. Amoi Chantek: Tugasan EDU 3073 iaitu Bimbingan dan Kaunseling Kanak-kanak Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Wednesday 6 September 2017

Tugasan EDU 3073 iaitu Bimbingan dan Kaunseling Kanak-kanak

PENGENALAN TUGASAN
Bimbingan bukanlah elemen yang baru dalam masyarakat kita. Sejak dahulu lagi bimbingan telah wujud dan sebati dengan corak kehidupan masyarakat. Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di sekolah Malaysia telah mula diperkenalkan pada tahun 1960. Di sekolah, perkhidmatan bimbingan adalah bersifat peribadi yang bertujuan memberi bantuan kepada individu untuk membuat pilihan dan peyesuaian diri dalam hidupnya. Manakala, di peringkat sekolah rendah ia merupakan peringkat pertengahan zaman kanak-kanak iaitu dari umur 6 hingga 12 tahun. Pada usia ini, kanak-kanak yang diistilahkan sebagai murid-murid ketika berada di sekolah lebih cenderung kepada aktiviti-aktiviti yang bercorak permainan.
            Selain itu, perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling bertambah penting sekarang kerana negara-negara mengalami perubahan pesat. Faktor kesibukan ibu bapa, pengaruh rakan sebaya dan media massa telah mendatangkan pelbagai kesan kepada masyarakat dan negara. Bagi merealisasikan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan menyahut cabaran Wawasan 2020 perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling ini semakin penting serta dapat membantu murid mencapai celik akal dan kesejahteraan hidup. Dalam masa yang sama keberkesanan perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di sekolah dapat membantu mengatasi masalah sosial dalam kalangan murid.
            Tugasan EDU 3073 iaitu Bimbingan dan Kaunseling Kanak-kanak pada semester 7 ini, dalam penulisan esei, penulis dikehendaki untuk memilih dua jenis terapi yang sesuai untuk membantu murid bermasalah tingkah laku dalam pembelajaran yang serius. Penulis juga dikehendaki untuk mendapatkan seorang murid yang bermasalah dan aplikasikan dua terapi tersebut bagi membantunya serta menerangkan langkah-langkah (prosedur) pelaksanaan secara teliti dan sistematik berhubung aplikasi (penggunaan) terapi yang telah dipilih. Bagi tugasan seterusnya pula, penulis diminta untuk membuat refleksi keseluruhan tugasan yang panjangnya dalam lingkungan 500 patah perkataan.



Penulisan Esei
Sebagai seorang guru bimbingan di sekolah, pilih dua jenis terapi yang sesuai untuk membantu murid bermasalah tingkah laku dalam pembelajaran yang serius. Dapatkan seorang murid yang bermasalah dan aplikasikan dua terapi tersebut bagi membantunya. Terangkan langkah-langkah (prosedur) perlaksanaan secara teliti dan sistematik berhubung aplikasi (penggunaan) terapi yang telah dipilih.

1.0 KONSEP BIMBINGAN, KAUNSELING DAN PSIKOTERAPI
Secara amnya perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling adalah bersifat peribadi yang bertujuan memberi bantuan kepada individu untuk membuat pilihan dan penyesuaian diri dalam kehidupan seharian. Untuk memahami bagaimana kaunselor sekolah bekerja bersama murid dalam program Bimbingan dan Kaunseling yang komprehensif, adalah penting untuk kita memahami bagaiamana Bimbingan dan Kaunseling berkembang di sekolah. Berikut merupakan konsep bimbingan kaunseling dan psikoterapi yang diberikan oleh beberapa orang tokoh dalam bidang Bimbingan dan Kaunseling:

1.1 Konsep Bimbingan
Bimbingan atau guidance dalam bahasa Inggeris membawa erti memberi panduan atau nasihat kepada seseorang. Crow dan Crow (1983) dalam buku Konsep Bimbingan dan Kaunseling menjelaskan bahawa bimbingan di bawah konteks pendidikan merujuk kepada bantuan atau pertolongan yang diberikan dengan betul kepada murid yang berkenaan. Menurut Mok Soon Sang (2010) murid yang memerlukan bimbingan merujuk kepada murid yang menghadapi masalah peribadi dari segi intelek, rohani, emosi ataupun sosial. Masalah-masalah yang dihadapi oleh murid di peringkat sekolah boleh digolongkan dalam dua kategori utama, iaitu masalah akademik dan masalah emosi-sosial. Di dalam proses bimbingan, murid yang berkenaan akan diberi panduan atau nasihat yang boleh membantunya menyelesaikan masalah tertentu.
Shertzer dan Stone (1974) dalam buku Bimbingan dan Kaunseling Kanak-kanak menerangkan bimbingan sebagai suatu proses yang membantu individu memahami diri mereka dan dunia mereka. Individu tersebut akan dibantu oleh guru bimbingan atau kaunselor agar menyedari segala kekuatan dan kelemahan diri mereka. Dengan itu, mereka akan menentukan aras aspirasi yang lebih realistik dengan kebolehan dan minat mereka.
            Menurut Alice Crow (1964) pula, bimbingan sebagai bantuan yang diberi kepada seseorang individu bagi menentukan matlamat jangka pendek dan panjang, merancang cara-cara bertindak serta memperbaiki sikap dan tingkah laku dalam aspek-aspek yang perlu.
            D.W. Lefever (1970) menjelaskan bimbingan sebagai suatu proses pendidikan yang berlanjutan, tersusun dan sistematik. Bimbingan bertujuan membantu seseorang individu melalui daya usahanya sendiri untuk mengembangkan kebolehannya serta membuat penyesuaian diri dengan kehendak masyarakat agar memperoleh kesejahteraan hidup.
            Lee Keok Cheong et. all (2012) menyatakan bahawa bimbingan bukan merupakan proses memberikan arahan kerana pembimbing tidak membuat keputusan untuk murid atau klien tanpa mengambil kira apa langkah yang diambil ketika membimbing, matlamat atau hasil yang dicapai merupakan usaha individu itu sendiri. Selain itu, pembimbing tidak menentukan cara-cara individu itu memenuhi kehendak, keperluan atau minatnya di samping diikhtiarkan oleh individu itu sendiri.
            Menurut Akhiar Pardi dan Shamsina Shamsuddin (2013) bimbingan merupakan bantuan yang diberikan kepada murid agar mereka dapat menyesuaikan diri dengan orang lain serta persekitaran bilik darjah tempat murid tersebut belajar. Bimbingan adalah satu proses di mana murid dibantu untuk belajar menyesuaikan diri sendiri dengan orang lain dan situasi yang dihadapi.

1.2 Konsep Kaunseling
Secara amnya kaunseling bukanlah bererti nasihat walaupun terdapat unsur nasihat di dalamnya. Kaunseling adalah perkhidmatan utama yang termasuk dalam program bimbingan. Ini kerana perkhidmatan kaunseling sering disifatkan sebagai nadi kepadaa  program bimbingan. Menurut Lee Keok Cheong et. all (2012) istilah kaunseling berasal daripada perkataan Inggeris iaitu counseling. Berikut merupakan pengertian kaunseling yang diberikan oleh beberapa orang tokoh dalam buku Bimbingan dan Kaunseling Kanak-kanak (2012):
            Shertzer dan Stone (1974) mentakrifkan kaunseling sebagai suatu proses interaksi yang membolehkan individu itu memahami diri dan persekitarannya. Hal ini akan membantunya membentuk matlamat dan nilai yang akan menjadi asas kepada tingkah lakunya pada masa hadapan.
            Menurut Boy dan Pine (1968) kaunseling ialah suatu perhubungan bersemuka di mana seorang klien mendapatkan bantuan daripada seorang kaunselor. Perhubungan ini mempunyai ciri-ciri seperti komunikasi yang efektif, saling hormat-menghormati, penerimaan klien seccara tulen oleh kaunselor dan penumpuan diberikan kepada keperluan masalah serta perasaan klien.
            Manakala menurut Arbuckle (1965) menjelaskan kaunseling ialah proses membantu klien melihat siapa sebenar dirinya, apa yang dimilikinya dan apa yang dia tidak boleh buat dengan mudah, apa yang sukar untuk dicapai dan apa yang tidak boleh dicapai langsung.
            Gustael dan Berdie (1953) mentakrifkan kaunseling sebagai proses berorientasikan pembelajaran yang dijalankan dalam suatu suasana sosial yang mudah, di mana kaunselor yang terlatih cuba membantu klien mencapai matlamat-matlamat hidup agar dia menjadi anggota masyarakat yang gembira dan produktif.
            Kesimpulannya, kaunseling adalah suatu perhubungan bersemuka yang disifatkan sebagai komunikasi yang berkesan dan penerimaan klien secara tulen oleh kaunselor serta perhubungan unik yang menggalakkan kebebasan pemikiran dan pernyataan perasaan klien. Perhubungan ini adalah secara terbuka di mana tanggungjawab hasil prosesnya bergantung kepada klien dan bukannya kaunselor.

1.3 Konsep Psikoterapi
Terapi ialah rawatan sesuatu penyakit fizikal atau mental melalui proses pemulihan tanpa penggunaan ubat atau pembedahan. Rawatan gangguan mental dilakukan melalui pelbagai bentuk terapi, yang merangkumi prosedur untuk memulihkan orang yang menghadapi gangguan mental.
            Terapi psikologi yang berasaskan andaian bahawa gangguan mental adalah disebabkan oleh konflik emosi, pembelajaran mala adaptif atau salah suai, kognitif atau tingkah laku bermasalah. Psikoterapi boleh diertikan sebagai pemulihan minda atau pemulihan kendiri iaitu rawatan sakit jiwa atau gangguan mental dengan menggunakan kaedah psikologi (Mok Soon Sang, 2010).
            Menurut Lee Keok Cheong et. all (2012) perkataan psikoterapi sering digunakan untuk membawa makna yang hampir sama dengan kaunseling. Oleh itu, perbezaan yang nyata antara psikoterapi dengan kaunseling tidak dapat ditentukan. Perbezaan antara kaunseling di sekolah dan situasi klinikal ialah di sekolah perkhidmatan kaunseling dikenali sebagai kaunselor manakala dalam situasi klinikal dikenali sebagai ahli psikoterapi.
            Cotton (1992) dalam buku Bimbingan dan Kaunseling Kanak-kanak telah menekankan bahawa perbezaan antara kaunseling dengan psikoterapi adalah masih kurang jelas. Hal ini kerana, program berasaskan hospital juga menyediakan perkhidmatan kaunseling dan perkhidmatan terapi.
            Terapi berasaskan biologi bermula dengan andaian bahawa gangguan mental adalah di bawah bidang patologi otak dan sistem saraf. Terapi ini yang berdasarkan andaian bahawa kesakitan individu mempunyai kecenderungan genetik yang menimbulkan gangguan mental, ketidakseimbangan sistem saraf, masalah hormon atau infleksi.

2.0 SIFAT-SIFAT SEORANG GURU BIMBINGAN YANG UNGGUL
Menurut Mok Soon Sang (2011) guru biasa memainkan peranan yang penting dalam membimbing murid di bawah jagaannya. Antara tugas guru sebagai pembimbing murid ialah penyesuaian peribadi, sosial, emosi dan akademik dengan persekitaran sekolah serta peraturan-peraturan tatatertib dan sebagainya, khasnya dalam awal persekolahan. Dalam masa yang sama, guru hendaklah memberi kesedaran kepada murid-murid di peringkat awal sehingga mereka berjaya menanamkan sikap suka belajar dalam diri mereka. Berikut merupakan sifat-sifat yang perlu ada dalam diri seorang guru bimbingan:
Seorang guru bimbingan hendaklah memiliki sifat-sifat yang positif dan terbuka yang boleh dicontohi oleh orang lain terutamanya murid-murid. Guru bimbingan tidak seharusnya bersifat hipokrit untuk menarik minat atau kepercayaan orang lain kepadanya. Sifat hipokrit yang ada dalam diri seorang guru bimbingan akan membawa suasana terapeutik yang cuba diwujudkan dalam setiap sesi adalah bersifat kepura-puraan dan dalam keadaan terpaksa. Walaupun setiap individu bukanlah bersifat sempurna, namun hubungan yang dijalinkan hendaklah adanya sifat kejujuran dan keikhlasan supaya klien mempercayai kita sepenuhnya.
            Selain itu, seorang guru bimbingan hendaklah mampu menyesuaikan diri dalam segala keadaan atau situasi. Sifat ini akan mampu membina hubungan yang baik antara guru bimbingan dan murid-murid. Guru bimbingan mestilah memiliki dan menguasai kemahiran-kemahiran Bimbingan dan Kaunseling, kemahiran mendengar, kemahiran memimpin, kemahiran refleksi dan sebagainya supaya mudah untuk berkomunikasi secara berkesan dengan murid-murid.
            Guru bimbingan juga hendaklah berusaha mempertingkatkan prestasi dirinya dari semasa ke semasa terutamanya dari aspek pencapaian akademik, penguasaan kemahiran-kemahiran terkini, membina hubungan yang baik dengan semua individu dan sebagainya. Dalam masa yang sama, guru bimbingan juga perlu bersedia untuk memberi perkhidmatan tanpa mengira batasan dan masa serta perlulah menjalani banyak latihan dan sentiasa mempertingkatkan diri dalam aspek pengetahuan.

3.0 DUA JENIS TERAPI YANG SESUAI UNTUK MEMBANTU MURID BERMASALAH 
      TINGKAH LAKU DALAM PEMBELAJARAN YANG SERIUS
Terapi sangat penting untuk menarik minat dan membantu murid bermasalah tingkah laku dalam pembelajaran. Tidak dinafikan bahawa masalah tingkah laku murid ini secara tidak langsungnya mempengaruhi orang sekeliling. Jadi, sebagai seorang guru bimbingan di sekolah hendaklah bijak memilih terapi yang sesuai digunakan untuk mengatasi masalah ini serta perlu merancang dan melaksanakan intervensi dengan teratur dan rapi.
            Mok Soon Sang (2010), intervensi merupakan teknik digunakan dalam sesi terapi. Maka, intervensi sering diaplikasikan untuk menangani masalah peribadi yang teruk, termasuk penyalahgunaan dadah, gangguan makan, mencederakan diri, penyalahgunaan komputer atau aktiviti menonton televisyen secara keterlaluan dan terutamanya gangguan mental dan emosi.
            Selain itu, intervensi langsung menggunakan teknik kaunseling individu atau kumpulan, manakala intervensi secara tidak langsung melibatkan kerjasama keluarga klien untuk menggalakkan mereka membantu klien menyelesaikan masalah yang dihadapi. Terapi untuk kanak-kanak adalah berlainan dengan remaja dan orang dewasa kerana kanak-kanak masih kurang matang serta menghadapi masalah kekurangan perbendaharaan kata yang cukup untuk menjelaskan gangguan mental dan emosi yang abstrak. Berikut merupakan dua jenis terapi yang sesuai digunakan untuk membantu murid bermasalah tingkah laku dalam pembelajaran yang serius:

3.1 Terapi Bercerita
Terapi bercerita ialah seni mempengaruhi orang lain dengan bercerita berkenaan dilema persendirian mereka. Terapi ini juga merupakan media komunikasi antara ahli terapi dengan klien. Komunikasi ini digunakan sebagai psikoterapi untuk mempengaruhi klien mengembangkan diri mereka dalam cara yang dipersetujui antara ahi terapi dengan klien (Lee Keok Cheong et. all 2012).
            Terapi bercerita merupakan suatu pendekatan yang paling berkesan untuk kaunseling kanak-kanak yang mempunyai tingkah laku bermasalah. Melalui pencertitaan yang mengandungi nilai-nilai moral yang berkaitan, kanak-kanak dapat mempelajari cara menyelesaikan masalah sebagaimana yang digunakan oleh watak cerita.
            Pengalaman traumatik kanak-kanak membolehkan mereka memproses pengalaman yang dihadapi dengan teknik bercerita. Hal ini bertujuan supaya dapat belajar sifat kepercayaan dan perasaan keselamatan dengan menggunakan proses modeling atau peniruan. Terapi ini dikira berjaya sekiranya klien mengenali elemen-elemen dalam cerita itu dan menggunakan hasil yang ada dalam cerita itu sebagai hasil mereka sendiri. Klien boleh menyelesaikan masalah yang dihadapi setelah membuat pengenalan serta membentuk visual dan imej dalaman.

            Akhiar Pardi dan Shamsina Shamsuddin (2013) menyatakan bahawa kanak-kanak boleh menyerap pengajaran yang dipelajari daripada watak-watak dalam cerita tersebut tanpa perlu bersikap defensif atau mempertahankan isu sendiri. Kanak-kanak akan menganggap dan yakin bahawa kejayaan memang boleh dicapai secara realistik. Cerita yang hendak diserap hendaklah berkaitan dengan pengalaman kanak-kanak dan cerita hendaklah berakhir secara positif.
            Selain itu, aktiviti bercerita biasanya mengandungi tiga peringkat yang utama iaitu peracangan dan persediaan, sesi bercerita dan penutup. Sebagai guru bimbingan tiga peringkat ini hendaklah dirancang dengan baik supaya tidak menjadi kucar kacir semasa pelaksanaan terapi bercerita ini nanti. Harus bagi seorang guru bimbingan untuk menarik minat klien terapi ini berjaya mencapai matlamat yang diinginkan.
            Dalam peringkat perancangan dan persediaan, guru memilih cerita yang sesuai, menghafaz isi pentingnya dan menyediakan alat bantu mengajar yang berkaitan. Guru hendaklah memulakan dengan memperkenalkan tajuk cerita semasa terapi cerita ini dijalankan dan kemudian menggunakan teknik bercerita serta menyampaikan isi kandungannya dengan suara yang menarik. Peringkat penutup pula dijalankan oleh guru bimbingan sebagai aktiviti susulan, misalnya perbincangan tema cerita dan moral yang terkandung dalam cerita itu.
            Jadual berikut merupakan teknik terapi bercerita yang berkesan menurut Mok Soon Sang (2010):
Teknik
Huraian
1.    Harus sensitif
Elok menggunakan haiwan sebagai watak cerita atau menukar watak jantina, misalnya diri perempuan kepada lelaki.
2.    Harus kreatif
Cerita harus disampaikan secara kreatif dan dengan penuh semangat dan perasaan supaya menarik perhatian kanak-kanak untuk mendengar.
3.    Harus positif
Sentiasa mengakhiri cerita dengan peristiwa positif dan kejayaan watak menangani masalah serupa dihadapi oleh kanak-kanak.

4.    Menggalakkan kanak-kanak mereka cerita
Selepas mendengar cerita, kanak-kanak digalakkan untuk mereka cerita serupa tema yang diceritakan. Tujuan mereka cerita ini adalah untuk menambah keyakinan kanak-kanak menyelesaikan masalah sendiri.
Jadual 1: Teknik terapi bercerita

3.2 Terapi Muzik
Lee Keok Cheong et. all (2012) menjelaskan bahawa muzik adalah universal, kreatif dan adanya apresiasi bunyi. Manusia bertindak balas terhadap muzik dari segi mental, emosi, fizikal dan rohani. Muzik berupaya mengubah dan mewujudkan perasaan yang berlainan serta boleh mempercepat ekspresi emosi di samping mengurangkan tekanan dan keresahan.
            Menurut Mok Soon Sang (2010) terapi muzik merupakan suatu profesion penjagaan kesihatan yang menggunakan muzik untuk menjaga keperluan individu dan dari aspek fizikal, emosi, kognitif dan sosial. American Music Therapy Association dalam buku Bimbingan dan Kaunseling Kanak-kanak Psikologi Pendidikan dan Pedagogi (2010) mendefinisikan terapi muzik ialah intervensi muzik klinikal untuk mencapai matlamat individu di bawah hubungan terapeutik yang dilaksanakan oleh terapis yang telah dilatih dan berjaya dalam program terapi muzik yang diakui.
            Terapi muzik sesuai diaplikasikan untuk individu yang menghadapi masalah komunikasi yang merupakan intervensi terapeutik berbentuk bukan verbal. Idea terapi muzik digunakan sebagai pengaruh pemulihan yang boleh membawa kesan terhadap kesihatan dan tingkah laku individu.
            Selain itu, dalam pemilihan muzik untuk menjalankan terapi ini adalah berdasarkan matlamat kaunseling sama ada untuk mengadakan kaunseling pemulihan atau pencegahan. Dalam pemilihan muzik ini sangat penting berdasarkan personaliti dan masalah klien tersebut. Contohnya, jika klien seorang yang muram, pemilihan muzik yang bercorak riang akan membuat klien tersebut memberontak secara senyap. Justeru, pemilihan muzik juga mestilah berdasarkan keperluan-keperluan individu klien tersebut.
Menurut Akhiar Pardi dan Shamsina Shamsuddin (2013) banyak pakar menjelaskan bahawa irama muzik atau rentak muzik sebenarnya yang mempunyai kesai yang dapat mententeramkan manusia. Bukan mudah untuk memilih muzik yang sesuai untuk klien kerana kebanyakkan individu akan memilih rentak dan irama yang disukai dan bukan pada kesan yang diperoleh daripada rentak dan irama muzik tersebut.
            Umumnya, terapi muzik sesuai digunakan oleh individu yang menghidapi Autism Spectrum Disorder (ASD). Autisme ini membawa gangguan interaksi sosial, komunikasi dan imaginasi individu iaitu termasuk tingkah laku dengan gaya yang sama serta berulang-ulang, dan tentangan perubahan rutin. Seorang yang menghadapi autisme ini biasanya suka bersendirian, pasif, aktif tetapi ganjil melebihi formal, kaku dan kekok.
            Dalam pada itu, Brown (1994) menjelaskan terapi muzik sebagai alat terapeutik yang amat berguna untuk penghidap autisme. Elemen muzik boleh digunakan untuk menjalin hubungan sosial, dan dengan bunyinya seperti nada (pitch), irama dan rentak (rhythm) boleh diinterprestasi oleh terapis sebagai komunikasi emosi yang berguna. Pada masa kini, sebagai intervensi kanak-kanak yang menghadapi austisme, terapi muzik dijalankan serentak dengan pendekatan terapi bercerita. Walau bagaimanapun, terapi muzik juga boleh dijalankan untuk murid-murid yang menghadapi masalah tingkah laku yang serius dalam bilik darjah.
Dalam Islam, muzik yang tidak membawa kepada perbuatan mungkar adalah dibenarkan. Para ulama’ bersetuju muzik tidak dilarang Islam berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam Surah Luqman (31:19) yang bermaksud: “Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.” Menurut al-Ghazali dalam ayat yang berkaitan, Allah s.w.t memuji suara yang baik, sehingga tidak dilarang mendengarkan nyanyian yang baik.
            Kesimpulannya, terapi muzik boleh memainkan peranan signifikan dalam proses penilaian kanak-kanak yang menghadapi gangguan komunikasi kerana ciri muzik adalah bukan verbal dan medium digunakan dalam sistem komunikasi praverbal. Gunakan muzik alam seperti bunyi ombak di pantai, deruan angina perlahan atau bunyi unggas untuk tempoh masa selama 20 minit hingga 25 minit.

4.0 PROSEDUR DAN APLIKASI TERAPI BERCERITA DAN TERAPI MUZIK BAGI
     MEMBANTU MURID YANG BERMASALAH TINGKAH LAKU DALAM
     PEMBELAJARAN YANG SERIUS




















Penulisan Refleksi
Membuat refleksi keseluruhan tugasan yang panjangnya dalam lingkungan 500 patah perkataan.


Terlebih dahulu saya ingin menyatakan rasa bersyukur kepada Allah s.w.t kerana saya dapat menyiapkan tugasan projek EDU 3073 ini dengan jayanya. Pelaksanaan Pentaksiran Kerja Kursus Projek bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan EDU 3073 iaitu Bimbingan dan Kaunseling Kanak-kanak pada semester 7 ini memberi peluang kepada saya untuk menimba  pengetahuan dan kemahiran sebagai pendidik dan seterusnya bijak membuat keputusan dalam bilik darjah. Dengan adanya tugasan ini, saya dapat merancang dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang berdaya fikir dan efektif dalam bilik darjah mahupun luar bilik darjah. Selain itu, saya juga mampu mengaplikasikan segala kemahiran berkaitan dengan ilmu Bimbingan dan Kaunseling kanak-kanak yang saya telah pelajari hasil dari tugasan EDU 3073 di samping mampu menyediakan keperluan fizikal dan mental dalam menghadapi hari esok sebagai seorang pendidik.
Sejurus sahaja selepas mendapat soalan tugasan projek ini, pelbagai perancangan telah saya atur dan lakukan bagi memastikan tugasan ini dapat disiapkan dengan sebaiknya dan dihantar pada masa yang telah ditetapkan. Saya cuba sedaya upaya untuk merancang segala keperluan bagi memastikan pelaksanaan tugasan ini teratur dengan rapi. Saya telah mencari bahan dan maklumat yang diperlukan dalam tugasan ini terutamanya buku rujukan yang berkaitan dengan Bimbingan dan Kaunseling kanak-kanak.
Tugasan ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu penulisan esei dan penulisan refleksi. Dalam penulisan esei, penulis dikehendaki memilih dua jenis terapi yang sesuai untuk membantu murid bermasalah tingkah laku dalam pembelajaran yang serius. Selain itu, penulis dihendaki memilih seorang murid yang bermasalah untuk mengaplikasikan dua terapi yang sudah dipilih untuk membantu murid tersebut. Penulis juga hendaklah menerangkan langkah-langkah (prosedur) perlaksanaan secara teliti dan sistematik berhubung aplikasi (penggunaan) terapi yang telah dipilih. Manakala, tugasan seterusnya penulisan refleksi iaitu membuat refleksi keseluruhan tugasan yang panjangna dalam lingkungan 500 patah perkataan.
Dalam refleksi ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih khususnya kepada Encik Adib Farhan Bin Sapian iaitu pensyarah bagi kursus EDU 3073 ini di atas segala maklumat dan bimbingan yang telah diberikan kepada saya sebelum dan sepanjang melaksanakan tugasan ini. Segala maklumat serta info-info yang disampaikan oleh beliau di dalam bilik kuliah dapat saya gunakan dalam tugasan projek EDU 3073 ini. Tidak lupa juga kepada rakan-rakan sekelas yang sentiasa memberi tunjuk ajar dan bimbingan sepanjang melaksanakan tugasan ini.
Kelebihan yang saya dapat sepanjang melaksanakan tugasan ini, saya mampu berinteraksi dan berkolaborasi dengan lebih baik lagi bersama pensyarah sepanjang tempoh menyiapkan tugasan projek ini. Segala ilmu dan nota yang diberi oleh pensyarah kursus EDU 3073 ini digunakan sepenuhnya oleh saya untuk memastikan tugasan ini siap dengan baiknya. Tugasan ini juga mampu memotivasikan diri saya supaya lebih menepati masa dan mendisiplinkan diri dalam kehidupan seharian bergelar sebagai seorang guru pelatih. Dalam pada itu, kelebihan yang saya dapat ialah rakan-rakan telah banyak membantu dari segi mendapatkan maklumat kerana tanpa bantuan daripada mereka, tugasan yang saya laksanakan ini tidak sebaik yang diharapkan. Pelaksanaan tugasan ini telah banyak memberi ilmu pengetahuan baharu kepada saya berkaitan dengan ilmu Bimbingan dan Kaunseling Kanak-kanak yang diaplikasikan semasa menjalani praktikum dan bergelar seorang pendidik masa akan datang. Selain itu, kelebihan yang saya dapat juga ialah, saya dapat membantu murid yang bermasalah tingkah laku dengan menggunakan terapi yang telah dipilih untuk membantu murid tersebut mengatasi masalah yang dihadapi. Secara tidak langsung, tugasan ini membawa saya untuk menerokai ilmu Bimbingan dan Kaunseling dengan lebih dalam lagi. Seterusnya, tugasan ini membawa saya lebih banyak membaca berkaitan dengan ilmu Bimbingan dan Kaunseling di media elektronik. Sememangnya, ilmu ini sangat penting yang perlu ada dalam diri seorang guru untuk menghadapi dunia pendidikan yang penuh dengan cabaran pada masa kini. Kelebihan yang saya dapat ini saya akan sentiasa aplikasikan apabila berada dalam bilik kuliah, menjalani praktikum dan menjadi pendidik yang sebenar pada masa akan datang.
Dalam usaha saya menyiapkan tugasan ini, kekurangan yang saya dapat ialah, saya menghadapi masalah kekangan masa dan dalam masa yang sama menjalani praktikum fasa 3 selama tiga bulan. Kekangan masa ini ditambah lagi dengan tugasan bagi kursus yang lain pula pada semester 7 ini serta kesibukan dengan aktiviti sekolah yang sentiasa padat pada setiap petang. Namun saya sentiasa bersabar dan cuba membahagikan masa dengan lebih bijak untuk menyiapkan segala tugasan yang diberi. Kekurangan yang saya hadapi juga ialah masa saya banyak terbuang dalam mencari seorang murid yang bermasalah di sekolah saya menjalani praktikum. Hal ini kerana, masa tidak mengizinkan saya untuk menjalankan sesi terapi ke atas murid. Terus terang saya katakan di sini, tugasan bagi EDU 3073 ini sangat mencabar bagi diri saya kerana ianya memerlukan pengetahuan dan pemahaman yang kukuh berkaitan dengan ilmu perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling.
Tugasan ini juga memberi impak yang besar ke atas diri saya sebagai seorang bakal pendidik. Hal ini kerana, tugasan ini banyak mengajar saya untuk lebih cekap dari segi membahagikan masa dan bertindak dalam kehidupan seharian. Seorang guru mestilah menepati masa dan mampu untuk menyiapkan pelbagai kerja yang dikehendaki. Selain itu, saya juga lebih rapat dengan rakan-rakan sekelas, kerana mereka telah banyak berkolaborasi dengan saya. Mereka telah banyak memberi tunjuk ajar ke atas diri saya yang serba kekurangan ini. Tugasan ini juga mengajar saya erti kesabaran yang tinggi dalam kehidupan seharian dan seterusnya mampu memotivasikan diri saya sendiri supaya tidak terlalu tertekan dengan tugasan EDU 3073 ini.
Alhamdulillah, di atas segala usaha yang saya buat, akhirnya tugasan projek bagi kursus EDU 3073 iaitu Bimbingan dan Kaunseling Kanak-kanak ini siap sepenuhnya. Sesungguhnya melalui tugasan ini banyak membuka minda saya untuk berfikir dan memahami kerjaya seorang guru yang komited dengan tugasnya. Harapan saya semoga dengan berakhirnya tugasan ini mampu mendidik saya menjadi seorang yang rajin dan menepati masa yang telah ditetapkan. Dalam pada itu, pengalaman melalui penulisan tugasan ini akan saya bawa apabila bergelar seorang pendidik pada masa akan datang.


No comments:

Post a Comment