. Amoi Chantek Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Thursday 7 January 2016

1.0          PENGENALAN
Pada tugasan untuk kursus ELM3103 kali ini, tugasan yang dikehendaki ialah menulis esei lengkap mengenai pentaksiran formal dan tidak formal dalam pendidikan Moral KBSR. Huraian esei yang dibuat adalah berdasarkan kefahaman mengenai pentaksiran formal dan tidak formal.  Perbezaan antara pentaksiran formal dan tidak formal dikenal pasti agar huraian yang lebih mantap dapat dinyatakan dalam tugasan. Maklumat tambahan juga dimuatkan dalam tugasan.
Tugasan kali ini juga mengkehendaki saya untuk membina Jadual Spesifikasi Ujian (JSU) Pendidikan Moral Tahun 6. JSU yang dibina adalah berdasarkan topik pengajaran dan pembelajaran dalam Sukatan Pelajaran (SP) dan Huraian Sukatan Pelajaran Tahun 6 (HSP).  Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran dijadikan panduan supaya pembinaan JSU yang dibina dapat selaras dengan pemilihan topik yang akan dijadikan soalan.
Tugasan yang seterusnya yang dilaksanakan ialah membina instrument pentaksiran dan item pentaksiran formal dan tidak formal. Pembinaan instrument pentaksiran formal dan tidak formal memberi pengalaman dalam membina sesebuah instrument pentaksiran. Peluang ini digunakan dengan sebaiknya kerana pastinya berguna dalam dunia perguruan.
Tugasan yang terakhir ialah membina soalan untuk Pendidikan Moral Tahun 6. Terdiri daripada soalan objektif dan subjektif yang dibina berdasarkan Taksonomi Bloom.  Taksonomi Bloom dijadikan panduan dalam pembinaan soalan kerana mempunyai aras kesukaran yang berperingkat. Pengalaman membina soalan amat berharga. Bantuan daripada pensyarah dan rakan-rakan amat dihargai dalam menambahbaik kelemahan soalan yang dibina.

2.0       PENTAKSIRAN
Menurut Mok (2004), pentaksiran merupakan proses pembelajaran yang memerlukan aktiviti menghurai, mengumpul, merekod dan mengintepretasi maklumat.  Selain itu, Mok (2004)  juga berpendapat kaedah pentaksiran yang dilaksanakan perlulah telus dan holistik supaya tidak timbul masalah dalam menambah baik kualiti pengajaran. Penambahbaikan yang dibuat dapat membantu guru dalam memperkembangkan pemahaman murid dalam pembelajaran.
Menurut Tuan Jah dan Faridah (2012), pentaksiran ialah satu proses sistematik yang dijalankan untuk mendapatkan maklumat. Pentaksiran  yang dibuat akan dinilai yang hasilnya akan berkaitan dengan maklumat yang berguna dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Berdasarkan pendapat Tuan Jah dan Faridah, pentaksiran amat penting dalam mencari maklumat yang berkaitan dengan pengajaran yang dilakukan oleh guru. Kelemahan dalam proses mengajar dapat dikesan berdasarkan maklumat yang diperoleh melalui maklum balas murid. Maklumat seperti prestasi murid biasanya menjadi penanda aras dalam kejayaan proses pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan oleh guru. Kualiti maklumat yang diperoleh pastinya mempengaruhi perancangan pengajaran dan pembelajaran yang bakal dilaksanakan.
Pentaksiran sebaiknya dilaksanakan secara berterusan. Pentaksiran yang juga memberi peluang kepada guru untuk melihat penglibatan murid secara menyeluruh dalam semua matapelajaran. Menurut Menurut Kamaruddin (1986), pentaksiran dirancang dan dilaksana oleh guru yang kemudiannya dijadikan panduan dalam memperbaiki proses pembelajaran murid.  Setiap pentaksiran yang dilaksanakan secara konsisten mampu memperoleh maklumat yang memberi peluang kepada guru untuk memperbaiki proses pembelajaran murid. Guru memainkan peranan penting dalam memilih jenis pentaksiran yang digunakan untuk mengumpul maklumat yang berguna dalam memperbaiki pengajaran yang bakal dilakukan.
Pemilihan jenis pentaksiran mempengaruhi maklumat yang diperoleh. Pentaksiran terdiri daripada dua jenis iaitu pentaksiran formal dan pentaksiran tidak formal. Walaupun berbeza dari segi pelaksanaannya, namun kedua-dua jenis pentaksiran ini bertujuan melihat sama ada guru dapat mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, pengumpulan maklumat berdasarkan  pentaksiran juga melihat jika pengetahuan dan kemahiran telah diperoleh oleh murid di akhir penggal. Pelaksanaan pentaksiran bergantung kepada guru dan perlu dilaksanakan dengan sistematik supaya penambahbaikan yang dilakukan berkualiti.

2.1       PENTAKSIRAN FORMAL
Menurut Abu Bakar Nordin (1986) terdapat dua jenis pentaksiran secara formal iaitu pentaksiran penilaian secara formatif dan pentaksiran penilaian secara sumatif. Kedua-dua pentaksiran ini memerlukan cara sistematik dalam pelaksanaan penilaian. Terdapat peraturan dan prosedur yang telah ditetapkan dalam pentaksiran formal dan pelu diikut oleh guru dan murid dalam pelaksanaannya. Selain itu, setiap pentaksiran yang dilaksanakan adalah berdasarkan objektif pembelajaran yang telah ditetapkan oleh guru dalam  pengajaran.

2.1.1    JENIS PENTAKSIRAN FORMAL
2.1.1.1 PENILAIAN FORMATIF
Penilaian formatif berkemampuan menguji sesuatu unit kemahiran atau sub kemahiran bahasa yang diajar.. Selain itu, melalui penilaian secara formatif, guru dapat merangka pengajaran yang lebih berkesan untuk membimbing murid dalam kemahiran yang gagal dikuasai. Tidak mementingkan markah, penilaian formatif lebih khusus dalam mengenal pasti sama ada pengajaran yang dilaksanakan guru dapat difahami oleh murid-murid. Namun begitu, penilaian formatif Pendidikan Moral lebih melibatkan perkembangan rohani dan tingkah laku murid. Penilaian terhadap kelakuan murid biasanya menjadi keutamaan penilaian oleh guru.
            Penilaian formatif bertujuan membantu guru dalam memperbaiki mutu pengajaran dan pembelajaran. Setiap kelemahan dalam pembelajaran murid dapat dikesan melalui penilaian formatif.  Abdul Rahman dan Chang (1994) berpendapat penilaian formatif bertujuan mengesan penguasaan dan kemajuan murid. Berdasarkan pendapat kedua-dua tokoh berkenaan, dapat dirumuskan penilaian yang dibuat adalah untuk membaiki kelemahan dalam pengajaran untuk masa akan datang. Keberkesanan penilaian yang dibuat juga lebih baik jika dijalankan semasa aktiviti proses pengajaran dan pembelajaran. Apabila penilaian dapat dibuat semasa proses pembelajaran, aktiviti pengayaan dan pemulihan dapat disusulkan guru mengajar. Aktiviti pengayaan dan pemulihan dapat mengukuhkan lagi kemahiran yang murid cuba kuasai.
Dalam penilaian formatif, hanya unit-unit tertentu dalam matapelajaran yang diajar dipilih untuk dijadikan soalan yang menguji pemahaman murid. Menurut Ee (1996), skop pengajaran dan pembelajaran ujian dibina agak terhad dan tidak luas. Berdasarkan pandangan Ee, soalan yang dibina untuk ujian formatif berbentuk khusus dan terhad. Sharifah Alwiah (1983) berpendapat penilaian formatif ialah penilaian yang melibatkan penggunaan ujian untuk mengukur kemajuan murid-murid setelah mereka mencapai hasil pembelajaran tentang sesuatu unit pembelajaran atau satu bab dalam bab yang berkaitan. Keberkesanan penilaian formatif membantu murid-murid dalam penguasaan sesuatu kemahiran. Guru perlu fokus dan peka dengan penguasaan kemahiran murid supaya murid tidak tercicir dalam pembelajaran.
Penilaian formatif biasanya dijalankan dalam bentuk permerhatian atau dalam satu siri ujian yang pendek yang meliputi tajuk pembelajaran. Juga dilaksanakan apabila tamatnya satu unit pembelajaran atau satu kemahiran spesifik. Lee dan Mok (1989) mengatakan bahawa penilaian formatif ialah pentaksiran yang sistematik. Ee (1996) pula berpendapat penilaian formatif ialah penilaian yang dijalankan berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Antara contohnya penilaian formatif ialah ujian bulanan dan peperiksaan penggal.
Berdasarkan pendapat tokoh-tokoh berkaitan penilaian formatif boleh dirumuskan bahawa penilaian formatif amat penting dalam meningkatkan kualiti pembelajaran. Guru perlu melaksanakan penilaian formatif secara sistematik supaya dapatan maklumat berkualiti. Guru juga perlu menggunakan item penilaian yang sesuai dalam melaksanakan penilaian supaya kelemahan kemahiran dalam kalangan murid dapat dikesan. Penambahbaikan boleh dirancang guru apabila mengetahui kelemahan yang ada dalam proses pengajaran. Di samping itu, penilaian yang dilaksanakan oleh guru hendaklah berdasarkan pencapaian murid kepada objektif pengajaran dan pembelajaran serta kriteria pencapaian yang ditetapkan guru. Objektif yang dipilih akan menjadi panduan kepada guru dalam melaksanakan penilaian dalam kelas.

2.1.1.2 PENILAIAN SUMATIF
Penilaian sumatif ialah penilaian yang dibina oleh guru untuk menguji pencapaian murid dalam beberapa kemahiran yang telah diajar. Kemahiran yang diajar biasanya diuji dalam suatu tempoh masa yang panjang seperti satu semester atau satu tahun sesi persekolahan. Penilaian sumatif diasaskan dan dibina secara meluas dan melibatkan kesemua aspek kemahiran yang diajar. Sebagai contoh ujian sumatif yang biasa di duduki oleh pelajar di Malaysia ialah ujian akhir semester, Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Penilaian sumatif bertujuan menentukan pencapaian pembelajaran murid. N. Rajendran (1995) berpendapat bahawa penilaian sumatif ialah ujian formal yang mengesan pencapaian murid dalam sesuatu tahap persekolahan berdasarkan beberapa unit pembelajaran dan pemeringkatkan gred. Ee (1996) pula mengatakan penilaian sumatif bertujuan untuk mengenal pasti pencapaian pelajar untuk beberapa topik pembelajaran. Pendapat tokoh-tokoh tersebut disokong kerana penilaian sumatif biasanya merangkumi skop yang menguji pencapaian murid berdasarkan pembelajaran dalam suatu jangka masa yang panjang. Gred pencapaian diberi berdasarkan pencapaian yang diperoleh selepas menduduki ujian penilaian sumatif.
            Walaupun dilaksanakan pada akhir sesuatu penggal atau tahun, penilaian sumatif masih lagi memerlukan sistem yang sistematik dalam pelaksanaannya. Guru masih perlu menetapkan soalan-soalan yang akan digunakan dalam menilai murid-murid. Penggunaan Jadual Spesifikasi Ujian (JSU) masih lagi diperlukan dalam merangka soalan-soalan. Disebabkan melibatkan skop yang luas, guru perlu memilih topik-topik yang penting untuk menguji kefahaman murid dalam pencapaian pembelajaran. Selepas soalan dibina berdasarkan JSU, barulah penilaian sumatif dapat dilaksanakan. Pelaksanaan penilaian sumatif yang formal biasanya berbentuk ujian penggal atau ujian  akhir tahun.
Kesimpulan bagi penilaian sumatif ialah penilaian yang dilaksanakan selepas satu peringkat pengajaran dan pembelajaran dalam satu jangka masa panjang seperti akhir penggal, akhir tahun atau  sesi persekolahan. Penilaian sumatif meliputi seluruh sukatan pelajaran. Pemilihan soalan untuk soalan penilaian sumatif adalah berdasarkan JSU yang ditetapkan oleh guru. Guru dapat melihat sejauh mana objektif pengajaran yang dapat dicapai oleh murid berdasarkan penilaian sumatif. Secara tidak lansung, guru dapat membandingkan pencapaian antara murid untuk menentukan taraf kedudukan kelas berdasarkan pencapaian penilaian.

2.1.2    ITEM PENTAKSIRAN FORMAL
2.1.2.1       UJIAN OBJEKTIF
Menurut Kamaruddin (1986), ujian objektif ialah ujian yang menghendaki jawapan yang tepat. Berdasarkan pendapat Kamaruddin, ujian objektif memerlukan satu jawapan yang betul. Jawapan yang paling tepat dan sesuai dipilih oleh murid sebagai jawapan yang terbaik.  Pemilihan jawapan adalah berdasarkan penilaian dan keputusan yang dibuat oleh murid. Namun begitu, jawapan yang dipilih adalah terhad. Terdapat pelbagai pilihan jawapan yang akan mengelirukan murid dalam memilih jawapan. Oleh demikian, murid perlu menilai berdasarkan pengetahuan dan kefahaman yang jelas sebelum memilih jawapan soalan objektif.
            Dalam ujian objektif, terdapat dua item yang digunakan untuk menilai jawapan murid. Item tesebut ialah item respons bebas dan item respons tetap. Item respons bebas memerlukan murid menulis jawapan yang difikirkan sesuai pada ruang yang disediakan. Jawapan yang diberi biasanya perlulah pendek dan ringkas. Antara contoh item respons bebas ialah jawapan pendek dan melengkapkan ayat. Bagi item betul-salah, padanan, pengelasan,  jawapan terbaik, jawapan positif-negatif dan cantuman tergolong dalam item respons tetap. Item respons tetap memerlukan murid  memilih jawapan paling tepat yang dipilih daripada beberapa pilihan jawapan. Kedua-dua item respons boleh digunakan dalam pembinaan soalan objektif bagi menguji tahap penguasaan kemahiran dan kefahaman murid dalam pembelajaran.
Murid perlu menanda, membulat atau menggaris jawapan yang tepat dalam menjawab soalan objektif. Oleh demikian, ujian objektif mempunyai ciri-ciri keobjektifan dan kebolehpercayaan yang tinggi. Guru juga lebih mudah menyemak jawapan yang diberikan oleh murid. Guru hanya perlu menyemak jawapan yang betul dimana murid akan menanda jawapan yang dijawap. Markah yang diberikan juga tetap kerana jawapan yang dikehendaki adalah tetap. Jawapan murid adalah berdasarkan penilaian dan bukanlah luahan idea yang memerlukan mereka menulis.
Jika disedia dgn baik, ujian objektif menjadi efisien dalam menguji kelas-kelas yang ada bilangan murid yang ramai. Ujian objektif membantu guru mengesan kelemahan murid dalam pembelajaran dengan lebih mudah jika bilangan murid dalam sesebuah kelas ramai. Sebagai langkah susulan, guru boleh mengesyorkan aktiviti pemulihan atau pengayaan berdasarkan pencapaian yang diperoleh dalam soalan objektif. Pemilihan soalan yang dipilih guru untuk membina ujian objektif berdasarkan JSU memberi kesan dalam pencapaian murid.
.
2.1.2.2 UJIAN SUBJEKTIF
Ujian subjektif merupakan ujian yang memerlukan murid bertindak balas terhadap soalan. Mok (2004) berpendapat ujian subjektif ialah ujian esei dan murid dikehendaki menulis jawapan dengan perkataan sendiri. Murid bebas memberi idea berdasarkan pendapat asalkan berkaitan dengan kehendak soalan. Soalan subjektif biasanya dalam bentuk soalan esei, soalan struktur dan soalan jawapan pendek. Jawapan murid ditulis di ruang jawapan yang disediakan.
Tuan Jah dan Faridah (2012) mendefinisikan ujian subjektif  sebagai ujian yang terdiri daripada soalan yang memerlukan murid memberikan tindak balas secara lisan atau bertulis. Selain itu, pendapat Tuan Jah dan Faridah (2012) juga menyatakan tindak balas murid terhadap soalan subjektif terdiri daripada bebas atau terhad. Tidak balas bebas ialah tindak balas seperti jawapan dalam karangan. Tindak balas terhad pula ialah jawapan dalam bentuk satu ayat sahaja. Tindak balas yang diberi adalah berdasarkan tahap penaakulan murid.
Berdasarkan  pendapat tokoh-tokoh, rumusan yang diperoleh berkaitan ujian subjektif ialah jawapan dalam ujian subjektif menggunakan ayat atau perkataan yang dibina sendiri oleh murid. Guru juga perlu mempertimbangkan jawapan murid. Asalkan jawapan sesuai dengan kehendak soalan, jawapan berkenaan diterima. Kriteria markah yang diberi oleh guru perlulah sesuai dan berdasarkan kesesuaian jawapan yang diberi oleh murid. Idea dan hujah murid dalam jawapan ujian subjektif menggambarkan tahap pemahaman murid dalam pembelajaran.

2.2       PENTAKSIRAN TIDAK FORMAL
Pentaksiran tidak formal ialah pentaksiran yang dijalankan untuk memperoleh gambaran nilai dan sikap murid dalam sesebuah aktiviti. Pemerhatian guru memainkan peranan penting dalam pentaksiran formal. Pelaksanaan pentaksiran tidak formal biasanya dalam jangka masa yang panjang dan berterusan. Pentaksiran tidak formal terdiri daripada pemerhatian, senarai semak dan skala pemerhatian, temubual, rekod anekdot dan hasil kerja murid.

2.2.1    PEMERHATIAN
Pemerhatian merupakan salah satu instrument yang ada dalam pentaksiran tidak formal. Kaedah pemerhatian membantu guru membimbing murid-murid meningkatkan keupayaan secara individu. Kaedah pemerhatian mudah dilaksanakan oleh guru. Namun begitu, kesahihan dalam kaedeh pemerhatian amat sukar dipastikan. Penilaian yang dibuat adalah berdasarkan penilaian oleh guru berdasarkan pengamatan, pengetahuan serta pengalaman sebenar guru. Sifat berat sebelah mungkin berlaku tetapi guru harus bersikap professional dalam menilai. Guru seharusnya menilai murid berdasarkan potensi dan kemahiran yang ada pada murid.
Pemerhatian yang dilaksanakan bertujuan untuk mengikuti perkembangan individu atau kumpulan sasaran iaitu murid-murid dalam kemahiran pembelajaran yang diajar. Pelbagai kemahiran pembelajaran diajar dan perkembangan dalam penguasaan kemahiran perlu guru ikuti supaya potensi murid dapat dikembangkan dengan lebih baik. Selain itu, pemerhatian oleh guru juga dapat membantu mengesan tahap pencapaian murid-murid yang melibatkan aktiviti berkumpulan. Guru boleh melihat perbezaan tahap pencapaian murid berdasarkan perbandingan dengan murid yang lain. Ini memudahkan guru mengesan dan merangka pembelajaran yang lebih efisien kepada murid yang gagal menguasai sesuatu kemahiran.
Terdapat tiga jenis pemerhatian iaitu pemerhatian proses, pemerhatian sistematik dan pemerhatian tidak sistematik. Pemerhatian proses ialah pemerhatian yang melibatkan hasil kerja murid yang menunjukkan tahap penguasaan murid terhadap sesuatu topik pembelajaran. Jenis pemerhatian yang kedua ialah pemerhatian sistematik. Pemerhatian sistematik memerlukan penetapan tingkah laku yang ingin diperhatikan guru sebelum menjalankan pemerhatian. suatu tempoh tertentu ditetapkan untuk melihat pengulangan sesuatu tingkah laku. Pemerhatian tidak sistematik pula merujuk kepada pemerhatian secara rawak atau terbuka yang tidak tertumpu kepada tingkah laku tertentu. Penilaian pemerhatian boleh direkod menggunakan instrumen seperti skala kadar, senarai semak, dan rekod anekdot.
Kaedah pemerhatian biasanya dilakukan secara berterusan. Jangka masa yang ditetapkan dalam pemerhatian terbahagi kepada dua iaitu jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Pemerhatian jangka masa panjang biasanya melibatkan perubahan tingkah laku murid dalam bilik darjah. Pemerhatian melibatkan jangka masa pendek biasanya dibuat guru untuk mengesan kemahiran yang dikuasai murid berdasarkan pembelajaran. Setiap pemerhatian yang dilaksanakan hendaklah dibuat selaras dengan objektif yang ditetapkan. Guru perlu menjadikan objektif pemerhatian sebagai panduan supaya penilaian menjadi lebih berkesan. Maklumat yang jelas dapat diperoleh jika objektif pemerhatian dicapai dengan baik.

2.2.2    SENARAI SEMAK DAN SKALA PEMERHATIAN
Senarai semak ialah alat pentaksiran yang digunakan untuk mengukur perlakuan moral murid selepas suatu pemerhatian dilakukan. Senarai semak juga mengandungi senarai item yang mengenal pasti perkembangan murid yang meliputi kemahiran bahasa, fizikal, kognitif dan interaksi sosial. Selain itu, senarai semak turut mempunyai item yang menilai tahap pengetahuan, kemahiran, sikap dan  tingkah laku murid. Setiap perkembangan diri murid perlu guru kenal pasti melalui pemerhatian dan direkodkan dalam senarai semak sebagai bukti penguasaan murid dalam sesuatu kemahiran. Rekod yang dibuat dalam senarai semak memudahkan guru untuk merancang pembelajaran yang lebih berkesan dan berkualiti.
Dalam penilaian berdasarkan senarai semak, guru perlu menyemak rekod prestasi murid berasaskan tingkah laku. Prestasi tersebut adalah berdasarkan suatu tempoh masa yang ditetapkan. Prestasi tingkah laku murid bergantung kepada markah yang diperoleh berdasarkan tingkah laku positif murid. Keberkesanan senarai semak bergantung kepada persediaan yang rapi supaya tingkah laku yang positif dan negatif dapat dikesan dengan lebih mudah. Setiap tingkah laku yang dikenal pasti dinyatakan dengan jelas dan mudah difahami. Di samping itu, senarai semak juga perlu disusun rapi mengikut perkembangan tingkah laku murid.
Menurut Tuan Jah dan Faridah (2012), skala pemerhatian merupakan salah satu cara instrumen yang digunakan ketika menggunakan senarai semak. Hubungkait antara senarai semak dengan skala pemerhatian berlaku apabila melibatkan penilaian tingkah laku murid berdasarkan skala. Penilaian tingkah laku berdasarkan skala bermaksud menilai tingkah laku murid berasaskan amalan dan penghayatan nilai. Amalan dan penghayatan nilai seseorang murid adalah berbeza mengikut pengalaman individu. Oleh demikian, skala pemerhatian digunakan untuk menilai tingkah laku murid. Kesan halo sebaiknya dielakkan dalam penilaian yang dilakukan oleh guru.
Kesan halo berlaku apabila sesuatu ciri positif atau negatif lebih menonjol daripada ciri yang lain dan memberi kesan terhadap penilaian terhadap murid. Jika kesan halo berlaku, penilaian yang dilakukan terhadap seseorang murid itu akan menjadi tidak adil. Bagi mengelakkan kesan halo berlaku dalam penilaian, guru perlu membuat pemerhatian yang menyeluruh dan konsisten terhadap tingkah laku murid. Maklumat yang terkumpul hendaklah direkod dengan praktikal dan sistematik supaya tidak berlaku kekeliruan dalam menganalisis tingkah laku murid. Justeru, guru perlu fokus dalam membuat pemerhatian tingkah laku murid yang  dinilai supaya maklumat yang diperoleh berkualiti dan bebas daripada kesan halo.

2.2.3    TEMUBUAL       
Temubual merupakan kaedah pengumpulan data yang memerlukan interaksi antara dua pihak atau lebih. Temubual dilakukan antara guru dan murid-murid yang melibatkan soalan-soalan yang berkaitan dengan objektif temubual. Interaksi verbal yang berlaku antara murid dengan guru memberi peluang kepada mereka untuk memberi pendapat berdasarkan idea-idea mereka tanpa terikat dengan sebarang peraturan. Menurut N. Rajendran dan Ee (1995), salah satu teknik penilaian yang berkesan kerana menggalakkan murid menyatakan perasaan berdasarkan sikap mereka.. Oleh demikian, pendapat N.Rajendran dan Ee dipersetujui kerana luahan pendapat dan idea murid adalah berdasarkan pengalaman hidup yang dilalui oleh murid. Jawapan yang diberi oleh murid pastinya berbeza berdasarkan pengalaman murid.
Temubual terdiri daripada tiga jenis iaitu temubual berstruktur, temu bual separa berstruktur dan temubual tidak berstruktur. Temubual berstruktur ialah sesi soal jawab yang kandungan soalan-soalan terhad kepada sesuatu tajuk atau bidang yang tertentu. Temubual separa berstruktur pula memerlukan skrip sebagai topik perbualan tetapi idea yang disampaikan boleh dibincangkan dengan lebih terperinci. Jenis temubual yang ketiga iaitu temubual tidak berstruktur mementingkan penerokaan idea, pendapat dan perasaan individu yang ditemubual. Ketiga-tiga jenis temubual ini mementingkan penyampaian maklumat berdasarkan pandangan individu tanpa terikat dengan sebarang syarat-syarat tertentu.
            Penilaian menggunakan kaedah temubual memerlukan daya kreativiti guru untuk menyediakan soalan yang mampu memberi impak kepada daya pemikiran murid. Maksudnya, setiap soalan yang diajukan kepada murid memerlukan mereka berfikir secara kritis dan kreatif untuk menjawab soalan yang dibincangkan. Guru juga perlu merancang strategi dalam merangka soalan temubual seperti memulakan temubual dengan soalan mudah terlebih dahulu dan meningkat ke aras yang lebih sukar dalam memberi pandangan. Oleh itu, pelaksanaan penilaian secara temubual perlu dilaksanakan secara berperingkat dan berterusan agar maklumat berkaitan masalah pembelajaran daripada murid dapat diperoleh dengan lebih jelas.

2.2.4    REKOD ANEKDOT
Sharifah Alwiyah (1983) mendefinisikan rekod anekdot sebagai suatu penulisan yang ringkas, tepat dan padat mengenai peristiwa dan perubahan yang signifikan yang berlaku pada seseorang murid. Pendapat Sharifah Alwiyah dikukuhkan lagi dengan pandangan Ee (1996) yang mentafsirkan rekod anekdot sebagai suatu rekod peristiwa. Berdasarkan pandangan kedua-dua tokoh ini, boleh dirumuskan bahawa rekod anekdot ialah suatu cara penilaian oleh guru berdasarkan pemerhatian yang direkod dalam suatu penulisan ringkas. Guru perlu membuat pemerhatian berdasarkan objektif. Hasil maklumat pemerhatian yang direkodkan akan menjadi panduan sebagai penambahbaikan dalam perancangan pembelajaran berkesan.
Guru perlu membuat pemerhatian terhadap tingkah laku murid ketika melaksanakan penilaian berdasarkan rekod anekdot. Setiap maklumat yang diperoleh akan direkod oleh guru. Maklumat yang direkodkan guru dalam rekod anekdot perlulah ringkas, mudah difahami dan berdasarkan objektif pemerhatian tingkah laku. Secara tidak lansung, guru memperoleh maklumat yang sangat membantu dalam merangka pembelajaran yang lebih berkesan terhadap murid-murid. Justeru, pemerhatian guru perlulah dibuat secara menyeluruh supaya guru dapat mentafsir tingkah laku murid dalam bilik darjah dengan lebih berkesan.
Rekod anekdot murid direkod secara individu walaupun aktiviti dilaksanakan dalam kumpulan. Maklumat yang dimasukkan dalam rekod anekdot biasanya berkaitan dengan perkembangan bahasa, interaksi sosial dan kemahiran menyelesaikan masalah. Penilaian menggunakan rekod anekdot memerlukan guru memberi maklum balas kepada murid secara individu selepas dinilai melalui pemerhatian. Maklum balas yang diberi mempunyai maklumat berkaitan perkembangan kemahiran yang dicapai murid berdasarkan objektif pembelajaran.

2.2.5    HASIL KERJA MURID
Hasil kerja murid merupakan instrumen yang digunakan untuk menilai tahap pencapaian kemajuan murid di bawah pentaksiran tidak formal. Penilaian rasional terhadap tahap penguasaan dan kemajuan yang seseorang murid perlu dibuat oleh guru selaras dengan perkembangan murid. Penilaian yang dibuat adalah berdasarkan hasil kerja murid seperti tugasan, latihan ataupun projek yang dilaksanakan oleh murid-murid dalam sesuatu matapelajaran. Penilaian biasanya menekankan aspek bagaimana murid mencari bahan berkaitan, menjawab soalan serta cara pelaksanaan hasil kerja dibuat. Pelaksanaan hasil kerja biasanya melibatkan perbincangan dan bimbingan daripada guru dan rakan-rakan.
Hasil kerja murid tidak terikat dengan instrumen penilaian lembaran kerja tetapi juga boleh dinilai melalui instrumen penilaian seperti buku skrap, kraf tangan dan kerja projek. Perkembangan murid dalam melaksanakan instrumen penilaian ini membantu guru untuk menilai murid dalam aspek yang lebih luas seperti bekerjasama, pencarian bahan, berkolaborasi dengan guru dan pelaksanaan kerja. Murid akan lebih berdaya saing dan bermotivasi apabila hasil kerja mereka dihargai oleh guru. Oleh demikian, hasil kerja murid sebaiknya dipamerkan dalam suatu pameran yang melibatkan semua murid-murid di sekolah ataupun disimpan dalam portfolio sebagai rujukan hasil kerja kepada murid-murid lain.
Guru dapat memperoleh banyak maklumat berdasarkan hasil kerja murid. Murid boleh menggunakan pelbagai bahan rujukan asalkan berkaitan dengan matapelajaran yang diajar. Cara murid menghubungkait bahan yang digunakan dengan tajuk pembelajaran yang diajar membolehkan guru mengetahui kefahaman murid berkaitan pembelajaran yang dilalui. Perkembangan murid juga dapat dinilai oleh guru berdasarkan kematangan pemilihan bahan dengan hasil kerja murid. Guru sebaiknya memberi pujian dan memotivasikan murid. Motivasi yang positif akan membantu dalam perkembangan murid yang lebih positif dan berkualiti.



No comments:

Post a Comment