuh dan disegani oleh masyarakat lain. Malah,
penerapan nilai-nilai Islam ini juga mampu menghapuskan sikap yang negatif
dalam masyarakat Malaysia dan menyumbang kepada sebuah ‘negara bahagia’. Contoh yang dapat dilihat ialah usaha-usaha
bagi menubuhkan Universiti Islam Antarabangsa, penubuhan institusi kewangan
bercorak Islam seperti Bank Islam dan Syarikat Takaful iaitu syarikat insurans
yang bercorak Islam. Begitu juga Undang-undang Keluarga Islam telah mula
dijalankan di beberapa buah negeri di Malaysia. Ini merupakan langkah-langkah
besar yang memberi kesan ke atas masyarakat Islam di Malaysia, malah menjadi
contoh kepada negara-negara Islam yang lain dalam menghadapi tuntutan-tuntutan
hidup zaman moden. (Azhar, 2002)
Agama Islam merupakan elemen yang
penting dalam tamadun Melayu. Oleh itu, umumnya Islam dan adat Melayu menjadi
salah satu struktur terpenting kemelayuan dalam Tamadun Malaysia. Islam dan
adat Melayu menjadi satu struktur yang saling melengkapi dan berintegrasi ke
dalam wardah kemelayuan. Malah, Islam terus menjadi teras bagi identiti Melayu.
Oleh itu, dapat dilihat bahawa sejarah Islam telah membantu dalam membangunkan
Negara Malaysia berdasarkan dasar penerapan nilai-nilai Islam.
2.5 Masyarakat Madani
Konsep “masyarakat madani” merupakan
penterjemahan atau pengislaman konsep “civil society”. Menurut Niels (2005), masyarakat
madani boleh didefinisikan sebagai sebuah masyarakat yang mempunyai budaya,
maju dan moden. Malah, masyarakat madani ini juga menyedari dan mengetahui
hak-hak serta kewajipannya terhadap Negara, bangsa dan agama. Anwar Ibrahim
merupakan orang pertama yang menyentuh mengenai masyarakat madani di Malaysia. Melainkan
itu, masyarakat madani juga telah lama wujud semenjak zaman Rasulullah S.A.W
lagi. Gerakan Rasulullah dalam membangun masyarakat Madinah pada tamadun Islam sangat
tersusun rapi dalam satu sistem yang terkonsep, yang dapat disebut sebagai
konsep Madani, yakni sebuah model yang merujuk bagaimana Rasulullah s.a.w dalam
membangun kerangka masyarakat Madinah (Azam dan Zulekha, 1990).
Malah,
masyarakat yang dibangun berpaksikan tiga landasan utama iaitu masyarakat yang
berlandaskan pada integrasi moral, yang berasaskan masjid serta berdasarkan kapasiti
ilmu yang dilambangkan oleh gerakan keilmuan dan hukum (Piagam Madinah) dan mengembangkan
kualiti jaringan yang dilambangkan dengan persaudaran sahabat dan surat-surat
kepada raja-raja semenanjung Arab. Aspek ini telah diserap masuk kedalam
pembangunan masyarakat madani di Malaysia. Dengan berpaksikan kepada aspek
berikut maka masyarakat yang bersatu padu dapat dilahirkan. (Niels, 1990).
Masyarakat
madani ini kemudiannya mempengaruhi perkembangan dan kegemilangan di Malaysia.
Sebagai contoh, di Malaysia istilah masyarakat madani telah disebut pada
awalnya oleh Anwar Ibrahim. Tujuan Masyarakat madani ini diperkenalkan bagi
ialah untuk mewujudkan kehidupan yang lebih demokrasi sebagai salah satu aspek
yang dilihat dalam masyarakat madani. Kehidupan masyarakat madani juga
mempunyai sistem politik yang lebih kukuh. Hal ini dapat dilihat daripada aspek
kehidupan masyarakat madani yang memiliki tingkat kemampuan dan kemajuan
masyarakat yang tinggi untuk bersikap kritis dan aktif dalam menghadapi
pelbagai persoalan sosial. Maka jelas dapat dilihat bahawa sejarah Islam telah
mempengaruhi perkembangan dan kecemerlangan Malaysia.
2.6 Islam Hadhari
Seterusnya Islam Hadhari yang telah
diadaptasi melalui Sejarah Islam iaitu melalui tamadun yang telah berlalu pada
suatu ketika dahulu. Dari segi istilah, perkataan “hadhari” membawa maksud
“yang bertamadun” atau Islam yang menekankan aspek tamadun. Secara umumnya, Islam
Hadhari membawa maksud ajaran Islam yang membawa fokus kepada kehidupan untuk
meningkatkan kualiti hidup masyarakat bertamadun dan mempunyai peradaban yang
unggul bagi menghadapi cabaran alaf baru seperti ledakan maklumat, dunia tanpa sempadan,
ekonomi global, budaya meterialisme, krisis identiti, jati diri serta
penjajahan pemikiran (Abdullah, 2006). Pendekatan Islam Hadhari, tidak menolak
pentingnya aspek ritual dalam pembinaan tamadun. Ini kerana pandangan hidup,
sistem nilai, kestabilan jiwa dan kemajuan rohaniah merupakan tonggak kepada
pembinaan tamadun yang luhur (Abdul Rahman, 2008).
Menurut
Abdullah (2006), objektif utama Islam Hadhari diperkenalkan ialah untuk melahirkan
individu dan masyarakat yang mempunyai kekuatan spiritual (rohani), akhlak,
intelektual, material, mampu berdikari, berdaya saing, melihat ke hadapan,
inovatif serta cekap menangani cabaran-cabaran semasa secara bijaksana,
rasional, praktikal dan damai. Daripada objektif ini, masyarakat yang berijiwa
kental dalam menghadapi masalah-masalah Negara akan dilahirkan. Malah, Islam
Hadhari ini turut melahirkan masyarakat yang seimbang dari segala aspek. Islam
Hadhari ini turut menggalakkan lahirnya masyarakat membangun dan memiliki ilmu,
berkemahiran dan berketrampilan serta tergambar sebagai golongan yang
berakhlak, berbudi dan berbudaya yang berpaksikan kepada kepercayaan Agama.
Demikian, masyarakat yang berketerampilan serta sering merujuk kepada hokum
agama sebelum melakukan sesuatu perkara. (Abdul Rahman, 2008).
Selain
itu, menurut Abdullah (2006), Islam Hadhari turut mengariskan 10 prinsip utama
iaitu keimanan dan ketaqwaan kepada Ilahi, kerajaan adil dan beramanah, rakyat
berjiwa merdeka, penguasaan ilmu pengetahuan, pembangunan ekonomi yang seimbang
dan komprehensif, kehidupan berkualiti, pembelaan hak kumpulan minoriti dan
wanita, keutuhan budaya dan moral, pemeliharaan dan pemuliharaan alam semula
jadi dan kekuatan Pertahanan dan Perpaduan. 10 prinsip ini telah dijadikan
sebagai panduan dalam pembangunan dan kecemerlangan Malaysia dari segenap
aspek. Ia menekankan kebijaksanaan, sifat praktik, dan keharmonian serta
menggalakkan kesederhanaan atau pendekatan seimbang terhadap kehidupan, tanpa
menyimpang daripada asas-asas al-Quran, contoh-contoh dan pepatah-pepatah Nabi
Muhammad (Azhar, 2002).
2.7 Konsep Kesederhanaan (Wasatiyyah)
Melainkan itu, sejarah Islam turut
mengajar masyarakat di Malaysia untuk mengamalkan sikap kesederhanaan ataupun
wasatiyyah (Azam, 1987). Sejak daripada peringkat awal kehadiran Islam ke
bahagian dunia ini, telah banyak faedah dan kesan pembangunan positif dinikmati
oleh penduduk di kawasan ini. Pandangan hidup yang berteraskan kepada petunjuk
wahyu Ilahi dan daripada lipatan sunah dan sirah Rasulullah SAW telah
menggantikan segala kepercayaan, kebudayaan dan sistem kehidupan yang tidak
berasaskan kepada ilmu dan kebenaran yang ada dalam masyarakat (Azhar, 2002).
Umumnya,
kehadiran Islam ke rantau ini telah memastikan umat Islam dan bukan Islam
mendapat banyak faedah yang bertali arus daripada kesan pembangunan rohani dan
jasmaninya yang sangat bermakna kepada negara kita (Azam & Zulekha, 1990). Pegangan
hidup yang berteraskan wahyu Ilahi yang dijelmakan dalam al-Quran dan Sunnah,
telah menggantikan kepercayaan, kebudayaan dan sistem kehidupan yang tidak
berasaskan kepada ilmu dan kebenaran . Malah, menurut Azhar (2002), kehadiran
Islam di Nusantara amnya dan Malaysia khasnya telah melahirkan masyarakat yang
moderate berteraskan prinsip wasatiyyah atau kesederhanaan berlandaskan
perpaduan dan keadilan.
Menurut
Azam (1987), kemuncak manifestasi Islam berteraskan konsep wasatiyyah di
Malaysia dapat dilihat menerusi pelaksanaan sistem yang berteraskan Islam dalam
segenap aspek kehidupan seperti keagamaan, kemasyarakatan, politik, ekonomi,
perundangan, pendidikan, kesenian, kebudayaan, perkembangan ilmu dan sebagainya
dalam masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia. Ia dapat memastikan
masyatakat yang seimbang dalam semua aspek dilahirkan. Masyarakat yang
cemerlang perlulah seimbang dari segala aspek agar Negara kita menjadi semakin
maju.
Menurut
Azam & Zulekha (1990), konsep wasatiyyah juga dapat membina masyarakat
berbilang kaum yang hidup bersama secara harmoni dan hormat-menghormati antara
satu sama lain. Orang bukan Islam bukan sahaja dibenarkan mempraktikkan agama
mereka, malah bebas mengamalkan budaya dan adat resam mereka. Konsep Wasatiyyah
ini juga berasaskan kepada kebenaran dan keadilan menjadikan pendakwah zaman
silam saling menghormati pegangan mazhab masing-masing, kerana mereka tahu
sempadannya (Abdul Rahman, 2008).
Secara
keseluruhannya konsep wasatiyyah ini telah mengajar masyarakat untuk sentiasa
bersikap bersederhana dari segala aspek. Malah, konsep kesederhanaan ini turut
membantu melahirkan masyarakat yang harmonis dan saling hormat-menghormati
anatara satu sama lain.
No comments:
Post a Comment