. Amoi Chantek Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Wednesday 6 January 2016

1.0 Pengenalan
Bidang lingusitik merupakan bidang yang lama dikaji oleh pengkaji bahasa di Malaysia dan serata dunia. Pengkajian bidang ini adalah penting sejak dahulu hingga kini. Tidak hairanlah, subjek ini diajar di peringkat  tinggi seperti di institusi pengajian tinggi, institut perguruan, hingga ke peringkat yang lebih rendah, iaitu di sekolah-sekolah. Jelasnya, subjek ini terus menjadi penting, walaupun negara telah menuju ke arah globalisasi yang menjadikan teknologi sebagai fokus utama. Walaupun pada masa ini, bidang teknologi diberi perhatian oleh kerajaan, namun ilmu linguistik terus diberi perhatian untuk mengimbangi keperluan rohaniah di kalangan rakyat.
            Pengantar Linguistik Bahasa Melayu merupakan salah satu bidang yang mengkaji ilmu linguistik secara amnya. Menurut Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), linguistik ialah kajian saintifik tentang bahasa dan berkaitan dengan bahasa. Menurut Kamus Dwibahasa (1981), linguistik merupakan bidang pengajian ilmu bahasa. Linguistik juga merupakan pengkajian sains mengenai bahasa kerana linguistik memenuhi syarat yang diperlukan seperti pengkajian sains yang lain.
            Konsep pemikiran dalam linguistik merujuk kepada bagaimana ilmu bahasa dan tatabahasa dihuraikan oleh ahli-ahli linguistik. Dengan perkataan lain, perbincangan tentang pemikiran dalam linguistik difokuskan kepada aliran yang menjadi pegangan tokoh-tokoh bahasa. Oleh itu, pemikiran dalam linguistik ini terbahagi kepada tiga orang tokoh iaitu Ferdinand de Saussure, Edward Sapir dan Leonard Bloomfield.
            Dalam tugasan kali ini, penulis telah diminta membandingbezakan pemikiran antara Edward Sapir, Leonard Bloomfield dan Ferdinand de Saussure kepada perkembangan ilmu bahasa melalui hasil kajian empirikal mereka serta membincangkan sejauhmana sumbangan ketiga-tiga tokoh tersebut kepada perkembangan ilmu linguistik sehingga kini. Penulis juga diminta membincangkan dan menghuraikan tentang ciri-ciri bahasa Melayu Saintifik dengan menunjukkan contoh-contoh yang sesuai.
2.0 Bandingbeza Pemikiran Antara Edward Sapir, Leonard Bloomfield Dan Ferdinand De Saussure Dan Sumbangan Mereka Dalam Perkembangan Ilmu Linguistik
2.1 Edward Sapir
Edward Sapir dilahirkan pada tahun 1884 di Lauenberg, Germany. Beliau dan keluarganya berhijrah ke Amerika Syarikat pada tahun 1889 lalu menetap di New York. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda pada tahun 1904 dan kemudiannya mendapat Ph.D pada tahun 1909 dari Columbia Universiti. Di universiti inilah pemikiran Edward Sapir telah diilhamkan daripada seorang ahli antropologi iaitu Franz Boas (1858-1942). Karya terkemuka Franz Boas ialah Handbook of American Indian Languages (1911-1922) yang menghuraikan tentang fonetik, kategori makna dan proses gramatikal yang digunakan untuk mengungkapkan makna. Sehubungan dengan itu, Edward Sapir (1884-1939) merupakan pengikut Boas yang berpendidikan Amerika yang juga seorang ahli antropologi yang teah berjaya menghasilkan karya-karya bermutu dalam bidang fonologi. Dalam buku Pengantar Linguistik Bahasa Melayu (2013:53) menerangkan bahawa karya terulung Edward Sapir ialah Language (1921) yang menghuraikan tentang tipologi bahasa. Beliau telah diberi gelaran sebagai Bapa Linguistik Moden dan merupakan sarjana linguistik struktural dan antropologi.
            Setelah mengkaji tokoh linguistik yang terkenal iaitu Edward Sapir, pelbagai maklumat mengenai diri dan pemikiran beliau telah diketahui. Edward Sapir merupakan tokoh yang terkemuka dalam linguistik struktur Amerika. Beliau adalah orang pertama yang memeriksa dengan teliti hubungan-hubungan antara kajian bahasa dengan antropologi. Perkaedahannya mempunyai pengaruh yang kuat kepada semua penggantinya. Linguistik Sapir tidak terhenti pada struktur bahasa, tetapi juga meliputi kawasan budaya, sastera, mitologi, dan agama. Beliau telah memperkenalkan Hipotesis Sapir-Whorf hasil gabungan pemikiran beliau dan anak muridnya Whorf.
            Hipotesis Sapir-Whorf menyatakan bahawa pemikiran dan tingkah laku ditentukan (ataupun sekurang-kurangnya dipengaruhi) oleh bahasa. Sekiranya ini benar, kemungkinan bahawa budaya ditentukan oleh “newspeak” atau bahasa lain bukanlah fiksyen sains semata-mata. Sejak permulaannya pada 1920-an dan 1930-an, teori Sapir-Whorf telah mengundang kontroversi dan menggalakkan penyelidikan dalam pelbagai bidang termasuk linguistik, psikologi, falsafah dan pendidikan. Sehingga hari ini hipotesis itu masih belum dapat disanggah dan dipertahankan, tetapi menggalakkan penyelidik diseluruh dunia.
            Edward Sapir dan Benjamin Lee Whorf telah menekankan hubungan antara bahasa, pemikiran, dan budaya. Kedua-duanya tidak menulis hipotesis secara formal berserta formula empirik, tetapi melalui kajian yang mendalam melalui penulisan mereka tentang linguistik, penyelidik telah menemui dua idea. Pertama, satu teori linguistik penentuan (determinism) yang menyatakan bahawa bahasa yang kita gunakan menentukan bagaimana kita akan mengintepretasi dunia sekeliling. Kedua, satu teori linguistik relatif (relativism) yang lebih lemah menyatakan bahawa bahasa mempunyai sedikit kesan dalam mempengaruhi pemikiran kita terhadap realiti dunia.
            Selain itu, Sapir juga menekankan fonem sebagai satuan psikologis. Ini bermakna daripada bahasa dapat melahirkan perkataan-perkataan lain. Bahasa juga bersifat distingtif yang boleh membezaka makna. Sapir turut mengkaji tentang perkaitan bahasa dengan makna. Bahasa lahir daripada interprestasi individu terhadap persekitaran manusia. Dalam menjalankan kajian, Sapir juga mengemukakan teori struktural tentang struktur bahasa. Ia merangkumi pola dan binaan ayat.
            Dasar teori Sapir menyatakan bahawa bahasa itu merupakan aktiviti rohani, proses kejiwaan yang berulang-ulang untuk membentuk gagasan atau pemikiran melalui bunyi yang berartikulasi. Setiap bahasa memiliki keistimewaan iaitu lambang jiwa, tabiat dan sifat bangsa. Akibatnya timbul keragaman bahasa dan perbezaannya. Seterusnya prinsip dasarnya menyebutkan bahawa bahasa milik suatu bangsa menentukan pandangannya terhadap dunia dan lingkungan sekitarnya melalui kategori gramatikal dan klasifikasi semantik yang mungkin dalam bahasa yang diwarisinya bersama kebudayaannya.

Beliau mengkaji hubungan bahasa dengan pemikiran manusia dari aspek psikologi.
            Secara ringkasnya, pemikiran Edward Sapir boleh dihuraikan seperti yang berikut:
      i.         
Beliau berpendapat psikologi mendasari pengkajian bahasa dalam sains. Kesimpulan kajian beliau mendapati bahawa struktur bahasa merupakan unsur yang menentukan struktur pemikiran manusia.
Merumuskan hasil pemikiran beliau ialah tiada bahasa yang sempurna kerana bahasa akan sentiasa berubah.
Menurut beliau, bahasa ialah sistem manusiawi yang instingtif, iaitu bersifat arbitrari untuk menyampaikan perasaan dan fikiran. Buku beliau bertajuk Language berbeza dengan Bloomfield kerana menggunakan pendekatan antropologi yang melihat bahasa dari segi fungsinya dalam masyarakat.

 
    ii.         


   iii.         



   iv.         



2.2 Leonard Bloomfield
Selain daripada Edward Sapir, seorang lagi ahli linguistik Amerika yang menyumbang dalam pemodenan ini, iaitu Leonard Bloomfield. Leonard Bloomfield dilahirkan pada 1 April 1887 di Chicago, Amerika Syarikat. Beliau merupakan ahli linguistik dan menjadi pengasas kepada Persatuan Linguistik Amerika Syarikat. Bloomfield merupakan ahli linguistik yang mempelopori teori behaviourisme yang berkait rapat dengan fahaman ahli psikologi dalam menghuraikan bahasa. Bloomfield ialah pengikut yang amat terpengaruh dengan pemikiran Sapir yang melalui kuliah dan karyanya mendominasi dunia linguistik hingga akhir hayatnya.
            Leonard Bloomfield (1887-1949) merupakan salah seorang ahli linguistik struktural yang terkenal di Amerika Syarikat pada zamannya. Bloomfield menggunakan konsep Ferdinand de Saussure sebagai asas pengkajian, iaitu dalam struktur bahasa. Beliau turut meneliti dua kejadian sejarah di Amerika sehingga mencetuskan pemesatan perkembangan aliran struktural.
            Selain menjadi seorang ahli linguistik, Bloomfield juga terkenal dengan teori behaviorisme yang berakar daripada pemikiran Plato yang percaya bahawa proses bahasa ini berpunca daripada proses peniruan atau mimetic. Setiap perkataan yang dilafazkan pasti mempunyai struktur. Sebagai contoh, sekiranya seseorang individu itu menyebut rumah, strukturnya mesti rumah, bukan hamur atau maruh. Beliau lebih mengutamakan bahasa lisan sebagai objek kajian dan menyebabkan wujudnya Linguistik Deskriptif.
            Pada tahun 1914, Bloomfield telah menulis buku An Introduction to Linguistic Science. Artikel beliau banyak diterbitkan dalam jurnal Language yang dihasilkan oleh Linguistic Society of America tahun 1924. Pada tahun 1933, Bloomfield menerbitkan buku Language yang mengungkapkan pandangan behaviourismenya berkaitan dengan fakta bahasa iaitu stimulus-response ataupun ransangan dan tindak balas. Teori ini dimanfaatkan oleh Skinner (1957) dari Universiti Harvard dalam pengajaran bahasa melalui teknik drill.
            Pemikiran linguistik Bloomfield bertentangan dengan Sapir kerana Sapir berpendapat fonem sebagai satuan psikologis, manakala Bloomfield berpendapat fonem merupakan satuan behavioral (Faridah Nasir dan Tuan Jah Yusof, 2013: 54). Beliau melakukan penelitian atas dasar struktur bahasa yang diteliti, kerana itu mereka disebut kaum strukturalisme dan pandangannya disebut strukturalis. Selain itu, pemikiran linguistik beliau turut mengemukakan fonologi, morfologi dan sintaksis sebagai bidang yang tiada kaitan antara satu sama lain.
            Menurut teori Bloomfield, sebuah fonem adalah bahagian yang beraneka ragam dari propertifonetik, iaitu unit minimum daripada sebuah identiti suara tertentu, yang ketika diinterpretasikan, mempunyai satu set elemen tersendiri secara fonetik. Selain itu, Bloomfield beranggapan morfem adalah unit tatabahasa terkecil. Morfem terdiri dari serangkaian fonem, dan fonem-fonem tersebut membentuk sebuah representasi, iaitu bentuk dasar dan morfem tanpa perlu adanya penerangan.
Beliau beranggapan bahawa bahasa sebagai pangkalan data ucapan yang boleh mengeluarkan segala unit bahasa. Dengan perkataan lain, ayat-ayat itu tersusun dalam otak dan dikeluarkan apabila adanya rangsangan.
            Secara ringkasnya, pemikiran Bloomfield boleh dihuraikan seperti berikut:
      i.         


Rumusan beliau, sekiranya tingkah laku manusia lain berpunca daripada adanya rangsangan atau stimulus, maka bahasa pun dapat dilahirkan sebagai gerak balas atau respons terhadap rangsangan itu.
Bloomfield turut berharap beranggapan bahawa bahasa ialah satu tingkah laku manusia. Beliau memperlihatkan konsep saintifik dalam kajiannya, iaitu suatu kenyataan yang menunjukkan bahawa semua bahan kajian hendaklah dapat diperhatikan dan dianalisis secara empirikal. Buku beliau yang popular ialah Language (1933).

 
    ii.         


   iii.         





2.3 Ferdinand De Saussure
Ferdinand Mongin de Saussure atau dengan panggilan nama yang terkenal Ferdinand de Saussure merupakan salah seorang tokoh linguistik yang terkenal berbangsa Swiss. Hasil-hasil kajian beliau masih digunakan sehingga kini. Beliau juga dikenali sebagai “Bapa Linguistik Moden” kerana beliau merupakan pengasas kepada linguistik moden. Beliau telah dilahirkan di Geneva pada 26 November 1857 dan menghembuskan nafas terakhir pada 22 Februari 1913.
            Beliau daripada keluarga protestan Perancis yang berhijrah dari daerah Lorraine ketika perang agama pada akhir abad ke-16. Pada tahun 1870, beliau belajar di Institut Martine, di Paris. Essai sur les langues merupakan karya pertama beliau yang dipersembahkan kepada Pictet pada tahun 1872. Mula belajar bahasa Sanskrit dan akhirnya, Saussure semakin tertarik pada kajian terhadap bahasa dan mempelajarinya di Leipzig. Di institut tersebutlah beliau telah menimba ilmu daripada tokoh linguistik iaitu Brugmann dan Hubschmann.
            Melalui pemikiran linguistik, beliau telah membuat kajian dalam linguistik, antaranya ialah linguistik perbandingan, linguistik deskriptif struktur dan lingustik secara sinkronik serta diakronik. Beliau mempunyai dua pengaruh besar dalam linguistik moden. Pengaruh beliau yang pertama adalah dari segi penulisannya yang telah dikarang oleh beliau di antara 1878-1924 dalam bentuk memoir. Beliau telah membicarakan darihal sistem vokal primitif dalam bahasa proto Indo-Eropah.
             Kedua pula ialah beliau telah membezakan di antara langue dan parole. Langue merupakan keseluruhan yang terkumpul dalam sesuatu bahasa, iaitu suatu sistem yang abstrak yang digunakan sebagai rujukan oleh setiap penutur dalam sesuatu masyarakat bahasa. Parole pula merupakan tingkah laku pertuturan sebenarnya yang dilakukan oleh penuturnya, iaitu suatu bentuk bahasa yang dikawal oleh seseorang dan wujud pada suatu masa dan tempat tertentu.
            De Saussure membezakan antara langue dan parole kerana bagi beliau, apabila seseorang pengkaji bahasa cuba mengaitkan apa-apa bidang yang berkaitan dengan linguistik untuk mengkaji bahasa, keadaan akan menjadi sangat bercelaru. Maka objek yang koheren perlu disisihkan untuk memudahkan pengkajian linguistik dilakukan.
            Dalam hal ini, apabila seseorang pengkaji hanya menumpukan pengkajian terhadap satu objek sahaja, misalnya Langue yang merupakan satu sistem yang mempunyai satu set rumus yang mengawal penghasilan ayat yang gramatis, maka para pengkaji bahasa akan tahu apa yang cuba direkonstruksikannya.
            Seterusnya beliau mencontohkan metaforanya yang amat terkenal tentang buah catur dan kereta api yang masing-masing dikenal pasti dan diketahui kedudukannya dalam sistem keseluruhan , iaitu sistem permainan itu atau sistem rangkaian kereta api, dan bukannya daripada kandungan yang sebenar.
            Beliau juga berpendapat bahawa bahasa memiliki bahan dan bentuk. Bunyi yang dituturkan merupakan bunyi garis-garis lakar yang dikatakan sebagai bahan grafik dan lain-lain bagi sesuatu bahasa itu. Bentuk pula merupakan pola-pola perhubungan yang abstrak (ditentukan oleh bahasa ke atas bahannya).
            Selain itu, Ferdinand De Saussure juga berjaya membezakan antara kajian bahasa secara sinkronik dan kajian bahasa secara diakronik. Kajian bahasa secara sinkronik ialah kajian bahasa yang dilakukan dalam satu jangka masa tertentu sahaja. Manakala, kajian bahasa secara diakronik pula ialah kajian yang cuba mencari evolusi pensejarahannya melalui pelbagai peringkat. Alkisahnya, menurut Ferdinand de Saussure, pengkajian sesuatu bahasa itu perlu dilakukan secara sinkronik sebab sistem item dalam sesuatu bahasa adalah berkaitan dan item itu pula ditentukan oleh tempatnya, dan bukan sejarahnya. Kemudian, impak daripada idea se Saussure ini, muncul 2 aliran pemikiran iaitu satu di Eropah, dan satu lagi di Amerika.
Ketokohan beliau sebagai ‘Bapa Ilmu Linguistik Moden’ telah terbukti melalui penemuan-penemuan konsep dan pendekatan baharu dalam bidang bahasa secara moden.
            Secara ringkasnya, pemikiran Ferdinand de Saussure boleh dihuraikan seperti yang berikut:
      i.         

Tokoh pertama yang mengemukakan dan menekankan pentingnya kajian bahasa dilakukan dari sudut yang berbeza-beza, iaitu secara sinkronis (mengkaji bahasa pada suatu masa tertentu) dan diakronis (mengkaji bahasa dari segi sejarah yang dilalui oleh bahasa serta perubahan-perubahan yang dialami oleh sesuatu bahasa tertentu).
Orang pertama yang mengemukakan konsep ‘langue’ dan ‘parole’. Langue bermaksud loghat atau dialek dan parole bermaksud ciri-ciri bahasa yang dituturkan atau diucapkan oleh individu dalam masyarakat.
 
    ii.         




   iii.         





3.0 Ciri-ciri Bahasa Melayu Saintifik
Bahasa Melayu Saintifik tidak hanya terhad kepada pengertian Sains (Fizik, Kimia, Matematik, Biologi dan sebagainya) tetapi juga bidang sains sosial. Sehubungan dengan otu, perkataan “saintifik” mempunyai maksud yang sama dengan perkataan “akademik”. Bahasa saintifik juga turut dikenali sebagai bahasa akademik merupakan bahasa yang wujud dengan munculnya pelbagai bidang bahasa. Bahasa ilmu ialah bahasa yang digunakan untuk mengungkap ilmu dan memiliki ciri-ciri yang tersendiri. Sehubungan dengan itu, terdapat bukti bahawa bahasa Melayu sudah menjadi bahasa ilmu yang mampu memperkatakan pelbagai bidang ilmu sejak abad ke-7 Masihi lagi.
            Kemudian, pada abad ke-14 Masihi, selepas kedatangan Islam ke Alam Melayu terdapat banyak manuskrip dan buku atau kitab Melayu yang menunjukkan kewujudan ilmu SAKTI (sains, kesihatan, kejuruteraan dan teknologi). Seterusnya, pada zaman moden ini, bahasa Melayu mampu untuk membahas pelbagai lagi bidang ilmu seperti falsafah, agama, sains dan teknologi.
            Bahasa Melayu saintifik sebenarnya ialah bahasa akademik atau bahasa ilmu sebab keupayaannya mengungkapkan pelbagai bidang ilmu seperti ilmu sains (sains tabii, sains fizikal, sains perubatan, sains sosial) dan bidang ilmu yang lain, Menurut Asmah Haji Omar (1987), konsep saintifik tidak terhad kepada pengertian sains seperti fizik, kimia, biologi, dan matematik, malah merangkumi juga bidang-bidang seperti sains sosial. Justeru, konsep bahasa Melayu saintifik mempunyai pengertian yang sama dengan konsep bahasa akademik atau ilmu.
            Sebagai bahasa akademik, bahasa Melayu saintifik mempunyai laras bahasa khususnya untuk memperkatakan pelbagai bidang ilmu misalnya, bidang perubatan. Sebagai bahasa ilmu bahasa Melayu saintifik juga mempunyai perbendaharaan kata, istilah dan bahasa yang sesuai untuk mengungkapkan konsep dan pemikiran tentang hal-hal perdagangan antarabangsa, perindustrian ringan dan berat, perniagaan saham, pengurusan perakaunan dan perangkaan. Selain itu, bahasa Melayu saintifik juga mempunyai ciri-ciri keintelektualan dan kesempurnaan bahasa melalui perbendaharaan kata dan sistem tatabahasanya yang mantap.


No comments:

Post a Comment