Definisi bahan manipulatif
Pelaksanaan pengajaran
dan pembelajaran (P&P) matematik di sekolah rendah menggunakan bahan
manipulatif seharusnya menjadi suatu kemestian. Ramai dalam kalangan pendidik
khususnya guru matematik mengakui hakikat bahawa bahan manipulatif adalah kunci
penting kepada pengajaran kepada kanak-kanak. Perkara ini didasari oleh teori
Jean Piaget, seorang ahli psikologi dan falsafah yang banyak mengkaji dan membahaskan
ilmu berkaitan tahap kognitif kanak-kanak. Menurut Piaget (1952) kanak-kanak
memerlukan pengalaman konkrit untuk memahami istilah matematik dan simbol
matematik. Hal ini kerana, murid-murid sekolah rendah masih berada dalam peringkat operasi konkrit di mana
pemikiran abstrak dan hypotetikal mereka masih belum terbina sepenuhnya. Peringkat
operasi konkrit adalah dalam peringkat umur 7 tahun hingga 11 tahun iaitu julat
umur bagi kebanyakan murid-murid sekolah rendah. Pemikiran hypotetikal ialah
pemikiran di mana seseorang itu berfikir berdasarkan situasi atau idea yang
boleh diimaginasi berbanding yang realistik dan benar. Daya imaginasi pada peringkat
kanak-kanak adalah lebih rendah berbanding orang lebih dewasa.
Menurut Heddens (2005)
bahan manipulatif ialah model konkrit
yang melibatkan konsep matematik, menarik kepada beberapa deria serta boleh
disentuh dan digerakkan oleh murid-murid. Pada masa sekarang, bahan
manipulatif digunakan dalam pengajaran matematik telah diterima yang boleh
diguna pakai sebagai satu kaedah yang akan membantu murid-murid belajar
matematik dengan lebih bermakna. Pendek kata, bahan manipulatif membantu
murid-murid membina imej mental yang lebih jelas untuk memahami idea-idea dan
konsep-konsep matematik (Weiss, 2006).
Rajah 1:
Guru boleh
mengajar konsep menggunakan takrif rajah sebagai perwakilan fizikal atau
bahan manipulatif pada peringkat operasi konkrit
|
Sementara itu, menurut
Swan dan Marshall (2010) bahan
manipulatif matematik merupakan objek yang dikendalikan individu melalui deria yang
mana pemikiran matematik dapat dipupuk dalam keadaan individu itu sedar atau
tidak sedar. Deria yang digunakan termasuk deria sentuh dan lihat. Oleh
yang demikian, bahan manipulatif matematik boleh mendorong ke arah kesedaran,
pembangunan konsep dan idea yang dikaitkan dengan matematik sementara setiap
bahan manipulatif yang direka adalah untuk tujuan tersendiri. Antara bahan
manipulatif yang terkenal ialah Attribute
Blocks, Base Ten blocks, Cuisenaire rods, Multilinks cubes, Pattern Blocks,
Polydrons/Geoshapes, square tiles dan Unifix cubes. Kesemua bahan
manipulatif ini mempunyai fungsi tersendiri untuk konsep matematik yang
berlainan.
Terdapat juga sebilangan
sarjana yang berpendapat abakus, kalkulator dan carta pecahan sebagai
sebahagian daripada bahan manipulatif matematik. Hal ini kerana mereka
beranggapan bahawa penggunaan
kalkulator sebagai bahan manipulatif dapat meneguhkan sesuatu konsep empat
operasi asas yang telah diajar kepada murid. Simbol-simbol yang terdapat pada
kalkulator boleh mewakili konsep operasi asas seperti tambah, tolak, darab dan
bahagi yang mana dapat mengukuhkan konsepsual matematik. Walaubagaimanapun hal
ini adalah tidak benar kerana abakus dan kalkulator ialah
alat pengiraan manakala carta pecahan (fraction chart) pula
diklasifikasikan sebagai alat bantu mengajar. (Swan dan Marshall, 2010). Namun
begitu abakus, kalkulator dan carta pecahan boleh digunakan bagi menyokong dan
membantu pengajaran dan pembelajaran (P&P) matematik kerana alat-alat
tersebut diakui sebagai sebahagian daripada resos matematik.
Rajah 3: Jerome Seymour Bruner
|
Rajah 2: Jean Piaget
|
Pada tahun 1973, Jerome
Seymour Bruner telah melakukan suatu pemerhatian di sebuah sekolah. Bruner
ialah seorang ahli psikologi yang banyak memberi sumbangan yang signifikan
terhadap bidang psikologi kognitif
manusia dan teori pembelajaran kognitif. Dalam kajiannya itu, beliau telah memperhati
kanak-kanak menggunakan bahan manipulatif konkrit dan menyedari terdapat satu
proses di mana murid membina pengetahuan konsep matematik di dalam pengajaran
dan pembelajaran (P&P) tersebut. Pemerhatian beliau bermula apabila guru
menunjukkan contoh-contoh bagaimana untuk menggunakan bahan manipulatif itu.
Setelah itu, kanak-kanak
mengaplikasikan bahan manipulatif tersebut. Kemudiannya, kanak-kanak itu
diminta untuk tampil ke hadapan melukis gambar tentang konsep dan menulis
penjelasan apa yang difahaminya di papan hitam. Melihatkan kepada tingkah laku
kanak-kanak tersebut, Bruner berpendapat kanak-kanak tersebut telah memahami
konsep matematik yang difahami dalam mentalnya (abstrak) dan dapat pula
menjelaskan dalam bentuk lukisan (konkrit). (Kosko dan Wilkins, 2010, p. 79). Di
sini dapat difahami bahawa bahan
manipulatif ialah bahan yang merapatkan jurang idea matematik abstrak dengan
idea matematik konkrit supaya murid
mahir atau matang dalam ilmu matematik. (Frank, 2012).
Rajah 4: Dua jenis teknologi yang berbeza tetapi mempunyai fungsi yang
sama. Kedua-dua alat untuk pengiraan ini dapat membantu pengajaran dan
pembelajaran (P&P) namun begitu kedua-duanya juga tidak
diklasifikasikan sebagai bahan manipulatif. Kalkulator (gambar pertama)
berperanan sebagai medium kepada bahan manipulatif maya manakala abakus
(gambar kedua) berfungsi sebagai medium kepada bahan manipulatif fizikal.
|
Rajah 5: Attributes block adalah satu jenis bahan manipulatif untuk
menyediakan tugas-tugas yang mencabar dan berstruktur yang dikaitkan dengan
identifikasi sifat. Murid boleh membentuk sifat seperti muka manusia
daripada blok-blok bentuk matematik ini
|
Selepas meneliti semua
aspek, bahan manipulatif dapat disimpulkan sebagai alat atau bahan yang bersifat konkrit atau maujud yang melibatkan
penggunaan tangan murid-murid dengan cekap terhadap objek yang dapat dipegang
dan dimanipulasi untuk membantu murid-murid peringkat pra operasi membina
pengetahuan dan konsep matematik secara langsung atau tidak langsung. Guru
boleh membiarkan murid-murid menggunakan bahan manipulatif secara langsung
untuk bermain, meneroka, membina, menguji dan membilang dengan harapan
murid-murid tersebut dapat menguasai konsep matematik dengan lebih baik. Contoh
lain bahan manipulatif fizikal selain di atas yang boleh didapati dengan mudah
dari persekitaran ialah butang baju, bongkah kayu, batu, penutup botol, guli
dan lain-lain.
Rajah 6: Gamabar satu ialah contoh Unifix Cubes. Gambar dua menunjukkan
kanak-kanak meneroka dan bermain sendiri Unifix Cubes. Unifix Cubes berwarna warni, kiub saling pautan yang
dapat membantu kanak-kanak berumur 4 tahun ke atas belajar matematik awal
dan membaca konsep matematik.
|
Definisi bahan manipulatif maya
Dalam membina ilmu
pengetahuan matematik terdapat laluan atau kaedah alternatif yang boleh
digunakan selain bahan manipulatif iaitu menggunakan bahan manipulatif maya
sebagai salah satu kaedah pengajaran matematik masa kini. Bahan manipulatif
maya diakui dapat memberi kesan yang sama kepada murid iaitu P&P yang lebih
bermakna. Bahan manipulatif maya boleh didefinisikan sebagai satu interaktif, berasaskan laman sesawang
yang menunjukkan visual objek yang dinamik yang digunakan untuk membina
pengetahuan matematik. (Moyer et al., 2002, p.373).
Bahan manipulatif maya juga dapat didefinsikan sebagai replika yang betul kepada bahan
manipulatif konkrit dan diletakkan dalam internet dalam bentuk aplikasi
computer untuk membina pengetahuan matematik (Moyer, Bolyard & Spikell,
2002). Ramai penyelidik percaya yang bahan manipulatif maya mempunyai keupayaan
dan potensi untuk menangani kebanyakan kelemahan utama dalam menggunakan bahan
manipulatif fizikal dalam P&P. (Clemets & Sarama, 2005; Moyer,
Niezgoda, & Stanley, 2005; Yuan Lee, & Wang, 2010). Bahan manipulatif
maya mempunyai banyak kelebihan seperti keupayaan interaktiviti, pengubahan,
perwakilan yang fleksibel, sumber yang tidak terhad, dan mudah untuk
dibersihkan. Banyak kajian yang menunjukkan bahan manipulatif menyediakan
kelebihan yang unik dan boleh menjadi lebih efektif berbanding bahan
manipulatif fizikal dalam menyokong pembelajaran. (Wright, 1994; Clements &
Sarama, 1998; Suh & Moyer, 2007).
Sementara itu, tidak semua perisian komputer yang
berkaitan dengan pembelajaran itu adalah bahan manipulatif maya. Hal ini kerana
perisian-perisian seperti Mathdisk,
Geogebra dan MathXpert berfungsi sebagai medium kepada penyampaian bahan
manipulatif maya. Perisian-perisian sebegini adalah platform kepada
terbentuknya bahan manipulatif maya melalui kaedah-kaedah tertentu yang boleh
dijadikan bahan dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) . Penggunaan
perisian-perisian ini dalam P&P diperlukan untuk mencetuskan pengajaran
yang lebih bermakna, menarik minat dan menyeronokkan di samping memudahkan
proses pembinaan konsep matematik dalam mental murid.
Bahan manipulatif maya adalah sama dengan bahan
manipulatif fizikal seperti Attribute Blocks, Base Ten blocks, Cuisenaire rods,
Multilinks cubes, Pattern Blocks, Polydrons/Geoshapes, square tiles dan Unifix
cubes tetapi direka dalam bentuk maya dalam komputer. Dalam perkataan yang
mudah, bahan manipulatif maya adalah juga bahan manipulatif fizikal tetapi
diterjemah atau ditukar ke dalam bentuk perisian komputer dan kebanyakkan boleh
didapati di internet.
Rajah 7: Gambar satu ialah rod cuisanaire, gambar dua pula ialah base
10 block, dan gambar ketiga ialah tangram puzzles. Di dalam dunia komputer,
ketiga-tiga bahan manipulatif fizikal ini menjadi bahan manipulatif maya
yang lebih fleksibel, boleh dimanipulasi tanpa had dan dapat memberi
pemahaman konsep yang lebih menyeluruh tanpa halangan seperti yang berlaku
dalam dunia realiti.
|
Dapatlah disimpulkan di sini bahawa bahan manipulatif maya adalah bahan manipulatif konkrit yang
ditransformasikan atau diterjemahkan dalam bentuk visual iaitu bentuk maya,
diletakkan di dalam internet, digunakan secara fleksibel dalam bentuk perisian komputer
dan dapat dimanfaatkan untuk membina pengetahuan matematik dan membantu murid memahami
idea dan konsep matematik. Contoh bahan manipulatif maya ialah “Geometry
applet” yang menyediakan pengalaman dinamik dalam geometri 3 dimensi (Joyce,
2005); “Algebra tiles” memberi peluang kepada pengguna untuk menyiasat konsep
dan hubungan dalam algebra (Texas A.2005); dan “Base ten blocks activities”
yang membantu pengguna untuk mendapat pemahaman tentang nilai tempat dan
operasi (Mankus, 2005) secara interaktif.
Peranan bahan manipulatif dan bahan manipulatif maya
dalam mewujudkan P&P yang bermakna
Apabila seseorang guru menggunakan
bahan manipulatif sebagai alat kognitif seharusnya guru tersebut dapat
meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) selain menggalakkan
murid untuk sentiasa mengekalkan maklumat yang diperolehi dalam ingatannya. Ia
adalah diakui bahawa penggunaan bahan manipulatif bukan sahaja dapat
meningkatkan pencapaian murid tetapi meningkatkan kefahaman konsepsual dan
kemahiran penyelesaian masalah mereka. Bahan
manipulatif memberikan pengalaman konkrit, pengalaman hands-on yang mana dapat menfokuskan
perhatian dan menguatkan motivasi murid. (Durmas dan Karakirik, 2006). Apa
yang dimaksudkan di sini ialah bahan manipulatif dianggap sebagai alat yang
dapat memberi murid pembelajaran secara konkrit, menyediakan peluang kepada
murid untuk memanipulasi, menarik perhatian murid dalam P&P dan dapat
meningkatkan minat murid terhadap pengajaran guru sekaligus merangsang motivasi
murid. Di samping itu juga, bahan manipulattif juga dapat meingkatkan motor
halus kanak-kanak dengan aktiviti hands-on.
Selain itu juga, bahan manipulatif juga memberi murid-murid satu
cara untuk memahami konseptual matematik yang abstrak dengan membolehkan
murid-murid menghubungkan konsep tersebut dengan idea konkrit yang informal.
(Uribe-Flo’rez & Wilkins, 2010, p. 363). Apa yang dapat disimpulkan di sini
ialah bahan manipulatif dapat membantu murid memahami idea-idea matematik yang
abstrak dengan membolehkan murid-murid mengaitkannya dengan perkara atau idea
konkrit secara tidak langsung. Berlakunya perkara ini maka P&P yang
dijalankan guru adalah lebih bermakna
kepada murid-murid.
Rajah 8: Bahan manipulatif bukan sahaja memudahkan pemahaman murid
terhadap konsep-konsep matematik tetapi meningkatkan motor halus murid kerana
melibatkan pengalaman hands-on murid
|
Rajah 9: Pembelajaran secara aktif tidak membosankan selain dapat
meningkatkan rasa ingin tahu (inkuiri), disiplin dan kerjasama antara
murid. Semua ini dapat dicapai dengan penggunaan bahan manipulatif dalam
pengajaran dan pembelajaran.
|
Tambahan pula, secara tidak langsung juga bahan manipulatif dapat mengatasi pelbagai
masalah disiplin murid semasa di dalam kelas seperti mengganggu rakan
semasa belajar, tidak menumpukan perhatian dan membuat salah laku yang lain.
Bahan manipulatif berperanan secara tidak langsung dalam hal ini apabila murid
mula menunjukkan minat dan fokus apabila mereka memanipulasi bahan manipulatif.
Hal ini terjadi disebabkan bahan manipulatif itu adalah menarik kerana
mempunyai warna yang pelbagai sebagai contoh Cuisanaire Rods. Cuisanaire rods
memberi peluang kepada murid belajar secara hands-on tentang konsep matematik
seperti 4 operasi aritmetik asas dan perkara berkaitan dengan pecahan.
Menurut Mok Soon Sang (1996), bahan manipulatif memberi peluang kepada pelajar memperoleh pengetahuan
melalui penggunaan pelbagai deria, iaitu deria penglihatan, deria sentuh dan
deria pendengaran. Bahan manipulatif merupakan bahan yang boleh merangsang
deria manusia dan diaplikasikan dalam konsep pembelajaran. Kanak-kanak peringkat
operasi konkrit sangat memerlukan bahan manipulatif sebagai bahan rangsangan
dalam pembelajaran.
Bahan manipulatif maya
juga berperanan seperti bahan manipulatif fizikal kerana bahan manipulatif maya
adalah model sebenar bahan manipulatif fizikal. (Dorwand & Heal, 1999). Bahan manipulatif maya juga menyediakan
persekitaran yang interaktif di mana murid dapat mencari dan menyelesaikan
masalah yang mereka hadapi untuk membentuk hubungan antara konsep matematik dan
operasi. Bahan manipulatif maya juga memberikan maklum balas segera
terhadap jawapan murid-murid yang mendorong murid-murid untuk memberi reaksi
dan reflek bagi membentuk kekonseptualan matematik mereka. Walaupun bahan
manipulatif maya juga adalah simulasi kepada bahan manipulatif fizikal tetapi
ia adalah abstrak kerana tidak berlaku aktiviti hands-on untuk bahan
manipulatif maya. Bahan manipulatif maya juga boleh digunakan secara
bergilir-gilir dengan bahan manipulatif fizikal kerana bahan manipulatif tidak
diharapkan untuk menjadikan konsep matematik boleh ‘disentuh’ tetapi untuk
menyorot (highlight) ciri-ciri yang menonjol dan penting tentang konsep.
Jadi, ia adalah
diperlukan untuk merekacipta bahan manipulatif matematik yang khusus untuk
konsep matematik yang berbeza. Bahan
manipulatif maya juga menyediakan kelebihan yang lebih berbanding bahan
manipulatif fizikal dengan menyingkirkan sekatan dan halangan yang mungkin akan
ditempuhi dalam menjalankan tugasan matematik ketika bahan manipulatif fizikal
digunakan. Sebagai contoh bahan manipulatif maya adalah fleksibel boleh
digerak-gerak dalam pelbagai cara dan kita boleh melakukan apa sahaja tanpa
halangan. Apa yang dapat disimpulkan kebanyakan bahan manipulatif maya adalah
lebih bermanfaat berbanding bahan manipulatif fizikal walaupun kedua-duanya
mempunyai fungsi yang sama. (Yuan, 2012).
Guru perlu bijaksana dan
kreatif dalam memilih bahan manipulatif fizikal dan bahan manipulatif maya
kerana kedua-duanya memiliki kekuatan dan kelemahan tersendiri. Bahan manipulatif maya menjadi pelengkap
kepada kelemahan bahan manipulatif fizikal yang terbatas penggunaannya dan juga
tidak fleksibel. Nanum begitu, bahan manipulatif maya pula tidak dapat menyediakan pengalaman yang hands-on kepada murid dan perkara ini
adalah salah satu kekuatan bahan manipulatif fizikal.
Gambar
rajah 3.4: Murid-murid dapat bekerjasama di antara satu sama lain semasa
aktiviti berkumpulan dijalankan
|
Kesimpulan
Pada era globalisasi dan teknologi seperti zaman
sekarang, guru perlu memperbanyakkan pembacaan, kajian dan mengambil inisiatif
bagaimana untuk meningkatkan mutu pendidikan negara. Penggunaan bahan
manipulatif fizikal dan bahan manipulatif maya adalah contoh bahawasanya guru
perlu proaktif dalam memainkan peranan sebagai pendidik. Pengajaran dan
pembelajaran yang bermakna bermula daripada seorang guru dan bahan manipulatif
hanya dapat membantu guru tersebut. Selain itu juga guru perlu bijak memilih
bahan manipulatif fizikal atau bahan manipulatif maya kerana kedua-dua bahan
perlu digunakan secra bergilir-gilir bagi melengkapi kelemahan dan kekuatan
masing-masing.
Dapat disimpulkan bahawa banyak peranan bahan manipulatif
dalam mewujudkan suasana proses pengajaran dan pembelajaran yang bermakna dan berkesan.
Guru perlu sedar dan sentiasa memastikan pendidikan yang dibawa adalah
ketinggalan zaman dengan mengamalkan pembelajaran pasif dan mengabaikan bahan
manipulatif sebagai resos matematik yang membantu pengajaran dan pembelajaran.
No comments:
Post a Comment