. Amoi Chantek Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Wednesday 6 January 2016

1.0       PENGENALAN
Dalam era globalisasi, dunia pendidikan manjadi semakin mencabar. Profesion keguruan bukanlah satu kerjaya yang mudah dan di pandang enteng lagi. Jika dulu guru hanya masuk ke kelas dan memuntahkan ilmu kepada murid-murid tapi kini guru dibebani dengan tanggungjawab dalam melahirkan generasi yang berilmu sejajar dengan misi dan visi Wawasan 2020. Oleh itu, guru dituntut untuk mengetahui serba serbi termasuklah pengurusan bilik darjah yang effektif. Guru yang mengambil peranan dalam membentuk modal insan yang bermadani untuk Negara, harus bijak dalam mengambil langkah untuk menangani murid-murid dan persekitaran pembelajaran. Guru perlu mengetahui cara untuk mengenal pasti punca utama kepada masalah disiplin yang berlaku dalam bilik darjah. Hal ini kerana masalah jenayah yang berlaku di luar sana mampu di bendung dari peringkat awal lagi melalui pendidikan di sekolah.

            Oleh itu, model-model pengurusan bilik darjah  seperti Model Modifikasi Tingkah laku Skinner, Model Disiplin Asertif Canter, Model Akibat Logikal Dreikuts, Model Pengurusan Kelompok Kounin dan Model Terapi Realiti Glasser boleh dijadikan sebagai panduan oleh guru-guru dalam mengurus disiplin bilik darjah dengan lebih berkesan. Aspek pengurusan bilik darjah dan tingkah laku pelajar amat penting bagi guru dalam menyampaikan proses pengajaran dan pembelajaran kepada pelajar. Guru perlu memahami konsep pengurusan bilik darjah, faktor yang mendorong wujudnya masalah disiplin dan cara menangani masalah yang timbul bagi memudahkan tugas seorang guru apabila masuk ke bilik darjah. Dalam hal ini, Omardin Ashaari (1999) berpendapat bahawa kaedah yang paling berkesan dalammengawal kelas dan lazimnya digunakan oleh guru ialah menggunakan kekuatan dan ketegasan yang ada pada diri mereka sendiri.

2.0       ANALISIS KAJIAN KES
Dalam kes pengurusan disiplin bilik darjah yang dikenal pasti melalui video, murid-murid cepat berasa bosan dan mudah hilang tumpuan semasa proses pengajaran dan pembelajaran sering menganggu rakan-rakan yang lain. Masalah pembelajaran yang seterusnya ialah gangguan daripada murid ketika proses pengajaran dan pembelajaran seperti komunikasi dengan murid lain dan membuat bunyi bising untuk menarik perhatian guru.

            Pada kes pertama ini, murid-murid cepat berasa bosan dan telah hilang tumpuan semasa proses pengajaran dan pembelajaran menyebabkan mereka sering menganggu rakan-rakan yang lain. Murid juga sering berbual serta tidak mengendahkan guru yang mengajar dihadapan. Masalah pembelajaran yang berlaku ini disebabkan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan oleh guru tersebut membosankan dan tidak dapat menarik minat murid untuk bersama-sama mengikuti pelajaran yang diajar, oleh itu mereka berasa bosan dan aktiviti seperti bermain dan berbual dengan rakan lebih menarik minat mereka berbanding pengajaran yang dibuat oleh guru. Faktor-faktor ini menyebabkan murid tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya untuk pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan oleh guru. Akibatnya, murid melakukan aktiviti yang dirasakan menyeronokkan bagi mereka yang pastinya tidak berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran yang dibuat guru.

            Masalah yang wujud dalam proses pembelajaran seterusnya ialah gangguan daripada murid ketika proses pengajaran dan pembelajaran seperti komunikasi dengan murid lain dan membuat bunyi bising. Keadaan ini hanyalah  untuk menarik perhatian guru. Ia gangguan dari murid yang terlibat ataupun tidak terlibat dengan pembelajaran ini. Jika murid tidak memberi respons terhadap gangguan yang berlaku, pastinya masalah pembelajaran iaitu hilang tumpuan terhadap pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan oleh guru berlaku. Murid cenderung untuk mendapatkan perhatian dan menganggu proses pengajaran dan pembelajaran guru ini kerana berpendapat lebih menyeronokkan disamping sebagai tanda protes terhadap tindakan guru yang sering menggunakan pendekatan yang agak keras dan tidak bertolak ansur. Gangguan seperti ini tidak dapat guru kawal, tetapi guru dapat berusaha untuk mengelakkan murid daripada memberi respons terhadap gangguan yang dilakukan oleh murid lain dengan cara-cara tertentu.


3.0       MODEL-MODEL DISIPLIN BILIK DARJAH
Menurut Mok Soon Sang (1996), merujuk tingkah laku bermasalah dari konteks pendidikan sebagai sebarang tingkah laku murid yang boleh menjejaskan kelicinan dan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran, khasnya di bilik darjah. Berpandukan senarai masalah yang dinyatakan di atas dan masalah yang sama dihadapi di dalam konteks Malaysia, terdapat beberapa kaedah atau strategi yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah tersebut melalui model-model disiplin bilik darjah. Bagi masalah yang melibatkan murid-murid cepat berasa bosan dan telah hilang tumpuan semasa proses pengajaran dan pembelajaran menyebabkan mereka sering menganggu rakan-rakan yang lain. Kaedah yang boleh digunakan adalah dengan mengaplikasikan model Disiplin Asertif Canter. Model ini juga boleh diaplikasikan bagi masalah kesukaran guru untuk mengawal kelas. Strategi yang boleh digunakan oleh guru adalah dengan mengamalkan sikap asertif pada peringkat permulaan.

            Pada kali pertama memulakan kelas tersebut, guru perlu menyatakan terlebih dahulu peraturan-peraturan yang dikehendaki olehnya. Guru juga perlu mengingatkan rakan-rakannya yang lain untuk menyatakan peraturan bahawa setiap murid perlu fokus terhadap sesi pengajaran dan pengajaran yang dijalankan oleh guru. Cara yang terbaik adalah dengan menggunakan pendekatan yang lebih mudah difahami oleh murid dengan menerangkan satu persatu langkah-langkah kerja yang diperlukan. Perkara ini akan memudahkan murid untuk memahami dan seterusnya dapat mengikuti dengan fokus untuk kelas yang seterusnya. Hal ini secara tidak langsung dapat membantu cikgu mengawal kelas. Naturalnya, murid-murid akan mudah mengingati perkara pertama yang berlaku ke atas dirinya. Maka, ketegasan amat diperlukan semasa kali pertama memasuki kelas. (Mok Soon Sang, 1996)

            Seterusnya, masalah yang berkaitan dengan gangguan daripada murid ketika proses pengajaran dan pembelajaran seperti komunikasi dengan murid lain dan membuat bunyi bising untuk menarik perhatian guru. Menurut Omardin Ashaari (1999), golongan murid bersikap degil ini gemar menentang guru dan apa yang dilakukan hanya untuk menjaga kepentingan diri semata-mata. Gangguan dari murid dan rakan sebaya mereka serta tidak mengendahkan guru dapat dicegah melalui model Akibat Logikal Dreikurs. Berdasarkan prinsip ini, perubahan tingkah laku terdorong dalam seseorang individu dengan bimbingan daripada individu lain. Maka, model sesuai diaplikasikan kerana salah laku itu perlu diubah dan seterusnya dikekalkan. (Ragbir Kaur, 2012). Guru boleh membantu murid untuk mengubah tingkah laku tersebut dengan pendekatan yang lebih lembut tanpa terus menghukum mereka dan memberi peluang kepada mereka. Justeru, mereka akan sedar akan kesilapan yang mereka lakukan dan berusaha untuk belajar lagi. Antaranya dengan memberi kesedaran dan menasihati setiap tingkah laku negatif mereka. Jika, strategi ini tidak berjaya dilaksanakan, maka kaedah atau strategi dari model-model lain boleh diaplikasikan. Misalnya menggunakan langkah yang telah dinyatakan dalam Terapi Realiti Glasser. Dalam model ini, cikgu perlu meningkatkan cara pertanyaannya. Sebagai contoh, “Apa yang kamu lakukan?” adalah lebih berkesan daripada” Mengapa kamu lakukan perbuatan itu?”

            Manakala bagi masalah yang berikutnya iaitu sikap murid yang sering mengganggu rakan lain, minta perhatian guru dan sering berbual boleh diperbaiki dengan menggunakan kaedah yang sama seperti di atas. Namun, strategi yang disarankan adalah dengan melaksanakan model Modifikasi Tingkah Laku. Cikgu boleh mengaplikasikan strategi ini bagi masalah di atas juga. Model ini berasaskan prinsip pengukuhan melalui ganjaran ataupun teguran yang berkesan. Sebagai contoh cikgu perlu memberi ganjaran ataupun pujian kepada murid yang dapat menjawab soalan dan peneguh negatif apabila kesalahan dilakukan. Bagi murid yang melakukan kesalahan atau berborak semasa guru mengajar, guru boleh menegur dengan cara sindiran sambil menerapkan unsur kecindan supaya murid tidak bosan dan dapat menerima teguran tersebut. Selain itu, kaedah time-out juga boleh digunakan. Cikgu meminta murid untuk berada di belakang atau pun hadapan kelas apabila melakukan sesuatu kesalahan walaupun setelah beberapa ditegur dan diberi amaran. (Mok Soon Sang, 2011)







4.0       KEBERKESANAN STRATEGI PENGURUSAN DISIPLIN
Model Disiplin Asertif Canter ialah salah satu model dalam pengurusan disiplin bilik darjah. Model ini menekankan respons yang bersifat asertif, tidak asertif dan agresif. Respons asertif apabila guru memberi amaran kepada murid apabila kesalahan dilakukan. Respons tidak asertif pula merupakan respons yang diberi dalam bentuk penegasan dalam nada suara dan meminta murid menghentikan salah laku yang dilakukan. Respons agresif pula berlaku apabila nada yang paling tegas dan hampir melaksanakan hukuman terhadap murid. (Mok Soon Sang, 1996)

            Seperti juga di Malaysia, dalam kes yang berlaku iaitu murid-murid telah hilang tumpuan ketika guru mengajar dan sering menganggu rakan yang lain. Disebabkan hilang minat dalam pembelajaran yang berpunca daripada rasa bosan, kurang minat dalam matapelajaran yang diajar oleh guru tersebut, ataupun tertarik dengan aktiviti lain, murid cendurung dalam melakukan kerja sendiri dan melakukan sesuatu yang bagi mereka lebih menyeronokkan. Model Disiplin Asertif Canter digunakan untuk mengenalpasti masalah pembelajaran yang berlaku dalam kalangan murid. Pada mulanya, apabila murid mula menimbulkan masalah pembelajaran seperti hilang minat untuk belajar apabila tidak meminati matapelajaran tersebut dan mula membuat bising kerana bosan, guru perlu memberi respons asertif. Respons asertif berlaku apabila guru memberi amaran kepada murid contohnya dalam kes ini, guru memberi amaran kepada murid yang mula membuat bising atau bermain selepas hilang tumpuan untuk belajar.

            Jika murid masih lagi menimbulkan perkara yang cenderung untuk menimbulkan masalah pembelajaran, respon tidak asertif boleh dilakukan selepas respon asertif untuk mengenal pasti adakah masalah pembelajaran dilakukan oleh murid secara berterusan. Respons yang diberi dalam bentuk penegasan dalam nada suara tegas dan meminta murid menghentikan salah laku yang dilakukan. Respons ini biasanya akan menghalang murid daripada melakukan aktiviti seperti bermain dengan rakan, berbual ataupun tidak menumpukan perhatian terhadap pembelajaran yang dilakukan kerana menunjukkan sifat tegas yang ada pada guru. Respons yang terakhir boleh diberikan guru iaitu respons agresif. Respons agresif dilakukan dengan nada yang paling tegas dan hampir melaksanakan hukuman terhadap murid. Respons ini dilakukan untuk menghalang murid yang terlampau aktif dalam melakukan perkara yang tiada kaitan dengan pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan. Guru perlu menghalang murid daripada terus menimbulkan masalah pembelajaran kerana ini akan mengganggu guru dalam mengajar murid lain disamping mengganggu tumpuan murid lain (Ragbir Kaur, 2012). Jika respons agresif dilakukan pada peringkat akhir Model Disiplin Asertif Canter, in bermakna murid telah hilang minat untuk belajar dan pengawalan kelas yang dilakukan oleh guru adalah kurang berkesan. Murid yang menimbulkan masalah pembelajaran itu pastinya mempunyai masalah dalam memberi tumpuan kerana respons dari tiga peringkat iaitu respons asertif, respons tidak asertif dan respons asertif daripada guru telah dilakukan.

            Model modifikasi tingkah laku B.F.Skinner ini pula menggunakan prinsip peneguhan yang menggunakan elemen-elemen luaran untuk meningkatkan tingkah laku yang diingini. Ianya terdapat dua jenis peneguhan iaitu peneguhan positi seperti hadiah, pujian, markah merit dan sebagainya ianya untuk meningkatkan tingkah laku murid yang diingini. Kedua pula ialah peneguhan negatif seperti majalah, komik dikeluarkan supaya murid-murid kembali menunjukkan tingkah laku yang diingini. Seterusnya ialah peneguhan berbeza dengan dendaan dan yang terakhir sekali ialah peneguhan berkala. Dendaan juga merupakan salah satu teknik modifikasi tingkah laku (Ee Ah Meng, 2001). Melalui analisis kes ini kita dapati bahawa peneguhan positif dan peneguhan negatif telah dilakukan oleh guru tersebut. Ini dapat dilihat apabila cikgu memberikan pujian apabila pelajar dapat menjawab soalan. Ini juga telah menimbulkan keyakinan kepada pelajar lain untuk menjawab soalan. Di sini kita melihat kepada kebaikan dan kelemahan model ini ialah hasil pantas tetapi tidak kekal lama, lebih memenuhi keperluan motivasi esentrik iaitu bergantung kepada elemen ganjaran. Manakala untuk jangka masa panjang ini boleh mengakibatkan motif murid bertukar dan murid lebih teruja mendapat ganjaran daripada ilmu pengetahuan. (Mok Soon Sang, 2011)

            Di Malaysia, penggunaan model modifikasi tingkah laku B.F.Skinner akan memberikan impak yang positif kerana dengan penggunaan kaedah peneguhan positif dan negatif. Penggunaan bahasa yang sesuai juga bermakna guru perlu sopan dalam memberikan teguran di dalam peneguhan negatif agar murid tidak merasa rendah diri yang terlampau manakala peneguhan positif pula akan menambahkan lagi keinginan murid lain untuk mendapatkan sesuatu yang diinginkan. Ternyata kaedah ini lebih meninggalkan kesan yang baik jika digunakan dlam konteks Malaysia.

            Model Akibat Logikal Dreikurs menekankan kepentingan guru memberikan kepercayaan dan tanggungjawab kepada murid-murid untuk bersama-sama menjaga disiplin di dalam bilik darjah. Berdasarkan prinsip ini, perubahan tingkah laku terdorong dalam seseorang individu dengan bimbingan daripada individu lain. Maka, model sesuai diaplikasikan kerana salah laku itu perlu diubah dan seterusnya dikekalkan. Konsep ini membawa maksud guru perlu mengenalpasti punca salah laku. murid perlu dibimbing dengan teguran yang berkesan supaya dapat memahami peraturan di dalam bilik darjah kemudian murid perlu dilatih untuk mendapatkan kawalan kendiri terhadap pengurusan disiplin bilik darjah. Murid dan guru bersama-sama memikul tanggungjawab dalam pengurusan disiplin bilik darjah. Akhir sekali, jalan demokrasi perlu diaplikasikan. Model ini menggambarkan kepercayaan dan tanggungjawab yang diberikan daripada guru terhadap murid yang telah melakukan kesalahan supaya dapat menghalang murid lain daripada melakukan perkara yang sama. Dalam kes ini, gangguan dari murid berlaku kerana murid berasa bosan dan menganggu rakan lebih menarik minat mereka. Apabila murid lain seperti rakan murid yang berada di dalam kelas dan berada dikawasan yang boleh berlaku komunikasi, pastinya komunikasi akan berlaku antara murid di dalam kelas dan murid diluar kelas. Jika perkara ini berlaku, model Akibat Logikal Dreikurs boleh digunakan untuk mengenal pasti masalah pembelajaran yang berlaku dalam kalangan murid.  (Omardin Ashaari, 1999)

            Menurut Mok Soon Sang (2011), gangguan daripada murid yang inginkan perhatian tidak dapat dielakkan, namun begitu jika murid tidak memberi respons terhadap gangguan tersebut, pastinya gangguan tersebut dapat mempengaruhi murid. Model Akibat Logikal Dreikurs ini menyatakan guru memberikan kepercayaan dan tanggungjawab kepada murid-murid untuk bersama-sama menjaga disiplin di dalam bilik darjah. Murid yang lain akan sedar terhadap kepercayaan dan tanggungjawab itu dan berhenti untuk memberi respons terhadap gangguan daripada luar kerana rasa bertanggungjawab. Sebagai contoh, apabila seseorang murid berkomunikasi dan membuat bising tanpa pngetahuan guru, guru perlu menegur murid dengan nada yang tegas. Ini perlu dilakukan untuk memberi kesedaran kepada murid bahawa guru perlu dihormati apabila berada di dalam kelas. Murid juga perlu menghormati proses pengajaran dan pembelajaran yang sedang dilakukan. Teguran yang dibuat oleh guru dengan nada yang tegas pastinya dapat menghalang murid daripada melakukan salah laku yang sama disamping mengelakkan murid melakukan masalah pembelajaran yang lain.

RUMUSAN

Seorang guru mempunyai tugas dan peranan yang amat penting dalam mendidik anak bangsanya. Oleh sebab itu, segala yang berlaku di dalam bilik darjah sangat penting. Guru yang bertangungjawab mencorakan pengajaran dan pembelajaran harian murid-murid. Dalam memastikan proses pengajaran dan pembelajaran bergerak lancar, guru perlu memastikan disiplin murid dalam keadaan terjaga dan terkawal supaya matlamat pengajaran terkawal. Oleh sebab itu, lahirnya model-model pengurusan disiplin bilik darjah dalam membantu guru-guru membentuk disiplin murid. Maka terpulang kepada-guru untuk menjayakan model-model tersebut atau mengadunkannya untuk dijadikan strategi yang ampuh dalam membentuk disiplin murid khususnya di Malaysia ini. Ini disebabkan disiplin sangat memainkan peranan penting bukan sahaja di dalam bilik darjah malah mempengaruhi sepanjang hidup murid tersebut.

No comments:

Post a Comment