1.0
Pengenalan
Setiap
agama mempunyai ajaran, peraturan dan perlakuan yang tercatat dalam kitab-kitab
suci agama masing-masing. Manusia dikehendaki menuruti ajaran agama
masing-masing. Kesemua yang diajar dalam agama adalah untuk mengajar manusia
supaya berbuat baik dalam masyarakat. Selain itu, rutin agama yang dikehendaki
oleh sesuatu agama menentukan kesolehan individu. Kesolehan tersebut akan mendidik akhlak manusia supaya berbuat
baik dan mempunyai tingkah laku yang diterima oleh sesebuah komuniti. Kesemua
tingkah laku yang diterima oleh masyarakat merupakan sesuatu yang baik di mata
mereka dan menjadikan tingkah laku tersebut menjadi sesuatu yang bermoral.
2.0
Moral
Moral
berasal dari bahasa Latin yang membawa maksud cara, perwatakan dan tingkah laku
yang diterima. Moral juga dikaitkan dengan kesedaran ajaran atau pegangan seseorang
berkenaan yang baik atau buruk sesuatu perbuatan, sikap mahupun cara berkelakuan
dalam masyarakat.
Pada
pandangan Peter Baelz berkenaan moral didefinisikan sebagai persoalan betul
atau salah, benar atau tidak dan apakah yang perlu dibuat atau harus
ditinggalkan terhadap sesuatu perkara dalam sesuatu keadaan. Pertimbangan yang
dilakukan adalah hasil pemikiran dan tingkah laku yang biasa diamalkan
seseorang. Moral seseorang yang ditunjukkan biasanya akan mengikut keadaan dan
persekitaran ketika membuat keputusan.
G.J.
Warnock di dalam bukunya The Object of Morality menyatakan moral ialah cara
untuk melihat dan mempersoal berbagai-bagai isu berhubung dengan perbuatan atau
tingkah laku. Tindakan seseorang manusia
pastinya tidak sama dengan yang lain. Tindakan yang diambil diambil kira
melalui pengalaman hidup serta tingkah laku individu tersebut. Selain itu,
sesuatu kelakuan atau perbuatan juga dianggap
bermoral mengikut situasi dalam sesuatu masyarakat, dengan mengambil kira soal tempat dan penerimaan
masyarakat. Misalnya upacara minum air tapai diberi kepada tetamu dalam
masyarakat Iban menjadi sesuatu yang bermoral kerana masyarakat Iban menerima
upacara tersebut. Jika upacara ini tidak diterima oleh masyarakat Iban, maka
upacara ini dianggap tidak bermoral.
Tokoh ilmuan Islam iaitu Imam Al-Ghazali menyatakan
moral sebagai tingkah laku seseorang yang muncul secara tidak lansung mengikut
keredhaan dan kehendak Allah S.W.T. Selain itu, Moral mengikut tafsiran Islam juga
merujuk kepada sesuatu kelakuan yang baik berlandaskan syariah, satu ukuran
yang tetap dan tidak berubah mengikut keadaan dan waktu. Mengikut aspek Islam,
moral adalah kelakuan atau perbuatan yang selari atau tidak melanggar batas, peraturan
akhlak yang telah ditetapkan oleh syariah Islam. Sesuatu yang tidak bermoral
mengikut pandangan Islam adalah sesuatu yang tidak berakhlak untuk masyarakat
Islam, dan agama Islam itu sendiri. Penilaian ini juga tidak berubah mengikut
zaman yang tertentu. Sesuatu yang tidak berakhlak pada sesuatu zaman adalah
juga tidak berakhlak mengikut zaman lain. Pandangan tersebut diterima oleh
masyarakat barat. Namun, perbezaan zaman itu menjangkau beberapa abad lamanya. Moral
dalam Islam tidak mengambil kira falsafah tersebut. Bagi pandangan Islam, moral
manusia adalah sesuatu yang semulajadi dan tingkah laku bermoral diwujudkan
dengan mengikut syariah. Masyarakat pada sesuatu zaman mungkin berubah, namun sifat
semulajadi manusia tetap sama dan agama Allah S.W.T telah menetapkan sesuatu
yang baik dan buruk untuk menjadikan manusia bermoral.
Insan
yang bermoral mempunyai profil diri yang baik. Profil diri ini menampilkan
ciri-ciri seseorang insan yang bermoral. Pada kebiasaanya, seseorang yang
bermoral mempunyai ciri-ciri seperti budi pekerti yang tinggi, bertingkah laku
mulia dan berbudi bahasa. Tingkah laku ini menampilkan jati diri yang unggul kerana
sentiasa berbudi pekerti dan orang di sekeliling berasa lebih selesa berdamping
dengan insan tersebut. Insan yang bermoral juga tidak angkuh, tidak
menunjuk dan tidak sombong. Tingkah laku
yang negatif ini akan membuatkan seseorang itu tidak disenangi oleh masyarakat
sekelilin. Selain itu, insan yang bermoral juga mempunyai ciri suka bergaul
dengan masyarakat dan tidak mengasingkan diri. Pergaulan yang dilakukan amat
menitikberatkan aspek hormat-menghormati antara satu dengan yang lain.
Kesimpulannya, konsep
moral ini merujuk kepada kawalan tingkah laku yang seseorang dalam membuat
keputusan serta amalan seseorang individu. Seseorang yang dikatakan memiliki
tingkah laku yang bermoral jika tingkah laku tersebut berdasarkan
prinsip-prinsip atau peraturan-peraturan yang diterima.
3.0
Akhlak
Akhlak
berasal dari kata ‘akhlaq’ dari bahasa Arab yang membawa erti perangai, budi,
tabiat dan adab. Tam Yeow Kwai
(Pendidikan Moral, 1996;4) mendefinisikan akhlak sebagai budi pekerti
seseorang individu. Budi pekerti inilah yang mendorong kepada tindakan
seseorang. Tindakan ini pula diterangkan sebagai tingkah laku seseorang yang
didorong oleh suatu keinginan secara sedar untuk melakukan suatu perbuatan yang
baik. Akhlak merupakan sifat semula jadi
yang dimiliki oleh seseorang individu. Disebabkan itulah tingkah laku dan
tindakan yang dilakukan dibuat mengikut kebiasaan seseorang berdasarkan amalan
moral yang diamalkan.
Menurut
tokoh Islam Imam al-Ghazali pula, akhlak adalah sifat yang tertanam dalam jiwa
seseorang, darinya terbentuk perbuatan dari pertimbangan fikiran. Maksud tokoh
al-Ghazali disini, akhlak ialah satu tindakan yang dibuat oleh seseorang hasil
pertimbangan yang difikirkan wajar. Akhlak bukanlah pengetahuan atau kebolehan
untuk melakukan sesuatu, tetapi akhlak wujud berpunca dari tingkah laku. Ibn
Miskawayh pula mentafsirkan akhlak sebagai keadaan jiwa yang menggerakkan
seseorang untuk melakukan sesuatu perbuatan. Akhlak yang terbina dalam diri
seseorang adalah berdasarkan keimanan diri seseorang. Demi mendapatkan
keredhaan kepada Allah S.W.T, akhlak seseorang memainkan peranan yang penting
dalam kehidupan. Islam mementingkan akhlak untuk mengukuhkan iman dalam diri
agar dapat berjaya di dunia dan akhirat.
Kesimpulannya,
akhlak ialah segala perbuatan dan tingkahlaku yang baik dan dimanfaatkan untuk
mendapat keredhaan yang Maha Esa. Konsep akhlak berkait rapat degan kepercayaan
dan keyakinan kepada Tuhan. Dari aspek Islam pula, akhlak berkait rapat dengan
hakikat diri dan proses pembentukan peribadi Muslim yang beriman kepada Allah
S.W.T.
4.0
Etika
Perkataan etika berasal daripada
bahasa Latin iaitu ethica yang membawa maksud kelakuan betul dan
kehidupan baik. Etika juga merujuk kepada maksud kebiasaan atau cara. Oleh itu
etika boleh ditakrifkan sebagai suatu kajian sains tentang kelakuan manusia
dalam masyarakat.
Tokoh Stroll & R.H. Popkin dalam
buku Introduction to Philosophy menyatakan etika merupakan peraturan yang
menjadi panduan hidup manusia. Pendapat tokoh tersebut membawa maksud manusia
perlu mematuhi dan mengikut segala peraturan yang telah ditetapkan dan
dijadikan garis panduan untuk sesuatu kerja. Kegagalan mengikut etika yang
telah ditetapkan adalah menjadi kesalahan peraturan kerja. Tam Yeow Kwai (Pendidikan Moral 1,1996; 5), mendefinisikan etika
sebagai garis panduan yang diwujudkan
untuk mengawal, menjamin dan melindungi segala tingkah laku yang bermoral.
Etika yang diwujudkan adalah untuk mengawal tingkah laku seseorang. Secara
tidak lansung, etika turut menyentuh tentang moral seseorang.
Dari aspek Islam pula, etika yang
telah wujud kepada manusia ialah Al-Quran dan al-hadith. Pegangan teguh kepada
Al-Quran dan al-hadith sebagai panduan kepada kehidupan tidak dapat
dipertikaikan. Ilmuan-ilmuan Islam merumuskan bahawa manusia memerlukan dua
unsur penting untuk berjaya iaitu unsur jasmani dan rohani. Kejayaan manusia di dunia tanpa keredhaan
Allah S.W.T adalah sia-sia. Keseimbangan unsur jasmani dan rohani akan
menambahkan keimanan kepada kekuasaan Allah S.W.T dan terus menjadikan Al-Quran
dan al-hadith sebagai etika hidup.
Etika terbahagi kepada dua jenis.
Jenis etika yang pertama ialah etika
normatif. Etika normatif ialah etika yang mencadangkan untuk menilai,
mengkritik dan membuat keputusan terhadap sistem moral yang ada. Etika normatif
mengemukakan suatu sistem yang standard dengan berpandukan sistem yang sedia
ada. Etika normatif menjadikan sesuatu etika yang telah ditetapkan dan
menambahbaik etika yang sedia ada untuk
mewujudkan undang-undang moral yang
lebih baik.
Jenis etika yang kedua ialah etika
deskriptif. Etika deskriptif didefinisikan sebagai satu disiplin yang
membicarakan sejarah sistem moral. Etikan deskriptif lebih memfokuskan kepada
kepelbagaian sistem moral yang relatif di dunia. Sebagai contoh, penilaian
moral berbeza mengikut perbezaan individu, masa, tempat dan keadaan.
Oleh itu, etika berupaya menjadi kayu pengukur dalam menilai tingkah laku moral
seseorang. Etika yang diwujudkan menjadi satu kajian tingkah laku moral untuk menilai seseorang sama
ada dapat mengawal perlakuan mengikut etika yang telah ditetapkan. Tindakan
yang dibuat seseorang berdasarkan motif, nafsu mahupun niat dalam sesuatu
perkara yang tidak mengikut ataupun mengikut etika yang ditetapkan mencerminkan
keperibadian moral seseorang
5.0
Konsep
Baik, Benar dan Patut
Individu
yang bermoral harusnya memegang kepada konsep baik, benar dan patut. Perkataan
baik bermaksud memberi faedah atau bagus apabila menggunakannya.
Perkataan benar pula ialah sesuatu
tingkah laku adalah betul sekiranya ia sejajar dengan tugas atau tanggungjawab dan salah
sekiranya ia bertentangan. Konsep Patut
pula didefinisikan sebagai sesuatu yang perlu dipenuhi atau dilakukan. Sesuatu tindakan itu dikatakan baik,
benar dan patut sekiranya tindakan sejajar dengan tugas dan tanggungjawab yang
diterima. Selain itu, penerimaan masyarakat akan menetapkan sama ada perkara
tersebut baik, benar dan patut dilakukan. Konsep ini adalah agak abstrak dan
ahli falsafah yang berlainan telah mentakrifkannya dalam konteks atau
pendekatan yang berbeza.
5.1 Konsep
Baik
Perkataan
baik menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah memberi faedah apabila menggunakan
sesuatu. Menurut C.I Lewis dalam buku
yang ditulis olehTam Yeow Kwai (Pendidikan Moral 1, 1996;5) mengatakan bahawa
baik atau buruk merupakan pengalaman seseorang individu secara
intrinsik.Confucious iaitu ilmuan dari tamadun China menjelaskan konsep baik
sebagai satu tingkah laku yang ditunjukkan oleh seseorang kepada seseorang.
Tokoh Yunani iaitu Aristotle pula mentafsirkan konsep baik sebagai satu unsur kebahagian
yang ada dan dirasainya oleh perasaan seseorang.
Baik
dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu baik ekstrinsik dan baik intrinsik.
Baik ekstrinsik ialah perkataan baik yang digunakan untuk penilaian dan
tafsiran piawaian. Penilaian yang dibuat biasanya berdasarkan hasil standard
kerja yang dicapai. Sebagai contoh, seorang murid yang menunjukkan prestasi
yang memberansangkan dalam sesuatu ujian akan mendapat pujian guru dengan
perkataan ‘baik’ yang ditulis oleh guru berkenaan dalam kertas ujian murid
tersebut. Baik ekstrinsik juga dikaitkan dengan masa yang diperlukan untuk
sesuatu kerja. Baik dalam konteks ini bermaksud sesuatu itu dianggap baik
apabila sesuatu kerja dipermudahkan dengan bantuan sesuatu seperti teknologi.
Teknologi dapat menjimatkan masa seseorang dalam urusan seharian. Masa untuk
menyiapkan sesuatu kerja dapat disingkatkan. Bantuan seperti ini dianggap sesuatu
yang baik untuk sesebuah komuniti. Dalam membuat keputusan atau pemilihan pula,
sesorang itu akan berfikir dan menilai sesuatu material. Keputusan atau
pemilihan sesuatu material dianggap baik apabila memenuhi criteria yang
diingini oleh seseorang. Baik ekstrinsik berlaku secara luaran dan melibatkan
sesuatu yang nyata.
Baik
intrinsik pula berkaitan dengan faktor dalaman seseorang. Salah satu baik
intrinsik ialah sokongan atau nasihat. Sebagai contoh, seseorang ketua itu memuji pendapat seorang anak buahnya itu
baik. Unsur sokongan terdapat dalam pujian tersebut, oleh demikian tindakan memuji secara baik intrinsik telah
diberikan kepada anak buah ketua terbabit. Baik intrinsik ini dapat
meningkatkan keyakinan diri seseorang kerana baik intrinsik dijadikan motivasi
diri seseorang untuk terus berusaha. Selain itu, baik intrinsik juga berkaitan
dengan tindakan memuji dan menghargai seseorang. Hasil kerja yang baik atau
pertolongan yang diberikan akan mendapat kata-kata pujian dan penghargaan
seseorang. Menghargai pertolongan seseorang dan menilai orang tersebut dengan
baik adalah sesuatu tindakan yang berkait dengan baik intrinsik. Baik intrinsik
ini lebih bersifat dalaman dan berkaitan dengan moral dan tingkah laku
seseorang.
Oleh
itu, konsep baik ini oleh sering dikaitkan dengan sifat moral dan tingkah laku
seseorang. Namun begitu, baik bukan sahaja melibatkan moral seseorang sahaja
tetapi melibatkan pertimbangan dan penerimaan seseorang dalam menilai sesuatu
perkara. Faktor dalaman dan luaran serta keadaan sering mempengaruhi persepsi
seseorang dalam menilai baik atau buruk sesuatu tindakan itu.
5.2 Konsep
Benar
Perkataan
“benar” yang dimaksudkan dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ialah betul dan
mengandungi ciri-ciri penjelasan nilai. Sesuatu perkara dianggap benar jika
mempunyai fakta, sebab dan bukti yang sah berlakunya sesuatu atau diterima oleh
masyarakat.
Tam
Yeow Kwai (Pendidikan Moral, 1996;6) menyatakan konsep benar sebagai betul dan
mengandungi ciri penjelasan nilai. Pendapat G.E Moore pula terhadap benar
ialah tingkah laku benar atau salah
bergantung kepada darjah keseronokan yang dihasilkan. Kebenaran yang terhasil
hanya dapat dirasai secara intrinsik. Confucious pula mendefinisikan benar
sebagai sesuatu yang hanya wujud dalam hati manusia. Hanya manusia yang dapat
menilai sesuatu itu samada perkara itu benar ataupun tidak. Pandangan tokoh
barat iaitu Dewey dalam buku Tam Yeow Kwai (Pendidikan Moral, 1996;6) pula
menyatakan benar adalah sesuatu perkara yang abstrak dan hanya wujud dari permintaan
orang lain keatas diri kita.. Autoriti benar menjadi sesuatu permintaan atau
pengakuan seseorang individu itu.
Konsep
benar dapat dibahagikan kepada tiga. Benar dalam konteks tersebut ialah
kebenaran mutlak, kebenaran secara saintifik dan kebenaran secara relatif.
Kebenaran secara mutlak ialah kebenaran yang berkaitan dengan agama.
Kepercayaan kepada tuhan dan menurut ajaran agama merupakan tugas kebenaran
yang mutlak. Kebenaran mutlak ini tidak dapat dipertikaikan kerana manusia
pastinya ada yang mencipta dan pencipta itu ialah Yang Maha Esa. Perkembangan
sains dan amalan sosial pastinya tidak dapat merungkai kebenaran mutlak ini
secara ekstrinsik kerana kebenaran ini telah wujud dalam diri dan akal manusia
itu sendiri serta telah dinyatakan dalam kitab-kitab suci. Kebenaran secara
mutlak diiringi dengan keimanan akan mengukuhkan kekuatan moral seseorang dan
seterusnya dapat membaiki akhlak seseorang dalam tingkah lakunya.
Kebenaran
secara saintifik ialah sesuatu kebenaran yang dibuktikan dengan fakta-fakta,
serta pelbagai maklumat yang telah dikumpul dan dianalisis secara saintifik.
Analisis yang diperoleh dapat menentukan kebenaran sesuatu secara terperinci
dan tepat. Kebenaran secara saintifik ini tidak bergantung kepada pemikiran
seseorang dalam menerima kebenaran tersebut tetapi berdasarkan kenyataan yang
sah dan benar. Kebenaran secara saintifik ini diperoleh dan dinyatakan sebagai
sesebuah hukum atau teori. Namun begitu, tidak semua dapat perkara dapat
dibuktikan secara saintifik contohnya kewujudan Allah S.W.T kerana kebenaran
saintifik untuk sesuatu perkara yang dapat diuji secara fizikal dan diuji
berkali-kali mengikut skala yang ditetapkan.
Kebenaran
secara relatif pula ialah kebenaran yang berlaku secara abstrak. Contoh
kebenaran secara relatif ialah seperti pantang larang dan peraturan adat.
Pantang larang dan peraturan adat mungkin dianggap benar, namun dengan
perubahan masa mungkin pentang larang dan peraturan adat tersebut tidak sesuai
lagi digunapakai. Kebenaran ini hanya wujud secara relatif kerana ilmu
pengetahuan, kajian, pertimbangan dan kemahuan individu.
Kesimpulanya,
benar ialah sesuatu perkara yang ditafsir sendiri oleh seseorang mengikut
situasi yang wujud. Hanya kebenaran secara mutlak yang tidak dapat
dipertikaikan kebenarannya. Kebenaran secara saintifik pula perlu dibuktikan
dengan kajian yang berterusan manakalah kebenaran secara relatif perlukan
penerimaan seseorang untuk menjadikan perkara tersebut benar mengikut tanggapan
seseorang itu.
5.3 Konsep
Patut
Perkataan
patut boleh diertikan sebagai baik atau elok mengikut keadaan perangai,atau
perbuatan (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2007;1150). Moore (1903) menyatakan
“patut” membawa erti yang sama dengan “baik” kerana mempunyai unsur bertindak
secara waras dan bijaksana.
Konsep
patut memerlukan penilaian intrinsik yang memerlukan seseorang memberi
pertimbangan terhadap suatu perkara yang boleh diterima oleh sesebuah
masyarakat. Sesuatu tindakan akan dianggap tidak patut jika masyarakat tidak
menerima tindakan yang dilakukan atas sebab penerimaan sesuatu perkara dalam
masyarakat. Perkataan patut juga berkaitan dengan memberi tafsiran secara
psikologi terhadap fakta-fakta yang wujud. Dalam erti kata lain, seseorang itu
akan menilai sesuatu perkara atau tindakan yang dilakukan oleh orang lain di
samping melihat tindakan tersebut sesuai atau tidak dengan keadaan sekeliling.
Sesuatu
perkara dianggap patut jika persetujuan wujud kerana mempunyai pendapat yang
sama atau tindakan yang dianggap wajar antara seseorang individu dengan
individu yang lain. Tindakan yang dianggap patut memberi penjelasan bahawa
tindakan tersebut adalah betul dan diterima oleh masyarakat.
Oleh demikian, konsep patut ialah
sesuatu perkara yang dianggap intrinsik. Sesuatu perkara yang patut memerlukan
pemikiran yang waras dan penerimaan yang positif daripada masyarakat. Jika
penerimaan dari masyarakat positif terhadap sesuatu perkara itu, masyarakat
akan mengganggap perkara itu patut dan pelaku adalah seseorang yang bermoral.
6.0
Kesimpulan
Kesimpulannya, kemoralan yang wujud dalam manusia merupakan
alat bagi sesuatu masyarakat untuk memimpin individu dan kumpulan kecil dalam
kehidupan mereka. Moral juga menjadi batu pengukur bagi kelompok masyarakat
untuk menilai seseorang dalam tingkah lakunya. Aspek kemoralan juga mewujudkan
etika dan akhlak seseorang. Malahan, akhlak membantu dalam mengukuhkan moral
seseorang. Moral, akhlak dan etika tidak dapaat dipisahkan keran menjadi
panduan kepada manusia supaya lebih bertingkah laku mulia.
Selain itu, aspek
kemoralan bukan sahaja mewujudkan institusi kehidupan sosial yang seimbang
malahan dapat membantu membimbing individu berfikir secara rasional dalam
kalangan masyarakat supaya masyarakat dapat menerima pandangan seseorang
individu. Pandangan seseorang itu mewujudkan konsep baik, benar dan patut.
Konsep baik, benar dan patut merupakan suatu konsep yang dinilai berdasarkan
situasi. Seseorang perlu menilai dalam membuat keputusan supaya masyarakat
dapat menggangap tindakan tersebut adalah baik, benar dan patut. Penerimaan
masyarakat dalam sesuatu perkara amatlah perlu dan penilaian seseorang yang
dipengaruhi moral yang seimbang mewujudkan situasi yang harmoni. Selain itu, komuniti
masyarakat akan lebih berkembang dengan positif.
No comments:
Post a Comment