. Amoi Chantek: EDU 3073 iaitu Bimbingan dan Kaunseling Kanak-kanak Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Wednesday 6 September 2017

EDU 3073 iaitu Bimbingan dan Kaunseling Kanak-kanak

PENGENALAN
Bimbingan bukanlah elemen yang baru dalam masyarakat kita. Sejak dahulu lagi bimbingan telah wujud dan sebati dengan corak kehidupan masyarakat. Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di sekolah Malaysia telah mula diperkenalkan pada tahun 1960. Di sekolah, perkhidmatan bimbingan adalah bersifat peribadi yang bertujuan memberi bantuan kepada individu untuk membuat pilihan dan peyesuaian diri dalam hidupnya. Manakala, di peringkat sekolah rendah ia merupakan peringkat pertengahan zaman kanak-kanak iaitu dari umur 6 hingga 12 tahun. Pada usia ini, kanak-kanak yang diistilahkan sebagai murid-murid ketika berada di sekolah lebih cenderung kepada aktiviti-aktiviti yang bercorak permainan.

            Selain itu, perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling bertambah penting sekarang kerana negara-negara mengalami perubahan pesat. Faktor kesibukan ibu bapa, pengaruh rakan sebaya dan media massa telah mendatangkan pelbagai kesan kepada masyarakat dan negara. Bagi merealisasikan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan menyahut cabaran Wawasan 2020 perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling ini semakin penting serta dapat membantu murid mencapai celik akal dan kesejahteraan hidup. Dalam masa yang sama keberkesanan perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di sekolah dapat membantu mengatasi masalah sosial dalam kalangan murid.

            Tugasan EDU 3073 iaitu Bimbingan dan Kaunseling Kanak-kanak pada semester 7 ini, dalam penulisan esei, penulis dikehendaki untuk memilih satu jenis terapi yang sesuai untuk membantu murid bermasalah tingkah laku dalam pembelajaran yang serius. Penulis juga dikehendaki untuk mendapatkan seorang murid yang bermasalah dan aplikasikan terapi tersebut bagi membantunya serta menerangkan langkah-langkah (prosedur) pelaksanaan secara teliti dan sistematik berhubung aplikasi (penggunaan) terapi yang telah dipilih. Bagi tugasan seterusnya pula, penulis diminta untuk membuat refleksi keseluruhan tugasan yang panjangnya dalam lingkungan 500 patah perkataan.




1.0       KONSEP BIMBINGAN DAN KAUNSELING
Secara amnya perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling adalah bersifat peribadi yang bertujuan memberi bantuan kepada individu untuk membuat pilihan dan penyesuaian diri dalam kehidupan seharian. Untuk memahami bagaimana kaunselor sekolah bekerja bersama murid dalam program Bimbingan dan Kaunseling yang komprehensif adalah penting untuk kita memahami bagaiamana Bimbingan dan Kaunseling berkembang di sekolah. Berikut merupakan konsep bimbingan kaunseling yang diberikan oleh beberapa orang tokoh dalam bidang Bimbingan dan Kaunseling:

1.1       Konsep Bimbingan
Bimbingan atau guidance dalam bahasa Inggeris membawa erti memberi panduan atau nasihat kepada seseorang. Crow dan Crow (1983) dalam buku Konsep Bimbingan dan Kaunseling menjelaskan bahawa bimbingan di bawah konteks pendidikan merujuk kepada bantuan atau pertolongan yang diberikan dengan betul kepada murid yang berkenaan. Menurut Mok Soon Sang (2010) murid yang memerlukan bimbingan merujuk kepada murid yang menghadapi masalah peribadi dari segi intelek, rohani, emosi ataupun sosial. Masalah-masalah yang dihadapi oleh murid di peringkat sekolah boleh digolongkan dalam dua kategori utama, iaitu masalah akademik dan masalah emosi-sosial. Di dalam proses bimbingan, murid yang berkenaan akan diberi panduan atau nasihat yang boleh membantunya menyelesaikan masalah tertentu.

Shertzer dan Stone (1974) dalam buku Bimbingan dan Kaunseling Kanak-kanak menerangkan bimbingan sebagai suatu proses yang membantu individu memahami diri mereka dan dunia mereka. Individu tersebut akan dibantu oleh guru bimbingan atau kaunselor agar menyedari segala kekuatan dan kelemahan diri mereka. Dengan itu, mereka akan menentukan aras aspirasi yang lebih realistik dengan kebolehan dan minat mereka.

            Menurut Alice Crow (1964) pula, bimbingan sebagai bantuan yang diberi kepada seseorang individu bagi menentukan matlamat jangka pendek dan panjang, merancang cara-cara bertindak serta memperbaiki sikap dan tingkah laku dalam aspek-aspek yang perlu.
1.2       Konsep Kaunseling
Secara amnya kaunseling bukanlah bererti nasihat walaupun terdapat unsur nasihat di dalamnya. Kaunseling adalah perkhidmatan utama yang termasuk dalam program bimbingan. Ini kerana perkhidmatan kaunseling sering disifatkan sebagai nadi kepada program bimbingan. Menurut Lee Keok Cheong et. all (2012) istilah kaunseling berasal daripada perkataan Inggeris iaitu counseling. Berikut merupakan pengertian kaunseling yang diberikan oleh beberapa orang tokoh dalam buku Bimbingan dan Kaunseling Kanak-kanak (2012). Manakala menurut Boy dan Pine (1968) kaunseling ialah suatu perhubungan bersemuka di mana seorang klien mendapatkan bantuan daripada seorang kaunselor. Perhubungan ini mempunyai ciri-ciri seperti komunikasi yang efektif, saling hormat-menghormati, penerimaan klien seccara tulen oleh kaunselor dan penumpuan diberikan kepada keperluan masalah serta perasaan klien.

            Gustael dan Berdie (1953) mentakrifkan kaunseling sebagai proses berorientasikan pembelajaran yang dijalankan dalam suatu suasana sosial yang mudah, di mana kaunselor yang terlatih cuba membantu klien mencapai matlamat-matlamat hidup agar dia menjadi anggota masyarakat yang gembira dan produktif. Kesimpulannya, kaunseling adalah suatu perhubungan bersemuka yang disifatkan sebagai komunikasi yang berkesan dan penerimaan klien secara tulen oleh kaunselor serta perhubungan unik yang menggalakkan kebebasan pemikiran dan pernyataan perasaan klien. Perhubungan ini adalah secara terbuka di mana tanggungjawab hasil prosesnya bergantung kepada klien dan bukannya kaunselor.

1.3       Matlamat Bimbingan dan Kaunseling
Matlamat utamanya ialah memberi bimbingan dan saranan penyelesaian supaya pelajar dapat menggunakan nasihat dan hasil saranan perbincangan dengan kaunselornya untuk menyelesaikan masalah peribadi, pembelajaran atau kerjaya yang dihadapinya melaui usaha diri sendiri. Konsep Bimbingan dan Kaunseling kadangkala disalahertikan sebagai sesuatu sesi digunakan untuk menganalisis dan mengkritik kesalahan pelajar, menentukan punca kesalahan, memberi ajaran, ataupun memaksa pelajar yang berkenaan supaya menurut cara penyelesaian yang dicadangkan kaunselor. (Mok Soon Sang, 2011)

Konsep bimbingan dan Kaunseling yang sebenar ialah kaunselor hanya perlu mendengar dan memahami masalah yang dihadapi oleh kliennya, dan membimbingnya memikir penyelesaian masalah dari pelbagai sudut, demi membolehkannya memahami pelbagai cara yang boleh dipilh untuk menyelesaikan masalah peribadi, pembelajaran atau kerjaya yang dihadapinya. Ringkas kata, matlamat Bimbingan dan Kaunseling ialah memupuk kebolehan menyelesaikan masalah diri sendiri, membantu kliennya menguasai pelbagai kemahiran asas untuk adaptasi dan penyesuaian diri serta dapat menggunakan potensi dan pelbagai sumber yang sedia ada untuk mencapai prestasi yang lebih baik dalam kehidupan.

1.4       Kepentingan Bimbingan dan Kaunseling
Bimbingan dan Kaunseling membantu murid-murid untuk membantu diri mereka dan untuk memperkembangkan potensi mereka secara optimum dengan menggunakan peluang maksima yang dibekalkan oleh sesuatu persekitaran. Kepentingan bimbingan dan kaunseling ialah ia membantu murid-murid untuk memahami diri mereka sendiri. Ia juga membantu murid-murid dalam pengalaman mereka dengan benda-benda dan dunia di sekeliling mereka seterusnya Bimbingan dan Kaunseling mempunyai kepentingan kendiri dan sosial. (Mok Soon Sang, 2011)

Bimbingan dan kaunseling secara tidak langsung juga membantu individu-individu untuk memperkembangkan kebolehan dan kekuatan mereka untuk mencapai efisensi kendiri dan sosial tanpa mereka sedari. Selain itu ia juga sangat penting bertujuan untuk mengakhiri pembaziran resos manusia dan fizikal dengan membantu individu-individu untuk mencari kedudukan mereka dalam masyarakat.
2.0       TERAPI YANG DIGUNAKAN UNTUK MEMBANTU MURID BERMASALAH TINGKAH LAKU DALAM PEMBELAJARAN YANG SERIUS
Terapi sangat penting untuk menarik minat dan membantu murid bermasalah tingkah laku dalam pembelajaran. Tidak dinafikan bahawa masalah tingkah laku murid ini secara tidak langsungnya mempengaruhi orang sekeliling. Jadi, sebagai seorang guru bimbingan di sekolah hendaklah bijak memilih terapi yang sesuai digunakan untuk mengatasi masalah ini serta perlu merancang dan melaksanakan intervensi dengan teratur dan rapi.

2.1       Terapi Bercerita
Terapi bercerita ialah seni mempengaruhi orang lain dengan bercerita berkenaan dilema persendirian mereka. Terapi ini juga merupakan media komunikasi antara ahli terapi dengan klien. Komunikasi ini digunakan sebagai psikoterapi untuk mempengaruhi klien mengembangkan diri mereka dalam cara yang dipersetujui antara ahli terapi dengan klien (Lee Keok Cheong et. all 2012). Terapi bercerita merupakan suatu pendekatan yang paling berkesan untuk kaunseling kanak-kanak yang mempunyai tingkah laku bermasalah. Melalui penceritaan yang mengandungi nilai-nilai moral yang berkaitan, kanak-kanak dapat mempelajari cara menyelesaikan masalah sebagaimana yang digunakan oleh watak cerita.

Pengalaman traumatik kanak-kanak membolehkan mereka memproses pengalaman yang dihadapi dengan teknik bercerita. Hal ini bertujuan supaya dapat belajar sifat kepercayaan dan perasaan keselamatan dengan menggunakan proses modeling atau peniruan. Terapi ini dikira berjaya sekiranya klien mengenali elemen-elemen dalam cerita itu dan menggunakan hasil yang ada dalam cerita itu sebagai hasil mereka sendiri. Klien boleh menyelesaikan masalah yang dihadapi setelah membuat pengenalan serta membentuk visual dan imej dalaman.
           
Akhiar Pardi dan Shamsina Shamsuddin (2013) menyatakan bahawa kanak-kanak boleh menyerap pengajaran yang dipelajari daripada watak-watak dalam cerita tersebut tanpa perlu bersikap defensif atau mempertahankan isu sendiri. Kanak-kanak akan menganggap dan yakin bahawa kejayaan memang boleh dicapai secara realistik. Cerita yang hendak diserap hendaklah berkaitan dengan pengalaman kanak-kanak dan cerita hendaklah berakhir secara positif.
           
Selain itu, aktiviti bercerita biasanya mengandungi tiga peringkat yang utama iaitu perancangan dan persediaan, sesi bercerita dan penutup. Sebagai guru bimbingan tiga peringkat ini hendaklah dirancang dengan baik supaya tidak menjadi kucar kacir semasa pelaksanaan terapi bercerita ini nanti. Harus bagi seorang guru bimbingan untuk menarik minat klien terapi ini berjaya mencapai matlamat yang diinginkan.
           
Dalam peringkat perancangan dan persediaan, guru memilih cerita yang sesuai, menghafaz isi pentingnya dan menyediakan alat bantu mengajar yang berkaitan. Guru hendaklah memulakan dengan memperkenalkan tajuk cerita semasa terapi cerita ini dijalankan dan kemudian menggunakan teknik bercerita serta menyampaikan isi kandungannya dengan suara yang menarik. Peringkat penutup pula dijalankan oleh guru bimbingan sebagai aktiviti susulan, misalnya perbincangan tema cerita dan moral yang terkandung dalam cerita itu.

Menurut Mok Soon Sang (2010), terdapat beberapa teknik terapi bercerita yang berkesan antaranya ialah teknik Harus sensitif iaitu elok menggunakan haiwan sebagai watak cerita atau menukar watak jantina, misalnya diri perempuan kepada lelaki. Kedua pula ialah teknik harus kreatif iaitu cerita harus disampaikan secara kreatif dan dengan penuh semangat dan perasaan supaya menarik perhatian kanak-kanak untuk mendengar. Seterusnya ialah teknik positif iaitu sentiasa mengakhiri cerita dengan peristiwa positif dan kejayaan watak menangani masalah serupa dihadapi oleh kanak-kanak. Terakhir sekali ialah teknik menggalakkan kanak-kanak mereka cerita iaitu selepas mendengar cerita, kanak-kanak digalakkan untuk mereka cerita serupa tema yang diceritakan. Tujuan mereka cerita ini adalah untuk menambah keyakinan kanak-kanak menyelesaikan masalah sendiri.





3.0       PROSEDUR PELAKSANAAN TERAPI BERCERITA
Bercerita adalah satu cara yang berkesan untuk membina rapo serta mengenali kanak-kanak dengan lebih mesra lagi. Semasa bercerita, kanak-kanak berkongsi maklumat penting mengenai diri serta keluarga mereka. Menurut Mok Soon Sang (2011) guru biasa memainkan peranan yang penting dalam membimbing murid di bawah jagaannya. Melalui cerita yang disampaikan, mereka melahirkan perasaan terpendam. Hasilnya, guru dapat memahami konflik kanak-kanak. Melalui tema yang menjelma atau berulang semasa analisis, guru kaunseling dapat memahami perasaan mereka serta perjuangan mereka dengan lebih dekat lagi.
           
Bagi perlaksanaan dan penguasaan dalam kemahiran bercerita, guru harus memahami dan mematuhi prosedur pelaksanaan terapi bercerita di mana ia boleh dibahagikan kepada sebelum, semasa dan selepas aktiviti dijalankan seperti berikut sebelum memulakan sesi terapi guru harus memilih cerita yang sesuai dengan minat, kebolehan, umur dan pengalaman murid serta objektif pelajarannya seperti cerita berkaitan dengan haiwan, cerita yang dapat menarik minat mereka. Kemudian sebelum sesi bercerita bermula, guru harus menghafal isi-isi penting yang terkandung dalam cerita itu. Ini memudahkan guru untuk menceritakan semula kepada murid dengan lancar dan berkesan. Guru juga boleh menggunakan alat bantu mengajar seperti kad-kad perkataan, kad-kad gambar, patung atau topeng yang boleh menarik minat dan perhatian murid harus disediakan sbelum sesi bererita dimulakan. Soalan-soalan untuk aktiviti susulan juga harus disediakan dan yang paling utama pastikan sebelum memulakan sesi bercerita, semua murid telah bersedia untuk mendengar cerita.

Semasa sesi terapi dijalankan guru boleh duduk atau berdiri semasa bercerita, selagi semua murid boleh melihat dengan jelas wajah dan ekspresi guru. Kemudian mulakan cerita dengan suara yang menarik dan penuh dengan emosi. Pandangan terus ke muka murid secara bergilir-gilir. Cara ini sangat berkesan untuk melibatkan murid dalam tumpuan kepada cerita yang disampaikan. Pastikan suara guru jelas dan lantang. Kemahiran variasi ransangan harus digunakan untuk mengubah-ubah nada suara dan intonasi guru mengikut watak-watak dan kandungan cerita itu. Ini untuk menjadikan murid dapat mengikuti cerita yang telah disampaikan oleh kita. Kad-kad perkataan dan gambar harus digunakan untuk membantu murid memahami isi cerita dengan lebih jelas.
Semasa sesi bercerita, guru boleh mengemukakan soalan untuk mnggalakkan murid meramal perkembangan cerita selanjutnya. Cara ini bukan sahaja dapat menarik perhatian murid tetapi juga dapat mengembangkan daya imaginasi mereka. Pastikan ayat dan perkataan yang digunakan untuk bercerita bolh difahami oleh murid. Tujuan bercerita adalah untuk menyampaikan isinya bukan mengajar murid perkataan-perkataan yang sukar. Isi cerita harus disampaikan kepada murid dngan gerak geri secara semulajadi. Aktiviti lakonan guru haruslah dielakkan.

Selepas bercerita, aktiviti susulan harus diadakan, misalnya aktiviti soal jawab tentang tema dan nilai moral yang terkandung dalam cerita itu. Guru juga boleh memberikan topeng-topeng yang disediakan kepada murid-murid untuk menjalankan aktiviti lakonan. Melalui terapi bercerita ini, guru bimbingan dan kaunseling perlu peka kepada lima komponen utama iaitu wira dan watak jahat, peristiwa utama dan sampingan, perkaitan antara watak, bagaimana cerita merentasi masa dan mesej yang disampaikan dalam cerita.



4.0       APLIKASI TERAPI BERCERITA BAGI MEMBANTU MURID YANG BERMASALAH TINGKAH LAKU DALAM PEMBELAJARAN YANG SERIUS




REFLEKSI MOR EDDIN BIN MORTADA
Terlebih dahulu saya ingin menyatakan rasa bersyukur kepada Allah S.W.T kerana saya dapat menyiapkan tugasan projek EDU 3073 ini dengan jayanya. Pelaksanaan Pentaksiran Kerja Kursus Projek bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan EDU 3073 iaitu Bimbingan dan Kaunseling Kanak-kanak pada semester 7 ini memberi peluang kepada saya untuk menimba  pengetahuan dan kemahiran sebagai pendidik dan seterusnya bijak membuat keputusan dalam bilik darjah. Dengan adanya tugasan ini, saya dapat merancang dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang berdaya fikir dan efektif dalam bilik darjah mahupun luar bilik darjah. Selain itu, saya juga mampu mengaplikasikan segala kemahiran berkaitan dengan ilmu Bimbingan dan Kaunseling kanak-kanak yang saya telah pelajari hasil dari tugasan EDU 3073 di samping mampu menyediakan keperluan fizikal dan mental dalam menghadapi hari esok sebagai seorang pendidik.

Sejurus sahaja selepas mendapat soalan tugasan projek ini, pelbagai perancangan telah saya atur dan lakukan bagi memastikan tugasan ini dapat disiapkan dengan sebaiknya dan dihantar pada masa yang telah ditetapkan. Saya cuba sedaya upaya untuk merancang segala keperluan bagi memastikan pelaksanaan tugasan ini teratur dengan rapi. Saya telah mencari bahan dan maklumat yang diperlukan dalam tugasan ini terutamanya buku rujukan yang berkaitan dengan Bimbingan dan Kaunseling kanak-kanak.

Tugasan ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu penulisan esei dan penulisan refleksi. Dalam penulisan esei, penulis dikehendaki memilih satu jenis terapi yang sesuai untuk membantu murid bermasalah tingkah laku dalam pembelajaran yang serius. Selain itu, penulis dihendaki memilih seorang murid yang bermasalah dalam pembelajaran untuk mengaplikasikan satu terapi yang sudah dipilih untuk membantu murid tersebut. Penulis juga hendaklah menerangkan langkah-langkah (prosedur) perlaksanaan secara teliti dan sistematik berhubung aplikasi (penggunaan) terapi yang telah dipilih. Manakala, tugasan seterusnya penulisan refleksi iaitu membuat refleksi keseluruhan tugasan yang panjangnya dalam lingkungan 500 patah perkataan.

Dalam refleksi ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih khususnya kepada Encik Adib Farhan Bin Sapian iaitu pensyarah bagi kursus EDU 3073 ini di atas segala maklumat dan bimbingan yang telah diberikan kepada saya sebelum dan sepanjang melaksanakan tugasan ini. Segala maklumat serta info-info yang disampaikan oleh beliau di dalam bilik kuliah dapat saya gunakan dalam tugasan projek EDU 3073 ini. Tidak lupa juga kepada rakan-rakan sekelas yang sentiasa memberi tunjuk ajar dan bimbingan sepanjang melaksanakan tugasan ini.

Kelebihan yang saya dapat sepanjang melaksanakan tugasan ini, saya mampu berinteraksi dan berkolaborasi dengan lebih baik lagi bersama pensyarah, guru-guru di sekolah dan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung sepanjang tempoh menyiapkan tugasan projek ini. Segala ilmu dan nota yang diberi oleh pensyarah kursus EDU 3073 ini digunakan sepenuhnya oleh saya untuk memastikan tugasan ini siap dengan baiknya. Tugasan ini juga mampu memotivasikan diri saya supaya lebih menepati masa dan mendisiplinkan diri dalam kehidupan seharian bergelar sebagai seorang guru pelatih. Dalam pada itu, kelebihan yang saya dapat ialah rakan-rakan telah banyak membantu dari segi mendapatkan maklumat kerana tanpa bantuan daripada mereka, tugasan yang saya laksanakan ini tidak sebaik yang diharapkan. Pelaksanaan tugasan ini telah banyak memberi ilmu pengetahuan baharu kepada saya berkaitan dengan ilmu Bimbingan dan Kaunseling Kanak-kanak yang diaplikasikan semasa menjalani praktikum dan bergelar seorang pendidik masa akan datang.

Selain itu, kelebihan yang saya dapat juga ialah, saya dapat membantu murid yang bermasalah tingkah laku dengan menggunakan terapi yang telah dipilih untuk membantu murid tersebut mengatasi masalah yang dihadapi. Secara tidak langsung, tugasan ini membawa saya untuk menerokai ilmu Bimbingan dan Kaunseling dengan lebih dalam lagi. Seterusnya, tugasan ini membawa saya lebih banyak membaca berkaitan dengan ilmu Bimbingan dan Kaunseling di media elektronik. Sememangnya, ilmu ini sangat penting yang perlu ada dalam diri seorang guru untuk menghadapi dunia pendidikan yang penuh dengan cabaran pada masa kini. Kelebihan yang saya dapat ini saya akan sentiasa aplikasikan apabila berada dalam bilik kuliah, menjalani praktikum dan menjadi pendidik yang sebenar pada masa akan datang.

Dalam usaha saya menyiapkan tugasan ini, kekurangan yang saya dapat ialah, saya menghadapi masalah kekangan masa dan dalam masa yang sama menjalani praktikum fasa 3 selama tiga bulan. Kekangan masa ini ditambah lagi dengan tugasan bagi kursus yang lain pula pada semester 7 ini serta kesibukan dengan aktiviti sekolah yang sentiasa padat pada setiap petang. Namun saya sentiasa bersabar dan cuba membahagikan masa dengan lebih bijak untuk menyiapkan segala tugasan yang diberi. Kekurangan yang saya hadapi juga ialah masa saya banyak terbuang dalam mencari seorang murid yang bermasalah di sekolah saya menjalani praktikum. Hal ini kerana, masa tidak mengizinkan saya untuk menjalankan sesi terapi ke atas murid. Terus terang saya katakan di sini, tugasan bagi EDU 3073 ini sangat mencabar bagi diri saya kerana ianya memerlukan pengetahuan dan pemahaman yang kukuh berkaitan dengan ilmu perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling.

Tugasan ini juga memberi impak yang besar ke atas diri saya sebagai seorang bakal pendidik. Hal ini kerana, tugasan ini banyak mengajar saya untuk lebih cekap dari segi membahagikan masa dan bertindak dalam kehidupan seharian. Seorang guru mestilah menepati masa dan mampu untuk menyiapkan pelbagai kerja yang dikehendaki. Selain itu, saya juga lebih rapat dengan rakan-rakan sekelas, kerana mereka telah banyak berkolaborasi dengan saya. Mereka telah banyak memberi tunjuk ajar ke atas diri saya yang serba kekurangan ini. Tugasan ini juga mengajar saya erti kesabaran yang tinggi dalam kehidupan seharian dan seterusnya mampu memotivasikan diri saya sendiri supaya bijak dalam memahami dan bersama-sama menolong murid untuk mengatasi masalah yang mereka hadapi.


Alhamdulillah, di atas segala usaha yang saya buat, akhirnya tugasan projek bagi kursus EDU 3073 iaitu Bimbingan dan Kaunseling Kanak-kanak ini siap sepenuhnya. Sesungguhnya melalui tugasan ini banyak membuka minda saya untuk berfikir dan memahami kerjaya seorang guru yang komited dengan tugasnya. Harapan saya semoga dengan berakhirnya tugasan ini mampu mendidik saya menjadi seorang guru yang disenangi oleh anak murid dan seterusnya dapat menjalankan tugas dengan sebaikny. Dalam pada itu, segala pengalaman yang telah saya perolehi semasa menjalankan kerja kursus ini dan juga melalui penulisan tugasan ini akan saya gunakan dan menjadi bekalan apabila bergelar seorang pendidik pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment