. Amoi Chantek Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Wednesday 6 January 2016

1.0       PENGENALAN

Kajian terhadap penyerahan Sabah dan Sarawak amat menarik sekali. Kedudukan kedua-dua buah negeri ini berada pada kepulauan Borneo. Sebelum tahun 1860-an, Negeri Sabah berada dibawah penguasaan Kesultanan Brunei di bahagian barat Sabah dan penguasaan Kesultanan Sulu di bahgian utara dan timur Sabah. Kedatangan Kompeni Berpiagam Utara British pada tahun 1881 telah membawa kepada peralihan kuasa dimana kompeni ini telah mengambil alih pentadbiran Sabah sehingga kedatangan tentera Jepun. Namun,  era pendudukan Jepun tidak begitu lama di Sabah  iaitu dari tahun 1942-1945. Selepas pentadbiran Jepun menyerah kalah kepada pihak British, sekali lagi pihak British mengambil alih petadbiran di Negeri Sabah sehingga tahun 1946. Sama juga dengan sejarah negeri Sarawak. Negeri sarawak pada awalnya dikuasai oleh Kesultanan Brunei. Namun setelah kedatangan James Brooke pada tahun 1841, pemerintahan Sarawak diambil alih oleh Dinasti Brooke sampailah kepada pendudukan Jepun pada tahun 1942-1945. selepas pendudukan jepun berakhir di negeri Sarawak, Vyner Brooke iaitu peneraju pentadbiran sarawak pada masa itu telah menyerahkan Sarawak kepada pihak british atas sebab-sebab tertentu. Setelah peralihan kuasa ini berlaku, Sarawak mengalami perubahan baik dari aspek politik mahupun aspek sosial .

            Selepas perang dunia ke-2, Sabah dan Sarawak masih ketinggalan dalam bidang ekonomi dan politik berbanding dengan Tanah Melayu. Hal ini sedemikian, pihak Tanah Jajahan British hanya menumpukan kepada aspek kestabilan pentadbiran mereka keatas negeri-negeri tersebut. Jika diselidiki, diantara kedua-dua buah negeri ini, sarawak lebih maju berbanding dengan Sabah. Semasa penguasaan Dinasti Brooke, Sarawak telah mempunyai Perlembagaan yang tersendiri. Perlembagaan ini mula diperkenalkan pada tahun 1941 yang dikelani sebagai Pelembagaan Brooke. (Md. Isa Othman, 2002)

1.1       SARAWAK

Pada kurun ke-10 hingga kurun ke-13 Sarawak dikatakan telah berada di bawah kerajaan Srivijaya. Penguasaan kerajaan ini keatas wilayah pesisiran Sarawak telah menyebabkan orang Melayu dan Sumatera berhijrah dan menetap di kawasan pesisiran Sarawak. Orang Melayu telah membuka penempatan mereka di Santubong iaitu satu pelabuhan entrepot yang terpenting di Nusantara. Pada kurun ke-13 Sarawak telah dikuasai oleh kerajaan Majapahit. Raden Menteri Dipati Jepang atau Datu Merpati Jepang telah berhijrah pada kurun ke-15 dan setelah itu berkahwin dengan anak perempuan Raja Jarom di Johor. Daripada keturunan Datu Merpati Jepang mencul golongan bangsawan Melayu Sarawak yang digelar Abang. Golongan perabangan Sarawak telah memegang jawatan terpenting seperti Datu Patinggi, Datu Temenggong, Datu Bentara pada zaman pemerintahan Brooke di Sarawak. Akan tetapi pada awal abad ke-19 Sarawak terletak dibawah penguasaan Kesultanan Brunei. Catatan awal menunjukkan Kesultanan Brunei merupakan kerajaan yang kuat dan kaya meliputi kawasan Sarawak di barat hingga Manila di sebelah utara. (Ruslan Zainuddin, 2006: 223)

Dinasti Brooke telah memerintah Sarawak selama seratus tahun dan mencapai kegemilangan sebagai “Raja Putih” (“White Rajahs”), dan telah diberi taraf yang serupa dengan raja-raja India dalam empayar British. Brooke telah dianggap dan  merupakan seorang hartawan Inggeris dan juga seorang ahli pelayaran yang berpengalaman. Beliau telah belayar ke beberapa tempat di dunia untuk berniaga dan juga bertujuan untuk menjajah. Kedatangan Brooke ke Sarawak adalah secara kebetulan sahaja (Zurina Ismail, 1987: 3). Perolehan Sarawak dilakukan melalui perjanjian dan desakan. James Brooke berminat untuk memajukan penduduk tempatan dan bukannya menindas mereka. Beliau begitu menyanjungi usaha Stanford Raffles ketika mentadbir Pulau Jawa. Pada akhir tahun 1838, James Brooke sekali lagi meninggalkan England ke Timur untuk membuat penyelidikan sains di Borneo Utara dan Sulawesi. Pada tahun 1839, James Brooke tiba di Singapura dan diminta oleh Gabenor George Bonham ke Kuching untuk menyampaikan terima kasih kepada Pangiran Muda Hashim yang membantu anak-anak kapal yang terkandas di pantai Sarawak. (Isa Othman, 2002: 263)

            Menurut Ruslan Zainuddin (2006), Bonham juga meminta Pangeran Muda Hashim memulihkan semula perniagaan logam bijih-perak (antimoni) antara Sarawak dan Singapura. Faktor yang menyebabkan penembusan British di Sarawak ialah ialah kesilapan Pangeran Muda Hashim membuat keputusan terburu-buru untuk membasmi pemberontakan. James Brooke mengambil kesempatan menjelajah pantai Pulau Borneo dan beliau kembali ke Singapura pada tahun 1840. Manakala pada masa itu Pangeran Muda Hashim telah memohon bantuan Gabenor Negeri-negeri Selat untuk menghentikan huru-hara di Sarawak, tetapi permohonan beliau tidak dilayan. Brooke tertarik dengan perkembangan itu dan memutuskan untuk kembali ke Sarawak. Oleh itu Pangeran Muda Hashim telah meminta bantuan James Brooke untuk membantu beliau menghapuskan pemberontakan dengan menawarkan daerah Seniawan dan Kuching dan juga melantik Brooke sebagai pemerintah iaitu sebagai ‘Gabenor Sarawak’. Dengan diiringi oleh askar yang dilengkapi dengan dua buah meriam besar serta orang Eropah yang bersenjatakan senapang, Brooke bergabung dengan askar Brunei di bawah pimpinan Pangeran Muda Hashim akhirnya pemberontakan itu dapat di hapuskan juga pada Disember 1840.

            Setelah itu, Pangeran Muda Hashim melambat-lambatkan perlantikan tersebut kerana beliau tiada kuasa. Beliau juga sedar bahawa Sultan Brunei tentu tidak akan mengakui perjanjian tersebut. Oleh itu, Brooke telah membuat ugutan dan mengepung tempat kediaman Pangeran Muda Hashim (Isa Othman, 2002: 264). Brooke menghalakan meriam-meriam dari kapalnya, Royalist dan membedil Kuching. Tindakan tersebut berjaya memaksa Pangeran Muda Hashim segera melantik Brooke sebagai Gabenor Sarawak pada 2 September 1841. Tindakan Pangeran Muda Hashim menawarkan jawatan Gabenor Sarawak kepada Brooke kerana terdesak untuk menghapuskan pemberontakan ini secara lansung memberi laluan masuk kepada British untuk bertapak di Sarawak. (Ruslan Zainuddin, 2006: 226)


1.2       SABAH

Sabah diambil alih oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (British North Borneo Chartered Company) pada 1881 dan menjadi sebuah negeri naungan Empayar British pada 1888. Walaubagaimanapun hal ehwal dalam negeri masih diselaraskan oleh Syarikat. Pemerintahan Syarikat tamat pada 1946 dan ia menjadi tanah jajahan Borneo Utara sehingga penyertaanya dalam Persekutuan Malaysia beserta Sarawak, dan Singapura pada 16 September 1963. Ibu negeri Sabah ialah Kota Kinabalu, yang terletak di Residensi Pantai Barat Sabah. Semasa zaman penjajahan British, Kota Kinabalu dikenali sebagai Jesselton. Asal-usul nama ‘Sabah’ dipercayai berasal daripada sejenis tanaman iaitu pisang yang dikenali sebagai pisang saba iaitu sejenis buah pisang yang dipanggil "SABBAH " atau "SAPPAH" oleh masyarakat Bajau yang sangat popular dibuat pisang goreng. Pisang ini banyak ditanam di sepanjang pantai barat Sabah sebagai sumber makanan. 'Pisang saba' juga dikenali sebagai 'jaba' oleh masyarakat Bajau di negeri tersebut. Kini 'pisang saba' lebih dikenali sebagai pisang menurun. (Buyong Adil, 1981)

            Menurut Buyong Adil (1981), nama 'Sabah' pertama kali digunakan pada abad ke-15 oleh para pedagang yang mengembara di antara Kepulauan Borneo Utara hingga ke kepulauan Sulu di Selatan Filipina. Kesimpulannya nama 'Sabah' telah pun digunakan sejak sebelum kedatangan Syarikat Berpiagam Borneo Utara dan British lagi. Dalam peta Portugis Melaka 1604, Kota Kinabalu disebut sebagai Api-Api. Setelah negeri Sabah diambil alih oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara, nama 'Sabah' telah ditukar kepada 'Borneo Utara' secara rasmi pada tahun 1881. Walau bagaimanapun, nama 'Sabah' kembali digunakan pada tahun 1963 selepas negeri tersebut menyertai Malaysia. Catatan puisi Jawa Nagarakertagama yang dikarang oleh Prapancha pada tahun 1365 menyebut Sabah sebagai 'Seludang'. Dalam catatan Marco Polo sewaktu beliau singgah di Borneo, Sabah ketika itu dikenali sebagai "BURNI" yang mungkin merujuk kepada Brunei.

            Menurut Buyong Adil (1981), Sebelum kedatangan Barat, negeri Sabah atau Borneo Utara sudah mempunyai sistem pemerintahan sendiri di bawah Kesultanan Brunei. Pada mulanya Sabah atau Borneo Utara di kuasai oleh dua pihak iaitu bahagian Barat oleh Kesultanan Brunei iaitu kawasan pantai antara Pandasan hingga Kimanis dan sebelah Timur di kuasai oleh Kesultanan Sulu iaitu kawasan pantai dari Teluk Marudu hingga ke Sungai Sibuku. Kawasan tersebut diperoleh daripada Brunei sebagai hadiah kerana membantu dalam menyelesaikan masalah pertelingkahan takhta di negeri tersebut. Kawasan dari Pandasan  hingga ke Teluk Marudu ditadbir oleh para pembesar bebas yang dikenali sebagai ‘Syarif’ dan kawasan pedalaman ditadbir oleh dan dikuasai oleh kaum perbumi sendiri. Kawasan yang dibawah Kesultanan Brunei dan Sulu ditadbir mengikut pemerintahan kesultanan Melayu dan adat istiadat yang berasaskan agama Islam.

            Sejak abad ke-16, Sabah sudah dikenali oleh para pedagang sebagai sebuah negeri yang kaya dengan hasil bumi seperti batu arang, rotan, mutiara, emas, gambir dan sarang burung. Kekayaan hasil bumi telah menarik minat para pedagang dari Barat seperti Portugis, Sepanyol, Belanda dan British untuk singgah berdagang di Sabah sebelum meneruskan perjalanan ke negara China. Pertapakan British dimulai dengan dengan perjanjian perdagangan yang ditandatangani antara seorang pegawai British bernama Alexander Dalrymple dengan sultan Sulu iaitu Sultan Muizuidin pada tahun 1764. Pada tahun 1865, Amerika Syarikat telah membuat perjanjian dengan sultan Brunei, Sultan Abdul Mu’min dan meletakkan seorang konsulnya di Brunei iaitu Charles Le Moses. (Buyong Adil, 1981: 3)

2.0       SEBAB-SEBAB PENYERAHAN
2.1       Sarawak Kepada British Pada 1 Julai 1946
2.1.1    Politik

Di Sarawak, Vyner Brooke yang menjadi Rajah Sarawak  setelah kematian Charles Brook pada tahun 1917, sering mengabiskan masanya di Eropah dan beberapa kali merancang untuk melepaskan dan menjual Sarawak kepada British saja. Namun tindakan itu tidak dapat dilakukan dengan sewenang-sewenangnya kerana  terikat dengan peraturan  yang telah diletakan James dan Charles Brooke dan perjanjian sedia ada dengan British. Perang dunia Kedua telah memberikan  peluang kepadanya untuk mencapai citi-cita masing-masing. Sungguhpun masih terikat dengan sumpah jawatan pada tahun 1918 dan Perlembagaan yang diluluskannya pada 1941 yang tidak menbenarkannya membuat keputusan sendiri tanpa persetujuan Maljis Negeri, Vyner pada bulan febuari 1946 telah mengistiharkan penyerahan Sarawak kepada Britian (Jagjit Singh Sidhu, 2001).

            Selain itu juga dari aspek politik, Sarawak sudah mempunyai perhubungan dengan Britain semenjak tahun 1888. Pada tahun itu Britain melaksanakan ‘dasar pelindungannya’ ke atas Sarawak dan juga Sabah serta Brunei.Kerajaan British berkuasa penuh terhadap pertahanan dan hal ehwal luar negeri Sarawak. Sementara itu, pemerintahan dalam negeri dijalankan oleh Raja-raja Brooke. Semasa Sarawak dijajah oleh Jepun, perundingan- perundingan telah diadakan di London untuk menyerahkan Sarawak kepada Britain. Charles Vyner Brooke berpendapat bahawa pemerintahan keluarga Brooke sudah lapuk dan tidak sesuai lagi diteruskan di Sarawak. 

2.1.2    Ekonomi

Seterusnya ialah faktor ekonomi iaitu masalah kewangan yang tidak mengcukupi yang untuk membangun, Vyner berpendapat Sarawak akan menbangun lebih pesat jika diserahkan kepada kerajaan British. Charles Vyner Brooke telah menandatangani dokumen penyerahan pada 20 Mei 1946 dan pada 1 Julai 1946, Sarawak diambil dengan rasminya oleh Kerajaan British dan dijadikan Tanah Jajahan Takluk. Wang simpanan Sarawak sejumlah $1,000,000 telah dibayarkan faedahnya kepada keluarga Brooke.  Selain itu juga Sarawak alami kemusnahan akibat perang. Kerja-kerja pemulihan terpaksa dijalankan dengan segera dan ini memerlukan perbelanjaan yang besar (Zurina Ismail, 1987). Sarawak menghadapi masalah kewangan selepas Perang Dunia kedua kerana taktik bumi hangus yang telah dilakukan sebelum keluar dari Sarawak. Brooke tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk membangunkan semula Sarawak. Charles Vyner Brooke tidak mempunyai sumber kewangan untuk membangunkan semula negeri Sarawak selepas perang. Selepas Jepun menyerah kalah, British telah memperkenalkan Pentadbiran Tentera British pada 10 September 1945. Pentadbiran Tentera British telah berusaha untuk mengembalikan ketenteraman, pemulihan ekonomi dan mengemas kini pentadbiran. Sarawak berada di bawah Pentadbiran British sehingga 1 Julai 1946.

2.1.3    Sosial

Seterusnya ialah pertikaian keluarga Charles Vyner Brooke tidak dapat mentadbir kerana umurnya sudah lanjut, uzur dan ingin bersara. Tidak ada waris untuk menggantikannya. enggan memberi kepada anak saudaranya, Anthony Brooke. Charles Vyner Brooke tidak mempunyai anak lelaki, Cuma tiga orang anak perempuan sahaja. Oleh kerana tahta kerajaan Sarawak tidak mungkin dapat diwarisi oleh salah seorang anak perempuannya. Bertram Brooke juga sudah tua dan uzur. Anak lelaki Bertram Brooke iaitu Anthony tidak sesuai dengan sikap dan pendirian Charles Vyner Brooke. Anthony Brooke ialah anak muda yang berkelakuan kasar dan didapati berlaku curang. Pada bulan Mac 1939, Anthony Brooke dilantik sebagai Raja Muda Sarawak dan bakal pengganti Charles Vyner Brooke. Tetapi disebabkan kelakuannya yang curang dan kasar itu, ia telah dipecat pada tahun 1940. Pada tahun 1944, sekali lagi Anthony Brooke dilantik sebagai Raja Muda tetapi disingkirkan kemudiannnya. Pertelingkahan dalam keluargalah antara yang mendorong Charles Vyner Brooke menyerahkan Sarawak kepada British. (Zurina Ismail, 1987)

            Charles Vyner Brooke membuat keputusan untuk menyerahkan Sarawak kepada kerajaan British. Charles Vyner Brooke telah menghantar wakilnya Gerard T. Mac Bryan untuk mendapatkan tandatangan ketua bumiputera dan pemimpin tempatan dalam Majlis Tertinggi Sarawak. Gerard T. Mac Bryan telah mengguakan tipu helah untuk mendapat persetujuan pemimpin dan ketua masyarakat tempatan. Pada 8 Februari 1946 Charles telah membuat pengumuman tentang keputusan Majlis Tertinggi Sarawak untuk menyerahkan Sarawak kepada British. Hal ini telah menimbulkan bantahan daripada orang Melayu dan orang Iban. Akibat daripada bantahan akhirnya Pejabat Tanah Jajahan meminta Charles Vyner Brooke mendapatkan persetujuan secara perundangan dan demokrasi daripada Majlis Negeri. Majlis Negeri telah bersidang selama 3 hari dan meluluskan Rang Undang-undang Penyerahan Sarawak (CESSION BILL) 18 undi menyokong dan 16 undi menentang. Pada 1 Julai 1946, British mengistiharkan Sarawak sebagai Jajahan Mahkota British dan Sir Arden Clarke dilantik menjadi Gabenor Sarawak.

2.2       Sabah Kepada British Pada 15 Julai 1946

2.2.1    Politik

Dari aspek politik dapat dilihat penyerahan Sabah ialah kerana sistem pentakbiran Syarikat Berpiagam Borneo telah ketinggal zaman dan sudah menjadi usang. Walau bagaimanapun Syarikat Berpiagam Borneo telah berjaya mentakbir Sabah selama lebih daripada 60 tahun sehingga tahun 1946. Syarikat British yeng terpenting sekali iaitu Syarikat Hindia Timur British yang diwujudkan pada tahun 1600 telah menamatkan pemerintahannya di India pada tahun 1858 selepas berlakunya Dahagi India. Di Negeri-negeri Selat pula pemerintahan Syarikat Hindia Timur British berakhir pada tahun 1867. Syarikat Hindia Timur Belanda  yang disokong oleh Kerajaan Belanda iaitu yang lebih dikenali dengan nama V.O.C yang telah ditubuhkan pada tahun 1602itu juga telah menamatkan pemerintahannya di Indonesia pada tahun 1799. Pemerintahan Syarikat Hindia Timur British telah diambilalih dan diteruskan oleh Kerajaan British di India sehingga India dan Pakistan mencapai kemerdekaan masing-masing pada tahun 1947, sementara itu pemerintahan V.O.C di Indonesia telah diteruskan oleh Kerajaan Belanda sehingga tahun 1950 apabila Indonesia dengan rasminya mendapat kemerdekaan.  (Buyong Adil, 1981)



2.2.2    Ekonomi

Penyerahan Sabah kepada Kerajaan British juga didorong oleh kerosakkan yang dialami oleh Sabah akibat peperangan. Kerosakan-kerosakan itu adalah terlalu besar dan sukar untuk dipulih dan diperbaiki tanpa usaha yang bersungguh-sungguh. Seorang ahli sejarah barat, K. G. Tregonning dalam bukunya, “The History of Modern Sabah: 1881-1963” menyatakan Sabah ialah negeri yang terbinasa sekali akibat Perang Dunia II daripada negeri-negeri tanah jajahan British yang lain. Oleh itu, usaha-usaha pemulihan tidak dapat dijalankan oleh Syarikat Berpiagam Sabah, sebuah badan perniagaan yang mementingkan keuntungan. Usaha-usaha itu memerlukan perbelanjaan yang terlalu besar dan tidak mungkin dipikul oleh pemegang-pemegang saham Syarikat di Britain. Kerajaan British yang mewarisi Sabah dapat menjalankan usaha-usaha pemulihan dengan lebih berkesan lagi kerana kerajaan British mempunyai modal dan kewangan yang mencukupi. Disamping itu juga, penyerahan Sabah juga telah dibayar dengan wang sagu hati sebanyak $2,260,000. Syarikat Berpiagam Sabah telah menerima wang sagu hati tersebut daripada kerajaan British. Ini menunjukkan penyerahan Sabah tidak dilakukan secara percuma.  (Siti Aidah, 2007)

2.2.3    Sosial

Selain itu, wujudnya kerjasama yang erat di antara Sabah dengan Kerajaan British. Apabila Kerajaan British mengurniakan sebuah Piagam kepada Syarikat Berpiagam Sabah pada tahun 1881, British sebenarnya telah sudah menguasai pentakbiran Syarikat itu. Di antara lain, Piagam itu telah mengikat Syarikat supaya memberikan hak-hak istemewa kepada warga British dan Syarikat tidak dibenarkan menyerah atau memajakkan sebarang tanah di Sabah kepada kuasa asing. Pada tahun 1888 pula, Sabah dijadikan ‘negeri naungan’ Kerajaan British. Dengan itu, kedudukan Kerajaan British di Sabah semakin teguh. Ia menguasai perhubungan luar negeri dan juga pertahanan Sabah. Menurut Buyong Adil (1981), Syarikat Berpiagam Sabah Cuma menjalankan pentakbiran dalam negeri saja. Perhubungan di antara Pejabat Tanah Jajahan dan Pejabat Hal Ehwal Luar Negeri dengan Syarikat Berpiagam Sabah semakin bertambah rapat. Kerjasama telahpun wujud di antara Lembaga Pengarah dengan Kerajaan British. Ketika meletusnya Perang Dunia II, Kerajaan British telah turut membebaskan Sabah dan kemudiannya mengadakan Pemerintahan Tentera di antara tahun 1945 dengan tahun 1946. Oleh itu penyerahan Sabah kepada Kerajaan British menunjukkan perluasan dasar imperialisme Barat.

3.0       REAKSI RAKYAT TEMPATAN TERHADAP PENYERAHAN

3.1       Sarawak

Secara amnya, kekuasaan dan penjajahan yang bersilih ganti itu meninggalkan banyak kesan terhadap perkembangan politik, ekonomi mahu pun sosial masyarakat Sarawak. Pemerintahan kerajaan British di Sarawak diketuai oleh Gabenor British. Antaranya Sir Charles Arden Clarke (1946- 1949), Mr Duncan Stewart (1949), Sir Anthony Abell (1949-1959) dan Sir AlexanderWadell (1959-1963). Namun begitu pembentukan “Crown Colony” ini mendapat pelbagai tentangan hebat dari penduduk setempat, terutamanya di kalangan orang melayu. Penentangan itu dikenali dalam sejarah Sarawak sebagai Gerakan Anti Penyerahan atau “Anti-Cession Movement”. Penentangan dilakukan kerana penduduk menyedari tindakan menyerahkan Sarawak kepada “Crown Colony” adalah bertentangan dengan dasar Perlembagaan Sarawak tahun 1941. Pergerakan ini menentang keras pembentukan “Crown Colony” kerana menjadikan Sarawak terus dijajah dan harapan untuk melihat Sarawak bebas merdeka semakin pudar, sukar dan memakan masa. (Buyong Adil, 1981)

            Di samping itu, menurut Jagjit Singh Sidhu (2001), mereka juga berusaha dengan menghantar surat, telegram, dan memorandum kepada kerajaan British di London dan wakilnya di Kuching, namun rayuan dan tentangan serta segala tuntutan mereka tidak mendapat layanan yang sewajarnya. Justeru itu timbul kekecewaan di kalangan mereka, apalagi apabila Anthony Brooke sebagai orang yang mereka letakkan harapan untuk mengembalikan Sarawak ke status asal telah dihalang memasuki Sarawak. Gerakan ini melibatkan pelbagai persatuan, pertubuhan, golongan dan kaum di Sarawak. Antaranya Persatuan Melayu Sarawak (PMS), Pergerakan Pemuda Melayu (PPM). Barisan Pemuda Sarawak (BPS), Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) dan juga Persatuan Dayak Sarawak (PDS).

            Terdapat banyak faktor dalam Gerakan Antipenyerahan Sarawak. Salah satu faktor ialah Perlembagaan 1941. Penyerahan Sarawak bertentangan dengan Perlembagaan 1941 yang menjanjikan kerajaan sendiri kepada Sarawak. Usaha untuk mendapatkan kemerdekaan menjadi sukar apabila Sarawak diserahkan kepada British. Faktor yang kedua ada berkaitan dengan tipu muslihat. Charles Vyner Brooke membuat keputusan sendiri tanpa berunding dengan ketua-ketua bumiputera dan pemimpin tempatan. Semuanya bermula ketika pentadbiran Vyner Brooke. Keputuasan Vyner Brooke dibantah keras kerana ia bertentangan dengan dasar Perlembagaan pada 1941 yang menjanjikan pemerintahan sendiri kepada Sarawak. Peristiwa ini disambut dengan tunjuk perasaan daripada pelbagai kumpulan terutamanya orang Melayu dan Iban. Masyarakat Melayu diketuai oleh Datu Patinggi Abang Haji Adbdillah (ketua datu-datu masyarakat Melayu dan kaum Melayu terpelajar). Contoh parti politik yang membantah ialah Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS), Parti Dayak Sarawak, Barisan Pemuda Sarawak (BPS) dan Barisan Pemuda Malaya (BPM). (Buyong Adil, 1981)

            Kebanyakan bumiputera menentang namun begitu, bantahan tersebut tidak dihiraukan oleh Vyner Brooke apatah lagi kerajaan Inggeris. Kerajaan Inggeris menganggap cadangan penyerahan Sarawak diterima oleh seluruh rakyat Sarawak. Ekoran daripada keputusan itu, kerajaan Inggeris mengisytiharkan Sarawak sebagai jajahan Mahkota kerajaan Inggeris pada 1 Julai 1946. Rakyat Sarawak bangun menentang sehingga lahirnya gerakan anti-cession atau anti-penyerahan dan menyedari penyerahan kepada British akan melambatkan proses kemerdekaan kerana rakyat Sarawak terpaksa berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan daripada British yang akhirnya membawa kepada tragedi 3 Disember 1949 dengan terbunuhnya Gabenor Sarawak iaitu Sir Duncan George Stewart yang dilakukakan oleh Rosli Dhobi dan dibantu rakan seperjuangannya, Morshidi Sidek. Selain itu, Barisan Pemuda Melayu membantah kerana ingin meminta Anthony Brooke ditabalkan sebagai Raja Sarawak yang baru. Dengan memulihkan pemerintahan Brooke, penduduk Sarawak boleh menuntut kemerdekaan dengan mudah.

3.2       Sabah

Awalnya tiada penentangan yang kuat  di Sabah kerana pada masa itu rakyat Sabah kurang berpendidikan dan tidak memahami tujuan sebenar Sabah diserahkan. Kesedaran politik juga masih belum jelas dan tiada parti politik yang boleh mengetuai penduduk Sabah menentang penyerahan tersebut oleh kerana penduduk Sabah tidak berpengalaman dalam pentadbiran.

            Di Sabah penentangan yang awal nya dimulakan oleh Sharif Usman yang anti British di Teluk Marudu pada tahun 1845 apabila pedagang-pedagang British enggan membayar cukai kepadanya selaku wakil Sultan Sulu. Sharif Usman telah melakukan serangan terhadap kapal-kapal dagang British menyebabkan pihak British telah bertindak balas terhadap beliau yang dianggap mereka sebagai lanun. Penentangan seterusnya berlaku selepas Syarikat Berpiagam Sabah menjajah Sabah. Disebabkan oleh campur tangan Syarikat dalam urusan pungutan cukai pembesar-pembesar tempatan dan gangguan terhadap adat resam mereka yang diamalkan turun temurun seperti adat memenggal kepala, sistem perhambaan dan aktiviti perlanunan maka timbulah perasaan marah dan tidak puas hati yang amat sangat untuk menentang British (Siti Aidah, 2007).


            Selain itu, penentangan utama terhadap pemerintahan Syarikat datangnya daripada Mat Salleh, ketua suku kaum Suluk Paitan di Sungai Sugut dari tahun 1894 hingga 1900. Penentangan Mat Salleh dapat ditamatkan setelah beliau terbunuh ketika kubunya di Tambunan diserang oleh askar-askar Syarikat. Namun, pengikut-pengikut Mat Salleh masih meneruskan perjuangannya, termasuk Mat Sator, Si Langkap, Si Gunting dan Kamunta. Dalam kalangan suku kaum Murut Tagol muncul Antanom atau Ontoros menentang kezaliman Syarikat di Rundum pada tahun 1915. Ketika Sabah diperintah oleh Kerajaan Kolonial British, muncul beberapa buah pertubuhan seperti Parti Kebangsaan Melayu Labuan (PKML), Barisan Pemuda Society (BARIP), Persaudaraan Sahabat Pena (PASPAM) dan Parti Kebangsaan Melayu Sabah (PKMS). Pada peringkat awal, kebanyakkan parti itu bercorak sosial dan keagamaan, lebih bersifat perkauman dan kurang mempunyai kesedaran politik (Siti Aidah, 2007). 

No comments:

Post a Comment