KONSEP DAN KEPENTINGAN PENGAJARAN MIKRO
Pengajaran
mikro merupakan teknik latihan guru yang melibatkan kumpulan kecil guru pelatih
mengendalikan sebahagian sesi pengajaran di hadapan rakan sebayanya. Sesi
pengajaran antara 5-10 minit itu dirakamkan kemudian ditayang semula untuk
menjalankan “post-mortem” bagi
mengenal pasti aspek kelemahannya supaya dapat dibuat penambahbaikan.
Pengajaran
mikro membolehkan guru pelatih
·
memberi fokus
kepada kemahiran mengajar tertentu dalam persekitaran yang terangkum tanpa perasaan
tergugat
·
memperoleh maklum
balas tentang teknik pengajarannya daripada pelbagai perspektif
·
menerima sokongan
dan maklum balas daripada rakan sebaya
Adalah menarik untuk mengetahui bahawa pengajaran mikro berasal dari
Stanford University pada tahun 1963.
Penyelidik dari Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Pengajaran telah
mereka suatu pendekatan bagi latihan pengajaran praktikal dengan memperkenalkan
kawalan ketat, kaedah lebih analitikal dan suatu pendekatan baru memberi maklum
balas (Allen & Ryan dalam Brown, 1987).
4.2.1 Ciri-ciri
Pengajaran Mikro
Menurut Allen dan Ryan (1969) ciri-ciri utama
pengajaran mikro adalah:
a)
Pengajaran
mikro merupakan pengajaran sebenar walaupun situasi pengajaran telah direka
begitu rupa di mana pensyarah dan guru pelatih berkerjasama dalam situasi
latihan.
b)
Pengajaran
mikro mengurangkan keadaan kompleks bilik darjah biasa di mana saiz kelas, skop
kandungan, dan masa dikurangkan.
c)
Pengajaran
mikro memfokus kepada penguasaan tugasan yang spesifik, seperti kemahiran pengajaran,
teknik pengajaran, penguasaan bahan kurikulum atau demonstrasi kaedah
pengajaran.
d)
Pengajaran
mikro membolehkan peningkatan kemahiran mengajar dalam keadaan terkawal dari
segi jumlah pelajar, kaedah maklum balas, penyeliaan, dan faktor lain yang
boleh diubah suai.
e)
Pengajaran
mikro meningkatkan dimensi maklum balas pengajaran. Maklum balas diberi sebaik
sahaja pengajaran mikro tamat. Melalui
penggunaan borang penyeliaan yang disediakan khas untuk mendapatkan maklum
balas spesifik kepada beberapa aspek pengajaran, memainkan semula pita video,
guru pelatih dapat mengetahui prestasinya dan akan cuba memperbaikinya dalam
persekitaran yang selamat.
Secara amnya, pengajaran mikro membekal dan
memperkenalkan guru pelatih secara ansur maju akan aktiviti simulasi pengajaran
yang kompleks berkait rapat dengan situasi sebenar dalam bilik darjah. Dalam pengajaran mikro, anda akan dikehendaki
memfokus kepada kemahiran pengajaran khusus yang telah dikenal pasti oleh anda
dan pensyarah anda. Maklum balas dimantapkan dengan menonton kembali rakaman video dan komen-komen dalam borang
penyeliaan bagi setiap kemahiran pengajaran.Sebagaimana yang dibayangkan oleh
istilah tersebut, pengajaran mikro adalah ‘mikro’ dikecilkan dalam tiga cara:
·
Saiz
kelas – jumlah pelajar hanya 5-10 orang;
·
Jangka masa pengajaran –
boleh jadi sependek 5-10 minit; dan
·
Hanya berfokus
pada satu kemahiran mengajar pada satu-satu masa
4.2.2 Proses
Pengajaran Mikro
(Allen & Ryan dalam Brown, 1987).
Setiap
kitaran ditumpukan kepada latihan dalam suatu komponen kemahiran seperti set
induksi dan penutup (permulaan dan pengakhiran segmen pengajaran), penyoalan
yang berkesan, peneguhan pelajar dan penglibatan pelajar. Rajah 4.1 menunjukkan proses pengajaran mikro yang digunakan secara
meluas dalam institusi latihan perguruan di seluruh dunia.
|
Rajah 4.1
Proses Pengajaran Mikro
Peringkat Merancang
Sebelum
memulakan pengajaran mikro, kuliah tentang konsep-konsep pengajaran mikro,
kemahiran-kemahiran pedagogi, sesi rakaman video, cara pemerhatian dan maklum
balas sebaya dan penggunaan borang maklum balas akan dilakukan oleh pensyarah. Pensyarah
mungkin menggunakan contoh rakaman video yang menunjukkan satu contoh sesi
pengajaran mikro untuk sesi perbincangan kemahiran pedagogi yang dijadikan
fokus serta latihan mengisi borang maklum balas rakan sebaya. Selepas itu, pensyarah dan guru pelatih
berbincang tentang kekuatan dan kelemahan yang dapat dikesan daripada
pemerhatian tersebut.
Selepas
itu, pensyarah mengenal pasti guru pelatih dan menentukan kemahiran-kemahiran
pedagogi yang perlu dijadikan fokus untuk mengendalikan satu sesi pengajaran
mikro. Setiap pelatih akan dibimbing
untuk membuat persediaan perancangan pengajaran.
Peringkat Pelaksanaan
Sebagai
guru pelatih, anda dinasihatkan
memulakan sesi pengajaran mikro dengan menyatakan objektif pengajaran
yang hendak diajar. Ini diikuti dengan
persembahan pengajaran dengan berfokus pada satu kemahiran yang telah dikenal pasti. Seramai 8-10 orang guru pelatih akan berlakon
sebagai murid-murid mengikut tahap umur seperti yang dijelaskan dalam RPH. Cuba
pastikan murid-murid anda mengambil bahagian yang aktif sepanjang sesi
pengajaran. Guru pelatih yang lain akan
berada di sudut tepi/ bilik khas untuk membuat pemerhatian serta mengisi borang
maklum balas. Sewaktu seorang guru
pelatih mengajar, gangguan luar tidak seharusnya berlaku. Guru pelatih yang
menjadi pemerhati harus peka kepada komponen-komponen kemahiran pedagogi yang
dijadikan fokus di samping mencari kekuatan dan kelemahan untuk dibincangkan kemudian.
Peringkat Maklum Balas
Pada
peringkat ini, pensyarah menjadi fasilitator semasa maklum balas diberi kepada
guru pelatih berkenaan. Berdasarkan
borang maklum balas dan tayangan rakaman video, pendapat dan pandangan untuk
mengatasi atau menambahbaik masalah/kelemahan akan dikemukakan dan
dibincangkan. Semasa maklum balas
diberikan, semua pihak perlu kekalkan suasana perbincangan positif dan
konstruktif supaya tidak ada mana-mana pihak yang merasa kecewa hasil daripada
maklum balas tersebut.
Peringkat
Perancangan Semula
Selepas
sesi maklum balas, guru pelatih berkenaan akan membuat perancangan semula
berdasarkan ulasan dan komen-komen yang diberi oleh rakan sebaya dan
pensyarahnya. Sama ada guru pelatih akan
mengajar semula sesi pengajaran mikro bergantung kepada hasil penilaian
terhadap prestasinya. Selepas
perancangan semula guru pelatih boleh melaksanakannya sekali lagi untuk
memastikan dia benar-benar menguasai kemahiran pedagogi yang dijadikan fokus
tadi.
4.2.3 Perbezaan
Antara Pengajaran Mikro Dan Pengajaran Makro
Pengajaran Mikro
·
5-10 orang murid
·
5-10 minit
·
satu kemahiran
·
satu konsep
|
Pengajaran Makro
·
30-40 orang murid
·
30-40 minit
·
pelbagai kemahiran
·
pelbagai konsep
|
Rajah
4.2. Ciri-ciri perbezaan antara
pengajaran mikro dan makro.
Pengajaran mikro
adalah proses pengajaran yang dijalankan dalam unit kecil sebagai simulasi
kepada guru pelatih. Pengajaran mikro bertujuan untuk mengurangkan masalah-masalah
yang mungkin timbul semasa pengajaran makro dijalankan. Ciri-ciri, proses dan
kepentingan pengajaran mikro telahpun dibincangkan dalam bahagian di atas. Untuk
mendapatkan kefahaman tentang persamaan dan perbezaan antara pengajaran mikro
dan makro, kita seterusnya meninjau secara ringkas konsep pengajaran makro.
Pengajaran makro
merupakan satu sesi pengajaran yang lengkap bermula dari set induksi,
perkembangan hingga ke penutup. Ia merupakan simulasi
satu pengajaran yang lengkap kepada satu kelas biasa. Pengajaran makro boleh
dikendalikan dalam bilik darjah biasa ataupun dalam makmal pengajaran mikro. Pelaksanaannya mengandungi ciri-ciri berikut; dilakukan dalam
bilik darjah, guru (guru
pelatih) mengajar satu sesi pengajaran yang lengkap, bertumpu kepada pelbagai
kemahiran mengajar, seramai 3-5 orang rakan pelatih
berperanan sebagai pemerhati, dan yang lain berperanan sebagai murid. Jangkamasa yang ditentukan dalam pengajaran makro
adalah berdasarkan satu sesi
pengajaran yang lengkap yang
mungkin memakan masa selama antara 30 hingga 40 minit. Pengajaran makro merupakan kesepaduan pelbagai kemahiran
pedagogi dalam pengajaran mikro berdasarkan perancangan pengajaran harian yang
disediakan oleh guru. Ianya bertujuan membantu guru pelatih membiasakan diri
melaksanakan pelbagai kemahiran dalam satu sesi pengajaran, di samping mereka
dapat memperbaiki kelemahan sebelum mereka menghadapi situasi pengajaran
sebenar di bilik darjah di sekolah.
4.3 Kemahiran –Kemahiran
Asas Pengajaran Mikro
Antara kemahiran pengajaran yang terangkum dalam pengajaran mikro dan
penilaian ialah :
·
set induksi,
·
penggunaan papan tulis
·
variasi rangsangan
·
penyoalan
·
peneguhan
·
Penerangan dengan menggunakan bahan bantu mengajar, contoh dan ilustrasi
·
penutup
Dalam bahagian berikutnya,
kita akan meneliti setiap lapan kemahiran pengajaran yang dinyatakan di atas
dan juga membekalkan contoh borang penyeliaan bagi setiap kemahiran tersebut.
a) Set Induksi
Sekarang mari kita meneliti kemahiran pengajaran mikro
yang pertama, iaitu set induksi. Kemahiran ini merujuk kepada cara guru
memulakan sesi pengajaran dan pembelajarannya. Set induksi digunakan untuk memperkenalkan
sesuatu pengajaran atau topik baru dalam suatu pengajaran yang dapat menarik
minat murid terhadap apa yang akan diajar seterusnya. Set induksi juga digunakan untuk membantu
mengenal pasti apa yang sudah diketahui dan menghubungkaitkannya dengan apa
yang akan menyusul kemudian.
Antara objektif penggunaan set induksi adalah seperti
berikut:
·
Menimbulkan
minat murid kepada apa yang akan dipelajari
·
Mewujudkan
kerangka rujukan sebelum dan semasa sesuatu sesi pengajaran
·
Membuat
perkaitan antara apa yang sudah diketahui dengan konsep atau maklumat baharu di
luar pengalaman murid; dan
·
Merangsang
kesediaan belajar murid.
Sebenarnya set induksi boleh
digunakan:
·
Pada permulaan pengajaran
·
Semasa menukar topik;
·
Sebelum sesi soal-jawab;
·
Sebelum perbincangan panel;
dan
·
Sebelum tayangan filem, klip
video, atau bentuk multimedia yang lain
Komponen-komponen dalam set
induksi mengandungi elemen berikut:
·
Menarik
perhatian – ini akan tercapai jika anda ingin mencuba sesuatu yang baru setiap
kali. Jika anda gunakan ‘muslihat’ yang sama setiap kali, murid anda akan jemu
terutama apabila mereka boleh teka bagaimana anda akan memulakan pengajaran
anda setiap kali anda memasuki kelas.
·
Mewujudkan
motivasi – semasa perkembangan pengajaran, murid lemah berkemungkinan hilang
tumpuan mereka; berceritalah atau tanyalah soalan yang merangsang dan relevan dan
lihat kesannya.
·
Perkaitan
Kognitif – ada kalanya murid gagal melihat keseluruhan bahan pengajaran yang
sedang disampaikan; tetapi sekiranya murid-murid dapat mengaitkan bahan
pengajaran dengan pengalaman lampau dan baru atau mungkin dengan isu semasa, ini dapat menjadi ‘mukjizat’, dan
·
Menstruktur
– murid memerlukan hala tuju agar dapat memahami apa yang sedang diajar. Oleh
itu, adalah penting sekiranya aktiviti dan tugasan yang ingin dicapai
dijelaskan terlebih dahulu.
b) Penggunaan
Papan Tulis
Kemahiran kedua pengajaran mikro ialah penggunaan papan tulis. Papan tulis
merupakan alat bantu mengajar yang paling tua dan paling kerap digunakan guru
untuk menyampaikan sesuatu idea atau konsep dalam bentuk visual. Maklumat
dicatat dengan teratur untuk menambahkan keberkesanan pengajaran. Penggunaan papan tulis secara cekap
memudahkan murid membentuk persepsi yang jelas dan menyeluruh di samping
menarik minat murid mengikuti pelajarannya.
Objektif penggunaan papan tulis adalah seperti berikut:
·
Membantu
guru memperjelaskan sesuatu fakta/konsep/idea yang abstrak secara tersusun.
·
Memudahkan
murid membuat nota dengan berkesan.
·
Untuk guru
mendemonstrasikan langkah-langkah penyelesaian masalah secara sistematik
(contohnya langkah-langkah penyelesaian masalah matematik).
·
Memberi
peluang interaktif kepada murid-murid tampil ke hadapan untuk menulis,
menyelesai masalah atau melakarkan sesuatu idea.
Komponen utama dalam kemahiran penggunaan papan tulis adalah:
·
Kejelasan – saiz tulisan
dan gambar rajah yang sesuai, jarak antara
huruf dan perkataan yang
sesuai, tulisan yang kemas dan
lurus;
·
Susunan - penggunaan ruang, penyusunan
perkataan dan ayat;
·
Penonjolan atau penekanan – penggunaan pen marker berwarna,
menggaris
dan melakar
·
Teknik persembahan – jelas, tepat dan relevan
Maklumat yang relevan
sahaja dikekalkan, penulisan lain perlu dipadamkan untuk memudahkan
pembelajaran sesuatu konsep atau idea.
Semasa menulis di papan tulis, pastikan ketepatan dari segi penggunaan
ejaan, tanda baca dan kosa kata.
c) Variasi
Rangsangan
Kemahiran
pengajaran mikro yang ketiga yang akan kita pelajari ialah variasi rangsangan. Kemahiran ini merujuk kepada cara guru
mempelbagaikan teknik pengajarannya agar murid dapat mengekalkan minat dan
tumpuan kepada perkara yang sedang dipelajari. Murid-murid di peringkat sekolah
rendah mempunyai tempoh penumpuan yang
singkat (antara 15-20 minit). Kepelbagaian (variasi) rangsangan perlu digunakan
oleh guru untuk mengekalkan perhatian mereka.
Objektif penggunaan variasi rangsangan adalah seperti
berikut:
·
Menimbulkan minat dan mengekalkan perhatian
murid
·
Menambahkan
peluang penggunaan pelbagai deria dalam proses pembelajaran murid
·
Melibatkan murid secara aktif dalam
pengalaman pembelajarannya
·
Memberi
peluang kepada murid memenuhi naluri ingin tahuna melalui aktiviti inkuiri/
induktif
Guru boleh pelbagaikan penyampaian pengajarannya melalui
teknik/cara seperti:
·
pergerakan guru memanafaatkan ruang secara sistematik,
elakkan pengajaran dari satu sudut bilik darjah sahaja,
·
penggunaan isyarat badan yang positif,
·
penggunaan bahasa lisan dan bukan lisan yang
tidak bercanggah dengan mesej yang ingin disampaikan,
·
perubahan dalam pola kelajuan pertuturan,
·
perubahan dalam fokus deria, dan
·
mengatur aktiviti untuk melibatkan murid
secara fizikal.
Variasi sebegini membantu murid mengekalkan perhatian
mereka, menghilangkan kebosanan dan menimbulkan rasa ingin tahu yang tinggi.
d) Penyoalan
Satu lagi kemahiran
pengajaran mikro ialah kemahiran penyoalan.
Penyoalan merupakan salah satu strategi pengajaran yang tidak kompleks
serta paling berkesan untuk guru mendapatkan maklum balas tentang aras
kefahaman murid-murid terhadap apa yang dipelajari. Kemahiran penyoalan ada kaitan dengan
keupayaan seseorang dalam menggunakan
soalan aras rendah dan aras tinggi.
Kemahiran ini termasuk juga kebolehan seseorang dalam bertanyakan
pelbagai soalan susulan.
Antara objektif penyoalan adalah untuk:
·
menggalakkan murid berfikir
secara kritis dan kreatif
·
mendapatkan maklum balas
tentang tahap kefahaman murid
·
merangsang penglibatan murid
dalam perbincangan
·
mewujudkan suasana mesra dan
interaksi guru-murid
·
meningkatkan proses kognitif
dan metakognitif
·
menarik minat dan rasa ingin
tahu murid
·
mengawal perlakuan pelajar
Kebolehan guru mengenal
pasti aras soalan akan membantunya menyeimbangkan penggunaan aras soalan tinggi
dan rendah. Keseimbangan 40:60 atau
50:50 soalan fakta (Ya/Tidak & Jawapan Pendek) dengan soalan beraras tinggi
(Banding beza & Pendapat) adalah munasabah bagi sesuatu sesi
pengajaran. Selepas guru mengajukan
soalan, guru harus memberi masa yang cukup untuk pelajar berfikir tentang
soalan sebelum memberi respons. Amalan hentian antara 3 - 5 saat merupakan masa
hentian yang munasabah untuk murid memikirkan jawapan sebelum memberi respons.
Jika respons murid
kurang memuaskan, guru boleh gunakan soalan susulan yang mencungkil (follow-up
prompts), mengubahsuai soalan yang
terlampau susah untuk dijawab oleh murid kepada bentuk yang lebih mudah. Soalan susulan
yang meneroka (follow-up probes)meminta
murid-murid untuk memberi penerangan lanjutan untuk jawapan yang kurang jelas,
dan susulan alih hala(follow-up redirection) mengalihkan
respons pelajar kepada murid-murid yang
lain dalam kelas untuk diberi komen dan diperbincangkan.
Guru perlu
mengambil kira tahap umur, jantina, tahap kebolehan dan minat murid semasa
membentuk contoh-contoh soalan untuk digunakan dalam pengajaran kelas. Pastikan taburan soalan merangkumi
keseluruhan kelas. Komponen-komponen kemahiran
penyoalan yang perlu diberi fokus termasuk:
·
Pembentukan soalan yang jelas, tepat dan
ringkas
·
Fokus kepada satu idea
·
Hentian
·
Mencungkil
·
Alih hala soalan
·
Melayani jawapan dengan baik
·
Memberi petunjuk untuk membantu murid
menjawab
Menyebarkan soalan-soalan ke seluruh kelas
e) Kemahiran
Peneguhan
Pernahkah anda
dipuji kerana melakukan sesuatu yang baik?
Apa perasaan anda? Sudah tentu anda berasa amat gembira dan ingin
mengulangi perlakuan tersebut. Pujian
yang anda terima itu disebut sebagai peneguhan. Ahli psikologi pendidikan mendefinisikan
peneguhan sebagai sebarang kesan yang memperkukuh atau menambahkan kekerapan
sesuatu tingkah laku.
Sebagai seorang
guru, saya percaya anda pernah menggunakan peneguhan dalam pengajaran dan
pembelajaran anda. Kemahiran
peneguhan merujuk kepada cara guru memperkukuhkan pengetahuan dan kemahiran
yang telah dikuasai oleh pelajar. Dalam
pengajaran mikro, peneguhan merupakan salah satu komponen kemahiran yang perlu
dipraktikkan untuk menggalakkan tingkah laku positif pelajar.
Peneguhan yang
dipilih untuk digunakan oleh guru boleh berbentuk ganjaran nyata (sticker,
pensil, coklat) atau berbentuk sosial (senyuman, anggukan kepala) atau
berbentuk aktiviti (guna komputer, baca buku cerita, berdiri di hadapan
barisan).
Peneguhan yang
diberi harus dapat memotivasi atau memberi galakan kepada pelajar pencapaian
rendah untuk berusaha dengan lebih giat lagi.Di samping itu, ia juga membantu
dalam meningkatkan konsep kendiri pelajar dan seterusnya membantu dalam
peningkatan keyakinan pelajar.
Antara objektif pemberian peneguhan adalah
untuk:
·
Menarik perhatian murid
·
Menggalakkan murid berusaha lebih giat lagi
·
Meningkatkan pencapaian murid
·
Memperbaiki disiplin murid
·
Meningkatkan keyakinan murid
Komponen-komponen
yang terkandung dalam kemahiran peneguhan adalah sepertI:
·
Lisan
positif – bentuk kata seperti baik, betul, ya.
- Gerak isyarat positif – termasuk
senyuman, anggukan, menepuk tangan;
- Dampingan – mendekati, berdiri di sebelah
atau duduk di sisi murid,
- Sentuhan – menyentuh kepala atau bahu, berjabat
tangan, “high-five”
- * Lisan negatif – “oooi!,” “salah,” “malas”
·
* Gerak isyarat negatif –
mengeleng kepala, merenung secara marah, mencangkuk tangan atas pinggang, dan
sebagainya
* Mungkin digunakan oleh guru tanpa disedari
dan harus mengelakkan tindakan
seperti
ini.
a)
Kemahiran Menerang Dengan Menggunakan Bahan Bantu Mengajar, Contoh Dan Ilustrasi
Yang Sesuai
Kemahiran
menerang dengan menggunakan contoh, bahan bantu mengajar dan ilustrasi
merupakan kemahiran pengajaran mikro yang merangkumi pemilihan arahan permulaan
yang sesuai, penyusunan isi kandungan secara teratur pada peringkat
perkembangan pengajaran, penggunaan sumber atau ilustrasi yang sesuaiserta mendapatkan
maklumbalas murid.
Semasa
menggunakan kemahiran menerang, guru boleh menerangkan sesuatu isi pelajaran
atau konsep dengan memberi contoh-contoh yang sesuai sambil mempamerkan
gambar-gambar, membuat demonstrasi, menayangkan klip video ataupun menggunakan
ilustrasi lain yang bersesuaian.
Penerangan sesuatu konsep yang abstrak boleh juga diperjelaskan melalui
ilustrasi yang lebih konkrit seperti
analogi, perumpamaan ataupun cerita-cerita yang dikaitkan dengan
kehidupan harian murid.
Antara objektif penggunaan kemahiran menerang
adalah untuk:
·
Menyampaikan isi pelajaran dengan jelas dan
sistematik
·
Membantu murid membuat penanggapan yang lebih
tepat berkaitan konsep yang dipelajari
·
Meningkatkan penumpuan murid terhadap
pelajaran
·
Memberi pengalaman yang seakan-akan sebenar
Jadual 4.10
menunjukkan empat komponen utama, iaitu aras permulaan, kemahiran
ilustrasi/contoh/alat pandang dengar, penyusunan idea dan kesimpulan. Sila semak senarai berikut dan tandakan aspek
yang anda biasa lakukan. Anda bolehlah
mencuba kemahiran-kemahiran yang anda belum pernah lakukan apabila anda
mengajar di bilik darjah nanti.
a)
Kemahiran
Penutup
Kemahiran penutup merujuk
kepada penumpuan perhatian kepada penyelesaian sesuatu tugas atau aktiviti
pengajaran dan pembelajaran.Ia merupakan bahagian terakhir sesuatu
pelajaran. Guru merumuskan sesuatu
pengajaran, mengambil langkah-langkah untuk memastikan murid-murid dapat
memahami serta dapat membuat perkaitan dengan apa yang telah diajar. Ia juga bertujuan
untuk mengukuhkan pembelajaran murid-murid supaya mereka dapat bersedia untuk
membuat pemindahan pembelajaran. Penilaian pencapaian dan aktiviti susulan
boleh juga diberikan kepada pelajar pada bahagian penutup ini.
Terdapat dua jenis penutup
dalam pengajaran, iaitu penutup kognitif dan penutup sosial. Penutup kognitif digunakan dengan tujuan
memperkukuhkan perkara yang telah dipelajari dengan caramemberi kesimpulan atau
mengulas isi-isi penting. Manakala penutup sosial pula bertujuan untuk memberikan
sesuatu perasaan kejayaan atau kepuasan kepada murid-murid.
Komponen-komponen kemahiran penutup terdiri
daripada
·
penutup kogntif
·
penutup sosial
4.2.4 Penilaian
Pensyarah/Rakan Sebaya/Kendiri Dalam Pengajaran Mikro
Format persediaan rancangan
mengajar untuk pengajaran mikro adalah sama dengan persediaan RPH untuk
pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah biasa (Rujuk Jadual 4.2 dan Jadual 4.3). Perbezaannya
adalah dalam pengajaran mikro,guru pelatih hanya memfokuskan kepada satu
kemahiran pengajaran sahaja untuk dilaksanakan.
Tujuan pelaksanaan
pengajaran mikro adalah untuk memberi peluang kepada guru pelatih mempraktikkan
kemahiran mengajar di hadapan rakan sebaya dan pensyarah dengan memfokuskan
kepada kemahiran mengajar tertentu dalam persekitaran yang terangkum. Maklum balas diperolehi daripada
Borang-borang Penyeliaan Kemahiran Mikro (diisi oleh rakan sebaya) dan tontonan
rakaman video.
Pensyarah selaku
fasilitator bersama-sama guru pelatih mendiagnos kekuatan dan kelemahan sesi
pengajaran mikro tersebut serta mengemukakan cadangan-cadangan konstruktif
untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan yang dikenal pasti.
Banyak
kajian menunjukkan kemahiran mengajar guru merupakan penentu utama terhadap
pencapaian akademik murid (contohnya, Creemers, 1994; Doyle, 1986; Muijs &
Reynolds, 2010, Anuar et al., 2009).
Pengajaran yang berkesan seringkali dikaitkan keupayaan guru untuk
menyusun peluang pembelajaran optimum yang melibatkan kemahiran-kemahiran
seperti pengurusan rutin bilik darjah, kemahiran penyoalan dan memberi maklum
balas, penggunaan rangsangan dan peneguhan serta kemahiran bukan lisan
yang positif. Selain amalan pengajaran mikro, amalan-amalan
seperti:
·
pemerhatian pengajaran guru yang berpengalaman
·
pengajaran berpasangan
·
penganalisisan kendiri rakaman audio/video
·
penulisan refleksi pengajaran
dapat
membantu meningkatkan kemahiran pengajaran. Melalui penyediaan perancangan,
latihan yang cukup berserta dengan maklum balas daripada mentor dan rakan
sebaya, seseorang guru pelatih dapat membina keyakinan untuk menjadi seorang
guru permulaan yang kompeten.
No comments:
Post a Comment