. Amoi Chantek: Sejarah Sabah Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Tuesday 1 April 2014

Sejarah Sabah

1.0      Pengenalan
Pulau Borneo merupakan pulau ketiga terbesar di dunia dan terletak di tengah jalan perdagangan utama dan menguntungkan serta mempunyai keluasan tanah luas yang subur untuk yang dapat memenuhi segala keperluan kehidupan manusia.[1]  Kedudukan geografi yang strategik dan sumber bumi yang belum diterokai sepenuhnya menjadikan pulau ini salah satu pulau yang menjadi tumpuan untuk penjelajahan, penjarahan dan penjajahan oleh kuasa Barat pada sekitar awal abad ke 17 sehingga abad ke 18.

          Dari segi konsep, Penjelajahan dapat didefinisikan sebagai satu kegiatan mengelilingi atau berjalan ke merata-rata tempat. Manakala, penjarahan bermaksud merompak atau menceroboh sesuatu kawasan secara paksa untuk tujuan yang tersendiri terutamanya bagi kepentingan pihak yang menjarah itu sendiri.[2] Penjelajahan pula dapat ditakrifkan sebagai kegiatan sesebuah negara untuk meluaskan wilayah dengan menguasai dan menjelajah negara-negara lain sama ada dari aspek ekonomi, politik mahupun sosial dan dari perspektif ‘imperialisme’ bermaksud satu bentuk penguasaan negara-negara yang kuat terhadap negara-negara yang lemah yang bertujuan utamanya adalah untuk mengeksploitasi sumber-sumber yang ada di negara tersebut demi kepentingan untuk mengukuhkan kuasa negara mereka.[3]

          Sebelum kedatangan kuasa Barat di sekitar Perairan Borneo, wilayah di sekitar perairan Borneo dikuasai oleh Kesultanan Melayu Brunei dan Sultan Bulkiah merupakan pemerintah kelima dalam Salasilah Kesultanan Brunei yang telah ditabalkan takhta kerajaan pada awal abad ke-16. Pada ketika ini, Kesultanan Melayu Brunei mencapai zaman kegemilangan sehingga telah diberi gelaran sebagai Nakhoda Ragam kerana baginda merupakan seorang ahli pelayaran yang cekap dan handal sehingga disamakan seperti ‘Putera Henry Ahli Pelayaran’ di Eropah.[4] Semasa di bawah pentadbiran dan pemerintahan Sultan Bulkiah, Borneo khususnya Brunei telah menjadi salah satu kawasan tumpuan perdagangan daripada saudagar Eropah, China dan India. Malah, Sultan Bulkiah juga telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan raja-raja Islam di Indonesia, dan China. Impaknya, pada ketika ini Pulau Borneo khususnya Brunei telah menjadi salah satu kawasan terpenting di Asia Tenggara.[5]

Walau bagaimanapun, perkembangan dan persaingan antara kuasa Barat yang menjalankan dasar Gold, Gospel dan Glory telah mendorong kepada berlakunya kegiatan penjelajahan, penjarahan, dan penjajahan di sekitar perairan Borneo. Justeru, dalam membincangkan faktor kedatangan kuasa Barat di perairan Pulau Borneo, tiga faktor utama dapat dilihat khususnya dari segi ekonomi, sosial dan politik.

Dari segi faktor ekonomi, perkembangan zaman perdagangan atau mercantilisms seterusnya revolusi perindustrian yang berlaku pada abad 17-18 telah menyebabkan kuasa-kuasa Barat menumpukan perhatian ke atas Benua Asia, Afrika dan Amerika untuk memperoleh bahan mentah dan pasaran bagi memenuhi keperluan perindustrian.[6] Keperluan bahan mentah, getah, arang batu, rempah dan lain-lain telah menyebabkan kuasa Barat menumpukan perhatian di sekitar perairan Borneo yang kaya dengan sumber hasil bumi dan laut. Manakala, dari segi faktor politik, persaingan kuasa antara negara Eropah yang melihat faktor keluasan tanah jajahan sebagai faktor pengukur kekuatan dan kekuasaan politik sesebuah negara serta keinginan kuasa barat untuk mengimplementasikan ideologi pentadbiran mereka dengan mengaplikasikan sistem pentadbiran moden untuk kepentingan perdagangan mereka khususnya dalam menjaga kepentingan pemodal Eropah yang dikatakan mempunyai aset di wilayah sekitar perairan Borneo.  Misalnya, tindakan kerajaan Britain yang memberikan piagam diraja kepada Syarikat Borneo Utara pada 1st November 1881 yang bertanggungjawab sebagai salah sebuah organisasi yang mengendalikan segala urusan pentadbiran dan perdagangan di Borneo Utara.[7] Dari aspek sosial pula, tanggapan dan persepsi negara Barat yang menganggap tamadun mereka berbanding bangsa lain dan keinginan untuk menyebarkan kebudayaan dan agama Kristian di kepulauan Borneo.[8]
Justeru, ketiga-tiga kegiatan yang iaitu penjelajahan, penjarahan dan penjajahan yang dilakukan oleh kuasa Eropah di Kepulauan Borneo mempunyai hubung kait. Penjelajahan yang dijalankan menyebabkan berlakunya penjarahan seterusnya berlakunya penjajahan di wilayah sekitar perairan Borneo. Ketiga-tiga kegiatan ini dilakukan untuk mencapai matlamat utama mereka iaitu gold, glory dan gospel (kekayaan, kemegahan, dan keagamaan). Walau bagaimanapun, ketiga-tiga kegiatan ini sebenarnya telah memberikan implikasi yang besar terhadap sosial, ekonomi dan politik kepulauan Borneo.

2.0      Kesan Penjelajahan, Penjarahan, dan Penjajahan di Sekitar Perairan   Boreno Abad Ke-19
Secara umumnya tiga penjelajahan, penjarahan dan penjajahan kuasa Barat di perairan Borneo dapat diperincikan kepada tiga kesan yang utama iaitu kesan ekonomi, kesan politik dan kesan sosial.

2.1      Ekonomi
Kedatangan masyarakat Eropah atau orang Barat di kepulauan Borneo sebenarnya memberi kesan yang besar khususnya dari segi sistem ekonomi tempatan. Kesan utama yang dapat dilihat khususnya sekitar penghujung abad ke-19 adalah kemerosotan pengaruh kemasukan pedagang Islam ke Borneo. Hal ini disebabkan sistem atau dasar ekonomi tempatan khususnya kegiatan perdagangan yang dilakukan oleh kuasa Eropah di tanah jajahan. Kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511 menyebabkan para pedagang Islam berpindah ke Acheh di Sumatera Utara dan Brunei.[9] Oleh itu, wujud perdagangan dari pelabuhan Brunei dengan pelabuhan lain di kawasan Islam yang lain di rantau Asia Tenggara. Malah, hubungan ini secara tidak langsung telah menyebabkan atau mengangkat pelabuhan Brunei sebagai salah satu pelabuhan entrepot terpenting di Asia Tenggara.[10]  Namun, kedatangan kuasa Barat ( Belanda dan Britain pada abad ke-17 di kepulauan Borneo telah memberi kesan kepada hubungan pelabuhan Brunei dengan kemasukan saudagar dan pedagang Islam.  Sistem monopoli yang dilaksanakan oleh kuasa Eropah ini dapat dilihat, apabila negara Barat telah menggalakkan syarikat perdagangan milik penuh kerajaan untuk melaksanakan sistem pentadbiran di tanah jajahan. Misalnya, Belanda dengan Syarikat Hindian Timur Belanda (V.O.C) dan Inggeris dengan Syarikat Hindia Timur Inggeris (E.I.C) yang membuat penempatan di Asia Tenggara dan akhirnya Inggeris dapat bertapak di bahagian Sarawak, Brunei, dan Borneo Utara dan Belanda menduduki kawasan kalimantan (Borneo Selatan).[11] Langkah awal yang diambil oleh pihak British adalah menjelajah dan menjajah pulau Labuan pada tahun 1846 bagi menempat pangkalan laut dan pelabuhan bagi tujuan mengawal jalan perdagangan mereka ke Negara China.[12] Usaha yang dilaksanakan oleh kedua-dua kuasa Eropah adalah untuk menghapuskan pengaruh pedagang dan saudagar Arab yang memonopoli perdagangan rempah ratus dan untuk tujuan memenuhi keperluan bahan mentah dan pasaran. Kesannya, pengaruh pedagang dan saudagar Arab di kepulauan Borneo terjejas.

          Kesan ekonomi lain yang dapat diperhatikan adalah kewujudan sistem ekonomi baru di kepulauan Borneo. Tuntutan keperluan yang tinggi terhadap bahan mentah bagi mengerakkan revolusi Industri. Jika dilihat sebelum kedatangan kuasa Barat, penduduk peribumi pada awalnya mengamalkan ekonomi sara diri seperti bercucuk tanam dan memungut hasil hutan seperti rotan dan damar. Segelintir daripada mereka yang menjalankan aktiviti perdagangan secara kecil-kecilan seperti perdagangan kelapa, hasil hutan dan hasil laut. Selain itu, sumber ekonomi masyarakat Sabah ialah nelayan dan memungut hasil sarang burung. Keadaan ini merupakan ekonomi sara diri dan sistem perniagaan adalah menggunakan sistem barter iaitu pertukaran barang perniagaan antara penjual dengan pembeli.[13] Selepas kedatangan kuasa Barat, kegiatan ekonomi baru telah wujud yang didapati menguntungkan seperti tembakau, pembalakan, dan arang batu. Menjelang tahun 1889 terdapat tidak kurang 78 syarikat yang mengambil tanah di Borneo Utara kebanyakannya untuk tanaman tembakau. Tanaman tembakau mendapat keuntungan yang banyak apabila harganya melambung pada tahun 1894.[14] Kegiatan menanam getah juga turut berkembang pesat terutamanya di bahagian Pantai Barat. Jumlah keluasan ladang getah mencapai 125 000 ekar.[15] Perusahaan kayu balak turut dijalankan dengan di monopoli syarikat Borneo Timber Company, Bombay-Burmah Trading Corporation, Kennedy Bay Timber Company dan North Borneo Timner Limited.[16] Selain itu, perusahaan arang batu turut diperkenalkan yang  dilombong di Tawau, Sandakan dan Labuan. Bahan ini sangat diperlukan untuk kegunaan kapal-kapal wap ketika itu seterusnya merancakkan lagi sektor perdagangan.[17] Kegiatan ekonomi baru yang diperkenalkan lebih dilihat menguntungkan pihak Barat berbanding penduduk peribumi itu sendiri menyebabkan pihak Barat mengeksploitasi keuntungan daripada kewujudan kegiatan ini manakala penduduk peribumi masih ketinggalan dan hanya bergiat dalam aktiviti sara diri .

          Kewujudan bandar pelabuhan sebagai pusat pengumpulan hasil bumi Borneo merupakan salah satu kesan daripada kegiatan penjelajahan, penjarahan, dan penjajahan yang dilakukan oleh kuasa Barat. Antara bandar pelabuhan yang wujud ialah pelabuhan di Pulau Balambangan[18] di Borneo Utara dan Pulau Labuan.[19] Pihak British menganggap kawasan pelabuhan ini penting bagi mengumpul hasil bumi yang ingin diperdagangkan. Pulau Balambangan telah wujud dalam peta Eropah sejak lima ratus tahun lalu yang merupakan satu kawasan yang dibangunkan Syarikat India Timur Inggeris pada tahun 1773 untuk dijadikan kawasan penempatan dan pusat perdagangan di Timur Jauh.[20] Kedudukan pulau ini yang strategik kerana berupaya mengawal dan menguasai laluan perdagangan di persimpangan Laut Sulu dan Laut Cina Selatan serta pangkalan pertahanan bagi membasmi kegiatan perlanunan.[21] Manakala, pembukaan Pulau Labuan pula memberikan pelbagai kesan yang positif kepada pihak British kerana berupaya menyaingi kuasa Barat yang lain yang mempunyai minat terhadap Brunei. Kepentingan Pulau Labuan bukan sahaja sebagai tempat peninjau British memerhati perkembangan dan pergolakan politik yang berlaku di Brunei malah kedudukannya yang strategik dan kaya dengan sumber arang batu telah menjadikan pulau ini sebagai pusat perdagangan dan persinggahan kapal moden.[22]
Secara keseluruhannya, kewujudan bandar pelabuhan di kedua-dua pulau ini telah merancakkan lagi aktiviti perdagangan di sekitar perairan Borneo dengan sistem monopoli ekonomi yang dilakukan oleh pihak pemerintah.

2.2      Politik
Pengaruh politik merupakan aspek penting yang perlu dilihat khususnya dalam melaksanakan segala urusan pentadbiran dalam sesuatu wilayah jajahan. Maka tidak hairanlah kuasa Eropah berusaha campur tangan dalam pergolakan politik tempatan khususnya yang berlaku di Brunei. Melalui penjelajahan, penjarahan seterusnya penjajahan telah memberi kesan yang ketara terhadap aspek politik misalannya wujudnya persempadanan yang jelas antara kuasa Barat yang menjajah di sekitar perairan Borneo.[23] Pada tahun 1638, kekalahan Kesultanan Sulu dalam perang dengan kuasa Sepanyol telah menyebabkan Sepanyol menghantar sebuah kapal perang ke Sandakan bagi menuntut wilayah Borneo Utara sebagaimana yang tertakluk dalam Perjanjian Sepanyol – Sultan Sulu Julai 1878.[24] Walau bagaimanapun, William Prayer sebagai penguasa Sandakan tidak tunduk dengan tuntutan kuasa Sepanyol. Bagi mengatasi masalah yang berlaku antara kedua-dua kuasa Barat ini, satu rundingan antara kedua-dua kerajaan dijalankan dan Sepanyol  bersetuju untuk menggugurkan tuntutan  ke atas Borneo Utara.[25] Namun, kuasa barat yang lain juga seperti Belanda dan British tidak ketinggalan menghadapi

Selain itu, kesan Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 yang tidak menyatakan pembahagian kuasa di wilayah Borneo telah menimbulkan konflik dan kebimbangan pentadbiran Belanda di Kalimantan akan kedudukannya yang akan diganggu gugat oleh pihak Syarikat Berpiagam Borneo Utara.[26] Oleh itu, pada bulan September 1879 mereka menghantar satu pasukan tentera laut ke Batu Tinagat di Sungai Sebuku.[27] Apbila W.H. Treacher dilantik menjadi gabenor pertama Borneo Utara, beliau cuba menetapkan wilayah syarikat hingga ke Sungai Sebuku dan kerajaan British dan Belanda dengan menubuhkan Suruhanjaya Sempadan pada tahun 1884 serta persetujuan ditandatangani pada bulan Jun 1809.[28] Sempadan yang kini memisahkan tanah jajahan British di Borneo Utara daripada wilayah Borneo Indonesia telah ditetapkan bersama oleh satu pasukan juruukur British-Belanda dalam tahun 1912.[29] Jelas memperlihatkan situasi ini telah mewujudkan garisan sempadan yang jelas antara kuasa Barat yang menjajah di sekitar perairan Borneo.

          Di samping itu, kesan lain yang turut timbul daripada ketiga-tiga kegiatan ini kemerosotan pengaruh dalam kalangan pembesar tempatan.[30] Dalam konteks Borneo Utara, penyerahan dan kemerosotan pengaruh pembesar tempatan ini dapat dilihat menerusi penyerahan wilayah milik pembesar tempatan kepada SBBU. Misalnya, pada tahun 1883 W. H. Treacher konsul Besar British di Labuan telah berjaya menguasai kawasan Sungai Pangalat dengan bayaran $300 setahun menyebabkan Pangiran Muda Damit bersetuju menyerahkan daerah Tulinnya kepada SBBU pada tahun 1884. Kawasan ini meliputi Lembangan Sungai Putatan.[31] Kemudian pada Mac 1885, Pangeran Syahbandar yang menguasai kawasan Padas Damit pula bersetuju menyerahkan kawasan tersebut dengan bayaran $2,130 setahun.[32]Manakala di Sarawak, pengisytiharan oleh Pangeran Muda Hashim kepada James Brooke sebagai raja dan Gabenor Sarawak pada 24 November 1841 menyebabkan kuasa pembesar di wilayah ini semakin merosot ditambah lagi apabila pada tahun 18 Ogos 1842 James Brooke menerima surat pelantikan daripada Sultan Brunei sebagai Raja Sarawak.[33] Peranan dan kuasa pembesar tempatan semakin merosot ekoran ketiga-tiga kegiatan ini terutamanya dari aspek pentadbiran dan kuasa memungut cukai.

Kesan politik lain yang wujud akibat daripada ketiga-tiga kegiatan ini menyebabkan kemasukan kuasa Barat dalam mencampuri hal ehwal politik dalam pentadbiran tempatan. Pada tahun pada 18 Disember 1846. Pulau Labuan telah diambil oleh pihak Inggeris dan seterusnya permulaan pertapakan kuasa British di bumi Brunei dengan termeterainya perjanjian Naungan 1905/1906 antara Brunei dan Great Britain menyebabkan kuasa Barat ini mula campur tangan dalam pergolakan politik di Brunei.[34] Perjanjian naungan ini bukan sahaja telah mengubah corak pemerintahan tradisi kesultanan tetapi juga telah menyebabkan titik permulaan pertapakan kuasa British dalam hal ehwal pemerintahan Negeri Brunei dan pengambilan kuasa ini telah berjalan secara perlahan dengan berdasarkan kepada syarat perjanjian bahawa;

 His Highness will receive a British officer to be styled Resident and will provided a suitable Residence for him…and his advice must be taken and acted upon on all question in Brunei.[35]

Pada bulan Ogos 1839, ketika Brooke singgah di Kuching wilayah ini sedang dilanda pemberontakan anti-Brunei yang dilancarkan oleh orang Melayu dan Bidayuh yang menentang Pangeran Mahkota, Raja Sarawak yang dilantik Sultan Brunei.[36] Raja Muda Hashim telah meminta bantuan Brooke untuk menyelesaikan masalah ini dengan menjanjikan jawatan raja kepada beliau sekiranya menangani pemberontakan ini dan akhirnya Brooke telah berjaya menghentikan pemberontakan ini seterusnya dilantik menjadi Rajah Sarawak pada bulan September 1841.[37] Jelas menunjukkan campur tangan pihak Barat dalam hal ehwal politik telah menjadi batu loncatan kepada mereka terus bertapak kukuh di wilayah di sekitar perairan Borneo.

          Kewujudan atau pengenalan sistem pentadbiran Barat selepas berjaya menakluki wilayah di sekitar perairan Borneo merupakan salah satu kesan terhadap aspek politik akibat daripada kegiatan penjelajahan, penjarahan, dan penjajahan. Sebelum kedatangan Syarikat Berpiagam di Borneo Utara, sistem politik peribumi dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu sistem politik kesukuan, sistem politik kesultanan, dan ketua Bebas yang dipelopori sendiri oleh pembesar tempatan.[38] Selepas kedatangan pihak Barat, pihak Syarikat Berpiagam telah membentuk pentadbirannya berasaskan Piagam Diraja 1 November 1881 dan melantik William Hood Treacher sebagai Gabenor Borneo Utara yang pertama (1881-1895).[39] Pihak syarikat telah menubuhkan beberapa jabatan kerajaan untuk melicinkan pentadbirannya terutamanya dari aspek kesihatan, pelajaran dan hutan serta menubuhkan Majlis Perundangan  yang dianggotai oleh sebelas ahli seterusnya pada tahun 1935 Sabah dibahagikan kepada empat residensi iaitu di Tawau, Sandakan, Pantai Barat, dan pendalaman.[40] Institusi tempatan Ketua Anak Negeri turut  diwujudkan di peringkat daerah dan kampung seterusnya diiktiraf dan dimasukkan ke dalam sistem kerajaan.[41] Manakala, di Sarawak James Brooke mempunyai sistem pentadbiran yang tersendiri. James Brooke menggunakan corak pemerintahan autokratik dan berkuasa mutlak.[42] Di peringkat tempatan, peranan Rajah diwakilkan kepada Residen atau Pegawai Daerah dan Rajah juga cekap mengimbangkan kuasa di antara kaum-kaum etnik dengan menggunakan strategi ‘pecah dan perintah’.[43] James Brooke turut memperkenalkan undang-undang bagi mengembangkan perdagangan serta melindungi golongan kaum peribumi yang tertindas dengan mengemukakan satu set Undang-undang pada bulan Januari 1842 yang mengandungi lapan artikel, lima daripadanya menjamin kegiatan perdagangan dan yang lain bertumpu kepada penghapusan jenayah (amalan ngayau), serta hal ehwal kewangan dan pencukaian.[44] Jika dilihat corak pemerintahan syarikat di Borneo Utara dan James Brooke di Sarawak berbeza kerana pihak syarikat lebih bercorakkan pemerintahan berjimat cermat dan di Sarawak lebih mengutamakan kepentingan penduduk peribumi.

2.3 Sosial
Tanggapan dan persepsi bangsa Eropah yang mempunyai ketamadunan yang tinggi berbanding dengan bangsa lain dan mempunyai r tanggungjawab untuk mentamadunkan bangsa lain telah menyebabkan mereka menjalankan penjelajahan, penjarahan, dan penjajahan. Langkah ini dilihat merupakan kaedah terbaik untuk menerapkan kebudayaan mereka terhadap bangsa lain. Impaknya, penyerapan kebudayaan barat ini dapat dilihat menerusi perubahan sosial apabila mereka telah melakukan penyebaran agama Kristian di wilayah taklukan di sekitar perairan Borneo.[45]

Penyebaran agama Kristian dipertanggungjawabkan kepada para mubaligh dari Eropah untuk menyebarkan agama Kristian. Sebelum kedatangan Barat, kesultanan Brunei dipengaruhi oleh agama Hindu-Buddha apabila kerajaan Buddha Srivijaya di Sumatera (lebih kurang tahun 800 Masihi) menjadikan Borneo tempat persinggahan. Pengaruh agama Islam mula tersebar selepas kejatuhan kerajaan Majapahit apabila pedagang Arab yang singgah ke Melaka seterusnya singgah pula ke Brunei. Keadaan ini secara tidak langsung digunakan oleh para pedagang Islam untuk menyebarkan agama Islam. Impaknya, Kesultanan Brunei telah wujud sebagai salah sebuah Kesultanan Islam pada akhir abad kelima belas. Namun, selepas kedatangan kuasa Barat, usaha penyebaran agama Kristian dilakukan kepada masyarakat peribumi Sarawak dan Borneo Utara yang masih mengamalkan budaya pagan dan mengamalkan kepercayaan animisme dan pada abad ke-19, telah menjadi sasaran para mubaligh untuk menyebarkan kepercayaan Kristian.[46] Hal ini kerana, usaha para mubaligh yang berusaha menyebarkan agama Kristian kepada para penduduk Islam ternyata gagal. Malah, perkahwinan campur antara orang Kristian dengan penduduk tempatan mengembangkan lagi agama Kristian dan Belanda menyebarkan agama Kristian mazhab Calvinists dalam kalangan orang asli di Pulau Ceram dan Halmahera.[47] Hal ini jelas memperlihatkan kesungguhan kuasa Barat yang ingin menyebarkan agama Kristian dalam kalangan peribumi seterusnya meningkatkan lagi tahap ketamadunan Eropah.   

Kesan lain yang dapat diperhatikan adalah kewujudan sistem pendidikan formal yang berteraskan sistem pendidikan sebagaimana yang wujud di Eropah.[48]  Sebelum kedatangan Barat, Borneo Utara dan Sarawak masih belum mempunyai sebarang sistem pendidikan yang terancang dan formal kerana kebanyakan pendidikan yang wujud hanyalah pendidikan agama yang di ajar di masjid dan surau dan pendidikan tradisional yang diturunkan daripada ayah ke anak. Namun, sistem pendidikan formal mula wujud di Borneo Utara apabila Gabenor W. H. Treacher membina sekolah Inggeris dibina pertama di Sandakan pada tahun 1883 iaitu Sekolah St. Michael. Pembinaan sekolah ini adalah atas usaha pertubuhan mubaligh katolik serta beberapa pertubuhan yang terlibat dalam kegiatan pendidikan seperti Society of Propagations of the Gospel (Anglican), Mill Mill Mission, Basel Mission dan Seventh Day Adventist.[49] Untuk memastikan sistem pendidikan formal di Borneo Utara berjalan dengan lebih baik, SBBU telah menubuhkan Jabatan Pelajaran pada tahun 1909. Tujuan lain penubuhan Jabatan Pelajaran ini adalah untuk mengendalikan dan mengawasi sekolah. Malah, pada sekitar tahun 1920, pendidikan untuk orang Melayu dititikberatkan apabila sekolah Melayu diwujudkan dengan para guru dari Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Manakala, bagi masyarakat Cina pula, mereka mengendalikan sistem pendidikan secara persendirian yang berteraskan sistem pendidikan di China.[50]

Bagi konteks sistem pendidikan di Sarawak pula khususnya semasa di bawah pemerintahan Raja James Brooke, beliau memperkenalkan sekolah Mission  sebagai percubaan dalam pewujudan sekolah yang lebih formal.[51] Namun sebenarnya telah wujud sistem pendidikan Melayu di Sarawak, ini dibuktikan menerusi kewujudan Sekolah Melayu kerajaan yang pertama dibuka pada 21 Jun 1883 di Kuching yang di khaskan untuk orang Melayu sahaja yang dikenali sebagai Sekolah Abang Kassim yang kemudiannya menjadi Sekolah Kampung Jawa.[52] Kemudian semasa pemerintahan Charles Brooke, beliau telah memperkenalkan Kolej Kebangsaan Sarawak (Government Lay School) yang ditimbulkan dalam Mesyuarat Majlis Negeri pada 25 Januari 1901 yang tujuan pengajaran dilakukan mengikut bahasa seperti Melayu, Cina, dan India.[53] Walau bagaimanapun, rancangan ini ditentang oleh masyarakat Melayu dan Cina. Oleh itu, beliau telah mengambil keputusan untuk menggabungkan Kolej Kebangsaan Sarawak dengan Sekolah Kampung Jawa pada tahun 1931 dan dikenali sebagai Madrasah Melayu Sarawak.[54] Sekolah Inggeris pula dipelopori oleh badan-badan mubaligh Kristian seperti Mazhab Anglikan, Roman Katolik, Seven Day Adventist dan Methodist dan pelajar lepasan sekolah ini diambil bekerja dengan jabatan kerajaan.[55] Jika di perhatikan golongan mubaligh-mubaligh Kristian telah diberi kepercayaan oleh pihak Syarikat dan Brooke dalam mengelola sistem pendidikan Barat yang diperkenalkan.

          Kesan sosial lain yang dapat dilihat ekoran daripada ketiga-tiga kegiatan ini adalah peningkatan aktiviti perlanunan dalam kalangan pembesar dan masyarakat tempatan.[56] Penaklukan kuasa Barat di sekitar wilayah Borneo, merupakan faktor utama yang menyebabkan kewujudan aktiviti perlanunan ini. Seperti yang dinyatakan oleh Rutter dalam bukunya The Pirate Wind;

Bahawa orang-oarang baratlah yang menjadi perintis dalam aktiviti perlanunan dan huru-hara yang meluas di sekitar perairan Borneo.[57]

Faktor lain yang membawa kepada kewujudan aktiviti perlanuan adalah;

             I.                Dasar monopoli pedagang Barat yang menyebabkan para pembesar dan rakyat tempatan kehilangan mata pencarian.
           II.                Dasar agama penjajah yang cuba menyebarkan agama Kristian di sesetengah tempat.
         III.                Kelemahan kesultanan Melayu Brunei apabila berlaku pergolakan politik dalaman dan menyebabkan suasana kacau bilau.
          IV.                Pemberian Sarawak kepada James Brooke pada tahun 1842 yang menyebabkan ramai pembesar tempatan rasa tidak puas hati disebabkan hilang punca pendapatan.[58]
Kesan yang timbul daripada kegiatan perlanun ini adalah berlakunya rompakan kapal-kapal yang membawa barangan bernilai dan rompakan pekan kecil. Implikasinya, Sultan Brunei telah mengenakan kadar cukai yang tingi kepada rakyatnya untuk membangunkan semula pekan tersebut. Malah, aktiviti perdagangan juga tergendala kerana pedagang merasa tidak selamat dan ketakutan untuk berdagang. Kesan paling ketara akibat kegiatan perlanunan adalah apabila tindakan kuasa Barat yang menjadikan isu perlanunan sebagai alasan untuk campur tangan di sesebuah kawasan.[59] Antara langkah yang di ambil oleh pihak Barat untuk menangani masalah ini Raja Putih telah meminta bantuan tentera laut daripada Laksamana Madya Sir Francis Collier, Pemerintah Tertinggi bagi Pangkalan Timur Jauh yang menghantar kapal H.M.S Albatross yang belayar dari Kuching ke Saribas pada 24 Julai 1849. Brooke telah menyerang hendap lanun-lanun di Saribas dan berjaya menumpaskan mereka.[60] Tegasnya, kewujudan aktiviti perlanunan di dorong oleh pengaruh Barat itu sendiri menyebabkan pembesar dan rakyat tempatan mencari jalan singkat untuk mencari sumber pendapatan.

          Di samping itu, beberapa amalan kebudayaan dan adat tradisional yang dihapuskan oleh Barat merupakan salah satu kesan sosial lain yang berlaku akibat kegiatan penjelajahan, penjarahan, dan penjajahan.[61] Misalnya, penghapusan budaya sistem perhambaan. Sebelum kedatangan kuasa Barat, sistem perhambaan merupakan satu sistem yang diamalkan oleh para pembesar dan sultan. Walau bagaimanapun, golongan hamba mempunyai kedudukan yang baik dan terjaga khususnya hamba yang bertugas sebagai pesuruh terutama sekali bagi kerja rumah atau lain-lain pekerjaan buruh.[62] Namun, selepas kedatangan kuasa Barat, sistem perhambaan ini mengalami masalah yang besar apabila tekanan ke atas sistem sosial, politik, dan ekonomi Brunei. Tindakan kuasa Barat yang menghapuskan sistem perhambaan telah memberi kesan kepada para pembesar Brunei yang kehilangan hak perdagangan hamba abdi yang merupakan salah satu punca ekonomi yang menguntungkan.[63] Selain itu, amalan kebudayaan lain yang dihapuskan oleh kuasa Barat adalah upacara ngayau iaitu pemenggalan kepala yang diamalkan oleh masyarakat peribumi khususnya orang Iban. Tindakan kuasa Barat yang melihat budaya tersebut yang tidak bertamadun dan melanggar hak asasi manusia telah mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk peribumi.        

3.0      Kesimpulan
Secara keseluruhannya, kesan kegiatan penjelajahan, penjarahan, dan penjajahan oleh kuasa Eropah di Borneo dapat dilihat menerusi tiga aspek penting iaitu ekonomi, politik, dan sosial. Kesan ekonomi yang dapat diperhatikan adalah monopoli hasil bumi untuk kepentingan kuasa-kuasa Eropah itu sendiri. Manakala, aspek politik pula kekuasaan Kesultanan Melayu Brunei semakin merosot di samping kekuasaan Eropah semakin bertapak kukuh. Dari aspek sosial pula, pengembangan agama Kristian oleh para mubaligh Kristian telah menyebabkan beberapa kebudayaan tempatan terhapus. Tindakan penjelajahan, penjarahan, dan penjajahan adalah berasaskan matlamat utama mereka iaitu Gold, Gospel, dan Glory.


RUJUKAN

Abdul Rahman Haji Ismail. (2007). Malaysia Sejarah Kenegaraan Dan Politik. Selangor:   Dawama Sdn. Bhd.

Baszley Bee B. Basrah Bee & Sabihah Osman et. al. (2009). Asas Kajian Persempadanan Negeri Sabah. Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah.

Baszley Bee B. Basrah Bee. (2004). Antara Kartografi Pulau Balambangan Abad Ke 16-17 Masehi. (tidak diterbitkan).

J.A. Hobso. N. (1938). Imperialism: A Study, First Edition. Copyright By Harper-Collins Publisher  Ltd.

Joyce M. Hawkins. (2008). Kamus Dwibahasa Oxford Fajar Edisi Ke 4. Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Mat Zin Mat Kib. (2003). Kristian Di Sabah 1881-1994. Bangi: Unieversiti Kebangsaan Malaysia.

Mazlan Abdullah. (1978). Sejarah Malaysia Timur. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors.

Mohd Isa. (2002). Sejarah Malaysia (1800-1963). Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors.

Mohd. Nor Ghani & Noraini Ismail. (1986). Borneo Abad Kesembilan Belas Kajian Mengenai Persaingan Politik. Selangor: Malindo Printers Sdn. Bhd.

Muhammad Hadi Bin Md Melayong. Hubungan Brunei- Great Britain. (tidak diterbitkan)

Sabihah Osman. (1985). Pentadbiran Pribumi Sabah (1881-1941). Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sabihah Osman. (1990). Perkembangan Pelajaran Bumiputera Sarawak. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.

Syed Idrus Syed Ahmad & R. Santhiram. (1990). Perkembangan Pendidikan Di Sarawak. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.




No comments:

Post a Comment