. Amoi Chantek Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Thursday 7 January 2016

LAPORAN INDIVIDU BINA INSAN GURU
Sebagai permulaan, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih dan rasa bersyukur kerana berjaya menyertai dan melaksanakan Bina Insan Guru (BIG) Siri Empat, 2014, bersama dengan kumpulan pengajian saya iaitu Bahasa Sejarah berserta dengan Bahasa Iban dan kumpulan TESL. Program BIG Siri Satu ini telah diadakan selama 3 hari 2 malam di Pulako IPG Kampus Rajang. Program BIG selama 3 hari 2 malam, iaitu dari 13-15 Ogos 2014 telah banyak memberi serta meningkatkan kebolehan dan keyakinan diri saya sebagai seorang bakal guru.

            Sepanjang program BIG ini, saya telah diberikan banyak informasi dan kemahiran yang dapat saya gunakan dalam kehidupan harian saya terutamanya apabila saya keluar mengajar di sekolah pedalaman nanti. Sehari sebelum bertolak ke Pulako untuk menjalani program BIG, 81 orang dalam Kumpulan BIG Siri Satu telah dibahagikan kepada 10 kumpulan. Setiap aktiviti akan dijalankan mengikut kumpulan dan kerjasama antara ahli kumpulan akan dinilai. Perkhemahan ini bertempat di Pulako, IPG Kampus Rajang. Seramai 81 orang guru pelatih Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang dan 5 orang pensyarah pengiring yang terdiri daripada mentor setiap kelas, penyelaras dari Jabatan Kokurikulum, dan Ketua Unit Kokurikulum selaku kem komandan. Perkhemahan BIG Fasa IV lebih kepada khidmat sosial di mana kami telah mengadakan satu Kembara Sosial ke Rumah Panjang Rantau Kemiding, Kanowit.

           



LAPORAN HARI PERTAMA: 13 OGOS 2014 (RABU)



Pada hari pertama BIG, semua pelajar telah berkumpul di Pulako pada pukul 2pm. Seawal jam 2 petang, Encik Mcnair telah merasmikan perasmian Bina Insan Guru Fasa IV. Kemudian, Encik McNair menerangkan tentang program yang akan dijalankan pada perkhemahan kali ini di mana kami akan mengadakan program khidmat sosial. Selepas selesai memberi taklimat, setiap kumpulan menyediakan gajet dan khemah masing-masing. Kami telah bekerjasama bersama rakan-rakan untuk mendirikan khemah dan kami juga telah memilih tapak khemah yang sesuai sebelum kami mendirikan khemah. Dengan pengalaman dan pengetahuan yang kami ada di mana kami peroleh dari kem-kem yang lepas, kami lebih yakin dalam memilih tapak khemah serta mendirikan khemah. Ini menyebabkan kami lebih bersyukur dan menghargai apa yang kami pernah alami dan harungi sebelum ini kerana ia amat berguna sekarang. Selain itu, kerjasama dibuat bukan sahaja dengan ahli kumpulan sendiri, malah dengan ahli kumpulan yang lain. Peserta perempuan juga mendirikan khemah pada masa yang sama. Terdapat 15 khemah untuk peserta perempuan dan 6 khemah untuk peserta lelaki, manakala terdapat 4 gajet yang telah didirikan. Terdapat 8 kumpulan kesemuanya dan setiap gajet dibahagi kepada dua kumpulan.Setelah selesai mendirikan gajet dan khemah, pengagihan makanan juga diagihkan kepada setiap gajet.

Setelah semua selesai, maka tibalah masa untuk berehet seketika. Sesetengah daripada kami menyediakan minum petang kepada ahli kumpulan masing-masing di mana terdapat roti, the dan juga telur. Selain itu, sesetengah daripada kami juga menyediakan bahan-bahan untuk makan malam semasa   pengurusan diri agar dapat mempercepatkan atau memendekkan masa memasak. Kami juga telah bergilir-gilir membuat kerja agar semua orang dapat menyumbang tenaga. Setelah semua selesai, kami meneruskan program kami dengan sesi bersama Encik Hadeli iaitu LDK pertama yang bertajukkan Intrapersonal. Sesi ini berakhir pada jam 6.30pm dan kami masing-masing pergi mengurus diri setelah berakhirnya sesi LDK tersebut. Setiap gajet juga telah dihadkan hanya 2 orang sahaja yang boleh berada di gajet untuk menyediakan makan malam. Selepas siap memasak, kami semua menjamu selera di gajet bersama ahli kumpulan masing-masing. Oleh kerana menu yang pelbagai, kami juga saling bertukar lauk dengan gajet yang lain agar dapat merasai lauk yang berbeza. Setelah makan malam, kami membahagikan tugas agar orang yang memasak tidak perlu membasuh pinggan. Selepas selesai semua, kami pun menghadiri slot sesi moral dan tazkirah di mana sesi moral diadakan di Dewan Kenanga, manakala sesi tazkirah diadakan di Pulako. Sesi moral pada hari tersebut diketuai oleh saudari Yusnitha Merang selalu Pengerusi TCF IPG Kampus Rajang. Semasa sesi moral, beberapa video telah ditayangkan bagi tontonan bersama di mana ia menekankan nilai-nilai positif dalam diri seseorang terutamanya seseorang yang bergelar guru haruslah sentiasa berfikiran positif dalam apa jua tindakan.

Pada malam itu juga, kami telah menjalankan aktiviti ice breaking bersama Encik Hadeli. Walaupun kesemua kami telah bersama selama tiga tahun, namun saya merasakan kami semua masih lagi kurang mengenali satu sama lain. Sesi ini telah merapatkan lagi hubungan di antara kami semua dan bagi saya, sesi ini amat penting di dalam sesebuah program kerana sesi ini dapat memecahkan halangan dan mengurangkan rasa malu untuk bertegur sapa di kalangan peserta. Sesi bersama Encik Hadeli ini amat berjaya bagi kami kerana melalui pemerhatian, semua peserta semakin rapat dan selesa dengan masing-masing selepas sesi ini. Pada malam harinya, kami bertugas mengikut kumpulan bertugas yang telah diagihkan. Setiap kumpulan amat bertanggungjawab dan berdedikasi dalam membuat semua kerja. Sentri adalah amat penting dalam sesuatu perkhemahan agar tapak perkhemahan sentiasa dalam keadaan selamat dari segala ancaman tidak kira dari segi pencerobohan mahupun didatangi haiwan yang tidak diingini seperti ular. Tugas sentri telah dibahagikan mengikut kumpulan. Setiap kumpulan akan berjaga selama dua jam semasa bertugas. Kami langsung tidak merungut kerana perlu berjaga malam kerana bagi kami, keselamatan semua warga adalah sangat penting. Oleh itu, kami sanggup bersengkang mata demi menjaga keselamatan semua dan itu adalah tanggungjawab bersama.

HARI KEDUA- 14 OGOS 2014
(LAWATAN KE RUMAH PANJANG RANTAU KEMIDING, KANOWIT)
            Seawal jam 6.20 pagi, kami telah berkumpul di tempat meletak bas kerana dijangka bas akan bertolak pada pukul 6.30 pagi. Tanpa dijangka, bas kami bertolak pada jam 7 pagi. Oleh kerana bilangan kami yang agak ramai, kami terpaksa menggunakan dua buah bas. Sesudah sampainya kami di destinasi tersebut iaitu di Rumah Panjang Rantau Kemiding, Kanowit, jam menunjukkan lebih kurang pukul 8 pagi. Tujuan kami membuat lawatan ke sana adalah untuk mempelajari dengan lebih mendalam tentang cara hidup mereka yang tinggal di kawasan pedalaman, cara mereka mencari nafkah, memberi pendidikan kepada anak-anak dan sebagainya. Tibanya kami di sana, kami disambut dengan penuh mesra. Tuak atau “ai pengayu” juga dihidangkan sebagai adat orang Iban

Berdasarkan lawatan ke rumah panjang ini, kami turut sedari bahawa zaman kini sudah tidak seperti dahulu. Hal ini kerana Tuai Rumah itu sendiri adalah seorang yang berjaya dalam hidup. Beliau merupakan salah seorang pekerja syarikat Shell yang telah bersara. Manakala, isterinya pula adalah seorang guru Bahasa Inggeris yang juga telah tamat tempoh berkhidmat. Jelas di sini bahawa mereka yang tinggal di rumah panjang ataupun kawasan pedalaman juga menerima pendidikan yang sepatutnya. Kami berasa amat bangga melihat pencapaian mereka lebih-lebih lagi melihat Tuai Rumah yang begitu berpandangan luas dalam memajukan rumah panjang tersebut.

Secara jujurnya, kami tidak pernah menjangka bahawa rumah panjang juga mempunyai teknologi yang maju seperti memiliki Astro, mempunyai saluran elektrik dan air sepenuh masa, mempunyai bilik Wi-fi khas, mempunyai beberapa buah telefon awam di ruai rumah panjang tersebut, mempunyai laman web khas bagi mempromosikan tempat tersebut dan banyak lagi perkara yang membuatkan kami terpegun dengan rumah panjang tersebut. Sememangnya lawatan ini telah membuka mata dan minda kami setelah melihat kesemua ini dengan mata kasar kami sendiri.

Selain itu, kebanyakan daripada anak-anak muda mereka sekarang bekerja sebagai penjawat kerajan seperti pembantu kesihatan, polis dan guru. Pengalaman melawat ke rumah panjang ini betul-betul telah menyedarkan kami tentang betapa gigihnya mereka bagi memberi peluang kepada anak-anak untuk menuntut pelajaran. Ada di antara mereka yang terpaksa membuat kraftangan ataupun mencari buah-buahan dan sayur-sayuran dan menjualnya di pasar Kanowit yang terletak lebih kurang dalam jarak 4 kilometer dari rumah panjang demi mencari sesuap nasi. Namun, kebanyakan daripada mereka mendapat keuntungan melalui Homestay mereka. Kami amat mengkagumi mereka kerana setiap pelosok rumah panjang tersebut, mereka bersihkan dengan teliti. Kami sebagai pelawat sangat senang hati melihat kebersihan dan kekemasan setiap pintu(bilik) di rumah panjang tersebut. Selain itu, kami juga diberi peluang untuk ke kebun mereka untuk merasai sendiri bagaimana rasanya mencari sayur midin dan juga daun ubi. Sejujurnya, ramai di antara kami yang tidak pernah menjejakkan kaki ke rumah panjang, apatah lagi mencari midin dan mahupun daun ubi. Oleh itu, lawatan khidmat sosial ini sememangnya banyak membawa pengalaman dan ilmu kepada kami secara langsung dan tidak langsung.

Lebih kurang pada pukul 2.30 petang, majlis penutupan telah berlangsung. Beberapa persembahan telah dipersembahkan oleh pihak rumah panjang tersebut. Sememangnya pertunjukkan mereka amat mengkagumkan kami lebih-lebih lagi apabila mereka mempersembahkan tarian tradisional orang Iban iaitu ngajat. Semasa majlis penutupan, ucapan daripada Tuai Rumah telah diberirkan, Encik McNair, serta penghulu kami iaitu saudara Emyanex Welly Tugis. Setelah selesai majlis penutupan, kami mengakhirinya dengan sesi bergambar bersama keluarga angkat kami, gambar sekelas, serta gambar bersama ahli AJK Homestay Rantau Kemiding, Kanowit. Apabila jam menunjukkan jam 4.30petang, kami pun bertolak balik ke IPG menggunakan bas.
Setelah tibanya kami di IPG, kami pun menguruskan diri masing-masing bagi meneruskan aktiviti yang seterusnya. Ada di antara kami yang tanpa mengenal erti penat lelah, terus menyediakan makan minum kami. Setelah selesai memasak, kami pun menjamu selera bersama-sama ahli kumpulan kami. Kemudian, aktiviti kami diteruskan dengan sesi moral. Sesi moral itu diketuai oleh saudari Kathy dan Nancy. Sesi moral itu amat seronok kerana permainan yang telah dianjurkan oleh saudari Nancy. Permainan itu bukan setakat permainan sahaja, tetapi ia juga membawa maksud yang sangat mendalam di mana nilai persahabatan itu adalah sangat penting. Selepas selasai sesi moral, kami teruskan dengan sesi refleksi Kembara Sosial. Namun, kami telah diberi peluang untuk berbincang bersama ahli kumpulan masing-masing sebelum kami membentangkan refleksi Kembara Sosial tersebut.

Pada malam harinya, kami telah mengadakan BBQ bersama pensyarah-pensyarah. Kami berasa amat seronok kerana kami yakin bahawa saat seperti ini merupakan saat yang akan menjadi memori yang terindah bersama rakan-rakan. Oleh itu, kami sangat menghargai setiap masa yang kami luangkan bersama. Pengalaman dan memori ini adalah sangat berharga dan susah untuk didapati. Kami dihidangkan makanan BBQ dan menikmatinya bersama-sama ahli kumpulan masing-masing. Kami sangat seronok dan teruja pada malam terakhir ini. Walaupun penat, kami telah bekerjasama dengan baik sekali dan kami sudah berasa berat hati untuk mengakhiri program ini pada keesokkan harinya. Pada malam itu, kami tetap bertugas untuk sentri. Walaupun telah mengharungi perjalanan yang sukar dan memenatkan, kami tetap bersemangat untuk berjaga pada malam terakhir tersebut.

HARI KETIGA-15 OGOS 2014
            Pada hari terakhir, seperti biasa kami bangun seawal jam 5 pagi bagi menguruskan diri kerana program sesi moral bermula jam 5.30 pagi. Setelah selesai sesi moral, kami juga menyertai aktiviti senaman pagi yang telah dikendalikan oleh PISMP Sejarah. Aktiviti senaman pagi ini amat menyeronokkan kerana kami berasa lebih segar setelah bersenam. Senaman pagi juga membolehkan kita mempunyai badan yang cergas dan otak yang cerdas.

Pada hari ketiga juga hari terakhir, kami telah membentangkan tentang refleksi Kembara Sosial kami. Kami telah membentangkan refleksi Kembara Sosial kami dalam bentuk slaid. Setelah tamat pembentangan daripada setiap kumpulan, kami pun mengemas khemah dan gajet kami. Walaupun panas terik, namun kami tidak merungut. Malah, kami dengan satu hati dan satu jiwa, kami sama-sama mengemas khemah di bawah pancaran matahari yang terik tanpa mengetahui erti penat. Kami amat berbangga kerana mempunyai rakan-rakan yang amat serius ketika membuat kerja dan sanggup membantu rakan-rakan yang lain untuk mengemas khemah tanpa perlu disuruh atau diarah. Sikap inisiatif inilah yang harus ada pada setiap insan bergelar guru. Kami juga yakin bahawa Bina Insan Guru Fasa IV ini dapat mengajar kami lebih lagi dalam memupuk jiwa pendidik dalam diri kami.


Selain itu, walaupun hujan lebat sepanjang perkhemahan ini, namun kami tetap berjuang untuk meneruskan perkhemahan kami. Tiada siapa pun yang berputus asa dan tarik diri dari mengikuti program perkhemahan ini. Khemah juga telah dimasuki air, namun kami tetap bertekad. Cabaran seperti inilah yang harus ditangani untuk membekalkan kami dengan hati yang cekal sebelum bergelar guru yang sah. Semua yang berlaku pasti ada hikmahnya dan kita sebagai bakal guru harus mengetahui sifat-sifat dan nilai yang harus diterapkan dalam diri kita melalui apa yang telah dilalui. Yang penting, seorang guru haruslah bersabar. Kesabaran itu amat penting bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku. Oleh itu, guru haruslah mempunyai kesabaran yang tinggi. Program Bina Insan Guru ini amat bermanfaat kepada setiap bakal guru kerana ia dapat membina insan seorang guru untuk bersedia dengan cabaran apabila sudah mengajar kelak. Selain tu, program ini juga telah merapatkan jurang di antara tiga buah kelas yang terlibat dan persahabatan antara kami akan sentiasa kekal.

No comments:

Post a Comment