. Amoi Chantek Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Wednesday 6 January 2016

NILAI MORAL DALAM AGAMA ISLAM : KEBAIKAN DAN KESAN.

Islam adalah agama yang diturunkan oleh Alah S.W.T. kepada umat manusia bermula daripada Nabi Adam A.S sehinggalah junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. . Ismail (2008) dari segi bahasa, islam berasal daripada perkataan arab yang membawa maksud selamat dan sejahtera, manakala dari sudut istilah pula membawa makna menyerah diri kepada Pencipta Allah S.W.T. yang Maha Berkuasa dan mentauhidkan Allah S.W.T. sebagai pencipta, pemilik dan penguasa alam ini. Manusia yang berpegang kepada ajaran islam wajib mentaati perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. Misalnya menunaikan rukun islam dan rukun iman yang merupakan asas kepada islam itu sendiri. sebagai umat islam, menjadi satu kewajipan untuk berpegang kepada  Al-Quran dan As-Sunnah kerana kedua-dua ini merupakan pedoman sehingga akhir akhirat.

Mohd Liki (2006) Islam merupakan satu agama yang syumul kerana di dalam islam telah terbina dengan lengkapnya syariat yang cantik. Hal ini kerana, bermula daripada celiknya mata sehingga pejam semula penuh dengan syariat islam yang boleh diamalkan. Syariat ini merangkumi individu, kekeluargaan, masyarakat dan kenegaraan yang memastikan wujudnya hubungan manusia dengan Allah S.W.T. dan manusia dengan manusia. Inilah yang menjadikan islam berbeza dengan agama lain. Setiap peraturan dan undang-undang yang dilaksanakan adalah bertujuan untuk melahirkan seorang insan yang mulia dan bermoral mengikut landasan agama islam.

Selain itu, dalam mempelajari islam, asas yang paling penting untuk dipelajari terlebih dahulu ialah Rukun Islam. Mustafa (2004) Rukun Islam ada lima perkara dan setiap satunya wajib dilaksanakan secara total. Antara rukun tersebut ialah mengucap dua kalimah syahadah, menunaikai solat lima waktu sehari semalam, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan zakat dan menunaikan haji bagi yang berkemampuan. Oleh itu, rukun-rukun ini tidak boleh diingkari setiap satunya kerana  akan memberi kesan terhadap diri individu tersebut. Perkara ini adalah antara perkara pertama yang akan dihisab Allah S.W.T. di akhirat kelak.

Sehubungan dengan itu, selepas Rukun Islam barulah Rukun Iman. Rukun ini ada enam perkara dan setiap muslim wajib beriman dengan rukun iman ini. Zaini (2004) Antara yang terkandung dalam rukun ini ialah beriman kepada Allah, beriman kepada malaikat, beriman kepada kitab-kitab, beriman kepada rasul, beriman kepada qadak dan qadar dan beriman dengan hari akhirat. Beriman dan bertaqwa kepada Allah adalah wajib kerana Allah adalah segala-galanya yang maha sempurna. Beriman kepada malaikat pula adalah percaya bahawa malaikat itu wujud dan melaksanakan tugas-tugas mereka. Manakala beriman kepada kitab-kitab ialah percaya dengan kitab-kitab yang diturunkan Allah kepada rasul-rasulnya yang terdahulu sehingga Nabi Muhammad S.A.W. adalah benar. Seterusnya beriman kepada rasul adalah percaya dengan syariat yang dibawa oleh setiap nabi dan rasul serta mukjizat-mukjizat yang diberikan Allah kepada mereka. Diikuti beriman kepada qadak dan qadar Allah yang telah ditentukan. Akhir sekali ialah beriman dengan hari akhirat yang pastinya akan berlaku suatu hari nanti. Justeru inilah asas yang perlu dipegang dengan kuat oleh penganut agama islam.

Mohd Fadli (2004) Al-Quran dan hadis adalah dua perkara lagi yang menjadi pedoman dan panduan utntuk umat manusia agar tidak tersesat. Al-Quran merupakan kalam Allah yang diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W. melalui Malaikat Jibril A.S.. Kandungannya adalah kata-kata Allah yang menyebut tentang syariat-syariat, ilmu-ilmu untuk dikaji dan kisah-kisah umat terdahulu agar manusia berfikir dan menjadikannya iktibar. Manakala hadis pula segala perbuatan dan kata-kata Nabi Muhammad S.A.W. . Hadis juga terbahagi kepada dua yakni yang menerangkan isi kandungan Al-Quran dan kata-kata Nabi Muhammad sendiri. Sesungguhnya daripada kedua-dua inilah ilmu manusia berkembang dan beberapa cabang ilmu dalam islam terhasil yang antaranya ialah tauhid, sirah, fiqah, hadis, tafsir dan akhlak.

Tambahan pula, dalam islam wujud dua jenis amalan fardhu. Yang pertama ialah Fardhu Ain dan kedua Fardhu Kifayah. Mohd Fadli (2004) Fardhu Ain ialah amalan yang wajib dilaksanakan secara individu oleh semua umat islam. Jika tidak dilaksanakan, maka hukumnya berdosa. Antara amalan Fardhu Ain ialah seperti beristinjak, solat lima waktu, puasa pada bulan Ramadhan, zakat dan menunaikan haji. Manakala amalan Fardhu Kifayah ialah amalan yang perlu dilaksanakan oleh sebahagian anggota masyarakat bagi mengelakkan keseluruhan masyarakat mendapat dosa kerana tidak melaksanakannya. Contohnya seperti pengurusan jenazah, menguasai ilmu-ilmu profesional seperti perubatan, pembinaan, pentadbiran, politik, ekonomi dan sebagainya. Oleh yang demikian, maka tidak adalah yang ketinggalan dan umat Islam sentiasa bersedia dan  berada di hadapan.

Seterusnya perkara yang menarik tentang agama Islam ialah mengenai kemampuannya meningkatkan akhlak penganutnya.Menurut Ismail (2008) Kemampuan ini dapat dilihat daripada dua sumber asas agama Islam, iaitu Al-Quran dan Sunnah, di mana ia menjadi panduan tetap dan dominan bagi umat Islam menjalani kehidupan seperti mana yang dikehendaki oleh Islam itu sendiri. Isi kandungan Al-Quran yang tidak dapat dipatahkan kebenarannya, dan peraturan-peraturan yang tegas namun sesuai dengan fitrah alam adalah bukti mengapa ia mampu meningkatkan akhlak penganutnya. Allah SWT sebagai Tuhan yang Maha Esa dan Pencipta kepada alam ini adalah satu-satunya Zat yang Maha Mengetahui keadaan dan kemampuan makhluknya ciptaannya sudah mengatur panduang untuk berjalan di atas jalan yang lurus.

            Sunnah pula ialah segala maklumat yang berasal dari junjungan besar umat Islam, iaitu Nabi Muhammad.  Selepas Al-Quran, Sunnah adalah sumber kedua maklumat dan panduan kehidupan orang Islam. Banyak ilmu, nasihat, panduan, dan kelakuan Nabi Muhammad yang sepatutnya dicontohi oleh umat Islam. Kehidupan suci murni Nabi Muhammad yang tercatat pada ruang sejarah menjadi bukti betapa seseorang yang mengikuti cara Nabi Muhammad sahaja yang akan berjaya. Cara yang selain dari cara Nabi Muhammad akan mendatangkan kegagalan di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat. Hal ini menunjukkan betapa Islam mengiktiraf Sunnah Nabi yang mulia ini sebagai panduan hidup yang terbaik untuk semua manusia.

            Selain itu, Islam juga amat menekankan konsep akibat dalam setiap perbuatan. Hal ini dapat dibuktikan melalui konsep pahala dan dosa, syurga dan neraka dan beberapa hukum syariat seperti wajib, sunat, harus, makruh, dan haram. Setiap perbuatan itu menurut Islam akan mendatangkan sama ada dosa dan pahala yang membawa individu itu semakin dekat dengan syurga atau neraka. Menurut Fadli (2004),  hukum-hukum tersebut pula adalah sebagai pedoman dan panduan agar seseorang individu Muslim itu tidak melakukan perkara yang tidak dilarang, sebaliknya melakukan tindakan yang dijanjikan kebaikan. Melalui konsep-konsep inilah, akhlak seorang individu Muslim dapat dijaga dan dimantapkan sentiasa.

            Dalam banyak-banyak amalan yang terdapat dalam Islam, ada satu amalan yang dilihat begitu istimewa dan memberikan impak yang cukup besar dalam peneguhan iman dan amal seseorang Muslim. Ia dipanggil dakwah atau kerja menyeru manusia untuk kembali beriman pada Allah dan mengikuti Sunnah Nabi Muhammad seratus-peratus dalam kehidupan. Islam mewajibkan setiap individu Muslim tidak kira dia seorang ilmuwan agama yang diiktiraf atau tidak, miskin atau kaya, cacat atau sempurna, kerja dakwah ini harus dilakukan. Sekiranya tidak, Al-Quran dan Hadis sudah banyak menjelaskan kesan negatif dan balasan terhadap orang yang meninggalkan kerja menyeru manusia ini. Jika dilihat secara luaran, hukum wajib  kerja dakwah yang dipertanggungjawabkan pada semua umat Islam akan membantu dalam proses penyebaran dan pengukuhan Islam itu. Sebaliknya jika kita meneliti sepenuhnya hikmah kerja dakwah ini, kita akan dapat melihat betapa penting dan berkesannya ia dalam meningkatkan akhlak penganutnya sendiri. Dalam dakwah, proses menyeru dan ingat-mengingati adalah elemen utama. Proses menyeru dan ingat-menasihati akan membentuk keperibadian tidak kira sama ada pendakwah mahu pun yang didakwah.

            Kebaikan Islam ini yang terutamanya adalah dari sudut akhlak. Islam amat menekankan kepentingan berakhlak mulia sesama makhluk agar dapat wujud satu suasana yang benar-benar aman dan harmoni. Selain itu, Islam juga adalah agama yang lebih gemar mengambil langkah bersederhana sesuai dengan fitrah manusia dan alam. Langkah besederhana juga sudah pasti akan mengekalkan kebaikan dan keseimbangan yang dicipta oleh Allah. Lebih dari itu, Islam juga adalah agama yang berlembut dan tidak suka pada kekerasan. Hal ini dapat dilihhat dalam jelas apabila peperangan sekali pun Islam memilih jalan yang paling lembut dan pasif sekali supaya perang tersebut tidak berlanjutan dan mendatangkan kerugian nyawa dan harta yang besar.

Jika Islam dapat diamalkan secara sepenuhnya, maka sudah pasti ia akan mendatangkan manfaat yang begitu besar kepada individu, masyarakat, dan seluruh umat manusia. Dalam Islam kita dapat lihat, banyak ajaran atau syariat yang boleh membentuk peribadi mulia dan tindakan yang bermoral. Malah, ketegasan dalam Islam pun adalah semata-mata untuk mengelakkan manusia terjerumus dalam perkara yang sia-sia dan keji. Melalui sejarah, kita dapat lihat contoh yang terbaik apabila umat Islam pada kurun Hijrah yang pertama dan kedua terutamanya, apabila umat Islam pada ketika itu mengamalkan Islam sepenuhnya, maka banyak kejayaan luar biasa yang dapay  dicapai sehingga dapat membentuk tamadun yang pernah menyirami dunia dengan cahaya iman dan cahaya kemajuan.


            Kesimpulannya, agama Islam adalah sistem moral dan etika yang paling lengkap serta sesuai untuk manusia amalkan dalam kehidupan seharian. Islam sentiasa mahukan kebaikan kepada seluruh umat manusia, memandangkan Islam itu adalah agama yang mengajak manusia  untuk kembali kepada Pencipta yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, dan kebanyakkan kebaikan itu pula sememangnya tidak disedari oleh manusia. Kekaburan inilah yang menyebabkan manusia terus memilih jalan selain Islam. 

No comments:

Post a Comment