PENGENALAN
Bimbingan bukanlah elemen yang baru
dalam masyarakat kita. Sejak dahulu lagi bimbingan telah wujud dan sebati
dengan corak kehidupan masyarakat. Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di
sekolah Malaysia telah mula diperkenalkan pada tahun 1960. Di sekolah,
perkhidmatan bimbingan adalah bersifat peribadi yang bertujuan memberi bantuan
kepada individu untuk membuat pilihan dan peyesuaian diri dalam hidupnya.
Manakala, di peringkat sekolah rendah ia merupakan peringkat pertengahan zaman
kanak-kanak iaitu dari umur 6 hingga 12 tahun. Pada usia ini, kanak-kanak yang
diistilahkan sebagai murid-murid ketika berada di sekolah lebih cenderung
kepada aktiviti-aktiviti yang bercorak permainan.
Selain
itu, perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling bertambah penting sekarang kerana
negara-negara mengalami perubahan pesat. Faktor kesibukan ibu bapa, pengaruh
rakan sebaya dan media massa telah mendatangkan pelbagai kesan kepada
masyarakat dan negara. Bagi merealisasikan matlamat Falsafah Pendidikan
Kebangsaan dan menyahut cabaran Wawasan 2020 perkhidmatan Bimbingan dan
Kaunseling ini semakin penting serta dapat membantu murid mencapai celik akal
dan kesejahteraan hidup. Dalam masa yang sama keberkesanan perkhidmatan
Bimbingan dan Kaunseling di sekolah dapat membantu mengatasi masalah sosial
dalam kalangan murid.
Tugasan
EDU 3073 iaitu Bimbingan dan Kaunseling Kanak-kanak pada semester 7 ini, dalam
penulisan esei, penulis dikehendaki untuk memilih satu jenis terapi yang sesuai
untuk membantu murid bermasalah tingkah laku dalam pembelajaran yang serius.
Penulis juga dikehendaki untuk mendapatkan seorang murid yang bermasalah dan
aplikasikan terapi tersebut bagi membantunya serta menerangkan langkah-langkah
(prosedur) pelaksanaan secara teliti dan sistematik berhubung aplikasi
(penggunaan) terapi yang telah dipilih. Bagi tugasan seterusnya pula, penulis
diminta untuk membuat refleksi keseluruhan tugasan yang panjangnya dalam
lingkungan 500 patah perkataan.
1.0 KONSEP BIMBINGAN DAN KAUNSELING
Secara amnya perkhidmatan Bimbingan
dan Kaunseling adalah bersifat peribadi yang bertujuan memberi bantuan kepada
individu untuk membuat pilihan dan penyesuaian diri dalam kehidupan seharian.
Untuk memahami bagaimana kaunselor sekolah bekerja bersama murid dalam program
Bimbingan dan Kaunseling yang komprehensif adalah penting untuk kita memahami
bagaiamana Bimbingan dan Kaunseling berkembang di sekolah. Berikut merupakan konsep
bimbingan kaunseling yang diberikan oleh beberapa orang tokoh dalam bidang
Bimbingan dan Kaunseling:
1.1 Konsep Bimbingan
Bimbingan atau guidance dalam bahasa
Inggeris membawa erti memberi panduan atau nasihat kepada seseorang. Crow dan
Crow (1983) dalam buku Konsep Bimbingan dan Kaunseling menjelaskan bahawa
bimbingan di bawah konteks pendidikan merujuk kepada bantuan atau pertolongan
yang diberikan dengan betul kepada murid yang berkenaan. Menurut Mok Soon Sang
(2010) murid yang memerlukan bimbingan merujuk kepada murid yang menghadapi
masalah peribadi dari segi intelek, rohani, emosi ataupun sosial. Masalah-masalah
yang dihadapi oleh murid di peringkat sekolah boleh digolongkan dalam dua
kategori utama, iaitu masalah akademik dan masalah emosi-sosial. Di dalam
proses bimbingan, murid yang berkenaan akan diberi panduan atau nasihat yang
boleh membantunya menyelesaikan masalah tertentu.
Shertzer dan Stone (1974)
dalam buku Bimbingan dan Kaunseling Kanak-kanak menerangkan bimbingan sebagai
suatu proses yang membantu individu memahami diri mereka dan dunia mereka.
Individu tersebut akan dibantu oleh guru bimbingan atau kaunselor agar
menyedari segala kekuatan dan kelemahan diri mereka. Dengan itu, mereka akan
menentukan aras aspirasi yang lebih realistik dengan kebolehan dan minat
mereka.
Menurut
Alice Crow (1964) pula, bimbingan sebagai bantuan yang diberi kepada seseorang
individu bagi menentukan matlamat jangka pendek dan panjang, merancang
cara-cara bertindak serta memperbaiki sikap dan tingkah laku dalam aspek-aspek
yang perlu.
1.2 Konsep Kaunseling
Secara amnya kaunseling bukanlah
bererti nasihat walaupun terdapat unsur nasihat di dalamnya. Kaunseling adalah
perkhidmatan utama yang termasuk dalam program bimbingan. Ini kerana
perkhidmatan kaunseling sering disifatkan sebagai nadi kepada program
bimbingan. Menurut Lee Keok Cheong et. all (2012) istilah kaunseling berasal
daripada perkataan Inggeris iaitu counseling. Berikut merupakan pengertian
kaunseling yang diberikan oleh beberapa orang tokoh dalam buku Bimbingan dan
Kaunseling Kanak-kanak (2012). Manakala menurut Boy dan Pine (1968) kaunseling
ialah suatu perhubungan bersemuka di mana seorang klien mendapatkan bantuan
daripada seorang kaunselor. Perhubungan ini mempunyai ciri-ciri seperti
komunikasi yang efektif, saling hormat-menghormati, penerimaan klien seccara
tulen oleh kaunselor dan penumpuan diberikan kepada keperluan masalah serta
perasaan klien.
Gustael
dan Berdie (1953) mentakrifkan kaunseling sebagai proses berorientasikan
pembelajaran yang dijalankan dalam suatu suasana sosial yang mudah, di mana
kaunselor yang terlatih cuba membantu klien mencapai matlamat-matlamat hidup
agar dia menjadi anggota masyarakat yang gembira dan produktif. Kesimpulannya,
kaunseling adalah suatu perhubungan bersemuka yang disifatkan sebagai
komunikasi yang berkesan dan penerimaan klien secara tulen oleh kaunselor serta
perhubungan unik yang menggalakkan kebebasan pemikiran dan pernyataan perasaan
klien. Perhubungan ini adalah secara terbuka di mana tanggungjawab hasil
prosesnya bergantung kepada klien dan bukannya kaunselor.
1.3 Matlamat
Bimbingan dan Kaunseling
Matlamat utamanya ialah memberi
bimbingan dan saranan penyelesaian supaya pelajar dapat menggunakan nasihat dan
hasil saranan perbincangan dengan kaunselornya untuk menyelesaikan masalah
peribadi, pembelajaran atau kerjaya yang dihadapinya melaui usaha diri sendiri.
Konsep Bimbingan dan Kaunseling kadangkala disalahertikan sebagai sesuatu sesi
digunakan untuk menganalisis dan mengkritik kesalahan pelajar, menentukan punca
kesalahan, memberi ajaran, ataupun memaksa pelajar yang berkenaan supaya
menurut cara penyelesaian yang dicadangkan kaunselor. (Mok Soon Sang, 2011)
Konsep bimbingan dan
Kaunseling yang sebenar ialah kaunselor hanya perlu mendengar dan memahami
masalah yang dihadapi oleh kliennya, dan membimbingnya memikir penyelesaian
masalah dari pelbagai sudut, demi membolehkannya memahami pelbagai cara yang
boleh dipilh untuk menyelesaikan masalah peribadi, pembelajaran atau kerjaya
yang dihadapinya. Ringkas kata, matlamat Bimbingan dan Kaunseling ialah memupuk
kebolehan menyelesaikan masalah diri sendiri, membantu kliennya menguasai
pelbagai kemahiran asas untuk adaptasi dan penyesuaian diri serta dapat
menggunakan potensi dan pelbagai sumber yang sedia ada untuk mencapai prestasi
yang lebih baik dalam kehidupan.
1.4 Kepentingan Bimbingan dan Kaunseling
Bimbingan dan Kaunseling membantu
murid-murid untuk membantu diri mereka dan untuk memperkembangkan potensi
mereka secara optimum dengan menggunakan peluang maksima yang dibekalkan oleh
sesuatu persekitaran. Kepentingan bimbingan dan kaunseling ialah ia membantu
murid-murid untuk memahami diri mereka sendiri. Ia juga membantu murid-murid
dalam pengalaman mereka dengan benda-benda dan dunia di sekeliling mereka
seterusnya Bimbingan dan Kaunseling mempunyai kepentingan kendiri dan sosial.
(Mok Soon Sang, 2011)
Bimbingan dan kaunseling
secara tidak langsung juga membantu individu-individu untuk memperkembangkan
kebolehan dan kekuatan mereka untuk mencapai efisensi kendiri dan sosial tanpa
mereka sedari. Selain itu ia juga sangat penting bertujuan untuk mengakhiri
pembaziran resos manusia dan fizikal dengan membantu individu-individu untuk
mencari kedudukan mereka dalam masyarakat.
2.0 TERAPI YANG DIGUNAKAN UNTUK MEMBANTU
MURID BERMASALAH TINGKAH LAKU DALAM PEMBELAJARAN YANG SERIUS
Terapi sangat penting untuk menarik
minat dan membantu murid bermasalah tingkah laku dalam pembelajaran. Tidak
dinafikan bahawa masalah tingkah laku murid ini secara tidak langsungnya
mempengaruhi orang sekeliling. Jadi, sebagai seorang guru bimbingan di sekolah
hendaklah bijak memilih terapi yang sesuai digunakan untuk mengatasi masalah
ini serta perlu merancang dan melaksanakan intervensi dengan teratur dan rapi.
2.1 Terapi Bercerita
Terapi bercerita ialah seni
mempengaruhi orang lain dengan bercerita berkenaan dilema persendirian mereka.
Terapi ini juga merupakan media komunikasi antara ahli terapi dengan klien.
Komunikasi ini digunakan sebagai psikoterapi untuk mempengaruhi klien
mengembangkan diri mereka dalam cara yang dipersetujui antara ahli terapi
dengan klien (Lee Keok Cheong et. all 2012). Terapi bercerita merupakan suatu
pendekatan yang paling berkesan untuk kaunseling kanak-kanak yang mempunyai
tingkah laku bermasalah. Melalui penceritaan yang mengandungi nilai-nilai moral
yang berkaitan, kanak-kanak dapat mempelajari cara menyelesaikan masalah sebagaimana
yang digunakan oleh watak cerita.
Pengalaman traumatik
kanak-kanak membolehkan mereka memproses pengalaman yang dihadapi dengan teknik
bercerita. Hal ini bertujuan supaya dapat belajar sifat kepercayaan dan
perasaan keselamatan dengan menggunakan proses modeling atau peniruan. Terapi
ini dikira berjaya sekiranya klien mengenali elemen-elemen dalam cerita itu dan
menggunakan hasil yang ada dalam cerita itu sebagai hasil mereka sendiri. Klien
boleh menyelesaikan masalah yang dihadapi setelah membuat pengenalan serta
membentuk visual dan imej dalaman.
Akhiar Pardi dan Shamsina
Shamsuddin (2013) menyatakan bahawa kanak-kanak boleh menyerap pengajaran yang
dipelajari daripada watak-watak dalam cerita tersebut tanpa perlu bersikap
defensif atau mempertahankan isu sendiri. Kanak-kanak akan menganggap dan yakin
bahawa kejayaan memang boleh dicapai secara realistik. Cerita yang hendak
diserap hendaklah berkaitan dengan pengalaman kanak-kanak dan cerita hendaklah
berakhir secara positif.
Selain itu, aktiviti
bercerita biasanya mengandungi tiga peringkat yang utama iaitu perancangan dan
persediaan, sesi bercerita dan penutup. Sebagai guru bimbingan tiga peringkat
ini hendaklah dirancang dengan baik supaya tidak menjadi kucar kacir semasa
pelaksanaan terapi bercerita ini nanti. Harus bagi seorang guru bimbingan untuk
menarik minat klien terapi ini berjaya mencapai matlamat yang diinginkan.
Dalam peringkat
perancangan dan persediaan, guru memilih cerita yang sesuai, menghafaz isi
pentingnya dan menyediakan alat bantu mengajar yang berkaitan. Guru hendaklah
memulakan dengan memperkenalkan tajuk cerita semasa terapi cerita ini
dijalankan dan kemudian menggunakan teknik bercerita serta menyampaikan isi
kandungannya dengan suara yang menarik. Peringkat penutup pula dijalankan oleh
guru bimbingan sebagai aktiviti susulan, misalnya perbincangan tema cerita dan
moral yang terkandung dalam cerita itu.
Menurut Mok Soon Sang
(2010), terdapat beberapa teknik terapi bercerita yang berkesan antaranya ialah
teknik Harus sensitif iaitu elok menggunakan haiwan sebagai watak cerita atau
menukar watak jantina, misalnya diri perempuan kepada lelaki. Kedua pula ialah
teknik harus kreatif iaitu cerita harus disampaikan secara kreatif dan dengan
penuh semangat dan perasaan supaya menarik perhatian kanak-kanak untuk
mendengar. Seterusnya ialah teknik positif iaitu sentiasa mengakhiri cerita
dengan peristiwa positif dan kejayaan watak menangani masalah serupa dihadapi
oleh kanak-kanak. Terakhir sekali ialah teknik menggalakkan kanak-kanak mereka
cerita iaitu selepas mendengar cerita, kanak-kanak digalakkan untuk mereka
cerita serupa tema yang diceritakan. Tujuan mereka cerita ini adalah untuk
menambah keyakinan kanak-kanak menyelesaikan masalah sendiri.
3.0 PROSEDUR
PELAKSANAAN TERAPI BERCERITA
Bercerita
adalah satu cara yang berkesan untuk membina rapo serta mengenali kanak-kanak
dengan lebih mesra lagi. Semasa bercerita, kanak-kanak berkongsi maklumat
penting mengenai diri serta keluarga mereka. Menurut Mok Soon Sang (2011) guru biasa
memainkan peranan yang penting dalam membimbing murid di bawah jagaannya. Melalui
cerita yang disampaikan, mereka melahirkan perasaan terpendam. Hasilnya,
guru dapat memahami konflik kanak-kanak. Melalui tema yang menjelma atau
berulang semasa analisis, guru kaunseling dapat memahami perasaan mereka
serta perjuangan mereka dengan lebih dekat lagi.
Bagi
perlaksanaan dan penguasaan dalam kemahiran bercerita, guru harus memahami dan
mematuhi prosedur pelaksanaan terapi bercerita di mana ia boleh dibahagikan
kepada sebelum, semasa dan selepas aktiviti dijalankan seperti berikut sebelum
memulakan sesi terapi guru harus memilih cerita yang sesuai dengan minat,
kebolehan, umur dan pengalaman murid serta objektif pelajarannya seperti cerita
berkaitan dengan haiwan, cerita yang dapat menarik minat mereka. Kemudian sebelum
sesi bercerita bermula, guru harus menghafal isi-isi penting yang terkandung
dalam cerita itu. Ini memudahkan guru untuk menceritakan semula kepada murid
dengan lancar dan berkesan. Guru juga boleh menggunakan alat bantu mengajar
seperti kad-kad perkataan, kad-kad gambar, patung atau topeng yang boleh
menarik minat dan perhatian murid harus disediakan sbelum sesi bererita
dimulakan. Soalan-soalan untuk aktiviti susulan juga harus disediakan dan yang
paling utama pastikan sebelum memulakan sesi bercerita, semua murid telah
bersedia untuk mendengar cerita.
Semasa
sesi terapi dijalankan guru boleh duduk atau berdiri semasa bercerita, selagi
semua murid boleh melihat dengan jelas wajah dan ekspresi guru. Kemudian mulakan
cerita dengan suara yang menarik dan penuh dengan emosi. Pandangan terus ke
muka murid secara bergilir-gilir. Cara ini sangat berkesan untuk melibatkan
murid dalam tumpuan kepada cerita yang disampaikan. Pastikan suara guru jelas
dan lantang. Kemahiran variasi ransangan harus digunakan untuk mengubah-ubah
nada suara dan intonasi guru mengikut watak-watak dan kandungan cerita itu. Ini
untuk menjadikan murid dapat mengikuti cerita yang telah disampaikan oleh kita.
Kad-kad perkataan dan gambar harus digunakan untuk membantu murid memahami isi
cerita dengan lebih jelas.
Semasa
sesi bercerita, guru boleh mengemukakan soalan untuk mnggalakkan murid meramal
perkembangan cerita selanjutnya. Cara ini bukan sahaja dapat menarik perhatian
murid tetapi juga dapat mengembangkan daya imaginasi mereka. Pastikan ayat dan
perkataan yang digunakan untuk bercerita bolh difahami oleh murid. Tujuan
bercerita adalah untuk menyampaikan isinya bukan mengajar murid
perkataan-perkataan yang sukar. Isi cerita harus disampaikan kepada murid dngan
gerak geri secara semulajadi. Aktiviti lakonan guru haruslah dielakkan.
Selepas
bercerita, aktiviti susulan harus diadakan, misalnya aktiviti soal jawab
tentang tema dan nilai moral yang terkandung dalam cerita itu. Guru juga boleh
memberikan topeng-topeng yang disediakan kepada murid-murid untuk menjalankan
aktiviti lakonan. Melalui terapi bercerita ini, guru bimbingan dan kaunseling
perlu peka kepada lima komponen utama iaitu wira dan watak jahat, peristiwa
utama dan sampingan, perkaitan antara watak, bagaimana cerita merentasi masa
dan mesej yang disampaikan dalam cerita.
4.0 APLIKASI TERAPI BERCERITA BAGI MEMBANTU
MURID YANG BERMASALAH TINGKAH LAKU DALAM PEMBELAJARAN YANG SERIUS
REFLEKSI
MOR EDDIN BIN MORTADA
Terlebih dahulu saya ingin menyatakan
rasa bersyukur kepada Allah S.W.T kerana saya dapat menyiapkan tugasan projek
EDU 3073 ini dengan jayanya. Pelaksanaan Pentaksiran Kerja Kursus Projek bagi
Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan EDU 3073 iaitu Bimbingan dan Kaunseling
Kanak-kanak pada semester 7 ini memberi peluang kepada saya untuk menimba pengetahuan dan kemahiran sebagai pendidik
dan seterusnya bijak membuat keputusan dalam bilik darjah. Dengan adanya
tugasan ini, saya dapat merancang dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran
yang berdaya fikir dan efektif dalam bilik darjah mahupun luar bilik darjah.
Selain itu, saya juga mampu mengaplikasikan segala kemahiran berkaitan dengan
ilmu Bimbingan dan Kaunseling kanak-kanak yang saya telah pelajari hasil dari
tugasan EDU 3073 di samping mampu menyediakan keperluan fizikal dan mental
dalam menghadapi hari esok sebagai seorang pendidik.
Sejurus sahaja selepas mendapat soalan
tugasan projek ini, pelbagai perancangan telah saya atur dan lakukan bagi
memastikan tugasan ini dapat disiapkan dengan sebaiknya dan dihantar pada masa
yang telah ditetapkan. Saya cuba sedaya upaya untuk merancang segala keperluan
bagi memastikan pelaksanaan tugasan ini teratur dengan rapi. Saya telah mencari
bahan dan maklumat yang diperlukan dalam tugasan ini terutamanya buku rujukan
yang berkaitan dengan Bimbingan dan Kaunseling kanak-kanak.
Tugasan ini dibahagikan kepada dua
bahagian iaitu penulisan esei dan penulisan refleksi. Dalam penulisan esei,
penulis dikehendaki memilih satu jenis terapi yang sesuai untuk membantu murid
bermasalah tingkah laku dalam pembelajaran yang serius. Selain itu, penulis
dihendaki memilih seorang murid yang bermasalah dalam pembelajaran untuk
mengaplikasikan satu terapi yang sudah dipilih untuk membantu murid tersebut.
Penulis juga hendaklah menerangkan langkah-langkah (prosedur) perlaksanaan
secara teliti dan sistematik berhubung aplikasi (penggunaan) terapi yang telah
dipilih. Manakala, tugasan seterusnya penulisan refleksi iaitu membuat refleksi
keseluruhan tugasan yang panjangnya dalam lingkungan 500 patah perkataan.
Dalam refleksi ini, saya ingin
mengucapkan jutaan terima kasih khususnya kepada Encik Adib Farhan Bin Sapian
iaitu pensyarah bagi kursus EDU 3073 ini di atas segala maklumat dan bimbingan
yang telah diberikan kepada saya sebelum dan sepanjang melaksanakan tugasan
ini. Segala maklumat serta info-info yang disampaikan oleh beliau di dalam
bilik kuliah dapat saya gunakan dalam tugasan projek EDU 3073 ini. Tidak lupa
juga kepada rakan-rakan sekelas yang sentiasa memberi tunjuk ajar dan bimbingan
sepanjang melaksanakan tugasan ini.
Kelebihan yang saya dapat sepanjang
melaksanakan tugasan ini, saya mampu berinteraksi dan berkolaborasi dengan
lebih baik lagi bersama pensyarah, guru-guru di sekolah dan yang terlibat
secara langsung dan tidak langsung sepanjang tempoh menyiapkan tugasan projek
ini. Segala ilmu dan nota yang diberi oleh pensyarah kursus EDU 3073 ini
digunakan sepenuhnya oleh saya untuk memastikan tugasan ini siap dengan
baiknya. Tugasan ini juga mampu memotivasikan diri saya supaya lebih menepati
masa dan mendisiplinkan diri dalam kehidupan seharian bergelar sebagai seorang
guru pelatih. Dalam pada itu, kelebihan yang saya dapat ialah rakan-rakan telah
banyak membantu dari segi mendapatkan maklumat kerana tanpa bantuan daripada
mereka, tugasan yang saya laksanakan ini tidak sebaik yang diharapkan.
Pelaksanaan tugasan ini telah banyak memberi ilmu pengetahuan baharu kepada
saya berkaitan dengan ilmu Bimbingan dan Kaunseling Kanak-kanak yang
diaplikasikan semasa menjalani praktikum dan bergelar seorang pendidik masa
akan datang.
Selain itu, kelebihan yang saya dapat
juga ialah, saya dapat membantu murid yang bermasalah tingkah laku dengan
menggunakan terapi yang telah dipilih untuk membantu murid tersebut mengatasi
masalah yang dihadapi. Secara tidak langsung, tugasan ini membawa saya untuk
menerokai ilmu Bimbingan dan Kaunseling dengan lebih dalam lagi. Seterusnya,
tugasan ini membawa saya lebih banyak membaca berkaitan dengan ilmu Bimbingan
dan Kaunseling di media elektronik. Sememangnya, ilmu ini sangat penting yang
perlu ada dalam diri seorang guru untuk menghadapi dunia pendidikan yang penuh
dengan cabaran pada masa kini. Kelebihan yang saya dapat ini saya akan sentiasa
aplikasikan apabila berada dalam bilik kuliah, menjalani praktikum dan menjadi
pendidik yang sebenar pada masa akan datang.
Dalam usaha saya menyiapkan tugasan
ini, kekurangan yang saya dapat ialah, saya menghadapi masalah kekangan masa
dan dalam masa yang sama menjalani praktikum fasa 3 selama tiga bulan. Kekangan
masa ini ditambah lagi dengan tugasan bagi kursus yang lain pula pada semester
7 ini serta kesibukan dengan aktiviti sekolah yang sentiasa padat pada setiap
petang. Namun saya sentiasa bersabar dan cuba membahagikan masa dengan lebih
bijak untuk menyiapkan segala tugasan yang diberi. Kekurangan yang saya hadapi
juga ialah masa saya banyak terbuang dalam mencari seorang murid yang
bermasalah di sekolah saya menjalani praktikum. Hal ini kerana, masa tidak mengizinkan
saya untuk menjalankan sesi terapi ke atas murid. Terus terang saya katakan di
sini, tugasan bagi EDU 3073 ini sangat mencabar bagi diri saya kerana ianya
memerlukan pengetahuan dan pemahaman yang kukuh berkaitan dengan ilmu
perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling.
Tugasan ini juga memberi impak yang
besar ke atas diri saya sebagai seorang bakal pendidik. Hal ini kerana, tugasan
ini banyak mengajar saya untuk lebih cekap dari segi membahagikan masa dan
bertindak dalam kehidupan seharian. Seorang guru mestilah menepati masa dan
mampu untuk menyiapkan pelbagai kerja yang dikehendaki. Selain itu, saya juga
lebih rapat dengan rakan-rakan sekelas, kerana mereka telah banyak
berkolaborasi dengan saya. Mereka telah banyak memberi tunjuk ajar ke atas diri
saya yang serba kekurangan ini. Tugasan ini juga mengajar saya erti kesabaran
yang tinggi dalam kehidupan seharian dan seterusnya mampu memotivasikan diri
saya sendiri supaya bijak dalam memahami dan bersama-sama menolong murid untuk
mengatasi masalah yang mereka hadapi.
Alhamdulillah,
di atas segala usaha yang saya buat, akhirnya tugasan projek bagi kursus EDU
3073 iaitu Bimbingan dan Kaunseling Kanak-kanak ini siap sepenuhnya.
Sesungguhnya melalui tugasan ini banyak membuka minda saya untuk berfikir dan memahami
kerjaya seorang guru yang komited dengan tugasnya. Harapan saya semoga dengan
berakhirnya tugasan ini mampu mendidik saya menjadi seorang guru yang disenangi
oleh anak murid dan seterusnya dapat menjalankan tugas dengan sebaikny. Dalam
pada itu, segala pengalaman yang telah saya perolehi semasa menjalankan kerja
kursus ini dan juga melalui penulisan tugasan ini akan saya gunakan dan menjadi
bekalan apabila bergelar seorang pendidik pada masa akan datang.
No comments:
Post a Comment