. Amoi Chantek Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Wednesday 2 April 2014

PENGENALAN
Bahasa merupakan elemen yang penting dalam kehidupan seharian manusia. Penggunaan bahasa dalam kehidupan manusia wujud atas dasar perhubungan sesame manusia. Bahasa boleh dedefinisikan dalam pelbagai cara mengikut sifat-sifat semula jadi bahasa, peranan dan fungsinya (Faridah & Tuan Jah, 2013:1). Menurut pandangantokoh bahasa tadi, penggunaan bahasa dalam kehidupan manusia mempunyai pelbagai kegunaan.
Ferdinand de Saussure menyatakan bahasa merupakan satu sistem isyarat yang mempunyai bahagian terpenting berupa gabungan erti dengan bayangan bunyi. Pendapat beliau menerangkan bahawa erti dan bayangan bunyi tidak terpisah tetapi bergabung dalam satu rantaian ucapan.  Bloch dan Trager (1942) pula mendefinisikan bahasa sebagai sistem  lambing-lambang  vokal yang digunakan oleh manusia untuk berkomunikasi. Komunikasi amat penting kepada manusia. Komunikasi memberi peluang kepada manusia untuk menyampaikan idea-idea, pandangan dan luahan perasaan.
Tugasan BMM 3107 kali ini akan menghuraikan peranan bahasa dalam kehidupan seharian masyarakat. Pandangan tokoh-tokoh seperti Ferdinand de Saussere,  Edward Sapir dan Leonard Bloomfield akan dihuraikan berdasarkan pemikiran dan sumbangan mereka dalam perkembangan linguistik yang banyak berkaitan dengan bahasa.
Semoga tugasan tugasan kali iini memberi pengalaman dan ilmu yang bermanfaat untuk digunakan kelak. Pendedahan terhadap tugasan ini banyak membuka ruang pemikiran untuk melihat ilmu linguistik secara lebih luas dan tidak terhad kepada bahasa sahaja.



TUGASAN 1 (i) : MEMBANDINGBEZAKAN PEMIKIRAN EDWARD SAPIR, LEONARD BLOOMFIELD DAN FERDINAND DE SAUSSURE KEPADA PERKEMBANGAN ILMU BAHASA
PEMIKIRAN EDWARD SAPIR
Edward Sapir (1884–1939) merupakan seorang sarjana linguistik struktural dan antropologi. Tokoh yang berasal dari Lauenburg, Jerman ini mengkaji bidang yang berkaitan dengan hubungan bahasa dengan pemikiran manusia dari aspek psikologi. Beliau berpendapat psikologi merupakan dasar pengkajian bahasa dalam sains. Berdasarkan kajian yang dibuat oleh beliau, didapati bahawa struktur bahasa merupakan unsur yang menentukan struktur pemikiran manusia. Hasil daripada pemikiran beliau terhasil karya Language yang menghuraikan tentang tripologi bahasa.
Pada pendapat Edward Sapir, bahasa ialah satu sistem yang bersifat arbitrari. Tokoh barat ini melihat bahasa dari segi fungsinya dalam masyarakat. Penggunaan bahasa bukan sahaja terhad kepada menyampaikan maklumat, tetapi juga melipatkan penyampaian perasaan dan idea seseorang. Bahasa memainkan peranan yang amat penting untuk komunikasi. Hasilnya, beliau merumuskan tiada bahasa yang sempurna, dan akan sentiasa berkembang.

PEMIKIRAN LEONARD BLOOMFILED
Bloomfield merupakan ahli linguistik yang mempelopori teori behaviourisme. Teori behaviorisme berkait rapat dengan fahaman ahli psikologi dalam menghuraikan bahasa. Pada pendapat Bloomfield, bahasa merupakan pangkalan data bagi ucapan yang diujarkan oleh manusia. Data-data yang diucapkan inilah yang mengeluarkan segala unit bahasa. Dalam erti kata lain, ayat-ayat itu tersusun di dalam otak dan dikeluarkan apabila adanya ransangan.
Pada pendapat Bloomfield, sekiranya tingkah laku manusia berpunca daripadaadanya ransangan, maka bahasa yang akan diujarkan merupakan gerak balas atau respons terhadap ransangan itu. Beliau juga beranggapan bahawa bahasa ialah satu tingkah laku manusia. Konsep saintifik dalam kajiannya berhubung kait dengan suatu kenyataan yang menunjukkan bahawa semua bahan kajian hendaklah dapat diperhatikan dan dianalisis secara empirikal.

PEMIKIRAN FERDINAND DE SAUSSURE
Ferdinand de Saussure (1857 –1913) ialah orang yang mengasaskan ilmu linguistic moden. Dikenali sebagai Bapa Ilmu Linguistik Moden, pemikiran beliau telah membuktikan pelbagai konsep dan pendekatan baharu dalam bidang bahasa secara moden. Ferdinand de Saussure merupakan tokoh yang menekankan pentingnya kajian bahasa .
Sumbangan pemikiran de Saussre telah mewujudkan dua aliran pemikiran iaitu di Eropah dan di Amerika. Di Eropah, aliran pemikiran ini dikenali sebagai aliran Praha iaitu aliran yang menumpukan kajian linguistik dalam bidang fonologi. Hasil daripada pemikaran ini, wujud Teori Fonologi Struktur Fungsional. Aliran pemikiran ini telah mengembangkan konsep fonem. Mereka telah menggolongkan bunyi-bunyi bahasa dalam Parole dan fonem dalam bahasa. Sistem fonologi digolongkan dengan pelbagai cara menurut ciri-ciri yang membezakan fonem komponennya. Di Amerika pula idea Ferdinand de Saussure diteruskan lagi oleh tokoh-tokoh lain seperti Leonard Bloomfield, Eugene Nida, Bernard Bloch, George L Trager, Rulon Wells III,dan Zellig Harris. Akhirnya,. satu siri kongres ahli bahasa antarabangsa dibentuk secara rasmi pada tahun 1928 untuk perkembangan bidang linguistik am. Kongres ahli bahasa yang dibentuk ini bertujuan menjadi pusat perbincangan dan perkembangan bidang linguistik yang berlaku di seluruh dunia.




TUGASAN 1 (ii) : MEMBANDINGBEZAKAN SUMBANGAN EDWARD SAPIR, LEONARD BLOOMFIELD DAN FERDINAND DE SAUSSURE KEPADA PERKEMBANGAN ILMU BAHASA
SUMBANGAN EDWARD SAPIR
Edward Sapir memperkenalkan Hipotesis Sapir-Whorf. Hipotesis Sapir-Whorf ini menekankan beberapa hubungan yang penting dalam aliran linguistik yang meliputi  bahasa, pemikiran dan budaya. Hipotesis yang dinyatakan dalam Hipotesis Sapir-Whorf adalah berdasarkan kajian yang mendalam menerusi penulisan-penulisan ilmiah yang berkaitan dengan linguistik yang mengaitkan budaya dan bahasa. Sapir berpendapat bahawa tatabahasa sesuatu bahasa bukanlah hanya merupakan alat pengeluaran untuk menyuarakan idea, tetapi merupakan pembentuk idea. Idea yang terbentuk  perlu difikirkan dahulu oleh seseorang sebelum disuarakan oleh penutur.
Edward Sapir merupakan individu yang mengemukakan teori struktural yang menyentuh aspek struktur bahasa. Teori yang  dikemukakan ini merangkumi pola dan pembinaan sesuatu ayat. Struktur bahasa yang terbentuk biasanya terhasil daripada pemikiran yang dibuat oleh manusia. Struktur bahasa yang diujarkan juga dipengaruhi oleh sifat dan perwatakan seseorang. Oleh demikian, struktur bahasa daripada teori struktural berpendapat bahawa proses kejiwaan terlibat sama dalam pembentukan pemikiran idea-idea sebelum diujarkan. Struktur bahasa yang dipersetujui hasil daripada pemikiran  masyarakat  inilah yang membentuk alat perhubungan yang dipanggil bahasa.
Teori linguistik turut terhasil hasil daripada pemikiran Edward Sapir. Sumbangan Sapir dalam teori linguitstik ialah mengemukakan dua teori linguistik iaitu teori linguistik penentuan dan teori linguistik relatif. Kedua-dua teori ini melibatkan bagaimana bahasa boleh diinterpretasi dengan dunia sekeliling. Perbezaan makna daripada perkataan-perkataan yang diujarkan terhasil  daripada interpretasi makna oleh individu dipengaruhi oleh persekitaran seseorang individu tersebut. Interprestasi makna ini tidak terhad kerana manusia dipengaruhi oleh keadaan sekeliling dalam menganalisis  sesuatu makna.
Selain itu, Sapir berpendapat bahawa bahasa bersifat arbitrari kepada masyarakat dalam konteks penggunaannya. Konsep arbitrari yang dimaksudkan ialah satu simbol yang sama digunakan oleh manusia untuk bunyi bahasa yang berbeza disebabkan oleh pengaruh budaya. Penekankan fonem sebagai satuan psikologi kerana bahasa dapat melahirkan perkataan-perkataan yang mengandungi lambang dan makna pada setiap ujaran merupakan konsep yang lahir daripada pendapat Sapir ini. Sifat arbitrari dalam bahasa wujud setelah persefahaman makna dalam sesuatu bunyi yang didengar menjadikan pembentukkan fonem yang digunakan memberi sesuatu makna. Oleh demikian, Sapir berpendapat tiada yang salah dalam penggunaan sesuatu bahasa kerana bahasa bersifat arbitrari dan betul dari segi makna jika bunyi yang dipersetujui melambangkan makna bunyi yang didengar.

SUMBANGAN LEORNARD BLOOMFIELD
Antara sumbangan Leornard Bloomfield yang telah disumbangkan beliau ialah menghasilkan karya yang berjudul Language pada tahun 1933. Konsep yang cuba diketengahkan dalam karya tersebut telah membawa pembaharuan dalam ilmu bahasa dengan memperkenalkan ilmu yang dikenali sebagai aliran struktural. Bloomfield berpendapat bahawa bahasa-bahasa yang  dilafazkan oleh seseorang, pasti mempunyai struktur. Bloomfield juga menjelaskan bahawa terdapat  rangsangan pada bahasa yang mewujudkan gerak balas terhadap rangsangan tersebut. Sehingga kini, teori behaviourisme  yang berkait dengan ransangan-gerak balas  masih digunakan sehingga kini.
Linguistik Taksonomik yang diperkenalkan oleh Bloomfield  menganalisis bahasa secara bahagian-bahagian tertentu. Bloomfield dalam teorinya berpendapat fonologi, morfologi, dan sintaksis merupakan berada pada bidang yang sama tetapi tidak berkaitan antara satu sama lain. Selain itu, analisis bahasa yang dilakukan oleh Bloomfield ini juga menjelaskan bahawa bahasa terdiri daripada sejumlah tanda-tanda berupa unsur vokal yang dikenali sebagai fonem. Analisis dilbuat dalam fonologi, morfologi dan sintaksis untuk melihat hubungan bahagian-bahagian tersebut dalam bahasa. Oleh demikian,wujudlah linguistik taksonomik hasil daripada analisis yang dibuat oleh beliau.

SUMBANGAN FERDINAND DE SAUSSURE
Ferdinand de Sausse mempunyai banyak sumbangan dalam  bidang linguistik. Sumbangan tokoh ini meliputi membezakan antara Langue dan Parole. De Saussure merupakan orang pertama yang mengemukakan konsep langue dan parole. Langue bermaksud loghat atau dialek dan parole bermaksud ciri-ciri bahasa yang dituturkan atau diucapkan oleh individu dalam masyarakat. Ketokohan beliau adalah hasil penelitiannya sehingga menerbitkan buku bertajuk Couse de Linguistique Generale pada tahun 1915. Langue ialah sistem yang mengandungi satu set rumus yang mengawal penghasilan ayat yang gramatis. Parole pula ialah satu penghuraian secara statistik tentang penggunaan bahasa. Kedua-dua objek ini bersifat koheren iaitu berkaitan antara satu sama lain. De Saussure membezakan antara langue dan parole kerana kecelaruan sering berlaku apabila kajian tentang linguistik dikaitkan dengan kajian bahasa. Kajian linguistik yang mempunyai bidang yang luas memerlukan penumpuan dalam sesebuah kajian. Adanya langue dan parole yang diperkenalkan oleh De Saussure, maka pengkaji-pengkaji bahasa akan lebih mengetahui apa yang dikaji dan kajian yang  dianalisis.
Sumbangan Ferdinand de Saussure yang seterusnya ialah tentang tanda pada linguistik. Menurut De Saussure, tanda linguistik merupakan satu unit yang abstrak yang tidak seharusnya dikelirukan dengan urutan bunyi fizikal yang dihasilkan dan juga rujukan sesuatu benda yang digambarkan. Unit bahasa sebagai sistem yang mestilah didefinisikan secara formal dan dengan istilah yang berbeza. Perbezaan tanda linguistik terhasil daripada cantuman antara satu penanda dan yang ditandai kerana dipengaruhi oleh pemikiran, persekitaran dan makna yang dipersetujui oleh masyarakat. Maksudnya, tanda linguistik wujud apabila hubungan antara satu penanda dan yang ditandai mempunyai kaitan antara sama sama lain. Sebagai contoh, gambar lampu merupakan yang ditandai manakala perkataan lampu merupakan penanda bagi objek berkenaan.
Ferdinand De Saussure turut menyumbang dalam bidang membezakan antara kajian bahasa secara sinkronik dan diakronik. Kajian bahasa secara sinkronik ialah kajian bahasa yang dilakukan dalam satu jangka masa tertentu sahaja. Kajian bahasa secara diakronik pula ialah kajian yang cuba mencari evolusi pensejarahannya melalui pelbagai peringkat. Pada pendapat beliau, pengkajian sesuatu bahasa perlu berkaitan dengan struktur dalam bahasa tersebut iaitu kajian secara sinkronik dan bukannya sejarah bahasa tersebut iaitu kajian bahasa berdasarkan evolusi yang mempengaruhi perkembangan bahasa tersebut  Linguistik sinkronis ialah bidang yang mengkaji bahasa pada suatu masa tertentu. Linguistik diakronis pula mengkaji bahasa dari segi sejarah yang dilalui oleh bahasa serta perubahan-perubanan yang dialami oleh sesuatu bahasa tersebut.

EDWARD
SAPIR
LEONARD BLOOMFIELD
FERDINAND DE SAUSSURE

PERSAMAAN

Bapa Linguistik
 Moden

PERBEZAAN

Bahasa bersifat arbitrari yang menyampaikan perasaan dan fikiran seseorang

Bahasa sebagai pusat dimana ucapan yang diujarkan mempengaruhi segala unit bahasa.

Kajian bahasa dilakukan secara sinkronis dan diakronis.

Pendekatan antropologi digunakan untuk melihat bahasa dari segi fungsi dalam kalangan masyarakat.

Tingkah laku manusia mempengaruhi bahasa disebabkan ransangan yang ada.

Bahasa lisan lebih utama daripada bahasa tulis.

Pemikiran manusia mempengaruhi struktur bahasa seseorang.

Ransangan mempengaruhi ayat-ayat yang dibina di dalam otak dan dikeluarkan apabila terdapat rangsangan.

Bahasa terdiri dari signifiant (penanda) dan sigfnifie (ditandai).

Tidak ada bahasa yang sempurna kerana bahasa akan sentiaa mengalami perkembangan.

Bahasa bergerak balas terhadap ransangan disebabkan tingkahlaku manusia juga bergerak balas terhadap ransangan.


Bahasa adalah satu sistem tanda-tanda atau lambang-lambang yang arbitrari yang digunakan untuk menyampaikan idea
Jadual 1.0 : Bandingbeza pemikiran dan sumbangan Edward Sapir, Leonard Bloomfield dan Ferdinand de Saussure

TUGASAN 1 (iii): MEMBINCANG DAN MENGHURAIKAN CIRI-CIRI BAHASA MELAYU SAINTIFIK
Bahasa Melayu saintifik boleh dikaitkan dengan pelbagai bidang ilmu seperti sains fizikal, sains perubatan, sains sosial dan sebagainya Bahasa saintifik turut dikenali sebagai bahasa akademik. Ini disebabkan bahasa saintifik merupakan bahasa yang wujud dengan mengungkap pelbagai bidang ilmu. Tokoh bahasa iaitu Abdullah Hassan mendefinisikan bahasa ilmu atau bahasa akademik sebagai bahasa yang digunakan dengan teratur untuk mengungkapkan sesuatu konsep, proses, sifat atau ciri dalam konteks intelektual dan ilmiah. Bahasa ilmu ini digunakan secara formal, dimana dialek atau idiolek seseorang dielakkan penggunaannya. Ciri-ciri gramatis, intelektual dan elitis terdapat dalam bahasa ini. Oleh demikian, penggunaan  bahasa ilmu ini perlu diperkembang untuk mencapai kecemerlangan dalam penggunaannya.
Bahasa Melayu saintifik mempunyai laras bahasa tertentu sama seperti bahasa-bahasa yang lain. Asmah Haji Omar (1987) berpendapat bahawa konsep saintifik tidak terhad kepada pengertian sains seperti matematik, kimia, biologi, dan fizik malah merangkumi bidang-bidang sains sosial. Oleh demikian, bahasa Melayu saintifik dapat dikaitkan dengan penggunaan lain seperti digunakan sebagai bahasa akademik. Konsep bahasa ilmu dapat dilihat dengan penggunaan bahasa Melayu sebagai laras bahasa dalam bidang-bidang seperti perubatan yang menggunakan bahasa seperti biokimia, fisiologi, anatomi dan sebagainya.
Bahasa Melayu saintifik mempunyai konsep dan pemikiran ilmu moden.  Ini disebabkan bahasa Melayu saintifik mempunyai ciri-ciri intelektual dan kesempurnaan bahasa melalui perbendaharaan kata dan sistem tatabahasa yang mantap. Selain itu, bahasa Melayu saintifik juga mempunyai fungsi sebagai rujukan. Rujukan tersebut mempunyai ciri-ciri seperti penggunaan gaya bahasa, istilah dan laras bahasa sesuatu bidang tertentu. Ilmu bahasa Melayu saintifik mempunyai perbendaharaan kata, istilah dan bahasa yang sesuai untuk menghuraikan tentang konsep dan pemikiran ilmu moden. Disebabkan itulah bahasa Melayu saintifik diterima pakai sebagai bahasa ilmu.
Gandum mengandungi tahap karbohidrat yang tinggi. Karbohidrat memberi tenaga kepada tubuh badan untuk berjalan, bekerja dan bermain. Tenaga yang dibakar melalui karbohidrat membolehkan manusia bekerja dengan lebih cekap. Tenaga yang terhasil daripada pembakaran karbohidarat juga membantu dalam mengawal suhu badan dan sistem penghadaman.

Petikan teks dibawah menunjukkan penggunaa bahasa Melayu saintifik:




Penggunaan laras bahasa sains dalam petikan adalah seperti gandum, karbohidrat dan sistem penghadaman menunjukkan penggunaan istilah, gaya dan laras bahasa.  Berjalan, bekerja dan bermain pula juga menunjukkan fungsi dalam laras bahasa pendidikan jasmani.  Contoh yang diberikan menunjukkan penggunaan bahasa saintifik boleh digunakan dalam petikan. Penggunaan bahasa saintifik tidak lah terhad, tetapi dapat digunakan sebagai rujukan dalam sesebuah petikan.
Bahasa ilmu merupakan bahasa yang mampu menjadi perantaraan bagi penyampaian ilmu pengetahuan sehingga ke peringkat tinggi. Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu juga membawa maksud bahasa Melayu sebagai pengantar ilmu pengetahuan untuk menyampaikan ilmu pengetahuan moden seperti sains, teknologi, kedoktoran, ekonomi dan sebagainya.  Pengunaan bahasa Melayu tidak hanya terhad dalam pengunaan bahasa dan sastera sahaja, tetapi boleh dikaitan dengan bidang-bidang yang sebelum ini dimonopoli oleh bahasa Inggeris.
Sebagai bahasa ilmu, Bahasa Melayu mempunyai istilah dan bahasa yang sesuai untuk mengungkapkan konsep dan pemikiran yang kompleks dan abstrak. Bahasa melayu juga memiliki tatabahasa yang sempurna yang setanding dengan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain. Bahasa Melayu juga dapat mempunyai konsep dan ilmu moden disamping nilai keintelektualan bahasa yang tinggi. Oleh demikian, bahasa Melayu mempunyai pelbagai peranan dalam perkembangan bahasa Melayu itu sendiri.

KESIMPULAN
Bidang linguistik merupakan bidang yang membantu kita dalam pengajaran bahasa. Pendedahan kepada sistem bunyi, tatabahasa, dan struktur makna dalam bahasa Melayu banyak berkait dengan bidang linguistik. Perkembangan bidang linguistik amat penting kerana sesebuah bahasa bersifat arbitrari kerana sesebuah bahasa itu  sentiasa berkembang.
Perkembangan linguistik berlaku dengan adanya tokoh-tokoh linguistik. Edward sapir, Leonard Bloomfield dan Ferdinand de Saussure merupakan antara pemikir linguistik yang banyak mempengaruhi perkembangan linguistik di seluruh dunia. Pandangan dan pendapat daripada tokoh-tokoh ini telah membuka minda kita dalam mendefinisikan bahasa dari pelbagai aspek dan tidak terhad dalam pengunaan komunikasi sahaja. Perkembangan bahasa ini jugalah yang mewujudkan aliran pemikiran yang pelbagai di mana aliran-aliran. Aliran pemikiran ini membantu dalam perkembangan bahasa kerana bahasa sentiasa berkembang.
Perkembangan bahasa juga meliputi bahasa Melayu sebagai bahasa Saintifik. Bahasa saintifik ialah bahasa akademik atau bahasa ilmu yang berupaya mengungkap pelbagai bidang ilmu. Kepelbagai bidang ilmu ini meliputi bidang seperti ilmu sains, perubatan, perundangan dan sebagainya. Kepelbagaian ini membolehkan bahasa Melayu setanding dengan bahasa Inggeris dari aspek penggunaan istilah dan perbendaharaan bahasa. Maka tidak hairanlah penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat dalam kehidupan seharian dapat diipelbagaikan.
Semoga pendedahan terhadap ilmu linguistik ini memberi pelbagai ilmu yang bermanfaat. Ilmu terhadap bahasa Melayu ini membuka minda dalam melihat pengunaan bahasa Melayu bukan sekadar terhad kepada sebagai alat perhubungan sahaja, tetapi dalam pelbagai bidang. Bahasa sememangnya memainkan peranan yang penting dalam kehidupan seharian. Oleh demikian, perkembangan bahasa yang bersifat arbitrari ini perlu diambil perhatian supaya bahasa Melayu tidak ketinggalan dalam perkembangan bahasa setanding dengan bahasa-bahasa lain di seluruh dunia.


No comments:

Post a Comment