. Amoi Chantek: CONTOH PENULISAN JURNAL (PRAKTIKUM) Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Thursday 7 September 2017

CONTOH PENULISAN JURNAL (PRAKTIKUM)

Bilangan jurnal                      : Ke-1
Minggu praktikum                 : Pertama
Tarikh peristiwa/kejadian     : 15 Julai 2013 – 19 Julai 2013
Tajuk jurnal                            : Minggu pertama di SK St Peter.

         Pada hari pertama, saya bersama pasangan praktikum saya, Anas Amirul Bin Ahmad Annuar telah melapor diri kepada Encik Brangin Jingan, Guru Besar SK Saint Peter, Saratok. Kami memperkenalkan diri masing-masing serta menyerahkan surat pengenalan diri kepada beliau. Kami turut dipanggil untuk berjumpa dengan guru besar, penolong kanan pentadbiran, penolong kanan HEM, dan penolong kanan Kokurikulum untuk diberi taklimat berkaitan beberapa perkara, termasuklah;
-       Organisasi sekolah
-       Sejarah sekolah
-       Budaya masyarakat sekolah
-       Aktiviti rutin yang dilakukan oleh murid dan guru sekolah
-       Jadual ko-kurikulum
-       Guru pembimbing praktikum

Selesai sahaja taklimat daripada Guru Besar, kami diberi taklimat oleh guru pembimbing kami iaitu Puan Isabella Sima Lindong. Antara perkara yang disebut semasa taklimat ialah pembahagian jadual waktu mengajar dan budaya yang diamalkan oleh murid di sekolah. Saya menggunakan masa terluang ini untuk melakukan pemerhatian di setiap kawasan sekolah. Saya bersama rakan juga dibawa untuk melihat keadaan persekitaran sekolah oleh beliau seperti stor sukan, stor kokurikulum dan padang permainan.
Pada hari kedua, saya dan rakan praktikum diperkenalkan oleh guru PK 1, Cikgu Lim Sagoh kepada seluruh warga sekolah SK St Peter semasa perhimpunan sekolah dijalankan. Selesai perhimpunan, saya bersama rakan mengikuti kelas yang diajar oleh Puan Isabella iaitu tahun 1 dan tahun 5. Cikgu Isabella menggunakan peluang ini untuk memperkenalkan kami secara lebih dekat kepada kedua-dua kelas tersebut. Kami menggunakan peluang ini untuk memberikan sedikit ucapan dan peraturan yang harus dilaksanakan oleh murid terbabit. Kami melihat proses dan cara pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan oleh Cikgu Isabella sebelum kami sendiri mengambil alih kelas tersebut dalam beberapa hari lagi.
Pada hari ketiga, saya memohon untuk menggantikan kelas tahun 4 daripada Cikgu Samad yang juga merupakan guru PK HEM di sekolah ini. Hal ini kerana saya ingin menjalankan satu projek yang diatur oleh Jabatan PJK IPG Kampus Rajang di bawah penyeliaan Dr Ong Kong Swee. Projek yang dimaksudkan ialah Ujian ‘Hand Wall Toss’ yang memerlukan saya mengumpul data murid sebelum diserahkan kepada Dr Ong Kong Swee selewat-lewatnya pada hari Khamis. Sementara belum bermula sesi pengajaran dan pembelajaran, saya menggunakan peluang masa lapang ini untuk menyelesaikan projek tersebut. Saya juga menggunakan peluang ini untuk bersuai kenal bersama anak murid dan menetapkan beberapa peraturan yang harus dipatuhi sepanjang saya berpraktikum di sini.
Pada hari keempat, seperti biasa, untuk minggu pertama ini, saya mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran Cikgu Isabella bersama kelasnya iaitu tahun 1. Saya melihat dan mempelajari bagaimana kaedah dan teknik pengajaran yang dijalankan oleh Cikgu Isabella terhadap murid tahun 1 kerana untuk praktikum kali ini, saya diberikan peluang untuk mengajar murid-murid tahun 1. Selepas itu, saya bersama rakan praktikum juga telah membuat catatan setiap alatan yang berada di dalam stor sukan untuk permulaan tugasan projek kami iaitu mengemaskini stor sukan sekolah. 
Hari kelima untuk minggu pertama, saya bersama rakan praktikum menumpukan perhatian kepada tugasan projek kami mengemaskini stor sukan. Kami melaksanakan sedikit pengubahsuaian terhadap barangan di stor sukan dan akan disambung semula pada minggu hadapan.  Selain itu, saya juga menggunakan ruang masa yang terluang dengan mengumpul beberapa maklumat penting untuk memenuhi piawaian fail praktikum.



Disemak oleh Guru Pembimbing


Tandatangan :
Nama            :
Tarikh            :

Disemak oleh Pensyarah Pembimbing


Tandatangan :
Nama            :
Tarikh            :


No comments:

Post a Comment