. Amoi Chantek Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Thursday 7 January 2016

SJH3123: NOTA TAMBAHAN

1. Maksud sejarah mengikut perspektif Islam.

·               Sejarah merupakan suatu peristiwa atau kejadian yang benar-benar terjadi yang berkaitan dengan pertumbuhan serta perkembangan agama Islam dalam pelbagai aspek.
·               Sejarah adalah gambaran masa lalu tentang manusia dan persekitarannya, sebagai makhluk sosial, yang disusun secara ilmiah dan lengkap. Ia meliputi urutan fakta masa tersebut dengan tafsiran dan penjelasan yang memberi pengertian dan kefahaman tentang apa yang telah berlalu.
·               Sejarah ialah suatu ilmu mengenai alam yang dicipta Allah SWT yang mengandungi ruang lingkup masa dan peristiwa yang menjadi objektnya ialah makhluk itu sendiri terutama manusia dan kesan daripada aktiviti-aktiviti manusia tersebut yang melahirkan maklumat dan peristiwa.

2. Ciri-ciri masyarakat Zaman Jahiliah.

·   Masyarakat tidak ada nabi dan kitab suci sebagai petunjuk
·   Tidak mempunyai peradaban
·   Tidak berakhlak, angkuh dan bongkak
·   Tidak boleh membaca dan menulis
·   Berjudi, berzina dan minum arak
·   Para wanita berstatus rendah, tidak mewarisi harta dan menjatuhkan maruah keluarga
·   Tidak mempunyai peraturan yang tetap
·   Lelaki boleh berkahwin dengan beberapa orang wanita


3. Implikasi Perang Jamal yang berlaku pada zaman pemerintahan Khalifah Ali bin Abi Talib.

·      Ramai tentera dan rakyat terkorban termasuk Talhah dan Zubair.
·      Sebanyak 600,000 dirham diperoleh daripada perbendaharaan Basrah dan dibahagikan sama rata dengan tentera Khalifah Ali bin Abi Talib
·      Kemenangan peperangan telah menimbulkan masalah kepada Khalifah Ali bin Abi Talib kerana beliau terikat dengan kemahuan golongan pemberontak.
·      Orang Basrah terpaksa mengakui kekuasaan Khalifah Ali bin Abi Talib tetapi mereka mempunyai motif tersendiri dan Khalifah Ali bin Abi Talib terpaksa berhadapan dengan Muawiyah untuk meneruskan usaha damai.


4. Sebab-sebab ajaran Nabi Muhammad s.a.w ditentang oleh orang Arab Quraisy

·            Orang Arab Quraisy berasa terhina kerana Nabi Muhammad s.a.w menyelar agama berhala iaitu agama nenek moyang mereka.
·            Orang Arab Quraisy ingin mengekalkan kuasa dan pengaruh yang dipegang sejak sekian lama di kota Makkah.
·            Agama islam mementingkan persamaan taraf sesama manusia yang bertentangan dengan konsep sistem sosial masyarakat jahiliah..
·            Orang Arab Quraisy bimbang hilang punca pendapatan daripada penjualan berhala yang telah menjadi amalan sejak nenek moyang.
·            Orang Arab Quraisy takut akan hari pembalasan kerana mereka telah banyak melakukan dosa di dunia.
·            Orang Arab Quraisy iri hati dengan kedudukan Nabi Muhammad s.a.w sebagai seorang nabi dan rasul.


5. Reformasi sosial yang telah dilaksanakan oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz di Damsyik.

     Reformasi Sosial
·            Mewujudkan sebuah masyarakat baharu yang berlandaskan akidah Islam dan tidak berlandaskan keturunan.
·            Memperbanyakkan tempat ibadat.
·            Membenarkan orang yang baru memeluk agama Islam berpindah ke bandar-bandar.
·            Menggalakkan asimilasi perkahwinan di antara orang Arab dengan orang bukan Arab.
·            Memperhebatkan dakwah dan syiar Islam.

6. Usaha-usaha Abdul Rahman al-Dakhil menegak Daulah Umaiyah di Andalusia.

·                       Mewujudkan sistem pentadbiran yang berkesan
Pentadbiran negara dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama dipimpin oleh seorang Amir (Ketua Negara). Bahagian kedua merupakan pemerintahan pusat yang menyerupai Dewan Negara.

·                       Menyebarkan ilmu pengetahuan.
Beliau menunjukkan minat yang mendalam dalam aktiviti keilmuan dan kesusasteraan. Beliau telah menjadikan Cordova sebagai pusat perkembangan ilmu di Eropah. Beliau telah berusaha menjemput ahli fekah, alim ulama, ahli falsafah dan ahli syair untuk menganjurkan aktiviti keilmuan di Andalusia.

·                       Mempertahankan kestabilan Andalusia.
Beliau telah mengukuhkan pertahanan negara dengan memperkuatkan angkatan tenteranya. Beliau telah membenarkan negara Kristian mengambil perlindungan daripada penguasaan pimpinan Islam dengan membayar ufti tahunan kepada kerajaan islam Andalusia.

·                       Mengamalkan sikap toleransi antara bangsa dan agama.
Beliau mengamalkan konsep toleransi agama terhadap penganut Kristian dan Yahudi. Beliau telah berjaya menyatupadukan rakyat Andalusia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Beliau telah melantik hakim khusus untuk orang Yahudi dan Kristian bagi menangani masalah yang berkaitan dengan ajaran agama masing-masing.

·                       Melaksanakan projek pembangunan besar-besaran.
Beliau telah berjaya membina istana yang megah, masjid yang terkenal di Cordova, membina gedung ilmu, membangunkan bandar-bandar, kedai-kedai serta rumah tumpangan untuk menaiktaraf kehidupan rakyat.

·                       Mewujudkan sistem pengairan yang berkesan.
Sepanjang pemerintahannya, beliau telah membina empangan dan sistem pengairan yang berkesan untuk tujuan pertanian dan belakan air bersih.

·                       Mengamalkan corak kepimpinan terbaik
Sepanjang pemerintahannya, beliau telah mengamalkan corak kepimpinan terbaik untuk semua rakyat. Beliau merupakan seorang pemimpin yang berpegang kuat pada ajaran agama Islam, amat bertanggungjawab, adil dan bertolak-ansur.



7. Faktor-faktor kejatuhan Daulah Abbassiyah.

·      Kerajaan Bani Abbassiyah terlalu mempercayai bangsa asing terutama bangsa Turki serta melantik mereka menjawat jawatan tinggi dan penting dalam kerajaan, yang mana akhirnya menyebabkan tergugatnya Kerajaan Abbassiyah sendiri.

·      Terdapat sesetengah dalam kerajaan ini terlalu menekan dan memusuhi puak Syiah yang mengakibatkan berlakunya pemberontakkan disepanjang pemerintahan Kerajaan ini.

·      Terdapat sesetengah Khalifah telah melantik dan menentukan dua ke tiga orang anak mereka bakal menjadi Khalifah (secara bergilir) ini mengakibatkan berlakunya perang saudara seperti di antara Al Amin dengan Al Makmun.

·      Pada tahun 656H / 1258M, Kerajaan Bani Abbassiyah telah diserang oleh tentera Monggol yang dipimpin oleh Holagu Khan, dan akhirnya Kerajaan Abbassiyah telah dapat digulingkan.

·      Rusuhan dan pemberontakan sering berlaku. Ini telah mengganggu ekonomi kerajaan Abbassiyah kerana para pedagang tidak lagi berkunjung ke situ.


8. Tindakan yang dibuat oleh Khalifah Abu Jaafar al-Mansur  untuk mengukuhkan kuasa kerajaan Abbassiyah.

·      Menghapuskan pemberontak puak Syiah.
    Khalifah Abu Jaafar al-Mansur telah menghantar tenteranya di bawah pimpinan Isa bin Musa dan berjaya menghapuskan pengaruh golongan Syiah yang telah bangun menentang kerajaan Abbassiyah.  

·      Memerangi bapa saudaranya yang bernama Abdullah bin Ali untuk menghapuskan pengaruhnya.
    Abdullah bin Ali merupakan seorang panglima tentera yang mempunyai pengaruh dan pengikut yang besar di kalangan penduduk Syam dan Mesir. Oleh itu, beliau mendakwa dirinya berhak menjadi khalifah menggantikan Khalifah Abu Jaafar al-Mansur. Oleh itu, Khalifah Abu Jaafar al-Mansur telah mengutuskan seramai 17000 tenteranya untuk menyerang Abdullah bin Ali. Abdullah bin Ali berjaya ditangkap dan dipenjarakan.

·      Menghapuskan pengaruh Abu Muslim al-Khurasani.
    Walaupun pada mulanya Abu Muslim al-Khurasani banyak berjasa kepada Khalifah Abu Jaafar al-Mansur seperti dalam membangunkan kerajaan Abbasiyah dan menghapuskan pemberontakan Abdullah bin Ali, Abu Muslim kemudiannya tidak lagi mematuhi arahan khalifah kerana beliau sedar mempunyai pengaruh yang besar. Khalifah menjemput Abu Muslim ke istana kemudian beliau dicerca. Oleh kerana Abu Muslim tidak tahan dicerca dan cuba melawan, beliau akhirnya dibunuh kerana dianggap menentang khalifah.

·      Memerangi Abdul Rahman al-Dakhil di Sepanyol.
    Abdul Rahman al-Dakhil adalah dari keturunan Umaiyah. beliau berjaya melarikan diri ke Sepanyol semasa gerakan Abbasiyah menghapuskan Bani Umaiyah. Abdul Rahman mendapat sambutan untuk menubuhkan kerajaan Umaiyah II di Sepanyol dan ini dianggap akan memberi ancaman kepada kerajaan Abbasiyah. Oleh itu, Khalifah Abu Jaafar telah menghantar tenteranya memerangi Abdul Rahman al-Dakhil. Beliau berjaya dikalahkan dan kepalanya dipotong kemudian dikirimkan kepada khalifah sebagai tanda amaran kepada pihak yang mahu menentang kerajaan Abbassiyah.


9. Bentuk agama serta amalan dalam masyarakat  Arab Jahiliah.

Zaman sebelum kedatangan Islam dikenali sebagai zaman Jahiliah, iaitu bermula dari tempoh keruntuhan empangan maarib sehingga zaman  kedatangan Islam ( 610 M). Ciri-ciri masyarakat Jahiliah, tidak mempunyai nabi dan rasul serta kitab suci sebagai panduan. Nabi Muhammad s.a.w menerima wahyu yang pertama pad 610 M. Perkataan Jahiliah yang bererti bodoh menepati ciri-ciri masyarakat pada tempoh masa tersebut dalam semua aspek kehidupan.Kepercayaan masyarakat Jahiliah terbahagi kepada 2 iaitu, kepercayaan agama dan kepercayaan adat. Kepercayaan agama ialah bentuk-bentuk agama yang diamalkan oleh bangsa Arab, sementara kepercayaan adat lebih merupakan kepercayaan tahyul dan tradisi lama yang diwarisi. Kepercayaan adat tidak mempunyai konsep penyembahan sebaliknya membentuk sebahagian daripada budaya hidup mereka.

Kepercayaan agama terbahagi dua iaitu Agama Samawi ( agama langit ) yang diturunkan oleh Allah melalui nabi-nabi dan mempunyai kitab, dan agama ardhi (agama ciptaan ) yang direka oleh manusia sendiri.
·     Agama Hanif
Agama yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim. Penganutnya digelar Hunafa”. Agama ini tidak mempunyai kitab tetapi suhuf. Agama ini mentauhidkan Allah sebagai Tuhan yang Esa. Antara tokoh yang menganut agama ini ialah Waraqah bin Naufal dan Nabi Muhammad s.a.w sendiri.
·     Agama Yahudi
Agama yang dianuti oleh masyarakat arab sebelum Islam. Agama ini dibawa oleh Nabi Musa serta mempunyai kitab suci, iaitu kitab Taurat. Walau bagaimanapun golongan Bani Israel telah mengubah kandungan kitab ini demi kepentingan peribadi sehingga agama ini dianggap syirik kerana menduakan Allah.
·     Agama Nasrani
Agama ini juga telah diselewengkan oleh golongan pendeta agama tersebut. Meskipun Allah telah menurunkan kitab Injil kepada Nabi Isa, namun penganut agama ini telah mengubah kandungan asalnya. Penganut agama asal agama Nasrani dikenali dengan gelaran ahli kitab.
·     Agama Wathani
Majoriti masyarakat Jahiliah menganut agama wathani, iaitu agama sembah berhala yang diperbuat daripada batu, kayu atau emas. Sesetengah Arab percaya berhala dapat memberikan manafaat dan mudarat, mempunyai keberkatan dan sebagainya.  Terdapat 360 buah berhala disekeliling kaabah. Antara yang popular ialah Al-Uzza, Al-Manat, dan Al-Hubal.


·     Agama Majusi
Agama ini juga digelar Zoroaster dan berasal dari Farsi. Mereka menyembah matahari dan api. Pendeta-pendeta Majusi menyembah matahari 4 kali dalam satu hari. Agama ini banyak mengandungi cerita khayal dan turut menghalalkan perkahwinan ibu dengan anak serta adik beradik.
·     Agama penyembahan Cekarawala
Mereka menyembah matahari, bulan dan bintang serta beranggapan semua cekarawala merupakan sumber tenaga dan kekuatan.
·     Agama Animisme
Mereka menyembah objek-objek alam sekeliling seperti pokok, mereka percaya air dan pokok merupakan sumber kehidupan dan padang pasir yang kering sebagai tempat kediaman tuhan yang jahat.
·     Agama Penyembahan Makhluk Halus (Polydemonisme)
Mereka menyembah malaikat, Jin, roh nenek moyang dan sebagainya. Makhluk makhluk ini dianggap mempunyai kuasa ghaib dan boleh menjadi perantaraan dengan Tuhan, dan menjamin keselamatan mereka.

·     Penyembahan Tuhan Padang Pasir
Penganutnya digelar Ahl-al-Saf ( ‘ahlil-saf’ ). Mereka percaya bahawa padang pasir wujud tetapi tidak pernah ditemui. Amalan mereka membawa api pada waktu malam dan berjalan-jalan di tengah padang pasir sambil menyanyi.

·                     Kepercayaan tahyul
Kepercayaan pada tangkal azimat
Percaya bahawa roh orang mati menjadi burung.
Percaya kepada ahli nujum dan ahli sihir
Percaya kepada binatang yang melintas di tengah-tengah perjalanan- Jika ke kiri membawa kepada keburukan, manakala ke kanan akan membawa kebaikan.
Mengorbankan anak perempuan merupakan perbuatan yang mulia.
Mengikat tali pada mana-mana pokok, jika ikatan terlerai sekembalinya suami dari perantauan, ini bermakna isterinya telah berlaku curang.
Membuat keputusan melalui anak panah.





10. Sumbangan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq pada zaman pemerintahannya dalam usaha menyelamatkan umat Islam selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.

Sejak kecil, Abu Bakar terkenal dengan kejujurannya, berbudi pekerti mulia dan bersifat terpuji. Beliau digelar al-Siddiq kerana telah membenarkan setiap percakapan dan perbuatan Nabi. Beliau juga telah bersama-sama Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah dan tinggal bersama di dalam Gua Thur. Antara sahabat-sahabat Nabi, Abu Bakar adalah orang yang paling rapat dengan Nabi Muhammad s.a.w. Jadi, beliau menjadi lelaki dewasa pertama yang memeluk agama Islam. Abu Bakar bekerja dalam bidang perniagaan. Khalifah Abu Bakar al-Siddiq telah memberi banyak sumbangan yang besar kepada umat Islam sepanjang zaman pemerintahannya.

·      Usaha dalam aktiviti dakwah

Selepas Abu Bakar As-Siddiq memeluk Islam, beliau mula berdakwah. Peribadi Abu Bakar telah dikenali oleh kaumnya sebagai seorang yang mulia dan selalu menolong orang lain. Oleh sebab itu, banyak orang yang selalu datang kepadanya untuk meminta tolong dan disebabkan oleh keperluan perdagangan. Dalam kesempatan baik seperti ini, beliau selalu mengajak teman akrabnya untuk masuk Islam. Antara teman akrabnya yang memeluk Islam dari dakwahnya adalah Zubair bin Awwam, Usman bin Affan, Talha bin Ubaidah, Saad bin Abi Wakas dan Abdurahman bin Auf r.a.

·      Memerangi tentera Rom
Abu bakar menjadi khalifah pertama dalam kerajaan Khulafa al-Rasyidin. Beliau memerintah selama dua tahun iaitu dari 11 hingga 13 Hijrah atau 632 hingga 634 Masihi. Perintah pertama yang dikeluarkan sesudah Abu Bakar diangkat menjadi khalifah ialah mengerahkan dan meneruskan perjalanan tentera Usamah bin Zaid. Pasukan Usamah ialah pasukan yang telah disiapkan Rasulullah untuk menggempur barisan tentera Rom di Perbatasan Utara.

·      Membebaskan negeri-negeri dari cengkaman Rom dan Parsi
Sumbangan lain ialah membebaskan negeri-negeri yang berada di bawah cengkaman Rom dan Parsi. Beliau telah berjaya membebaskan negeri-negeri di bawah naungan Rom dan Parsi. Tentera Islam yang diketuai panglima Khalid bin al-Walid turut berjaya mempertahankan Madinah daripada ancaman kuasa luar seperti Parsi di sebelah Timur dan serangan kerajaan Byzantine (Rom Timur) di sebelah Barat

·      Memerangi golongan murtad
Selain itu, Abu Bakar juga menghapuskan golongan murtad dan nabi palsu sekaligus mendaulatkan kerajaan Islam Madinah. Saidina Abu Bakar menegaskan bahawa mereka bukan sahaja menyatakan taat sembah kepada seorang pemimpin,malah ada di antara mereka mendakwa bahawa mereka ialah nabi dan rasul. Bagi menumpaskan penghinaan dan perbuatan murtad ini maka Saidina Abu Bakar melancarkan perang terhadap golongan yang digelar golongan Riddah. Hal ini merupakan permulaan siri Peperangan Islam-Riddah. Antara orang yang mengaku menjadi nabi ialah Musailamah al-Kazzab. Khalid Al-Walid berjaya menumpaskan Musailimah dalam suatu pertempuran.

·      Memerangi golongan yang enggan membayar zakat
Abu Bakar dalam dakwahnya ialah menghapuskan kaum yang enggan membayar zakat. Pemberontakan dan kekacauan itu sangat hebat sehingga mengakibatkan terdapat kabilah-kabilah Arab yang hampir murtad habis-habisan, melepaskan kepercayaan Islam seluruhnya manakala ada di antaranya yang masih tetap di dalam Islam tetapi enggan memenuhi salah satu daripada rukun Islam yang kelima iaitu zakat.

·      Membahagikan Tanah Arab kepada sepuluh wilayah
Di samping itu, beliau turut berusaha untuk melicinkan lagi pentadbiran kerajaan Islam dengan membahagikan lagi Tanah Arab kepada sepuluh wilayah iaitu Mekah, Taif, Yaman, al-Jund, Khalwan, Bahrin, Jarsh, Zabid, Hadhramaut dan Nijran. Dalam dasar pemerintahannya, beliau turut melantik seorang amir atau ketua untuk mentadbir wilayah-wilayah tersebut.

·      Memperkenalkan sistem bayaran gaji kepada tentera
Saidina Abu Bakar as-Siddiq turut memperkenalkan bayaran gaji untuk tentera melalui Ghanimah atau harta rampasan perang. Malah undang-undang tanah seperti bayaran cukai al-Kharaj atau cukai tanah dan Jizyah atau cukai perlindungan bagi orang kafir dan melindungi golongan mawali iaitu orang bukan Arab yang memeluk Islam.

·      Menggerakkan usaha pengumpulan Al-Quran
Sumbangan terbesar Saidina Abu Bakar als-Siddiq ialah beliau telah mengumpul semula semua naskah al-Quran dan mengkitab mukjizat Rasullullah itu menjadi panduan umat Islam sehingga kini. Hal ini kerana beliau telah mula runsing dengan kemunculan golongan murtad dan nabi palsu, maka beliau telah mengarahkan Zaid bin Thabit supaya mengumpulkan semua tulisan ayat al-Quran serta menyalinnya semula. Salinan tersebut telah disimpan olehnya dan telah diamanahkan kepada Saidina Umar bin al-Khattab, Hafsah (isteri kepada Nabi Muhammad) dan Saidina Uthman bin Affan. Sebagai pengiktirafan kepada jasanya itu, beliau telah digelar sebagai Penyelamat Umat Islam.

·      Sistem pengurusan jemaah Haji.
Selain itu,beliau juga merupakan sahabat awal yang mendapat gelaran Amirul Hajj. Ini berlaku pada tahun ke-9Hijrah. Tugas Amirul Hajj adalah memimpin jemaah haji ke Mekah sehingga kepulangan mereka di samping memberikan pengawalan dan menjaga keamanan mereka. Tugas sebagai Amirul Hajj juga adalah sebagai pembimbing pelaksanaan syiar ibadah haji di Mekah, Arafah dan di pelbagai daerah-daerah tanah suci.

Khalifah Abu Bakar al-Siddiq boleh diumpakan sebagai seorang yang amat penting dalam hidup Nabi Muhammad s.a.w. Beliau merupakan seorang yang sanggup berjihad dan mengorbankan nyawa serta harta demi memperoleh keredaan Allah. Oleh yang demikian, kita sebagai umat Islam seharusnya hidup berlandaskan syariat Islam. Kita perlu berusaha dalam membebaskan manusia daripada belenggu syirik. Pembangunan ekonomi juga patut dilaksanakan untuk perluasan dakwah dan kemajuan negara kita sendiri. Selain itu,pihak kerajaan juga perlu sama-sama berganding bahu dengan rakyat untuk menyebarkan dakwah Islamiah. Pengaruh Islam semakin tersebar apabila Khalifah Abu Bakar berjaya memerangi golongan murtad dan nabi-nabi palsu dalam kalangan kabilah-kabilah. Kebijaksanaan politik Abu Bakar itu membawa perkembangan masyarakat Arab ke arah kesatuan politik dan menjadikan mereka melihat Madinah sebagai ibu kota negara mereka dan sumber segala kebijakan mereka



11. Usaha-usaha kerajaan dalam mendaulatkan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi di Malaysia.


Agama Islam telah banyak menyumbang terhadap kecemerlangan pembangunan Malaysia dalam pelbagai bidang sejak Zaman Kesultanan Melayu Melaka sehingga sekarang. Ia telah menjadikan Malaysia sebagai negara Islam yang banyak dicontohi oleh negara-negara Islam lain diseluruh dunia.



·         Islam sebagai agama rasmi persekutuan

Agama Islam telah dimartabatkan ketempat paling tinggi dan terhormat iaitu dengan meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara seperti yang telah termaktub di bawah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan semenjak merdeka lagi. Perkara 11 Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa Islam merupakan agama Persekutuan Malaysia. Sungguh pun begitu agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.


·         Budaya Ilmu

Islam amat mementingkan ilmu dalam pembangunan ummah. Kepentingan budaya ilmu amat dititik beratkan dalam islam dalam segenap aspek kehidupan.Ia memberi panduan jelas bagi membolehkan manusia menimbang dengan wajar di antara ilmu yang manfaat atau tidak dalam pembangunan tamadun Islam. Budaya ilmu merupakan satu aspek yang tidak boleh dipisahkan dengan islam,melalui ilmu ulama-ulama serta cendikiawan islam mengorek khazanah-khazanah hukum,teori-teori serta method-method ilmiah untuk dijadikan panduan serta garis panduan buat umat manusia keseluruhan.


·         Pemikiran masyarakat

Kedatangan Islam nyata telah melakukan satu perubahan dalam aspek kepercayaan daripada alam tahyul dan khurafat, masyarakat telah diperkenalkan satu konsep akidah yang jelas iaitu akidah tauhid, ajaran tauhid yang bersifat metafizik ini menyelit unsur-unsur intelektualisme serta akidah kedalam pemikiran masyarakat. Ia telah menyebabkan timbulnya rasionalisme yang tidak pernah wujud sebelumnya. Fenomena inilah yang telah mencetuskan satu semangat hebat yang mampu menggerakkan perubahan falsafah hidup masyarakat di nusantara ini. Masyarakat mula meniggalkan alam mitos dan khayalan menuju alam pemikiran, akal serta peraturan-peraturan hidup yang jelas. Mereka mula percaya kepada rukun-rukun Iman dan Islam serta beribadat kepada Yang Maha Esa.


·         Penerapan nilai-nilai Islam

Penerapan nilai-nilai Islam seperti amanah, ikhlas, tekun, dedikasi dan sebagainya telah berjaya membentuk sebuah masyarakat Malaysia yang bermaruah, beridentiti, kukuh dan disegani oleh masyarakat lain. Ia juga telah  menubuhkan sebuah 'negara bahagia, menghapuskan  sikap yang negatif dalam menjalankan tugas yang  dipertanggungjawabkan dan menghasilkan perkhidmatan yang bermutu. 


·         Masyarakat Madani

Masyarakat madani adalah masyarakat beradab yang mengacu pada nilai-nilai kebajikan dengan mengembangkan dan menerapkan prinsip-prinsip interaksi sosial yang kondusif bagi penciptaan amalan demokrasi dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Masyarakat madani merupakan masyarakat yang terbuka dan toleran atas landasan nilai-nilai murni yang bersumber dari wahyu Allah SWT, dan beradab, menjunjung tinggi nilai-nilai kemanusiaan, masyarakat yang maju dalam penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi.


·         Islam Hadhari

Islam Hadhari merupakan suatu pendekatan anjakan paradigma untuk mengubah persepsi ummah terhadap ajaran Islam, sebagaimana yang telah diajarkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Pendekatan Islam Hadhari akan membuktikan bahawa ajaran Islam dapat mendorong penganutnya menjadi umat yang maju bagi mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. Ia memberi penekanan kepada aspek pembangunan dan pembinaan peradaban yang didasarkan pandangan semesta Islam dengan memberi tumpuan kepada usaha mempertingkatkan mutu kehidupan melalui penguasaan ilmu, pembangunan insan serta pembangunan fizikal. Islam Hadhari membawa maksud ajaran Islam yang membawa fokus kepada kehidupan untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat bertamadun dan mempunyai peradaban yang unggul bagi menghadapi cabaran alaf baru seperti ledakan maklumat, dunia tanpa sempadan, ekonomi global, budaya meterialisme, krisis identiti, jati diri serta penjajahan pemikiran.


·         Konsep kesederhanaan (Wassatiyah)

Keserdahanaan atau Wasatiyyah adalah satu sikap dan perbuatan yang baik dan sangat digalakkan oleh Islam, kerana melakukan perbuatan yang lebih dari sepatutnya dianggap melampau, begitu juga perbuatan yang kurang dari sepatutnya dianggap suatu kecuaian.Justeru, orang Islam tidak boleh rigid dan ekstrem, begitu juga tidak boleh terlalu bebas lepas tanpa ikatan dan sempadan. Wasatiyyah memerlukan orang yang menyeru dan mengajak manusia kepada kebaikan prinsip ini supaya ianya dapat mendatangkan manfaat kepada orang ramai. Masyarakat Islam di Nusantara umumnya dan masyarakat di Malaysia khususnya telah sekian lama mengamalkan konsep kesederhanaan ini dalam kehidupan mereka di pelbagai bidang. Kita boleh melihat konsep ini diamalkan dengan lebih nyata lagi oleh masyarakat Malaysia setelah kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Terutama isu-isu berkaitan dengan agama.



Sesungguhnya, agama Islam telah banyak memberi sumbangan terhadap pembangunan Malaysia dalam pelbagai bidang seperti yang telah dibincangkan di atas. Ia telah menjadikan negara Malaysia sebagai negara Islam contoh dalam banyak bidang.


































No comments:

Post a Comment