. Amoi Chantek: teori-teori etika Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Tuesday, 1 April 2014

teori-teori etika

1.0       PENDAHULUAN
Tugasan kali ini meminta untuk membincangkan dan menghuraikan mengenai teori-teori etika. Tam Yeow Kwai (1996; 5), mendefinisikan etika sebagai  garis panduan yang diwujudkan untuk mengawal, menjamin dan melindungi segala tingkah laku yang bermoral. Etika yang diwujudkan adalah untuk mengawal tingkah laku seseorang. Secara tidak lansung, etika turut menyentuh tentang moral seseorang. Dari aspek Islam pula, etika yang telah wujud kepada manusia ialah Al-Quran dan al-hadith. Pegangan teguh kepada Al-Quran dan al-hadith sebagai panduan kepada kehidupan tidak dapat dipertikaikan. Ilmuan-ilmuan Islam merumuskan bahawa manusia memerlukan dua unsur penting  untuk berjaya iaitu  unsur jasmani dan rohani.  Kejayaan manusia di dunia tanpa keredhaan Allah S.W.T adalah sia-sia. Keseimbangan unsur jasmani dan rohani akan menambahkan keimanan kepada kekuasaan Allah S.W.T dan terus menjadikan Al-Quran dan al-hadith sebagai etika hidup. Teori etika memberikan sebab-sebab atau norma untuk menimbangkan sama ada satu tindakan betui atau salah dan cuba memberi justifikasi atas norma itu. la memberikan asas kepada prinsip moral atau garis panduan yang meliputi beberapa nilai yang tertentu. Prinsip ini pula boleh digunakan untuk menentukan apakah tindakan harus dipilih dan lakukan dalam sesuatu situasi yang tertentu. Oleh itu, tugas etika adalah menyediakan garis panduan kepada tindakan yang tekal dengan anggapan umum tentang maksud etika atau moral.

             Teori etika terdiri daripada dua pandangan utama, iaitu Teori Teologikal (Consequentialist Theory) dan Teori Deontologikal (Non-consequentialist Theory). Pada prinsipnya, kedua-dua teori ini bertentangan antara satu sama lain dalam menentukan nilai-nilai sesuatu perlakuan moral. Tumpuan Teori Teologikal ialah hasil atau akibat sesuatu tindakan manakala tumpuan Teori Deontologikal ialah tindakan atau jenis tindakan itu. Seseorang ahli teologis akan menentukan sama ada bercakap bohong adalah betul atau salah melalui akibatnya, tetapi seseorang ahli deontologis akan melihat nilai betul salah sesuatu tindakan secara intrinsik, iaitu sama ada berbohong itu merupakan tindakan baik atau buruk tanpa menilai kesannya.

            Selain itu, terdapat juga teori Kemoralan Sosial atau kecenderungan untuk mengaitkan peraturan masyarakat dengan konsep etika iaitu berkait rapat dengan peraturan masyarakat yang terdiri daripada tatahukum, tatasusila atau tatatertib masyarakat. Ia juga menitikberatkan tanggungjawab setiap individu bagi mematuhi perintah daripada sesebuah autoriti. Teori Kemoralan Sosial mengutamakan kepentingan dan faedah masyarakat, bukan kepentingan diri seseorang individu. Peraturan masyarakat biasanya menyerupai  tradisi, norma, kebiasaan atau adat, kod etika, nilai dan pantang larang. Kesemua ini adalah bagi menjaga kerukunan sosial. Contohnya, setiap kaum di negara ini mempunyai adat resam dan pantang larang bagi menjamin keutuhan dan keharmonian sesebuah masyarakat.

            Seterusnya ialah Teori Keperibadian Mulia. Teori ini diperkenalkan oleh Aristotle  bahawa “kecenderungan untuk mencapai sesuatu tujuan akan menjadikan seseorang  itu manusia yang sempurna”. Keperibadian mulia ialah teori yang menekankan sifat peribadi untuk mencapai kehidupan yang baik. Seseorang individu perlu mengetahui kualiti dan taraf hidup yang ia inginkan. Matlamat ini akan menjadi piawai untuk individu itu menentukan keadaan dirinya. Seterusnya, keperibadian mulia dianggap tidak dihasilkan di dalam diri seseorang oleh alam semulajadi, yakni tidak dikudratkan atau dilahirkan dengan sifat baik atau jahat. Sebaliknya, cara untuk memperolehi atau memiliki keperibadian mulia adalah menerusi latihan dan pengamalan sehingga menjadi satu kebiasaan yang menyenangkan dan menyeronokkan.

2.0       TEORI
Menurut Mardzelah Makhsin (2007: 93) Teleologikal berasal daripada perkataan Yunani iaitu ‘telos’ yang bererti sesudah, selepas ataupun kemudiannya. Menurut Vishalache Balakrishnan (2008: 56) Teori Teleologikal mengatakan nilai betul atau salah bergantung kepada kesan sesuatu perbuatan.  Ertinya jika perbuatan itu memberi lebih banyak kebaikkan maka ia perlu dilakukan. Teori ini amat mementingkan hasil akibat sesuatu tindakan (konsekuensialisme). Bagi ahli teologi, nilai moral adalah tindakan seseorang bergantung kepada nilai bukan moral yang dihasilkan mereka. Oleh itu teori ini menetapkan apa yang baik atau yang wajib secara bukan moral. Maka untuk mengentahui sama ada apa yang dilakukan itu baik, betul atau wajib secara bukan moral (Frankena,1973).
            Teleologis juga mempunyai pandangan yang berbeza tentang apa yang baik secara bukan moral. Ada yang berfikir seperti hedonis (mengenal pasti apa yang baik dengan keseronokan dan yang buruk dengan keseksaan) dan ada yang berfikir bukan seperti hedonis (mengenal pasti yang baik dengan kuasa, ilmu, kesedaran diri, ketepatan dan lain-lain). Teleologis juga berbeza pendapat tentang siapa yang menerima kebaikan atau keburukan. Oleh yang demikian pelbagai teori teleologi telah wujud.  Antaranya ialah Utilitarianisme dan Egoisme. Utilitarianisme berasal daripada perkataan “utility” yang bermaksud berguna. Menurut Ahmad Shukri Mohd. Nain dan Rosman Yusoff (2003: 246) Teori Utilitarianisme menjelaskan kepada manusia bahawa prinsip asas utiliti ialah memaksimumkan keseluruhan kebaikan, ataupun prinsip kebaikan tertinggi untuk bilangan yang teramai. Individu patut melakukan sesuatu tindakan yang menghasilkan kebaikan maksimum kepada setiap orang atau membawa kebahagiaan maksimum kepada majoriti ataupun sesuatu perlakuan itu dianggap baik atau benar mengikut kadar atau pertimbangan kebahagiaan yang diharapkan dapat diperoleh sebagai contoh peperangan dan cara peperangan dianggap wajar jika ia menghasilkan kebahagiaan dan kebaikan melebihi kesengsaraan dan penderitaan yang dialami dalam situasi tertentu dibenarkan melakukan perkara tidak baik demi mengelakkan berlakunya perkara yang lebih buruk. (Vishalache Balakrishnan, 2008)

            Orang yang mempelopori teori ini menurut Warnock ialah Jeremy Bentham (1748-1832). Beliau telah memperkenalkan satu kaedah saintifik untuk menganalisis kuantiti keseronokan iaitu kalkulus hedonistik.  Beliau memperuntukkan setiap faktor dengan satu nilai yang boleh dianalisis. Berdasarkan analisi tersebut, tingkah laku bermoral dapat di tentukan. Tingkah laku yang dapat member kegembiraan dan keseronokkan kepada semua pihak dikatakan satu tingkah laku yang baik dan bermoral.  Untuk menentukan tingkah laku bermoral atau tidak, setiap unsur moral/nilai dianalisis, mengikut kuantiti tertentu dari segi kesengsaraan dan keseronokannya.  Agak sukar untuk menentukan tahap keseronokkan (nilai betul) dan kesengsaraan (nilai salah) sesuatu tindakan itu kerana mungkin sesuatu tindakan itu dianggap betul dan diterima oleh sesuatu masyarakat tetapi dianggap salah dan tidak diterima oleh masyarakat lain. Bagi menentukan salah atau betul sesuatu tindakan itu, aspek peraturan moral perlu diambil pertimbangan sewajarnya.  Untuk menentukan keseronokkan dan kesengsaraan, sesuatu tindakan mestilah bersesuaian dengan peraturan atau undang-undang moral universal. Undang-undang universal ini mesti mengandungi tiga elemen penting iaitu yang pertama ialah sesuatu prinsip atau peraturan mestilah diterima dan dipatuhi setiap masa.  Kedua ialah menghormati manusia bukan memperalatkan manusia. Yang terakhir ialah pihak yang bertanggungjawab menerima tindakan sekiranya berada di tempat yang teraniaya. Ahmad Shukri Mohd. Nain dan Rosman Yusoff (2003).

            Seterusnya ialah Teori Egoisme, Menurut Vishalache Balakrishnan, (2008: 58) Egoisme menekankan bahawa seseorang individu mempunyai obligasi atau kewajipan moral untuk mengambil keputusan dan bertindak dengan merujuk kepada ukuran moral yang meningkatkan kebajikan diri sendiri. Teori egoisme adalah satu teori yang menyatakan bahawa sesuatu tindakan itu adalah “betul” jika ianya membawa kebaikan kepada diri sendiri dan sesuatu itu “buruk” jika ia membawa keburukan kepada diri sendiri. Egoisme di bahagikan kepada  dua iaitu egoisme psikologi dan egoisme etika.  Egoisme psikologi ialah satu teori deskriptif mengaitkan bagaimana orang melakukan tindakan. Egoisme etika pula ialah memberitahu bagaimana mereka perlu bertindak. Ia di takrifkan sebagai teori yang menganggap nilai baik itu menguntungkan diri sendiri dan nilai buruk itu merugikan diri sendiri. Faktor egoisme individu ialah pengaruh alam sekitar sosial sikap mengagumi diri sendiri dan psikologi yang menganggap adanya ketiadaan jalan dalam motif dan dorongan.

            Teori yang kedua pula ialah Teori Deontologi. Menurut Mardzelah Makhsin (2007: 93) istilah Deontologi berasal dari perkataan Yunani deontos yang bermaksud tugas atau tanggungjawab. Teori ini menafikan konsep Teori Teleologikal kerana golongan deontologist ini ialah golongan yang tidak percaya dengan akibat. Menurut Vishalache Balakrishnan (2008: 59) teori ini berlandaskan prinsip moral dan kewajipan moral. Teori ini menegaskan bahawa betul atau salahnya sesuatu tindakan itu tidak berdasarkan atau ditentukan oleh akibat-akibat tindakan tersebut. Mengikut teori ini, nilai moral suatu tindakan tidak boleh dinilai ke atas kesudahannya iaitu hasil atau kebaikan yang akan didapati kerana kesudahan sesuatu tindakan adalah tidak jelas dan tidak dapat ditentukan hasilnya semasa tindakan tersebut dibuat tetapi bergantung pada niat seseorang itu yang membuat keputusan atau melakukan tindakan. Immanuel Kant, seorang ahli falsafah German (1724-1804) yang pernah mengajar di University of Konigsberg di bahagian barat Rusia merupakan seorang ahli falsafah yang sering dikaitkan dengan Teori Deontologikal ini. Hal ini kerana, beliau percaya bahawa apa yang memberi nilai moral kepada sesuatu tindakan bukan akibatnya kerana akibat-akibat tindakan kita tidak sentiasa berada di bawah kawalan kita tetapi motif atau niat tindakan kita adalah di bawah kawalan kita. Oleh itu, kita harus bertanggungjawab secara moral atas motif kita untuk membuat kebaikan atau keburukan.

            Teori Deontologikal ini terbahagi kepada dua aspek iaitu deontologikal tindakan (eksistensialisme) dan deontologikal peraturan (prinsip kewajipan). Eksistensialisme bermaksud kebebasan moral bertindak tanpa amanah, paksaan dan larangan iaitu merangkumi aspek kebebasan; kebebasan jasmani, kebebasan kehendak dan kebebasan moral. Eksistensialisme berasal daripada perkataan existent yang bermaksud wujud atau ada. Deontologikal tindakan ini dipelopori oleh Jean Paul Satre yang menekankan kebebasan iaitu manusia bebas memilih tindakannya.  Individu bebas buat pilihan atau keputusan moral  dan tidak membenarkan pilihan atau keputusannya dipengaruhi orang lain. Eksistensialisme juga dikaitkan dengan pilihan moral (First Hand Choice) iaitu membuat pilihan terus dari akal rasional berdasarkan kepada sesuatu keputusan moral yang sentiasa berubah, tidak universal, bersifat subjektif, tidak mutlak, tidak kekal dan individualistik. Contohnya, seseorang individu tidak dilahirkan terus untuk menjadi guru, tetapi merupakan pilihan individu tersebut untuk menjadi guru atau pekerjaan lain. Begitu juga dengan pelaksaan tindakan lain oleh seseorang yang dirasakan yakin dan betul untuk dilaksanakan. Aspek ini mementingkan kebebasan individu untuk memilih tanpa dipengaruhi oleh faktor lain tetapi masih dalam konteks rasional membuat pemilihan (Vishalache Balakrishnan, 2008: 63).

            Menurut Abdul Rahman Aroff (1986) prinsip kewajipan pula membawa maksud sesuatu tindakan dianggap bermoral jika dilakukan dengan kerelaan hati atau tanggungjawab yang diakui. Erti kata lain, prinsip ini menegaskan tanggungjawab dilaksanakan semata-mata kerana amalan itu merupakan kewajipan. Sebagi contoh, menunaikan janji yang telah dikotakan. Seorang ayah yang telah berjanji akan memberi hadiah atau ganjaran kepada anaknya sekiranya berjaya di dalam peperiksaan, perlu menunaikan janjinya. Jika tidak si anak akan hilang kepercayaan terhadap ayahnya dan berputus asa untuk meneruskan kejayaannya kerana janji yang dikotakan tidak dilaksanakan. Bagi mengambil sesuatu tindakan bermoral, kita perlu mempraktikkan formula berikut (Kebebasan + Keadilan + Kebijaksanaan + Pilihan (rujukan Maxim) =Tindakan Bermoral.) Tekad baik dapat diterangkan lebih jelas dengan tindakan manusia dalam melakukan tugas dan tanggungjawabnya semata-mata kerana desakan nilai dalaman yang dipanggil ‘good will’ atau tekad baik dan bukan disebabkan oleh motif-motif lain seperti ganjaran, hukuman atau tekanan. Jika seseorang melakukan tugas dan tanggungjawabnya disebabkan keseronokan, simpati atau kasihan tetapi bukan disebabkan ‘good will’, maka tindakannya dikatakan tidak mempunyai nilai moral walaupun mendapat sanjungan dan pujian. (Ahmad Shukri Mohd. Nain dan Rosman Yusoff, 2003).

            Prinsip kewajipan terbahagi kepada dua kategori iaitu categorikal imperative (perintah mutlak) dan practical imperative. Categorical imperative atau perintah mutlak menerangkan perintah yang wujud tanpa sebarang pengecualian atau syarat-syarat. Terdapat tiga prinsip utama dalam perintah mutlak ini iaitu prinsip tersebut mestilah diterima secara umum, dapat menghormati manusia dan pihak yang bertanggungjawab sanggup diperlakukan sedemikian sekiranya dia berada dalam kedudukan teraniaya. Practical imperative (Praktikal Imperatif) menyatakan bahawa kemanusiaan hendaklah sentiasa menjadi matlamat dan bukan alat perlakuan individu. Malah, kemanusiaan adalah suatu nilai intrinsik manusia. Contoh yang berkaitan dengan kehidupan seharian yang boleh dikaitkan dengan categorical imperative atau perintah mutlak ialah situasi semasa peperiksaan. Ramai yang mengetahui meniru atau menipu di dalam peperiksaan merupakan satu tindakan yang salah, namun atas sifat mementingkan diri dan ingin mencapai kejayaan dengan mudah masih ramai yang berani meniru atau menipu di dalam peperiksaan. Perlakuan ini akan sentiasa dihina kerana ia merupakan satu perbuatan yang tidak adil bagi individu yang jujur dan berusaha untuk mencapai kejayaan. (Abdul Rahman Md. Aroff dan Chang Lee Hoon 1994).

            Hasil daripada pembacaan dan pemahaman saya berkaitan Teori Deontologikal ini, dapat saya ulaskan bahawa setiap tindakan yang dilakukan diletakkan atas niat, tujuan dan motif, bukan pada apa yang dilakukannya atau kesan dan akibat hasil daripada tindakannya. Setiap tindakan yang diambil akan mempunyai nilai moral yang baik jika dilakukan atas kerelaan hati dan motif tindakannya ialah satu tanggungjawab kepada masyarakat bukan kerana paksaan atau desakan. Sekiranya disebabkan desakan atau paksaan, tindakan tersebut mempunyai nilai moral yang buruk. Selain itu, setiap tindakan yang dianggap betul dari segi moral tidak dianggap memadai jika dilakukan semata-mata untuk kepentingan diri. Contohnya seperti menderma, menderma merupakan satu tindakan yang baik dan setiap individu digalakkan untuk menderma. Menderma juga dikatakan salah satu tindakan yang bermoral dan mempunyai nilai yang baik jika dilakukan dengan penuh keikhlasan serta kerelaan hati penderma. Namun, menderma masih menjadi tindakan bermoral tetapi mempunyai nilai yang buruk jika berlaku desakan yang memaksa penderma untuk menderma.

            Seterusnya ialah Teori Kemoralan Sosial, menurut Vishalache Balakrishnan (2008: 47) Kemoralan Sosial merujuk kepada standard atau ukuran moral dalam sesebuah masyarakat berdasarkan norma dan pantang larang dalam masyarakat untuk menjaga kerukunan sosial. Ia juga menitikberatkan tanggungjawab setiap individu bagi mematuhi perintah daripada sesebuah autoriti. Teori Kemoralan Sosial mengutamakan mementingkan masyarakat secara umum, bukan individu sebagai matlamat etika. Peraturan masyarakat biasanya menyerupai  tradisi, norma, kebiasaan atau adat, kod etika, nilai dan pantang larang. Kesemua ini adalah bagi menjaga kerukunan sosial. Contohnya, setiap kaum di negara ini mempunyai adat resam dan pantang larang bagi menjamin keutuhan dan keharmonian sesebuah masyarakat. Bagi saya, ia banyak melibatkan amalan masyarakat. Teori ini banyak mementingkan nilai yang pentingkan masyarakat dan bukan individu dalam mencapai matlamat moral. Teori ini juga boleh dimaksudkan dengan peraturan moral yang dijadikan sebagai satu kewajipan dan dikuatkuasakan oleh pemerintah supaya wajib diketahui. Peraturan ini juga tidak membenarkan seseorang menilai dan mengkritik peraturan moral yang telah ditetapkan oleh masyarakatnya.

            Menurut Abdul Rahman Md. Aroff dan Chang Lee Hoon (1994), teori ini banyak memberikan keburukan daripada memberikan kebaikan. Antaranya ialah ia banyak menyekat kebebasan individu yang terpaksa tunduk kepada peraturan yang dibuat oleh masyarakat. Selain itu juga, banyak berlaku salah faham, konflik dan ketegangan kerana setiap masyarakat mempunyai pandangan yang berbeza. Teori ini juga memberikan kesukaran masyarakat baru untuk menyesuaikan diri dengan moral yang sedia ada kerana masa dan keadaan telah banyak berlaku perubahan. Tambahan pula, teori ini mementingkan kepatuhan individu kepada autoriti walaupun perkara itu bertentangan dengan kehendak hati mereka. Perkara yang paling penting sekali ialah tidak semua peraturan yang dibuat oleh masyarakat adalah baik dan bersesuaian. Tidak semua peraturan yang dibuat oleh masyarakat adalah baik, terdapat juga peraturan yang dibuat oleh masyarakat bersifat negatif dan membawa keburukan. Ini bermaksud,  jika peraturan itu dibuat dengan keadaan yang akan memberikan kesan yang positif, maka masyarakat akan banyak menerima. Tetapi selalunya, perkara seperti itu sukar untuk berlaku. (Vishalache Balakrishnan, 2008: 50)

            Selain itu, Ia bersifat relatif, dimana semua masyarakat atau komuniti mempunyai peraturan moral masing-masing. Peraturan moral satu masyarakat boleh bertentangan dengan yang lain. Ini boleh mengakibatkan berlakunya pepecahan dan membawa kepada ketegangan dan konflik sekiranya setiap masyarakat terlalu agresif mempertahankan peraturan moral masing-masing. kedua, kemoralan sosial juga mungkin menjadi terlalu ketat dan tidak fleksibel, contohnya kesukaran menyesuaikan peraturan masyarakat dengan situasi baru dan semasa. Peraturan yang konservatif dan mutlak tidak dapat membantu dan membimbing seseorang menghadapi semua dilema moral baru kerana masa dan keadaan sentiasa berubah. Menyekat kebebasan individu yang terpaksa tunduk kepada peraturan yg dibuat oleh masyarakat.

            Akhir Sekali ialah Teori Keperibadian Mulia, Menurut Ee Ah Meng (1996) keperibadian mulia telah didefinisikan sebagai kualiti terbaik atau istimewa dan mengutamakan sifat peribadi terhadap suatu kehidupan yang bermoral. Teori ini diperkenalkan oleh Aristotle  bahawa “kecenderungan untuk mencapai sesuatu tujuan akan menjadikan seseorang  itu manusia yang sempurna”. Keperibadian mulia ialah teori yang menekankan sifat peribadi untuk mencapai kehidupan yang baik. Seseorang individu perlu mengetahui kualiti dan taraf hidup yang ia inginkan. Matlamat ini akan menjadi piawai untuk individu itu menentukan keadaan dirinya. Seterusnya, keperibadian mulia dianggap tidak dihasilkan di dalam diri seseorang oleh alam semulajadi, yakni tidak dikudratkan atau dilahirkan dengan sifat baik atau jahat. Sebaliknya, cara untuk memperolehi atau memiliki keperibadian mulia adalah menerusi latihan dan pengamalan sehingga menjadi satu kebiasaan yang menyenangkan dan menyeronokkan. (Vishalache Balakrishnan, 2008: 51).

            Menurut Abdul Rahman Aroff (1986) konsep keperibadian mulia bermula dengan masyarakat Yunani pada abad ke-4 SM dan salah seorang pelopornya ialah Aristotle. Keperibadian mulia didefinisikan sebagai kualiti terbaik atau istimewa (excellence). Terdapat dua jenis keperibadian mulia iaitu keperibadian mulia intelektual dan keperibadian mulia moral. Keperibadian mulia intelektual adalah kebaikan atau keistimewaan akal seperti kebolehan memahami dan membuat taakulan yang baik. Aristotle menganggap bahawa sifat intelektual ini boleh dipelajari daripada seorang guru. Sementara itu, keperibadian mulia moral tidak terhasil dalam seorang individu secara semula jadi, iaitu seseorang itu tidak dilahirkan dengan sifat baik dan jahat. Mengikut Aristotle, keperibadian mulia mewajibkan kita bertingkah laku baik. Sifat-sifat ini tidak dipelajari melalui ajaran seorang guru tetapi menerusi latihan, tindakan-tindakan yang kerap diulang sehingga menjadi satu kebiasaan, menyenangkan serta menyeronokkan.

            Keperibadian mulia ialah teori yang menekankan sifat peribadi untuk mencapai kehidupan yang baik. Teori ini berkait rapat dengan ”kaedah sikap baik” dan sifat-sifat seorang insan bermoral. Keperibadian mulia ialah kecenderungan untuk sesuatu tujuan. Ia bukanlah perasaan atau kebolehan dan kekuasaan manusia merasai  kerana  seseorang itu tidak boleh dipuji atau dikeji dan dikatakan baik atau jahat hanya sebab perasaannya atau kerana dia berupaya merasai. Keperibadian mulia dianggap tidak dihasilkan oleh alam semulajadi. Sebaliknya cara untuk memperoleh keperibadian mulia adalah menerusi latihan dan pengamalan sehingga menjadi satu kebiasaan yang menyenangkan dan menyeronokan. Peribadi mulia tidak berlaku secara semulajadi, akan tetapi menerusi latihan hingga menjadi satu kebiasaan dan menyeronokkan. Setiap keperibadian mulia merupakan jalan tengah iaitu bermaksud tidak keterlaluan dan tidak terlalu kurang. Tindakan yang berlebihan dan terlalu kurang adalah tindakan yang salah, jahat buruk dan tercela. Cara yang betul ialah mengambil pendekatan secara sederhana dan pertengahan. (Ahmad Shukri Mohd. Nain dan Rosman Yusoff, 2003: 113).

            Walaubagaimanapun, banyak kritikan yang diberikan terhadap teori ini. Pertama sekali, terdapat manusia seperti nabi memiliki keperibadian mulia secara semulajadi. Keperibadian mulia juga diperoleh melalui pemerhatian dan pergaulan. Teori jalan tengah sukar untuk ditentu dan dipraktikkan. Hal ini demikian perbuatan sederhana berbeza antara setiap individu. Selain itu, emosi manusia tidak boleh dianggap sebagai suatu kuantiti yang boleh diukur secara berterusan. Sebagai contoh, dapat saya berikan disini ialah dalam permainan bola sepak. Keperibadian yang mulia yang ada pada setiap pemain dapat memastikan kelebihan pasukan itu. Kemahiran adalah kebolehan seseorang itu melakukan tendangan yang bagus dan baik. Sebelum menjadi tendangan yang bagus, setiap pemain perlu melakukan latihan yang banyak dan betul. Jadi, sikap pemain perlulah positif dan berdisiplin. Pemain juga perlu bersikap sederhana dan tidak berlagak. Jika berlagak selepas memenangi sesuatu perlawanan, ia akan memberikan kesan yang buruk.

3.0       KESIMPULAN
Kesimpulannya, etika yang wujud dalam manusia merupakan alat bagi sesuatu masyarakat untuk memimpin individu dan kumpulan kecil dalam kehidupan mereka. Etika juga menjadi batu pengukur bagi kelompok masyarakat untuk menilai seseorang dalam tingkah lakunya. Selain itu, aspek etika bukan sahaja mewujudkan institusi kehidupan sosial yang seimbang malahan dapat membantu membimbing individu berfikir secara rasional dalam kalangan masyarakat supaya masyarakat dapat menerima perbuatan atau pandangan seseorang individu. Penerimaan masyarakat dalam sesuatu perkara amatlah perlu dan penilaian seseorang yang dipengaruhi etika yang seimbang mewujudkan situasi yang harmoni. Selain itu, komuniti masyarakat akan lebih berkembang dengan positif.

            Secara keseluruhannya, tugasan ini mencakupi kesemua teori-teori etika. Teori Teleologikal mengatakan nilai betul atau salah bergantung kepada kesan sesuatu perbuatan.  Ertinya jika perbuatan itu member lebih banyak kebaikkan maka ia perlu dilakukan. Selain itu, Teori ini amat mementingkan hasil akibat sesuatu tindakan (konsekuensialisme). Bagi ahli teologi, nilai moral adalah tindakan seseorang bergantung kepada nilai bukan moral yang dihasilkan mereka. Seterusnya ialah teori Deontologikal, teori ini menafikan konsep Teori Teleologikal kerana golongan deontologist ini ialah golongan yang tidak percaya dengan akibat. Teori ini menegaskan bahawa betul atau salahnya sesuatu tindakan itu tidak berdasarkan atau ditentukan oleh akibat-akibat tindakan tersebut. Mengikut teori ini, nilai moral suatu tindakan tidak boleh dinilai ke atas kesudahannya iaitu hasil atau kebaikan yang akan didapati kerana kesudahan sesuatu tindakan adalah tidak jelas dan tidak dapat ditentukan hasilnya semasa tindakan tersebut dibuat tetapi bergantung pada niat seseorang itu yang membuat keputusan atau melakukan tindakan.


            Teori seterusnya ialah Kemoralan Sosial (atau kecenderungan untuk mengaitkan peraturan masyarakat dengan konsep etika) berkait rapat dengan peraturan masyarakat yang terdiri daripada tatahukum, tatasusila atau tatatertib masyarakat. Ia juga menitikberatkan tanggungjawab setiap individu bagi mematuhi perintah daripada sesebuah autoriti. Manakala yang terakhir sekali ialah Keperibadian mulia iaitu teori yang menekankan sifat peribadi untuk mencapai kehidupan yang baik. Maksudnya di sini ialah Keperibadian mulia didefinisikan sebagai kualiti terbaik atau istimewa (excellence). Seseorang individu perlu mengetahui kualiti dan taraf hidup yang ia inginkan. Matlamat ini akan menjadi piawai untuk individu itu menentukan keadaan dirinya. Kesimpulannya, teori-teori etika ini sangat penting dalam kehidupan seharian kerana untuk mengetahui dan memahami sikap seseorang kita perlu mengetahui etika-etika yang patut diamalkan dan diterapkan. Sebagai seorang guru, kita janganlah mengamalkan etika-etika yang membawa keburukan kepada pelajar yang dididik kerana peranan guru dalam membentuk modal insan sangat penting.

No comments:

Post a Comment