. Amoi Chantek Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Thursday 7 January 2016

1.0          Pengenalan

Pada kali ini tugasan bagi kursus ELM3043E iaitu Isu-isu Moral dan Cabaran Penghayatan Nilai-Nilai Murni telah mengkehendakan kami untuk menjalankan kajian mengenai seorang tokoh yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan modal insan untuk membina sahsiah pelajar yang bermoral bagi kesinambungan kesejahteraan negara Malaysia. Tokoh tersebut ialah Prof. Datuk Dr. Sidek bin Baba. Dalam tugasan ini, ada diterangkan secara terperinci mengenai latar belakang tokoh tersebut. Kronologi kejayaan pendidikan beliau dan akhir sekali sumbangan beliau dalam konteks nilai dan moral.

            Prof Datuk Dr. Sidek bin Baba merupakan tokoh yang banyak menyumbang kepada pembangunan modal insan dalam membina sahsiah pelajar yang bermoral bagi kesejahteraan Negara Malaysia. Penyertaan beliau dalam satu badan yang ditubuhkan bernama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah menjadikan konsep Islam disebarkan dengan luas sehinggalah ke luar Negara. Selain itu, karya-karya beliau telah banyak memberikan inspirasi kepada pembaca-pembacanya. Malah, beliau juga antara tokoh pendidikan yang telah berjuang dengan penuh keazaman dalam mengubah watak umat yang diwakilinya bahkan masyarakat luar juga. Beliau turut memberikan sumbangan yang besar dalam pembangunan modal insan dengan mengenalkan Pendidikan Rabbani ke dalam pendidikan di Negara kita.











2.0       Latar Belakang dan Kronologi Kejayaan Tokoh
Nama tokoh ini tidaklah semasyhur berbanding dengan tokoh-tokoh yang lain seperti Tun Dato' Sri Dr. Mahathir bin Mohamad, namun jasa dan sumbangannya adalah amat penting kepada perkembangan ilmu, nilai dan moral iaitu melalui penulisan-penulisan dalam bentuk buku, kertas kerja, artikel-artikel di dada-dada akhbar harian dan tabloid serta majalah-majalah. Antara karya yang ditulis adalah seperti buku Remaja Islam, Keluarga Sakinah, acuan Minda, Melayu Perkasa, Wahai Remaja, Pendidikan Rabbani dan Fitrahkah Kita. Kajian ini banyak bergantung kepada kaedah kajian perpustakaan, melayari internet dan sebagainya. Hasil kajian tentang tokoh ini dikongsi dan diketengahkan di kalangan masyarakat sebagai bukti bahawa beliau turut berperanan dalam menyumbang kepada pembangunan modal insan untuk membina sahsiah pelajar yang bermoral bagi kesejahteraan negara Malaysia.

Tokoh yang dimaksudkan ialah Prof. Datuk Dr. Sidek Baba. Beliau dilahirkan pada 12 Jun 1946 di Kampung Pulau, Masjid Tanah Melaka. Beliau merupakan putera bagi Baba Bin Maakip dan Jenah bt Hitam. Beliau mendapat pendidikan awal dan menengah di Melaka iaitu di Sekolah Umum Jeram dan di Sekolah Inggeris Gajah Berang. Setelah itu, beliau melanjutkan pengajian perguruan selama 2 tahun di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim setelah mendapat pangkat tiga dalam Malaysian Certificate of Education (MCE). Kemudiannya beliau mendirikan rumah tangga dengan Rohani Bt Haron pada 29 Julai 1973 dan dikurniakan 8 orang anak iaitu 6 orang lelaki dan 2 orang perempuan. Beliau kemudiannya menyambungkan pelajarannya di Universiti Malaya (UM) dalam bidang Pengajian Melayu dengan Kementerian Pendidikan menawarkan separuh gaji sepanjang tempoh pembelajaran. (Sabihah, 1990)

Di sini kita dapat melihat kepada kronologi kejayaan pendidikan beliau di mana kemudiannya beliau menyambung pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam Diploma Pengajian Islam. Menurut Sabihah (1990), seterusnya apabila  beliau bekerja di Institut Pengurusan Pendidikan Nasional (IPPN) atau Institut Aminuddin Baki (IAB) selepas tamat pengajiannya, beliau berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat dalam bidang Sarjana Sains Pendidikan dan Doktor Pendidikan dalam bidang Kajian Dasar Pendidikan. Selain itu, beliau juga pernah terbabit secara aktif dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bermula di UM lagi yang kemudiannya berterusan di Amerika Syarikat semasa beliau menyambungkan pelajaran di sana iaitu yang dikenali ABIM Amerika Utara sehingga diangkat sebagai Yang DiPertua. Penglibatan beliau dalam ABIM amat aktif sehinggalah beliau pernah diangkat untuk memimpin ABIM di peringkat negeri Melaka dan juga Pusat.

Bukan itu saja seterusnya pada 9 Mac 2009, beliau menerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2009 sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Malaysia atas sumbangannya dalam bidang pendidikan. Setelah pulang dari luar negara, beliau masih meneruskan minatnya dan usahanya itu dan ianya dapat diterjemahkan di dalam penulisan dengan menulis di ruangan Berita Harian, Utusan Malaysia dan Majalah I, dan majalah Solusi serta mengisi ruangan Santapan Rohani Radio IKIM FM dan program Santapan Minda di Selangor FM. Selain itu, dengan berbekalkan gelaran lulusan luar negara, beliau pernah dilantik menjadi Lembaga Pengarah IKIM, Lembaga Pengarah Darul Quran Malaysia, Lembaga Pengarah di IKMAS, JAKIM, Lembaga Penasihat Pendidikan Institut Integriti Malaysia, Lembaga Muafakat MARA dan Lembaga Akademi Ketamadunan. (Sabihah, 1990)

Selain itu, menurut Sabihah (1990), beliau pernah menjadi pensyarah di Institut Aminuddin Baki selama 5 tahun. Kemudiannya beliau dilantik pula sebagai Timbalan Dekan Akademik Pusat Matrikulasi UIA dan Dekan Pusat Matrikulasi dari 1992-1994 sebelum menjadi Timbalan Rektor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada tahun 1994-2002. Di samping itu, Prof juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Sukan Universiti-universiti Malaysia. Kini, berkhidmat sebagai Profesor Pendidikan di UIAM serta menetap di Padang Balang, Sentul, Kuala Lumpur.




3.0       Sumbangan Tokoh Yang Diterjemahkan Dalam Konteks Nilai dan Moral
Dalam pembentukan moral individu dan menangani masalah moral beliau telah banyak menghasilkan penulisan-penulisan dalam bentuk buku, kertas kerja, artikel-artikel di dada-dada akhbar harian dan tabloid serta majalah-majalah. Bukan itu sahaja karya-karya beliau juga turut boleh didapati dalam bentuk cakera padat, ruangan blog di laman sesawang, sering ke udara melalui media-media elektronik, sering dijemput untuk menyampaikan ceramah-ceramah termasuk di masjid dan surau serta menyampaikan ucap utama dalam seminar-seminar dan konvensyen sama ada di peringkat nasional atau antarabangsa. Ilmu yang beliau perolehi juga turut dikongsikan dan sebarkan melalui penulisannya di Syarikat  penerbitan Alaf 21, antara karya yang ditulis adalah seperti buku Remaja Islam, Keluarga Sakinah, acuan Minda, Melayu Perkasa, Wahai Remaja, Pendidikan Rabbani dan Fitrahkah Kita.

Selain itu, karyanya yang mengikut beliau sebagai satu pencapaian yang amat dibanggakan adalah buku Seteguh Tekad yang menceritakan kisah hidup beliau dari kecil dan rentetan perjuangan yang dilaluinya untuk sampai ke tahap hari ini. Manakala kebanyakan hasil tulisan akademiknya pula  berkaitan dengan Islam seperti kertas kerja mengenai Pengurusan Islam (Teori I), Integrasi dan Islamisasi Ilmu, keremajaan dan keibubapaan serta dialog tamadun dan antara agama. (Tajul, Roslee & Rahimawatil, 2007)

Menurut Faizal Yahya (1999), sumbangan yang jelas sekali telah disumbangkan oleh Prof Sidek memang selayaknya diangkat sebagai seorang tokoh akhlak kerana beliau sejak pembabitannya di universiti tidak pernah putus-putus untuk menyebarkan konsep Islam yang sejati sehinggalah beliau ke luar negara melalui pembabitannya dalam ABIM. Beliau sering mengikuti usrah-usrah dan ceramah malah turut sama memberikan ceramah agama di Amerika Syarikat yang mana ketika zaman beliau menyambungkan Sarjana dan Doktor Falsafah pelajar Islam Malaysia di sana terbahagi kepada dua bahagian iaitu yang berfikiran liberal dan yang  benar-benar menjalankan kehidupan Islam sejati. Oleh itu, pergerakan ABIM ketika itu untuk mengukuhkan lagi iman dan akhlak orang-orang Islam di sana yang tidak pernah kering dengan dugaan syaitan.

Malah, beliau juga ada menyatakan dalam bukunya iaitu Seteguh Tekad, beliau  berjaya menarik soalan saudara baru semasa di sana iaitu saudara Adam. Ini menunjukkan  bagaimana beliau sentiasa berusaha memastikan pelajar Malaysia Islam di sana terpelihara akhlak mereka yang selaras dengan Islam dan malah turut berusaha mengukuhkan akhlak  pelajar-pelajar di sana yang datang daripada keluarga yang kurang didikan ilmu agama. Malah disebabkan pembabitannya dalam ABIM yang menyebabkan beliau rapat dengan Dato Seri Anwar Ibrahim, beliau pernah ditangkap di bawah akta ISA. Namun penangkapannya itu tidak pernah mengurangkan semangat perjuangannya dalam memberi sumbangan kepada masyarakat. Ini menunjukkan pendiriannya yang cuba untuk diterapkan kepada masyarakat di Malaysia terutamanya dan ini sekali gus adalah kaedah yang digunakannya dan disuarakan kepada masyarakat untuk memastikan pembentukan akhlak mulia dalam kalangan remaja Islam melalui pendidikan.










No comments:

Post a Comment