. Amoi Chantek Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Thursday 28 August 2014

1.0 Pendahuluan
            Sumber bahan pengajaran dan pembelajaran ialah apa-apa sahaja alat atau bahan yang berperanan dan bertugas untuk membantu guru-guru supaya dapat menyampaikan isi pelajaran untuk memastikan murid-murid memperoleh pengetahuan, kemahiran, sikap dan nilai berdasarkan objektif kurikulum. Alat-alat atau bahan –bahan ini dapat membantu guru dengan menyokong penyampaian pelajaran. Terdapat beberapa jenis sumber atau alat yang boleh membantu dalam pengajaran guru. Jenis-jenis alat tersebut ialah bahan bercetak, bahan teknologi maklumat dan bahan maujud. Semua sumber pengajaran dan pembelajaran boleh digunakan untuk menyampaikan isi pelajaran. Bahan-bahan seperti ini dapat merangsang deria rangsangan murid-murid, kefahaman dan interpretasi maklumat kepada murid, pengekalan minat dan tumpuan melalui pelbagai media, peningkatan daya ingatan, kemahiran berfikir, peningkatan motivasi peningkatan kreativiti, keseronokan dalam pembelajaran dan pelbagai lagi.
            Oleh itu, tugasan saya pada kali ini dikehendaki untuk akan membincangkan kekuatan dan kelemahan salah satu sumber elektronik dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Saya telah memilih bahan elektronik jenis komputer untuk diperlihatkan sejauh mana kekuatan dan kelemahan penggunaan alat tersebut bagi membantu proses pengajaran dan pembelajaran murid di sekolah.
2.0 Kekuatan dan Kelemahan Komputer dalam Pengajaran dan Pembelajaran
            Bidang pendidikan yang berkembang dari semasa ke semasa menyebabkan bahan bantu mengajar juga telah muncul dalam pelbagai bentuk. Salah satu bahan bantu mengajar yang sering digunakan pada masa kini ialah bahan elektronik. Bahan elektronik terdiri daripada pelbagai bentuk. Antaranya ialah komputer, filem, televisyen, radio, transparensi, overhead projector, LCD dan pelbagai lagi. Dunia yang semakin maju sekarang telah membawa masuk teknologi dalam pendidikan. Sememangnya kita tidak dapat lari dengan arus kemajuan. Oleh itu, penggunaan teknologi dalam pendidikan sememangnya sangat penting bagi menjamin pendidikan di Malaysia seiring dengan negara-negara maju yang lain.
            Secara umumnya, penggunaan bahan elektronik dalam pendidikan mempunyai pelbagai kebaikan. Antaranya ialah memotivasikan pelajar. Hal ini kerana penggunaan alat elektronik seperti perisian komputer tidak membosankan berbanding penggunaan buku teks dan buku nota. Apabila murid bermotivasi untuk belajar sudah tentu mereka akan lebih bersungguh-sungguh untuk belajar dan beroleh kejayaan. Penggunaan bahan elektronik juga membantu murid menghubungkaitkan teknologi dengan kehidupan. Kehidupan seharian kita yang tidak lari dari penggunaan bahan elektronik sudah tentu memudahkan lagi murid untuk belajar. Penggunaan bahan elektronik bukanlah disarankan seratus peratus dalam pengajaran dan pembelajaran, namun bahan elektronik boleh dijadikan alat sokongan untuk membantu murid dan guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Seterusnya, penggunaan bahan elektronik juga akan membantu memartabatkan profesion pendidikan. Pendidikan di Malaysia seharusnya setanding dengan negara-negara maju di dunia. Oleh itu, penggunaan teknologi dalam pendidikan sekurang-kurangnya memperlihatkan usaha negara kita untuk meningkatkan profesion pendidikan di Malaysia.
            Seperti mana yang saya bincangkan sebentar tadi, bahan elektronik terdiri daripada pelbagai jenis dan bentuk. Namun begitu, setiap bahan tersebut mempunyai kelebihan dan kelemahannya tersendiri. Oleh itu, saya telah memilih bahan bantu elektronik iaitu komputer untuk dibincangkan kekuatan dan kelemahannya sebagai bahan bantu mengajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Komputer merupakan salah satu jenis bahan elektronik yang sememangnya wajib ada di setiap sekolah. Marcapada ini, jarang sekali kita melihat sesebuah sekolah yang tidak dilengkapi dengan kemudahan makmal komputer kecuali sekolah di kawasan pendalaman. Komputer mempunyai pelbagai perisian di dalamnya. Perisian komputer mampu membantu guru dan murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Kelebihan bahan ini ialah boleh memperlihatkan sesuatu lukisan itu lebih jelas dan menarik. Sebagai contoh, seorang guru mata pelajaran sains ingin mengajar mengenai ciri-ciri seekor harimau. Sudah tentu guru tersebut tidak mampu untuk membawa seekor harimau ke sekolah. Dengan berbantukan komputer dan LCD guru tersebut boleh menunjukkan dengan jelas ciri-ciri seekor harimau dengan memaparkan gambar atau video mengenai harimau.  Selain itu, dengan komputer pelbagai maklumat boleh diakses daripada pelbagai jenis laman web. Penggunaan komputer dikatakan mampu menjadikan maklumat hanya di hujung jari. Hal ini kerana dengan penggunaan komputer pelbagai perkara boleh dilakukan. Terdapat pelbagai maklumat yang boleh diakses menggunakan komputer. Guru dan murid mempunyai banyak sumber yang boleh digunakan untuk mengakses mengenai sesuatu topik pembelajaran dan boleh membanding bezakan sesuatu maklumat tersebut.
             Perisian komputer juga mampu menjanjikan pembelajaran yang lebih menyeronokkan. Murid-murid boleh menjawab dan menyemak soalan dengan menggunakan perisian di dalam komputer. Contohnya, guru-guru boleh memberikan latihan secara online dan murid boleh menyemak jawapan mereka sama ada jawapan mereka betul atau salah.  Penggunaan komputer juga membolehkan pembelajaran secara individu dilaksanakan. Guru boleh memberikan kerja sekolah dengan menggunakan e-mel sahaja. Seterusnya, perisian di dalam komputer seperti Microsoft Office juga boleh membantu guru dan murid belajar dengan lebih efektif. Kebanyakan guru pada hari, boleh menggunakan Power Point untuk memberikan nota ringkas kepada murid. Kelebihan perisian ini ialah guru boleh menyediakan nota-nota yang menarik minat murid dengan meletakkan video, audio dan grafik yang menarik. Dengan itu, murid akan lebih menumpukan perhatian semasa guru mengajar.
            Penggunaan komputer juga membantu guru mengakses video-video menarik daripada pelbagai laman web untuk dijadikan panduan mengajar dan tarikan buat murid-murid. Pada masa kini, terdapat pelbagai video yang berunsurkan pendidikan yang sangat membantu guru dan murid-murid untuk merancang dan melaksanakan aktiviti yang menarik dalam bilik darjah. Contohnya, video mengenai zaman pra-sejarah, video membuat origami dan pelbagai lagi. Oleh itu, guru mungkin boleh menggunakan video-video yang menarik yang terdapat di laman web untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
            Namun begitu, penggunaan bahan elektronik seperti komputer ini jika tidak dikawal sudah tentu boleh mendatangkan keburukan. Di samping itu kebergantungan guru terhadap komputer juga boleh mendatangkan masalah ketika waktu-waktu tertentu. Antara kelemahan penggunaan komputer ialah murid-murid mungkin melayari laman web yang tidak berfaedah jika guru dan ibu bapa tidak memantau laman web yang dilayari oleh mereka. Sebagai contoh, pada hari ini kita sering dipaparkan mengenai murid sekolah rendah yang menonton video yang tidak sepatutnya. Disebabkan itu, pemantauan sangat penting sekiranya guru ingin menggunakan komputer sebagai bahan bantu mengajar. Selain itu, penggunaan komputer juga menjadikan murid-murid leka. Hal ini kerana murid mungkin melayari pelbagai permainan di dalam komputer.
            Penggunaan slide power point oleh guru juga akan memberikan kesukaran sekiranya bekalan elektrik terputus di sekolah. Guru yang terlalu bergantung pada bahan elektronik seperti komputer berkemungkinan tidak mampu untuk mengajar sekiranya bekalan elektrik terputus. Guru-guru juga akan menghadapi masalah sekiranya ditempatkan atau ditukarkan ke kawasan pedalaman di mana kemudahan komputer tidak disediakan. Oleh itu, guru perlulah tidak terlalu bergantung pada bahan elektronik.  
            Di samping itu, penggunaan komputer juga akan mendatangkan masalah sekiranya guru langsung tidak menyimpan segala bahan pengajaran dan pembelajaran dalam bentuk asal kerana sekiranya komputer diserang virus atau mengalami kerosakan, guru berkemungkinan kehilangan segala maklumat penting. Oleh itu, guru-guru tidak digalakkan bergantung  sepenuhnya dengan komputer. Penggunaan komputer di sekolah juga memerlukan penyelenggaraan yang rapi. Komputer perlulah dijaga dengan baik untuk memastikan ia berfungsi dengan baik. Kos penyelenggaraan yang tinggi menyebabkan penggunaan komputer kadang kala boleh mendatangkan masalah.
            Kesimpulannya, penggunaan bahan elektronik seperti komputer sebenarnya mempunyai kekuatan dan kelemahannya tersendiri. Sebagai seorang bakal guru, kita seharusnya tidak bergantung pada sesuatu bahan sahaja. Guru perlulah mempunyai pelbagai kemahiran dan bijak menggunakan pelbagai sumber pengajaran supaya lebih bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

3.0 Kesimpulan
            Tuntasnya, penggunaan bahan elektronik iaitu komputer dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah mempunyai kekuatan dan kelemahannya tersendiri. Teknologi sememangnya sangat penting pada hari ini. Namun begitu, seorang guru seharusnya bijak dalam merancang pengajaran dan tidak terlalu bergantung pada satu sumber bahan pengajaran sahaja.
            Penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran sememangnya mampu menarik minat murid untuk belajar dan mampu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan. Guru seharusnya bijak menggunakan sumber elektronik ini untuk merancang pembelajaran yang lebih bermakna. Dengan adanya sumber elektronik seperti komputer, tugas guru menjadi lebih mudah. Guru tidak perlu untuk membawa bahan bantu mengajar yang besar dan berat ke sekolah semata-mata untuk menunjukkan sesuatu dengan lebih dekat kepada murid. Berbantukan komputer segala-galanya menjadi lebih mudah untuk guru menjalankan tugasnya dengan lebih efisien.
            Oleh itu, penggunaan komputer sememangnya sangat disarankan dalam bidang pendidikan bagi mendukung hasrat negara untuk melahirkan individu yang celik teknologi.



No comments:

Post a Comment