NILAI MORAL DALAM AGAMA
ISLAM : KEBAIKAN DAN KESAN.
Islam adalah agama yang diturunkan oleh Alah S.W.T. kepada umat manusia
bermula daripada Nabi Adam A.S sehinggalah junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.
. Ismail (2008) dari segi bahasa, islam berasal daripada perkataan arab yang
membawa maksud selamat dan sejahtera, manakala dari sudut istilah pula membawa
makna menyerah diri kepada Pencipta Allah S.W.T. yang Maha Berkuasa dan
mentauhidkan Allah S.W.T. sebagai pencipta, pemilik dan penguasa alam ini.
Manusia yang berpegang kepada ajaran islam wajib mentaati perintah Allah dan
menjauhi segala larangan-Nya. Misalnya menunaikan rukun islam dan rukun iman
yang merupakan asas kepada islam itu sendiri. sebagai umat islam, menjadi satu
kewajipan untuk berpegang kepada
Al-Quran dan As-Sunnah kerana kedua-dua ini merupakan pedoman sehingga
akhir akhirat.
Mohd Liki (2006) Islam
merupakan satu agama yang syumul kerana di dalam islam telah terbina dengan
lengkapnya syariat yang cantik. Hal ini kerana, bermula daripada celiknya mata
sehingga pejam semula penuh dengan syariat islam yang boleh diamalkan. Syariat
ini merangkumi individu, kekeluargaan, masyarakat dan kenegaraan yang
memastikan wujudnya hubungan manusia dengan Allah S.W.T. dan manusia dengan
manusia. Inilah yang menjadikan islam berbeza dengan agama lain. Setiap
peraturan dan undang-undang yang dilaksanakan adalah bertujuan untuk melahirkan
seorang insan yang mulia dan bermoral mengikut landasan agama islam.
Selain itu, dalam
mempelajari islam, asas yang paling penting untuk dipelajari terlebih dahulu
ialah Rukun Islam. Mustafa (2004) Rukun Islam ada lima perkara dan setiap
satunya wajib dilaksanakan secara total. Antara rukun tersebut ialah mengucap
dua kalimah syahadah, menunaikai solat lima waktu sehari semalam, berpuasa di
bulan Ramadhan, menunaikan zakat dan menunaikan haji bagi yang berkemampuan.
Oleh itu, rukun-rukun ini tidak boleh diingkari setiap satunya kerana akan memberi kesan terhadap diri individu
tersebut. Perkara ini adalah antara perkara pertama yang akan dihisab Allah
S.W.T. di akhirat kelak.
Sehubungan dengan itu,
selepas Rukun Islam barulah Rukun Iman. Rukun ini ada enam perkara dan setiap
muslim wajib beriman dengan rukun iman ini. Zaini (2004) Antara yang terkandung
dalam rukun ini ialah beriman kepada Allah, beriman kepada malaikat, beriman
kepada kitab-kitab, beriman kepada rasul, beriman kepada qadak dan qadar dan
beriman dengan hari akhirat. Beriman dan bertaqwa kepada Allah adalah wajib
kerana Allah adalah segala-galanya yang maha sempurna. Beriman kepada malaikat
pula adalah percaya bahawa malaikat itu wujud dan melaksanakan tugas-tugas
mereka. Manakala beriman kepada kitab-kitab ialah percaya dengan kitab-kitab
yang diturunkan Allah kepada rasul-rasulnya yang terdahulu sehingga Nabi
Muhammad S.A.W. adalah benar. Seterusnya beriman kepada rasul adalah percaya
dengan syariat yang dibawa oleh setiap nabi dan rasul serta mukjizat-mukjizat
yang diberikan Allah kepada mereka. Diikuti beriman kepada qadak dan qadar
Allah yang telah ditentukan. Akhir sekali ialah beriman dengan hari akhirat
yang pastinya akan berlaku suatu hari nanti. Justeru inilah asas yang perlu
dipegang dengan kuat oleh penganut agama islam.
Mohd Fadli (2004) Al-Quran
dan hadis adalah dua perkara lagi yang menjadi pedoman dan panduan utntuk umat
manusia agar tidak tersesat. Al-Quran merupakan kalam Allah yang diturunkan
Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W. melalui Malaikat Jibril A.S.. Kandungannya
adalah kata-kata Allah yang menyebut tentang syariat-syariat, ilmu-ilmu untuk
dikaji dan kisah-kisah umat terdahulu agar manusia berfikir dan menjadikannya
iktibar. Manakala hadis pula segala perbuatan dan kata-kata Nabi Muhammad
S.A.W. . Hadis juga terbahagi kepada dua yakni yang menerangkan isi kandungan
Al-Quran dan kata-kata Nabi Muhammad sendiri. Sesungguhnya daripada kedua-dua
inilah ilmu manusia berkembang dan beberapa cabang ilmu dalam islam terhasil
yang antaranya ialah tauhid, sirah, fiqah, hadis, tafsir dan akhlak.
Tambahan pula, dalam islam
wujud dua jenis amalan fardhu. Yang pertama ialah Fardhu Ain dan kedua Fardhu
Kifayah. Mohd Fadli (2004) Fardhu Ain ialah amalan yang wajib dilaksanakan
secara individu oleh semua umat islam. Jika tidak dilaksanakan, maka hukumnya berdosa.
Antara amalan Fardhu Ain ialah seperti beristinjak, solat lima waktu, puasa
pada bulan Ramadhan, zakat dan menunaikan haji. Manakala amalan Fardhu Kifayah
ialah amalan yang perlu dilaksanakan oleh sebahagian anggota masyarakat bagi
mengelakkan keseluruhan masyarakat mendapat dosa kerana tidak melaksanakannya.
Contohnya seperti pengurusan jenazah, menguasai ilmu-ilmu profesional seperti
perubatan, pembinaan, pentadbiran, politik, ekonomi dan sebagainya. Oleh yang
demikian, maka tidak adalah yang ketinggalan dan umat Islam sentiasa bersedia
dan berada di hadapan.
Seterusnya
perkara yang menarik tentang agama Islam ialah mengenai kemampuannya
meningkatkan akhlak penganutnya.Menurut Ismail (2008) Kemampuan ini dapat
dilihat daripada dua sumber asas agama Islam, iaitu Al-Quran dan Sunnah, di
mana ia menjadi panduan tetap dan dominan bagi umat Islam menjalani kehidupan
seperti mana yang dikehendaki oleh Islam itu sendiri. Isi kandungan Al-Quran
yang tidak dapat dipatahkan kebenarannya, dan peraturan-peraturan yang tegas
namun sesuai dengan fitrah alam adalah bukti mengapa ia mampu meningkatkan
akhlak penganutnya. Allah SWT sebagai Tuhan yang Maha Esa dan Pencipta kepada
alam ini adalah satu-satunya Zat yang Maha Mengetahui keadaan dan kemampuan
makhluknya ciptaannya sudah mengatur panduang untuk berjalan di atas jalan yang
lurus.
Sunnah pula ialah segala maklumat
yang berasal dari junjungan besar umat Islam, iaitu Nabi Muhammad. Selepas Al-Quran, Sunnah adalah sumber kedua
maklumat dan panduan kehidupan orang Islam. Banyak ilmu, nasihat, panduan, dan
kelakuan Nabi Muhammad yang sepatutnya dicontohi oleh umat Islam. Kehidupan
suci murni Nabi Muhammad yang tercatat pada ruang sejarah menjadi bukti betapa
seseorang yang mengikuti cara Nabi Muhammad sahaja yang akan berjaya. Cara yang
selain dari cara Nabi Muhammad akan mendatangkan kegagalan di dunia,
lebih-lebih lagi di akhirat. Hal ini menunjukkan betapa Islam mengiktiraf
Sunnah Nabi yang mulia ini sebagai panduan hidup yang terbaik untuk semua
manusia.
Selain itu, Islam juga amat
menekankan konsep akibat dalam setiap perbuatan. Hal ini dapat dibuktikan
melalui konsep pahala dan dosa, syurga dan neraka dan beberapa hukum syariat
seperti wajib, sunat, harus, makruh, dan haram. Setiap perbuatan itu menurut Islam
akan mendatangkan sama ada dosa dan pahala yang membawa individu itu semakin
dekat dengan syurga atau neraka. Menurut Fadli (2004), hukum-hukum tersebut pula adalah sebagai
pedoman dan panduan agar seseorang individu Muslim itu tidak melakukan perkara
yang tidak dilarang, sebaliknya melakukan tindakan yang dijanjikan kebaikan.
Melalui konsep-konsep inilah, akhlak seorang individu Muslim dapat dijaga dan
dimantapkan sentiasa.
Dalam banyak-banyak amalan yang
terdapat dalam Islam, ada satu amalan yang dilihat begitu istimewa dan
memberikan impak yang cukup besar dalam peneguhan iman dan amal seseorang
Muslim. Ia dipanggil dakwah atau kerja menyeru manusia untuk kembali beriman
pada Allah dan mengikuti Sunnah Nabi Muhammad seratus-peratus dalam kehidupan.
Islam mewajibkan setiap individu Muslim tidak kira dia seorang ilmuwan agama
yang diiktiraf atau tidak, miskin atau kaya, cacat atau sempurna, kerja dakwah
ini harus dilakukan. Sekiranya tidak, Al-Quran dan Hadis sudah banyak
menjelaskan kesan negatif dan balasan terhadap orang yang meninggalkan kerja
menyeru manusia ini. Jika dilihat secara luaran, hukum wajib kerja dakwah yang dipertanggungjawabkan pada
semua umat Islam akan membantu dalam proses penyebaran dan pengukuhan Islam
itu. Sebaliknya jika kita meneliti sepenuhnya hikmah kerja dakwah ini, kita
akan dapat melihat betapa penting dan berkesannya ia dalam meningkatkan akhlak
penganutnya sendiri. Dalam dakwah, proses menyeru dan ingat-mengingati adalah elemen
utama. Proses menyeru dan ingat-menasihati akan membentuk keperibadian tidak
kira sama ada pendakwah mahu pun yang didakwah.
Kebaikan Islam ini yang terutamanya
adalah dari sudut akhlak. Islam amat menekankan kepentingan berakhlak mulia
sesama makhluk agar dapat wujud satu suasana yang benar-benar aman dan harmoni.
Selain itu, Islam juga adalah agama yang lebih gemar mengambil langkah
bersederhana sesuai dengan fitrah manusia dan alam. Langkah besederhana juga
sudah pasti akan mengekalkan kebaikan dan keseimbangan yang dicipta oleh Allah.
Lebih dari itu, Islam juga adalah agama yang berlembut dan tidak suka pada
kekerasan. Hal ini dapat dilihhat dalam jelas apabila peperangan sekali pun
Islam memilih jalan yang paling lembut dan pasif sekali supaya perang tersebut
tidak berlanjutan dan mendatangkan kerugian nyawa dan harta yang besar.
Jika
Islam dapat diamalkan secara sepenuhnya, maka sudah pasti ia akan mendatangkan
manfaat yang begitu besar kepada individu, masyarakat, dan seluruh umat
manusia. Dalam Islam kita dapat lihat, banyak ajaran atau syariat yang boleh
membentuk peribadi mulia dan tindakan yang bermoral. Malah, ketegasan dalam
Islam pun adalah semata-mata untuk mengelakkan manusia terjerumus dalam perkara
yang sia-sia dan keji. Melalui sejarah, kita dapat lihat contoh yang terbaik
apabila umat Islam pada kurun Hijrah yang pertama dan kedua terutamanya,
apabila umat Islam pada ketika itu mengamalkan Islam sepenuhnya, maka banyak
kejayaan luar biasa yang dapay dicapai
sehingga dapat membentuk tamadun yang pernah menyirami dunia dengan cahaya iman
dan cahaya kemajuan.
Kesimpulannya, agama Islam adalah
sistem moral dan etika yang paling lengkap serta sesuai untuk manusia amalkan
dalam kehidupan seharian. Islam sentiasa mahukan kebaikan kepada seluruh umat
manusia, memandangkan Islam itu adalah agama yang mengajak manusia untuk kembali kepada Pencipta yang Maha
Pengasih dan Maha Penyayang, dan kebanyakkan kebaikan itu pula sememangnya
tidak disedari oleh manusia. Kekaburan inilah yang menyebabkan manusia terus
memilih jalan selain Islam.
No comments:
Post a Comment