. Amoi Chantek Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Wednesday 6 January 2016

1.0         Pengenalan
Setiap agama mempunyai ajaran, peraturan dan perlakuan yang tercatat dalam kitab-kitab suci agama masing-masing. Manusia dikehendaki menuruti ajaran agama masing-masing. Kesemua yang diajar dalam agama adalah untuk mengajar manusia supaya berbuat baik dalam masyarakat. Selain itu, rutin agama yang dikehendaki oleh sesuatu agama menentukan kesolehan individu. Kesolehan tersebut  akan mendidik akhlak manusia supaya berbuat baik dan mempunyai tingkah laku yang diterima oleh sesebuah komuniti. Kesemua tingkah laku yang diterima oleh masyarakat merupakan sesuatu yang baik di mata mereka dan menjadikan tingkah laku tersebut menjadi sesuatu yang bermoral.

2.0         Moral
Moral berasal dari bahasa Latin yang membawa maksud cara, perwatakan dan tingkah laku yang diterima. Moral juga dikaitkan dengan kesedaran ajaran atau pegangan seseorang berkenaan yang baik atau buruk sesuatu perbuatan, sikap mahupun cara berkelakuan dalam masyarakat.
Pada pandangan Peter Baelz berkenaan moral didefinisikan sebagai persoalan betul atau salah, benar atau tidak dan apakah yang perlu dibuat atau harus ditinggalkan terhadap sesuatu perkara dalam sesuatu keadaan. Pertimbangan yang dilakukan adalah hasil pemikiran dan tingkah laku yang biasa diamalkan seseorang. Moral seseorang yang ditunjukkan biasanya akan mengikut keadaan dan persekitaran ketika membuat keputusan.
G.J. Warnock di dalam bukunya The Object of Morality menyatakan moral ialah cara untuk melihat dan mempersoal berbagai-bagai isu berhubung dengan perbuatan atau tingkah laku. Tindakan seseorang  manusia pastinya tidak sama dengan yang lain. Tindakan yang diambil diambil kira melalui pengalaman hidup serta tingkah laku individu tersebut. Selain itu, sesuatu kelakuan atau perbuatan juga  dianggap bermoral mengikut situasi dalam sesuatu masyarakat, dengan  mengambil kira soal tempat dan penerimaan masyarakat. Misalnya upacara minum air tapai diberi kepada tetamu dalam masyarakat Iban menjadi sesuatu yang bermoral kerana masyarakat Iban menerima upacara tersebut. Jika upacara ini tidak diterima oleh masyarakat Iban, maka upacara ini dianggap tidak bermoral.
Tokoh  ilmuan Islam iaitu Imam Al-Ghazali menyatakan moral sebagai tingkah laku seseorang yang muncul secara tidak lansung mengikut keredhaan dan kehendak Allah S.W.T. Selain itu, Moral mengikut tafsiran Islam juga merujuk kepada sesuatu kelakuan yang baik berlandaskan syariah, satu ukuran yang tetap dan tidak berubah mengikut keadaan dan waktu. Mengikut aspek Islam, moral adalah kelakuan atau perbuatan yang selari atau tidak melanggar batas, peraturan akhlak yang telah ditetapkan oleh syariah Islam. Sesuatu yang tidak bermoral mengikut pandangan Islam adalah sesuatu yang tidak berakhlak untuk masyarakat Islam, dan agama Islam itu sendiri. Penilaian ini juga tidak berubah mengikut zaman yang tertentu. Sesuatu yang tidak berakhlak pada sesuatu zaman adalah juga tidak berakhlak mengikut zaman lain. Pandangan tersebut diterima oleh masyarakat barat. Namun, perbezaan zaman itu menjangkau beberapa abad lamanya. Moral dalam Islam tidak mengambil kira falsafah tersebut. Bagi pandangan Islam, moral manusia adalah sesuatu yang semulajadi dan tingkah laku bermoral diwujudkan dengan mengikut syariah. Masyarakat pada sesuatu zaman mungkin berubah, namun sifat semulajadi manusia tetap sama dan agama Allah S.W.T telah menetapkan sesuatu yang baik dan buruk untuk menjadikan manusia bermoral.
Insan yang bermoral mempunyai profil diri yang baik. Profil diri ini menampilkan ciri-ciri seseorang insan yang bermoral. Pada kebiasaanya, seseorang yang bermoral mempunyai ciri-ciri seperti budi pekerti yang tinggi, bertingkah laku mulia dan berbudi bahasa. Tingkah laku ini menampilkan jati diri yang unggul kerana sentiasa berbudi pekerti dan orang di sekeliling berasa lebih selesa berdamping dengan insan tersebut. Insan yang bermoral juga tidak angkuh, tidak menunjuk  dan tidak sombong. Tingkah laku yang negatif ini akan membuatkan seseorang itu tidak disenangi oleh masyarakat sekelilin. Selain itu, insan yang bermoral juga mempunyai ciri suka bergaul dengan masyarakat dan tidak mengasingkan diri. Pergaulan yang dilakukan amat menitikberatkan aspek hormat-menghormati antara satu dengan yang lain.
Kesimpulannya, konsep moral ini merujuk kepada kawalan tingkah laku yang seseorang dalam membuat keputusan serta amalan seseorang individu. Seseorang yang dikatakan memiliki tingkah laku yang bermoral jika tingkah laku tersebut berdasarkan prinsip-prinsip atau peraturan-peraturan yang diterima.

3.0         Akhlak
Akhlak berasal dari kata ‘akhlaq’ dari bahasa Arab yang membawa erti perangai, budi, tabiat dan adab. Tam Yeow Kwai (Pendidikan Moral, 1996;4) mendefinisikan akhlak sebagai budi pekerti seseorang individu. Budi pekerti inilah yang mendorong kepada tindakan seseorang. Tindakan ini pula diterangkan sebagai tingkah laku seseorang yang didorong oleh suatu keinginan secara sedar untuk melakukan suatu perbuatan yang baik.  Akhlak merupakan sifat semula jadi yang dimiliki oleh seseorang individu. Disebabkan itulah tingkah laku dan tindakan yang dilakukan dibuat mengikut kebiasaan seseorang berdasarkan amalan moral yang diamalkan.
Menurut tokoh Islam Imam al-Ghazali pula, akhlak adalah sifat yang tertanam dalam jiwa seseorang, darinya terbentuk perbuatan dari pertimbangan fikiran. Maksud tokoh al-Ghazali disini, akhlak ialah satu tindakan yang dibuat oleh seseorang hasil pertimbangan yang difikirkan wajar. Akhlak bukanlah pengetahuan atau kebolehan untuk melakukan sesuatu, tetapi akhlak wujud berpunca dari tingkah laku. Ibn Miskawayh pula mentafsirkan akhlak sebagai keadaan jiwa yang menggerakkan seseorang untuk melakukan sesuatu perbuatan. Akhlak yang terbina dalam diri seseorang adalah berdasarkan keimanan diri seseorang. Demi mendapatkan keredhaan kepada Allah S.W.T, akhlak seseorang memainkan peranan yang penting dalam kehidupan. Islam mementingkan akhlak untuk mengukuhkan iman dalam diri agar dapat berjaya di dunia dan akhirat.
Kesimpulannya, akhlak ialah segala perbuatan dan tingkahlaku yang baik dan dimanfaatkan untuk mendapat keredhaan yang Maha Esa. Konsep akhlak berkait rapat degan kepercayaan dan keyakinan kepada Tuhan. Dari aspek Islam pula, akhlak berkait rapat dengan hakikat diri dan proses pembentukan peribadi Muslim yang beriman kepada Allah S.W.T.



4.0         Etika
Perkataan etika berasal daripada bahasa Latin iaitu ethica yang membawa maksud kelakuan betul dan kehidupan baik. Etika juga merujuk kepada maksud kebiasaan atau cara. Oleh itu etika boleh ditakrifkan sebagai suatu kajian sains tentang kelakuan manusia dalam masyarakat.
Tokoh Stroll & R.H. Popkin dalam buku Introduction to Philosophy menyatakan etika merupakan peraturan yang menjadi panduan hidup manusia. Pendapat tokoh tersebut membawa maksud manusia perlu mematuhi dan mengikut segala peraturan yang telah ditetapkan dan dijadikan garis panduan untuk sesuatu kerja. Kegagalan mengikut etika yang telah ditetapkan adalah menjadi kesalahan peraturan kerja. Tam Yeow Kwai (Pendidikan Moral 1,1996; 5), mendefinisikan etika sebagai  garis panduan yang diwujudkan untuk mengawal, menjamin dan melindungi segala tingkah laku yang bermoral. Etika yang diwujudkan adalah untuk mengawal tingkah laku seseorang. Secara tidak lansung, etika turut menyentuh tentang moral seseorang.
Dari aspek Islam pula, etika yang telah wujud kepada manusia ialah Al-Quran dan al-hadith. Pegangan teguh kepada Al-Quran dan al-hadith sebagai panduan kepada kehidupan tidak dapat dipertikaikan. Ilmuan-ilmuan Islam merumuskan bahawa manusia memerlukan dua unsur penting  untuk berjaya iaitu  unsur jasmani dan rohani.  Kejayaan manusia di dunia tanpa keredhaan Allah S.W.T adalah sia-sia. Keseimbangan unsur jasmani dan rohani akan menambahkan keimanan kepada kekuasaan Allah S.W.T dan terus menjadikan Al-Quran dan al-hadith sebagai etika hidup.
Etika terbahagi kepada dua jenis. Jenis etika yang  pertama ialah etika normatif. Etika normatif ialah etika yang mencadangkan untuk menilai, mengkritik dan membuat keputusan terhadap sistem moral yang ada. Etika normatif mengemukakan suatu sistem yang standard dengan berpandukan sistem yang sedia ada. Etika normatif menjadikan sesuatu etika yang telah ditetapkan dan menambahbaik etika yang sedia ada untuk  mewujudkan undang-undang moral yang  lebih baik.
Jenis etika yang kedua ialah etika deskriptif. Etika deskriptif didefinisikan sebagai satu disiplin yang membicarakan sejarah sistem moral. Etikan deskriptif lebih memfokuskan kepada kepelbagaian sistem moral yang relatif di dunia. Sebagai contoh, penilaian moral berbeza mengikut perbezaan individu, masa, tempat dan keadaan.
Oleh itu, etika berupaya menjadi  kayu pengukur dalam menilai tingkah laku moral seseorang. Etika yang diwujudkan menjadi satu kajian  tingkah laku moral untuk menilai seseorang sama ada dapat mengawal perlakuan mengikut etika yang telah ditetapkan. Tindakan yang dibuat seseorang berdasarkan motif, nafsu mahupun niat dalam sesuatu perkara yang tidak mengikut ataupun mengikut etika yang ditetapkan mencerminkan keperibadian moral seseorang
5.0         Konsep Baik, Benar dan Patut
Individu yang bermoral harusnya memegang kepada konsep baik, benar dan patut. Perkataan baik bermaksud memberi faedah atau bagus apabila menggunakannya.
Perkataan benar pula ialah sesuatu tingkah laku adalah betul sekiranya ia sejajar  dengan tugas atau tanggungjawab dan salah sekiranya ia bertentangan. Konsep Patut pula didefinisikan sebagai sesuatu yang perlu dipenuhi atau dilakukan. Sesuatu tindakan itu dikatakan baik, benar dan patut sekiranya tindakan sejajar dengan tugas dan tanggungjawab yang diterima. Selain itu, penerimaan masyarakat akan menetapkan sama ada perkara tersebut baik, benar dan patut dilakukan. Konsep ini adalah agak abstrak dan ahli falsafah yang berlainan telah mentakrifkannya dalam konteks atau pendekatan yang berbeza.

5.1      Konsep Baik
Perkataan baik menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah memberi faedah apabila menggunakan sesuatu. Menurut C.I Lewis  dalam buku yang ditulis olehTam Yeow Kwai (Pendidikan Moral 1, 1996;5) mengatakan bahawa baik atau buruk merupakan pengalaman seseorang individu secara intrinsik.Confucious iaitu ilmuan dari tamadun China menjelaskan konsep baik sebagai satu tingkah laku yang ditunjukkan oleh seseorang kepada seseorang. Tokoh Yunani iaitu Aristotle pula mentafsirkan konsep baik sebagai satu unsur kebahagian yang ada dan dirasainya oleh perasaan seseorang.
Baik dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu baik ekstrinsik dan baik intrinsik. Baik ekstrinsik ialah perkataan baik yang digunakan untuk penilaian dan tafsiran piawaian. Penilaian yang dibuat biasanya berdasarkan hasil standard kerja yang dicapai. Sebagai contoh, seorang murid yang menunjukkan prestasi yang memberansangkan dalam sesuatu ujian akan mendapat pujian guru dengan perkataan ‘baik’ yang ditulis oleh guru berkenaan dalam kertas ujian murid tersebut. Baik ekstrinsik juga dikaitkan dengan masa yang diperlukan untuk sesuatu kerja. Baik dalam konteks ini bermaksud sesuatu itu dianggap baik apabila sesuatu kerja dipermudahkan dengan bantuan sesuatu seperti teknologi. Teknologi dapat menjimatkan masa seseorang dalam urusan seharian. Masa untuk menyiapkan sesuatu kerja dapat disingkatkan. Bantuan seperti ini dianggap sesuatu yang baik untuk sesebuah komuniti. Dalam membuat keputusan atau pemilihan pula, sesorang itu akan berfikir dan menilai sesuatu material. Keputusan atau pemilihan sesuatu material dianggap baik apabila memenuhi criteria yang diingini oleh seseorang. Baik ekstrinsik berlaku secara luaran dan melibatkan sesuatu yang nyata.
Baik intrinsik pula berkaitan dengan faktor dalaman seseorang. Salah satu baik intrinsik ialah sokongan atau nasihat. Sebagai contoh, seseorang ketua  itu memuji pendapat seorang anak buahnya itu baik. Unsur sokongan terdapat dalam pujian tersebut, oleh demikian  tindakan memuji secara baik intrinsik telah diberikan kepada anak buah ketua terbabit. Baik intrinsik ini dapat meningkatkan keyakinan diri seseorang kerana baik intrinsik dijadikan motivasi diri seseorang untuk terus berusaha. Selain itu, baik intrinsik juga berkaitan dengan tindakan memuji dan menghargai seseorang. Hasil kerja yang baik atau pertolongan yang diberikan akan mendapat kata-kata pujian dan penghargaan seseorang. Menghargai pertolongan seseorang dan menilai orang tersebut dengan baik adalah sesuatu tindakan yang berkait dengan baik intrinsik. Baik intrinsik ini lebih bersifat dalaman dan berkaitan dengan moral dan tingkah laku seseorang.
Oleh itu, konsep baik ini oleh sering dikaitkan dengan sifat moral dan tingkah laku seseorang. Namun begitu, baik bukan sahaja melibatkan moral seseorang sahaja tetapi melibatkan pertimbangan dan penerimaan seseorang dalam menilai sesuatu perkara. Faktor dalaman dan luaran serta keadaan sering mempengaruhi persepsi seseorang dalam menilai baik atau buruk sesuatu tindakan itu.

5.2      Konsep Benar
Perkataan “benar” yang dimaksudkan dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ialah betul dan mengandungi ciri-ciri penjelasan nilai. Sesuatu perkara dianggap benar jika mempunyai fakta, sebab dan bukti yang sah berlakunya sesuatu atau diterima oleh masyarakat.
Tam Yeow Kwai (Pendidikan Moral, 1996;6) menyatakan konsep benar sebagai betul dan mengandungi ciri penjelasan nilai. Pendapat G.E Moore pula terhadap benar ialah  tingkah laku benar atau salah bergantung kepada darjah keseronokan yang dihasilkan. Kebenaran yang terhasil hanya dapat dirasai secara intrinsik. Confucious pula mendefinisikan benar sebagai sesuatu yang hanya wujud dalam hati manusia. Hanya manusia yang dapat menilai sesuatu itu samada perkara itu benar ataupun tidak. Pandangan tokoh barat iaitu Dewey dalam buku Tam Yeow Kwai (Pendidikan Moral, 1996;6) pula menyatakan benar adalah sesuatu perkara yang abstrak dan hanya wujud dari permintaan orang lain keatas diri kita.. Autoriti benar menjadi sesuatu permintaan atau pengakuan seseorang individu itu.
Konsep benar dapat dibahagikan kepada tiga. Benar dalam konteks tersebut ialah kebenaran mutlak, kebenaran secara saintifik dan kebenaran secara relatif. Kebenaran secara mutlak ialah kebenaran yang berkaitan dengan agama. Kepercayaan kepada tuhan dan menurut ajaran agama merupakan tugas kebenaran yang mutlak. Kebenaran mutlak ini tidak dapat dipertikaikan kerana manusia pastinya ada yang mencipta dan pencipta itu ialah Yang Maha Esa. Perkembangan sains dan amalan sosial pastinya tidak dapat merungkai kebenaran mutlak ini secara ekstrinsik kerana kebenaran ini telah wujud dalam diri dan akal manusia itu sendiri serta telah dinyatakan dalam kitab-kitab suci. Kebenaran secara mutlak diiringi dengan keimanan akan mengukuhkan kekuatan moral seseorang dan seterusnya dapat membaiki akhlak seseorang dalam tingkah lakunya.
Kebenaran secara saintifik ialah sesuatu kebenaran yang dibuktikan dengan fakta-fakta, serta pelbagai maklumat yang telah dikumpul dan dianalisis secara saintifik. Analisis yang diperoleh dapat menentukan kebenaran sesuatu secara terperinci dan tepat. Kebenaran secara saintifik ini tidak bergantung kepada pemikiran seseorang dalam menerima kebenaran tersebut tetapi berdasarkan kenyataan yang sah dan benar. Kebenaran secara saintifik ini diperoleh dan dinyatakan sebagai sesebuah hukum atau teori. Namun begitu, tidak semua dapat perkara dapat dibuktikan secara saintifik contohnya kewujudan Allah S.W.T kerana kebenaran saintifik untuk sesuatu perkara yang dapat diuji secara fizikal dan diuji berkali-kali mengikut skala yang ditetapkan.
Kebenaran secara relatif pula ialah kebenaran yang berlaku secara abstrak. Contoh kebenaran secara relatif ialah seperti pantang larang dan peraturan adat. Pantang larang dan peraturan adat mungkin dianggap benar, namun dengan perubahan masa mungkin pentang larang dan peraturan adat tersebut tidak sesuai lagi digunapakai. Kebenaran ini hanya wujud secara relatif kerana ilmu pengetahuan, kajian, pertimbangan dan kemahuan individu.
Kesimpulanya, benar ialah sesuatu perkara yang ditafsir sendiri oleh seseorang mengikut situasi yang wujud. Hanya kebenaran secara mutlak yang tidak dapat dipertikaikan kebenarannya. Kebenaran secara saintifik pula perlu dibuktikan dengan kajian yang berterusan manakalah kebenaran secara relatif perlukan penerimaan seseorang untuk menjadikan perkara tersebut benar mengikut tanggapan seseorang itu.

5.3      Konsep Patut
Perkataan patut boleh diertikan sebagai baik atau elok mengikut keadaan perangai,atau perbuatan (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2007;1150). Moore (1903) menyatakan “patut” membawa erti yang sama dengan “baik” kerana mempunyai unsur bertindak secara waras dan bijaksana.
Konsep patut memerlukan penilaian intrinsik yang memerlukan seseorang memberi pertimbangan terhadap suatu perkara yang boleh diterima oleh sesebuah masyarakat. Sesuatu tindakan akan dianggap tidak patut jika masyarakat tidak menerima tindakan yang dilakukan atas sebab penerimaan sesuatu perkara dalam masyarakat. Perkataan patut juga berkaitan dengan memberi tafsiran secara psikologi terhadap fakta-fakta yang wujud. Dalam erti kata lain, seseorang itu akan menilai sesuatu perkara atau tindakan yang dilakukan oleh orang lain di samping melihat tindakan tersebut sesuai atau tidak dengan keadaan sekeliling.
Sesuatu perkara dianggap patut jika persetujuan wujud kerana mempunyai pendapat yang sama atau tindakan yang dianggap wajar antara seseorang individu dengan individu yang lain. Tindakan yang dianggap patut memberi penjelasan bahawa tindakan tersebut adalah betul dan diterima oleh masyarakat.
            Oleh demikian, konsep patut ialah sesuatu perkara yang dianggap intrinsik. Sesuatu perkara yang patut memerlukan pemikiran yang waras dan penerimaan yang positif daripada masyarakat. Jika penerimaan dari masyarakat positif terhadap sesuatu perkara itu, masyarakat akan mengganggap perkara itu patut dan pelaku adalah seseorang yang bermoral.
6.0         Kesimpulan
Kesimpulannya, kemoralan yang wujud dalam manusia merupakan alat bagi sesuatu masyarakat untuk memimpin individu dan kumpulan kecil dalam kehidupan mereka. Moral juga menjadi batu pengukur bagi kelompok masyarakat untuk menilai seseorang dalam tingkah lakunya. Aspek kemoralan juga mewujudkan etika dan akhlak seseorang. Malahan, akhlak membantu dalam mengukuhkan moral seseorang. Moral, akhlak dan etika tidak dapaat dipisahkan keran menjadi panduan kepada manusia supaya lebih bertingkah laku mulia.

 Selain itu, aspek kemoralan bukan sahaja mewujudkan institusi kehidupan sosial yang seimbang malahan dapat membantu membimbing individu berfikir secara rasional dalam kalangan masyarakat supaya masyarakat dapat menerima pandangan seseorang individu. Pandangan seseorang itu mewujudkan konsep baik, benar dan patut. Konsep baik, benar dan patut merupakan suatu konsep yang dinilai berdasarkan situasi. Seseorang perlu menilai dalam membuat keputusan supaya masyarakat dapat menggangap tindakan tersebut adalah baik, benar dan patut. Penerimaan masyarakat dalam sesuatu perkara amatlah perlu dan penilaian seseorang yang dipengaruhi moral yang seimbang mewujudkan situasi yang harmoni. Selain itu, komuniti masyarakat akan lebih berkembang dengan positif.

No comments:

Post a Comment