Sumber
Bahan Pengajaran Dan Pembelajaran
PENDAHULUAN
Menyedari akan hakikat bahawa Islam
itu merangkumi keseluruhan cara hidup dan amalan setiap detik bagi seorang
muslim, maka Pendidikan Islam menekankan aspek ilmu, amalan dan penghayatan.
Murid diberi pengetahuan dan kefahaman yang mendalam serta mencukupi tentang
pelbagai persoalan dan isu kehidupan yang luas bagi mencorak dan mempengaruhi
budaya serta cara hidup masyarakat dan umat Islam. Pengajaran dan pembelajaran
Pendidikan Islam KBSM ini, hendaklah diajar dengan tulisan Jawi. Bidang-bidang
pembelajaran hendaklah diolah dan disampaikan dengan berkesan melalui cara yang
lebih menarik dan sentiasa dikaitkan dengan pelbagai aspek ilmu dan amalan yang
dapat diaplikasikan dalam kehidupan secara meluas, mampu mengubah dan
membangunkan diri sendiri serta masyarakat yang mempunyai daya fikir yang
cemerlang, berakhlak mulia, bersefahaman, bersyukur dan bersatu padu.
Pengolahan yang demikian rupa hendaknya mampu menghasilkan tamadun ummah yang
tinggi serta dapat memberi sumbangan terhadap pembangunan dan kesejahteraan
negara. Nilai-nilai daripada mata pelajaran lain seperti Sains, Geografi,
Sejarah dan Matematik juga perlulah direntas supaya wujud kesepaduan daripada
pelbagai ilmu yang diperolehi di sekolah menengah. Melalui pendekatan ini,
cita-cita untuk melahirkan insan harmonis, seimbang dan bertaqwa akan tercapai.
Matlamat Pendidikan Islam adalah
untuk menghasilkan muslim yang berilmu, beriman, berketerampilan, beramal
soleh, beradab dan berakhlak mulia berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah sebagai
hamba dan khalifah Allah yang bertaqwa dan menyumbang kepada tamadun bangsa dan
negara.
Islam tidak pernah meminggirkan
teknologi dan perkembangan terkini untuk menghasilkan kaedah pendidikan yang
terbaik. Walau bagaimanapun, kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) yang
diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. perlu dijadikan asas dan rujukan. Ini kerana
Baginda s.a.w. merupakan model terbaik yang mengajak umat Islam mengamalkan
ajaran Islam dan akhlak Islamiyyah.
Tidak dinafikan kejayaan P&P
Pendidikan Islam berkait rapat dengan kemahiran dan peranan guru yang berkesan.
Kemahiran asas P&P yang perlu dikuasai meliputi penyediaan Bahan Bantu
Mengajar (BBM), mengendalikan set induksi, penerapan Kemahiran Berfikir Secara
Kreatif dan Kritis (KBKK), kemahiran menyoal dan pengendalian kelas untuk
pengayaan dan pemulihan.
Kepentingan Pendidikan Islam
merangkumi aspek pembacaan, pemahaman, dan hafazan ayat al–Quran, akidah,
ibadat, akhlak Islamiyyah, sirah, tokoh dan tamadun Islam. Penguasaan dan
penghayatan keseluruhan aspek ini mampu membentuk pelajar menjadi insan soleh.
(a)
DEFINISI
Sumber
bahan pengajaran dan pembelajaran ialah apa-apa sahaja alat atau bahan yang
berperanan dan bertugas untuk membantu guru-guru supaya dapat menyampaikan isi
pelajaran supaya pelajar dapat memperolehi pengetahuan, kemahiran, sikap dan
nilai berdasarkan objektif kurikulum. Alat-alat atau bahan-bahan ini dapat
membantu guru dengan menyokong penyampaian pelajaran. Terdapat beberapa jenis
sumber atau alat yang boleh membantu dalam pengajaran guru. Jenis-jenis
alat tersebut ialah bahan bercetak, bahan
teknologi maklumat dan bahan maujud.
Semua
sumber P&P yang digunakan ini mempunyai beberapa tujuan selain daripada
menyampaikan isi pelajaran sahaja. Antara tujuan tersebut ialah untuk
merangsang deria rangsangan murid-murid, kefahaman dan interpretasi maklumat
kepada murid-murid, pengekalan minat dan tumpuan melalui pelbagai media,
peningkatan daya ingatan, kemahiran berfikir, peningkatan motivasi, peningkatan
kreativiti, keseronokan dalam pembelajaran, kemahiran interpersonal dan
intrapersonal dan akhir sekali kemahiran psikomotor.
Guru-guru
perlu tahu menggunakan sumber ini mengikut kesesuian murid-murid dari segi
tajuk, objektif, dan isi pelajaran. Selain itu aspek tahap kebolehan dan
perkembangan kognitif pelajar juga harus diambil perhatian oleh guru. Sumber
pengajaran yang digunakan juga harus menepati keperluan murid iaitu dari segi
mutunya iaitu sesuai dengan mesej, tahan lasak serta tidak mudah rosak.
Penghasilan sumber ini harus dapat menarik minat dan perhatian pelajar. Ini
adalah bertujuan supaya dapat merangsang dan memotivasikan pelajar untuk
memberi lebih perhatian kepada proses pengajaran tersebut sekaligus menjadikan
proses pembelajaran menjadi lebih efektif serta berkesan.
Sumber-Sumber Pendidikan Islam merupakan asas dan
prinsip utama di dalam menentukan dasar dan hala tuju Pendidikan Islam. Sumber
utama Pendidikan Islam adalah satu sahaja iaitu wahyu Ilahi. Sementara wahyu
Ilahi pula terbahagi kepada dua iaitu Al-Quranul Karim dan Hadis Sahih.
Sementara itu di sana ada satu lagi sumber Pendidikan Islam yang menjadi
rujukan umat Islam iaitu Ijmak Ulamak dan Qias yang berlandaskan wahyu Ilahi
iaitu Al-Quran dan al-Sunnah.
PEMILIHAN
DAN PENILAIAN SUMBER
Pemilihan
sumber dalam proses pengajaran dan pembelajaran merujuk kepada penggunaan bahan
bantu mengajar yang sesuai. Penggunaan bahan bantu mengajar memainkan peranan
yang penting dalam usaha membentuk konsep yang tepat daripada isi pelajaran
yang sedang disampaikan dengan menggunakan prinsip pengajaran daripada konkrit
kepada abstrak. Perlu diingatkan bahawa sumber pelajaran tidak terhad kepada
buku teks, kapur dan papan tulis sahaja. Sumber pelajar juga boleh termasuklah
carta, gambarajah, bahan-bahan konkrit, TV, model, spesimen dan sebagainya.
Dengan pemilihan sumber yang sesuai aktiviti pengajaran dan pembelajaran akan
menjadi lebih seronok dan berkesan.
JENIS-JENIS
SUMBER
Terdapat
beberapa jenis sumber atau alat bantu pengajaran dan pembelajaran yang boleh
digunakan untuk membantu guru dalam proses pembelajaran. Dalam tugasan ini
jenis-jenis sumber pengajaran dan pembelajaran yang terlibat ialah bahan
bercetak, bahan teknologi maklumat dan bahan maujud. Semua jenis-jenis bahan
ini mempunyai ciri-ciri yang berbeza tetapi akan mencapai hasil yang sama iaitu
untuk memastikan murid-murid memahami isi-isi pelajaran serta mencapai objektif
pembelajaran.
Melalui
sumber-sumber yang sedia ada mahupun
yang direkacipta mengikut kreativiti sendiri, guru perlu peka dalam memilih
sumber P&P yang hendak digunakan dalam proses pembelajaran. Terdapat banyak
sumber-sumber yang boleh digunakan oleh guru-guru yang mengajar. Antara
bahan-bahan yang boleh digunakan ialah buku teks, buku rujukan, buku latihan
dan lampiran nota. Kebanyakan sumber ini biasa digunakan oleh guru-guru di
sekolah. Untuk memberi kelainan atau penambahan yang lebih menarik kepada
proses P&P, guru boleh menggunakan alat audio visual contohnya LCD, peta,
komputer, gambar rajah dan televisyen.
JENIS-JENIS SUMBER
Menerusi
penggunaan bahan-bahan ini, murid-murid akan lebih tertarik untuk melihat serta
mendengar apa yang hendak disampaikan oleh guru dan secara tidak langsung murid
dapat memberikan tumpuan dengan sepenuhnya kepada guru. Dengan cara ini juga, objektif yang hendak dicapai akan
menjadi lebih mudah untuk dilaksanakan dan hasilnya akan lebih memuaskan serta
memberi manfaat kepada kedua belah pihak iaitu murid-murid dan guru itu sendiri.
SUMBER BAHAN BERCETAK
Bahan
bercetak boleh didefinisikan sebagai bahan yang mempunyai tulisan dan wujud
secara fizikal. Bahan ini boleh disentuh dan boleh dibaca secara terus. Ciri
penting pada bahan bercetak ialah ianya mestilah dihasilkan melalui cetakan dan
bukan hasil daripada tulisan tangan mana-mana individu. Bahan bercetak meliputi
buku, majalah, jurnal, ensiklopedia, surat khabar, kad katalog, kamus, buku
teks dan sebagainya yang dihasilkan secara bercetak. Bahan bercetak seperti ini
banyak disimpan di pusat sumber atau di perpustakaan ataupun di arkib. Semuanya
dihasilkan oleh penulis-penulis atau pereka-pereka yang mahir dan terkenal di
bidang masing-masing.
Sumber
pengajaran dan pembelajaran ini telah digunakan secara meluas oleh guru-guru di
sekolah sejak beberapa lama kerana kelebihan yang terdapat pada bahan ini.
Bahan ini murah dan senang didapati di mana-mana. Selain itu ia adalah bahan
yang kekal dan mudah dirujuk pada bila-bila masa. Kelebihannya yang lain ialah
ia mudah alih dan mudah diakses yang menyebabkan ia menjadi sumber pengajaran
dan pembelajaran yang terkenal dan selalu digunakan.
Namun
begitu terdapat beberapa kelemahan yang ada pada bahan bercetak ini.
Kebiasaaannya bahan bercetak selalu didapati dalam bentuk buku yang tebal
contohnya buku teks. Jadi ia sukar untuk dibawa kerana berat. Ia juga tidak
boleh disunting dan akan menjadi masalah apabila berlakunya peredaran zaman di
mana isi kandungan buku tersebut menjadi ketinggalan dan tidak terkini. Ini
kerana buku-buku selalunya perlu disunting terlebih dahulu kemudian dicetak
seterusnya diedar di mana ia mengambil masa yang agak lama untuk mengikut
peredaran zaman.
SUMBER BAHAN TEKNOLOGI MAKLUMAT
Bahan
teknologi maklumat merupakan sumber pengajaran dan pembelajaran yang semestinya
mendapat perhatian daripada murid-murid. Teknologi Maklumat (Information
Technology) ataupun IT adalah teknologi dunia yang terkini dan dapat memberi
banyak manfaat jika digunakan secara betul. Penggunaan sumber ini perlulah
dikendalikan oleh guru yang berkemahiran kerana pengguanaan IT secara terancang
dan bersesuaian dapat meningkatkan kecekapan proses dan keberkesanan P&P
itu.
Bagi
guru yang menggunakan sumber P&P ini, mereka boleh menggunakan portal
pendidikan, internet dan intranet, rangkaian LAN dan akhir sekali ialah
multimedia. Komputer adalah alat atau bahan utama yang perlu digunakan oleh
guru untuk menyampaikan isi pelajaran dalam proses P&P. Pada masa kini
guru-guru sudah mempunyai kemudahan kerana terdapat perisian-perisian yang
percuma disediakan oleh kerajaan di mana isi perisian tersebut bertepatan
dengan sukatan pelajaran yang sedia ada. Banyak kelebihan bahan ini di mana
jika ia digunakan secara betul jadi guru perlu selalu memantau pergerakan
murid-murid semasa proses P&P sedang berlangsung.
Kelebihan
bahan ini ialah murid-murid cepat mudah faham kerana mereka akan tertarik
dengan grafik yang ada pada bahan ini di mana secara tidak langsung telah
menarik perhatian mereka. Selain itu murid-murid mudah untuk mengulangkaji apa
yang telah dipelajari dan guru juga mudah untuk membuat suntingan sekiranya
guru mendapati terdapat perubahan yang perlu dibuat. Secara keseluruhannya
penggunaan bahan teknologi maklumat ini adalah banyak kelebihannya berbanding
kelemahan yang ada dan dengan bimbingan daripada guru. Walaubagaimanapun tidak
dinafikan kelemahan yang mungkin timbul tetapi ia akan dapat diatasi dengan
mudah sekiranya pengisian yang menarik daripada guru dihasilkan.
SUMBER BAHAN MAUJUD
Sumber
pengajaran dan pembelajaran bahan maujud adalah merupakan bahan konkrit atau
bahan sebenar yang boleh disentuh dan dipegang. Bahan maujud ini juga adalah
nyata yang ada di lingkungan alam, baik digunakan dalam keadaan hidup ataupun
yang sudah diawetkan. Contoh bahan maujud bukan sahaja tergolong dalam sumber
P&P sahaja malah kota atau bangunan yang kekal serta alam persekitaran juga
boleh dikatakan sebagai bahan maujud. Manakala dari segi sumber P&P pula bahan-bahan yang mungkin terlibat ialah
alat komputer, OHP, alat tulis dan perkakas sains.
Bahan
maujud terbahagi pula kepada 3 jenis iaitu realia asli, realia awet dan
spesimen. Realia asli terbahagi kepada dua iaitu bahan yang hidup dan bahan
bukan hidup. Bahan yang pertama ialah bahan hidup yang sebenar dalam dunia
realiti dan masih hidup contohnya cacing tanah. Manakala bahan bukan hidup pula
ialah seperti jentera ataupun bangunan. Realia awet pula mestilah berasal
daripada benda hidup yang kemudiannya diawet dan disimpan di dalam bendalir
kimia. Jenis bahan maujud yang ketiga ialah spesimen.
Spesimen
ialah sample atau contoh hidupan yang dapat mewakili kumpulan hidup-hidupan
tertentu yang mempunyai sifat-sifat atau ciri-ciri yang lazimnya terdapat pada
kumpulan hidup tersebut. Kebiasaanya spesimen selalu didapati dalam bentuk
bahan awetan. Contoh bahan hidup yang boleh dijadikan spesimen ialah daun-daun.
Aplikasi penggunaan bahan maujud boleh menggunakan situasi, gambaran atau
kenyataan sebenar. Murid akan didedahkan dengan pengalaman sebenar di mana
melibatkan pengalaman sedia ada mereka dan juga merangsang penggunaan deria penglihatan,
pendengaran, rasa, sentuhan dan bauan murid-murid.
KRITERIA DALAM PEMILIHAN DAN PENILAIAN
SUMBER PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Dalam
melaksanakan pengajaran, guru sentiasa dikehendaki mengintegrasikan kemahiran-kemahiran
generik seperti kemahiran belajar, kemahiran berfikir kreatif dan kritis,
kemahiran teknologi maklumat dan kemahiran mentaksir dan menilai, supaya
dikuasai oleh pelajar. Bagi mengendalikan pembelajaran berpusatkan pelajar dan
berdaya fikir guru perlu menggunakan teknik-teknik pengurusan pembelajaran yang
sesuai. Lain-lain prinsip pengajaran dan pembelajaran KBSR dan KBSM perlu
diambil kira bagi memastikan pencapaian matlamat Falsafah Pendidikan
Kebangsaan.
Kemahiran
belajar merupakan salah satu kemahiran utama dalam pengajaran dan pembelajaran
bestari. Ianya bermula dari menentukan bahan yang optimum hingga ke pemerolehan
maklumat dan seterusnya memproses maklumat.
Dengan
ujudnya ledakan maklumat, pelajar harus mahir dalam pemerolehan maklumat secara
efektif dan efisen. Seterusnya bahan yang diperolehi perlu diproses supaya
lebih mudah difahami. Ini dilakukan dengan menggunakan kaedah-kaedah tertentu.
PENGGUNAAN SUMBER
PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
RANGSANGAN
Dalam tubuh manusia terdapat beberapa jenis deria yang
bertindak untuk mengesan rangsangan daripada persekitaran. Antara deria
rangsangan yang terlibat ialah deria penglihatan, pendengaran, sentuhan, bauan
dan rasa. Kelima-lima deria rasa ini perlulah dipupuk penggunaannya kepada
murid-murid melalui aktiviti atau
proses pembelajaran dalam Pendidikan Islam. Sumber
pengajaran dan pembelajaran yang digunakan bertujuan untuk melatih murid-murid
supaya dapat menggunakan kelima-lima deria yang sedia ada ini. Dalam
menggunakan sumber atau bahan bantu pengajaran, semua deria ini dapat dilatih
contohnya bagi deria penglihatan dan pendengaran, sumber pengajaran dan
pembelajaran yang boleh digunakan dari aspek Pendidikan Islam ialah dengan
menggunakan tayangan video. Berdasarkan huraian sukatan pelajaran Pendidikan Islam,
guru boleh menunjukkan tayangan video tentang Rukun Islam, seperti aktiviti
ibadat Haji di Mekah untuk merangsang deria penglihatan dan pendengaran
murid-murid. Murid-murid dengan secara tidak langsung akan tertarik dan
berminat untuk melihat dan mendengar apa yang ditayangkan dalam video yang
disediakan.
KEFAHAMAN DAN INTERPRETASI MAKLUMAT
Tujuan kedua penggunaan sumber P&P pula ialah untuk
meningkatkan kefahaman murid-murid dalam sesuatu pembelajaran. Tidak dinafikan
walaupun tanpa penggunaan sumber P&P dalam sesuatu proses pembelajaran,
murid-murid masih boleh memahami mesej yang ingin disampaikan oleh guru. Tetapi
dengan penggunaan sumber P&P yang sesuai, kefahaman murid-murid akan dapat
ditingkatkan dengan lebih cepat berbanding tanpa menggunakan sebarang sumber
P&P. Ini kerana, murid-murid atau kanak-kanak khususnya lebih cenderung dan
mudah terangsang apabila melihat dan mendengar sesuatu yang berkaitan dengan
alam persekitaran mereka.
Menurut
teori kognitif yang disokong oleh Atkinson, McClelland dan Bruner, kejayaan dan
kegagalan seseorang individu adalah bergantung kepada kefahaman terhadap
sesuatu institusi dan keperibadiannya. Ini bermakna penggunaan sumber P&P
juga adalah penting di mana kefahaman seseorang itu bergantung kepada sesuatu
intstitusi tersebut. Dalam hal ini, sumber P&P akan bertindak sebagai
institusi yang bertanggungjawab untuk mencapai kefahaman murid-murid.
Di samping kefahaman yang diterima oleh murid-murid, mereka
boleh melakukan interpretasi maklumat di mana mereka akan bertukar-tukar
maklumat yang diperolehi sesama mereka. Dengan kata lain setelah murid-murid
memahami sesuatu pelajaran, mereka boleh mengadakan perbincangan untuk menjawab
sebarang persoalan yang mungkin timbul dalam diri masing-masing. Jadi dengan
cara ini juga dapat meningkatkan lagi kefahaman mereka di dalam sesuatu subjek
itu. Di samping itu murid-murid akan dapat mengukuhkan lagi kefahaman di mana
mungkin terdapat maklumat yang tidak sampai kepada mereka semasa proses
pembelajaran berlangsung, mereka akan mendapat penambahan maklumat tersebut
daripada rakan-rakan diskusi mereka.
PENGEKALAN MINAT DAN TUMPUAN MELALUI PELBAGAI MEDIA
Menurut Teori Kecerdasan Pelbagai oleh Howard Gardner, setiap
individu mempunyai 8 jenis kecerdasan dan kesemua jenis kecerdasan itu boleh
digunakan untuk murid-murid belajar menyesuaikan diri dengan pelbagai jenis
sumber P&P yang ada. Tujuan seterusnya penggunaan sumber P&P ialah
untuk mengekalkan minat murid-murid terhadap sesuatu subjek dan juga untuk
menarik tumpuan mereka melalui pelbagai jenis sumber P&P.
Minat murid-murid terhadap sesuatu subjek itu terutamanya
bagi subjek Pendidikan Islam boleh dipupuk sekiranya guru mengaplikasikan cara
pengunaan sumber P&P dengan betul. Guru perlu tahu kunci untuk menarik
minat semua murid-murid. Dengan cara mempelbagaikan penggunaan sumber P&P
juga dapat membantu dalam hal ini. Tumpuan murid-murid dalam proses P&P
juga adalah penting dan untuk mencapai objektif ini guru perlu memainkan
peranan dengan mengadakan komunikasi dua hala bagi menjadikan murid lebih aktif
dari segi penglibatan semasa dalam kelas.
PENINGKATAN DAYA INGATAN
Melalui pengetahuan sedia ada pada murid-murid, penggunaan
sumber P&P dapat meningkatkan lagi daya ingatan mereka terhadap sesuatu
perkara yang terdapat dalam subjek ini. Daya ingatan murid-murid boleh
ditingkatkan dengan guru memberikan maklumat baru melalui penggunaan sumber
P&P yang sesuai. Penambahan sebarang maklumat yang baru akan menyebabkan
peningkatan daya ingatan mereka kepada sesuatu perkara. Perkara ini boleh
dibuktikan melalui teori konstruktivisme yang disokong oleh Von Glassefel,
Piaget dan Vygotsky di mana mereka menyatakan Ilmu pengetahuan terbina hasil
penglibatan aktif individu yang menghubungkait maklumat baru dengan pengalaman
sedia ada.
Oleh itu guru
yang mengajar seharusnya peka kepada keperluan murid-murid dengan mengetahui
tentang latar belakang atau maklumat yang perlu. Guru perlu menggunakan sumber
P&P dengan sebaik mungkin di mana selari dengan pengetahuan dan minat
murid-murid.
KEMAHIRAN BERFIKIR
Kemahiran
berfikir adalah sesuatu yang amat penting bagi murid-murid. Ini kerana
kemahiran ini sangat diperlukan untuk murid-murid melakukan analisis, mencari
maklumat, banding beza, pengkelasan, menjana idea, membuat inferens serta
mengumpul maklumat dan banyak lagi perkara yang lain semasa penglibatan mereka
dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Semasa proses P&P dijalankan,
penggunaan sumber P&P dapat membantu murid-murid untuk menajamkan lagi
kemahiran berfikir mereka. Ini kerana terdapat sumber P&P yang memerlukan
murid-murid untuk membuat analisis dan seterusnya melakukan pengkelasan di mana
semua ini memerlukan kemahiran berfikir yang baik.
Guru yang
cemerlang tidak bergantung sepenuhnya kepada sumber P&P. Jadi untuk
memberikan murid-murid kesan pembelajaran yang maksima, guru boleh membuat
penilaian dengan mengadakan soal jawab untuk menguji sejauh mana kefahaman dan
daya ingatan murid-murid tentang apa yang telah dipelajari. Secara tidak
langsung guru dapat mengetahui sama ada objektif kelas pada hari itu telah
tercapai ataupun tidak.
PENINGKATAN MOTIVASI
Di dalam setiap kelas yang diadakan murid-murid perlu untuk
memusatkan perhatian mereka kepada apa yang diajar oleh guru. Tetapi untuk
mengekalkan perhatian sepenuhnya adalah susah untuk dilakukan oleh murid-murid.
Ini adalah disebabkan oleh keinginan murid-murid untuk menghadiri suatu proses
pembelajaran itu yang semakin pudar. Jadi motivasi adalah perkara yang
diperlukan untuk mengekalkan perhatian murid-murid terhadap pelajaran. Terdapat
beberapa sebab yang mungkin menyebabkan murid-murid kurang keinginan untuk
belajar. Mungkin kerana kaedah pembelajaran yang digunakan adalah sama dan
murid-murid menjadi bosan atau mungkin juga kaedah pembelajaran yang digunakan
adalah tidak kreatif dan tidak dapat menarik perhatian mereka.
Jadi langkah penyelesaiannya ialah
dengan menggunakan sumber P&P yang sesuai dengan tahap IQ murid-murid
dan disertakan dengan pengelolaan oleh
guru secara kreatif supaya murid-murid mempunyai motivasi sama ada melalui cara
ekstrinsik mahupun instrinsik. Pengelolaan yang baik oleh guru terbukti dapat
memberikan motivasi kepada murid-murid. Penggunaan sumber P&P yang boleh
digunakan ialah bahan bercetak di mana murid-murid sendiri yang menghasilkan
bahan tersebut. Dengan cara ini murid-murid bukan sahaja mendapat pengetahuan
serta maklumat yang perlu, malah mereka akan lebih sedar dan akan
mendapat motivasi untuk terus meneladani contoh yang baik di mana ia akan
sedikit sebanyak dapat mempengaruhi rakan-rakan mereka yang lain.
PENINGKATAN KREATIVITI
Meningkatkan daya kreativiti
murid-murid adalah merupakan salah satu tujuan penggunaan sumber P&P di
sekolah. Ini kerana kreativiti merupakan salah satu kemahiran halus yang boleh
digilap untuk menjadikan murid-murid lebih berfikir ke arah mencipta perkara
baru yang lebih bernas serta menarik. Proses pembelajaran yang memerlukan daya
kreativiti daripada murid-murid perlulah diadakan bagi melatih daya kreativiti
mereka yang sedia ada.
Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dianjurkan oleh guru di
mana aktiviti tersebut boleh menguji sejauh mana daya kreativiti yang ada pada
murid-murid. Selain itu guru juga boleh meningkatkan lagi daya kreativiti
murid-murid dengan menggunakan sumber P&P yang sesuai.
Dengan itu, secara
tidak langsung murid-murid akan menerima input yang baru dan idea-idea baru
akan mula timbul dalam kotak fikiran mereka hasil daripada pendedahan yang
diterima. Kemudian melalui penggunaan bahan maujud guru boleh menguji daya
kreativi murid-murid dengan mengadakan aktiviti melukis poster. Daya kreativiti
murid-murid boleh dikesan melalui idea-idea yang dicurahkan ke atas kertas
lukisan mereka. Guru juga dari masa ke semasa perlu juga memantau aktiviti
murid-murid bagi melihat perkembangan mereka dan memberi sedikit tunjuk ajar
untuk perkara-perkara yang perlu.
KESERONOKAN DALAM PEMBELAJARAN
Setiap
murid-murid merupakan kanak-kanak yang tidak akan lengkap tanpa melakukan
perkara yang boleh mendatangkan keseronokan kepada diri mereka. Ini adalah
merupakan keperluan asas bagi setiap kanak-kanak yang normal. Jadi guru perlu
mengambil berat tentang hal ini dan untuk proses pembelajaran yang berkesan
guru perlu mendapat perhatian daripada murid-murid terlebih dahulu.
Keseronokan dalam pembelajaran boleh dicipta oleh guru untuk
mengekalkan perhatian murid-murid supaya mereka mendapat isi pelajaran yang
hendak disampaikan. Seseorang guru boleh mengubahsuai cara penyampaian
pembelajaran dengan menggunakan bahan maujud. Permainan perlulah direkacipta
bagi menimbulkan suasana yang seronok di dalam kelas kerana murid-murid mudah
terangsang dengan aktiviti permainan. Contoh yang boleh diberi ialah permainan
‘dart’. Akan terdapat satu papan dart berbentuk bulatan di mana terdapat skor
bagi pemain yang membaling panah dart tersebut. Setiap bulatan mempunyai skor
yang tertentu dan jika murid-murid memanah mengenai mana-mana skor, murid
tersebut perlu menjawab soalan berkaitan dengan mata pelajaran Pendidikan Islam
yang terdapat di sebalik skor yang diperolehinya. Markah akan dikira
berdasarkan skor yang diperolehi hanya jika jawapan yang diberi adalah betul.
Permainan
ini adalah pengubahsuaian yang dilakukan untuk disesuaikan dengan proses
pembelajaran di mana dapat menyampaikan isi pelajaran yang berkaitan tema yang
dipilih. Soalan-soalan yang dipilih untuk diletakkan di sebalik skor perlulah
menepati aras yang telah dipilih dan bersesuaian dengan tahap murid-murid.
Permainan ini boleh dikatakan sebagai kuiz tetapi dalam cara yang berbeza yang
lebih menarik perhatian murid-murid.
KEMAHIRAN
INTERPERSONAL DAN INTRAPERSONAL
Kemahiran
interpersonal menurut pencetus Teori Kecerdasan Pelbagai iaitu Howard Gardner ialah
kebolehan memahami perasaan, motivasi, tabiat
serta hasrat orang lain dan kebolehan bertindak secara berkesan kepada orang
lain. Kemahiran ini memerlukan seseorang individu itu mampu berkomunikasi
dengan baik di kalangan masyarakat yang berada di persekitaran. Dalam konteks
ini murid-murid mampu berkomunikasi dengan baik sesama murid dan murid mampu
juga berkomunikasi dengan baik kepada guru.
Kemahiran
intrapersonal pula didefinisikan oleh Howard Gardner sebagai kebolehan memahami
diri sendiri dari segi kekuatan, kelemahan, hasrat dan kehendak. Kebolehan
menangani perasaan, mengawal kemarahan dan kesedihan diri serta kebolehan
membantu diri lebih berdisplin, beradab dan bersopan. Kemahiran ini lebih
memberikan tumpuan dari segi dalaman diri individu tersebut. Dalam konteks
pembelajaran, murid-murid mempunyai kebolehan untuk menangani sebarang masalah
peribadi mereka serta dapat menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap
pembelajaran.
Sumber
P&P mempunyai pelbagai jenis di mana tidak dinafikan mampu menerapkan
nilai-nilai murni serta dapat melatih kemahiran interpersonal dan intrapersonal
murid-murid. Gerak kerja kumpulan adalah contoh aktiviti yang dapat mengasah
kedua-dua kemahiran interpersonal dan kemahiran intrapersonal murid-murid.
Contoh yang boleh diberikan ialah aktiviti melukis poster di mana ia melibatkan
bahan maujud. Aktiviti seperti ini memerlukan kerjasama daripada murid-murid
dan secara umumnya guru boleh melatih kemahiran interpersonal manakala
kemahiran intrapersonal pula dapat dilatih dengan melihat sejauh mana
penglibatan seseorang murid itu dalam aktiviti yang diadakan.
KEMAHIRAN
PSIKOMOTOR
Kemahiran
psikomotor merupakan kemahiran pergerakan di mana memerlukan murid-murid
menggunakan semua anggota badan mereka untuk melakukan kerja. Terdapat banyak
jenis pergerakan psikomotor tetapi adalah bergantung kepada guru untuk melatih
mana-mana kemahiran psikomotor kepada murid-murid dengan menggunakan sumber
P&P.
Contoh
yang boleh diambil dalam Pendidikan Islam, ialah daripada tema Rukun Islam yang
ke lima di mana aktiviti yang boleh dijalankan ialah aktiviti amali seperti
tawaf dalam ibadat haji. Di samping murid-murid dapat melakukan dan merasai
sendiri aktiviti tawaf, mereka dapat juga menjaga kesihatan mereka dengan
melakukan aktiviti yang melibatkan otot badan dan otot karvadiaskular.
Aktiviti-aktiviti lain yang boleh menjadi pilihan untuk dilaksanakan ialah
sukaneka, riadah dan rumah terbuka.
Aktiviti
di dalam kelas juga boleh diadakan untuk melatih kemahiran psikomotor
murid-murid. Melalui topik solat, guru boleh mengadakan aktiviti amali mengikut
pergerakan sebenar dalam solat. Aktiviti ini melibatkan banyak pergerakan yang
unik dan secara tidak langsung kemahiran psikomotor dapat dilatih. Guru perlu
memantau aktiviti murid-murid dan banyak memberi tunjuk ajar kepada mereka
tentang perkara-perkara baru yang masih lagi asing bagi murid-murid. Aktiviti
ini memerlukan latihan yang kerap untuk memastikan murid-murid dapat mencapai
objektif pembelajaran serta menepati tujuan penggunaan sumber P&P yag telah
digunakan.
(b)
DEFINISI
Pengajaran
Mikro merupakan satu teknik pengajaran untuk meningkatkan kemahiran pengajaran
guru dalam aspek-aspek tertentu seperti set induksi, motivasi, penyoalan,
variasi rangsangan, penggunaan papan kapor, alat bantuan mengajar, pengukuhan,
penutup dan lain-lain. Tempoh Pengajaran Mikro ialah antara 10-15 minit dan
dilaksanakan dalam satu kumpulan 25-30 orang pelajar.
Pengajaran
Makro merupakan satu sesi pengajaran praktik yang lengkap bermula dari
pendahuluan, set induksi, perkembangan, penilaian dan penutup. Biasanya,
pengajaran Makro dipraktikkan di dalam bilik darjah sepenuhnya. Untuk memahami
konsep pengajaran Mikro, kita perlu memahami konsep pengajaran Mikro terlebih
dahulu. Ini kerana, pengajaran Makro berkait rapat dengan pengajaran Mikro.
Perkataan
Mikro diambil dari bahasa Greek yang bermakna kecil. Ini bererti pengajaran
mikro adalah proses pengajaran yang dijalankan dalam unit kecil sebagai
simulasi kepada guru pelatih. Pengajaran mikro bertujuan untuk mengurangkan
masalah-masalah yang mungkin timbul semasa pengajaran makro dijalankan.
Sebelum
melaksanakan sesi pengajaran makro, guru pelatih perlu merancang dan
menyediakan persediaan mengajar yang lengkap dan baik. Perancangan yang lengkap
menghasilkan pengajaran yang berkesan.
PENGAJARAN MIKRO DAN MAKRO
Pengajaran
mikro dan makro membolehkan guru memahirkan diri dalam beberapa kemahiran
tertentu seperti latihan teknik mengajar, menyoal, mengawal kelas, membuat penilaian
dan sebagainya.
Pengajaran
mikro ialah sesi yang hanya mengendalikan satu bahagian daripada keseluruhan
pengajaran misalnya kemahiran set induksi bagi sesuatu tajuk.
Pengajaran
makro pula adalah kemahiran mengendalikan seluruh sesi pengajaran bermula
daripada set induksi sehinggalah penutup pengajaran.
Sesi
pengajaran mikro dan makro membolehkan guru-guru pelatih mendapat maklum balas
secara serta merta dan dapat berbincang bagi mengatasi kelemahan-kelemahan semasa
sesi pengajaran dijalankan, terutama jika pengajaran mikro itu dirakam.
Sesi
pengajaran mikro dan makro ini juga dapat mempertingkatkan keyakinan guru-guru pelatih
untuk mengajar di dalam kelas sebenarnya. Melalui rakaman video, guru pelatih dapat
menyaksikan kekuatan dan kelemahan diri sendiri semasa mengajar, di samping mendapat
maklum balas rakan-rakan seopsyen.
Guru pelatih
juga akan mendapat ulasan pensyarah yang memberikan bimbingan untuk membaiki
pengajaran jika terdapat kekurangan atau kelemahan semasa sesi mikro atau makro
dijalankan. Penilaian spontan selepas sesi mikro dan makro ini penting kepada guru
pelatih kerana mereka mendapat keyakinan mengajar dan tidak mengulangi kelemahan
yang sama pada masa yang akan datang.
Selain itu,
guru pelatih juga berpeluang melihat kekuatan dan kelemahan guru pelatih lain
untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.
PENGAJARAN MIKRO
Konsep
Pengajaran mikro digunakan untuk memperihalkan teknik
pengajaran untuk membolehkan pelatih atau pelajar menguasai, melatih atau
memurnikan kemahiran pengajaran dalam situasi yang dikurangkan dari segi
kesukarannya. Maka dalam melaksanakan
pengajaran mikro bilangan pelajar dan peruntukan masa dikurangkan.
Tujuan
Pelaksanaan pengajaran mikro akan;
i.
membekalkan situasi pengajaran yang realistik kepada guru pelatih
ii.
mengurangkan risiko kepada guru dan
pelajar
iii.
memberi peluang kepada pelatih
mengaplikasikan teori pembelajaran
iv.
meningkat dan mengembangkan pengalaman
pengajaran
v.
menjimatkan masa dan sumber dalam
pengajaran dan menilai kemahiran
spesifik.
Pelaksanaan Pengajaran Mikro
Dalam
melaksanakan pengajaran mikro pelajar membina satu rancangan mengajar yang
singkat 5-20 minit berdasarkan bidang kepakarannya , membuat objektif spesifik
dan mengajarnya kepada sebilangan kecil pelajar lain.
Setelah
pengajaran telah dilaksanakan satu penilaian atau pencerapan dilakukan untuk
mengesan kelemahan Pencerapan hendaklah dilaksanakan oleh pensyarah atau penyelia,
rakan-rakan dan kendiri.
Seterusnya
satu perancangan semula perlu dilaksanakan untuk tujuan penambahbaikan.
Pengajaran mikro merupakan satu kitaran atau satu pusingan seperti yang digambarkan
dalam rajah di bawah:
Kitaran pengajaran mikro
Kemahiran-Kemahiran
dalam Pengajaran Mikro
1.
Kemahiran set induksi
Set induksi merupakan satu proses
yang digunakan dalam permulaan pengajaran, apabila menukar topik, sebelum soal
jawab sebelum pertunjukan slaid atau video dengan tujuan menarik perhatian
pelajar dan mendorong pembelajaran.
Prinsip-prinsip set induksi seperti berikut:
1.1.
memfokuskan perhatian pelajar terhadap apa yang hendak di
ajar
1.2.
membentuk satu rangka rujukan semasa pengajaran
1.3.
memberi makna terhadap sesuatu konsep atau makna baru
1.4.
merangsang minat dan penglibatan murid
1.5.
meletakkan murid dalam set mental atau keadaan yang sesuai
untuk belajar
1.6.
menggalakkan pelajar enyertai pelajaran dengan giat.
1.7.
mewujudkan keadaan ingin tahu dikalangan murid
2.
Kemahiran menggunakan papan tulis
Papan tulis penting
dalam meningkatkan pembelajaran pelajar dari segi menjelaskan lagi penerangan
guru tentang fakta, konsep atau idea yang abstrak.
Oleh itu rancangkan bagaimana
penggunaan papan tulis dari segi masa, pembahagian ruang dan penglibatan
pelajar.
3.
Kemahiran variasi ransangan
Kemahiran ini adalah
untuk membangkitkan perhatian pelajar dan mefokuskan perhatian pelajar kepada fakta
penting dalam pelajaran.
Variasi ransangan berkait rapat
dengan kebijaksanaan guru pelatih mempelbagaikan strategi pengajaran, kecekapan
penggunaan alat bantu mengajar , persekitaran bilik darjah, komunikasi verbal
dan non-verbal guru.
4.
Kemahiran penyoalan
Penyoalan merupakan satu aspek
penting yang boleh mebawa pelajar kepada aktiviti kognitif aras tinggi.
Guru harus faham dan tahu tentang kepentingan
soalan dalam pengajaran dan pembelajaran seperti membantu pelajar mengingat
kembali fakta-fakta dan mencungkil fikiran pelajar.
Soalan yang dibentuk
hendaklah dirancang dengan rapi dan mengikut kebolehan pelajar.
5.
Kemahiran menggunakan pengukuhan
Guru yang mempunyai kemahiran
pengukuhan dapat menggalak pelajar menjawab soalan, mengemukakan cadangan dan
secara keseluruhannya dapat melibatkan pelajar melibatkan diri dalam
perbincangan bilik darjah.
6.
Kemahiran penutup
Penutup haruslah sesuai dengan
objektif dan aktiviti pelajaran yang telah disampaikan. Semasa penutup ini aktiviti susulan juga
harus dirancang dengan teliti dan ada
kesinambungan dengan pelajaran akan datang.
Tujuan penutup adalah untuk menarik
perhatian perhatian pelajar tentang pelajaran baru yang dipelajari, mengukuhkan
konsep, prinsip atau kemahiran baru, mewujudkan perasaan pencapaian dan
kejayaan dan peluang mengaplikasi konsep dan kemahiran baru.
PENGAJARAN MAKRO
1.
PRINSIP PENGAJARAN MAKRO
Antara prinsip pengajaran makro ialah:
1.1 Objektif pengajaran dan pembelajaran
Dalam pengajaran makro,
guru mempunyai objektif yang besar dan luas merangkumi aras pengetahuan
pelajar.
1.2 Jumlah pelajar
Jumlah pelajar yang
terlibat jauh lebih ramai bergantung kepada bilangan pelajar di dalam kelas
sebenar. Pelajar yang terlibat adalah pelajar yang sebenar dan bukan dari
lakonan rakan-rakan. Justeru itu, pengajaran guru adalah mencabar dengan
karenah para pelajar.
1.3 Strategi pengajaran
Dalam pengajaran mikro,
guru perlu mempelbagaikan teknik dan strategi pengajaran supaya sesi pengajaran
dan pembelajaran lebih berkesan dan menarik.
1.4 Jangkamasa Pengajaran
Jangkamasa yang
ditentukan dalam pengajaran makro adalah berdasarkan kepada jadual waktu kelas
yang memakan masa selama antara 35 hingga 45 minit satu masa. Ekoran itu, guru
perlu bijak merancang pengajaran dan pembelajaran dengan peruntukan masa yang
ditetapkan.
1.5 Bahan pelajaran
Dalam pengajaran makro,
guru perlu menyampaikan keseluruhan isi pengajaran yang telah dirancang dalam
Rancangan Pengajaran Harian (RPH). Oleh itu, guru perlu menguasai sepenuhnya
bahan yang hendak disampaikan dan tumpuan guru ketika menyampaikan adalah
menyeluruh.
1.6 Perbincangan dan refleksi
Penilaian kendiri perlu
dibuat selepas guru selesai melaksanakan pengajaran sebagai refleksi atau
muhasabah berkaitan pengajaran guru. Kekurangan dan kelemahan di dalam
pengajaran perlu diperbaiki dalam pelajaran akan datang. Antara perkara yang
perlu dibuat refleksi ialah objektif, disiplin kelas danpenglibatan murid
disamping keazaman guru untuk memperbaiki pengajarannya.
2.
MATLAMAT PENGAJARAN MAKRO
2.1 Memberi
keyakinan kepada guru
Hasil daripada pengajaran makro
dapat memberi keyakinan mengajar kepada guru-gur baru. Setelah melalui sesi
pengajaran mikro dan makro guru akan lebih yakin berhadapan dengan situasi
pengajaran dan pembelajaran sebenar dalam bilik darjah.
2.2 Menguasai
kemahiran mengajar
Dengan adanya pengajaran makro,
ianya dapat mendedahkan para guru kepada beberapa jenis kemahiran mengajar.
Guru juga akan benar-benar menguasai kemahiran tersebut setelah berpengalaman
untuk mengaplikasikannya dalam pengajaran. Kemahiran tersebut akan lebih
terserlah apabila guru berkenaan mengajar di sekolah.
2.3 Mengenal pasti
potensi guru
Setiap guru mempunyai potensi
sendiri. Potensi diri seperti memiliki suara yang jelas dan lantang,
berkebolehan menyanyi, berlakon dan sebagainya. Potensi diri guru penting
sebagai medium dalam sesi pengajaran & pembelajaran dengan sebaik mungkin.
2.4 Mengenal
pastti kelemahan guru
Dengan pengajaran mikro kelemahan
pengajaran seorang guru mudah dikenal pasti dan diperbaiki. Hasil perbincangan
dan pandangan rakan sekursus dan pensyarah, guru berkenaan boleh mengenal pasti
kelemahan dan memperbaikinya dalam sesi pengajaran dan pembelajaran seterusnya
.
2.5 Mewujudkan
semangat kekitaan dan bekerjasama
Dalam sesi pengajaran mikro, setiap
guru pelatih akan berkerjasama untuk menjayakan sesi tersebut. Semua individu
akan memainkan peranan masing-masing samaada sebagai guru atau pelajar. Secara
tidak langsung perasaan malu dan takut akan hilang kerana ia tidak melibatkan
pihak lain.
3.
CARA MELAKSANAKAN SESI PENGAJARAN MAKRO
Sebelum melaksanakan
pengajaran makro, adalah penting bagi seseorang guru pelatih mengetahui konsep
pengajaran mikro. Ini kerana, pengajaran mikro terkandung juga dalam pengajaran
makro.
Menurut Alien. D. dan Kyan K,
pengajaran mikro mempunyai lima peringkat iaitu merancang, praktikal, mengulas
atau komen, merancang semula, mengajar semula dan membuat komen sekali lagi.
Semasa pengajaran makro dijalankan,
konsep-konsep berikut perlu difahami. Ini kerana konsep tersebut terkandung
semasa pengajaran makro dijalankan.
3.1 KEMAHIRAN SET INDUKSI
Kemahiran set induksi
merupakan sesi permulaan sesuatu proses pengajran. Tujuan utama mengadakan set
induksi ini adalah menarik perhatian dan menimbulkan minat murid-murid supaya
mereka dapat menumpukan perhatian kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran
yang hendak disampaikan. Cara-cara memulakan set induksi ini seperti
menggunakan alat-alat bantuan, menyoal, ulangkaji topik lepas, membuat ingatan
kembali dan sebagainya. Masa peruntukan dalam pelaksanaan set induki ini harus
ringkas dan biasanya kurang 5 minit dalam awal sesuatu pelajaran.
3.2 KEMAHIRAN MENYEBARKAN PENYOALAN
Kemahiran menyoal
merupakan teknik yang penting dalam aktiviti pengajaran guru. Kemahiran ini
digunakan untuk menolong murid mengingatkan kembali ilmu pengetahuan lepas.
Guru perlu menguasai kemahiran ini untuk mencapai kejayaan dalam aktiviti pengajarannya.
3.3 KEMAHIRAN PENGURUSAN PAPAN HIJAU
Kemahiran pengurusan
papan hijau ialah kecekapan guru merancang penggunaan ruang papan hijau dan
menyusun tulisan, nota dan gambarajah di ruang papan hijau yang paling
berkesan. Kemahiran ini dapat membantu murid-murid membaca catatan guru dan
memahami tulisan guru semasa penerangan guru.
3.4 KEMAHIRAN PENGUKUHAN
Kemahiran pengukuhan
atau peneguhan merupakansatu teknik motivasi kepada murid-murid yang berjaya
menjawab soalan guru atau menunjukkan prestasi yang baik. Peneguhan ini boleh
diberi secara vebal atau non-vebal. Tingkah laku vebal merupakan pujian secara
lisan seperti baik, bagus manakala tingkah laku non-verbal pula merupakan gerak
geri positif seperti senyuman, angguk kepala dan sebagainya.
3.5 KEMAHIRAN PENUTUP
Kemahiran penutup
merupakan satu teknik mengakhiri satu sesi pelajaran. Ia merupakan bahagiaan
terakhir pengajaran dan pembelajaran guru. Ia boleh ditutup dengan aktiviti
penilaian, pengukuhan atau ulasan mudah skop pengajaran pada hari itu. Penutup
boleh dilakukan dengan cara:-
3.5.1
Membuat rumusan isi pengajaran dan menyalin cacatan isi
pelajaran di papan hijau.
3.5.2
Memberi kerja bertulis sama ada dalam buku latihan atau
soalan-soalan di papan hijau.
3.5.3
Memberi latihan pengayaan kepada murid-murid.
3.5.4
Menyoal murid-murid tentang isi pelajaran lepas atau
pengajaran tadi.
3.5.5
Pujian kepada murid-murid yang berkelakuan yang baik.
3.5.6
Memberitahu berita semasa yang ada kaitan dengan pengajaran.
3.5.7
Memberi motivasi kepada murid-murid untuk terus belajar.
PENUTUP
Sistem pendidikan merupakan wadah
utama untuk membentuk identiti anak bangsa, menjadi alat terpenting untuk
menjayakan pembangunan negara, berfungsi sebagai wahana yang kukuh untuk
mencapai perpaduan serta kesejahteraan bangsa dan negara. (Tajul Ariffin dan
Nor’Aini,1992). Pendidikan adalah proses dan aktiviti yang bertujuan untuk
menghasilkan perubahan yang dikehendaki di dalam diri seseorang (Atan Long,
1978). Ia juga adalah satu proses menukarkan pola tingkah laku manusia. Tingkah
laku ini bermaksud tingkah laku dalam pengertian yang luas termasuk pemikiran,
perasaan dan perbuatan nyata. Menurut Ralph (1949), objektif pendidikan
bermakna perubahan tingkah laku yang dicari atau yang dikehendaki berlaku oleh
sesebuah institusi pendidikan ke atas pelajar-pelajarnya.
Guru memainkan peranan yang penting
untuk mendidik pelajar dalam melahirkan seorang insan atau generasi yang
berketerampilan, mahir, berkebolehan, inovasi, kreatif, bertanggungjawab serta
bermodal tinggi. Guru merupakan orang yang memainkan peranan untuk menentukan
perkara-perkara yang akan dipelajari oleh pelajar. Di samping itu, mereka juga
mestilah orang yang berpengetahuan dalam perkara-perkara yang hendak diajar.
Oleh itu, guru juga mestilah dididik terlebih dahulu. Perkara-perkara yang diajar
oleh guru mungkin tidak dapat memenuhi kehendak dan minat pelajar. Ini dapat
dilakukan oleh guru dengan menggunakan sumber dan kaedah pengajaran yang
berkesan (Abdul Rahman Aroff, 1987).
BIBLIOGRAFI
1.
Aninah Janang. (2007). Profesion Keguruan Semakin Malap? Dewan
Masyarakat. (5).
2.
Ee Ah Meng. (2002). Pedagogi III, Edisi Kedua (Semester
III). Selangor: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
3.
Ghazali Darusalam. (2004). Pedagogi pendidikan Islam. Kuala Lumpur:
Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
4.
Kamarul Azmi Jasmi & Ab. Halim
Tamuri. (2007). Pendidikan Islam: Kaedah
pengajaran & pembelajaran. Johor: Penerbit Universiti Teknologi
Malaysia.
5.
Mohd Yusuf Ahmad. (2004). Falsafah dan Sejarah Pendidikan Islam. Kuala
Lumpur: Universiti Malaya.
6.
Mok Song Sang dan Lee Shok Mee.
(1991 ). Pedagogi 3 Bahagian A Pengajaran
dan Persediaan Mengajar. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn.Bhd.
7.
Shahabuddin Hashim, Dr. Rohizani
Yaacub & Mohd. Zohir Ahmad. (2007). Pedagogi
Strategi dan Teknik Mengajar Dengan Berkesan. Kuala Lumpur : PTS
Professional Publishing Sdn. Bhd.
8.
Tengku Sarina Aini Tengku Kasim
dan Yusmina Md. Yusoff. (2006). Kaedah
Mengajar dan Kemahiran Interpersonal Guru. Selangor: PTS Professional
Publishing Sdn. Bhd.
9.
Zainudin bin Hassan,Tengku
Suhashila bt. Tengku Langjuna,Mohad. Najib bin Abdul Ghaffar& Hamdan bin
Said. (2007). Tahap Penggunaan Alat Bantu
Mengajar di Kalangan Guru Pelatih. Seminar Penyelidikan Pendidikan Institut
Perguruan Batu Lintang. Sumber

Perguruan Batu Lintang.
No comments:
Post a Comment