. Amoi Chantek: Cara guru boleh memanfaatkan pembelajaran sepanjang hayat dan permuafakatan komuniti dalam pendidikan agar profesionalisme keguruan relevan dengan pembelajaran abad ke-21. Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Wednesday 6 September 2017

Cara guru boleh memanfaatkan pembelajaran sepanjang hayat dan permuafakatan komuniti dalam pendidikan agar profesionalisme keguruan relevan dengan pembelajaran abad ke-21.


TUGASAN 1: PENULISAN AKADEMIK (50%)
Cara guru boleh memanfaatkan pembelajaran sepanjang hayat dan permuafakatan komuniti dalam pendidikan agar profesionalisme keguruan relevan dengan pembelajaran abad ke-21.

Pembelajaran ialah proses pemerolehan maklumat dan pengetahuan, penguasaan kemahiran dan tabiat serta pembentukan sikap dan kepercayaan. Proses pembelajaran berlaku sepanjang hayat seseorang manusia.  Proses pembelajaran berlaku di mana-mana tempat dan pada sebarang masa. Dalam konteks pendidikan, guru biasanya berusaha sedaya upaya mengajar  supaya pelajar dapat belajar dan menguasai isi pelajaran bagi mencapai sesuatu objektif yang ditentukan.

Konsep pendidikan sepanjang hayat merangkumi pengertian yang begitu luas, konsep ini merangkumi proses pendemokrasian pendidikan yang memberi peluang pendidikan seluas-luasnya kepada setiap individu tanpa mengira kelas sosial kaum, umur dan juga jantina. Peluang pendidikan yang diberikan adalah bagi meningkatkan pengetahuan kemahiran dan kompetensi seseorang. Pendidikan sepanjang hayat boleh di lakukan samada secara formal seperti di sekolah institusi pengajian dan pusat latihan vokasional ataupun secara tidak formal iaitu berdasarkan pengalaman dan latihan ditempat kerja masing-masing.

Abad ke-21 membawa masyarakat dunia ke satu lagi fasa penganjakan paradigma kehidupan. Ini meliputi penganjakan daripada masyarakat perindustrian kepada masyarakat berinformasi, penggunaan teknologi manusia kepada penciptaan teknologi tinggi, pemusatan kuasa kepada pengagihan kuasa, konsep hierarki kepada konsep jaringan, ekonomi tempatan kepada ekonomi antarabangsa dan perancangan jangka pendek kepada perancangan jangka panjang.

Seiring dengan perubahan ini juga pelbagai pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran masih diperlukan memandangkan perbezaan gaya pembelajaran pelajar. Memandangkan senario pembelajaran abad ke 21, yang membayangkan kegunaan komputer yang begitu meluas, pengajaran dan pembelajaran berbantu komputer akan menjadi satu kaedah yang ditumpukan. Ini juga bersesuaian dengan prinsip ‘mastery learning’ yang mana pelajar boleh belajar tanpa bimbingan guru. Abad Ke-21 sering dikaitkan dengan era Teknologi Maklumat (IT) yang memungkinkan kepantasan dan menjumudkan faktor jarak dan masa. Perkembangan terkini dalam ‘open sky technology’ membawa implikasi kepada kehidupan manusia sejagat. Seperti yang kita lihat dan rasa, dunia yang luas pada hakikatnya telah dikecilkan dengan teknologi komunikasi yang canggih dan pantas. Pada masa kini, dunia pendidikan turut mengalami tempias gelombang arus globalisasi yang mengajak masyarakat mengubah paradigma ataupun perpesi ke alam dunia pendidikan. Oleh demikian, kerajaan kini menumpukan ataupun melahirkan modal insan kelas pertama untuk menghadapi cabaran globalisasi tersebut. Keadaan tersebut telah menyebabkan perubahan alam pendidikan negara kita. Disebabkan perubahan tersebut, guru terpaksa mengubah corak pengajaran mereka daripada yang lama dengan menerapkan pendidikan sepanjang hayat agar selari dengan falsafah pendidikan Negara yang ingin melahirkan insan yang seimbang dari Jasmani, emosi, rohani dan Intelek untuk menghasilkan proses “kemenjadian” pelajar.

Menuntut ilmu merupakan satu keperluan asas yang wajib bagi setiap individu tanpa mengira kaum dan agama. Konsep pendidikan sepanjang hayat bukanlah suatu perkara baharu sebaliknya konsep ini telah lama diamalkan oelh kebanyakkan masyarakat dunia. Kemajuan sesuatu bangsa terletak kepada unsur-unsur kecemerlangan yang ada di dalam diri individu atau modal insannya. Dalam pembangunan modal insan perkara-perkara yang berkaitan dengan pendidikan dan pembelajaran baik yang bersifat ilmiah professional mahupun vokasional diberi perhatian yang serius. Pembelajaran sepanjang hayat berperanan besar dalam memastikan kemampuan yang ada dalam modal insan digilap agar dapat menghasilkan satu tahap kecemerlangan yang diinginkan oleh seseorang individu masyarakat dan juga Negara. Jika dikaitkan konsep pembelajaran sepanjang hayat ini dengan pembelajaran abad ke-21 ia menjelaskan kepada kita bahawa untuk menuntut ilmu ia merupakan satu proses yang berterusan dan berpanjangan. Oleh itu setiap guru perlu mempunyai semangat dan cita-cita yang kuat untuk meneruskan kehidupan dengan menambahkan ilmu di dada.

Pembelajaran boleh belaku secara formal ataupun tidak formal setiap guru perlu mengemaskinikan ilmu dan kemahiran dalam memastikan perkembangan dan peningkatan profesionalisme guru yang sejajar dengan perubahan dan cabaran yang dihadapi dari satu masa ke satu masa. Perubahan yang belaku dalam era globalisasi pada hari ini menuntut setiap guru menguasai ilmu dan kemahiran dalam bidang yang berkaitan dengan pendidikan, pada waktu yang sama unsur-unsur insanian tidak boleh diabaikan sama sekali memandang unsur-unsur insaniah yang menjurus kearah nilai-nilai kemanusian dan kekuatan spiritual menjadi tuntutan yang akan menyeimbangkan kehidupan manusia maka setiap guru perlu mempunyai plan pembelajaran kendiri yang berupa rancangan dan peluang-peluang yang ada perlu direbut oleh setiap guru dalam usha meningkatkan ilmu dan kemahiran lebih-lebih lagi pelbagai pendekatan dalam pembelajaran abad ke-21.

Generasi yang ingin dihasilkan dalam abad ke-21 ini ialah generasi yang dapat menghadapi cabaran dalam situasi kehidupan sebenar di samping bertanggungjawab untuk mengekalkan pembangunan di dunia ini dan menjadikannya tempat yang lebih baik. Negara memerlukan rakyat yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi, tabah menghadapi cabaran dan cemerlang dalam semua aspek pendidikan. Rakyat yang mempunyai kemahiran abad ke-21 dapat membantu mencergaskan semula ekonomi yang malap, mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan dan dapat memelihara alam sekitar yang semakin musnah. Oleh itu fokus utama pembelajaran untuk menghadapi cabaran abad ke-21 ialah memberi penekanan terhadap semua aspek pembangunan individu dalam menghadapi dunia pekerjaan dan kehidupan.

Tuntutan globalisasi ini memerlukan pelajar belajar untuk menjadi individu yang mempunyai sifat ingin tahu, terkawal, bebas dan aktif dalam pembelajaran mereka. Secara tidak langsung pembelajaran sedemikian membolehkan pelajar menyesuaikan diri dengan situasi yang sentiasa berubah-ubah dalam dunia pekerjaan, kehidupan peribadi dan kehidupan sosial dalam masyarakat berpengetahuan (Chee, Shanti, Tan,& Mun, 2011). Adalah sangat penting bagi guru menganalisis dan menilai perkembangan terkini untuk membuat keputusan mengenai kaedah pengajaran yang sesuai supaya pelajar bersedia untuk menghadapi situasi tersebut. Dengan adanya pengetahuan mengenai pembelajaran abad ke-21, guru sedar ianya merupakan penekanan baru ke atas kemahiran dan keupayaan, bukan pada domain khusus isi kandungan mata pelajaran semata-mata (Breslow, 2015). Kebanyakan pekerjaan dalam abad ke-21 ini seolah terhad kepada bidang teknologi maklumat dan komputer, tetapi guru perlu peka tentang pelbagai kemungkinan pekerjaan yang memerlukan kepakaran individu seperti bekerja dengan idea-idea, manusia atau sistem, bukannya objek fizikal semata-mata. Justeru, dengan adanya persediaan ilmu daripada guru dengan kaedah yang dipilih bukan sahaja mementingkan hasil pembelajaran yang bakal diperoleh pelajar tetapi mestilah menitik beratkan perkara yang pelajar perlu tahu dan perkara yang pelajar dapat lakukan.

Menurut Costa dan Kallick (2003), jika kita percaya bahawa kita sedang menyediakan pelajar untuk berhadapan dengan cabaran masa hadapan yang semakin kompleks maka fokus pendidikan mestilah turut berubah. Maka semua tahap pendidikan, dari peringkat sekolah rendah sehingga peringkat universiti, mesti berubah daripada pendidikan berasaskan disiplin tertentu kepada penyediaan pelajar yang berkemahiran abad ke-21 yang bersifat global, berpusatkan teknologi dan maklumat (Soulé & Warrick, 2015). Oleh yang demikian, kedua-dua guru dan pelajar mestilah menjadi pelajar berterusan sepanjang hayat yang sentiasa mempunyai dorongan dalaman untuk melakukan analisis kendiri, rujukan kendiri, penilaian kendiri dan pembetulan kendiri. Guru yang melengkapkan diri dengan pengetahuan ikhtisas ini adalah guru yang telah memperolehi kualiti profesional dan konteks pendidikan.

Permuafakatan komuniti merupakan aspek penting yang harus dilaksanakan. Ini kerana kejayaan pendidikan bukan sahaja terletak kepada sekolah tetapi faktor persekitaran turut menyumbang kepada kejayaannya. Justeru itu masyarakat iaitu individu, agensi- agensi kerajaan dan NGOs harus dilibatkan sama. Perkara ini selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara. Dalam proses menjayakan permuafakatan ini ia harus dilaksanakan dengan terancang supaya mencapai matlamat. Kegagalan perancangan akan menyebabkan masalah timbul.

Permuafakatan menurut Kamus Dewan (1997) ialah melibatkan proses perundingan, persetujuan atau permesyuaratan. Manakala komuniti pula sekumpulan manusia yang hidup bersamamengikut peraturan dan cara tertentu merujuk masyarakat kecil yang ditempatkan dalam satu kawasan tertentu dan ditadbirkan oleh kerajaan tempatan yang dikenali sebagai Majlis Daerah atau Majlis Perbandaran. Justeru itu Permuafakatan komuniti merupakan satu gerakan menyatukan sumber komuniti dan sekolah untuk memenuhi keperluan bersama. Ianya bertujuan untuk mewujudkan satu suasana dan persekitran belajar yang sempurna penglibatanya terdiri dari Sekolah, Keluarga, PIBG, Masyarakat, Agensi Kerajaan dan Pihak Swasta bersama- sama berusaha bukan sahaja untuk kebaikan pelajar tetapi juga untuk kesejahteraan masyarakat keseluruhannya.

Menurut Sulaiman Daud (1995), pendidikan pada abad ke- 21 bukan sahaja memerlukan kita melahirkan insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam bidang industri dan teknologi, pengurusan dan perdagangan tetapi juga harus menghasilkan insan yang mempunyai sistem nilai dan etika serta akhlak yang baik, berperibadi mulia, bertanggungjawab, patuh kepada Tuhan serta berkemampuan untuk membangunkan masyarakat dan negara (dalam Shahril dan Habib 2001). Dalam dunia moden yang berkembang pesat ini, peranan sekolah telah berubah dan guru perlu meningkatkan domain pengetahuan dan kecekapan-kecekapan baru untuk membolehkan mereka mengikut peredaran zaman ( Mohammed Sani 2005) Cabaran kepada guru dalam pendidikan kini merangkumi usaha melengkapkan diri dengan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, menangani masalah disiplin dan gejala sosial, pengurusan sekolah yang berkesan, harapan menggunung masyarakat dan banyak lagi. Oleh itu, para guru hendaklah terdiri dari golongan yang kuat semangat perjuangannya dan bersedia untuk mengadaptasi diri dengan perubahan yang berlaku begitu pantas masa kini.

Guru yang inovasi dan kreatif dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka sesuai dengan misi dan visi sekolah serta mampu memenuhi matlamat pendidikan negara ke arah meningkatkan kualiti pendidikan seiring dengan cabaran dunia globalisasi. Cabaran global kini memerlukan guru mempunyai keunggulan hasil inovasi dalam pedagogi yang ditentukan oleh cara kurikulum yang dilaksanakan dan disesuaikan dengan konteks budaya yang diwakili oleh setiap murid yang berlainan bangsa.

Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim menegaskan bahawa untuk melonjak transformasi pendidikan, kerajaan perlu melakukan perubahan terhadap guru terlebih dahulu. Dalam mencapai taraf negara maju pada abad ke 21, Malaysia memerlukan warganegara yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang Sains dan Matematik. Antara peranan guru dalam melonjak transformasi pendidikan negara ini adalah dengan mempersiapkan diri untuk membangunkan kemahiran dalam menjadi seorang yang kreatif dan berinovasi. Guru sebagai sumber manusia dalam bidang pendidikan yang bertanggungjawab membina kreativiti dan inovasi dalam setiap program pendidikan secara terancang dan sistematik. Sehubunagn dengan itu, permuafakatan komuniti dalam pendidikan yang dipraktkikan di sekolah mesti menyediakan tenaga guru yang dapat menonjolkan peranan mereka dengan lebih efisyen dan berdaya saing dalam masyarakat untuk menempuh dunia moden disamping melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran insaniah yang diperlukan selaras dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Falsafah pendidikan Negara menjelaskan Pendidikan Di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

Pembelajaran merupakan satu proses yang berterusan dan ianya tidak bergantung kepada kebolehan semulajadi dan suasana fizikalnya ( Nichols & Nicholls 1975). Sebenarnya proses pembelajaran adalah bergantung kepada faktor-faktor sosial khususnya pengaruh orang lain samada secara langsung atau tidak. Mereka yang dimaksudkan orang lain itu ialah ibu bapa, sahabat andai, rakan sebaya dan komuniti secara menyeluruh. Kita kerap kali melihat seorang guru cuba mempengaruhi pelajaran anak muridnya, malangnya ada kuasa lain yang mempengaruhi mereka. Ini ditambah pula seorang guru hanya mampu bersama muridnya pada kadar waktu yang terbatas, sedangkan sebahagian pelajar diluar kelas. Perkembangan teknologi terkini turut mempengaruhi situasi ini. Justeru itu tidak hairanlah akan wujud konflik antara guru dan pelajar. Situasi di luar mengganggu apa yang cuba diajar oleh guru. Bagi tujuan inilah maka masyarakat harus memberi sumbangan positif ke arah peningkatan mutu pendidikan. Perkongsian atau permuafakatan perlu ada bagi mewujudkan satu pembelajran yang berkesan. Pada masa kini terdapat beberapa isu yang memerlukan sokongan masyarakat terhadap meningkatkan mutu pendidikan supaya mnjadikan sekolah lebih berkesan.

Keseluruhannya kita melihat bahawa sekolah dan masyarakat perlu wujud permuafakatan yang baik. Usaha-usaha mewujudkan permuafakatan tidak mudah. Ia memerlukan komitmen yang bersungguh-sungguh semua pihak supaya apa yang dihajatkan akan tercapai. Semuanya dilakukan untuk merealisasikan pembangunan insan, masyarakat dan negara pada masa hadapan. Untuk meneruskan kelangsungan permuafakatan, ianya harus diterjemahkan dalam bentuk aktiviti. Menerusi aktiviti akan wujud interaksi antara masyarakat dan sekolah. Justeru itu aktiviti yang dirancang haruslah berkesan dan setiap ahli berasa diri turut terlibat yang akhirnya merasa seronok apatah lagi permuafakatan itu mendatangkan hasil. Kita tidak perlu memikirkan aktiviti yang hebat atau gah, tetapi memadai sesuatu yang mampu dilaksanakan dan mendatangkan impak.

Persaingan pada abad ke-21 amat memerlukan para pelajar yang berani dari segi menampilkan diri dengan pendapat, kreativiti, dan inovasi. Kemahiran soft skilled amat perlu dikuasai oleh setiap pelajar supaya lebih berkeyakinan tinggi untuk bercakap, mempertahankan pendirian dan memasarkan diri ke pasaran kerja semasa tempatan ataupun antarabangsa. Bagi menerapkan kemahiran ini agar menjadi kebiasaan dalam diri pelajar, pihak sekolah serta guru perlu menggembleng tenaga bersama pihak komuniti dan usaha bersama-sama serta mula menyusun program bercorak pengaplikasian kemahiran yang membolehkan pelajar mempamerkan kelebihan masing-masing agar dapat diaplikasikan ke dalam bidang-bidang tertentu yang boleh melonjakkan nama sekolah dan institusi pendidikan kita dan menyumbang ke arah keberhasilan negara.

Oleh itu, pencapaian tahap kemahiran bergantung kepada peranan yang dimainkan oleh setiap warga. Setiapa pelaksana yang kompeten dan mempunyai kemahuan untuk menyumbang atas dasar kepentingan dan manfaat bersama kepada negara perlulah hadir secara berterusan. Semangat dan iltizam serta keterbukaan setiap pelaksana untuk menilai secara berterusan daripada tindakan-tindakan yang dilaksanakan perlulah seiring dengan perkembangan pada abad ke-21. Langkah ini seterusnya akan dapat menambahbaik sistem pendidikan di Malaysia.

Hakikatnya terdapat pelbagai langkah yang boleh dilaksanakan dalam meningkat kualiti pengajaran guru dalam memastikan peranan guru melonjak transformasi pendidikan negara dilaksanakan. Semua pihak harus memberikan jalinan kerjasama dalam memastikan pendidikan yang diberikan dapat menjamin kualiti dan mutu generasi pemimpin kita pada masa akan datang. Perkembangan dunia aspek ekonomi, sosial, politik dan teknologi seharusnya menjadi indikator asas kepada sistem pendidikan dan persekolahan untuk memenuhi keperluan tenaga manusia yang berteraskan keilmuan yang berkualiti, asas nilai dan moral yang berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan, memelihara perpaduan rakyat sebagai bangsa Malaysia, dan manusia yang bertaraf dunia. Para pendidik adalah wahana yang boleh menentukan corak manusia yang mampu menghadapi alaf baru, abad ke-21. Sistem pendidikan yang terbaik akan menghasilkan pelajar yang cemerlang dan membentuk modal insan yang berahlak mulia. Guru sememangnya membentuk modal insan yang terbilang,cemerlang dan gemilang.



RUJUKAN

Shahril @ Charil Marzuki & Habib Mat Som (2001). Isu Pendidikan di Malaysia,
Sorotan dan Cabaran. Kuala Lumpur :Utusan Publication.

Kementerian Pendidikan Malaysia (2001), Pembangunan Pendidikan 2001 – 2010,
Kuala Lumpur.

Mohammed Sani Ibrahim (2005). Teacher Education Reforms and Teacher
Professional Standards : How can we help teachers to cope with the changes and challenges in education ? Kertas Kerja Persidangan Antarabangsa ke-12 Rangkaian Penyelidikan Literasi dan Pendidikan dalam Pembelajaran di Fakulti Pendidikan. Universiti Granada, Sepanyol, 11-14 Julai 2005.

Mohammed Sani Ibrahim (1998). Perancangan Dan Strategi Pelaksanaan Latihan
Guru-Guru Sekolah Bestari. Proseding Seminar Isu-isu Pendidikan Negara. Universiti Kebangsaan Malaysia.November .26-27 

Rohani Abdul Hamid (1998). Keperluan pendidikan abad ke-21: Projek Sekolah
Bestari. Proseding Seminar Isu-isu Pendidikan Negara. Universiti
Kebangsaan Malaysia.November  26-27.



No comments:

Post a Comment