. Amoi Chantek Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Thursday 28 August 2014

SOALAN 7
PENDEKATAN, STRATEGIK DAN KAEDAH PENGAJARAN
7.1       PENDEKATAN DAN KAEDAH PENGAJARAN
Pengenalan
Pendekatan adalah merujuk kepada cara bagaimana sesuatu mata pelajaran diajarkan berdasarkan kepada objektifnya (Edward M. Anthony 1963).  Ianya merupakan satu set andaian yang saling berkaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran serta mempunyai unsur-unsur aksiomatik (kenyataan yang dianggap benar tanpa memerlukan sebarang bukti atau alasan).
Model pembelajaran diperlukan sebagai rujukan untuk menentukan pendekatan yang dijalankan sesuai digunakan dan mendatangkan keberkesanan.  Pendekatan ini berteraskan kepada prinsip atau teori pembelajaran.
Semasa pengajaran dan pembelajaran seseorang guru boleh menggunakan kaedah-kaedah yang telah dipelajari.  Kaedah yang dipilih haruslah bersesuaian dengan tahap kognitif dan psikomotor pelajar.  Bagi memudahkan pengajaran dan pembelajaran dicadangkan guru mengaplikasikan strategi, kaedah, teknik dan pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan perkembangan murid. Pendekatan pengajaran berpusatkan guru, pelajar dan berpusatkan bahan.
Kaedah merupakan satu tatacara atau organisasi bagaimana aktiviti pengajaran pembelajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan. Ia merupakan satu siri tindakan guru yang sistematik untuk mencapai objektf pembelajaran khusus dalam jangka pendek.  Ianya juga adalah sebagai satu cara mendekati sesuatu objektif pelajaran dan langkah-langkah penyampaian yang tersusun. “Merujuk kepada satu ikhtiar keseluruhan yang dikehendaki dalam satu set prosedur yang tersusun berdasarkan kepada sesuatu pendekatan yang dipilih  (Edward M. Anthony 1963).
Pendekatan Berpusatkan Pelajar
            Di dalam pendekatan ini, murid memainkan peranan penting dalam pengajaran dan pembelajaran. Murid-murid digalakkan melibatkan diri secara aktif dalam pengajaran dan pembelajaran. Peranan guru hanyalah sebagai pembimbing kepada murid yang menjalankan aktiviti pembelajaran. Komunikasi dan interaksi di antara guru dan murid adalah dua hala. Guru menggunakan kaedah menyoal dan membimbing murid supaya murid berfikir dan bertindakbalas dengan memberikan jawapan. Di dalam pendekatan ini, guru akan bersifat demokratik.
Kaedah Berkumpulan / Perbincangan
            Kaedah pengajaran yang berkesan apabila menggunakan pendekatan berpusatkan murid ialah kaedah pengajaran berkumpulan. Pendekatan ini juga menggalakkan murid memberi pendapat mereka. Guru banyak menggunakan kaedah berbincang dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Strategik pengajaran dan pembelajaran lebih mengutamakan pencapaian objektif pembelajaran murid.  Di dalam pendekatan berkumpulan ini, penyampaian guru ditumpukan kepada pengajaran yang bermakna supaya murid-murid memahami fakta-fakta yang di sampaikan dan mereka berupaya membuat kesimpulan sendiri. Peluang interaksi diantara murid adalah banyak dan sifat sosial yang positif seperti tolong menolong, bekerjasama dan bertolak ansur selalu dipupuk. Di dalam kaedah ini, murid dapat menunjukkan sifat kreatif dan berinisiatif.
            Pendekatan berkumpulan atau perbincangan ini bertujuan untuk melatih murid membiasakan diri bercakap dalam situasi formal, iaitu memberi peluang kepada mereka untuk menyuarakan pendapat. Kaedah ini juga dapat membina keyakinan diri dan konsep kendiri murid. Guru harus menggalakkan murid mengembangkan kemahiran dalam mengemukakan hujah, pendapat, menyoal serta menyelesaikan masalah. Topik perbincangan haruslah sesuai dengan objektif dan minat murid-murid. Guru perlu menentukan objektif perbincangan iaitu samaada perbincangan itu adalah mengumpulkan fakta atau untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Pada akhir perbincangan, guru bersama murid harus merumuskan isi-isi penting terhadap penyelesaian masalah dalam perbincangan.
Kaedah Main Peranan
            Main peranan merupakan satu aktiviti pembelajaran yang melibatkan murid memainkan sesuatu peranan sama ada sebagai dirinya atau individu lain. Murid berpeluang beraksi sebagaimana yang dikendaki oleh situasi yang ditentukan oleh guru. Aktiviti main peranan boleh dijalankan dalam bilik darjah dengan melibatkan kesemua murid atau sebahagian murid. Murid yang tidak melakonkan watak boleh menjadi pemerhati kepada situasi yang dilakonkan. Kaedah ini lebih memberi penekanan kepada kualiti atau mutu aksi yang dihasilkan oleh setiap peserta. Prinsip-prinsip main peranan ialah seperti berikut :
  1. Memberikan peluang kepada murid-murid untuk melahirkan idea, berbincang dan memikirkan masalah diri sendiri dan memahami diri sendiri dengan lebih mendalam.
  2. Melatih murid melakonkan pelbagai watak dan mengalami sendiri semua situasi.
Main peranan memberi peluang kepada murid melibatkan diri dalam lakonan dan perbincangan. Ia juga membolehkan murid-murid yang pasif melibatkan diri dalam aktiviti pengajaran dan . Ia membolehkan murid berinteraksi sesama mereka dan berkomunikasi secara berkesan dalam watak-watak yang dimainkan. Di dalam melaksanakan teknik main peranan perkara-perkara yang mesti di beri perhatian ialah:
  1. Guru mesti memilih tajuk yang sesuai dengan kebolehan dan minat murid
  2. Penerangan guru mesti jelas /simulasi masalah yang perlu dilaksanakan
  3. Penentuan peserta-peserta untuk memainkan peranan
  4. Murid-murid lain diterangkan peranan sebagai pemerhati yang aktif.
  5. Peserta memainkan peranan masing-masing. Masa yang diberikan antara 15 hingga 20 minit untuk sesuatu sesi main peranan.
  6. Selepas itu, pemerhati akan berbincang tentang lakonan oleh para peserta

Kelebihan teknik main peranan ialah ia meningkatkan penguasaan bahasa di kalangan murid-murid. Teknik ini membantu murid meningkatkan kemahiran-kemahiran seperti menyoal dan mendapatkan maklumat tambahan. Ia juga menolong murid melahirkan perasaan dengan menggunakan bahasa dan aksi yang sesuai.

PENDEKATAN BERPUSATKAN GURU
            Pendekatan berpusatkan guru merupakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang telah lama diamalkan di dalam bilik darjah. Di dalam aktiviti ini, guru menguasai dan mengawal segala aktiviti pembelajaran. Di dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran guru memainkan peranan penting dan murid berperanan sebagai penonton sahaja. Komunikasi dan interaksi di antara guru dan murid adalah sehala. Guru banyak bercakap dan murid hanya mendengar. Ciir kepimpinan guru juga bersifat autokratik. Murid-murid tidak berpeluang menyumbangkan pendapat mereka. Guru yang banyak bertindak dan memberi arahan. Strategik pengajaran dan pembelajaran lebih mengutamakan pencapaian objektif pengajaran guru. Pendekatan ini mementingkan pencapaian murid-murid berdasarkan keputusan ujian dan peperiksaan. Teknik mengajar guru tertumpu kepada penyampaian fakta-fakta. Pembelajaran murid banyak berbentuk mengingat dan menghafal. Justeru, murid kurang berupaya membuat interpetasi.
Kaedah Bercerita
            Di dalam kaedah bercerita, guru mesti inovatif dalam mencari cerita yang sesuai dengan objektif pengajaran dan pembelajaran. Guru juga mesti memastikan cerita yang dipilih sesuai dengan umur murid-murid dan dapat menarik perhatian atau minat mereka. Guru juga boleh mengunakan bahan-bahan sampingan yang dapat menarik lagi minat murid-murid terhadap cerita yang disampaikan seperti boneka, tali binatang mainan, kertas dan sebagainya. Pada masa yang sama guru perlulah mempelbagaikan suara dan nada supaya cerita yang ingin disampaikan kepada murid-murid menjadi lebih menarik. Kebaikan teknik bercerita ialah ia dapat melengkapkan murid dengan pelbagai kemahiran dan kecekapan bahasa terutama kecekapan lisan. Kemahiran-kemahiran yang guru perlu menggunakan dalam teknik bercerita ialah:
  1. Kemahiran verbal seperti projeksi suara, penekanan frasa, atau bunyi dan penggunaan ayat –ayat yang mudah
  2. Nada suara yang sesuai untuk menggambarkan situasi tertentu dan memiliki kebolehan memanipulasi mimik muka untuk menunjukkan emosi yang berlainan.
Aktiviti yang paling penting di dalam kaedah bercerita ialah sesi perbincangan yang menyusuli selepas guru habis bercerita. Dalam proses perbincangan, guru mesti memastikan yang dia menguji kefahaman murid tentang cerita yang telah disampaikan oleh guru. Guru juga dapat membina pelbagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran selepas satu sesi cerita iaitu:
  1. Kefahaman
  2. Latihan tatabahasa
  3. Merumuskan isi-isi penting dalam cerita.

Kaedah Demonstrasi / Tunjuk Cara
            Tunjuk cara ialah satu kaedah untuk melatih murid memerhati, dan melakukan sesuatu aktiviti mengikut prosedur – prosedur yang tertentu. Ia melibatkan demonstrasi oleh guru di hadapan kelas untuk menunjukkan sesuatu aktiviti atau langkah penajaran. Cara ini sesuai untuk pengajaran tarian, olahraga, permainan dan membuat satu ujikaji. Kebaikan tunjuk cara ialah ia memberi peluang kepada murid untuk benar-benar memahami apa yang hendak dipelajari setelah melihat demonstrasi yang ditunjukkan oleh guru. Semasa membuat demonstrasi, guru perlu memberi penerangan yang jelas supaya murid-murid dapat memerhati dengan baik. Selepas membuat demonstrasi, perbincangan tentang perkara-perkara yang ditujukcara mesti dijalankan oleh guru. Murid-murid perlu menulis laporan ringkas mengenai tunjuk cara tersebut. Dalam melaksanakan tunjukcara, guru hendaklah menentukan topik, objektif dan menyediakan alatan atau bahan yang hendak digunakan dalam sesi pengajaran. Satu kebaikan tunjukcara ialah ia memperkenalkan bahan pengajaran baru kepada murid-murid melalui deria penglihatan dan pendengaran. Kelemahan dalam penggunaan tunjukcara ialah ia memerlukan perancangan dan persediaan yang rapi dan teliti oleh guru sebelum sesi tunjuk cara. 
PENDEKATAN PEMUSATAN BAHAN
            Pendekatan pemusatan bahan terbahagi kepada dua kategori iaitu bahan pengajaran dan bahan pembelajaran. Bahan-bahan yang digunakan ialah seperti carta, graf, peta, model, gambar, slaid video. Pendekatan ini memupuk sifat- sifat sosial yang positif khasnya bila murid dan guru berkongsi sumber dan bahan. Murid-murid mendapat pengalaman realistik kerana dapat melihat situasi sebenar atau bahan maujud dan konkrik. Interaksi yang berlaku dalam bilik darjah adalah banyak hala iaitu di antara guru dengan bahan, bahan dengan murid dan guru dengan murid dan bahan. Pendekatan ini menekankan perkembangan jasmani, kognitif dan rohani murid-murid.
7.2  KAEDAH PERBINCANGAN DALAM KUMPULAN
            Kaedah perbincangan merupakan satu aktiviti berkumpulan di mana murid-murid berinteraksi sesama mereka dalam membincangkan satu isu atau masalah. Di dalam menarik perhatian ahli kumpulan untuk sama-sama bertindak aktif, guru perlu memainkan peranan dengan memberi peluang murid mnegemukakan isu, pendapat dan idea mengenai sesuatu topik. Guru harus menggalakkan murid mengembangkan kemahiran dalam mengemukakan hujah, pendapat, menyoal serta menyelesaikan masalah. Perkara yang paling penting untuk memupuk ahli terlibat secara menyeluruh ialah topik perbincangan mestilah sesuai dengan objektif dan minat murid.
            Peranan guru di dalam sesi perbincangan kumpulan ialah sebagai pemudah cara dan membimbing murid sepanjang sesi perbincangan. Guru perlu mengemukakan soalan divergen dan menggalakkan murid-murid untuk menyoal idea-idea rakan mereka. Semasa perbincangan, guru perlu mengawal aktiviti perbincangan supaya murid-murid menumpukan perhatian.
            Di dalam menarik perhatian semua murid bertindak dengan aktif, pendekatan pemusatan bahan juga perlu diterapkan. Penggunaan bahan-bahan pengajaran seperti carta, graf, gambar dan slaid video sebagai sumber perbincangan, ia akan menjadikan perbincangan lebih menarik dan mendapat tumpuan semua pelajar. Pada akhir perbincangan, guru bersama murid harus merumuskan isi-isi penting terhadap penyelesaian masalah dalam perbincangan kumpulan.













7.3       STRATEGIK PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BESTARI 
Strategik Direktif
Pembelajaran secara direktif bermaksud, murid-murid belajar melalui penerangan tentang konsep / kemahiran oleh guru dan diikuti oleh ujian kefahaman dan latihan yang dibuat dengan bimbingan guru. Contoh strategi-strategi pengajaran yang boleh digunakan oleh guru ialah kuliah dan latih-tubi.
Strategik Mediatif
Pembelajaran secara mediatif pula, murid-murid diajar oleh guru untuk mengaplikasikan pengetahuan untuk menyelesaikan masalah, membuat keputusan, mengenalpasti andaian dan menilai kebenaran andaian, keputusan dan hipotesis. Contoh-contoh aktiviti pengajaran yang boleh digunakan oleh guru dalam pendekatan mediatif ialah seperti penaakulan dialektual, pemerolehan konsep, pembentukan konsep, latihan inkuiri dan perbincangan terbuka.
Strategik Generatif
Dalam strategik generatif, guru akan menggalakkan murid menjanakan idea-idea kritis dan kreatif. Strategik ini membantu murid-murid menyelesaikan masalah secara kritis dan kreatif dengan menggunakan idea-idea yang asli dan unik. Contoh-contoh aktiviti sumbangsaran yang boleh digunakan oleh guru ialah seperti pemetaan minda, pemikiran lateral dan kreatif.
Strategik Pemerhatian
Pendekatan pemerhatian, murid-murid diajar mengikuti perbuatan guru atau memodelkan perlakuan sesuatu kemahiran. Contoh aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang boleh digunakan oleh guru dalam kaedah pemerhatian ialah tunjuk cara.
Strategik Kontekstual
Untuk strategik yang seterusnya, guru boleh menggunakan kaedah kontekstual yang mengaitkan bahan pengajaran dan pembelajaran kepada situasi dunia yang sebenarnya. Kaedah ini memotivasikan murid-murid untuk membuat kaitan antara ilmu pengetahuan dengan pengaplikasiannya kepada kehidupan mereka sebagai ahli keluarga dan rakyat. Pembelajaran kontekstual penting kerana ia mengaitkan pembelajaran kepada realiti kehidupan. Jenis pembelajaran lain yang boleh dikaitkan kepada pembelajaran kontekstual ialah pembelajaran ’eksperential’, pengalaman hidup sebenar, pembelajaran aktiviti dan pembelajaran berpusatkan murid. Pembelajaran ini mementingkan penyelesaian masalah. Ia memberikan pengakuan bahawa situasi pengajaran dan pembelajaran boleh berlaku juga di dalam rumah dan masyarakat. Ia mengajar murid untuk memantau dan mengarah pembelajaran sendiri supaya mereka lebih berdikari. Prinsip-prinsip penting dalam pembelajaran kontekstual ialah seperti:
a.       guru menggalakkan murid untuk belajar daripada satu sama lain
b.      guru menggunakan penilaian sebenar  
c.       pembelajaran kontekstual bergantung kepada ingatan spatial
d.      guru dapat menyepadukan mata pelajaran-mata pelajaran yang berlainan
e.       penilaian autentik melalui pengalaman praktikal.
Strategik Metakognitif
Dalam strategi metakognitif, murid-murid memikirkan tentang proses pembelajaran, rancangan pembelajaran, pemantauan dan penilaian kendiri. Contoh-contoh soalan yang boleh diberikan oleh guru kepada murid-muridnya dalam strategi metakognitif ialah Apakah yang saya telah belajar? Bagaimana saya boleh mempertingkatkan prestasi saya? Apakah bantuan yang saya perlu? Murid-murid dapat mempraktikkan strategi metakognitif semasa mereka menjalani latihan praktikum atau membuat journal refleksi. Pemikiran metakognitif ialah pemikiran aras tinggi yang boleh dipraktikkan oleh murid-murid
Strategik Konteks Luar
Kaedah konteks luar ialah aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan oleh guru di luar bilik darjah atau di makmal sains. Dalam kaedah ini, peranan guru sebagai seorang fasilitator di mana dia akan cuba menyelesaikan semua masalah yang dihadapi oleh murid. Guru akan memberikan satu aktiviti penyelesaian masalah dan murid mesti berada di luar bilik darjah untuk menyelesaikan masalah ini. Selepas menyelesaikan aktiviti yang diberikan oleh guru, murid akan menyediakan laporan secara individu atau mengikut kumpulan.
Strategik Kajian Masa Depan
Dalam kaedah kajian masa depan, guru membolehkan murid-murid mengambil bahagian dalam penciptaan masa depan. Dalam konteks persekolahan, kajian masa depan adalah amat penting untuk golongan remaja dan murid. Kaedah ini dapat membantu murid untuk melihat manusia berfikiran jauh dan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang mungkin dihadapi pada masa akan datang. Dua prinsip dalam kajian masa depan ialah masa depan sahajalah merupakan ruang di mana kita mempunyai kuasa atau pilihan untuk bertindak atau melakukan sesuatu, terdapat bukan hanya satu masa depan tetapi beberapa dan pelbagai masa depan. Oleh itu, pemilihan soalan kajian masa depan perlu dilakukan dengan beretika dan bertanggungjawab oleh guru. Contoh-contoh soalan yang boleh dikemukakan oleh guru dalam kaedah ini ialah seperti bagaimana keadaan lalu lintas pada satu hari nanti di Malaysia? Apakah kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku pada masa depan? Apakah kesan-kesan daripada penebangan hutan? Guru boleh menanya soalan sama ada murid pernah melihat hutan? Apakah yang akan berlaku pada haiwan-haiwan bila hutan ditebang dan apakah akibat-akibatnya apabila tiada lagi tumbuhan hijau di dunia?








           


No comments:

Post a Comment