. Amoi Chantek Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Tuesday 8 April 2014

1.0       PENGENALAN
Konsep Melayu yang digunakan dalam konteks yang lebih luas sebagai penduduk asal di alam Melayu ini adalah berasaskan kepada idea yang dapat dikesan kepada sejarah peradaban Melayu itu sendiri. Dengan kepelbagaian kelompok sosial dan sub-budaya yang membina masyarakat dan budaya Melayu yang lebih luas itu telah memberikan kekuatan yang menyatakan kekayaan khazanah budaya Melayu. Istilah Melayu merujuk kepada tiga pengertian atau dimensi yang berbeza, iaitu ras (genetik atau biologi), kebudayaan dan bahasa. Ras Melayu merujuk kepada sekumpulan manusia yang memiliki ciri-ciri genetik yang sama dan yang berasal dari alam Melayu. Kebudayaan Melayu merujuk kepada pegangan dan amalan yang didasarkan kepada agama Islam dan adat resam masyarakat Melayu. Bahasa Melayu adalah bahasa yang dituturkan di seluruh Kepulauan Melayu dan ia merangkumi sub-keluarga seperti bahasa Jawa, Sunda, Madura, Acheh, Minangkabau, Sasak, Melanau, Iban, Bajau, Murut, Bugis dan Sulu.

2.0       NILAI TRADISIONAL MASYARAKAT MELAYU
            2.1       Mengutamakan Ikatan Kekeluargaan dan Hubungan Silaturahim
Masayarakat Melayu mempunyai nilai tradisionalnya yang tersendiri. Dalam budaya masyarakat Melayu adalah satu perkara penting yang harus diketahui oleh masyarakat kini iaitu mengutamakan ikatan kekeluargaan dan hubungan silaturahim. Ini dapat dilihat daripada amalan gelaran dalam keluarga seperti, datuk, nenek, along, angah, pak cik dan mak cik. Apa yang paling jelas sekali ialah cara bagaimana mengikat hubungan silaturahim orang Melayu. Orang Melayu bersifat bekerjasama dalam mengadakan kenduri kendara dan saling ziarah menziarahi. Amalan ini amat berkesan dalam memupuk ikatan kekeluargaan malah dalam persahabatan dan secara tidak langsung juga menimbulkan kesan yang positif dalam kehidupan seharian seseorang.

2.2       Akidah Islam
Nilai tradisional yang seterusnya dapat dilihat juga dalam aspek akidah Islam masyarakat Melayu. Nilai-nilai yang menjadi asas kepada tamadun Melayu berteraskan kepada nilai-nilai agama Islam. Kesemua nilai tersebut berkait rapat dengan konsep iman yang terdapat dalam agama Islam. Nilai asas ini boleh dilihat dalam ungkapan-ungkapan Melayu seperti peribahasa, perumpamaan dan pepatah-pepatih. Terdapat pelbagai perkara yang boleh dibuat untuk menunjukkan nilai-nilai budaya masyarakat Melayu. Pengaruh kedatangan Islam ke dalam masyarakat Melayu banyak mengubah budaya Melayu. Keimanan dan ketakwaan kepada Allah S.W.T merupakan perkara yang paling penting dalam agama Islam. Ia melibatkan asas pegangan hidup, pemikiran atau falsafah kepada kehidupan manusia di dunia ini. Mentaati segala yang dituntut dan meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah S.W.T. adalah sebahagian daripada cara bagaimana orang Melayu mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan. Dalam hal ini, pandangan semesta masyarakat Melayu berunsurkan tradisional disesuaikan dengan dasar-dasar akidah Islam.

Dalam akidah Islam ini mempunyai kesannya kepada masyarakat. Jika difikir secara rasionalnya, melalui ajaran Islam ini malah seluruh agama sekalipun ia dapat mengajar manusia untuk menjadi seorang manusia. Maksudnya di sini, ia melatih manusia agar menuruti dan mematuhi norma-norma hidup sebenar seorang manusia di muka bumi ini.
2.3       Ketaatan Kepada Sultan dan Pemimpin
Selain itu, nilai tradisional yang seterusnya dapat dilihat juga dalam aspek ketaatan kepada sultan dan menghormati pemimpin. Sejarah masyarakat Melayu berkait rapat dengan kesultanan Melayu. Masyarakat Melayu taat setia kepada Sultan atau Raja sejak turun-menurun yang diikuti dan diajar oleh orang Melayu sehingga ke hari ini. Ini membuktikkan bahawa budaya masyarakat Melayu amat menghormati pemimpin. Nilai ketaatan dan kesetiaan kepada Sultan atau Raja telah menjadi sebahagian budaya orang Melayu. Nilai inilah yang membentuk budaya masyarakat Melayu menjadi orang yang berdisiplin. Dalam agama Islam pemimpin adalah khalifah Allah S.W.T. di muka bumi.

Melalui ketaatan kepada sultan dan pemimpin ini dapat menimbulkan kesan yang baik kepada manusia. Melalui nilai ini, ia sebenarnya mengajar manusia agar menuruti perintah dan undang-undang sesuatu negara. Jadi, kesannya, apabila individu dalam negara tersebut patuh terhadap arahan pemimpin, jadi secara tidak langsung akan menimbulkan suasana yang aman dan harmoni dan seterusnya mengukuhkan lagi ekonomi negara tersebut.

2.4       Adat Istiadat
Di samping itu juga, nilai tradisional yang seterusnya dapat dilihat juga dalam aspek adat istiadat. Masyarakat Melayu berpegang teguh kepada adat tradisi seperti dilihat dalam amalan hidup seharian. Orang Melayu amat menjaga adat resam termasuk pantang-larang dan adat isitadat yang diwarisi dan diamalkan sejak turun-menurun. Antara adat istiadat yang masih diamalkan seperti adat istiadat menyambut kelahiran, perkahwinan dan kematian. Orang Melayu memahami kedaulatan hukum-hukum adat sejak dahulu lagi dan mematuhinya. Dalam pepatah Melayu ada menegaskan, adat dikelek dan hukum dijunjung. Terdapat beberapa upacara “rites de passage” gabungan unsur Islam dan adat diadakan pada hampir setiap tahap kitaran hidup. Contohnya, sebelum seseorang itu dilahirkan lagi, berbagai-bagai pantang larang diikuti. Ibu yang mengandung dilarang melakukan perbuatan yang buruk atau keji. Dengan berbuat demikian, dipercayai anak yang bakal dilahirkan sedikit sebanyak mewarisi perangai kedua-dua ibu bapanya.

Selain itu, dalam adat dan istiadat ini juga menimbulkan kesan yang positif kepada sesiapa yang menurutinya. Adat istiadat ini juga adalah bertujuan untuk menjaga seseorang individu itu dari ditimpa musibah ataupun sebagainya. Sebagai contoh adat ketika kelahiran. Jika diperhatikan, kebanyakkan pantang larang dalam adat ini sebenarnya mempunyai satu tujuan yang nyata yakni menjaga keselamatan ibu dan anak sebelum kelahiran dan selepas kelahiran.

2.5       Memuliakan Golongan Tua
Aspek memuliakan golongan tua juga merupakan salah satu aspek nilai tradisional. Dalam masyarakat Melayu, menghormati dan memuliakan orang yang tua adalah satu nilai yang jelaskan sekali berlaku. Nilai ini berkaitan dengan pemahaman masyarakat Melayu bahawa orang yang lebih berusia mempunyai lebih banyak pengalaman berbanding orang-orang muda. Pengalaman adalah sesuatu yang sentiasa dipandang penting dalam masyarakat Melayu. Golongan muda digalakkan merantau untuk mencari pengalaman lain. Dalam konteks Islam, Baginda  S.A.W. tidak mengiktiraf umat yang tidak menghormati orang yang tua dan menyayangi orang yang orang muda. Menghormati dan mendengar nasihat orang tua, orang muda tidak akan melakukan kesilapan dan kesalahan dalam hidup mereka. Apa yang penting ialah kerjasama antara orang muda dengan orang tua harus dipupuk untuk menjamin keharmonian masyarakat sekeliling. Melalui nilai ini juga, ia akan menimbulkan kesan yang postif iaitu melahirkan individu yang menghormati orang lain dan jika ini dipraktikkan, tidak mustahil kadar jenayah di sesuatu tempat khususnya negara ini akan menurun dengan mendadak.



No comments:

Post a Comment