1.0 PENGENALAN
Konsep Melayu yang
digunakan dalam konteks yang lebih luas sebagai penduduk asal di alam Melayu
ini adalah berasaskan kepada idea yang dapat dikesan kepada sejarah peradaban
Melayu itu sendiri. Dengan kepelbagaian kelompok sosial dan sub-budaya yang
membina masyarakat dan budaya Melayu yang lebih luas itu telah memberikan
kekuatan yang menyatakan kekayaan khazanah budaya Melayu. Istilah Melayu
merujuk kepada tiga pengertian atau dimensi yang berbeza, iaitu ras (genetik
atau biologi), kebudayaan dan bahasa. Ras Melayu merujuk kepada sekumpulan
manusia yang memiliki ciri-ciri genetik yang sama dan yang berasal dari alam
Melayu. Kebudayaan Melayu merujuk kepada pegangan dan amalan yang didasarkan
kepada agama Islam dan adat resam masyarakat Melayu. Bahasa Melayu adalah
bahasa yang dituturkan di seluruh Kepulauan Melayu dan ia merangkumi sub-keluarga
seperti bahasa Jawa, Sunda, Madura, Acheh, Minangkabau, Sasak, Melanau, Iban,
Bajau, Murut, Bugis dan Sulu.
2.0 NILAI TRADISIONAL MASYARAKAT MELAYU
2.1 Mengutamakan
Ikatan Kekeluargaan dan Hubungan Silaturahim
Masayarakat Melayu
mempunyai nilai tradisionalnya yang tersendiri. Dalam budaya masyarakat Melayu
adalah satu perkara penting yang harus diketahui oleh masyarakat kini iaitu
mengutamakan ikatan kekeluargaan dan hubungan silaturahim. Ini dapat dilihat
daripada amalan gelaran dalam keluarga seperti, datuk, nenek, along, angah, pak
cik dan mak cik. Apa yang paling jelas sekali ialah cara bagaimana mengikat
hubungan silaturahim orang Melayu. Orang Melayu bersifat bekerjasama dalam
mengadakan kenduri kendara dan saling ziarah menziarahi. Amalan ini amat
berkesan dalam memupuk ikatan kekeluargaan malah dalam persahabatan dan secara
tidak langsung juga menimbulkan kesan yang positif dalam kehidupan seharian
seseorang.
2.2 Akidah
Islam
Nilai tradisional yang
seterusnya dapat dilihat juga dalam aspek akidah Islam masyarakat Melayu. Nilai-nilai
yang menjadi asas kepada tamadun Melayu berteraskan kepada nilai-nilai agama
Islam. Kesemua nilai tersebut berkait rapat dengan konsep iman yang terdapat
dalam agama Islam. Nilai asas ini boleh dilihat dalam ungkapan-ungkapan Melayu
seperti peribahasa, perumpamaan dan pepatah-pepatih. Terdapat pelbagai perkara
yang boleh dibuat untuk menunjukkan nilai-nilai budaya masyarakat Melayu.
Pengaruh kedatangan Islam ke dalam masyarakat Melayu banyak mengubah budaya
Melayu. Keimanan dan ketakwaan kepada Allah S.W.T merupakan perkara yang paling
penting dalam agama Islam. Ia melibatkan asas pegangan hidup, pemikiran atau
falsafah kepada kehidupan manusia di dunia ini. Mentaati segala yang dituntut
dan meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah S.W.T. adalah sebahagian
daripada cara bagaimana orang Melayu mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan.
Dalam hal ini, pandangan semesta masyarakat Melayu berunsurkan tradisional
disesuaikan dengan dasar-dasar akidah Islam.
Dalam
akidah Islam ini mempunyai kesannya kepada masyarakat. Jika difikir secara
rasionalnya, melalui ajaran Islam ini malah seluruh agama sekalipun ia dapat
mengajar manusia untuk menjadi seorang manusia. Maksudnya di sini, ia melatih
manusia agar menuruti dan mematuhi norma-norma hidup sebenar seorang manusia di
muka bumi ini.
2.3 Ketaatan
Kepada Sultan dan Pemimpin
Selain itu, nilai
tradisional yang seterusnya dapat dilihat juga dalam aspek ketaatan kepada
sultan dan menghormati pemimpin. Sejarah masyarakat Melayu berkait rapat dengan
kesultanan Melayu. Masyarakat Melayu taat setia kepada Sultan atau Raja sejak
turun-menurun yang diikuti dan diajar oleh orang Melayu sehingga ke hari ini.
Ini membuktikkan bahawa budaya masyarakat Melayu amat menghormati pemimpin.
Nilai ketaatan dan kesetiaan kepada Sultan atau Raja telah menjadi sebahagian
budaya orang Melayu. Nilai inilah yang membentuk budaya masyarakat Melayu
menjadi orang yang berdisiplin. Dalam agama Islam pemimpin adalah khalifah
Allah S.W.T. di muka bumi.
Melalui
ketaatan kepada sultan dan pemimpin ini dapat menimbulkan kesan yang baik
kepada manusia. Melalui nilai ini, ia sebenarnya mengajar manusia agar menuruti
perintah dan undang-undang sesuatu negara. Jadi, kesannya, apabila individu
dalam negara tersebut patuh terhadap arahan pemimpin, jadi secara tidak
langsung akan menimbulkan suasana yang aman dan harmoni dan seterusnya
mengukuhkan lagi ekonomi negara tersebut.
2.4 Adat
Istiadat
Di samping itu juga, nilai
tradisional yang seterusnya dapat dilihat juga dalam aspek adat istiadat. Masyarakat
Melayu berpegang teguh kepada adat tradisi seperti dilihat dalam amalan hidup
seharian. Orang Melayu amat menjaga adat resam termasuk pantang-larang dan adat
isitadat yang diwarisi dan diamalkan sejak turun-menurun. Antara adat istiadat
yang masih diamalkan seperti adat istiadat menyambut kelahiran, perkahwinan dan
kematian. Orang Melayu memahami kedaulatan hukum-hukum adat sejak dahulu lagi
dan mematuhinya. Dalam pepatah Melayu ada menegaskan, adat dikelek dan hukum
dijunjung. Terdapat beberapa upacara “rites de passage” gabungan unsur Islam
dan adat diadakan pada hampir setiap tahap kitaran hidup. Contohnya, sebelum
seseorang itu dilahirkan lagi, berbagai-bagai pantang larang diikuti. Ibu yang
mengandung dilarang melakukan perbuatan yang buruk atau keji. Dengan berbuat
demikian, dipercayai anak yang bakal dilahirkan sedikit sebanyak mewarisi
perangai kedua-dua ibu bapanya.
Selain
itu, dalam adat dan istiadat ini juga menimbulkan kesan yang positif kepada
sesiapa yang menurutinya. Adat istiadat ini juga adalah bertujuan untuk menjaga
seseorang individu itu dari ditimpa musibah ataupun sebagainya. Sebagai contoh
adat ketika kelahiran. Jika diperhatikan, kebanyakkan pantang larang dalam adat
ini sebenarnya mempunyai satu tujuan yang nyata yakni menjaga keselamatan ibu
dan anak sebelum kelahiran dan selepas kelahiran.
2.5 Memuliakan
Golongan Tua
Aspek memuliakan golongan
tua juga merupakan salah satu aspek nilai tradisional. Dalam masyarakat Melayu,
menghormati dan memuliakan orang yang tua adalah satu nilai yang jelaskan
sekali berlaku. Nilai ini berkaitan dengan pemahaman masyarakat Melayu bahawa
orang yang lebih berusia mempunyai lebih banyak pengalaman berbanding
orang-orang muda. Pengalaman adalah sesuatu yang sentiasa dipandang penting
dalam masyarakat Melayu. Golongan muda digalakkan merantau untuk mencari pengalaman
lain. Dalam konteks Islam, Baginda S.A.W.
tidak mengiktiraf umat yang tidak menghormati orang yang tua dan menyayangi
orang yang orang muda. Menghormati dan mendengar nasihat orang tua, orang muda
tidak akan melakukan kesilapan dan kesalahan dalam hidup mereka. Apa yang
penting ialah kerjasama antara orang muda dengan orang tua harus dipupuk untuk
menjamin keharmonian masyarakat sekeliling. Melalui nilai ini juga, ia akan
menimbulkan kesan yang postif iaitu melahirkan individu yang menghormati orang
lain dan jika ini dipraktikkan, tidak mustahil kadar jenayah di sesuatu tempat
khususnya negara ini akan menurun dengan mendadak.
No comments:
Post a Comment