. Amoi Chantek Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Thursday 7 January 2016

1.0       PENGENALAN
Kelahiran Islam di kota Makkah dan kemunculan kerajaan Islam pertama di Madinah merupakan detik bersejarah kelahiran satu tamadun baru yang telah merubah sejarah dunia. Menurut Azam & Zulekha (1990), kemunculan tamadun Islam dianggap unik kerana tamadun ini lahir dan berkembang di tempat yang terpencil di kawasan padang pasir yang panas dan kering kontang, iaitu di Hijaz. Dalam tempoh waktu yang singkat, kuasa besar Rom dan Parsi yang dulunya memandang remeh terhadap bangsa Arab kini terpaksa tunduk kepada kekuasaan Islam. Oleh itu dari abad ke 7 hingga ke 18 Masihi, dunia telah didominasi dan dicorak oleh tamadun Islam. Dalam jangka masa tersebut khususnya pada abad ke 9 hingga ke 13 Masihi, sejarah telah merakamkan bagaimana tamadun Islam telah melahirkan ramai sarjana ulung dalam berbagai ilmu pengetahuan.

Pada waktu itu kemajuan ilmu sains dan teknologi serta ilmu-ilmu yang lain yang dimiliki oleh dunia Islam tiada dapat ditandingi oleh mana-mana bangsa atau negara. Di setiap ibu kota pemerintahan Islam khususnya Baghdad (di Asia), Cordova (di Eropah) dan Iskandariah (di Afrika), kegiatan keilmuan dan kebudayaan berlaku dengan bersemarak serta disertai segenap lapisan masyarakat. Di sepanjang sejarah kegemilangan tamadun Islam, para sarjana Muslim dan sarjana non-Muslim yang bernaung di bawah pemerintahan Islam telah berjaya membuat kemajuan dan pencapaian dalam bidang ilmu pengetahuan serta sains dan teknologi. Oleh yang demikian, terdapat banyak sumbangan sejarah Islam terhadap pembangunan di Malaysia.
           






2.0       SUMBANGAN SEJARAH ISLAM TERHADAP PEMBANGUNAN DAN KECEMERLANGAN MALAYSIA.
Diceritakan secara ringkas, kemunculan kerajaan-kerajaan Islam seperti kerajaan Umaiyyah, kerajaan Abbasiyyah, kerajaan Uthmaniyyah Turki, Empayar Moghul India, dan Kesultanan Melaka telah menjadi antara empayar yang terkuat dan terbesar di dunia. Tempat pembelajaran ilmu yang hebat telah mewujudkan satu Tamadun Islam yang agung. Banyak ahli-ahli sains, ahli-ahli falsafah dan sebagainya muncul dari negeri-negeri Islam terutamanya pada Zaman Keemasan Islam.

Secara umumnya, Kemunculan Islam sebagai kuasa baru dalam ketamadunan telah mengubah dunia Arab termasuk juga Eropah, Afrika, Asia dan Nusantara Melayu. Sebelum kewujudan Islam kehidupan masyarakat hanyalah berpaksikan keegoaan, perbalahan dan nilai kemanusiaan di tahap yang paling rendah (Azam, 1987). Namun, selepas kedatangan Islam kehidupan masyarakat beralih kepada peradaban yang lebih tinggi peningkatan keilmuaan dan ketinggian darjat seseorang Manusia. Semenjak Islam bertapak di Malaysia, pelbagai perubahan telah berlaku. Negara ini lebih berkembang serta membangun dengan berpandukan agama Islam. Menurut Azam dan Zulekha (1990), antara sumbangan yang terbesar terhadap pembangunan dan kecemerlangan Malaysia ialah Islam sebagai Agama Rasmi Persekutuan, budaya ilmu, pemikiran masyarkat, penerapan nilai-nilai Islam, masyarakat madani, Islam Hadhari dan konsep kesederhanaan (Wassatiyah).








2.1       Islam Sebagai Agama Rasmi Persekutuan
Sejarah telah membuktikan dengan kemasukkan Islam ke Tanah Melayu adalah bermula daripada era Parameswara iaitu pada zaman Kerajaan Melayu Melaka. Sekitar kurun ke 15, undang-undang Islam yang dikenali sebagai Hukum Kanun Melaka yang mengandungi unsur-unsur adat serta perkara-perkara sivil dan jenayah telah diguna pakai. Agama Islam telah diberikan kedudukan yang istimewa berbanding dengan agama lain seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan Perkara 3 (1). Agama Islam merupakan agama rasmi Persekutuan, namun agama-agama lain pula bebas untuk dianuti oleh penganut-penganutnya. Agama Islam diberikan keistimewaan kerana ia merupakan kesinambungan daripada apa yang wujud dalam perlembagaan bertulis negeri-negeri Melayu sebelumnya seperti Perlembagaan Negeri Johor 1895 dan Negeri Terengganu 1911. Peruntukkan mengenai Islam ini diberi keutamaan dari segi urutan peruntukan dalam perlembagaan. (Zaini Nasohah, 2004).

Peruntukan ini bukan sahaja mengakui agama Islam sebagai agama yang agong, tapi juga memberi ruang dan kebebasan kepada rakyat berbilang kaum untuk mengamalkan agama masing­masing di Negara ini. Menurut Azam (1987), selepas agama Islam bertapak di Tanah Melayu, pelbagai perubahan terhadap Undang-Undang telah dijalankan iaitu dengan berpaksikan kepada Al-Quran dan sunnah. Berdasarkan perubahan ini, kedudukan Tanah Melayu pada ketika itu menjadi lebih kukuh dan menjadi tarikan kepada pedagang-pedagang Arab. Hal ini demikian, menyebabkan Tanah Melayu lebih maju pada ketika itu. Undang-undang Islam juga masih dikekalkan sehinggalah sekarang malah ia menjadi lebih kukuh lagi di Negara Malaysia.







2.2       Budaya Ilmu
Kedatangan Islam ke Malaysia telah membawa impak yang amat besar kepada pendidikan di Negara ini. Pengaruh Islam bukan sahaja boleh dilihat pada institusi pendidikan dan strukturnya  seperti madrasah, sekolah agama, universiti teras Islam dan sebagainya di Negara ini, malah juga boleh dilihat dari segi aspek ilmu yang diajar seperti ilmu syariah yang meliputi bidang seperti usuluddin, fiqah dan tasawuf, serta guru­guru dan murid­murid yang menuntut ilmu agama Islam, di mana guru­guru pada zaman kedatangan Islam di tanah Melayu kebanyakan terdiri daripada bangsa Arab, Turki, India dan sebagainya. Manakala murid­murid yang menuntut pula meliputi segenap lapisan masyarakat, dari raja-raja sehingga ke rakyat jelata. Berkat perkembangan pesat dan pengaruh mendalam agama Islam dari segi pendidikan di Tanah Melayu, maka lahirlah ulama berbangsa Melayu seperti Nuruddin al­Raniri dengan kitabnya Hidayah al­Iman dan Sirat al­Mustaqim. (Mahayudin, 1998).

Menurut Mahayudin (1998), sistem pendidikan Islam di Malaysia merangkumi pendidikan formal dan pendidikan tidak formal. Pendidikan formal adalah pendidikan yang didapati dari institusi pendidikan agama seperti sekolah, surau, madrasah dan sebagainya. Sistem pendidikan formal berasaskan bidang pengajian Islam sepeti fiqah, tafsir, sejarah Islam, tauhid dan akhlak. Manakala  pendidikan  tidak  formal  pula  adalah  pengajaran  yang  berlaku secara  langsung  dalam kehidupan seharian seseorang muslim tersebut. Pendidikan jenis tidak formal ini merangkumi cara berfikir, amal, kecergasan muslim dalam bidang ekonomi dan sebagainya. Pendidikan tidak formal biasanya diberi secara lisan dan diwarisi turun temurun. (Amir, 1990)

Institusi pendidikan agama termasuklah istana, surau, masjid, madrasah, sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi Islam, pusat­pusat latihan dakwah, Institut  Kemahiran Islam Malaysia, pembiayaan kerajaan untuk kelas­kelas fardhu ain dan sebagainya. Kewujudan institusi pendidikan agama Islam di Negara ini yang bagai cendawan tumbuh adalah simbolik kepada kekuatan ke dalam pengaruh Islam terhadap pendidikan di Negara ini. Pendidikan dan ajaran Islam juga telah menjadi rujukan setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama, malah di sekolah, tiada had dan paksaan bahawa hanya pelajar Islam sahaja yang boleh mempelajari ilmu tersebut. Maka tidak hairanlah apabila ada masyarakat bukan Islam yang mahir selok belok undang­undang Islam serta cara hidup orang Islam di Malaysia. Oleh kerana pengaruh dan peranan Islam dalam sistem  pendidikan Malaysia, membolehkan masyarakat majmuk di Malaysia hidup dalam suasana yang harmoni kerana wujudnya persefahaman. (Amir, 1990)

2.3       Pemikiran Masyarakat
Selain itu juga sejarah Islam telah menyumbang kepada kecemerlangan dan pembangunan di Malaysia melalui pemikiran masyarakat pada masa kini. Menurut Abdul Rahman (2008), sebelum kedatangan Islam masyarakat di Tanah Melayu mengamalkan animisme. Umumnya, animisme ialah penyembahan atau kepercayaan kepada makhluk-makhluk halus dan roh. Mereka mengamalkan animisme kerana hubungan yang kehidupan manusia sering dipengaruhi oleh keadaan persekitarannya seperti udara, iklim dan sebagainya. Mereka mewujudkan satu kepercayaan yang kebanyakannya dipengaruhi oleh faktor persekitaran.

Agama Islam datang ke Tanah Melayu dan  berkembang di Kepulauan Melayu selepas  pengaruh Hindu mulai merosot pada abad ke 13 dan abad berikutnya. Pengaruh Islam banyak membentuk peradapan dan budaya masyarakat Melayu lebih bersederhana dan bersopan santun. Kedatangan Islam ke alam Melayu selain membawa ajaran Islam berupa aqidah, ia juga telah mengembangkan konsep Islam iaitu ad- Din sebagai cara hidup iaitu melalui pemikiran masyarakat. Kemudiannya, selepas kemasukkan agama Islam, banyak masyarakat tertarik dengan ajarannya. Agama islam ini telah mempengaruhi adat resam yang diamalkan sebelum kemasukkan Islam. Malah, Islam membawa sistem nilai sosial yang berbeza dengan sebelumnya. Penyesuaian unsur-unsur Hindu dengan Islam dilakukan untuk mengelakkan amalan ini bertentangan dengan ajaran Islam. (Azhar, 2002).

            Ajaran Islam juga menekankan kesamarataan semua manusia adalah sama dan tiada beza antara setiap manusia walaupun mengikut bangsa, warna kulit dan lain-lain. Menurut Zaini (2004), agama Islam juga telah menghapuskan sistem nilai sosial yang berasaskan perbezaan taraf iaitu sistem kasta. Gagasan bahawa semua umat Islam yang beriman dan bersaudara menjadi prinsip ke arah perpaduan masyarakat. Sebagai contoh orang asing yang beragama Islam adalah bersaudara dengan orang tempatan yang beragama Islam. Pada masa kini juga adat resam dalam masyarakat banyak dipengaruhi oleh unsur-unsur Islam seperti adat bercukur, adat perkahwinan dan sebagainya. Banyak aspek Islam diamalkan seperti membayar zakat, bekerjasama, bergotong-royong dan kekeluargaan. Kesimpulannya, pemikiran masyarakat di Malaysia telah berjaya diubah selepas kemasukkan agama Islam.

2.4       Penerapan Nilai-Nilai Islam
Sumbangan lain yang telah dibawa oleh sejarah Islam terhadap pembangunan dan kecemerlangan Malaysia ialah melalui penerapan nilai-nilai Islam yang boleh dilihat dalam pentadbiran serta sosial. Menurut Abdul Rahman (2008), dasar penerapan nilai-nilai Islam ini telah dicetuskan oleh Dr. Mahathir Mohammad pada tahun 1982. Fenomena kebangkitan Islam di seluruh dunia menjadi salah satu faktor utama yang menjadi pencetus pelaksanaan Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam di Malaysia.

Bagi masyarakat Malaysia yang terdiri daripada berbagai kaum dan agama dan menjalani cara hidup yang berbeza-beza, pengamalan nilai-nilai yang dapat diterima oleh semua rakyat adalah menjadi asas penting dalam usaha ke arah membentuk identiti dan perpaduan. Tanpa nilai yang universal ini rakyat akan terdorong untuk menerima dan menyanjung nilai-nilai lain yang sangat asing bagi masyarakat Malaysia. Ini akan menyebabkan kesetiaan rakyat Malaysia serta identitinya sebagai satu warganegara akan menjadi kabur dan maruah bangsa tidak dijunjung tinggi dan mungkin mereka akan memperkecil-kecilkan negara dan bangsa sendiri. Dengan itu rakyat Malaysia haruslah mempunyai identitinya sendiri dengan setiap individu, organisasi dan semua sektor yang melaksanakan pelbagai aktiviti menjalankan kerja yang boleh memberikan sumbangan kepada kesejahteraan negara. (Azam, 1987).

Di Malaysia, penerapan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran telah dicetuskan oleh Dr. Mahathir. Dasar Penerapan Niai-Nilai Islam ini bertujuan untuk membentuk sesebuah masyarakat Malaysia yang bermaruah, beridentiti kukuh dan disegani oleh masyarakat lain. Malah, penerapan nilai-nilai Islam ini juga mampu menghapuskan sikap yang negatif dalam masyarakat Malaysia dan menyumbang kepada sebuah ‘negara bahagia’.  Contoh yang dapat dilihat ialah usaha-usaha bagi menubuhkan Universiti Islam Antarabangsa, penubuhan institusi kewangan bercorak Islam seperti Bank Islam dan Syarikat Takaful iaitu syarikat insurans yang bercorak Islam. Begitu juga Undang-undang Keluarga Islam telah mula dijalankan di beberapa buah negeri di Malaysia. Ini merupakan langkah-langkah besar yang memberi kesan ke atas masyarakat Islam di Malaysia, malah menjadi contoh kepada negara-negara Islam yang lain dalam menghadapi tuntutan-tuntutan hidup zaman moden. (Azhar, 2002)

Agama Islam merupakan elemen yang penting dalam tamadun Melayu. Oleh itu, umumnya Islam dan adat Melayu menjadi salah satu struktur terpenting kemelayuan dalam Tamadun Malaysia. Islam dan adat Melayu menjadi satu struktur yang saling melengkapi dan berintegrasi ke dalam wardah kemelayuan. Malah, Islam terus menjadi teras bagi identiti Melayu. Oleh itu, dapat dilihat bahawa sejarah Islam telah membantu dalam membangunkan Negara Malaysia berdasarkan dasar penerapan nilai-nilai Islam.

2.5       Masyarakat Madani
Konsep “masyarakat madani” merupakan penterjemahan atau pengislaman konsep “civil society”. Menurut Niels (2005), masyarakat madani boleh didefinisikan sebagai sebuah masyarakat yang mempunyai budaya, maju dan moden. Malah, masyarakat madani ini juga menyedari dan mengetahui hak-hak serta kewajipannya terhadap Negara, bangsa dan agama. Anwar Ibrahim merupakan orang pertama yang menyentuh mengenai masyarakat madani di Malaysia. Melainkan itu, masyarakat madani juga telah lama wujud semenjak zaman Rasulullah S.A.W lagi. Gerakan Rasulullah dalam membangun masyarakat Madinah pada tamadun Islam sangat tersusun rapi dalam satu sistem yang terkonsep, yang dapat disebut sebagai konsep Madani, yakni sebuah model yang merujuk bagaimana Rasulullah s.a.w dalam membangun kerangka masyarakat Madinah (Azam dan Zulekha, 1990).

Malah, masyarakat yang dibangun berpaksikan tiga landasan utama iaitu masyarakat yang berlandaskan pada integrasi moral, yang berasaskan masjid serta berdasarkan kapasiti ilmu yang dilambangkan oleh gerakan keilmuan dan hukum (Piagam Madinah) dan mengembangkan kualiti jaringan yang dilambangkan dengan persaudaran sahabat dan surat-surat kepada raja-raja semenanjung Arab. Aspek ini telah diserap masuk kedalam pembangunan masyarakat madani di Malaysia. Dengan berpaksikan kepada aspek berikut maka masyarakat yang bersatu padu dapat dilahirkan. (Niels, 1990).

            Masyarakat madani ini kemudiannya mempengaruhi perkembangan dan kegemilangan di Malaysia. Sebagai contoh, di Malaysia istilah masyarakat madani telah disebut pada awalnya oleh Anwar Ibrahim. Tujuan Masyarakat madani ini diperkenalkan bagi ialah untuk mewujudkan kehidupan yang lebih demokrasi sebagai salah satu aspek yang dilihat dalam masyarakat madani. Kehidupan masyarakat madani juga mempunyai sistem politik yang lebih kukuh. Hal ini dapat dilihat daripada aspek kehidupan masyarakat madani yang memiliki tingkat kemampuan dan kemajuan masyarakat yang tinggi untuk bersikap kritis dan aktif dalam menghadapi pelbagai persoalan sosial. Maka jelas dapat dilihat bahawa sejarah Islam telah mempengaruhi perkembangan dan kecemerlangan Malaysia.

2.6       Islam Hadhari
Seterusnya Islam Hadhari yang telah diadaptasi melalui Sejarah Islam iaitu melalui tamadun yang telah berlalu pada suatu ketika dahulu. Dari segi istilah, perkataan “hadhari” membawa maksud “yang bertamadun” atau Islam yang menekankan aspek tamadun. Secara umumnya, Islam Hadhari membawa maksud ajaran Islam yang membawa fokus kepada kehidupan untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat bertamadun dan mempunyai peradaban yang unggul bagi menghadapi cabaran alaf baru seperti ledakan maklumat, dunia tanpa sempadan, ekonomi global, budaya meterialisme, krisis identiti, jati diri serta penjajahan pemikiran (Abdullah, 2006). Pendekatan Islam Hadhari, tidak menolak pentingnya aspek ritual dalam pembinaan tamadun. Ini kerana pandangan hidup, sistem nilai, kestabilan jiwa dan kemajuan rohaniah merupakan tonggak kepada pembinaan tamadun yang luhur (Abdul Rahman, 2008).

            Menurut Abdullah (2006), objektif utama Islam Hadhari diperkenalkan ialah untuk melahirkan individu dan masyarakat yang mempunyai kekuatan spiritual (rohani), akhlak, intelektual, material, mampu berdikari, berdaya saing, melihat ke hadapan, inovatif serta cekap menangani cabaran-cabaran semasa secara bijaksana, rasional, praktikal dan damai. Daripada objektif ini, masyarakat yang berijiwa kental dalam menghadapi masalah-masalah Negara akan dilahirkan. Malah, Islam Hadhari ini turut melahirkan masyarakat yang seimbang dari segala aspek. Islam Hadhari ini turut menggalakkan lahirnya masyarakat membangun dan memiliki ilmu, berkemahiran dan berketrampilan serta tergambar sebagai golongan yang berakhlak, berbudi dan berbudaya yang berpaksikan kepada kepercayaan Agama. Demikian, masyarakat yang berketerampilan serta sering merujuk kepada hokum agama sebelum melakukan sesuatu perkara. (Abdul Rahman, 2008).

            Selain itu, menurut Abdullah (2006), Islam Hadhari turut mengariskan 10 prinsip utama iaitu keimanan dan ketaqwaan kepada Ilahi, kerajaan adil dan beramanah, rakyat berjiwa merdeka, penguasaan ilmu pengetahuan, pembangunan ekonomi yang seimbang dan komprehensif, kehidupan berkualiti, pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita, keutuhan budaya dan moral, pemeliharaan dan pemuliharaan alam semula jadi dan kekuatan Pertahanan dan Perpaduan. 10 prinsip ini telah dijadikan sebagai panduan dalam pembangunan dan kecemerlangan Malaysia dari segenap aspek. Ia menekankan kebijaksanaan, sifat praktik, dan keharmonian serta menggalakkan kesederhanaan atau pendekatan seimbang terhadap kehidupan, tanpa menyimpang daripada asas-asas al-Quran, contoh-contoh dan pepatah-pepatah Nabi Muhammad (Azhar, 2002).

2.7       Konsep Kesederhanaan (Wasatiyyah)
Melainkan itu, sejarah Islam turut mengajar masyarakat di Malaysia untuk mengamalkan sikap kesederhanaan ataupun wasatiyyah (Azam, 1987). Sejak daripada peringkat awal kehadiran Islam ke bahagian dunia ini, telah banyak faedah dan kesan pembangunan positif dinikmati oleh penduduk di kawasan ini. Pandangan hidup yang berteraskan kepada petunjuk wahyu Ilahi dan daripada lipatan sunah dan sirah Rasulullah SAW telah menggantikan segala kepercayaan, kebudayaan dan sistem kehidupan yang tidak berasaskan kepada ilmu dan kebenaran yang ada dalam masyarakat (Azhar, 2002).

            Umumnya, kehadiran Islam ke rantau ini telah memastikan umat Islam dan bukan Islam mendapat banyak faedah yang bertali arus daripada kesan pembangunan rohani dan jasmaninya yang sangat bermakna kepada negara kita (Azam & Zulekha, 1990). Pegangan hidup yang berteraskan wahyu Ilahi yang dijelmakan dalam al-Quran dan Sunnah, telah menggantikan kepercayaan, kebudayaan dan sistem kehidupan yang tidak berasaskan kepada ilmu dan kebenaran . Malah, menurut Azhar (2002), kehadiran Islam di Nusantara amnya dan Malaysia khasnya telah melahirkan masyarakat yang moderate berteraskan prinsip wasatiyyah atau kesederhanaan berlandaskan perpaduan dan keadilan.

            Menurut Azam (1987), kemuncak manifestasi Islam berteraskan konsep wasatiyyah di Malaysia dapat dilihat menerusi pelaksanaan sistem yang berteraskan Islam dalam segenap aspek kehidupan seperti keagamaan, kemasyarakatan, politik, ekonomi, perundangan, pendidikan, kesenian, kebudayaan, perkembangan ilmu dan sebagainya dalam masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia. Ia dapat memastikan masyatakat yang seimbang dalam semua aspek dilahirkan. Masyarakat yang cemerlang perlulah seimbang dari segala aspek agar Negara kita menjadi semakin maju.

            Menurut Azam & Zulekha (1990), konsep wasatiyyah juga dapat membina masyarakat berbilang kaum yang hidup bersama secara harmoni dan hormat-menghormati antara satu sama lain. Orang bukan Islam bukan sahaja dibenarkan mempraktikkan agama mereka, malah bebas mengamalkan budaya dan adat resam mereka. Konsep Wasatiyyah ini juga berasaskan kepada kebenaran dan keadilan menjadikan pendakwah zaman silam saling menghormati pegangan mazhab masing-masing, kerana mereka tahu sempadannya (Abdul Rahman, 2008).

            Secara keseluruhannya konsep wasatiyyah ini telah mengajar masyarakat untuk sentiasa bersikap bersederhana dari segala aspek. Malah, konsep kesederhanaan ini turut membantu melahirkan masyarakat yang harmonis dan saling hormat-menghormati anatara satu sama lain.




No comments:

Post a Comment