3.1.2 Bercerita
Bercerita merupakan suatu teknik yang boleh menarik
minat kanak-kanak. Biasanya
murid-murid akan lebih cepat menumpukan perhatian terhadap penceritaan
guru. Bercerita menjadikan pengajaran pembelajaran lebih menarik dan
berkesan. Pelbagai jenis cerita berunsur moral boleh didapati dengan mudah
daripada akhbar, majalah, internet dan lisan. Bercerita boleh merangsangkan
minda dan menimbulkan minat murid jika guru melaksanakannya secara
berkesan. Banyak pengajaran dan nilai moral dapat dicungkil daripada
cerita-cerita yang mengandungi unsur moral.
Sekarang marilah kita lihat apakah langkah-langkah yang
harus diambil kira oleh guru dalam persediaan teknik bercerita.
Garis Panduan Teknik Bercerita
1) Pilih cerita yang sesuai dengan umur, kecerdasan, minat,
dan ada kaitan dengan isi pelajaran yang hendak disampaikan. Pastikan objektif
pengajaran dan pembelajaran ada kaitan dengan cerita tersebut
2) Kaji isi kandungan cerita itu terlebih dahulu dan
selitkan nilai-nilai murni yang bersesuaian dengan tema.
3) Semasa bercerita guru boleh menggunakan gambar,
objek-objek sebenarnya seperti patung wayang kulit, pelbagai jenis ‘pupet’,
gambar kartun dan alat-alat bantu mengajar yang bersesuaian.
4) Tempoh masa bagi sesuatu pelajaran sama ada 30 minit atau
60 minit turut mempengaruhi peruntukan masa untuk bercerita
5) Tahap kebolehan murid dan pengetahuan sedia ada murid
amat mempengaruhi guru dalam pemilihan cerita
6) Cerita boleh diselang-seli dengan latar belakang muzik
dan unsur bunyi kehidupan alam yang menarik. Contoh: bunyi air, api, hujan,
guruh dll.
7) Kepelbagaian penekanan nada dan intonasi guru, semasa
bercerita menjadikan penyampaian cerita lebih berkesan.
8) Gerak-geri guru haruslah sesuai dengan isi cerita.
9) Guru haruslah menggunakan bahasa serta istilah yang mudah
agar semua murid dapat memahami cerita yang menjadi isi pelajaran.
10) Mewujudkan peluang untuk murid-murid mengambil bahagian
atau turut serta dalam proses penceritaan tersebut.
11) Guru tidak boleh menumpukan perhatian kepada sebahagian
murid atau kelompok tertentu sahaja. Sebaliknya cuba memandang kepada
keseluruhan kelas secara bergilir-gilir.
12) Akhiri cerita dengan kemas dan berikan suatu
kepuasan kepada murid di samping
mengutamakan unsur pengajaran pembelajaran.
13) Murid juga boleh ditugaskan untuk bercerita dengan garis
panduan yang diberikan oleh guru.
14) Memasukkan unsur pertandingan bercerita secara
spontan/berstruktur. Aktiviti tersebut boleh dijalankan di dalam kelas
Pendidikan Moral. Jangka masa bercerita perlu ditetapkan supaya guru dapat
mengawal masa.
15) Merakamkan sesi bercerita dan menayangkannya kembali
kepada murid.
16) Selepas mendengar cerita daripada pelbagai pendekatan,
minta murid tuliskan sinopsis cerita yang diperolehi daripada cerita itu.
No comments:
Post a Comment