1.0 Pengenalan
Pulau
Borneo merupakan pulau ketiga terbesar di dunia dan terletak di tengah jalan
perdagangan utama dan menguntungkan serta mempunyai keluasan tanah luas yang subur
untuk yang dapat memenuhi segala keperluan kehidupan manusia.[1] Kedudukan geografi yang strategik dan sumber
bumi yang belum diterokai sepenuhnya menjadikan pulau ini salah satu pulau yang
menjadi tumpuan untuk penjelajahan, penjarahan dan penjajahan oleh kuasa Barat
pada sekitar awal abad ke 17 sehingga abad ke 18.
Dari segi konsep, Penjelajahan dapat
didefinisikan sebagai satu kegiatan mengelilingi atau berjalan ke merata-rata
tempat. Manakala, penjarahan bermaksud merompak atau menceroboh sesuatu kawasan
secara paksa untuk tujuan yang tersendiri terutamanya bagi kepentingan pihak
yang menjarah itu sendiri.[2] Penjelajahan pula dapat ditakrifkan
sebagai kegiatan sesebuah negara untuk meluaskan wilayah dengan menguasai dan
menjelajah negara-negara lain sama ada dari aspek ekonomi, politik mahupun
sosial dan dari perspektif ‘imperialisme’
bermaksud satu bentuk penguasaan negara-negara yang kuat terhadap negara-negara
yang lemah yang bertujuan utamanya adalah untuk mengeksploitasi sumber-sumber
yang ada di negara tersebut demi kepentingan untuk mengukuhkan kuasa negara
mereka.[3]
Sebelum kedatangan kuasa Barat di
sekitar Perairan Borneo, wilayah di sekitar perairan Borneo dikuasai oleh
Kesultanan Melayu Brunei dan Sultan Bulkiah merupakan pemerintah kelima dalam
Salasilah Kesultanan Brunei yang telah ditabalkan takhta kerajaan pada awal
abad ke-16. Pada ketika ini, Kesultanan Melayu Brunei mencapai zaman kegemilangan
sehingga telah diberi gelaran sebagai Nakhoda Ragam kerana baginda merupakan
seorang ahli pelayaran yang cekap dan handal sehingga disamakan seperti ‘Putera
Henry Ahli Pelayaran’ di Eropah.[4] Semasa di bawah
pentadbiran dan pemerintahan Sultan Bulkiah, Borneo khususnya Brunei telah
menjadi salah satu kawasan tumpuan perdagangan daripada saudagar Eropah, China
dan India. Malah, Sultan Bulkiah juga telah menjalinkan hubungan diplomatik
dengan raja-raja Islam di Indonesia, dan China. Impaknya, pada ketika ini Pulau
Borneo khususnya Brunei telah menjadi salah satu kawasan terpenting di Asia
Tenggara.[5]
Walau
bagaimanapun, perkembangan dan persaingan antara kuasa Barat yang menjalankan
dasar Gold, Gospel dan Glory telah
mendorong kepada berlakunya kegiatan penjelajahan, penjarahan, dan penjajahan
di sekitar perairan Borneo. Justeru, dalam membincangkan faktor kedatangan
kuasa Barat di perairan Pulau Borneo, tiga faktor utama dapat dilihat khususnya
dari segi ekonomi, sosial dan politik.
Dari
segi faktor ekonomi, perkembangan zaman perdagangan atau mercantilisms seterusnya revolusi perindustrian yang berlaku pada
abad 17-18 telah menyebabkan kuasa-kuasa Barat menumpukan perhatian ke atas Benua
Asia, Afrika dan Amerika untuk memperoleh bahan mentah dan pasaran bagi
memenuhi keperluan perindustrian.[6] Keperluan bahan mentah,
getah, arang batu, rempah dan lain-lain telah menyebabkan kuasa Barat
menumpukan perhatian di sekitar perairan Borneo yang kaya dengan sumber hasil
bumi dan laut. Manakala, dari segi faktor politik, persaingan kuasa antara
negara Eropah yang melihat faktor keluasan tanah jajahan sebagai faktor
pengukur kekuatan dan kekuasaan politik sesebuah negara serta keinginan kuasa
barat untuk mengimplementasikan ideologi pentadbiran mereka dengan
mengaplikasikan sistem pentadbiran moden untuk kepentingan perdagangan mereka
khususnya dalam menjaga kepentingan pemodal Eropah yang dikatakan mempunyai
aset di wilayah sekitar perairan Borneo.
Misalnya, tindakan kerajaan Britain yang memberikan piagam diraja kepada
Syarikat Borneo Utara pada 1st November 1881 yang bertanggungjawab
sebagai salah sebuah organisasi yang mengendalikan segala urusan pentadbiran
dan perdagangan di Borneo Utara.[7] Dari aspek sosial pula,
tanggapan dan persepsi negara Barat yang menganggap tamadun mereka berbanding
bangsa lain dan keinginan untuk menyebarkan kebudayaan dan agama Kristian di
kepulauan Borneo.[8]
Justeru,
ketiga-tiga kegiatan yang iaitu penjelajahan, penjarahan dan penjajahan yang
dilakukan oleh kuasa Eropah di Kepulauan Borneo mempunyai hubung kait. Penjelajahan
yang dijalankan menyebabkan berlakunya penjarahan seterusnya berlakunya
penjajahan di wilayah sekitar perairan Borneo. Ketiga-tiga kegiatan ini
dilakukan untuk mencapai matlamat utama mereka iaitu gold, glory dan gospel
(kekayaan, kemegahan, dan keagamaan). Walau bagaimanapun, ketiga-tiga kegiatan
ini sebenarnya telah memberikan implikasi yang besar terhadap sosial, ekonomi
dan politik kepulauan Borneo.
2.0 Kesan
Penjelajahan, Penjarahan, dan Penjajahan di Sekitar Perairan Boreno Abad Ke-19
Secara
umumnya tiga penjelajahan, penjarahan dan penjajahan kuasa Barat di perairan
Borneo dapat diperincikan kepada tiga kesan yang utama iaitu kesan ekonomi,
kesan politik dan kesan sosial.
2.1 Ekonomi
Kedatangan
masyarakat Eropah atau orang Barat di kepulauan Borneo sebenarnya memberi kesan
yang besar khususnya dari segi sistem ekonomi tempatan. Kesan utama yang dapat
dilihat khususnya sekitar penghujung abad ke-19 adalah kemerosotan pengaruh
kemasukan pedagang Islam ke Borneo. Hal ini disebabkan sistem atau dasar
ekonomi tempatan khususnya kegiatan perdagangan yang dilakukan oleh kuasa
Eropah di tanah jajahan. Kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511
menyebabkan para pedagang Islam berpindah ke Acheh di Sumatera Utara dan
Brunei.[9] Oleh itu, wujud
perdagangan dari pelabuhan Brunei dengan pelabuhan lain di kawasan Islam yang
lain di rantau Asia Tenggara. Malah, hubungan ini secara tidak langsung telah
menyebabkan atau mengangkat pelabuhan Brunei sebagai salah satu pelabuhan
entrepot terpenting di Asia Tenggara.[10] Namun, kedatangan kuasa Barat ( Belanda dan
Britain pada abad ke-17 di kepulauan Borneo telah memberi kesan kepada hubungan
pelabuhan Brunei dengan kemasukan saudagar dan pedagang Islam. Sistem monopoli yang dilaksanakan oleh kuasa
Eropah ini dapat dilihat, apabila negara Barat telah menggalakkan syarikat
perdagangan milik penuh kerajaan untuk melaksanakan sistem pentadbiran di tanah
jajahan. Misalnya, Belanda dengan Syarikat Hindian Timur Belanda (V.O.C) dan
Inggeris dengan Syarikat Hindia Timur Inggeris (E.I.C) yang membuat penempatan
di Asia Tenggara dan akhirnya Inggeris dapat bertapak di bahagian Sarawak,
Brunei, dan Borneo Utara dan Belanda menduduki kawasan kalimantan (Borneo
Selatan).[11]
Langkah awal yang diambil oleh pihak British adalah menjelajah dan menjajah
pulau Labuan pada tahun 1846 bagi menempat pangkalan laut dan pelabuhan bagi
tujuan mengawal jalan perdagangan mereka ke Negara China.[12] Usaha yang dilaksanakan
oleh kedua-dua kuasa Eropah adalah untuk menghapuskan pengaruh pedagang dan
saudagar Arab yang memonopoli perdagangan rempah ratus dan untuk tujuan
memenuhi keperluan bahan mentah dan pasaran. Kesannya, pengaruh pedagang dan saudagar
Arab di kepulauan Borneo terjejas.
Kesan ekonomi lain yang dapat
diperhatikan adalah kewujudan sistem ekonomi baru di kepulauan Borneo. Tuntutan
keperluan yang tinggi terhadap bahan mentah bagi mengerakkan revolusi Industri.
Jika dilihat sebelum kedatangan kuasa Barat, penduduk peribumi pada awalnya
mengamalkan ekonomi sara diri seperti bercucuk tanam dan memungut hasil hutan
seperti rotan dan damar. Segelintir daripada mereka yang menjalankan aktiviti
perdagangan secara kecil-kecilan seperti perdagangan kelapa, hasil hutan dan
hasil laut. Selain itu, sumber ekonomi masyarakat Sabah ialah nelayan dan
memungut hasil sarang burung. Keadaan ini merupakan ekonomi sara diri dan
sistem perniagaan adalah menggunakan sistem barter iaitu pertukaran barang
perniagaan antara penjual dengan pembeli.[13] Selepas kedatangan kuasa
Barat, kegiatan ekonomi baru telah wujud yang didapati menguntungkan seperti
tembakau, pembalakan, dan arang batu. Menjelang tahun 1889 terdapat tidak
kurang 78 syarikat yang mengambil tanah di Borneo Utara kebanyakannya untuk
tanaman tembakau. Tanaman tembakau mendapat keuntungan yang banyak apabila
harganya melambung pada tahun 1894.[14] Kegiatan menanam getah
juga turut berkembang pesat terutamanya di bahagian Pantai Barat. Jumlah
keluasan ladang getah mencapai 125 000 ekar.[15] Perusahaan kayu balak
turut dijalankan dengan di monopoli syarikat Borneo Timber Company, Bombay-Burmah
Trading Corporation, Kennedy Bay Timber Company dan North Borneo Timner
Limited.[16]
Selain itu, perusahaan arang batu turut diperkenalkan yang dilombong di Tawau, Sandakan dan Labuan. Bahan
ini sangat diperlukan untuk kegunaan kapal-kapal wap ketika itu seterusnya merancakkan
lagi sektor perdagangan.[17] Kegiatan ekonomi baru
yang diperkenalkan lebih dilihat menguntungkan pihak Barat berbanding penduduk peribumi
itu sendiri menyebabkan pihak Barat mengeksploitasi keuntungan daripada
kewujudan kegiatan ini manakala penduduk peribumi masih ketinggalan dan hanya
bergiat dalam aktiviti sara diri .
Kewujudan bandar pelabuhan sebagai
pusat pengumpulan hasil bumi Borneo merupakan salah satu kesan daripada
kegiatan penjelajahan, penjarahan, dan penjajahan yang dilakukan oleh kuasa
Barat. Antara bandar pelabuhan yang wujud ialah pelabuhan di Pulau Balambangan[18] di Borneo Utara dan Pulau
Labuan.[19] Pihak British menganggap
kawasan pelabuhan ini penting bagi mengumpul hasil bumi yang ingin diperdagangkan.
Pulau Balambangan telah wujud dalam peta Eropah sejak lima ratus tahun lalu
yang merupakan satu kawasan yang dibangunkan Syarikat India Timur Inggeris pada
tahun 1773 untuk dijadikan kawasan penempatan dan pusat perdagangan di Timur
Jauh.[20] Kedudukan pulau ini yang
strategik kerana berupaya mengawal dan menguasai laluan perdagangan di persimpangan
Laut Sulu dan Laut Cina Selatan serta pangkalan pertahanan bagi membasmi kegiatan
perlanunan.[21]
Manakala, pembukaan Pulau Labuan pula memberikan pelbagai kesan yang positif
kepada pihak British kerana berupaya menyaingi kuasa Barat yang lain yang
mempunyai minat terhadap Brunei. Kepentingan Pulau Labuan bukan sahaja sebagai
tempat peninjau British memerhati perkembangan dan pergolakan politik yang
berlaku di Brunei malah kedudukannya yang strategik dan kaya dengan sumber
arang batu telah menjadikan pulau ini sebagai pusat perdagangan dan
persinggahan kapal moden.[22]
Secara
keseluruhannya, kewujudan bandar pelabuhan di kedua-dua pulau ini telah
merancakkan lagi aktiviti perdagangan di sekitar perairan Borneo dengan sistem
monopoli ekonomi yang dilakukan oleh pihak pemerintah.
2.2 Politik
Pengaruh
politik merupakan aspek penting yang perlu dilihat khususnya dalam melaksanakan
segala urusan pentadbiran dalam sesuatu wilayah jajahan. Maka tidak hairanlah
kuasa Eropah berusaha campur tangan dalam pergolakan politik tempatan khususnya
yang berlaku di Brunei. Melalui penjelajahan, penjarahan seterusnya penjajahan
telah memberi kesan yang ketara terhadap aspek politik misalannya wujudnya
persempadanan yang jelas antara kuasa Barat yang menjajah di sekitar perairan
Borneo.[23] Pada tahun 1638,
kekalahan Kesultanan Sulu dalam perang dengan kuasa Sepanyol telah menyebabkan
Sepanyol menghantar sebuah kapal perang ke Sandakan bagi menuntut wilayah
Borneo Utara sebagaimana yang tertakluk dalam Perjanjian Sepanyol – Sultan Sulu
Julai 1878.[24]
Walau bagaimanapun, William Prayer sebagai penguasa Sandakan tidak tunduk
dengan tuntutan kuasa Sepanyol. Bagi mengatasi masalah yang berlaku antara
kedua-dua kuasa Barat ini, satu rundingan antara kedua-dua kerajaan dijalankan
dan Sepanyol bersetuju untuk menggugurkan
tuntutan ke atas Borneo Utara.[25] Namun, kuasa barat yang
lain juga seperti Belanda dan British tidak ketinggalan menghadapi
Selain
itu, kesan Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 yang tidak menyatakan pembahagian
kuasa di wilayah Borneo telah menimbulkan konflik dan kebimbangan pentadbiran Belanda
di Kalimantan akan kedudukannya yang akan diganggu gugat oleh pihak Syarikat Berpiagam
Borneo Utara.[26]
Oleh itu, pada bulan September 1879 mereka menghantar satu pasukan tentera laut
ke Batu Tinagat di Sungai Sebuku.[27] Apbila W.H. Treacher
dilantik menjadi gabenor pertama Borneo Utara, beliau cuba menetapkan wilayah
syarikat hingga ke Sungai Sebuku dan kerajaan British dan Belanda dengan
menubuhkan Suruhanjaya Sempadan pada tahun 1884 serta persetujuan
ditandatangani pada bulan Jun 1809.[28] Sempadan yang kini
memisahkan tanah jajahan British di Borneo Utara daripada wilayah Borneo
Indonesia telah ditetapkan bersama oleh satu pasukan juruukur British-Belanda
dalam tahun 1912.[29] Jelas memperlihatkan
situasi ini telah mewujudkan garisan sempadan yang jelas antara kuasa Barat
yang menjajah di sekitar perairan Borneo.
Di samping itu, kesan lain yang turut
timbul daripada ketiga-tiga kegiatan ini kemerosotan pengaruh dalam kalangan pembesar
tempatan.[30]
Dalam konteks Borneo Utara, penyerahan dan kemerosotan pengaruh pembesar
tempatan ini dapat dilihat menerusi penyerahan wilayah milik pembesar tempatan
kepada SBBU. Misalnya, pada tahun 1883 W. H. Treacher konsul Besar British di
Labuan telah berjaya menguasai kawasan Sungai Pangalat dengan bayaran $300
setahun menyebabkan Pangiran Muda Damit bersetuju menyerahkan daerah Tulinnya
kepada SBBU pada tahun 1884. Kawasan ini meliputi Lembangan Sungai Putatan.[31] Kemudian pada Mac 1885,
Pangeran Syahbandar yang menguasai kawasan Padas Damit pula bersetuju
menyerahkan kawasan tersebut dengan bayaran $2,130 setahun.[32]Manakala di Sarawak, pengisytiharan
oleh Pangeran Muda Hashim kepada James Brooke sebagai raja dan Gabenor Sarawak
pada 24 November 1841 menyebabkan kuasa pembesar di wilayah ini semakin merosot
ditambah lagi apabila pada tahun 18 Ogos 1842 James Brooke menerima surat
pelantikan daripada Sultan Brunei sebagai Raja Sarawak.[33] Peranan dan kuasa
pembesar tempatan semakin merosot ekoran ketiga-tiga kegiatan ini terutamanya
dari aspek pentadbiran dan kuasa memungut cukai.
Kesan
politik lain yang wujud akibat daripada ketiga-tiga kegiatan ini menyebabkan
kemasukan kuasa Barat dalam mencampuri hal ehwal politik dalam pentadbiran
tempatan. Pada tahun pada 18 Disember 1846. Pulau Labuan telah diambil oleh
pihak Inggeris dan seterusnya permulaan pertapakan kuasa British di bumi Brunei
dengan termeterainya perjanjian Naungan 1905/1906 antara Brunei dan Great
Britain menyebabkan kuasa Barat ini mula campur tangan dalam pergolakan politik
di Brunei.[34]
Perjanjian naungan ini bukan sahaja telah mengubah corak pemerintahan tradisi
kesultanan tetapi juga telah menyebabkan titik permulaan pertapakan kuasa
British dalam hal ehwal pemerintahan Negeri Brunei dan pengambilan kuasa ini
telah berjalan secara perlahan dengan berdasarkan kepada syarat perjanjian
bahawa;
His
Highness will receive a British officer to be styled Resident and will provided
a suitable Residence for him…and his advice must be taken and acted upon on all
question in Brunei.[35]
Pada
bulan Ogos 1839, ketika Brooke singgah di Kuching wilayah ini sedang dilanda
pemberontakan anti-Brunei yang dilancarkan oleh orang Melayu dan Bidayuh yang menentang
Pangeran Mahkota, Raja Sarawak yang dilantik Sultan Brunei.[36] Raja Muda Hashim telah
meminta bantuan Brooke untuk menyelesaikan masalah ini dengan menjanjikan jawatan raja kepada beliau sekiranya menangani
pemberontakan ini dan akhirnya Brooke telah berjaya menghentikan pemberontakan
ini seterusnya dilantik menjadi Rajah Sarawak pada bulan September 1841.[37] Jelas menunjukkan campur
tangan pihak Barat dalam hal ehwal politik telah menjadi batu loncatan kepada
mereka terus bertapak kukuh di wilayah di sekitar perairan Borneo.
Kewujudan atau pengenalan sistem
pentadbiran Barat selepas berjaya menakluki wilayah di sekitar perairan Borneo merupakan
salah satu kesan terhadap aspek politik akibat daripada kegiatan penjelajahan,
penjarahan, dan penjajahan. Sebelum kedatangan Syarikat Berpiagam di Borneo
Utara, sistem politik peribumi dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu sistem
politik kesukuan, sistem politik kesultanan, dan ketua Bebas yang dipelopori
sendiri oleh pembesar tempatan.[38] Selepas kedatangan pihak
Barat, pihak Syarikat Berpiagam telah membentuk pentadbirannya berasaskan
Piagam Diraja 1 November 1881 dan melantik William Hood Treacher sebagai
Gabenor Borneo Utara yang pertama (1881-1895).[39] Pihak syarikat telah
menubuhkan beberapa jabatan kerajaan untuk melicinkan pentadbirannya
terutamanya dari aspek kesihatan, pelajaran dan hutan serta menubuhkan Majlis Perundangan yang dianggotai oleh sebelas ahli seterusnya
pada tahun 1935 Sabah dibahagikan kepada empat residensi iaitu di Tawau,
Sandakan, Pantai Barat, dan pendalaman.[40] Institusi tempatan Ketua
Anak Negeri turut diwujudkan di
peringkat daerah dan kampung seterusnya diiktiraf dan dimasukkan ke dalam
sistem kerajaan.[41]
Manakala, di Sarawak James Brooke mempunyai sistem pentadbiran yang tersendiri.
James Brooke menggunakan corak pemerintahan autokratik dan berkuasa mutlak.[42] Di peringkat tempatan,
peranan Rajah diwakilkan kepada Residen atau Pegawai Daerah dan Rajah juga
cekap mengimbangkan kuasa di antara kaum-kaum etnik dengan menggunakan strategi
‘pecah dan perintah’.[43] James Brooke turut
memperkenalkan undang-undang bagi mengembangkan perdagangan serta melindungi
golongan kaum peribumi yang tertindas dengan mengemukakan satu set
Undang-undang pada bulan Januari 1842 yang mengandungi lapan artikel, lima
daripadanya menjamin kegiatan perdagangan dan yang lain bertumpu kepada
penghapusan jenayah (amalan ngayau), serta hal ehwal kewangan dan pencukaian.[44] Jika dilihat corak
pemerintahan syarikat di Borneo Utara dan James Brooke di Sarawak berbeza
kerana pihak syarikat lebih bercorakkan pemerintahan berjimat cermat dan di
Sarawak lebih mengutamakan kepentingan penduduk peribumi.
2.3 Sosial
Tanggapan
dan persepsi bangsa Eropah yang mempunyai ketamadunan yang tinggi berbanding
dengan bangsa lain dan mempunyai r tanggungjawab untuk mentamadunkan bangsa
lain telah menyebabkan mereka menjalankan penjelajahan, penjarahan, dan
penjajahan. Langkah ini dilihat merupakan kaedah terbaik untuk menerapkan
kebudayaan mereka terhadap bangsa lain. Impaknya, penyerapan kebudayaan barat
ini dapat dilihat menerusi perubahan sosial apabila mereka telah melakukan
penyebaran agama Kristian di wilayah taklukan di sekitar perairan Borneo.[45]
Penyebaran
agama Kristian dipertanggungjawabkan kepada para mubaligh dari Eropah untuk
menyebarkan agama Kristian. Sebelum kedatangan Barat, kesultanan Brunei
dipengaruhi oleh agama Hindu-Buddha apabila kerajaan Buddha Srivijaya di
Sumatera (lebih kurang tahun 800 Masihi) menjadikan Borneo tempat persinggahan.
Pengaruh agama Islam mula tersebar selepas kejatuhan kerajaan Majapahit apabila
pedagang Arab yang singgah ke Melaka seterusnya singgah pula ke Brunei. Keadaan
ini secara tidak langsung digunakan oleh para pedagang Islam untuk menyebarkan
agama Islam. Impaknya, Kesultanan Brunei telah wujud sebagai salah sebuah Kesultanan
Islam pada akhir abad kelima belas. Namun, selepas kedatangan kuasa Barat,
usaha penyebaran agama Kristian dilakukan kepada masyarakat peribumi Sarawak
dan Borneo Utara yang masih mengamalkan budaya pagan dan mengamalkan
kepercayaan animisme dan pada abad ke-19, telah menjadi sasaran para mubaligh
untuk menyebarkan kepercayaan Kristian.[46] Hal ini kerana, usaha
para mubaligh yang berusaha menyebarkan agama Kristian kepada para penduduk
Islam ternyata gagal. Malah, perkahwinan campur antara orang Kristian dengan
penduduk tempatan mengembangkan lagi agama Kristian dan Belanda menyebarkan
agama Kristian mazhab Calvinists dalam kalangan orang asli di Pulau Ceram dan
Halmahera.[47]
Hal ini jelas memperlihatkan kesungguhan kuasa Barat yang ingin menyebarkan
agama Kristian dalam kalangan peribumi seterusnya meningkatkan lagi tahap
ketamadunan Eropah.
Kesan
lain yang dapat diperhatikan adalah kewujudan sistem pendidikan formal yang
berteraskan sistem pendidikan sebagaimana yang wujud di Eropah.[48] Sebelum kedatangan Barat, Borneo Utara dan Sarawak
masih belum mempunyai sebarang sistem pendidikan yang terancang dan formal
kerana kebanyakan pendidikan yang wujud hanyalah pendidikan agama yang di ajar
di masjid dan surau dan pendidikan tradisional yang diturunkan daripada ayah ke
anak. Namun, sistem pendidikan formal mula wujud di Borneo Utara apabila
Gabenor W. H. Treacher membina sekolah Inggeris dibina pertama di Sandakan pada
tahun 1883 iaitu Sekolah St. Michael. Pembinaan sekolah ini adalah atas usaha
pertubuhan mubaligh katolik serta beberapa pertubuhan yang terlibat dalam kegiatan pendidikan seperti Society of Propagations
of the Gospel (Anglican), Mill Mill Mission, Basel Mission dan Seventh Day Adventist.[49] Untuk memastikan sistem
pendidikan formal di Borneo Utara berjalan dengan lebih baik, SBBU telah
menubuhkan Jabatan Pelajaran pada tahun 1909. Tujuan lain penubuhan Jabatan
Pelajaran ini adalah untuk mengendalikan dan mengawasi sekolah. Malah, pada
sekitar tahun 1920, pendidikan untuk orang Melayu dititikberatkan apabila
sekolah Melayu diwujudkan dengan para guru dari Negeri-negeri Melayu Bersekutu.
Manakala, bagi masyarakat Cina pula, mereka mengendalikan sistem pendidikan
secara persendirian yang berteraskan sistem pendidikan di China.[50]
Bagi
konteks sistem pendidikan di Sarawak pula khususnya semasa di bawah
pemerintahan Raja James Brooke, beliau memperkenalkan sekolah Mission
sebagai percubaan dalam pewujudan sekolah yang lebih formal.[51] Namun sebenarnya telah
wujud sistem pendidikan Melayu di Sarawak, ini dibuktikan menerusi kewujudan Sekolah
Melayu kerajaan yang pertama dibuka pada 21 Jun 1883 di Kuching yang di khaskan
untuk orang Melayu sahaja yang dikenali sebagai Sekolah Abang Kassim yang kemudiannya
menjadi Sekolah Kampung Jawa.[52] Kemudian semasa pemerintahan
Charles Brooke, beliau telah memperkenalkan Kolej Kebangsaan Sarawak (Government Lay School) yang ditimbulkan
dalam Mesyuarat Majlis Negeri pada 25 Januari 1901 yang tujuan pengajaran
dilakukan mengikut bahasa seperti Melayu, Cina, dan India.[53] Walau bagaimanapun,
rancangan ini ditentang oleh masyarakat Melayu dan Cina. Oleh itu, beliau telah
mengambil keputusan untuk menggabungkan Kolej Kebangsaan Sarawak dengan Sekolah
Kampung Jawa pada tahun 1931 dan dikenali sebagai Madrasah Melayu Sarawak.[54] Sekolah Inggeris pula
dipelopori oleh badan-badan mubaligh Kristian seperti Mazhab Anglikan, Roman Katolik, Seven Day Adventist
dan Methodist dan pelajar lepasan
sekolah ini diambil bekerja dengan jabatan kerajaan.[55] Jika di perhatikan
golongan mubaligh-mubaligh Kristian telah diberi kepercayaan oleh pihak
Syarikat dan Brooke dalam mengelola sistem pendidikan Barat yang diperkenalkan.
Kesan sosial lain yang dapat dilihat
ekoran daripada ketiga-tiga kegiatan ini adalah peningkatan aktiviti perlanunan
dalam kalangan pembesar dan masyarakat tempatan.[56] Penaklukan kuasa Barat di
sekitar wilayah Borneo, merupakan faktor utama yang menyebabkan kewujudan
aktiviti perlanunan ini. Seperti yang dinyatakan oleh Rutter dalam bukunya The Pirate Wind;
Bahawa orang-oarang baratlah yang menjadi
perintis dalam aktiviti perlanunan dan huru-hara yang meluas di sekitar
perairan Borneo.[57]
Faktor
lain yang membawa kepada kewujudan aktiviti perlanuan adalah;
I.
Dasar
monopoli pedagang Barat yang menyebabkan para pembesar dan rakyat tempatan kehilangan
mata pencarian.
II.
Dasar
agama penjajah yang cuba menyebarkan agama Kristian di sesetengah tempat.
III.
Kelemahan
kesultanan Melayu Brunei apabila berlaku pergolakan politik dalaman dan
menyebabkan suasana kacau bilau.
IV.
Pemberian
Sarawak kepada James Brooke pada tahun 1842 yang menyebabkan ramai pembesar
tempatan rasa tidak puas hati disebabkan hilang punca pendapatan.[58]
Kesan
yang timbul daripada kegiatan perlanun ini adalah berlakunya rompakan
kapal-kapal yang membawa barangan bernilai dan rompakan pekan kecil.
Implikasinya, Sultan Brunei telah mengenakan kadar cukai yang tingi kepada rakyatnya
untuk membangunkan semula pekan tersebut. Malah, aktiviti perdagangan juga tergendala
kerana pedagang merasa tidak selamat dan ketakutan untuk berdagang. Kesan paling
ketara akibat kegiatan perlanunan adalah apabila tindakan kuasa Barat yang menjadikan
isu perlanunan sebagai alasan untuk campur tangan di sesebuah kawasan.[59] Antara langkah yang di
ambil oleh pihak Barat untuk menangani masalah ini Raja Putih telah meminta
bantuan tentera laut daripada Laksamana Madya Sir Francis Collier, Pemerintah
Tertinggi bagi Pangkalan Timur Jauh yang menghantar kapal H.M.S Albatross yang
belayar dari Kuching ke Saribas pada 24 Julai 1849. Brooke telah menyerang
hendap lanun-lanun di Saribas dan berjaya menumpaskan mereka.[60] Tegasnya, kewujudan
aktiviti perlanunan di dorong oleh pengaruh Barat itu sendiri menyebabkan
pembesar dan rakyat tempatan mencari jalan singkat untuk mencari sumber
pendapatan.
Di samping itu, beberapa amalan kebudayaan
dan adat tradisional yang dihapuskan oleh Barat merupakan salah satu kesan
sosial lain yang berlaku akibat kegiatan penjelajahan, penjarahan, dan
penjajahan.[61]
Misalnya, penghapusan budaya sistem perhambaan. Sebelum kedatangan kuasa Barat,
sistem perhambaan merupakan satu sistem yang diamalkan oleh para pembesar dan
sultan. Walau bagaimanapun, golongan hamba mempunyai kedudukan yang baik dan
terjaga khususnya hamba yang bertugas sebagai pesuruh terutama sekali bagi
kerja rumah atau lain-lain pekerjaan buruh.[62] Namun, selepas kedatangan
kuasa Barat, sistem perhambaan ini mengalami masalah yang besar apabila tekanan
ke atas sistem sosial, politik, dan ekonomi Brunei. Tindakan kuasa Barat yang
menghapuskan sistem perhambaan telah memberi kesan kepada para pembesar Brunei yang
kehilangan hak perdagangan hamba abdi yang merupakan salah satu punca ekonomi
yang menguntungkan.[63] Selain itu, amalan
kebudayaan lain yang dihapuskan oleh kuasa Barat adalah upacara ngayau iaitu
pemenggalan kepala yang diamalkan oleh masyarakat peribumi khususnya orang
Iban. Tindakan kuasa Barat yang melihat budaya tersebut yang tidak bertamadun
dan melanggar hak asasi manusia telah mencetuskan rasa tidak puas hati dalam
kalangan penduduk peribumi.
3.0 Kesimpulan
Secara
keseluruhannya, kesan kegiatan penjelajahan, penjarahan, dan penjajahan oleh
kuasa Eropah di Borneo dapat dilihat menerusi tiga aspek penting iaitu ekonomi,
politik, dan sosial. Kesan ekonomi yang dapat diperhatikan adalah monopoli
hasil bumi untuk kepentingan kuasa-kuasa Eropah itu sendiri. Manakala, aspek
politik pula kekuasaan Kesultanan Melayu Brunei semakin merosot di samping
kekuasaan Eropah semakin bertapak kukuh. Dari aspek sosial pula, pengembangan
agama Kristian oleh para mubaligh Kristian telah menyebabkan beberapa
kebudayaan tempatan terhapus. Tindakan penjelajahan, penjarahan, dan penjajahan
adalah berasaskan matlamat utama mereka iaitu Gold, Gospel, dan Glory.
RUJUKAN
Abdul
Rahman Haji Ismail. (2007). Malaysia Sejarah
Kenegaraan Dan Politik. Selangor:
Dawama Sdn. Bhd.
Baszley Bee
B. Basrah Bee & Sabihah Osman et. al.
(2009). Asas Kajian Persempadanan Negeri
Sabah. Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah.
Baszley Bee
B. Basrah Bee. (2004). Antara Kartografi Pulau
Balambangan Abad Ke 16-17 Masehi. (tidak diterbitkan).
J.A. Hobso.
N. (1938). Imperialism: A Study, First
Edition. Copyright By Harper-Collins Publisher Ltd.
Joyce M.
Hawkins. (2008). Kamus Dwibahasa Oxford
Fajar Edisi Ke 4. Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Mat
Zin Mat Kib. (2003). Kristian Di Sabah
1881-1994. Bangi: Unieversiti Kebangsaan Malaysia.
Mazlan
Abdullah. (1978). Sejarah Malaysia Timur.
Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors.
Mohd Isa.
(2002). Sejarah Malaysia (1800-1963).
Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors.
Mohd.
Nor Ghani & Noraini Ismail. (1986). Borneo
Abad Kesembilan Belas Kajian Mengenai Persaingan Politik. Selangor: Malindo
Printers Sdn. Bhd.
Muhammad
Hadi Bin Md Melayong. Hubungan Brunei-
Great Britain. (tidak diterbitkan)
Sabihah
Osman. (1985). Pentadbiran Pribumi Sabah
(1881-1941). Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Sabihah
Osman. (1990). Perkembangan Pelajaran
Bumiputera Sarawak. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.
Syed
Idrus Syed Ahmad & R. Santhiram. (1990). Perkembangan Pendidikan Di Sarawak. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
& Pustaka.
No comments:
Post a Comment